24 Mei 2012

[BERGAMBAR] Lagi Intimidasi Ke Atas Ambiga, Petanda Lebih Cepat UMNO BN Berkubur!

100, termasuk kumpulan motor serbu rumah Ambiga

Lebih 100 orang berkumpul di depan rumah Pengerusi BERSIH Datuk S Ambiga di Bukit Damansara dekat ibu negara hari ini dengan sebahagiannya terdiri daripada sekumpulan pemuda bermotosikal.

Namun, kemaraan kumpulan itu dihalang penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berada di simpang masuk ke rumah Ambiga di Jalan Setiakasih 1 sejak pagi tadi.

Kumpulan itu yang rata-ratanya anti-BERSIH kemudian menghentikan motosikal di kawasan DBKL berkawal dan berjalan kaki untuk ke rumah Ambiga sambil menyanyi lagu "Inilah Barisan Kita".

Sementara itu, Pengerusi Majlis Bertindak Peniaga Kuala Lumpur (MBPKL) Datuk Jamal Yunus mengumumkan perancangan untuk mendirikan gerai berhampiran rumah Ambiga dibatalkan.

Setakat ini, kumpulan pro-BERSIH WargaAman yang juga merancang berkumpul petang ini bagi menyatakan sikap mereka masih belum kelihatan. -mk



'Ancaman sasar Ambiga kerana dia India, wanita'

WAWANCARA Sasterawan Negara Datuk A Samad Said berkata Pengerusi Bersama BERSIH Datuk S Ambiga menjadi sasaran ancaman pelbagai pihak disebabkan beliau keturunan India dan seorang wanita.

Sebaliknya, kata A Samad, ancaman itu, antaranya 'senaman punggung' di hadapan rumah, tidak akan berlaku sekiranya beliau berada di tempat Ambiga.

"Ambiga memang sepatutnya (mengetuai). Beliau seorang peguam, beliau mempunyai pengalaman yang banyak, dia menerima pujian dan sebagainya.

"Malang, oleh kerana dia seorang India, dia bukan Islam, malang. Kalau Ambiga itu saya, tidak berlaku ancaman yang berlaku terhadapnya (seperti) menayangkan punggung," kata A Samad ketika ditanya perbezaan peranannya dalam BERSIH 2.0 dan BERSIH 3.0.

Samad, seorang lagi pengerusi bersama gabungan proreformasi sistem pilihan raya itu menegaskan bahawa "tiada perbezaan tetapi mempermudahkan" sesuatu perkara.

Ditanya sekiranya beliau dilihat lebih menonjol berbanding Ambiga, segala ancaman itu tidak akan timbul, Pak Samad menjawab:

"(Beliau) seorang wanita kerana itu mereka bersedia untuk melanggar (Ambiga). Kalau dari mula saya (pimpin), barangkali ada kewarasan-kewarasan yang lain," katanya.

Pak Samad berkata, beliau mungkin juga akan dituduh dipengaruhi fahaman komunisme disebabkan beliau membaca buku tokoh aliran itu seperti Mao Zedong dan karya-karya sasterawan kiri antaranya Fyodor Dostoyevsky dan Boris Pasternak.

'Sisa kuasa' hebohkan Melayu disanggah

Beliau bagaimanapun menegaskan membaca buku-buku jenis itu bukan untuk mengikuti fahamannya sebaliknya hanya mahu membandingkan karya pelbagai aliran.

"Jadi sebagai seorang penulis, (kita) ingin memahami. Kita membaca di pihak sana untuk mewaraskan pihak di sini. Ini (tidak), kita baca di pihak sana, tapi terus dicop (mengikuti) pihak sana (juga). Itu salah (menurut pandangan) otak orang-orang yang resah," katanya.

Tokoh yang mesra dipanggil "Pak Samad" berkata rakyat Malaysia mudah bertelagah disebabkan isu perkauman.

Malah, katanya, golongan yang disifatkannya sebagai "sisa kuasa" mula menghebohkan bahawa kuasa Melayu sedang disanggah atau kaum lain akan menyanggah ketuanan Melayu.

Pak Samad bagaimanapun mempersoalkan kewajaran perkara itu ditimbulkan dan membangkitkan apa yang dilakukan pihak yang membangkitkan perkara itu untuk melindungi ketuanan Melayu ketika berada di "takhta kuasa".

