5 Jun 2011

Salahuddin Beri Amaran Pihak Yang Cuba Pecahbelahkan PAS

Jangan cuba suntik racun dalam PAS'

Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub menegaskan walaupun barisan kepimpinan PAS dianggotai ulama dan bukan ulama, beliau bersama-sama rakan yang lain tetap akan mempertahankan parti itu.

Ahli parlimen Kubang kerian itu memberi amaran kepada BN bahawa beliau akan "memerangi" musuh PAS itu "sehingga menyembah bumi" sekiranya cuba memecahbelahkan parti itu.

"Tak mungkin orang macam saya di sini untuk menjahanamkan PAS. Niat jahat mereka untuk pecah belahkan (kita)," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan di muktamar PAS di Taman Melawar.

Salahudin berkata semua kepimpinan yang menang dan tewas adalah pilihan perwakilan adalah hasil daripada proses tarbiyah yang dibuat oleh PAS.

Walaupun menyifatkan pertandingan itu dinggap sengit tetapi barisan itu kini merupakan barisan terbaik parti itu.

"Calon naib seperti (Datuk) Nik Mohd Amar, Idris Ahmad dan (Datuk Seri Mohamad) Nizar, bukan kepalang ketokohan mereka.

"Bagi saya, jangan cuba untuk usik PAS, jangan cuba suntik racun. Kami hormat ulama dan akan tentang kamu hingga kamu kecundang," katanya sambil menyifatkan mereka sakit hati lihat perpaduan kita.

Beliau berkata demikian bagi mengulas ucapan perwakilan Perak Dr Muhaimin Sulam yang mengingatkan PAS agar berhati-hati tentang dikotomi ulama dan bukan ulama yang didakwa cuba ditabur fitnah oleh akhbar arus perdana.

Kerana sekeping kaset

Mengimbau sejarah hidupnya, Salahudin berkata, beliau yang tidak mengetahui apa-apa tentang Islam kerana diasuh di sekolah aliran Inggeris, berubah setelah mendengar ucapan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Satu hari saya diberi kaset ucapan presiden (Abdul Hadi). Selepas saya dengar kaset itu terbuka pintu hati saya untuk berjuang untuk Islam, menapak sedikit demi sedikit ditarbiah PAS dan ulama,"katanya.

Sementara itu, naib Presiden PAS Datuk Husam Musa mencadangkan supaya seluruh kepimpinan PAS mengadakan pelan cadangan kemenangan dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau menyeru semua pihak "memobilisasi semua sudut" kekuatan termasuk menyediakan "model kemenangan" termasuk model ekonomi berkebajikan untuk berdepan pilihan raya umum ke-13.

"Media arus perdana memberi satu gambaran yang negatif, dan secara tepat ia telah menepati sasaran (mengenai negara berkebajikan).

"Membangun negara berkebajikan telah terbina daripada (dengan) cara berkongsi dan mengambil berat (antara satu sama lain)," katanya sambil memberi contoh kisah Nabi Yusuf.

Menurutnya, utusan Allah itu mengamalkan cara 'berkongsi dan mengambil berat' terhadap sesuatu perkara dalam keaadaan susah atau senang sehingga berkongsi ilmunya ketika mentafsir mimpi seorang raja.

Husam berkata konsep tersebut itu juga turut menggesa perwakilan agar mengambil iktibar terhadap sejarah kisah nabi dan pahlawan terdahulu sebagai model dalam menuju kemenangan dalam pilihan raya.

Calon: Pemuda perlu yakinkan

Exco kanan kerajaan Kelantan itu turut mencabar Pemuda PAS yang menuntut 40 kerusi kepada dewan tersebut dalam pilihan raya umum akan datang.

Katanya, Pemuda perlu menyediakan daftar pemilih pemuda yang meyakinkan sebelum tuntutan itu dipenuhi di peringkat pusat.

"Kalau berjaya kita beri calon. Kalau tidak kita beri kepada calon tua, janji tetap menang.

"Kalau mahu menghapuskan BN, kita kena menyiapkan pelan setiap segi sebelum datangnya pilihan raya,"katanya sambil beliau menggesa Pemuda "wajib" menyiapkan daftar pemilih itu dari semua peringkat.

