|
Yang Dipertuan Agong telah berkenan untuk menerima petisyen yang ditandatangani oleh 5,036 orang yang mminta Dulia Yang Maha Mulia campurtangan untuk menubuhkan Suruhanjaya DiRaja menyiasat pita video Lingam.
Petisyen tersebut telah diusahakan oleh seorang peguam terkenal, Haris Ibrahim melalui blognya dan sejak petisyen itu disiarkan pada 25 Sept lalu sambutan dari masyarakat mencurah-curah tiba sehingga tandatangan yang diperolehi melebihi sasaran 5,000 orang.
Petisyen tersebut telah diterima oleh pegawai-pegawai pihak Istana yag mewakili Yang Di Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin pada pukul 10.45 pagi semalam.
Berikut ialah kandungan petisyen berkenaan
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Mengasihani,
Menghadap ke majlis Seri Paduka Baginda,
Alwathiqubillah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Almuktafi Billah Shah, yang bersemayam di atas takhta Kerajaan Malaysia dengan penuh daulat dan kebesarannya serta didoakan senantiasa baginda berada dalam perlindungan Allah yang Mahakuasa dengan dianugerahkan bertambah-tambah lagi kemuliaan serta darjat jua adanya: Amiin Ya Rabbuljaliil.
Ampun Tuanku,
Patik merafak sembah memohon limpah perkenan Tuanku semoga mempersudikan menerima dan menimbangkan warkah rayuan yakni petition yang tak sepertinya ini yang dipersembahkan bagi pihak rakyat Tuanku yang peka terhadap kejadian dan keadaan masyarakat yang kian meruncing dan membimbangkan. Patik sekalian mengharapkan perkenan pertimbangan Tuanku yang penuh ihsan dan bijaksana jua demi memelihara dan mengekalkan kesejahteraan , kebajikan dan kebahagiaan rakyat yang taat setia kepada Tuanku.
Ampun Tuanku,
Berikut adalah tajuk dan rayuan yang amat tulus bagi perkenan tatapan Tuanku:
RAYUAN RAKYAT SERI PADUKA BAGINDA TUANKU UNTUK MENGAMBIL LANGKAH MEMULIHKAN SISTEM KEHAKIMAN
Pada 19/9/2007 negara dikejutkan oleh satu lagi skandal, kali ini berupa satu klip video yang mendedahkan apa yang nampaknya seperti satu perbualan telefon di antara peguam kanan VK Lingam dan seorang lagi, yang dikatakan mengatur pelantikan hakim-hakim kanan yang ‘mesra’.
Penelitian terhadap monolog tersebut jelas menunjukkan bahawa perbualan telefon tersebut ternyata adalah di antara VK Lingam dan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan perbualan itu berkaitan perlantikan dan kenaikan pangkat para hakim. Beberapa hakim yang lain turut dinamakan dalam perbualan tersebut.
Sejurus selepas klip video tersebut didedahkan, Tun Ahmad Fairuz mengatakan bahawa dia hanya akan membuat kenyataan setelah melihat klip tersebut, tetapi respon yang diterima selepas itu berbentuk kenyataan ‘no comment’ dan itu pun setelah satu jangkawaktu yang lama melalui pihak ketiga yang sebenarnya tidak menafikan perbualan tersebut. Ini menimbulkan satu perasaan di kalangan rakyat bahawa Tun Ahmad Fairuz tidak menjawab persoalan ini dengan tulus ikhlas.
Skandal ini kini menimbulkan kesangsian yang mendalam terhadap kesesuaian Tun Ahmad Fairuz untuk mengetuai badan kehakiman, dan kesesuaian pelantikan serta kenaikan pangkat beberapa Hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan and Mahkamah Persekutuan yang telah dibuat berdasarkan cadangan dan syor asal daripada Tun Ahmad Fairuz.
Patik serta rakyat negara ini, kini langsung tidak mempunyai sebarang keyakinan terhadap badan kehakiman.
Patik sekalian berserta ramai jua rakyat negara ini telah lama sedar bahawa sepanjang Tun Ahmad Fairuz memegang jawatannya, beberapa orang Hakim yang berpangkat lebih rendah telah dinaikkan pangkat sementara beberapa orang Hakim yang lebih kanan sering diketepikan dalam proses kenaikan pangkat.
