7 Okt 2012

Guan Eng Patut Saman Utusan Sekali Lagi

Guan Eng: Utusan 'putar' kenyataan pemimpin gereja

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mendakwa Utusan Malaysia sekali lagi "memutar" fakta untuk menjejaskan nama baiknya melalui laporan berhubung ucapannya dalam satu perjumpaan bersama sekumpulan pemimpin gereja di negeri itu kelmarin.

Lim berkata, individu yang dipetik dalam laporan akhbar berkenaan hari ini menafikan menyebut seperti yang dilaporkan akhbar milik Umno itu.

"(Bekas Presiden Majlis Gereja Malaysia) Thomas Philips menelefon saya untuk menyatakan bahawa beliau tidak pernah menyebut seperti itu dan orang-orang saya juga menghubungi seorang lagi paderi, yang juga menafikan menyebut apa-apa mengenai saya atau Pulau Pinang.

"Tentu Utusan bertanya soalan umum kepada mereka tanpa menyentuh politik di gereja dan mereka menggunakannya untuk diatur seiring dengan dialog yang saya adakan dengan pemimpin gereja di Pulau Pinang.

"Ini (tindakan) yang tidak bermaruah," katanya lagi ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Katanya lagi, Utusan benar-benar ingin menyerangnya dengan memuatkan berita tersebut di muka depan dalam edisi hari ini.

Sedangkan, kedua-dua pemimpin Krisitan itu amat menyayanginya, kata Lim lagi.

Utusan: Ucapan Guan Eng 'seakan semai kebencian'.

Satu laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini mendakwa, ucapan ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam satu pertemuan bersama sekumpulan pemimpin gereja di negeri itu "seakan menyemai kebencian" di kalangan golongan tersebut.

Pengarang yang menggunakan nama pena Awang Selamat dalam pojok akhbar Utusan edisi Ahad itu memberi alasan, ucapan yang disampaikan setiausaha agung DAP itu "menekankan soal ketidakadilan".

"Guan Eng tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak yang beranggapan kenyataanya itu boleh dilihat sebagai menghasut," kata pengarang itu lagi.

Dalam pertemuan itu, Lim didakwa menggesa golongan pemimpin gereja "menyuarakan keadilan untuk semua" yang dikaitkan Utusan sebagai "slogan" Pakatan Rakyat.

"Tidak sukar untuk menafsir kata-kata Guan Eng itu yang sememangnya membawa agenda DAP. Ternyata beliau mahu gereja memainkan peranan politik," tulisan itu dipetik.

Tulisan itu juga sekali lagi menimbulkan dakwaan mengenai "pertemuan paderi Kristian yang dikatakan berakhir dengan ikrar tertentu", yang didakwa anjuran DAP pada Mei tahun lalu.

Dakwaan itu adalah berhubung laporan tajuk utama Utusan pada 7 Mei lalu berjudul 'Kristian Agama Rasmi?' - berhubung dakwaan penubuhan negara Kristian dan melantik seorang perdana menteri di kalangan penganut agama berkenaan.

"Kegemparan" itu bagaimanapun senyap selepas kerajaan setelah mengeluarkan satu surat teguran kepada Utusan, walau pelbagai pihak termasuk MCA mahu akhbar tersebut terus disiasat.

Pemimpin DAP juga tidak berpuas hati dengan tindakan berkenaan dan mahu kerajaan menggantung permit penerbitan Utusan Malaysia kerana menerbitkan berita palsu berhubung dakwaan itu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga mempertahankan bahawa "ada asas" kebenaran dalam laporan tersebut.

Seterusnya dalam satu jawapan di Parlimen pada 3 Oktober lalu menyebut, beliau berkata siasatan yang dijalankan menunjukkan "tiada bukti kukuh yang boleh menyokong keterangan untuk menyabitkan kesalahan kepada mana-mana individu" dalam kes tersebut.

Menteri dalam negeri juga menyatakan bahawa jabatan peguam negara telah memutuskan "tiada tindakan lanjut" dijalankan untuk kes berkenaan.
-mk

Ulasan GB

Tak sudah-sudah dan tak serik-serik Utusan melakukan kerja-kerja untuk membakar sentimen bangsa walhal dah pun kena saman pada penghujung tahun lalu dimana mahkamah mengarahkan Utusan membayar pampasan RM200,000 kepada Guan Eng dan RM25,000 lagi sebagai bayaran kos.