Sebelum itu, dalam ucapan penggulungannya, Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar pula berkata hasrat Pakatan untuk sampai ke Putrajaya mestilah dengan cara menguasai hati dan pemikiran rakyat.

Ini kerana katanya, hanya dengan kuasa rakyat mampu untuk PAS dan Pakatan menguasai pusat pentadbiran kerajaan dengan mengetengahkan "politik jujur" dalam masyarakat.

"Kita bercakap menguasai Putrajaya, buat seminar PAS ganti Umno. Kita tidak boleh kuasai Putrajaya dalam konteks kuasa politik (semata-mata).

"Tetapi untuk menguasai Putrajaya, kita tidak mampu selagi tidak mengetuai hati dan pemikiran rakyat," katanya yang juga ahli parlimen Pokok Sena. -mk

Majlis Syura Ulama Akan Diperkasakan, UMNO Sedang Hadapi Sakaratul Maut - Mohd Sabu

Mohamad Sabu syor perkasa Majlis Syura Ulama

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengesyorkan supaya Majlis Syura Ulama diperkasakan dengan 'mengaudit' kepimpinan PAS termasuk mengambil tindakan terhadap ahli yang melanggar displin parti.

"Majlis perlu diperkasakan dengan membuat audit termasuklah (mengambil berat) akhlak dan mengambil tindakan displin kepada ahli. (Peranan) majlis syura kita perkasakan.

"Kita perkasakan Majlis Syura sampai mengangkat mereka buat 'audit' kepada ahli jawatankuasa yang ada," katanya.

Sewaktu menyampaikan ucapan penggulangan, Mohamad turut menanyakan meminta persetujuan atas cadangan beliau itu, yang kemudiannya disambut oleh kira-kira 700 dengan berkata: "Setuju".

Pemidato terkenal itu turut menegaskan bahawa beliau amat menghormati ulama dari dalam dan luar negara termasuk kedua-dua bekas presiden PAS Yusof Rawa dan Fadzil Mohd Noor.

Bercakap di Taman Melawar, Gombak sempena muktamar agung ke-57, beliau turut menempelak Umno dengan mendakwa parti itu kini sedang menghadapi 'kematian'.

"Saya teringat dengan pesanan Musrsyidul Am Datuk Nik Aziz yang berkata bahawa Umno ini tidak kuat. Kekuatan Umno bertongkatkan kepada MCA dan MIC. Patahkan tongkat itu.

"Sekarang mereka mulai rebah, India dan kaum Tionghua sudah semakin (meninggalkan mereka). Umno sedang menghadapi sakaratul maut," katanya.

Haron Din: Audit kerja auditor

Beliau berkata demikian bagi mengulas barisan kepimpinan baru yang dilaporkan menggusarkan Umno dan BN selepas dinobatkan sebagai timbalan presiden selepas menang dalam pertandingan tiga penjuru.

Dalam ucapannya juga, Mohamad turut menegurkan orang Melayu kerana "tidak ambil berat" dalam menanggapi sesuatu isu menyentuh kaum, berbanding kaum Cina dan India.

Walaupun kurang gemar bercakap soal perkauman, Mohamad Sabu memberi contoh berhubung dua kes kematian yang hampir sama - kematian Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbani Mohamed - tetapi tanggapan isu berbeza mengikut kaum.

"Kaum Tiong Hua mengambil sikap, isu Teoh Beng Hock diratapi... Tetapi kejadian yang berlaku kepada (Ahmad) Sarbani ditemui mati, kita (orang Melayu) kata, apa boleh buat...

"Jadi menanggapi isu-isu ini berlainan berbanding kaum Tiong Hua atau India...Ada berita tunjuk perasaan, (ada orang Melayu) ditangkap, (kemudian) ditinggalkan. Jadi kita tidak ambil berat," katanya.

Sementara itu, Timbalan Mursyidul Am Datuk Dr Haron Din menyambut baik cadangan yang dibuat oleh Mohamad berhubung keperluan memperkasakan Majlis Syura Ulama sambil juga mengharapkan cadangan dan syor daripada ahli akar umbi.

"Jarang kita dengan pengesyoran daripada ahli (akar umbi), apa lagi untuk dibuat selain selain yang baru kita dengar kita buat proses audit.