Patik serta rakyat negara ini juga mendapat tahu, melalui berita blog tidak rasmi, bahawa Duli-duli Yang Maha Mulia dalam Persidangan Majlis Raja-raja telah pun menolak dua pencalonan yang dibuat oleh Tun Fairuz bagi jawatan Presiden Mahkamah Rayuan dan Ketua Hakim Malaya walaupun jawatan-jawatan tersebut telah lama kosong. Khabar angin mengatakan bahawa nama-nama yang dicalonkan Tun Fairuz itu berpangkat rendah berbanding dengan Hakim-hakim lain yang telah lama berkhidmat.
Patik serta rakyat negara ini, juga mendapat tahu melalui laporan akhbar bahawa terdapat sekurang-kurangnya seorang Hakim, yang telah dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, yang telah gagal menyediakan keputusan mahkamah secara bertulis bagi sekurang-kurangnya 35 kes. Ini mengakibatkan banyak kes-kes rayuan yang difailkan oleh tahanan dan banduan yang telah disabitkan kesalahan dan dipenjarakan tidak dapat diadili atau diulangbicara seterusnya.
Skandal terbaru ini juga menimbulkan keprihatinan yang serius terhadap penukaran yang telah dibuat secara mendadak terhadap Hakim yang mendengar perbicaraan satu kes bunuh yang masih berjalan di Shah Alam.
Patik serta sebahagian rakyat negara ini, juga amat bimbang terhadap keputusan Mahkamah berkenaan beberapa kes berprofil tinggi dan samada keputusan-keputusan ini telah ‘diatur’ oleh Tun Ahmad Fairuz, dan jika benar ianya telah berlaku, apakah implikasinya terhadap Hakim-hakim lain di Mahkamah-mahkamah Tinggi khasnya.
Tindak-balas Perdana Menteri, beberapa ahli Kabinet yang lain serta Peguam Negara terhadap isu klip video ini langsung tidak memberikan patik sekalian sebagai rakyat Malaysia, keyakinan bahawa skandal ini akan disiasat dengan adil dan telus sehinggakan mungkin kita tidak akan tahu apa yang sebenarnya berlaku.
Patik sekalian jua tidak percaya bahawa Perdana Menteri dan Kabinetnya benar-benar berpegang kepada usaha untuk menyiasat skandal ini, dan andainya dibuktikan sahih, samada mereka akan mengambil segala langkah yang patut dan perlu untuk mengembalikan badan kehakiman kepada statusnya sebagai institusi perlembagaan yang didirikan untuk mempertahankan secara bebas Perlembagaan, hak rakyat dan juga menegakkan sistem undang-undang.
Timbalan Perdana Menteri kita telah mengumumkan pada 26/9/2007 bahawa satu Panel yang terdiri dari 3 orang akan menyiasat skandal ini, yang mana ketua Panel tersebut terlibat dalam pemecatan Tun Salleh Abas pada tahun 1988. Ini hanya mengukuhkan pendapat patik sekalian bahawa Kerajaan Malaysia ingin memastikan bahawa hal sebenar berkenaan skandal ini langsung tidak akan diketahui.
Patik-patik sebagai rakyat Malaysia, amat bimbang sekiranya penyiasatan skandal ini dibiarkan disiasat oleh pentadbiran Perdana Menteri, pihak Polis atau pun Badan Pencegah Rasuah, maka rakyat kelak akan hanya menyaksikan satu lagi penutupan kes di mana rakyat tidak akan ada jalan untuk menuntut keadilan dan akan sentiasa curiga samaada badan kehakiman akan melindungi rakyat atau pun kepentingan beberapa pihak tertentu sahaja.
Skandal terbaharu ini menimbulkan kebimbangan samaada penyelewengan yang selama ini begitu berleluasa pada peringkat pentadbiran negara ini kini telah menyusur masuk ke dalam bidang kehakiman.
Atas sebab-sebab yang diperihalkan di paragraph-paragraf sebelum ini, patik bagi pihak sejumlah dari rakyat Malaysia, menyembahkan rayuan ini ke majlis Seri Paduka Baginda Tuanku agar Tuanku berkenan apalah kiranya menggunakan segala kuasa yang terletak hak pada Tuanku untuk:
1. Menitahkan pembentukan sebuah Suruhanjaya Penyiasat di bawah Akta Suruhanjaya Penyiasat (Commission of Enquiry Act) 1950, untuk menyiasat, mempertimbangkan dan/atau menentukan samaada perbualan di dalam klip video tersebut benar-benar berlaku di antara VK Lingam dan Tun Ahmad Fairuz dan kesahihan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh VK Lingam di dalam klip video tersebut. Sekiranya terbukti benar berlaku, Suruhanjaya tersebut diberikan mandat tambahan untuk menyiasat, mempertimbangkan dan/atau menentukan:
1.1. penglibatan setiap individu yang dinamakan di dalam klip video tersebut berkenaan perlantikan dan kenaikan pangkat para Hakim;
1.2 kes-kes yang melibatkan VK Lingam yang telah dibicarakan di hadapan Tun Ahmad Fairuz dan/atau mana- mana Hakim lain yang dinamakan di dalam klip video tersebut;
1.3 segala tindakan yang dilaksanakan oleh Tun Ahmad Fairuz sepanjang jawatannya sebagai Ketua Hakim Malaya, Presiden Mahkamah Rayuan dan Ketua Hakim Negara, khususnya
1.3.1 dasar perlantikan dan/atau kenaikan pangkat para Hakim oleh Tun Ahmad Fairuz terutamanya hakim-hakim yang dinamakan di dalam klip tersebut;
1.3.2 cara bagaimana ahli-ahli panel Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan telah dipilih oleh Tun Ahmad Fairuz sepanjang jawatannya sebagai Presiden Presiden Mahkamah Rayuan dan Ketua Hakim Negara; dan
1.3.3 cara bagaimana fail-fail diagihkan kepada panel-panel Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan oleh Tun Ahmad Fairuz sepanjang jawatannya sebagai Presiden Presiden Mahkamah Rayuan dan Ketua Hakim Negara.
2. Menitahkan agar Suruhanjaya Penyiasat, setelah menentukan samaada perbualan di dalam klip video tersebut benar-benar berlaku di antara VK Lingam dan Tun Ahmad Fairuz dan menentukan kesahihan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh VK Lingam di dalam klip video tersebut terbukti benar, untuk:
2.1 mengarahkan Perdana Menteri mengambil segala langkah-langkah yang patut dan perlu untuk melantik satu Tribunal di bawah Artikel 125 Perlembagaan Persekutuan untuk memecat Tun Ahmad Fairuz dan/atau mana-mana Hakim yang didapati Suruhanjaya sebagai terlibat, samaada secara langsung atau tidak langsung, di dalam salah laku Tun Ahmad Fairuz; dan
2.2 mengarahkan Perdana Menteri mengambil segala langkah-langkah yang patut dan perlu untuk menggantung Tun Ahmad Fairuz dan/atau mana-mana Hakim yang didapati Suruhanjaya sebagai terlibat, samaada secara langsung atau tidak langsung, di dalam salah laku Tun Ahmad Fairuz, sementara menunggu rujukan kepada dan/atau laporan Tribunal tersebut.
3. Menitahkan penubuhan segera satu Suruhanjaya bebas bagi perlantikan dan kenaikan pangkat Hakim-hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan and Mahkamah Persekutuan.
Akhirul-kalam, patik sekali lagi merafak sembah memohon berbanyak kemaafan sekiranya rayuan atawa petition yang tak sepertinya ini menyentuh kalbu Tuanku secara yang tidak menyenangkan, lantaran berlakunya ucapan atawa tulisan bahasa yang terkasar atawa sebarang adab-sopan yang tercacat. Namun yakinilah Tuanku bahawa yang demikian itu bukan disengajakan dan maksud patik hanyalah untuk merayu kepada Tuanku untuk mencampuri urusan yang diperihalkan dalam warkatul-ikhlas ini memandangkan kesemua pintu telah tertutup dan segala laluan untuk menyelesaikan masalah telah terputus.
Sekian tamatnya sembah patik.
Ampun Tuanku dan Daulat Tuanku!
Patik Yang Taat Setia,