5 Jan 2010

Si Buta Nak Mengajak Orang Lain Buta Sepertinya

Ada orang berpendapat isu kalimah Allah tidak boleh ditangani seperti orang buta meraba gajah. Gambaran gajah bagi orang buta bergantung kepada mana satu anggota gajah yang dipegangnya.

Pendapat itu benar. Namun, ada beberapa persoalan yang berlegar di kepala.

Adakah orang Islam di Malaysia masih seperti orang buta meraba gajah? Adakah tidak ada di sana orang celik yang mampu menjelaskan kepada orang buta mengenai hakikat sebenar gajah?

Benar, kita bimbang keputusan mahkamah yang terbaru bakal menjadi duluan mengikat kepada keputusan mahkamah pada masa hadapan. Soalnya, adakah kita yakin bahawa keputusan mahkamah yang lebih tinggi selepas ini bukan seperti sekarang?

Kalau seperti sekarang juga, bagaimana?

Dan, katakan keputusan mahkamah selepas ini adalah berbeza dengan keputusan mahkamah sekarang, adakah orang Islam sudah tidak lagi menjadi sibuta yang meraba gajah?

Justeru, isu kalimah Allah bukan dapat dirungkai oleh mahkamah. Apa pun keputusan mahkamah, tanggungjawabnya tetap terpulang ke atas pundak orang Islam juga.

Raja-raja kita adalah orang Islam. PM, TPM, sebahagian besar menteri, sebahagian besar timbalan menteri, MB, sebahagian besar KM, sebahagian besar exco, sebahagian besar pegawai kanan kerajaan, general tentera, Ketua Polis Negara, Tim KPN, dan… adalah orang Islam.

Kita ada berbelas mufti, timbalan mufti, jabatan agama, JAKIM, YADIM, IKIM, puluhan universiti Islam, fakulti pengajian Islam dengan ratusan profesornya, semuanya adalah orang Islam.

Itu belum termasuk panelis Halaqah, Forum Perdana Ehwal Islam,… mana mungkin ada yang tidak Islam.

Dengan semua itu, masih ramai lagi orang Islam yang menjadi sibuta meraba gajah?

Kita boleh marah kepada orang bukan Islam menuntut apa yang mereka anggap sebagai hak mereka, tetapi adakah kemarahan kita itu menguntungkan Islam atau kemarahan itu menjadikan wajah Islam semakin hodoh?

Wajah Islam bukan menjadi hodoh kerana diconteng oleh orang bukan Islam yang menuntut apa yang mereka anggap sebagai hak mereka, tetapi menjadi hodoh kerana orang Islam sendiri. Dia menyangka dia menyolek Islam dengan tindakannya, pada hal dia menconteng arang ke muka Islam.

Lupakah kita kepada penjelasan al-Quran bahawa Allah akan mengganti kaum lain sebagai pembawa Islam sekiranya kaum yang sedia ada tidak lagi berkemampuan membawa Islam?

Apa kita ingat Islam adalah hak mutlak orang Melayu? Atau, kita syok sendiri kerana dilahirkan sebagai orang Islam? Atau, kita ingat Islam adalah hak mutlak dan ekslusif orang Islam sahaja?


Bagaimana kalau ada orang bukan Islam ingin mengamalkan Islam dalam kehidupannya? Kita ingin melarangnya? Kalau ada orang bukan Islam ingin mengaku Allah sebagai Tuhannya, kita menafikannya?

Harap-harap kita tidak menjadi penghalang petunjuk Islam daripada sampai kepada orang lain. Jangan kerana kita buta, kita juga mahu orang lain turut buta seperti kita. -Ustadz Zorkharnain Abidin

Ulasan GB

Memang betul apa yang dikatakan oleh Ustadz Zorkhanain di atas.

Esok, berkemungkinn keputusan yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi akan diterbalikkan oleh mahkamah Rayuan, dan bersorak sorailah Melayu di dalam UMNO dan geng Perpaduang dalam PAS.

Namun setidak-tidaknya PAS telah pun menyuarakan kebenenaran dengan lantang bahawa tidak ada kesalahan untuk ssiapa pun menggunakan kalimah Allah. Sekalipun keputusan Jawatankuasa Lajnah Politik malam tadi mengambil dalil bahawa penggunaan kalimah Allah telah digunakan oleh penganut agama samawi, namun ini tidak bererti bahawa kalimat itu dibataskan hanya untuk mereka, jauh sekali hanya untuk umat Islam.