"Pada hal kita tidak mudah untuk mempercayainya. Oleh kerana kita merdeka sudah lama, kita mempunyai perdana menteri, semuanya Melayu. Timbalan perdana menteri, semua Melayu," katanya.

Ditanya sama ada golongan sastera mengambil peduli isu dibangkitkan BERSIH, Pak Samad mengakuinya tetapi menurutnya "bukan tugasnya untuk memobilisasi" kumpulan tersebut.

"Mereka perlu bertanyakan hati mereka, adakah mereka harus menyertainya. Tugas saya untuk memperjelaskan inilah situasi siasah negara kita.

"Adakah kita mahu berlanjutan atau kita mahu mengubahnya," katanya sambil menambah kumpulan sastera tidak terpisah dengan isu politik apabila menghasilkan karya atau mengadakan sesuatu perbincangan.
-mk









BERAPA UMUR BUDAK-BUDAK YANG DIUPAH INI DAN BERAPA UPAHANNYA?







Ulasan GB

Intimidasi yang berterusan yang dilakukan oleh puak pencacai UMNO ke atas Pengerusi BERSIH, S.Ambiga, menyerlahkan lagi sikap "assabiyah" dan perkauman sempit UMNO itu sendiri.

Dan semua mata rakyat Malaysia terbuka luas: bahawa laungan 1Malaysia Najib BENAR-BENAR omongan kosong.

Bak kata Pak Samad, hanya kerana Ambiga itu keturunan India dan merupakan seorang wanita pula, maka tidak hairan beliau menjadi sasaran ancaman pelbagai pihak.

Bagi GB yang sentiasa berpegang kepada hukum kebenaran dan keadilan, perbuatan pemuda-pemuda samseng UMNO itu akan hanya memakan diri mereka sendiri.

Lebih kerap dan keras UMNO/BN melakukan / merelakan intimidasi ke atas Ambiga, maka lebih ramai (setidak-tidaknya kaum India yang semakin celik dan sekalian peserta BERSIH) yang akan menolak UMNO BN ... dan akan lebih ramai yang akan bersimpati dengan Ambiga, berarti juga akan lebih cepat UMNO BN berkubur. Hukum kebenaran itu tidak boleh ditolak atau dinafi.

Dan itulah juga diantara "haramjadah" yang bakal menimpa Najib dan UMNO!

"Zulkifli Bidas Pak Janggut": Utusan Kalah Lagi, Diperintah Bayar RM60,000 Kepada Khalid Samad

Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini menolak dengan kos rayuan Utusan Malaysia ke atas keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan Utusan membayar gantirugi RM60,000.00 kepada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad.

Pada 21 November lalu Hakim Prasad Sandhosham Abraham telah memutuskan bahawa artikel di muka hadapan Utusan Malaysia bertarikh 10 September 2009 bertajuk 'ZULKIFLI BIDAS ‘PAK JANGGUT’ ” adalah memfitnah ke atas Khalid Samad.

Antara lain artikel tersebut menulis:

'Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin membidas individu yang digelarnya ‘Pak Janggut’ yang sanggup memutar belit ayat-ayat al-Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil Hindu di Seskyen 23, Shah Alam yang menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk di kawasan itu.

Menurutnya, ‘Pak Janggut’ turut menyalahkan umat Islam di Seksyen 23 kerana tidak bersikap adil dalam membantah pembinaan kuil di kawasan kediaman mereka.

“Yang paling pelik, ‘Pak Janggut’ ini sanggup memutar belit ayat al-Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil,'katanya.'

Mahkamah memutuskan perkataan “Pak Janggut” di artikel tersebut adalah merujuk kepada Khalid Samad kerana sebelum artikel tersebut diterbitkan, Khalid ada menulis surat kepada penduduk seksyen 23 Shah Alam supaya mereka berlaku adil walaupun ke atas orang bukan Islam dalam isu penempatan semula kuil hindu dari Seksyen 19 ke Seksyen 23 Shah Alam.

Utusan telah memfailkan rayuan ke atas keputusan hakim tersebut di mana rayuan tersebut telah didengar pada pagi ini di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Pada prosiding pagi ini Mahkamah telah membenarkan permohonan Notis Usul yang difailkan oleh Khalid Samad bagi membatalkan rayuan Utusan atas alasan Notis Rayuan tersebut cacat kerana pihak Utusan telah gagal mendapatkan kebenaran Mahkamah Rayuan terlebih dahulu sebelum memfailkan rayuan mereka.

