25 Jun 2011

WASPADA: Biskut Perisa Cicak

Johor Bharu - Seorang pendandan rambut terkejut apabila menyedari biskut gandum jenama terkemuka kegemarannya mengandungi bangkai cicak.

Insiden menjijikkan itu berlaku ke atas, Ooi Ai Ling, 28, yang sedang enak menikmati minum petang di rumahnya di Jalan Dedap, Taman Johor Jaya di sini pada Isnin lalu.

Katanya, biskut terbabit dibelinya di sebuah pasar raya di Taman Johor Jaya pada 6 Jun lalu, yang dengan jelas mempamerkan tarikh luput pada 25 Oktober 2011.

“Saya membeli dua kotak biskut terbabit dan hanya membuka salah satu daripadanya Isnin lalu. Ketika sedang enak memakan beberapa keping biskut tersebut, saya terkejut apabila terlihat bangkai cicak terlekat padanya.

“Saya rasa loya melihat cicak tersebut dan terus muntah, sejak itu saya mengalami muntah-muntah selama empat hari berturut-turut,”
katanya pada sidang akhbar di rumah Kelab Akhbar Cina Selatan di sini, semalam.

Ai Ling berkata, dia sering membeli biskut jenama berkenaan sejak lebih empat tahun lalu.

Menurutnya, akibat sering muntah selepas insiden tersebut, dia telah membuat pemeriksaan di sebuah klinik di Johor Jaya semalam dan disahkan mengalami keracunan makanan.

“Saya pelik bagaimana cicak berkenaan boleh ada dalam biskut berkenaan dan kini, saya serik untuk membeli biskut jenama itu.

“Saya serik untuk membeli biskut jenama tersebut dan akan lebih berhati-hati selepas ini apabila membeli apa-apa produk makanan kerana takut insiden yang sama berulang,” katanya.

Dia juga telah mengadukan perkara tersebut kepada MCA bahagian Gelang Patah dan turut membuat satu laporan polis di balai polis Taman Johor Jaya Rabu lalu.

Sementara itu, Pembantu Khas Menteri Besar Johor, Low Teh Hian berkata, beliau akan membawa mangsa untuk bertemu dengan pengurus pasar raya terbabit bagi mendapatkan penjelasan sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Kami perlu tahu bagaimana boleh ada cicak dalam biskut tersebut dan kami juga tidak menolak kemungkinan untuk mendapatkan ganti rugi buat mangsa yang disahkan mengalami keracunan makanan,” katanya. -SH

Tangkap Bukan Penyelesaian Terbaik: KSU KDN

Putrajaya: Tindakan untuk terus menangkap pihak yang terbabit dalam perhimpunan haram 9 Julai ini bukan merupakan jalan penyelesaian yang terbaik, sebaliknya kerajaan mengambil pendekatan untuk memberi informasi supaya orang ramai tahu mengenai akibatnya.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam, berkata senario pada zaman ini sudah berubah, di mana rakyat tidak boleh lagi menerima tindakan tangkapan oleh pihak berkuasa tanpa sebarang amaran.

"Jadi kita maklumkan kepada orang awam tentang apa yang berlaku. Tangkap-tangkap bukan jalan penyelesaian. Bolehkah kamu terima jika kami terus menangkap kamu," katanya selepas majlis dialog pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesukarelawanan dengan beliau di KDN di sini, hari ini.

Mahmood diminta mengulas mengenai gesaan sesetengah pihak yang mahu KDN mengambil tindakan tegas terhadap penganjur perhimpunan haram tersebut dan tidak terlalu berlembut dengan mereka.

Beliau berkata, kerajaan juga akan meneliti lebih 1,000 laporan polis yang dikemukakan yang membantah perhimpunan tersebut serta akan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Mengulas majlis dialog tersebut, beliau berkata, ia adalah yang pertama seumpamanya pernah diadakan dan akan diteruskan bagi menyelaras pergerakan NGO di negara ini serta meminta pandangan dan idea daripada mereka dalam usaha memajukan negara.

Mahmood berkata, kerajaan juga sedang mempertimbang untuk mewujudkan majlis permuafakatan bagi menyelaras dan memberi sebarang bantuan yang diperlukan oleh NGO tersebut serta menyelesaikan isu-isu yang dihadapi oleh mereka.

Mengikut rekod, katanya, terdapat lebih 119,000 NGO di negara ini dengan lebih 30 juta ahli dan lebih 40,000 daripada jumlah NGO itu merupakan NGO kesukarelawanan.

Beliau turut menafikan bahawa perjumpaan itu adalah langkah kerajaan untuk menguasai NGO terbabit sebaliknya kerajaan tidak mempunyai niat lain selain untuk menyatukan NGO berkenaan yang turut akan menjimatkan kos, masa dan tenaga mereka.

Seramai 100 pemegang jawatan daripada 40 NGO kesukarelawanan dari seluruh negara menghadiri perjumpaan itu. - BERNAMA

Ulasan GB

Sekalipun KSU KDN menyatakan tangkap bukan jalan yang terbaik, tapi bagi polis, tangkapan terus dilakukan.

Semalam beberapa pemimpin AMK dan PAS ditangkap.

Saya suka mencadangkan agar pois tangkap 1 juta rakyat yang mengundi menyokong perhimpinan BERSIH diadakan di dalam satu bancian oleh akhbar The Star Online baru-baru ini.

Ingat, anda boleh menangkap jasad-jasad rakyat, tetapi anda tidak akan mampu menahan hati nurani rakyat.

10 Maut, 7 Disambar Petir Di Vietnam

Hanoi: Sekurang-kurangnya 10 terbunuh, iaitu tujuh daripada mereka disambar petir dalam kejadian ribut beberapa hari lalu dan hujan lebat di utara Vietnam.

Jawatankuasa kawalan banjir dan ribut, berkata mereka yang terbunuh disambar petir ketika sedang bekerja di sawah padi, selain banjir Rabu lalu meragut sekurang-kurangnya satu nyawa. Demikian diberitakan AFP

Katanya, tiga yang lain dilaporkan hilang, dua terbunuh dan 60 cedera susulan ribut yang melanda bandar pelabuhan di utara Haiphong pada malam Khamis lalu (waktu tempatan), selain memusnahkan lebih 1,000 kediaman.

Pihak berkuasa memperingatkan penduduk atas ancaman tanah runtuh di wilayah pegunungan.

Di daerah ini, sekira 200 milimeter hujan dilaporkan turun setiap hari sejak Rabu 22 Juni lalu.

Setiap tahun ratusan nyawa diberitakan terbunuh pada setiap kali ribut melanda yang disertai hujan deras yang menimpa negara tersebut.

Mati, Hidup Balik, Mati Semula...

Wanita mati selepas tersedar di majlis pengebumian sendiri

KAZAN (Russia): Seorang wanita mati akibat serangan sakit jantung berpunca daripada kejutan besar dialami apabila tersedar di majlis pengkebumian yang diadakan untuknya.

Fagilyu Mukhametzyanov bagaimanapun tersedar ketika anggota keluarganya menangis di sekitar kerandanya yang terbuka.

Wanita berusia 49 tahun itu menjerit apabila menyedari mereka bersiap sedia untuk mengebumikannya.

Dia dikejarkan ke hospital. Doktor kemudian mengisytiharkan dia mati akibat sakit jantung.

Suaminya, Fagili, 51, berkata: “Matanya berkedip-kedip dan kami serta-merta menghantarnya ke hospital.

“Bagaimanapun, dia hanya hidup untuk 12 minit lagi sebelum mati semula. Kali ini, dia pergi selama-lamanya.” Fagili berhasrat menyaman hospital berkenaan.

“Saya sungguh marah dan mahukan jawapan. Isteri saya ketika kali pertama dibawa ke hospital tidak mati tetapi mereka berkata dia mati.

Mereka sepatutnya boleh menyelamatkannya,” kata Fagili.

Jurucakap hospital berkata: “Kami sudah memulakan siasatan.” - AP

Majlis Peguam Pertikai Mahkamah Benarkan Tayangan Semula Video Seks

Kes Datuk T: Majlis Peguam terkejut tayang video seks di mahkamah

KUALA LUMPUR, 25 Jun — Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee (gambar) menegaskan Mahkamah Majistret tidak sepatutnya membenarkan tayangan semula rakaman video seks, yang pelakunya didakwa mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana trio Datuk T telah pun mengaku bersalah.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Lim berkata tindakan mahkamah membenarkan tayangan rakaman video seks itu dalam perbicaraan pagi semalam adalah sesuatu “amat luar biasa.

Ini kerana jelas beliau, sepatutnya sekiranya tertuduh mengaku bersalah mana-mana bahan bukti tidak perlu didedahkan.

“Tidak perlu buat macam itu sebab mereka sudah mengaku bersalah, saya hairan kenapa rakaman video seks itu disiarkan dalam mahkamah.

“Ini satu prosedur yang amat luar biasa, saya terkejut kenapa ia berlaku... kalau sudah mengaku bersalah sepatutnya tidak perlu (dedahkan bahan bukti),”
kata beliau lagi.

Pagi semalam, ketiga-tiga Datuk T telah mengaku bersalah menayangkan rakaman video seks dan dikenakan denda keseluruhan RM5,500.

Hukuman dijatuhkan oleh Majistret Aizatul Akmal Maharani selepas mendengar hujah-hujah yang dikemukakan pihak tertuduh.

Ketiga-tiga tertuduh — ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim dan bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik mengaku bersalah atas tuduhan yang dikenakan ke atas mereka.

Shazryl didenda RM3,000 atau penjara tiga bulan sementara Shuib dan Abdul Rahim masing-masing RM1,500 atau dua bulan dan RM1,000 atau satu bulan.

Shazryl dan Shuib didakwa secara bersama menayangkan bahan lucah secara terbuka di hotel Carcosa Seri Negara pada 21 Mac lalu.

Sementara, Abdul Rahim pula didakwa secara berasingan atas tuduhan bersubahat dengan mereka untuk melakukan kesalahan tersebut.

Mengulas lanjut, jelas Lim, tindakan mahkamah itu juga tidak selari dengan prosedur biasa yang dilakukan dalam kes sedemikian.

“Dan, ini tidak selari dengan prosedur biasa, lagipun biasanya kalau mahu dedahkan bahan bukti ia dibuat ketika perbicaraan ketika pesalah tidak mengaku bersalah, sedangkan hari ini (semalam) mereka mengaku bersalah.

“Kalau kita ikut prosedur biasa, pesalah akan didakwa, kemudian hakim akan tanya sama ada mereka mengaku bersalah atau tidak dan jika mengaku bersalah hukuman akan terus dijatuhkan.

“Hukuman pula berdasarkan dengan kesalahan yang mereka lakukan, jadi tidak perlu untuk mahkamah bawa bahan bukti,”
katanya.

Ditanya mengenai hukuman yang dikenakan terhadap Datuk T, Lim berkata, keputusan tersebut relevan dengan kesalahan yang dilakukan.

“Dalam kes ini, saya merasakan hukuman yang dikenakan kepada mereka bertiga relevan, tiada masalah dengan itu.

“Cuma tindakan yang menayangkan video seks itu yang jadi persoalan,” katanya.

Datuk T telah menggemparkan negara apabila bertindak mempertontonkan rakaman video seks itu kepada media di hotel Carcosa Seri Negara pada 21 Mac lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 10 pagi dan 12 tengah hari, 21 Mac lalu.

Mengikut laporan media, peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Abdul Rahim berkata, lelaki dalam video seks adalah “99.99 peratus” Anwar.

Shafee memberitahu pakar video Amerika yang dirujuk Polis Diraja Malaysia telah membandingkan imej lelaki dalam video itu dengan sekeping gambar Anwar dan mengesahkan yang kedua-dua adalah seiras.

“Ini bererti A and B adalah orang yang serupa,” katanya sambil mendakwa mengikut laporan 4 Jun lalu, Profesor Hany Farid dan Lorenzo Torresani dari Dartmouth College di Hanover, New Hampshire, terdapat keirasan 99.99 peratus lelaki dalam klip video itu dengan bagi foto Anwar.

Shafie menunjukkan salinan laporan tersebut kepada wartawan tetapi enggan membenarkan salinan dokumen itu dibuat.

Dalam fakta kes yang dibacakan di mahkamah, mahkamah juga mendengar bahawa pakar tersebut mengesahkan bahawa video itu tulen tanpa pengubahsuaian dan ia dirakam dengan perakam DVR milik Shazryl. -TMI

Pasangan Pelajar Ponteng Dicekup Dalam Tandas Restoran

Rahsia kaki ponteng

AMPANG: Akibat ketagih seks, dua pelajar sebuah sekolah di Ampang di sini sanggup ponteng bagi melakukan perbuatan terkutuk itu di dalam tandas sebuah restoran di Taman Melawati sejak Mac sebelum rahsia mereka terbongkar, Selasa lalu. Gambar fail

Difahamkan, pasangan terbabit masing-masing pelajar tingkatan tiga dan empat sering ponteng sekolah dan menjadikan restoran berkenaan sebagai tempat melepak bersama rakan lain sebelum bertukar kepada adegan panas dalam tandas.

Kejadian itu hanya diketahui guru mereka apabila pelajar perempuan berusia 15 tahun itu menceritakan perbuatan terkutuk mereka kepada guru berkenaan selepas didesak beberapa kali.

Malah, pelajar terbabit kini dalam ketakutan selepas diugut pasangannya untuk mendedahkan hubungan seks mereka kepada ibu bapanya dan rakan jika dia enggan menyerahkan wang sebanyak RM150 bagi menyimpan rahsia mereka.