Islam adalah untuk semua, begitulah Allah adalah Tuhan untuk semua, bukan hanya untuk penganut Islam kerana kalimat itu bukan milik umat Islam tetapi milik mutlak Allah.

Allah adalah satu nama bagi Zat Yang Maha Agong dan Maha Mulia. Ia tidak boleh direbut dan dibataskan mengikut kehendaki hati sesiapa kecuali Dia. Allah akan memerangi mereka yang melampaui batas yang cuba mengurung kalimat itu hanya untuk menjadi pesakanya.

Yang disembah bukan kalimat "Allah" itu tetapi adalah Zat yang empunya nama tersebut.

Isu Kufur Kerana Sokong Guna Kalimah Allah, Harun Din Patut Letak Jawatan

Kenyataan tokoh ulama PAS Datuk Dr Haron Din - yang mengaitkan sokongan kepada keputusan mahkamah kes kalimah 'Allah' boleh membawa kepada kekufuran - dipertikaikan.

Membidas pengamal perubatan Islam itu, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Dr Haron patut memberikan pandangan yang rasional dan tidak menafsirkan dengan salah pendapat orang lain.

"Saya hendak tanya Dr Haron, kalau kita dengar orang bukan Islam berkata, 'Allah menciptakan alam', adakah kita hendak ambil tindakan pada mereka?

"Adakah kita hendak suruh mereka kata tuhan lain yang menciptakan alam?" kata bekas mufti Perlis.

Sementara ahli majlis syura PAS, Ahmad Awang pula berpendapat isu akhidah dan keputusan mahkamah merupakan dua hal yang berbeza sama sekali.

"Kefahaman bahawa kalimah Allah itu eksklusif untuk orang Islam sahaja, saya percaya (kefahaman) itu lagi sesat.

“Sedangkan Allah itu tuhan semesta alam, tuhan kepada semua manusia,” katanya, sewaktu diminta mengulas pandangan timbalan mursyidul am PAS.


Dr Haron hari ini dilaporkan berkata umat Islam yang menyokong keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur – membenarkan mingguan Katholik Herald The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya – boleh membawa kepada kekufuran.

Beliau dipetik berkata, menurut kaedah ilmu akidah, bersetuju dengan penggunaan nama Allah oleh Kristian membawa maksud menyekutukan Allah kerana agama itu mempercayai konsep tritunggal (trinity). - malaysiakini

Ulasan GB

Saya baru mengulas mengenainya sewaktu memaparkan kenyataan media PAS mengenai isu pembenaran kalimat Allah. GB menyatakan:

"Sekalipun pada malam tadi GB tertanya-tanya mengenai kenyataan Timbalan Mursyidul Am PAS yang "mengkafirkan" mereka yang menyokong penggunaan Allah di kalangan non-Muslim dan kenyataan itu digunakan oleh sesetengah pihak untuk menghentam GB sepuasnya, namun apabila ianya diselesaikan dan dimuafakati oleh pimpinan jemaah, jelas penghukuman itu salah dan tidak wajar."

Jelas sikap Datuk Haron Din TIDAK SESUAI samaskali untuk beliau memegang jawatan Timbalan Mursyidul Am. Kita bermohon agar Allah menyelamatkan parti/jemaah kita dari dipimpin oleh orang sebegini.

Beliau perlu meletakkan jawatan.

Malah:

"GB ingin menekankan semula, sepatutnya tiada mana-mana pimpinan pun mengeluarkan kenyataan sebelum adanya pertemuan dan perbincangan oleh pimpinan dan kenyataan-kenyataan seperti kenyataan Ustaz Nasharuddin, Ustaz Idris sendiri, kenyataan Tuan Ibrahim sehingga memberi amaran kepada Ahli Parlimen Shah Alam untuk tidak mengeluarkan kenyataan yang kononnya bertentangan dengan dasar parti dan kenyataan Datuk Dr Haron Din sehingga mengkafirkan orang yang menyokong penggunaan kalimah Allah s.w.t."