Ketika membacakan keputusannya pagi tadi Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus menyatakan bahawa beliau, Hakim Datuk Azhar Haji Ma’ah dan Hakim Datuk Abdul Wahab Patail iaitu panel hakim yang mendengar rayuan tersebut sebulat surat menolak rayuan Utusan kerana kecacatan rayuan tersebut.

Mahkamah menyatakan rayuan tersebut adalah bercanggah dengan seksyen 68 (1) (a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang memperuntukkan bahawa sebarang rayuan yang kurang dari RM 250,000-00 wajib mendapatkan kebenaran Mahkamah terlebih dahulu.

Mahkamah juga memerintahkan Utusan membayar kos sebanyak RM10,000-00 kepada Khalid Samad.

Khalid Samad diwakili oleh Cik Azhana binti Khairudin dari Tetuan Mohamed Hanipa & Associates manakala Utusan diwakili oleh Encik Mohana Kumar dari Tetuan Shafiee Mohan. -HD

Laporan sebelum ini
klik untuk baca






Peserta BERSIH, Asrul Wadi Mungkin Buta Sebelah Mata Akibat Terkena Kanister Gas Pemedih

Salah seorang peserta yang cedera serius terkena kanister gas pemedih mata sewaktu berlaku kekecohan ketika perhimpunan BERSIH 3.0, tampil hari ini untuk mencerita apa yang telah menimpa dirinya.

Asrul Wadi Ahmad (gambar), 29, dari Kepala Batas, telah diperiksa oleh empat orang doktor dan mungkin didiagnosis buta mata kanannya jika keadaan tidak bertambah baik dalam tempoh enam bulan.

Asrul berkata dia terkena kanister gas pemedih mata tepat di mukanya pada kira-kira jam 3.15 petang di sekitar Masjid Jamek, ketika dia menyertai bantahan BERSIH pada 28 April.

Katanya, dia hilang penglihatan di mata kanannya, dan setiap kali dia melihat, terdapat tompok hitam di dalam pandangannya.

Para doktor memberitahunya bahawa kesan pada matanya disebabkan oleh satu objek yang mengenainya pada kelajuan yang tinggi.


Bercakap dalam satu sidang akhbar di Pulau Pinang, Asrul berkata keadaan adalah tenang ketika dia berada di sekitar Masjid Jamek, tetapi ia tiba-tiba bertukar menjadi kacau-bilau apabila gas pemedih mata ditembak ke arah orang ramai. -mk



Ulasan GB

GB sokong dengan beberapa komentar agar ditubuhkan satu tabung kebajikan untuk Asrul Wadi bagi membantu beliau endapat rawatan memulih kesihatan mata beliau.

J/K Bersih atau mana-mana pihak boleh tampil untuk mewujudkan tabung berkenaan sesegera mungkin untuk membantu pejuang muda ini.

[DEDAH] 95% Penjaja Jalan TAR Tak Setuju Tindakan Kumpulan Datuk Jamal

Sekumpulan peniaga berkecuali isu BERSIH

Sekumpulan penjaja di Lorong Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur meluahkan rasa tidak berpuas hati terdapat pihak yang cuba melibatkan mereka untuk berniaga di hadapan rumah Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk S Ambiga mulai hari ini.

Mereka juga mengambil sikap "berkecuali dan tidak mahu main politik", tidak seperti yang dilakukan oleh Majlis Bertindak Peniaga-peniaga Kuala Lumpur (MBPKL), dan hanya mahu mencari rezeki dengan menjaja di lorong itu setiap Sabtu.

Malah, mereka juga bimbang pelanggan akan lari jika mereka dikaitkan dengan tindakan berniaga di hadapan rumah Ambiga, sehingga boleh menjejaskan pendapatan mereka selepas ini.

"Ini memberi kesan negatif... Kami tidak bersetuju dengan tindakan menjual (di hadapan rumah Ambiga). Ia memberi nama buruk kepada peniaga.

"Jangan guna nama platform penjaja Jalan Tunku Abdul Rahman. Guna nama lain. Kita bebas, tidak berpolitik, kita nak cari rezeki... Kalau nak berpolitik berhenti berniaga dan masuk politik," kata seorang peniaga, yang enggan namanya didedahkan.