"Audit kerja auditor, (tetapi) kalau nak buat cadangan kita boleh pertimbangkan. Selain itu hanya pengharapan tapi itu (dari) suara murni yang ikhlas, dan (Majlis) Syura Ulama menerima," katanya. -mk

Jutawan Ini Buta Huruf

London: Seorang jutawan yang tersenarai selaku antara orang paling kaya di Britain semalam membuat pengakuan mengejut - dia tidak tahu membaca.

Andreas Panayiotou, 45, tidak boleh mengisi sendiri borang pasport paling mudah.

Dia juga terpaksa memberi tumpuan untuk mentafsirkan tanda jalan apabila memandu.

Bapa lima anak itu yang mempunyai kekayaan mencecah £400 juta (RM2 bilion) dan menduduki tangga ke-200 orang paling kaya di Britain mengaku: “Ketika kanak-kanak, saya berusaha sedaya upaya untuk membaca.

“Tetapi otak saya tidak dapat mentafsirkan huruf yang membentuk perkataan itu.”

Selepas meninggalkan sekolah pada usia 14 tahun tanpa sijil, dia belajar mengatasi masalah disleksia yang dihadapinya itu dengan menghafal bentuk perkataan penting.

Bekas peninju itu yang dilahirkan di London dari keluarga keturunan Greek Cyprot bagaimanapun berkata: “Saya menghadapi masalah besar apabila menemui perkataan yang saya tidak pernah jumpa.

“Di jalan raya, saya tyerpaksa menumpukan perhatian sepenuhnya untuk membaca tanda jalan. Ia sentiasa merisaukan saya.

“Mengisi borang seperti kawalan kastam juga menjadi masalah.”

Meskipun buta huruf, Panayiotou kini memiliki tiga pesawat, satu daripadanya jet Gulfstream berharga £40 juta (RM200 juta), dan sebuah kapal layar berharga £12 juta (RM60 juta).

Dia tinggal di rumah di Epping Forest, Essex, yang kawasan tanahnya seluas 20 ekar.

Panayiotou yang menyuarakan hasrat untuk membantu mereka yang mengalami disleksia sepertinya berkata: “Ketika kanak-kanak, saya tidak suka membaca. Apabila dewasa, saya mengatur kehidupan seharian saya supaya dapat mengelak daripada membaca.” - Agensi

Gambar Lucah Dalam Yasin, Angkara Siapa?

Kepala Batas - Hampir 100 jemaah Masjid At-Takwa, Taman Bertam Indah di sini yang bersiap memulakan majlis bacaan surah Yasin malam semalam terkejut apabila mendapati 21 naskhah surah berkenaan mengandungi gambar lucah.

Gambar itu dilekatkan sekeping di halaman berlainan 21 naskhah surah berkenaan.

Setiausaha qariah masjid berkenaan, Abdul Rahman Abdullah berkata, gambar lucah dilekatkan dengan kemas.

“Selain ukuran sama besar, gambar itu dilekatkan menggunakan pelekat dua hala.

“Ini menunjukkan pelakunya mempunyai perancangan rapi dari segi masa untuk melekatkannya di dalam naskhah surah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, gambar lucah bersaiz 4 sentimeter lebar dan 5 sentimeter panjang setiap satu itu, mempamerkan pelbagai aksi ranjang membabitkan pasangan luar negara, dipercayai dimuat turun dari laman sesawang dari Internet.

“Gambar itu dipercayai dicetak mengikut saiz sebelum di-gunting dan dilekatkan di dalam surah berkenaan.

“Kami tidak tahu motifnya dan kenapa Yasin di masjid ini dijadikan pilihan,” katanya.

Pihaknya telah membuat laporan polis dan kesemua 21 naskhah terbabit diambil polis untuk disiasat.

Imam 1 masjid berkenaan, Ahmad Zawawi Ali berkata, majlis bacaan surah Yasin itu diadakan malam semalam untuk menggantikan kuliah agama dan dihadiri 75 lelaki dan 25 wanita.

“Selesai solat Isyak, naskhah surah Yasin itu diambil dan diedarkan kepada jemaah. Seorang daripada jemaah lelaki menyedarinya dan memberitahu Abdul Rahman.

“Suasana majlis bertukar menjadi riuh apabila lebih ramai jemaah menemui gambar itu di dalam naskhah masing-masing,” katanya.