GB lampirkan semula berita penghakiman itu:

Mahkamah Tinggi Buktikan Kerajaan Pulau Pinang Adil Kepada Semua Kaum

SHAH ALAM, 15 DIS : Keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang mendapati Utusan Malaysia bersalah kerana memfitnah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng jelas menunjukkan bahawa dasar kerajaan negeri itu bertujuan membela semua rakyatnya sebaik mungkin tanpa mengira kaum atau agama.

Di dalam kenyataan bersama, Exco-exco Kerajaan Pulau Pinang berkata penghakiman ini menunjukkan secara konklusif bahawa Guan Eng dan pentadbirannya bukan anti-Melayu atau anti-Islam, seperti dakwaan palsu Utusan Malaysia yang berniat jahat.

"Kami berasa amat kesal dan kecewa melihat keadaan media massa arus perdana pada hari ini, yang dikuasai oleh parti-parti komponen Barisan Nasional dan sering dipergunakan untuk memecahkan keharmonian kaum dan agama di Malaysia," menurut kenyataan itu.

Semalam, Utusan Malaysia didapati bersalah kerana memfitnah Setiausaha Agung DAP itu di dalam artikel yang bertajuk "Kebiadaban Guan Eng" yang diterbitkan pada 20 Disember tahun lalu.

Utusan Malaysia diperintahkan membayar Lim pampasan berjumlah RM200,000 dan RM25,000 lagi sebagai bayaran kos.

Artikel tersebut menuduh Lim sebagai seorang ‘rasis' dan ‘anti-Melayu' berdasaran ucapan ‘A People's Goverment for the Real Malaysians' semasa Konvensyen Pakatan Rakyat sehari sebelum itu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk G V Varughese di dalam penghakimannya menggariskan tujuh perenggan daripada artikel itu yang dikatakan telah memfitnah Lim.

Kenyataan itu juga menyatakan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat menerima dan menyokong sepenuh-penuhnya keputusan Hakim dalam perkara ini sekaligus membuktikan ketujuh-tujuh dakwaan Utusan Malaysia sebelum ini adalah fitnah belaka.

"Penghakiman semalam menyaksikan kesemua dakwaan itu sebagai 'half-truths' atau 'kenyataan separuh benar' itu sebenarnya "tidak benar sama sekali", dan setelah mengkaji dakwaan-dakwaan tersebut, berpendapat bahawa dakwaan-dakwaan itu berniat jahat dan bertujuan untuk menipu pembaca-pembaca Utusan Malaysia.

"Hakim juga memutuskan bahawa Utusan Malaysia telah mengamalkan 'selective vendetta' atau dendam terhadap Ketua Menteri dan DAP dengan tujuan untuk memfitnahkan mereka secara tidak adil,"jelas kenyataan itu.

Sebelum ini, akhbar kawalan Umno itu menyenaraikan tujuh dakwaan salah laku pentadbiran Guan Eng terhadap rakyatnya.

Berikut adalah dakwaan-dakwaan yang disenaraikan oleh Utusan Malaysia: * Menindas orang Melayu dan melenyapkan satu demi satu perkampungan Melayu di bumi Pulau Pinang;
* Membatalkan atau menghalang perarakan Maulidur Rasul pada tahun 2010 (yang sebenarnya telah diadakan);
* Tidak membenarkan peniaga-peniaga Melayu untuk berniaga di KOMTAR semasa bulan Ramadan;
* Merobohkan gerai-gerai milik penjaja Melayu;
* Menggunakan dana dari sumber perjudian untuk memberi RM100 kepada warga emas;
* Merobohkan kampung-kampung Melayu di Kg Jalan Pokok Asam dan Kg Genting, Balik Pulau; dan
* Mengusir penduduk-penduduk India dari Kg Buah Pala.

"Kami berharap bahawa Utusan Malaysia dan media massa arus perdana yang lain akan mengambil iktibar daripada keputusan Hakim dan menghayati seruannya bahawa pengamalan kewartawanan yang bertanggungjawab adalah amat penting kepada sistem demokratik di Malaysia," tambah kenyataan itu.


Azalina Perlu Buktikan Demonstran Pengerang Dibayar RM30'

Anggota Parlimen Pengerang Datuk Azalina Othman dituntut membuktikan dakwaannya bahawa peserta perhimpunan membantah projek petrokimia di kawasan itu pada 30 September lalu dibayar RM30 seorang.

"Kita menuntut supaya Azalina mengemukakan bukti dengan tuduhan berkenaan, kalau tidak, tarik balik kenyataannya dan meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia," tuntut gabungan 30 NGO yang mengelarkan diri mereka "Johor Yellow Front".