Sumber berkata, guru itu yang prihatin dengan masalah dihadapi pelajarnya mendekati pelajar perempuan berkenaan ketika kelas bengkel jahitan kira-kira jam 9 pagi Selasa lalu untuk bertanya kenapa dia kerap ponteng. -HM

Kebiadaban Melampau - Lagi Gambar Lucah Ditemui Dalam Surah Yasin

Yasin diselit 11 gambar lucah

Imam Besar yakin perbuatan dilakukan individu beragama Islam

GEORGETOWN: Sebanyak 11 keping gambar lucah diselitkan dalam 11 naskhah Yasin ditemui dalam Masjid Negeri Pulau Pinang, di sini petang kelmarin, kejadian kedua di negeri ini selepas kes pertama dilaporkan di Masjid At-Takwa, Taman Bertam Indah, Kepala Batas, dua minggu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang kelmarin, seorang pengawal keselamatan masjid terkejut apabila menemui sekeping gambar lucah dalam naskhah Yasin yang diambil dari rak ruang solat utama untuk dibaca sebelum solat Asar.

Imam Besar Masjid Negeri Pulau Pinang, Yusuff Ahmad, berkata pengawal berkenaan kemudian memeriksa beberapa naskhah lain di rak berkenaan dan mendapati ada lagi naskhah yang terselit gambar lucah yang semuanya berjumlah 11 keping.

Setiap keping gambar berwarna yang dianggarkan bersaiz 10 sentimeter lebar itu, mempamerkan pelbagai aksi lucah diselitkan di halaman berlainan 11 naskhah surah terbabit. Kes berkenaan dilaporkan di Balai Polis Kampung Bharu, Air Itam, petang kelmarin.

Yusuff berkata, beliau yakin individu yang melakukan perbuatan berkenaan beragama Islam kerana bukan Islam akan diperiksa oleh pengawal keselamatan di kaunter pelancong masjid berkenaan manakala naskhah Yasin berkulit hijau itu bukan milik masjid yang mempunyai naskhah dicetak sendiri.

“Kami tidak tahu apa motif pihak terbabit tetapi bersyukur kerana dapat dikesan sebelum majlis bacaan Yasin selepas solat Maghrib," katanya sambil menyifatkan kejadian berkenaan sebagai perkara serius.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar, ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan dan meminta semua pihak supaya bertenang kerana siasatan sedang dilakukan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan, mendatangkan bencana atau mencemar tempat solat dengan niat hendak mengaibkan agama Islam.

Dua minggu lalu, hampir 100 jemaah Masjid At-Takwa, Taman Bertam Indah yang bersiap untuk majlis bacaan Yasin bagaimanapun terkejut apabila mendapati 21 naskhah surah berkenaan mengandungi gambar lucah dipercayai dimuat turun dari laman web sebelum dicetak dengan ukuran sama besar, kemudian digunting dan dilekatkan dalam naskhah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara (SPU), Asisten Komisioner Zulkifli Alias, ketika dihubungi berkata pihak polis tidak menolak kemungkinan individu sama terbabit dalam kejadian menyelit gambar lucah dalam surah Yassin dan kedua-dua kes dipercayai membabitkan lebih daripada dua pelaku. -BH

Demo Aman Bantah Kebiadaban Utusan Seluruh Negara

Peserta demonstrasi aman bakar Utusan

KUALA LUMPUR, 24 Jun: Lebih 200 menyertai himpunan aman di perkarangan Masjid Jamek Kampung Baru bagi membantah kebiadaban akhbar milik Umno, Utusan Malaysia berhubung penerbitan karikatur "Kekeliruan Kes Rogol" yang didakwa menghina Islam.

Ianya antara siri bantahan Dewan Pemuda PAS pusat yang berlangsung di seluruh negara sejurus selesai solat Jumaat hari ini.

Turut menyertai himpunan itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah, Ahmad Sabki Yusof, Timbalan Ketua Pemuda PAS Wilayah, Suhaimi Abdul Aziz serta wakil pelajar.

Ketika berucap, mereka masing-masing mengecam tindakan Utusan itu yang disifatkan melampau.

Mereka juga menyeru rakyat agar memboikot akhbar itu.

Bantahan itu dibuat ekoran sikap angkuh dan enggan memohon maaf, akhbar tersebut biarpun didesak pelbagai pihak.

Sebelum ini, Utusan Malaysia diberi tempoh tujuh hari agar memohon maaf bermula dari tarikh karikatur itu disiarkan pada 15 Jun lalu.

Selain itu, Dewan Pemuda PAS Pusat juga mahu Utusan Malaysia mengambil tindakan ke atas pelukis karikatur itu yang hanya dikenali sebagai “Miki.”

Sebagai tanda kecaman, mereka turut membakar akhbar itu di hadapan hadirin yang hadir.

Di KUALA TERENGGANU, lebih 500 berhimpun bersama Mohd Nor Hamzah Adun Bukit Payung yang juga Ketua Pemuda PAS Terengganu di hadapan Masjid Pengadang Baru bagi menyatakan bantahan kepada Utusan yang memperlekehkan dan menghina Islam.

Utusan, akhbar Umno tanpa rasa bersalah dan takut menghina Islam melalui satu lakaran kartunnya sehingga kini masih belum berganjak dan mempertahankan kartun itu dan enggan memohon maaf.

Turut berucap Yahaya Ali, Setiausaha Perhubungan PAS Terengganu yang mendesak seluruh rakyat memboikot Utusan yang sentiasa membuat angkara tanpa rasa takut dan penuh bongkak.

Kemuncak perhimpunan aman hari ini, Yahaya bersama orang ramai membakar akbar Utusan sebagai simbolik membantah tindakan Utusan yang tidak mahu memohon maaf kepada umat Islam.

Di PULAU PINANG, Dewan Pemuda PAS dan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Pulau Pinang bersama Persatuan Ulamak Cawangan Pulau Pinang berkerjasama menjayakan piket aman membantah penyiaran kartoon di akhbar Utusan Malaysia yang nyata menghina Islam di tiga lokasi masjid iaitu Permatang Janggus, Permatang Pauh, Masjid Padang Lalang, Bukit Mertajam dan Masjid Hashim Yahya, Jelutong.

Semua demontrasi aman di tiga lokasi berkenaan berlangsung dengan baik dan tiada provokasi pihak polis.

Semasa berucap Ketua AMK Pulau Pinang, Amir Ghazali mengajak Umat Islam bangkit segera daripada lena kerana Utusan Malaysia bersikap begitu melampau terhadap Islam.

Utusan Malaysia tambahnya, tidak ubah seperti orientalis Barat, Salman Rushdi yang cukup berani mencerca hukum Islam.

"Apa bezanya Utusan Malaysia dengan Salman Rushdi yang menghentam kesyumulan Islam. Mereka harus dikenakan tindakan yang sewajarnya," tegas beliau.

Yang Dipertua PAS Permatang Pauh, Haji Omar Hasan pula mengajak Umat Islam supaya lebih peka terhadap sebarang isu angkara agen Yahudi.

“Ke mana perginya Ulamak dalam Umno kenapa mereka membisu seribu bahasa walhal Islam adalah agama suci yang tidak harus diperkecilkan begitu sahaja.

"Kita kena peka dengan isu yang membabitkan Islam supaya mereka tidak berani mencabar kesucian tamadhun Islam," jelasnya.

Sementara itu, bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Permatang Pauh, Ustaz Zakaria Hamzah pula menegaskan Utusan Malaysia yang menjadi tangan dan kaki Umno Barisan Nasional (BN) sanggup menentang kebenaran untuk menegakkan kebatilan.

Isu ini jelas, agen Yahudi telah berjaya menyerap masuk dalam pemerintahan negara serta media arus perdana sehingga begitu berani dan agresif mempersendakan Islam yang sejati.

Lebih kurang 200 orang berdiri di luar perkarangan masjid mengatakan tentangan penyiaran kartun yang sehingga kini tidak menyiarkan permohonan maaf.

Banyak sepanduk dipegang peserta, antaranya berbunyi Utusan Malaysia kunco Umno, Utusan Malaysia perosak syariat Islam, wajib boikot Utusan Malaysia, Utusan Meloya hati dan jiwa rakyat dan sebagainya.

Di akhir demo berkenaan kesemua yang terlibat membakar akhbar tersebut sebagai tanda bantahan kerana bersikap ego ketika mempersendakan kemuliaan hukum Islam.

Di IPOH, bertempat di Masjid Sultan Idris Shah 11, Masjid Negeri Ipoh telah diadakan satu himpunan membantah akhbar Utusan Malaysia yang telah menyiarkan karikatur yang menghina syariat Islam pada minggu lepas.

Oleh kerana Utusan Malaysia masih gagal memohon maaf berikutan penyiaran tersebut, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak bersama beberapa badan bukan kerajaan telah menganjurkan himpunan bagi membantah Utusan Malaysia selepas solat Jumaat tadi.

Hampir 200 orang telah bersama membantah kebiadapan Utusan Malaysia dan kegagalan Kementerian Dalam Negeri bertindak terhadap Utusan Malaysia sehingga sekarang.

Himpunan yang berjalan hampir 30 minit dengan pelbagai sepanduk mendesak agar Utusan Malaysia segera memohon maaf.

Beberapa pimpinan PAS turut berucap dan telah diakhiri dengan bacaan doa setelah pihak polis mengarahkan agar himpunan tersebut dihentikan.

Berikutan itu juga Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Ustaz Abu Bakar Hussien yang turut hadir kesal kerana pihak Utusan Malaysia tidak sensitif kepada umat Islam. -HD


Karikatur Hina Islam, PAS Demo Seluruh Negara
Ditulis oleh Afix Redzuan
24/06/2011
Share


KUALA LUMPUR 24 JUN : Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menuntut permohonan maaf secara terbuka dari akhbar Utusan Malaysia berhubung tindakan penyiaran karikatur ‘Kekeliruan Kes Rogol’ yang disifatkan sebagai menghina agama Islam.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ahmad Sabki Yusof menyatakan tindakan penyiaran karikatur itu menghina sensitiviti umat Islam di negara ini dan mendesak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat serta mengambil tindakan segera terhadap Utusan.

“Utusan telah menghina hukum agama Allah. Perhimpunan kita menyatakan bahawa mereka telah melakukan satu kesilapan besar terhadap umat Islam dalam negara.

“Kepada pihak JAWI dan KDN supaya mereka menyiasat dan mengambil tindakan keras terhadap Utusan. Sekiranya tiada tindakan yang diambil, kita akan meneruskan bantahan kita dengan skala yang lebih besar,” katanya.

Sabki berkata demikian sebelum mengadakan demonstrasi membantah karikatur terbitan Utusan Malaysia pada 15 Jun lalu.

Lebih 50 orang menyertai demonstrasi berkenaan yang diadakan di perkarangan Majid Jamek Kampung Baru, di ibu negara.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda, DPPP Wilayah Persekutuan, Suhaimi Abd Aziz pula mendesak agar pihak KDN mengkaji balik permit Utusan Malaysia ekoran paparan akhbar itu yang sering menyimpang dari landasan sebenar.

“Tindakan awal kita menghantar memorundum kepada Utusan Malaysia agar mereka menarik balik karikatur terbabit dan memohon maaf kepada umat Islam. Kita juga minta KDN mengkaji balik permit Utusan Malaysia yang kita rasakan isu ini serius. Kalau mereka hina kita, kita boleh maafkan. Ini mereka menghina Islam seperti bantahan yang kita lakukan berhubung penyiaran karikatur di Sweeden dan Denmark,” katanya.

DPPP hari ini menggerakkan demonstrasi di seluruh negara bagi membantah tindakan Utusan Malaysia yang menyiarkan karikatur mengelirukan tentang hukum Islam dalam mengadili sesuatu kes jenayah.

Selain di Kuala Lumpur, demonstrasi turut diadakan di beberapa negeri termasuk Perak, Pulau Pinang, Melaka dan Terengganu ekoran keengganan Utusan Malaysia memohon maaf secara terbuka kerana menyiarkan karikatur itu.

Dalam demonstrasi aman yang disertai kira-kira 50 orang turut melaungkan slogan “Utusan Hina Islam”, “Hancur Utusan Malaysia”, Boikot Utusan Malaysa”, “Hidup Umat Islam”, “Jangan Hina Ajaran Islam” dan “Batalkan Permit Utusan Malaysia.”

Peserta demonstrasi itu juga membakar Utusan Malaysia sebagai simbolik membantah tindakan akhbar milik Umno.

Karikatur itu yang disiarkan pada muka surat 15 Utusan Malaysia, menyaksikan dua situasi berbeza yang terpaksa dialami oleh mangsa rogol.

Dalam situasi pertama, mangsa rogol telah mengemukakan aduan kepada seseorang yang mirip seperti pegawai jabatan agama, namun ditolak kerana menurut watak itu mangsa memerlukan empat orang saksi sedangkan mangsa hanya mempunyai rakaman video.

Sementara itu dalam situasi kedua, mangsa telah membuat laporan polis dan pegawai yang menguruskan kes itu berkata rakaman video boleh dijadikan bukti.

Pada Jumaat lalu, Pemuda PAS menghantar memorandum bantahan kepada Utusan Malaysia dan memberikan tempoh tujuh hari untuk membuat permohonan maaf secara terbuka dan mengambil tindakan terhadap kartunis yang berkenaan. -tvsnews






Kisah Menyayat Hati - Isteri Diabaikan Suami 13 Tahun

13 Tahun Tahan Gelora

KUALA LUMPUR: Bukan saja diabaikan sebagai isteri, malah wanita ini ibarat digantung tanpa tali oleh suaminya sejak 13 tahun dulu gara-gara disihir dan ‘diikat’ seorang wanita lain.

Sejak itu juga, Zaimah, 53, sering tertekan dan terpaksa menguruskan segala keperluan rumah dan menjaga tujuh anaknya seorang diri. Malah, suaminya juga tidak mempedulikan keluarganya selain mengabaikan nafkah zahir dan batin.

Menurut Zaimah, ketika mula berkahwin dengan suaminya 33 tahun dulu, lelaki itu seorang yang penyayang walaupun panas baran.

Perubahan sikap suaminya dipercayai berpunca daripada perbuatan seorang wanita yang menjalin hubungan dengan suaminya menggunakan ilmu sihir bagi ‘mengikat’ nafsu suaminya.

“Sudah 13 tahun saya tidak dilayan seperti isteri. Macam-macam alasan diberi suami. Ketika berada di rumah, dia sering mengabaikan tanggungjawabnya dan tidak mahu bersama saya kerana alasan kononnya dia mati pucuk.

“Alasan itu tidak munasabah. Selepas beberapa bulan saya diberitahu mengenai masalah itu, dia pernah kembali bersama saya dan tiada sebarang perubahan pada nafsu seksnya.

“Saya yakin nafsunya diikat wanita itu selepas beberapa pengamal perubatan yang saya temui memberikan jawapan sama,” katanya.

Bukan setakat itu, suaminya juga dipercayai berkahwin dengan wanita terbabit di negara jiran tanpa pengetahuannya.

“Seorang rakan memberitahu dia terserempak suami saya yang ketika itu membawa seorang wanita dan seorang anak kecil yang diperkenalkan sebagai keluarga barunya.

“Hati isteri mana tidak terguris selepas mengetahui suaminya berkahwin tanpa pengetahuannya. Bagaimanapun, selepas didesak pelbagai soalan dia masih mengunci mulut dan tidak mengaku sudah berkahwin.

“Saya tidak kisah jika dia mahu bermadu, tetapi jangan sampai melupakan tanggungjawab sebagai seorang suami. Ini tidak, sudahlah nafkah batin tidak diberi, dia turut melupakan nafkah zahir.

“Akhirnya, saya terpaksa bekerja sebagai pengawal keselamatan demi menanggung keperluan seharian sambil membesarkan anak,” katanya.

Menurut Zaimah, pengamal perubatan yang ditemui memberitahu suaminya disihir seseorang sehingga menjadikannya lupa kepada isteri, keluarga dan anak.

“Saya diberitahu suami mungkin diberi makanan seperti nasi kangkang dan kotoran wanita (haid) oleh perempuan itu. Sebab itu dia lupa tanggungjawabnya dan kini terikat dengan wanita tidak berhati perut terbabit.

“Saya sedih. Jika benar wanita itu ingin memiliki suami saya, biar dengan cara betul. Jangan menyeksa saya dan keluarga dengan ‘mainan’ kotor.

“Begitupun, kini saya reda dengan ketentuan Ilahi. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Adil. Saya yakin, dia (wanita) tidak akan bahagia dengan caranya. Saya bertekad tidak memaafkan mereka,” katanya.

Lebih malang, sejak bertahun hidup terseksa kerana ditinggalkan suami, Zaimah kini diceraikan ketika cuba meminta penjelasan mengenai perubahan sikap suaminya itu yang jarang pulang ke rumah.

“Sejak 13 tahun dulu, dia jarang pulang ke rumah. Kebiasaannya, dia akan balik rumah seminggu sekali. Begitupun, dia hanya pulang dua minggu sekali dan kemudian sebulan sekali.

“Kini, saya langsung tidak berjumpanya. Anak-anak juga mengalami nasib sama apabila tidak berjumpa ayah mereka. Kami seakan-akan sudah tawar hati. Selepas berjumpa puluhan pengamal perubatan, ustaz dan bomoh, sihir itu masih tidak terlerai dan sikapnya masih sama.

“Pernah sekali saya bertanya mengenai masalah ini dengannya, namun dia naik angin dan melafazkan cerai kepada saya menerusi SMS pada Mei lalu.

“Tidak cukup dengan itu, dia menelefon serta memaki-hamun saya sebelum melafazkan cerai buat kali kedua. Saya yakin suami berada di bawah pengaruh wanita itu dan saya tidak akan sesekali memaafkannya,” katanya.

Bertahun-tahun hidup merana, Zaimah sudah membawa perkara ini ke mahkamah syariah berikutan suaminya sudah melafazkan cerai selain tidak sanggup menerima pelbagai tekanan.

“Sudah berkali-kali kes kami disebut di mahkamah, tetapi suami tetap tidak muncul ketika prosiding. Begitupun, jika dia tidak muncul untuk kali terakhir, saya akan mendapatkan tuntutan fasakh daripada mahkamah.

“Selain itu, saya akan menyiasat sama ada benar dia sudah berkahwin dengan wanita terbabit ataupun hanya bersekedudukan dengannya. Selepas itu, saya akan mengambil tindakan selanjutnya,” katanya. -hm

Ulasan GB

Memang menyayatkan hati.

Namun satu perkara yang perlu untuk kita berkan perhatian ialah, apa jua masalah yang berlaku, jangan terlalu cepat untuk menemui "pengamal perubatan" seperti bomoh, dukun, pawang dan sebagainya.

Ia tidak akan dapat banyak membantu kerana "pengamal-pengamal perubatan" berkenaan tidak mempunyai kuasa apa-apa untuk mendatangkan menafaat atau mudharat. Lebih banyak keburukan yang timbul apabila pengamal perubatan berkenaan membuat "ramalan" sehingga menyebabkan minda kita terkepung dengan saranan-saranan dan terkaan-terkaannya yang mungkin berkebetulan dengan agakan kita dan seolah-olah begitu meyakinkan.

Sebagai seorang beriman, kita telah menyatakan kepada Allah, "iyyaka naqbudu wa iyya qanasta'in - Engkau Kami sembah dan Engkaulah Kami mohonkan pertolongan. Justeru berharaplah kepada Tuhan dan yakin dengan pertolongannya.

WASPADA: Jangan Guna Handfon Ketika Petir

Tegur mangsa usah guna telefon

BESUT - Seramai 12 lelaki yang sedang berteduh dari hujan di sebuah wakaf di tepi sawah nyaris maut apabila mereka secara tiba-tiba disambar petir dalam kejadian di Kampung Durian Telur, Hulu Besut, kelmarin.

Bagaimanapun hanya tiga daripada mereka mengalami kecederaan termasuk seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra, di sini, yang parah dipanah petir ketika menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada rakannya.

Pelajar terbabit, Mohd Sahadam Nik Mar, 17, bersama dua lagi rakannya, Mohd Zailani Keria, 23 dan Muhammad Fariz Ismail, 15, yang berada di tempat kejadian rebah dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu.

Menurut saksi, Mohd Syaiful Bahari Ramli, 15, ketika kejadian, terdapat 12 orang di bawah wakaf yang terletak di kawasan sawah itu, termasuk ada yang berhenti berteduh daripada hujan lebat ketika itu.

Menurutnya, tiga mangsa terbabit dan beberapa rakannya berada di situ sejak jam 3 petang selepas pulang sekolah, dan hajat mereka untuk pulang lebih awal terkandas akibat hujan lebat berserta kilat.

“Sebelum kejadian, Mohd Sahadam sedang menaip mesej (SMS) kepada seseorang dan salah seorang yang berada di situ mengingatkan dia supaya tidak menggunakan telefon ketika petir.

“Beberapa saat kemudian, tiba-tiba kilauan cahaya dan petir menyambar sebatang pokok yang berada satu meter dari wakaf, sebelum mengenai tiang wakaf hingga terbelah menyebabkan tiga rakan saya rebah, manakala saya dan yang lain bertempiaran menyelamatkan diri,” katanya yang ditemui di Bahagian Kecemasan Hospital Besut petang kelmarin.


Kata Mohd Syaiful lagi, dia lari pulang ke rumah memberitahu keluarga mengenai kejadian itu, selain amat terkejut kerana ia berlaku amat pantas, malah berhampirannya.

Menurutnya, mangsa dibawa penduduk kampung dan keluarga ke Pusat Kesihatan Pasir Akar terlebih dahulu sebelum dikejarkan ke Hospital Besut.

“Syukur petir itu mengena pokok dan tiang terlebih, kalau tidak entah apa yang akan terjadi kepada kami,” katanya.

Mohd Sahadam yang pada mulanya tidak sedarkan diri dan mengadu sakit pada bahagian dalam badan bagaimanapun kini keadaan stabil dan dirawat di Hospital Besut, manakala dua rakannya sudah dibenarkan keluar wad pagi semalam.

Kedua-duanya mengalami calar kecil dan lebam pada badan akibat kejadian itu.

Dalam kejadian berasingan, rumah seorang pegawai di Pejabat Pelajaran Daerah, Mohd Hanapiah Mustafa turut disambar petir menyebabkan kerosakan kecil pada bahagian bumbung rumahnya pada masa sama.

Ketika kejadian, isteri bersama tiga anaknya yang berada di dalam rumah tidak mengalami kecederaan dan menyedari kejadian sejurus kemudian.