Gambar lucah itu tidak ditemui di dalam naskhah yang dikhaskan untuk jemaah perempuan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias mengesahkan laporan polis yang dibuat.

“Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan, mendatangkan bencana atau mencemar tempat solat dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan. Sehingga kini belum ada tangkapan.

“Kita ingin menasihati jemaah dan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi sehingga siasatan selesai dijalankan bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Beliau meminta pentadbir masjid lebih berhati-hati menjaga masjid dan meletakkan pengawal untuk mengelak pencerobohan. -SH

Mat Sabu, Pemimpin PAS Yang Berbisa

Kemenangan Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden baru merupakan keuntungan besar kepada PAS sekali gus membuatkan tidur malam pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN) tidak akan lena kerana bimbangkan kekuatan parti Islam itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Mohamad Sabu sememangnya merupakan pemimpin PAS yang dibenci oleh Umno kerana memiliki kehebatan tersendiri.

Menurut Nik Aziz, antara kehebatan Mohamad Sabu termasuklah kekentalan semangat, ketabahannya dalam perjuangan dan kesetiaannya yang jitu terhadap PAS.

Nik Aziz berkata, ia terbukti setelah Mohamad Sabu diuji dengan beberapa ujian besar termasuk ditahan sebanyak dua kali di bawah ISA.

"Namun Mohamad Sabu tetap tidak lari dengan perjuangannya, tetap tidak memilih Umno, malah tetap terus berada dalam PAS," katanya kepada Harakah Daily ketika menyampaikan ceramah perdana di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad di Taman Melewar, semalam.

Katanya lagi, selain mempunyai sikap-sikap tersebut Mohamad Sabu turut diketahui oleh para pemimpin Umno sebagai pemimpin PAS yang berbisa.

"Sebab itulah dengan pemilihan Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS yang baru, Umno tidak akan tidur lena selepas ini.

"Kita bersyukur dapat seorang timbalan presiden yang dibenci oleh Umno. Kita doakan semoga Mohamad Sabu terus diberikan perlindungan oleh Allah,"
katanya.

Sebelum ini, media kawalan Umno-BN Utusan Malaysia turut melaporkan para perwakilan PAS telah melakukan kesilapan besar kerana memilih para pemimpin yang dikatakan dari kalangan profesional bagi menjawat jawatan timbalan dan Naib Presiden PAS pada Muktamar PAS Ke-57.

Malah katanya, dengan pemilihan itu ahli-ahli PAS kini ternyata telah menolak golongan ulama untuk memimpin PAS yang tentunya tidak selari dengan dasar perjungan PAS dan konsep kepimpinan Ulama yang diketengahkan dalam parti Islam itu.

Menurut Nik Aziz, tuduhan Umno itu ternyata meleset kerana realiti dalam PAS sendiri tidak timbul soal golongan ulama dan profesional, malah kesemua pemimpin dan ahli-ahlinya tetap terus dengan dasar perjuangan parti untuk menegakkan Islam sebagai ad-deen di tanah air tercinta ini.

"Walaupun dikatakan bukan dari golongan ulama, tetapi Mohamad Sabu ternyata jauh lebih baik dari orang-orang lepasan Al-Azhar terutama yang berada dalam Umno," katanya.

Justeru, beliau tidak hairan akan tuduhan Umno itu kerana ia melambangkan ketakutan para pemimpin Umno sendiri terhadap pemilihan Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS.

"Ini melambangkan Umno semakin cemas dan makin terdesak sebab itulah mereka memainkan isu itu untuk memecahbelahkan dan melemahkan PAS.

"Namun itu semua tak akan terjadi. Malah pemilihan ke atas Mohamad Sabu pasti menguntungkan PAS sendiri termasuk dalam soal tarikan ke atas golongan non Muslim kepada PAS," katanya.

Nik Aziz berkata, Mohamad Sabu juga diketahui semua pihak sebagai pemimpin yang disukai oleh orang-orang Cina dan India.

Maka dengan pemilihan ke atas Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS, pasti ia akan memudahkan beliau mendekati golongan bukan Islam.