Pada hemat GB, demi keutuhan parti dan jemaah, mereka itu (Ust Nasharuddin, Ust Idris dan Tn Ibrahim) perlu meletakkan jawatannya juga kerana telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang memperoak-perandakan jemaah sebelum ini yang mana ia juga bertentangan dengan aspirasi munaqasyah yang meminta pemimpin-pemimpin tidak mengeluarkan kenyataan yang bercanggah diantara satu sama lain akibat tidak dapat mengelak diri dari teruja dengan mikrofon media.

Kes MAZA Ajar Tanpa Tauliah Ditangguh 3 Mei

Mahkamah Syariah Gombak Timur hari ini menangguhkan perbicaraan kes bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang didakwa mengajar agama Islam tanpa tauliah, kepada 3 Mei depan bagi menunggu keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad, menangguhkannya berikutan permohonan semakan semula oleh pendakwaan berhubung keputusan beliau yang menolak permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

"Selepas mendengar keterangan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan mengenai isu pemindahan ke Mahkamah Tinggi yang kini sedang disemak, mahkamah membenarkan penangguhan ini.

"Penangguhan ini dibuat supaya dapat diselesaikan dengan segera dan baik demi kebaikan umat Islam secara keseluruhannya," katanya.

Terdahulu, pihak pendakwaan yang dikendalikan Ketua Pendakwa, Syarie Abdul Shukor Abdul Hamid, berkata pihaknya sudah mengemukakan permohonan semakan kehakiman pada 10 Disember lalu berhubung keputusan hakim Mahkamah Rendah Syariah itu.

"Pihak kami memohon kepada mahkamah supaya dapat menangguhkan perbicaraan ini sementara menunggu keputusan daripada Mahkamah Tinggi Shah Alam, manakala esok notis bantahan awal yang dikemukakan oleh pembelaan juga akan didengar," kata Abdul Syukor.

Asri yang diwakili peguam bela, Kamar Aniah Kamaruszaman, tidak membantah perkara itu.

Pada 18 November lalu, Hakim Syarie Wan Mahyuddin, menolak bantahan secara lisan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi dengan berpendapat bahawa Mahkamah Rendah Syariah mempunyai kuasa yang diperuntukkan untuk memutuskan apa jua keputusan.

Asri, 38, tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah di sebuah kediaman beralamat No 2 Lorong 2 C, Taman Sri Ukay, Ampang Daerah Gombak, antara 8.10 malam dan 9.45 malam, pada 1 November lalu.

Bagi kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 yang membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Beliau dibebaskan dengan bon jaminan RM3,000 dengan dua penjamin. - Bernama

Noh Jangan Mimpi Rampas Selangor

Hasrat UMNO untuk menawan semula Selangor dari pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) tidak akan tercapai kerana kepercayaan rakyat terhadap mereka mula tergugat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Suhaimi Shafiei berkata, PR akan mempertahankan Selangor malah keyakinan dan sokongan rakyat terhadap Kerajaan Negeri semakin meningkat.

“Noh Omar (Datuk Seri) jangan bermimpi di siang hari untuk meneruskan rancangan merampas Selangor dari PR.

“Dia boleh terus gunakan wang rakyat untuk jalankan kempen politiknya tapi keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap PR semakin bertambah,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat ADUN Sri Muda, kelmarin.

Suhaimi berkata, Noh hanya mempergunakan jentera partinya dan wang Kerajaan Persekutuan untuk menaikkan imejnya dan mencapai hasrat mengambil alih UMNO di Selangor.

“Semua usaha dan kempen yang dijalankan oleh Noh bukanlah untuk kepentingan rakyat tetapi semata-mata untuk menaikkan imejnya dan mencapai hasratnya untuk ambil alih UMNO Selangor.

“Sebagai Menteri, dia gunakan wang kementerian untuk mengembangkan pengaruh politiknya tetapi rakyat Selangor tidak akan tertipu dengan helah itu,” katanya.

Dalam pada itu, Suhaimi turut menasihatkan ahli-ahli UMNO agar tidak tertipu dengan muslihat yang dimainkan Noh yang akhirnya akan mengetepikan barisan kepimpinan sedia ada.

“Kita boleh lihat sendiri, walaupun Khir Toyo (Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo) adalah ketua pembangkang di Selangor, namun beliau semakin diketepikan dan pengaruhnya semakin hilang.

“Orang UMNO perlu sedar bahawa gerak kerja Noh hanya untuk menaikkan namanya bagi mendapatkan jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor apabila Perdana Menteri melepaskan jawatan itu,” katanya.

Sementara itu, Suhaimi turut menyangkal berlaku masalah dalaman melibatkan parti komponen PR iaitu Pas dan DAP seperti yang didakwa pelbagai pihak sebaliknya berpendapat Barisan Nasional (BN) sedang menghadapi krisis dalaman.

“Desas-desus kononnya terdapat pergolakan antara Pas dan DAP menunjukkan UMNO hanya menyalak bukit sedangkan sebenarnya berlaku perbalahan dalam BN iaitu antara MCA, MIC dan PPP sendiri.

“Ini bukan rahsia lagi bahawa mereka sendiri yang mempunyai masalah dalaman dan tidak dapat menerima hakikat kekalahan di Selangor,” katanya. -SH

Alhamdulillah, PAS Sokong Penggunaan Kalimat Allah

Gerakan Islam terbesar tanahair, Parti Islam Se-Malaysia hari ini menyatakan sokongan kepada penggunaan Allah oleh masyarakat Kristian Katolik.

Dalam satu kenyataan akhbar yang dibacakan Ketua Penerangan Idris Ahmad lewat jam 11.45 malam tadi, Presiden Pas Abdul Hadi Awang berkata sokongan ini konsisten dengan prinsip Islam dan Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan ini dicapai Lajnah Politik Pas selepas bermesyuarat hampir tiga jam di Pejabat Agung Pas Kuala Lumpur.

Biro pimpinan terkanan Pas menegaskan bahawa penggunaan nama Allah oleh penganut-penganut agama samawi - Islam, Krsitian dan Yahudi - boleh diterima.

Pendirian ini konsisten dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh tokoh-tokoh Islam tanahair sebelum ini.

Bekas Mufti Perlis Dr Asri Zainal Abidin dan Mursyidul Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dinobatkan antara 500 pemimpin Islam paling berpengaruh di dunia turut menyokong penggunaan nama Allah oleh penganut agama Kristian.

Dalam nada tegas, Pas memberi amaran kepada semua pihak untuk tidak menyalahguna nama Allah demi politik atau untuk mengelirukan masyarakat.

"PAS memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapat sokongan rakyat,"

Kes 'Allah' ini menguja kembali sejarah konflik antara masyarakat majmuk di negara ini, yang pernah terjerumus dalam rusuhan berdarah pada 13 Mei 1969.

Sebuah kumpulan pro-Melayu, Pribumi Perkasa, merancang untuk menganjurkan tunjuk perasaan pada Jumaat depan di masjid-masjid utama negara sebagai tanda bantahan.
Kerajaan Pusat turut berikrar untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan nama Allah oleh warta katolik, The Herald, minggu lalu.

Pas, selaku gerakan Islam terbesar negara, melalui presidennya Abdul Hadi Awang memberi amaran bahawa ia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menghasut atau mengambil tindakan provokasi yang boleh membawa kepada ketegangan agama. -TVS


KENYATAAN MEDIA

PAS sebagai sebuah parti Islam amat menghormati prinsip kebebasan beragama sepertimana yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama, melainkan ia merupakan pilihan sendiri. Prinsip kebebasan beragama ini juga telah dimaktub dalam perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun demikian, dalam kontak masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama. Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini.

PAS ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.


PAS memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapat sokongan rakyat.

Al-Quran telah menyarankan cara yang betul menggunakan perkataan Allah, sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-Imran ayat 64 yang bermaksud: Katakanlah hai ahli kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan dia, dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sesama manusia seperti pemimpin dan sebagainya, sebagai tuhan selain Alllah.

PAS dengan tegasnya ingin menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh menggugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat.

PAS dengan segala rasa penuh tanggungjawab bersedia untuk menjelaskan isu ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dan dijamin oleh Islam.

"Allah For All * Islam For All"

"Islam Adil Untuk Semua"



Kufur Jika Sokong Guna Kalimah Allah - Haron Din
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

BANGI: Mana-mana umat Islam yang menyokong keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah 'Allah' dalam akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly dalam penerbitannya boleh membawa kepada kekufuran.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din berkata, menyokong kepada sesuatu perkara yang salah di sisi Islam juga secara tidak langsung boleh menyebabkan berlakunya kekufuran dan syirik.

"Saya menyeru kepada sahabat-sahabat saya supaya mempertimbangkan semula pendirian mereka.

"Kalau kita sokong perkara yang kufur, kita pun secara tak langsung akan kufur sama," katanya dalam sidang media di kediamannya di sini hari ini.

Tokoh agama itu turut melahirkan kekesalannya terhadap beberapa penulis blog termasuk di kalangan beberapa pemimpin parti-parti politik yang menyatakan sokongan mereka kepada keputusan berkenaan.

"Saya harapkan orang-orang ini boleh bersatu pandangan, memanglah setiap orang itu ada kebebasan bersuara.

"Kalau hal politik memanglah ada banyak pandangan, tapi kalau hal agama, kita perlu balik kepada kaedah agama.

"Kalau kita berpuas hati dengan perkara yang syirik ia akan membawa kepada kekufuran," katanya tanpa menyebut secara khusus blog-blog berkenaan...


Ulasan GB

Alhamdulillah, akhirnya PAS mengambil pendirian yang betul dan tepat sepertimana yang dihujjahkan oleh GB sebelum ini bahawa "berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini."

Ulasan GB mengenai isu ini boleh dibaca di SINI, di SINI dan di SINI.

Sekalipun pada malam tadi GB tertanya-tanya mengenai kenyataan Timbalan Mursyidul Am PAS yang "mengkafirkan" mereka yang menyokong penggunaan Allah di kalangan non-Muslim dan kenyataan itu digunakan oleh sesetengah pihak untuk menghentam GB sepuasnya, namun apabila ianya diselesaikan dan dimuafakati oleh pimpinan jemaah, jelas penghukuman itu salah dan tidak wajar.

GB ingin menekankan semula, sepatutnya tiada mana-mana pimpinan pun mengeluarkan kenyataan sebelum adanya pertemuan dan perbincangan oleh pimpinan dan kenyataan-kenyataan seperti kenyataan Ustaz Nasharuddin, Ustaz Idris sendiri, kenyataan Tuan Ibrahim sehingga memberi amaran kepada Ahli Parlimen Shah Alam untuk tidak mengeluarkan kenyataan yang kononnya bertentangan dengan dasar parti dan kenyataan Datuk Dr Haron Din sehingga mengkafirkan orang yang menyokong penggunaan kalimah Allah s.w.t.


“Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, oleh itu, beribadatlah kamu kepadaNya. Inilah jalan yang lurus”. Ali-Imran : 51


Enjin Jet Hilang Penjelasan Gani Tidak Menasabah

Penjelasan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail di sidang medianya tidak meyakinkan pemimpin Pakatan Rakyat.

Munasabahkah 4 sahaja dan 3 daripadanya kakitangan peringkat bawahan terlibat dalam kes ini? Sedangkan perbuatan ini dilakukan secara nekad dan licik.

Benarkah dua enjin jet pejuang milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ini sahaja dimengakui hilang pada 2007, sedangkan terdahulu media melaporkan 4, dan beberapa item termasuk dokumen transaksi turut lesap. Diketahui bahawa aset yang dibeli pada 1975 ini, kehilangannya hanya disedari pihak tentera pada 22 Mei, 2008 dan laporan polis hanya dibuat pada 4 Ogos, 2008. Tambahan pula umum belum dijelaskan cara bagaimana kehilangan ini berlaku.

Jaminan seperti keutamaan mengesan enjin yang hilang ini; kertas siasatan diserahkan kepada polis untuk siasatan lebih terperinci; mereka terlibat akan didakwa di mahkamah; pejabat Peguam Negara akan berusaha habis-habisan menyelesaikan kes ini; akankah tinggal sebagai cakap-cakap penyedap sahaja, sedangkan terdahulu terdapat kes besar dan "urgent" masih belum diselesaikan dengan sempurna.

Dapatkah bantuan pihak berkuasa luar negara mengembalikan enjin ini yang dikenali sebagai G J85-21A, aset berharga RM 50 juta setiap satu. Memang, asal tempat kehilangan pangkalan udara Sungai Besi, Kuala Lumpur. Destinasi terakhir Uruguay. Namun lokasi sebenar terkini tidak diketahui.

Ikut lanjutan laporan menyengat Detik Selangor, khususnya kenyataan bernas Timbalan Ketua AMK, Faris Musa. Serta kecurigaan Ahli Parlimen Sungai Petani, YB Johari Abdul perihal bagaimana kehilangan ini gagal dikesan Ketua Audit Negara. -TVS