Azalina kelmarin berkata di Parlimen, orang ramai, yang kebanyakannya didakwa orang luar, hadir ke perhimpunan itu kerana setiap peserta dibayar RM30.

Beliau juga mendakwa kebanyakannya peserta yang hadir orang luar dan jumlanya hanya 3,000 orang sahaja dan bukan 7,000 seperti didakwa penganjur.

Dalam kenyataan bersama 30 NGO itu hari ini, mereka juga mengkritik Azalina yang didakwa gagal mendengar suara rakyat tempatan yang menolak projek itu.

"(Tetapi) Datuk (Azalina) bukan sahaja tidak menghadiri perhimpunan ini, yang lebih mengecewakan, Datuk membuat tuduhan yang mengelirukan rakyat jelata.

"Ini termasuklah kenyataan 'orang tempatan/orang luar'," menurut kenyataan itu lagi.

Mereka juga berkata, projek petrokimia itu ditolak kerana isu alam sekitar, pengambilan tanah penduduk dan terjejasnya rezeki mereka.

"Kami hendak memastikan kehidupan hadapan anak-anak kita jauh dari pencemaran. Kesemua tindakan ini menunjukkan kita mencintai tanah air kita dan berhati suci untuk memeliharanya," kata gabungan NGO itu lagi. -mk

Rapid Pengerang: Konspirasi Ghani, Najib Rampas Tanah Penduduk Besar-besaran

Keadilan mendedahkan wujud konspirasi antara Menteri Besar Johor, Datuk Ghani Othman dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sebalik projek Pembangunan Bersepadu Penapisan & Petrokimia (Rapid) di Pengerang Johor.

Menurut Naib Presidennya, Datuk Chua Jui Meng, Ghani dan Najib sengaja merampas tanah penduduk seluas 22,500 ekar menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960, bertujuan membolot sebahagian tanah tersebut untuk diagih kepada kroni mereka.

“Berdasarkan pemerolehan tanah secara besar-besaran ini, kerajaan negeri membeli tanah tersebut dengan harga murah, kemudian diagih kepada syarikat kroni.

“Selepas status tanah ditukar daripada pertanian kepada pembangunan, harga tanah tersebut akan melambung sehingga 100 peratus.

“Ini adalah taktik yang diguna Ghani dan Najib sekaligus menguntungkan mereka dan kroni Umno BN,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN tengah hari tadi.

Rapid pada asalnya berminat melabur di Selangor Pengerusi KAEDILAN Johor itu berkata, projek Rapid telah beroperasi di Taiwan selama 52 tahun dan ia dikendali oleh syarikat China Petroleum Corporation (CPC) dan Kuo Kuong Corporation.

Katanya, Presiden Baru Taiwan, Ma Ying-Jeou tidak meneruskan lesen tersebut selepas menerima tentangan daripada rakyatnya.

Jelas Jui Meng lagi, CPC dan Kuo Kuong bersama satu syarikat tempatan Everwish Sdn Bhd kemudiannya memohon untuk meneruskan projek itu di Pulau Indah, Selangor.

“Bagaimanapun, kerajaan Selangor menolak projek ini walaupun dikatakan akan meningkatkan jumlah pelaburan asing (FDI) dengan menerima RM10 bilion setahun serta 20,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Najib, Ghani sambar apa yang ditolak Taiwan dan Selangor

Jui Meng berkata, selepas Selangor menolak permohonan tersebut, CPC dan Kuo Kuong memohon kepada Petronas untuk meneruskan projek Rapid di Malaysia.

Najib yang juga Pengerusi Petronas, tanpa berfikir panjang menerima projek itu dan mengisytihar ia akan dibangunkan di Pengerang dengan kos RM60 bilion, pada 13 Mei 2011.

“Untuk menunjukkan rasa bersyukur atas projek yang akan dilaksanakan itu nanti, Najib mengumumkan pengecualian cukai selama 10 tahun terhadap projek ini,” katanya.

Menurut Jui Meng, ketika cadangan projek itu di Pulau Indah, CPC dan Kuo Kuong memohon penggunaan tanah hanya seluas 2,889 ekar.

“Ia tidak memerlukan kerajaan negeri mengambil tanah penduduk menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960, ia mengikut persetujuan pembeli dan penjual berdasarkan pasaran semasa,” katanya.

Beliau berkata, berbeza di Johor, kerajaan negeri sewenang-wenang merampas tanah seluas 22,500 ekar dengan niat membolot sebahagian tanah dengan harga yang murah.