"Dengan itu, Mohamad Sabu pasti akan lebih mudah mendedahkan ajaran Islam kepada golongan non Muslim, sejajar dengan usaha kita untuk suburkan fahaman Islam dalam masyarakat," tegas beliau. -tvsnews



Bayi Dibuang Dalam Tong Sampah

Gombak: Hanya sehari selepas seorang bayi lelaki baru dilahirkan maut akibat dicampak dari tingkat lima pangsapuri, seorang lagi bayi menjadi mangsa kekejaman apabila dibuang dalam ruang membuang sampah sebuah rumah teres di Taman Pelangi, Rawang di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, bayi lelaki yang juga baru dilahirkan dan masih bertali pusat itu terselamat daripada maut apabila dia ditemui pemilik rumah berkenaan ketika mahu membuang sampah pada kira-kira jam 9.30 pagi.

Cik R. Punitha, 25 tahun, berkata ketika baru keluar rumah untuk membuang sampah, beliau melihat dua wanita menunggang motosikal meletakkan sesuatu di tempat membuang sampah di depan rumahnya.

'Saya nampak dua wanita itu meletak sesuatu di depan rumah saya. Saya sangka mereka membuang sampah dan saya kurang senang dengan perbuatan mereka kerana tempat itu kawasan persendirian.

'Saya membuka pintu pagar dan menjerit ke arah mereka. Namun, kedua-dua wanita itu segera memecut,' katanya.

Wanita itu berkata sebaik membuka pintu ruang membuka sampah itu, beliau terkejut apabila melihat seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat diletakkan di atas bungkusan sampah.

Menurutnya, bayi itu masih mempunyai kesan darah di kepala dan dibalut dengan sehelai tuala.

Cik Punitha berkata ketika itu beliau panik dan segera memanggil jirannya sebelum mereka mengangkat bayi lelaki itu.

'Saya sering membaca kes orang buang bayi di akhbar tetapi ini pengalaman yang tidak akan saya lupakan,' katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Penolong Pesuruhjaya Abdul Rahim Abdullah, berkata keadaan bayi itu kini dilaporkan stabil setelah menjalani pemeriksaan kesihatan.

Encik Abdul Rahim berkata, pihaknya kini sedang cuba mengesan individu bertanggungjawab membuang bayi itu dan tidak menolak kemungkinan suspek tinggal di kawasan lain bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Kes pembunuhan dan pembuangan bayi itu merupakan yang keempat berlaku di Lembah Klang dalam tempoh kurang 10 hari. -- HM,BH

Failkan Injunksi Halang JPN Keluarkan Kad Pengenalan Untuk Warga Asing

Pakatan Rakyat perlu mengambil tindakan undang-undang termasuk perintah injunksi sementara terhadap Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi menggantung pengeluaran kad pengenalan kepada warga asing, yang dikaitkan pembangkang sebagai komplot Umno-BN menjelang pilihan raya umum ke-13.

Gesaan itu terkandung dalam usul berkaitan pemalsuan kad pengenalan dibawa Dewan Ulama pada hari terakhir Muktamar Tahunan PAS Ke-57 hari ini.

Pengeluaran kad pengenalan kepada warga asing, sekali gus didakwa membolehkan mereka mendaftar sebagai pengundi menjadi isu yang dibawa oleh pembangkang sejak tahun lalu.

Usul itu menekankan bahawa sejak dua tahun kebelakangan ini sedang berlangsung satu projek sulit mengeluarkan kad-kad pengenalan terutama kepada warga asing dengan tujuan untuk didaftarkan sebagai pengundi.

Malah usul itu juga berkata, pengeluaran kad-kad pengenalan bukan satu rahsia bagi dan perancangan yang sama pernah dilaksanakan di Sabah melalui “projek IC” pada 1980 dan 1990 bagi menumbangkan kerajaan Sabah yang diterajui oleh Parti Bersatu Sabah ketika itu.

“Menyedari bahawa komplot dan perancangan sulit ini tidak lain tidak bukan adalah hasil ‘unholly alliance’ antara Umno-BN dengan JPN, yang menjadi merelakan diri mereka untuk dijadikan perkakas dan pada masa yang sama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membiarkan perkara ini berleluasa,” kata usul itu.

Usul itu juga mendakwa sudah lebih puluhan ribu warga asing diberikan kad pengenalan dan kebanyakannya telah didaftarkan sebagai pengundi di negeri-negeri dikuasai oleh Pakatan Rakyat seperti Selangor, Kelantan dan Kedah.

Usul itu juga mendakwa kepimpinan PAS dan Pakatan Rakyat seolah-olah tidak mengambil perhatian serius untuk menangani perkara tersebut.

Sehubungan itu, usul tersebut mendesak supaya satu suruhanjaya diraja siasatan diadakan bagi menyiasat pengeluaran kad pengenalan kepada warga asing.

Usul itu juga mendesak supaya Kementerian Dalam Negeri dan juga JPN khususnya mendedahkan secara terperinci statistik jumlah taraf kewarganegaraan dan kad pengenalan yang telah dikeluarkan kepada warga asing dan penduduk tetap terutamanya sejak 10 tahun kebelakangan ini mengikut negeri.

“Mendesak supaya jentera PAS dan Pakatan Rakyat di negeri-negeri dan kawasan-kawasan memantau secara rapi pergerakan komplot mengeluarkan kad pengenalan dan membuat tangkapan awam terhadap mereka jika didapati berlaku,” katanya lagi.

Di samping itu, usul tersebut juga mendesak agar Pakatan Rakyat dan PAS memasukkan isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing sebagai salah satu tuntutan dalam agenda Bersih 2.0 yang akan diadakan di ibu negara, 9 Julai ini.

Selain usul itu, muktamar kali ini juga membincang dan meluluskan usul berkaitan dengan Himpunan Bersih 2.0.

Usul itu menggesa seluruh rakyat negara ini menyertai himpunan itu.


Himpunan Bersih pertama diadakan pada akhir 2007 menjelang pilihan raya umum 2008.

Pilihan raya umum ke-13 disebut-sebut akan diadakan bila-bila masa dari sekarang.

Dalam pada itu, Dewan Pemuda PAS pusat menuntut agar sebuah suruhanjaya diraja ditubuhkan bagi menyiasat isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing yang kini dilihat berleluasa.

Exconya Mohd Sany Hamzan berkata suruhanjaya itu perlu bagi mempersoalkan tindakan yang dilakukan oleh pihak tertentu semasa pilihan raya.

“Saya dukacita dengan apa yang Umno lakukan. Mereka terpaksa lakukan pelbagai helah untuk memenangi pilihan raya. Sepatutnya Umno menjadi anak jantan dengan lawan satu dengan satu, bukan dengan melakukan pelbagai helah,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insider selepas membahaskan usul itu. Selain itu, beliau juga berkata, isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing merupakan isu besar dan melibatkan keselamatan dan kesejahteraan negara.

“Isu ini besar. Ia melibatkan isu keselamatan dan kesejahteraan negara, jadi saya minta agar diadakan satu suruhanjaya untuk melihat soal pemberian kad pengenalan ini,” katanya.

Beliau turut berharap agar Majlis Raja-Raja Melayu dapat masuk campur menangani isu ini

Tambahnya, puluhan ribu warga asing diberikan kad pengenalan dan kebanyakannya telah didaftarkan sebagai pengundi di negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat seperti Selangor, Kelantan dan Kedah. Kami juga ingin menuntut supaya Kementerian Dalam Negeri dan JPN mendedahkan secara terperinci statistik jumlah taraf kewarganegaraan dan kad pengenalan yang telah dikeluarkan kepada warga asing dan penduduk tetap terutama sejak sepuluh tahun kebelakangan ini.

Kami juga ingin mendesak supaya jentera PAS dan Pakatan Rakyat di negeri-negeri dan kawasan memantau secara rapi pergerakan komplot mengeluarkan kad pengenalan dan membuat tangkapan awam terhadap mereka jika didapati berlaku,” katanya. -TMI



Mat Sabu: Belum tentu kita menang lagi di S'gor

Di sebalik pentadbiran yang baik, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu masih bimbang kejayaan merampas Selangor tidak boleh dipertahankan sekiranya pilihan raya mengejut diadakan dalam masa terdekat.

"Kita bawa kesejahteraan, guru KAFA gaji tinggi dan sebagainya, tetapi jika dipanggil pilihan raya umum, adakah Pakatan akan terus memerintah selangor?" tanya mohamad sabu kepada perwakilan ketika membentangkan usul menyokong perhimpunan BERSIH untuk mendesak diadakan penambahbaikan peraturan pilihan raya.

Menjawab sendiri soalannya itu, