"Saya percaya dalang di sebalik kekecohan yang berlaku di Dun Perak baru-baru ini adalah Dato' SS(State Secretary) Dato' Abdul Rahman Hashim yang mengarahkan kakitangan kerajaan negeri berbuat demikian," katanya.
Beliau mendakwa Abdul Rahman meminta Setiausaha Dun memulakan dewan tanpa mempedulikan Speaker Dun, V.Sivakumar.
Chang juga menempelak laporan akhbar-akhbar arus perdana yang menuduh Adun-Adun Pakatan Rakyat yang menyebabkan kekecohan pada sidang Dun tersebut seterusnya mencemarkan kemuliaan dewan.
"Media arus perdana cuba memutarbelitkan fakta mengatakan bahawa Pakatan Rakyat yang mencetuskan pergaduhan dan bertindak secara biadap. Sedangkan kami tidak berbuat demikian sehinggalah pihak polis diarahkan masuk ke dewan berkenaan," tegasnya.
Beliau bagaimanapun membantah tindakan berkenaan dengan alasan anggota polis tidak mendapat kebenaran untuk memasuki dewan tersebut.
"Polis berkata mereka mendapat kebenaran Speaker tetapi bila saya tanya dia Speaker mana, dia kata Ganesan lalu saya pun membantahnya dengan menyatakan ianya tidak sah," katanya lagi.
Ketika diminta mengulas mengenai insiden pelantikan Speaker Dun yang baru, R.Ganesan beliau menegaskan perlantikan itu sebagai tidak sah.
"Hal itu disebabkan Speaker Dun masih lagi wujud sewaktu sidang tersebut kononnya cuba dikendalikan Timbalan Speaker, Hee Yit Foong daripada Sivakumar. Justeru, perlantikan itu tidak sah; malah sebelum itu kesemua mereka telah diarahkan keluar daripada dewan bererti segala apa yang berlaku tidak boleh diterima pakai," tegasnya.
Pada masa yang sama, Chang juga telah diarah meninggalkan dewan tersebut selepas bertengkar dengan Ganesan.
"Kesemua yang berlaku sekarang ini adalah tidak masuk akal seolah-olah BN bodoh dan tidak mengetahui selok belok prosedur serta undang-undang negeri," katanya.
Malah buat masa ini ujarnya, Pakatan Rakyat Perak telah membuat laporan polis mengenai rampasan kuasa ke atas speaker dan sidang Dun BN yang didakwa berstatus haram.