“Ghani memperdaya penduduk Pengerang, kerana yakin tiada bantahan daripada mereka, seperti yang berlaku di Kuantan apabila penduduk membantah projek Lynas.

“Mungkin mereka merasakan Johor adalah kubu kuat Umno, dan rakyat akan menerima apa sahaja yang dilakukan oleh Umno BN,” ujarnya. -KD

Nak Pecah Rekod Kamu Punya Pasal, Persoalannya Kenapa Salahgunakan Jentera Kerajaan?

Rekod kenduri kahwin terbesar kekal

Walaupun dihurung kontroversi, rekod kehadiran teramai ke kenduri kahwin anak Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ali Rustam akan tetap kekal dalam Malaysia Book of Records (MBR).

"Apa yang penting bagi MBR, kami tetapkan kaedah dan peraturannya dan mereka memenuhinya.

"Berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), saya tidak boleh komen apa-apa," kata jurucakap MBR kepada Malaysiakini ketika ditanya sama ada siasatan itu akan menjejaskan rekod yang dicipta.

Menurutnya MBR lagi, penganjur berjaya membuktikan jumlah kehadiran tetamu, termasuk memberikan senarainya.

Perkahwinan anak sulung ketua menteri Mohd Ridhwan Ali dengan pasangannya Nur Azieha Mohd Ali pada 30 September lalu dikatakan dihadiri seramai 130,000 tetamu, yang membolehkannya direkodkan dalam MBR. -mk

'Kahwin, bersalin, sakit, mati darah daging Ali Rustam'.

Ahli Parlimen Tangga Batu Datuk Idris Haron tampil membela Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dalam kontroversi membabitkan perkahwinan anak lelaki beliau di Melaka baru-baru ini.

Menurutnya, Ali dikenali rakyat sebagai pemimpin yang akan memenuhi setiap jemputan rakyat baik majlis kahwin atau kematian.

Justeru, penganjuran majlis kahwin anak lelaki Ali dengan kehadiran ramai rakyat adalah sebahagian daripada amalan ketua menteri itu yang akrab dengan rakyat.

"KBSM - kahwin, bersalin, sakit, mati - telah menjadi darah daging Ali Rustam.

"Dia tidak melakukannya hanya kerana politik, tidak seperti sesetengah pemimpin yang letak sejadah di bahu untuk menunjuk-nunjuk yang dia akan bersolat jenazah sedangkan umum tahu yang solat jenazah tak perlu sejadah pun," kata Idris kepada Malaysiakini.

Idris juga tidak terkejut dengan kesudian ramai tetamu ke majlis tersebut kerana menurutnya Ali Rustam sendiri pernah memenuhi 23 undangan kenduri kahwin rakyat dalam masa sehari.

"Dalam adat Melayu Melaka, adalah wajib memenuhi undangan dan apabila orang hadir ke majlis kita dan menyumbang, itu diistilahkan 'menanam'.

"Kita wajib membalasnya apabila tiba masa mereka mengundang kita pula. Jika orang tak minat, jemput sejuta orang pun tetamu tak datang.

"Saya tidak lihat majlis ini sebagai kontroversi tetapi kebahagiaan antara pemimpin dan rakyat atas ikatan tulen yang dibina sekian lamanya," katanya.

Umno Cheras: Mereka tak faham adat Melayu.

Sementara itu, Ketua Umno Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee yang kebiasaanya dilihat berani mengkritik Umno dari dalam turut mengambil pendirian mempertahankan Ali.

Menurutnya isu itu dipolitikkan DAP Melaka yang tidak faham adab Melayu yang tidak mempersoalkan majlis perkahwinan terutamanya jumlah tetamu atau perbelanjaan.

"Yang peliknya pemimpin bukan Melayu seperti DAP yang suka buat isu.

"Pembangkang akan bangkang dan politikkan apa-apa sahaja isu jika babitkan pemimpin Melayu untuk alih sokongan rakyat," katanya.

Setiausaha DAP Melaka, Khoo Poay Tiong merangkap ADUN Ayer Keroh sebelum ini menggesa Ali Rustam mendedahkan perbelanjaan majlis kahwin anaknya yang dihadiri lebih 100,000 tetamu.

Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin turut membuat laporan SPRM Melaka dan membangkitkan kemampuan Mohd Ali menganjurkan majlis tersebut.


Ulasan GB

Nak buat majlis kenduri kahwin dengan menjemput seluruh 27 juta rakyat Malaysia hadir pun itu hak Ali Rustam.

