5 Jun 2009

ITO DAN RENGGO DI MALAM KESENIAN ISLAM MUKTAMAR PAS KALI 55

Ito, bekas vokalis Blues Gang telah membuat persembahan di dala Konsert KeseNian Islam sempena Muktamar PAS kali ke 55 yang telah diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam malam tadi.

Ito yang terkenal dengan lagu "Apo nak dikato" telh menyampai lagu tersebut dengan rentak yang berbeza seperti yang lazim diperdengarkan kepada umum dan menyatakan ia diciptakan khas sempena Muktamar PAS kali ini.

Selain Ito, Renggo, penyanyi utama kumpulan Arrow, yang telah mengumumkan secara rasmi menyertai PAS pada bulan April lalu dan turut menyerahkan borang keanggotaan PAS kepada Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga telah membuat persembahan pada majlis itu.

Dua buah lagu dendangannya telah berjaya memukau penonton pada malam tersebut iaitu lagu "Esa" yang menyadurkan liriknya dari surah al-ikhlas dan sebuah lagu yang dihasilkan dari cetusan rasa dari Tuan Guru Nik Aziz sendiri semasa pertemuannya dengan Tuan Guru Nik Aziz pada 10 April 2009 sewaktu menyerahkan borang keahlian PAS berjudul "Pesan Tok Guru".









Tidak Perlu Kerjasama Dengan UMNO - Husam

Datuk Husam Musa menegaskan pendiriannya bahawa parti itu tidak boleh menjalin kerjasama dengan Umno sepertimana kerjasama yang dipraktikkan oleh PAS bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta DAP, demikian lapor Bernama.

Ini kerana, katanya melalui kerjasama sedemikian, PAS tidak akan menjadi parti yang dominan dalam pakatan itu, malah ia juga tidak akan mendapat kerusi yang lebih daripada Umno.

"Saya sayang PAS, kalau PAS menjadi tambahan kepada Umno, PAS akan menjadi kuda tunggangan, PAS tidak akan mendapat lebih banyak kerusi, Umno akan terus menjadi parti dominan... jadi habislah PAS," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Muktamar PAS ke-55 di sini hari ini.

Husam yang bertanding jawatan timbalan presiden pada pemilihan kali ini, berkata beliau juga menolak sebarang idea penggabungan dengan Umno kerana pemimpin PAS sudah tentu tidak akan menjadi perdana menteri.

"Jika Umno dikalahkan kemudian dan mereka mahu bekerjasama dengan kita maka OK lah... kalau PAS di atas dan Umno di bawah itu OK, jangan Umno di atas kerana tidak akan ada perubahan... apa yang penting bagi kita adalah perubahan," katanya.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini berkata beliau yakin idea bagi mewujudkan kerajaan perpaduan antara PAS dengan Umno yang beliau cadangkan sebelum ini dapat dilaksanakan di masa akan datang jika semua pihak memahami hasrat penubuhannya.

Katanya hasrat itu digagaskan selepas pilihan raya umum Mac lepas dengan tujuan mencari jalan kompromi dalam pembentukan kerajaan pada ketika itu dan ia diterima secara positif bukan sahaja dalam kalangan pemimpin pakatan pembangkang malah pemimpin Umno sendiri.

Sementara itu Husam telah menuntut akhbar Utusan Malaysia memohon maaf kerana menyiarkan artikel bertajuk 'Menilai Hujah Husam' yang didakwa mengandungi serangan peribadi terhadap exco kerajaan Kelantan itu.

Husam berkata, akhbar tersebut yang berkait rapat dengan lawan politik PAS - Umno - telah menyiarkan artikel tersebut pada 31 Mei di mana beliau telah dilabelkan sebagai 'musuh PAS" yang akhirnya akan membawa kepada kemusnahan parti Islam itu.

Surat tuntutan tersebut dihantar oleh peguam Husam - Balan Nair Thamodaran pada 2 Jun - menyatakan bahawa artikel tersebut membawa maksud bahawa, Husam tidak setia pada PAS, seorang yang tidak boleh dipercayai, berniat hendak dan/atau prejudis terhadap kepentingan PAS dan musuh PAS.

Peguam Husam berkata artikel tersebut dengan jelas merujuk kepada presiden PAS itu yang digambarkan sebagai dari kumpulan profesional dan kumpulan Erdogan.

Balan berkata, artikel tersebut berniat untuk menjejaskan peluang pelanggannya yang bertanding - jawatan timbalan presiden - dalam pemilihan parti itu, dengan menggambarnya, sebagai musuh PAS.

Menurutnya lagi, artikel itu juga merupakan serangan peribadi terhadap Husam yang terkeluar dari skop kewartawanan profesional.

Presiden PAS Iktiraf Sumbangan Blogger Sedarkan Rakyat Tolak UMNO BN

Sumbangan media baru khususnya di Internet termasuk portal berita dan blog memainkan peranan untuk menyediakan maklumat alternatif kepada rakyat yang selama ini dikuasai oleh media arus perdana yang dikuasai kerajaan UMNO BN telah berjaya mencelikkan rakyat sehingga memilih Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil yang diadakan selepas pilihanraya umum lalu, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Enam pilihanraya kecil telah diadakan selepas pilihanraya umum 2008 dan Pakatan menang lima daripadanya - bermula dengan Parlimen Permatang Pauh, Parlimen Kuala Terengganu, Parlimen Bukit Gantang, DUN Bukit Selambau dan Penanti. Satu lagi pilihanraya kecil - DUN Batang Ai di Sarawak di menangi oleh BN.

Manakala pilihanraya kecil bagi DUN Manek Urai akan berlansung pada 14 Julai depan. Suruhanjaya Pilihanraya telah menetapkan tarikh penamaan calon pada 6 Julai.

Walaupun tiada majlis penghargaan khusus untuk para blogger dan wartawan internet pada majlis muktamar yang gemilang pada tahun ini, namun pengiktirafan yang diberikan oleh Presiden PAS itu telah lama ditunggu oleh para internetters dan blogger yang telah bertungkus-lumus selama ini memperjuangkan kebenaran dan keadilan melalui alam siber membantu Pakatan Rakyat mencapai kemenangan.