Dilaporkan MBPKL yang diketuai Datuk Jamal Md Yunus akan berniaga pelbagai barangan, makanan dan minuman di hadapan rumah Ambiga selama dua hari bermula hari ini bagi menampung kerugian mereka akibat perhimpunan pada 28 April lalu.

'Tak sampai 10 sokong BERSIH 4.0'

Selain menamakan tindakan mereka sebagai "Bersih 4.0 - Mencucikan Bersih 1,2,3", semalam mereka membida tapak perniagaan sehingga mencecah nilai tertinggi sebanyak RM5,000.

Mengunjungi Malaysiakini semalam, kumpulan penjaja itu mendakwa kira-kira 95 peratus daripada kira-kira 300 penjaja di lorong tersebut bersikap berkecuali dengan tindakan majlis Jamal yang mahu berniaga di hadapan rumah Ambiga.

Penjaja itu mendakwa penjaja di situ tidak diajak berbincang dengan rancangan tersebut, sebaliknya hanya mengetahui melalui kain rentang dan risalah yang diedarkan kepada mereka.

"Boleh dikira dengan jari, tak sampai sepuluh orang (penjaja) yang menyokong Datuk Jamal," katanya menjawab soalan berhubung jumlah penjaja yang menyertai rancangan Jamal - pemilik peniagaan kereta mewah dan restoran.

Sementara itu, menceritakan suasana pada hari demonstrasi, kira-kira 50 peratus penjaja menjalankan aktiviti seperti biasa, tetapi terpaksa menghentikannya selepas polis berpangkat biasa didakwa mengarahkan ia dihentikan sewaktu berlakunya kekecohan di situ.

"Tidak ada arahan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur," kata penjaja itu yang mendakwa tindakan polis dibuat kerana penjaja dikatakan "melindungi" peserta BERSIH. -mk

Pelajar Perempuan Teruk Dipukul Oleh Gadis Samseng

Dibelasah gadis samseng

KLANG: Seorang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) cedera di dada dan bahagian badan selain trauma selepas dibelasah sekumpulan gadis ‘samseng’ yang juga rakannya di sebuah sekolah menengah di sini, baru-baru ini. Gambar fail.

Mangsa, Siti Nor Lela Muhammad Zambri, 17, tidak hadir ke sekolah dan membuat tiga laporan polis selepas dia sudah tidak tahan dipukul sekumpulan 10 pelajar perempuan sejak tiga minggu lalu.

Dalam kejadian pertama jam 11 pagi tiga minggu lalu, Siti Nor Lela berada dalam kelas bersama rakan lain sementara menunggu kedatangan guru sebelum didatangi sekumpulan pelajar terbabit dan memukulnya tanpa sebab.

“Tanpa bertanya apa-apa mereka menendang dan menumbuk saya berkali-kali di bahagian badan, tengkuk dan perut. Menurut Siti Nor Lela, selepas kejadian itu, dia mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan terpaksa memakai alat pendakap leher akibat cedera.

“Saya tidak hadir ke sekolah selama empat hari kerana tengkuk sakit,” katanya yang membuat laporan kali ketiga di Balai Polis Pandamaran, semalam.

Dalam kejadian kedua pada Isnin lalu, jam 1.15 tengah hari, Siti Nor Lela dan rakannya menunggu bas di hadapan sekolah sebelum didatangi lima pelajar perempuan dan bertanyakan namanya.

Apabila dijawab, pelajar itu menyepak dan menumbuknya beberapa kali selain perutnya dipijak seorang daripada mereka.

Katanya, akibat kejadian itu, tisu dadanya terkoyak selain sukar bernafas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Muhammad Mat Yusof ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit. -hm

[PANAS] Artis Bidas Kenyataan Tok Pa: Kenapa Mesti Ikut Macam Lembu Saja?

Para artis hari ini membidas kenyataan Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menyatakan tindakan segelintir bekas pegawai kerajaan dan selebriti menyertai Pas konon untuk berdakwah, sebenarnya hanya untuk berpolitik.

Salah seorang artis, Haire Othman mempersoalkan kenyataan Tok Pa itu mengapa jika para artis apabila berbeza pendapat dianggap pembangkang. Menulis di facebooknya, beliau menempelak Tok Pa dengan menyatakan jika artis berkempen atau menyertai UMNO tidak pula dijadikan isu.

Haire melahirkan rasa kehairanannya mengapa para artis tidak boleh berbeza pendapat dengan pihak kerajaan dan mesti ikut mereka seperti lembu.

Banyak pihak melihat kenyataan Tok Pa berkenaan menyerlahkan keadaan UMNO kini sedang tertekan dengan sikap beberapa orang bekas pegawai kerajaan dan artis/selebriti yang telah mengambil keputusan untuk menyertai PAS.

Kelmarin, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Fauzi Shaari telah menyerahkan borang penyertaan PAS kepada TG Hj Abdul Hadi Awang. Ia merupakan satu tamparan hebat kepada UMNO BN yang telah sekian lama memeperkudakan PDRM untuk pertahankan kuasa mereka.

Sebelum daripada ini beberapa orang artis seperti Bob Lokman, Aisyah dan Sham Kamikaze telah mengumumkan penyertaan mereka ke dalam PAS.

"saya artis jugak, kalau artis kempen/masuk UMNO x de pulak nak dijadikan isu, kenapa bila kita nak demokrat, nak berbeza pendapat selalunya dianggap pembangkang, kenapa, nak berbeza pendapat tak bole ke? mesti ikut macam lembu saja?" - hairie othman



Selebriti sertai Pas bukan untuk dakwah, tapi politik

KOTA BHARU - Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, tindakan segelintir bekas pegawai kerajaan dan selebriti menyertai Pas konon untuk berdakwah, sebenarnya hanya untuk
berpolitik.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, banyak saluran yang boleh digunakan jika benar mereka ingin berdakwah, termasuk menerusi badan bukan kerajaan (NGO) seperti Perkim atau badan agama yang lain.

"Kalau nak berdakwah tidak semestinya melalui PAS...boleh pergi ke masjid-masjid, menyertai Perkim atau sebagainya dan tidak perlu kepada parti politik," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Penjawat Awam dan Pemimpin Tempatan Negeri Kelantan, di sini malam tadi.

Mustapa berkata penjawat awam yang menyertai pembangkang selepas mereka berpencen, perlu menyedari jasa kerajaan selama ini yang mereka tidak pernah diabaikan.

"Bukan sahaja mereka dibela ketika bekerja malah ketika pencen hidup mereka jauh lebih selesa kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) pada hari ini tidak pernah mengabaikan mereka," katanya.

Beliau berkata pada masa yang sama, kerajaan menghormati pendirian mereka untuk menyertai pembangkang kerana negara mengamalkan konsep demokrasi.

"Ini negara demokrasi dan kita menghargai pendirian. Bagi saya penjawat awam itu janganlah lupa jasa kerajaan sehingga pencen pun tetap mendapat perhatian," katanya.

Mustapa berkata tidak ada negara lain seperti Malaysia yang melakukan segala yang terbaik agar penjawat awamnya hidup selesa sehingga mereka pencen.
- Bernama


Najib Wajar Debat Atau Setuju Digelar 'Penakut'

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) hari ini menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyahut cadangan debat dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum PRU-13.

Presidennya Amidi Abd Manan dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua pihak khususnya Najib perlu menyahut peluang ini untuk menjelaskan beberapa isu yang menjadi perbualan dikalangan rakyat.

"Abim yakin menerusi saluran debat ini Datuk Seri Najib Tun Razak boleh membersihkan imejnya yang dilihat sebagai "penakut" untuk berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku ketua pembangkang.

"Di samping itu juga, beliau juga boleh menggunakan peluang ini untuk, menjelaskan beberapa isu yang menjadi perbualan serta tanda tanya seperti kes pembunuhan Altantuya, kes pembelian kapal selam Scorpene yang sedang dibicarakan di Perancis, dan pemborosan yang dikaitkan dengan Datin Seri Rosmah Mansor," katanya.

Beliau memberi contoh debat antara Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dengan Pengarah Srtategi PKR Rafizi Ramli malam tadi telah mencetuskan fenomena politik yang segar di negara ini.

Menurutnya lagi, debat kini dilihat salah satu medium terbaik untuk menyalurkan perbezaan pendapat dan ianya dapat diurus secara matang dan harmonis.

"Sekiranya debat antara Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Anwar Ibrahim ini diadakan, ia sedikit sebanyak akan menganjak paradigma baru amalan demokrasi serta politik di negara ini.

"Sebarang penganjuran debat ataupun wacana seumpamanya seharusnya diraikan memandangkan ia adalah mekanisme pengurusan konflik yang berkesan," katanya. -HD