Tetapi yang menimbulkan persoalan ialah salahguna kuasa sebagai Ketua Menteri untuk memperalatkan jentera kerajaan dan kakitangan awam untuk majlis yang bersifat persendirian. Itu pokoknya.

Sekeping surat ditujukan kepada Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Kamaruddin Mat Shah, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Murad Husin, Setiausaha MPAG, Shahdan Othman, Setiausaha MPJ, Ainu Nizla Kasman dan Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal, Zainuddin Samad mengarahkan mereka semua menghadiri mesyuarat tersebut.

Surat tersebut bertajuk "Mesyuarat Majlis Persiapan Hiasan Luaran, Kebersihan Dan Logistik Sempena Majlis Perkahwinan Anak YAB Ketua Menteri Melaka" dipercayai dibocorkan sesetengah pihak yang tidak mahu penyelewengan Ali Rustam berterusan.



Itu yang rakyat persoalkan sekarang!

Surat itu sudah cukup untuk menjelaskan satu penyalahgunaan kuasa yang besar dan kesemua mereka yang terlibat yang namanya disebutkan di dalam surat itu sepatutnya boleh didakwa kerana "bersubahabat" membiarkan Ali Rustam mempergunakan mereka untuk majlis berkenaan!

Sepatutnya mereka yang menerima surat itu telah membuat laporan polis dan SPRM kerana diarahkan untuk melakukan kerja-kerja yang tidak termasuk di dalam bidang tugas mereka.

Dan kepada pembela-pembela Ali Rustam seperti pemimpin-pemimpin UMNO di atas dan yang lain-lain perlu menyedari bahawa kamu bersubahat menggalakkan Ali Rustam untuk terus melakukan salahguna kuasa tersebut dan hukum kebenaran dan keadilan akan tetap terkena kepada kamu juga... "yang bersalah yang yang bersubahat dengan pesalah tidak akan terlepas dari hukuman Tuhan yang sifatnya Maha Adil itu sekalipun SPRM mungkin melepaskan kamu!" Hanya masa, lambat atau cepat yang akan menentukan.

Tak belajarkah dari kes Khir Toyo, bagaimana Tuhan membalasnya?

[VIDEO & GAMBAR] Kerabat Diraja Terengganu Diantara Yang Serah Borang Sertai PAS



Jabi, Setiu - Bersempena Majlis Perasmian Himpunan Kebangkitan Rakyat - PAS Ganti Umno Kali Ke-5 (PGU5.0) yang disempurnakan oleh Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, tiga orang tokoh anak Terengganu telah mengisytiharkan diri mereka menyertai PAS.

Berikut adalah biodata ketiga-tiga tokoh tersebut;

1. Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah
YAM Tengku Ibrahim Shah Ibni al-Sultan Ismail Nasir ud-din Shah adalah anakanda ketiga kepada Sultan Ismail Nasir ud-din Shah ibni al-Marhum Sultan Zainal Abidin, Sultan and Yang di-Pertuan Besar of the State of Trengganu Dar al-Iman yang ke-14 memerintah selama 34 tahun dan 1945 hingga 1979

Tengku Ibrahim yang lebih dikenali di kalangan rakyat sebagai Tengku Paduka (Ku Duka) kerana mendapat gelar Tengku Seri Paduka Raja kerana beliau merupakan waris ke lima dalam susunan kerabat DiRaja Negeri Terengganu.

Tengku Ibrahim dilahirkan di Kuala Trengganu, 25 Januari 1939 mendapat pendidikan dari Sekolah Menengah Sultan Sulaiman dan juga Kolej Melayu kuala Kangsar Tengku Ibrahim mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran negeri Terengganu apabila memulakan perkhidmatan awam negeri Terengganu pada 1959 dan pernah berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah (ADO), Penolong Setiausha Kerajaan Negeri Terengganu.

Penglibatannya dalam dunia politik tanah air, Tengku Ibrahim pernah menjadi Pengerusi Perhubungan Parti Melayu Semangat 46 dan bertanding pada pilihanraya umum ke-8 pada tahun 1990 dan menjadi wakil rakyat DUN Tanggol pada tahun 1990 - 1995.

Apabila Parti Melayu Semangat 46 dibubarkan pada bulan Mei 1996, Tengku Ibrahim telah menjadi ahli parti Umno.

Hari ini beliau membuat pengistiharan memilih PAS sebagai wadah perjuangan dan meninggalkan UMNO.

2. Datuk Omar Abu Bakar.

Dilahirkan di Kijal, Kemaman, Terengganu pada tahun 1950.

Mendapat pendidikan di universiti nasional dan universitas Papajaran Bandung, Indonesia dlm bidang pengajian bahasa, sosiologi dan antrapologi.

Beliau merupakan bekas Wartawan Utusan Malaysia dan bekas pegawai akhbar Kementerian Pertahanan dan Pegawai Perhubungan Khas kpd 3 Bekas Menteri Pertahanan:
i. YAB Tan Sri Taib Mahmud (skg KM Serawak)
ii. YAB Tun Hussein Onn
iii. YAB Tun Mahathir.

Penglibatan beliau dalam politik adalah, beliau pernah menjadi AJK & Ketua Penerangan Umno Kemaman Zaman TS Wan Mokhtar.

Datuk Omar juga bekas Setiausaha Jentera Pilihanraya Kebangsaan Semangat 46 Malaysia dan S/U. Semangat 46 Bhg. Kemaman dan Bekas Calon 46 Dun Bukit Bandi (skg Air Puteh Kemaman 1990)

Selain itu, pelbagai jawatan dibarisan kepimpinan aktivis sosial di peringkat negeri dan Nasional, dan beliau juga berkeluarga ipar sepupu kepada Bekas Pengerusi FELDA Tan Sri Raja Mohd Alias Ali.

3. Ahmad Amzad Bin Mohamed @ Hashim

Dilahirkan pada 15 Januari 1970, Kuala Terengganu, Berkahwin dan dikurniakan dengan 7 orang anak Mendapat pendidikan di
1. Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud
2. Lulusan ijazah perakaunan UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
3. Aktivis pelajar ipu-ukm
Amzad Sekarang bekerja sebagai Pengerusi Eksekutif Norstar Technologi, Pulau Pinang.

Amzad juga berpengalaman dalam bidang korporat, mengambil alih dan memulihkan MSET Shipbuilding CORPORATION SDN. BHD. sebagai Pengarah Urusan (1995-April .

Beliau juga mengambil alih dan memulihkan PMINT Engineering sekarang dinamakan MSET Engineering dari tahun 2000 – 2006.

Amzad juga bertanggungjawab Rekabentuk dan Membina pelbgai jenis kapal dan bot pelbagai kegunaan untuk pelbagai kementerian dan jabatan kerajaan termasuk tempahan dari syarikat syarikat luar negara seperti dari Amerika syarikat, Australia, German, dan lain lain negara.

Antara jawatan persatuan dan NGO yang pernah disandang oleh Amzad adalah seperti :

1. Ahli Majlis Industri Pertahanan Malaysia (sehingga pertengahan 2004)
2. Ahli CWG ( cluster work group ) MITI
3. Presiden Pergerakan Profesional Muda Terengganu. Presiden 2004-2005, 2007

Kecemerlangan dalam dunia perniagaan dan korporat diiktiraf dan pernah menerima anugerah Kategori Kejuruteraan dan Pembuatan, Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu. -BO

Indeks Bursa Saham Capai Paras Tertinggi, Tetapi Saham Felda Terus Merudum



Sungguhpun Indeks utama Bursa Saham telah mencecah paras tertinggi 1,668.32 pada hari semalam, namun harga saham Felda Global Ventures (FGV) terus tidak mampu untuk naik, malah menurun kepada 4.750 dari harga pembukaan 4.770

Para pelabur dan penggemar saham nampaknya tidak berminat terhadap saham FGV.

Yang berminat memantau tetapi dengan rasa berketar-ketar mengikuti turun naik harga saham FGV berkemungkinannya ialah KWSP dimana KWSP telah meningkatkan kepentingan langsung dalam GLC tersebut daripada 5.07 peratus pada 4 Julai kepada 7.02 peratus pertengahan bulan lepas.

FBM KLCI telah ditutup 23.57 mata lebih tinggi pada 1,660.23 pada Jumaat berbanding 1,636.66 sebelumnya berikutan pengukuhan serantau.

Sementara itu, Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) berazam berhimpun secara besar-besaran mendesak perdana menteri menyelamatkan Felda jika harga saham Felda Global Venture jatuh kepada RM4 seunit.

“Kalau harga saham jatuh 4, kita akan buat himpunan besar-besaran lebih besar daripada himpunan oren.

“Kita akan berhimpun untuk nyatakan sikap dan pendirian dan desak kerajaan umumkan pakej penyelamat (Felda),” kata presiden ANAK, Mazlan Aliman pada sidang media di ibu negara.