"Sekali lagi saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada rakyat yang telah celik, hasil daripada maklumat yang dimerdekakan ke atas mereka oleh sumber media baru, sehingga memilih Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil itu," kata Abdul Hadi dalam ucapan dasarnya di muktamar PAS hari ini.

Kesemua pilihanraya ini kita sama-sama hadapi dengan semangat kerja kuat dan keserasian setiakawan Pakatan Rakyat yang tidak pernah luntur.

Walaupun kita berhadapan dengan BN yang berselindung di sebalik jentera kerajaan dan pelbagai agensi, tetapi kita berjaya membuktikan bahawa rakyat terbanyak masih kukuh bersama kita dengan kita memenangi lima dari enam kerusi yang dipertandingkan, dan Insya Allah kita akan dapat mempertahankan Manek Urai.

Namun begitu, katanya, kejayaan Pakatan itu dicapai melalui usaha keras yang ditunjukkan oleh jentera pilihanraya serta pihak-pihak yang membantu tanpa habuan wang ringgit.

'Keadilan dicorobohi'

"Rupanya kerjasama kita yang sebegini erat, sangat membuatkan pihak tertentu merasa irihati dan merasa bahang kepanasannya

"Kemuncak dari keangkuhan mereka ini adalah tindakan tanpa susila merampas kerajaan yang dipilih oleh suara majoriti rakyat yang telah sama-sama kita bina di negeri Perak Darul Ridzuan.

"Suara rakyat diketepikan dan semangat Perlembagaan dan undang-undang tidak dilaksanakan, manakala keadilan dicerobohi apabila tiadanya pemisahan kuasa dalam badan kehakiman.," katanya.

Abdul Hadi berkata, kerajaan yang sedang berbakti kepada rakyat telah direntap dengan "senjata peras ugut dan rasuah politik".

"Apa yang lebih parah lagi, bukan sahaja segala jenis peraturan Dewan dilanggari, bahkan kedudukan Dewan tempat bersidangnya DUN Perak dicemari dengan peristiwa rampasan kuasa yang kini menjadi bahan momokan masyarakat antarabangsa, dengan perbuatan tidak bertamadun dan bermoral.

"Tragedi ini merupakan satu episod hitam dalam sejarah politik di Malaysia, hasil daripada tindakan Umno dan BN yang gelabah, kerana semakin pudar pengaruhnya di hati rakyat Malaysia," tegasnya.


KEPUTUSAN UNDI PEMILIHAN ESOK

Parti Islam SeMalaysia telah pun mengadakan proses pengundian memilih kepimpinan pusat parti itu dengan seramai 1,044 layak mengundi termasuk Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Tetap, Ahli Majlis Syura, AJK PAS Pusat, Pesuruhjaya dan perwakilan Kawasan-kawasan.

Daripada jumlah itu seramai 971 merupakan pengundi kalangan perwakilan. Pengundian dimulakan kira-kira 3.40 petang tadi dan dijangka selesai kira-kira tiga jam kemudian. Sebanyak 40 tempat mengundi disediakan di belakang pentas utama.

Husam Musa dan Nasharuddin Mat Isa yang bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden dilihat sebagai pertarungan sengit yang akan mencorak masa depan PAS dalam Pakatan Rakyat dan strategi parti menjelang pilihanraya umum akan datang.

Bagi jawatan naib presiden, lima tokoh parti itu merebut tiga kekosongan yang ditinggalkan oleh Husam, Mohamad dan Ahmad Awang, pesuruhjaya PAS Perak.

Calon-calon itu: bekas ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub, ketua penerangan Datuk Mahfuz Omar dan tiga ahli jawatankuasa pusat Mujahid Yusof Rawa, Datuk Tuan Man Tuan Ibrahim dan Nik Amar Nik Abdullah.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merupakan orang pertama mengundi dan diikuti Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta Timbalan, Setiausaha, AJK PAS Pusat serta perwakilan mengikut giliran negeri-negeri.

Keputusan rasmi dijangka akan diumumkan pagi esok.

Tumpuan pemilihan mengarah kepada jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden yang masing-masing menyaksikan pertandingan tiga dan lima penjuru.

Seramai 54 orang bertanding untuk merebut 18 kerusi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Sebelum itu Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Muktamar Agung PAS, Dato' Mustafa Ali menjelaskan mengikut perlembagaan parti beberapa jawatan penting perlu dipertandingkan antaranya Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, AJK dan Pemeriksa kira-kira.

Beliau berkata, di antara jawatan itu ada yang telah dimenangi tanpa pertandingan antaranya Pengerusi Tetap yang terus dipegang oleh Ustaz Abu Kasim Abdullah tanpa pertandingan.

Selain itu katanya, jawatan Presiden menang tanpa bertanding manakala untuk jawatan Timbalan Presiden terdapat tiga pencalonan, Naib Presiden lima calon dan AJK 54 calon dan hanya dipilih 18 orang. Sementara itu Pemeriksa Kira-kira tiada pertandingan.



Hassan Ahmad, Samad Said Terima Anugerah Pejuang Bahasa PAS

Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said dan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr. Hassan Ahmad menerima Anugerah Pejuang Bahasa yang disediakan PAS.

Hassan juga merupakan Pengerusi Gerakan Mansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (GMP).

Samad pula merupakan Penasihat GMP.

PAS turut menyokong usaha memansuhkan PPSMI. Ini kali pertama PAS menyediakan anugerah tersebut.

Kelmarin, Samad turut mendeklamasikan sajak pada sesi pembukaan Muktamar Dewan Pemuda PAS Ke-50 di Gombak.

Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS, Datuk Abu Bakar Chik berkata, parti itu mengadakan anugerah bagi mengiktiraf perjuangan mempertahan dan memartabatkan bahasa Melayu.



UMNO Perkudakan Islam Untuk Kepentingan Politik, Merasuah dan Menindas

Umno memperkudakan nama Islam untuk kepentingan politik, merasuah dan menindas hak masyarakat Islam dan bukan Islam, sehinggakan agama suci itu dipandang rendah rakyat jelata.

Islam tidak dijadikan sebagai panduan untuk memerintah dengan keadilan, sebaliknya menghalalkan cara untuk memastikan mereka terus mengamalkan rasuah dan menyalahguna kuasa.

Demikian kata Presiden Pas Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya kepada lebih 3,000 hadirin pada Muktamar Pas ke-55 di Stadium Malawati Shah Alam, hari ini.

“Umno menunjukkan model Islam yang salah kepada rakyat berbagai kaum dan agama, serta menghilangkan kewibawaan umat Islam.

“Mereka tidak menjadikan Islam sebagai agama yang memerintah dengan keadilan dan hikmah untuk seluruh manusia tanpa mengira agama, bangsa dan budaya,” kata beliau.
“Sifat Islam yang adil untuk semua tidak dapat dibuktikan, manakala amalan amar makruf nahi mungkar dibelenggu oleh sistem yang menghalangkan,” kata Abdul Hadi.

Abdul Hadi menambah mercu suar pemerintahan Umno-BN selama ini adalah ketakutan. Kerajaan di bawah Umno-BN menyaksikan polis diperkudakan, Akta Keselamatan Dalam Negeri diguna untuk membisukan suara bangkangan, manakala media ditundukkan dengan pelbagai akta-akta anti-demokrasi.

“Ianya digunakan sebagai senjata untuk mengekalkan kuasa pemerintahan Umno dan BN, melindungi kezaliman dan penyelewengan secara undang-undang, dan menghakis amalan demokrasi, bukannya menjaga keamanan dan keselamatan negara,” kata Hadi.

“Kita berpendapat bahawa untuk menjamin keselamatan dan keamanan negara hendaklah melalui undang-undang dan sistem kehakiman adil. Pra-syarat melahirkan negara demorkasi adalah sistem pilihanraya yang bebas, pemisahan kuasa eksekutif-legislatif-kehakiman yang jelas, serta kebebasan bersuara dan komitmen kepada hak asasi manusia,” tegas beliau.

Presiden Pas yang menang tanpa bertanding itu juga turut dukacita kepada maslahat bangsa Melayu dibawah Umno.

Obor jati-diri Melayu malap dan malar dalam arus perdana pembangunan negara dengan dasar-dasar kerajaan Umno-BN yang masih terperangkap dalam kerangka minda penjajah.

“Sejak memikul amanah memimpin negara, UMNO telah meminda perlembagaan negara beberapa kali, pindaan yang lebih bersifat tikus membaiki labu, kerana lebih bertujuan untuk mengekalkan kuasa politik mereka, bukannya bertujuan islah untuk memerdekakan negara sepenuhnya daripada kongkongan jahiliyah yang masih membelenggu dan menghina Islam."

“Umno melemahkan Bahasa Melayu, Jawi dan peranannya dalam ilmu. Ini sangat memalukan bangsa Melayu kerana rakan-rakan kita kaum Cina dan India dapat mempertahankan tulisan dan bahasa masing-masing, tetapi tulisan Jawi dan Bahasa Melayu dipinggir oleh dasar yang digubal Umno,” tegas.

UMNO juga meneruskan sistem yang melemahkan Bahasa Melayu dan peranannya dalam ilmu sejak beberapa dekad, setelah Bahasa Melayu bertulisan jawi menjadi bahasa ilmu di rantau Asia Tenggara. Inilah peranan pemimpin UMNO yang menggubal Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dengan menukar tulisan bagi Bahasa Melayu dari tulisan jawi ke tulisan rumi.

Apabila ianya diaktakan, maka peranan tulisan jawi sedikit demi sedikit menuju ke penghujung penggunaannya. Tulisan jawi dilemahkan oleh UMNO selepas zaman penjajah asing gagal melemahkannya.

Hari ini, UMNO telah sekali lagi mencatatkan satu sejarah baru dengan meneruskan agenda pembelajaran mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris dengan alasan untuk memajukan bangsa, sedangkan pelbagai kajian di peringkat nasional dan antarabangsa yang ada pada masa ini menunjukkan bahawa pembelajaran sains dan matematik di peringkat asas ini mestilah dilaksanakan menerusi bahasa ibunda masing-
masing.

"Ingin saya tegaskan sekali lagi di sini, bahawa PAS tidak anti kepada Bahasa Inggeris, atau mana-mana bahasa yang ada di dunia ini. Pandangan PAS adalah sama dengan pandangan para pengkaji dan sarjana bahasa, bahawa pengukuhan terhadap Bahasa Inggeris mestilah berasaskan kepada memperkukuhkan pembelajaran bahasa itu sendiri." tegasnya.


UMNO BN Dengan Sindrom Penafian Terhadap Kegagalan Atasi Kemelesetan Ekonomi

Kerajaan BN pula berpeluang meletakkan punca krisis ekonomi negara kepada faktor luar yang bersifat global dan kononnya tidak dapat dielakkan. Tindakan kerajaan BN ini adalah tidak bertanggungjawab, bahkan mengekalkan ‘sindrom penafian’ yang menjadi amalan kerajaan BN selama ini.

Demikian ditegaskan oleh Presiden PAS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di dalam ucapan dasar Muktamar PAS Kali Ke 55 hari ini.

Kata beliau, lebih parah lagi kerajaan BN terus menerus mentadbir ekonomi negara dengan rakus dan boros, serta sarat dengan amalan penyelewengan kuasa, rasuah, kronisme dan nepotisme yang menyaksikan pengulangan tabiat buruk pengurusan orde lama. Rakyat terus menanggung kerugian besar.

Tegasnya, isu utama yang dipertikaikan hingga kini ialah ketelusan dan pertanggungjawaban. Peristiwa Bank Bumiputra yang hidup berkembar dengan pejabat UMNO hanya tinggal dalam lipatan sejarah hitam ekonomi negara.

PAS juga menggesa semua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, yang menguruskan pelaburan rakyat seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), diuruskan dengan penuh berhemat. Perlu juga diingatkan keperluan untuk mematuhi kehendak syariah dalam setiap pelaburan tersebut.

Lembaga Tabung Haji juga mestilah mampu memenuhi tanggungjawab menjaga kepentingan ekonomi umat Islam dan memastikan setiap pelaburan adalah tidak berasaskan spekulatif dan mengambil kira semua risiko yang terlibat.

Kini rakyat dan pekerja akan terdedah kepada kesan kemelesetan ekonomi. Beban hutang isi-rumah, kad-kredit dan pinjaman swasta, yang menyaksikan hutang tak-berbayar (NPL) akan terus meningkat. Permintaan dunia telah pun berkurangan dan menyebabkan ekspot kita jatuh.

Dengan permintaan yang menurun secara mendadak, pengilang tidak ada cara lain kecuali membuang pekerja bagi mengurangkan kos dan mengekalkan keuntungan serta mengelak kerugian besar. Pada hujung tahun 2009 ini, 200 ribu pekerja dijangka dibuang dan menjadi penganggur.

Tegas Ustadz Hadi lagi, PAS mengingatkan semua pihak bahawa urus tadbir yang baik terhadap segala khazanah kekayaan dan sumber alam yang dianugerahkan di muka bumi ini adalah satu juzuk tuntutan amanah Allah SWT yang diletakkan ke atas manusia selaku khalifah Allah di atas muka bumi ini.

Mentadbir kewangan dan menjadikan pengurusan ekonomi serta membangunkan harta atau "Hifzul Mal", adalah termasuk dalam perkara-perkara penting, yang disebutkan sebagai lima keperluan hidup manusia atau "al-Dhoruriyat al-Khamsah" yang mesti dipelihara dan dimajukan oleh sebuah kerajaan yang dibimbing dan ditadbir oleh syari’at Islam.

PAS menekankan kepentingan menentukan "Keutamaan/Awlawiyat" dalam kerangkamenentukan perbelanjaan, samada Perbelanjaan Mengurus dan Membangun serta persoalan sektor utama dan kritikal yang hendak dibangunkan. Acapkali negara diaibkan dengan ketidakcukupan pemakanan seperti beras, sementara negara kita ini dilimpahi dengan tanah pertanian.

Tidak salah ingin menjadi negara industri maju, tetapi semua negara maju mempunyai ‘Kedaulatan dan Keselamatan Pemakan’ seperti UK, Jepun, Amerika dan Eropah. Songsang dan bersimpang siur pemikiran pemimpin negara dalam hal pacuan pembangunan negara, sehingga negara hilang daya saing dalam segala hal dan juga tidak punya daya tahan mendepani pelbagai krisis termasuk pemakanan. Laksana ”yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”.

PAS kembali mengingatkan dirinya bahawa penyelesaian masalah ekonomi manusia bermula dengan memperbetulkan akidah, fikrah dan akhlak , serta iltizam pemimpin kepada tuntutan amanah Allah SWT bagi mentadbir dan memakmurkan bumi dalam rangka tuntutan khilafah dan amanah.

PAS mahukan gagasan Sistem Liberal-Kapitalis lapuk yang telah memansuhkan emas sebagai sandaran utama mata wang ditinggalkan. PAS ingin mengesyorkan supaya pemimpin dunia kembali kepada Dinar Emas, bagi meletakkan struktur kewangan global berpaksikan emas dan perak untuk menangani ketidaktentuan nilai mata wang dan mengelakkan inflasi akibat perbuatan mencetak wang kertas.

PAS juga mahukan konsep Pertumbuhan Hijau terus diperkasakan. Falsafah Petumbuhan Hijau amat selari dan sejajar dengan tuntutan tasawwur Islam yang menekankan pembangunan dan pertumbuhan mestilah mengambil kira impak kemusnahan kepada alam sekitar dan sumber-sumber serta aset negara yang tidak mampu diganti.


Presiden Rumuskan Enam Strategi Untuk Tindakan PAS

Presiden PAS membuat kesimpulan ucapan dasar Muktamar Tahunan Ke-55 pagi ini dengan menggariskan enam strategi, antara lain mahu menampilkan satu imej dan citra sebagai parti Islam yang sentiasa bersedia untuk berdepan dengan apa jua cabaran semasa dan mendatang.

Sehubungan itu, Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS perlu menampilkan satu pendekatan imej yang bersifat 'usuliy' dari segi prinsip-prinsip perjuangan, 'mu’asirah' dari segi kepimpinan dan organisasi-jentera, 'istiqbaliy' dari segi persiapan dan kesediaan untuk menggempur senario perjuangan masa depan.

Selain itu, Ustaz Hadi yang menerajui PAS sejak 2002 berkata, beliau mahu semua peringkat ahli parti memperkukuhkan ukhuwwah, mahabbah dan persaudaraan dalam saf jemaah khususnya di peringkat kepimpinan serta aktivis parti sehingga ke seluruh akar umbi. "Arahan ini juga termasuk memperkukuhkan Kelab Penyokong PAS sehingga kebersamaan mereka dalam perjuangan PAS dapat terus diperkasakan," katanya.

"Sebagai intipati tindakan bagi para pendokong dan pimpinan PAS, maka izinkan untuk saya simpulkannya dan membuat seruan seperti berikut :

a) Saya menyeru kepada semua peringkat ahli parti untuk memperkukuhkan ukhuwwah, mahabbah dan persaudaraan dalam saf jamaah khususnya di peringkat kepimpinan serta aktivis parti sehingga ke seluruh akar-umbi supaya benar-benar menjadi –

Seperti yang dituntut Allah SWT dalam Surah As-Sofff ayat 4, terutamanya Majlis Syura Ulamak, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dewan-dewan, Badan Perhubungan PAS Negeri-negeri, Kawasan-kawasan dan Cawangan-cawangan. Arahan ini juga termasuk memperkukuhkan Kelab Penyokong PAS sehingga kebersamaan mereka dalam perjuangan PAS dapat terus diperkasakan.

b) Marilah kita mengurus kemenangan dan kelemahan kita dengan Islam, supaya Islam
yang kita perjuangkan itu mampu dilihat sebagai pemandu dalam segala bentuk amalan kita. Kita ingin memimpin perubahan dalam negara kita dengan Islam.

Semua petugas parti perlulah mencari formula dan ruang yang ada untuk menonjolkan kepimpinan Islam dalam segenap segi kehidupan dengan cara yang penuh hikmah dalam menangani harapan rakyat dari pelbagai kaum, agama dan budaya serta terus kekal dengan iltizam disiplin yang tinggi supaya tidak goyah oleh perancangan jahat musuh.

c) Marilah kita melaksanakan mesej dakwah secara muwajahah silmiyyah, dengan kita sedia berdialog, bermuzakarah dan berdebat dengan sesiapa sahaja demi merealisasikan tema Islam Memimpin Perubahan.

d) Marilah kita terus menerus memperkasakan parti dan mempersiapkan kepimpinan PAS, bagi menangani cabaran persaingan yang semakin sengit dari segi tuntutan intelektual dan mendepani permasalahan negara dalam konteks global. Para pimpinan ulamak PAS juga perlu berani berijtihad bagi menangani polemik-polemik baru dalam urusan perundangan dan kancah politik yang serba mencabar ini.

e) Marilah kita menampilkan satu imej dan citra PAS sebagai parti Islam yang sentiasa bersedia untuk berdepan dengan apa jua cabaran semasa dan mendatang dengan menampilkan satu pendekatan imej yang bersifat "Usuliy" dari segi prinsip-prinsip perjuangan, "Mu’asirah" dari segi kepimpinan dan organisasi-jentera, "Istiqbaliy" dari segi persiapan dan kesediaan untuk menggempur senario perjuangan masa depan.

f) Marilah kita mengeratkan persefahaman dan keserasian setiakawan dan kelancaran bekerja di semua peringkat dalam Pakatan Rakyat, sehingga benar-benar dapat menyerlahkan kredibiliti dan perpaduan Pakatan Rakyat khususnya di semua negeri negeri yang kita tadbir bagi bersiap sedia untuk menempah kejayaan yang lebih besar dalam PRU ke-13.


Ustadz Hadi Puji Langkah Erdogan dan Ahmedinejad Protes Kuasa Besar

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang memuji sikap dan tindakan protes yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri Turki, Rejab Tayyeb Erdogan dan Presiden Iran, Mahmood Ahmadinejad terhadap tindakan kuasa-kuasa besar yang menindas umat Islam.

"Keadaan ini semakin menekan dengan tindakan badan-badan antarabangsa seperti Kesatuan Eropah (EU), dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang kesemuanya membisu seribu bahasa, dan tidak malu menggunakan kuasa veto untuk melindungi jenayah perang yang dilakukan oleh tentera Zionis ini," ujar Ustaz Hadi ketika menyampai ucapan dasar di Muktamar kali 55 di hadapan perwakilan dan pemerhati di Stadium Malawati, Shah Alam.

"Islam mengharamkan penganutnya tunduk kepada tindakan yang tidak bermaruah ini. Sehubungan dengan itu, kita mengalu-ngalukan tindakan protes yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri Turki Rejab Tayyeb Erdogan di Persidangan Davos dan Presiden Iran Mahmood Ahmadinejad di Geneva," tambahnya

"Umat Islam seharusnya merasa malu dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh negara-negara di Amerika Latin yang bersimpati terhadap umat Isla," tegas beliau.

Antara peranan yang telah diambil oleh PAS dan Pakatan Rakyat ialah mendesak sidang khas parlimen bagi membela Palestin. Bukan itu sahaja, malah keputusan Pas yang disepakati dengan komponen pimpinan Pakatan Rakyat yang lain mendesak supaya Zionis diheret ke mahkamah antarabangsa.

"Orang ramai semakin sedar akan isu ini, bahkan sumbangan semakin banyak diterima, desakan bertubi-tubi Pas dan Pakatan Rakyat ternyata mampu mencetuskan kesedaran kepada rakyat," ujarnya.

Sehubungan dengan itu, PAS turut yang telah lama dan konsisten melahirkan sokongan padu kepada Hamas menjamin isu Palestin akan kekal menjadi isu dan agenda terpenting di peringkat antarabangsa.



Kelab Penyokong PAS Diperkasakan Bakal Gugat UMNO BN

Akhirnya, PAS mengambil satu langkah bersejarah dimana Kelab Penyokong PAS bakal diperkasakan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tatkala menyampaikan ucapan dasarnya menyatakan "kewujudan kelab ini diinstitusikan menerusi pindaan perlembagaan
PAS yang bakal dilaksanakan untuk memasukkan peruntukan kewujudan kelab dan statusnya dalam organisasi parti, keahlian dan peranannya dalam parti PAS."

Ustaz Hadi sebelumnya menyatakan bahawa PAS amat menghargai sokongan masyarakat bukan-Islam terhadap perjuangan PAS dan bersesuaian dengan perkembangan yang berlaku dan tahap kefahaman ahli PAS yang semakin bertambah, dan sebagai satu proses memperkasakan Kelab Penyokong PAS, maka program orientasi khusus dan umum kepada ahli kelab mestilah dilaksanakan untuk memberi kefahaman yang jelas mengenai perjuangan PAS.

Ustaz Hadi tidak melupakan jasa-jasa pemimpin PAS yang terdahulu seperti Almarhum Ust Fadzil Mohd Noor yang telah menggerakkan pakatan CCC, di mana PAS mulai berjinak-jinak dengan kaum bukan Islam.

"Sepanjang tempoh puluhan tahun kewujudan PAS ini, kita telah berjaya untuk memecahkan tembok masyarakat bukan Islam yang dahulunya merasa janggal dengan PAS. Alhamdulillah, semuanya mampu kita capai dengan usaha yang bersungguh-sungguh yang telah dirintis oleh para pimpinan PAS yang terdahulu, dimulai dengan penubuhan Majlis Perundingan Cina (CCC) yang sama-sama kita ketahui itu sehinggalah kepada kewujudan Kelab Penyokong PAS pada masa sekarang," katanya.

"Hasilnya PAS mampu untuk lebih memahami keperluan dan suasana yang dihadapi oleh masyarakat pelbagai kaum dan agama yang wujud di Malaysia ini. Kita memahami keperluan beragama, politik, ekonomi dan pendidikan untuk masyarakat pelbagai agama dan kaum di negara ini. Berasaskan kepada hakikat ini, kita juga telah menunjukkan sikap adil kepada mereka di negeri-negeri yang pernah diperintah oleh PAS di waktu lalu, dan pemerintahan bersama Pakatan Rakyat pada masa kini." tambahnya.



Ratusan Slogan UMNO / BN Gagal Dalam Amalan Politik Kuno Mereka

UMNO / BN sentiasa meniupkan slogan seperti Bersih Cekap, Amanah, Kepimpinan Melalui Tauladan, Cemerlang Gemilang dan Terbilang dan terkini meniupkan 1Malaysia, namun kesemuanya hanya retorik, bersifat kosmetik dan akhirnya tidak membuahkan apa-apa yang boleh menyumbang kepada perpaduan masyarakat dan pembangungan roh dan jasad bagi negara kita. Demikian dinyatakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abd Hadi Awang semasa menyampaikan Ucapan Dasar pada Perasmian Muktamar Tahunan PAS Kali ke-55 di Stadium Malawati, di sini hari ini.

"Kerajaan yang ada sekarang ini boleh saja melaungkan ratusan slogan tetapi ianya akan terus hanyut kerana sistem pemerintahan yang masih sama kerana UMO/BN terperangkap dalam sistem amalan politik kuno yang bertunjangkan perkauman bermatlamatkan kebendaan dan penerusan kuasa dalam apa jua keadaan," katanya.

Slogan 1Malaysia tidak mungkin berjaya kerana di dalam dalaman UMNO dan BN sendiri bercelaru dan tidak bersatu.

Presidan PAS berkata hal tersebut diperburukkan lagi dengan ketiadaan konsep pemisahan kuasa dianatar eksekutif, legislatif dan kehakiman dan sistem politik yang dicelarukan oleh keegoan politik, pencerobohan dan kerakusan kuasa, mencampuri urusan kehakiman dan pentadbiran.

"Perpaduan masyarakat pula tidak akan mampu dicapai dengan pemberian hak ekonomi dan politik semata-mata. Perjalanan menuju kepada sebuah negara bagi Malaysia tidak akan ke mana-mana sekiranya demokrasi negara kita tidak matang hasil dari peranan UMNO/BN yang telah memundurkan demokrasi dan rakyat terus menerus dijadikan bahan peras-ugut oleh mereka. Istilah demokrasi hanya digunakan untuk mengekalkan kuasa politik mereka," tegas Ustadz Hadi lagi.

Kehebatan dunia pendidikan Islam pula telah dilemahkan oleh dasar pendidikan tajaan UMNO, maka lahirlah pemimpin yang tidak bermoral, yang berkuasa melalui rasuah dan penipuan, rakyatnya pula dibanjiri gejala sosial, keruntuhan akhlak dan jenayah yang makin merebak, miskin jiwa dan harta, dan akhirnya menjadi pengundi yang boleh ditipu dan dibeli dengan harga yang murah.

Menurut Ustadz Hadi, PAS percaya bahawa keadilan sejagat Islam yang sememangnya bersesuaian dengan fitrah manusia boleh menjadi tiang seri yang mampu untuk menyatukan hati manusia sepertimana firmanullah

Wahai manusia bertaqwalah kepada tuhanmu yang telah menciptakan kamu daripada yang satu dan Ia telah menciptakan darinya (daripada yang satu itu) isterinya. Dan Ia kembang biakkan daripada keduanya lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu saling meminta dengan (nama)Nya dan (peliharalah)hubungan kekeluargaan (silaturrahim). Sesungguhnya Allah sentiasa menjaga dan mengawasi kamu. (An Nisaa’1).

Ini dinyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud,

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya kami telah menjadikan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenalan (dan beramah mesra antara satu dengan lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, bukan yang lebih keturunan atau bangsanya. Sesungguhnya Allah maha mengetahui, lagi maha mendalam pengetahuan-Nya akan keadaan dan amalan kamu”. – (surah al-Hujarat:13)

Ustadz Hadi menegaskan perubahan yang direncanakan ini adalah bukan akibat daripada tekanan rakyat, atau tekanan golongan bangsawan atau tekanan masyarakat dunia, dan bukannya akibat desakan sesiapa, tetapi perubahan yang hakiki untuk kesejahteraan hidup manusia di atas muka bumi ini.

"Perubahan yang hakiki inilah yang seharusnya kita laksanakan dalam negeri yang diperintah secara bersama oleh PAS dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat. Bertitik tolak dari perubahan hakiki inilah, maka rakyat akan melihat keupayaan dan keadilan hakiki yang kita perjuangkan ini. Matlamat kita mestilah jelas, iaitu kita merencana ke arah kebaikan kerana ianya adalah suatu tuntutan fitrah dan serasi dengan fitrah manusia dan tanggungjawab bersama, dan bukannya kerana desakan sesiapa," katanya

Dalam kita memahami perubahan yang dipimpin oleh Islam ini, maka kita perlu menyedari bahawa Islam adalah sebuah ad-din yang lengkap dan syumul. Ianya tidak sama sekali bersifat kaku, jumud dan eksklusif sebagaimana yang dikritik oleh para orientalis Barat yang buruk sangka terhadap Islam.

"Dalam mempastikan perubahan yang berlaku dalam masyarakat hanya bergerak ke arah jalan yang baik, ke arah yang diredhai oleh Allah dan RasulNya, maka ianya mesti dipimpin oleh mereka yang beriman dan budiman, menjadikan Al Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan asas," tegasnya. -Greenboc


Usul Dewan Ulamak Untuk Bolot 3 Jawatan Utama PAS Ditolak

UUsul untuk membahaskan resolusi Dewan Ulama Pas supaya jawatan tertinggi parti itu dikhususkan untuk ulama sahaja telah ditolak.

Semalam, Muktamar Dewan Ulama Pas sepakat mencapai resolusi supaya jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan satu dari tiga jawatan Naib Presiden di khususkan untuk ulama sahaja.

Usul Dewan Ulama Terengganu itu dibuat atas dasar ulama telah mempelopori penubuhan PAS dan menerajui kepemimpinan ulama sejak 27 tahun lalu - apabila era Datuk Asri Muda yang dianggap nasionalis ditumbangkan pada 1982.

"Ini bukan bermaksud hendak mengetepikan sumbangan yang diberikan oleh kepimpinan besar dalam jemaah yang bukan ulama, seperti aktivis.

"Tetapi jawatan presiden dan timbalan hanya satu sahaja. Dan satu daripada tiga tempat untuk naib. Perkara ini perlu dipertegaskan balik," kata pembentang usul Nik Masri Nik Malik.

Dalam sesi perbahasan ucapan dasar ketua dewan Datuk Mohamad Daud, perwakilan negeri itu membuat gesaan yang serupa dengan alasan dua jawatan teratas menganggotai badan berpengaruh besar dalam penggubalan dasar parti itu, Majlis Syura.

Saiful Bahari Mamat berkata, perkara itu mesti dipertegaskan kembali kerana ia digariskan dalam perlembagaan parti.

Sementara itu semalam ketua baru Dewan Ulama, Datuk Harun Taib ketika ditemui selepas muktamar berkata, usul tersebut bukanlah satu keutamaan kepadanya, sebaliknya ingin meraih sokongan lebih besar buat PAS daripada pelbagai pihak.

"Saya tidak tumpu kepada usul itu, tetapi kerja yang lebih besar daripada itu bagi saya, (kita hendaklah) membesarkan lagi (sokongan kepada) PAS supaya mendapat sokongan masyarakat pada masa akan datang," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Perbahasan Muktamar Pas Mahfuz Omar, hari ini berkata usul dari Dewan Ulama itu tidak dapat dibahaskan dalam Muktamar Pas ke-55 hari ini kerana ia tidak memenuhi kritera perbahasan.

Beliau menjelaskan usul yang menuntut kepada pindaan perlembagaan parti tidak boleh dibahaskan dalam muktamar. Usul sedemikian rupa perlu di bincangkan dahulu di peringkat Jawatankuasa Pusat Pas.



UMNO Juga Ikuti Perkembangan Muktamar PAS

Muktamar PAS Pusat kali ke 55 bermula hari ini. Setakat kelmarin Dewan-dewan Ulama', Pemuda dan Muslimat telah menyempurnakan muktamar tahunan masing-masing. Banyak perkara dah dibincang dan diputuskan. Ada perkara yang biasa saja dan ada yang panas. Memang begitulah lumrah bermuktamar sejak 54 kali sebelum ini.

Seluruh dunia sedang memerhatikan muktamar kali ini khususnya sidang utama yang bermula hari ini. Seluruh rakyat Malaysia rentas kaum silang agama juga prihatin dan penuh minat. Ahli dan penyokong parti-parti gabungan Pakatan Rakyat lebih hebat ambil berat. Ahli dan penyokong PAS teruja dalam cemas. Para perwakilan berdebar-debar untuk menunaikan tanggungjawab berbahas dan mengundi. Semua orang ternanti-nanti keputusan pemilihan saf kepimpinan parti yang akan diketahui besok.

UMNO juga tidak ketinggalan. Media arus perdana sibuk mengulas dan menganalisis pertandingan jawatan tertinggi PAS kali ini khususnya jawatan Timbalan Presiden. Tergambar ada pertembungan besar dalam PAS hari ini. Ada kem ulama' dan ada kem profesional, atau ulama' lawan erdogan. Akhbar online dan blog politik riuh rendah dengan kempen mengempen dan bongkar membongkar. Seolah-olah kelompok pemimpin PAS sedang bergaduh besar merebut kedudukan.

Semua orang atau semua pihak berhujah, mengkritik, memberi pandangan malah mencadangkan supaya undi orang itu atau ini. Sama ada disedari atau tidak, semua orang yang berhujah dalam isu kepimpinan PAS ini sedang memberitahu; "Aku tahu perkara sebenar, aku tahu apa yang telah dilakukan oleh orang ini dan orang itu, aku tahu apa yang sepatutnya dilakukan oleh orang ini dan orang itu, aku tahu siapa yang sepatutnya diundi oleh perwakilan dan hujah akulah yang betul. Mana-mana hujah yang berlawanan dengan hujah aku adalah tidak betul belaka."

Antara hujah-hujah yang popular (kategori 1) ialah:

- PAS mestilah dipimpin oleh golongan ulama'.

- Kepimpinan PAS mestilah gandingan antara ulama' dan profesional.

- Kepimpinan PAS pasca PRU12 mestilah berimej rentas kaum dan silang agama.

- Kepimpinan PAS mestilah berimej aktivis yang 'merakyat'dan tahan uji.

- Ulama' perlu diprofesionalkan manakala profesional perlu diulama'kan.

- Pemimpin PAS mestilah dipilih dari kalangan yang pro Pakatan Rakyat.

Antara hujah-hujah popular (kategori 2) ialah:

- Pemimpin pro-muqabalah (dengan UMNO) perlu disingkirkan.

- Kepimpinan PAS perlu dianggotai oleh lebih ramai golongan profesional.

- Bukan ulama' tidak layak menduduki jawatan tertinggi PAS.

- Ulama' atau bukan ulama' sama saja. Yang penting ialah kualiti kepimpinan.

Antara hujah-hujah popular (kategori 3 - panas!) ialah:

- Ustaz Nasharudin Mat Isa pro kerjasama PAS-UMNO.

- Ustaz Nasharudin Mat Isa menipu ketika isu pertemuan dengan pemimpin UMNO.

- TG Hadi Awang bertentangan pendapat dengan TG Nik Abdul Aziz.

- Dato' Husam Musa cemar lumrah pertandingan dalam PAS kerana berkempen berlebihan.

- TG Nik Aziz sokong kumpulan Erdogan.

Antara hujah-hujah popular (kategori 4 - terbakar!) ialah:

- TG Hadi Awang juga pro kerjasama dengan UMNO.

- TG Hadi Awang patut berundur kerana lemah daya fikir dalam hal strategi.

- Ustaz Nasharudin hidup mewah ala UMNO.

- Dato' Husam sombong, ada skandal, membayar blogger upahan dan gelojoh jawatan.

- UMNO sokong Ustaz Nasharudin.

Sebahagian pengulas malah melabelkan pemimpin-pemimpin PAS dengan perkataan yang amat buruk dan lucah termasuk babi, dungu, bengap, bahalol, lembab dan mati pucuk.

Dari satu sudut, ruang mengulas dan mengkritik yang terbuka luas di era teknologi ICT ini amat mendewasakan pentas politik tanahair. Parti dan pemimpin politik terdedah kepada pemantauan dan kritikan semua pihak. Hampir tiada lagi maklumat yang boleh dirahsiakan. Kesilapan pasti mengundang padah.

Forum maya sejuta panel 24 jam sehari sepanjang masa mungkin membuka ruang kepada perwakilan memperincikan sebab terbaik sebelum menentukan nama yang akan diundi.

Dari satu sudut yang lain keghairahan mengulas dan berhujah ini mungkin juga membuka peluang kepada UMNO untuk mengenalpasti kelemahan Pakatan Rakyat secara terperinci. Memang kita tidak mahu mendiamkan kesalahan atau kelemahan yang berlaku dalam parti-parti (PR) kita. Kita tegas dengan prinsip ketelusan dan pertanggungjawaban. Kita serius dengan prinsip keterbukaan. Kita bukan yes man membabi buta kepada pemimpin-pemimpin parti kita. Namun kita ada musuh yang sentiasa menunggu peluang. Profesionalisme tempur politik dan pemikiran strategik menuntut pertimbangan untung-rugi dan penilaian kesesuaian senjata-medan.

Ketidakpuasan hati antara seorang dengan seorang yang lain adalah 'nature'. Apatah lagi dalam perkara yang besar seperti urusan kepimpinan rakyat. Perbezaan pendapat dan sudut pandangan juga adalah fitrah manusia. Bahkan dalam kehidupan haiwan yang satu spesis pun ada perbalahan dan pertikaian. Dalam satu perkara yang khusus, sejarah kemanusiaan membuktikan betapa persepsi, penilaian, pertimbangan dan pendirian manusia sentiasa tidak satu.

Oleh kerana itulah Islam mensyariatkan 'syura' sebagai platform pengurusan masyarakat, sebagai medan menemukan perbezaan dan merumuskan persepakatan. Satu keputusan syura bukanlah hasil persepsi dan pendirian asal yang sama di kalangan semua yang terlibat dalam proses itu. Ia cuma rumusan bagi pandangan dan penilaian yang berbeza.

Begitulah juga prinsip demokrasi. Walaupun syura dan demokrasi tidak sama namun dalam hal menguruskan perbezaan kedua-duanya mempunyai kehampiran. Semua orang atau semua pihak berhak mengemukakan pandangan dan penilaian masing-masing. Perbezaan diperinci dan dibincangkan untuk mencari titik persamaan atau mencari yang lebih baik. Akhirnya diputuskan satu kata sepakat. Keputusan itu berkuatkuasa.

Sama ada dalam sistem syura atau sistem demokrasi, pengurusan perbezaan sudut pandangan itu ada prosedur dan disiplinnya. Proses itu melibatkan seni komunikasi. Kualiti natijahnya sangat bergantung kepada komunikasi yang 'smart'.

Adakah kita berasa damai dan gembira jika anak-anak kita menguruskan perbezaan pandangan 'sesama mereka' dengan penggunaan perkataan babi, bodoh, dungu dan lembab? Apakah kita bahagia jika seorang anak kita menguruskan hujahnya dengan menelanjangkan kesilapan abang, kakak atau adiknya di depan khalayak ramai?

Barangkali perbandingan ini tidak tepat seratus peratus dengan dunia politik dan pengurusan masyarakat. Keluarga hanya sebuah unit masyarakat yang sangat kecil sedangkan kita membincangkan urusan masyarakat umum dan kepentingan yang jauh lebih besar. Namun begitu dalam banyak hal, kes kecil mampu menjadi asas kepada pemikiran berkaitan kes besar.

Penulis menyokong Dato' Husam Musa untuk jawatan Timbalan Presiden. Secara resmi, PAS Kawasan penulis juga mencalonkan Dato' Husam untuk jawatan itu dalam Mesyuarat Agong PAS Kawasan, April lalu. Tetapi penulis tidak sanggup menghentam Ustaz Nasharudin dengan bentuk hentaman yang penuh penghinaan. Sementelah terasa takut dengan butiran Fiqh Ad-Da'wa Wa Al-Baiyinat tentang urusan tuduhan dan pembuktian yang disyariatkan.

WaLlahu A'lam. Ini sekadar persepsi dan pandangan peribadi penulis. Tak mungkin penulis sentiasa 'betul' dalam semua perkara. -cyberboron

Projek UMNO BN : Selepas Stadium, Kompleks Renang Bakal Runtuh

KKebimbangan kerajaan negeri terhadap tahap keselamatan projek mega yang baru siap di negeri ini berasas apabila Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terenggannu (MBKT) di Batu Burok di sini telah menunjukkan tanda-tanda bermasalah.

Air dari kolam renang di pusat itu dikesan meresap masuk ke lorong yang memisahkan kolam renang dengan 13 buah kedai di sisi pusat itu menyebabkan air bertakung lalu memasuki premis perniagaan itu.

Masalah itu didedahkan oleh para peniaga kedai berkenaan yang melahirkan kebimbangan keadaan akan bertambah buruk jika ia tidak ditangani dengan segera.

Seorang peniaga, Siti Hajar Nadia Abdullah, 23, berkata, air mula meresap masuk ke dalam kedainya sejak sebulan lalu.

"Masalah ini tidak berlaku bila saya mula berniaga di kedai ini pada April lalu.

"Bagaimanapun, sejak bulan lalu, saya dapat lihat air dari kolam renang meresap masuk ke kedai menyebabkan air bertakung di lantai," katanya.

Gadis yang berniaga di kedai nombor empat itu berkata, semua pekedai bimbang berlaku kejadian yang tidak diingini ketika mereka sedang berniaga.

"Tambahan pula apabila berlaku runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin kelmarin, kami lagi bimbang tahap keselamatan di pusat ini," ujarnya.

Suasana Dalam Pusat Akuatik

Seorang lagi peniaga, Abdul Rashid Abdul Wahab, 44, berkata, air meresapi dinding hingga memasuki lorong yang memisahkan kedai dan kolam renang.

Dia bimbang jika masalah itu dibiarkan, keretakan akan berlaku dan membahayakan nyawa peniaga.

Beliau meminta kerajaan negeri segera mengambil tindakan sekurang-kurangnya terhadap masalah air meresap ini supaya melegakan peniaga.

"Kita telah memaklumkan masalah ini kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan berharap tindakan segera diambil untuk atasi masalah ini.

"Kami bimbang jika berlaku kejadian tidak diingini di pusat ini seperti yang berlaku di stadium kelmarin," ujarnya.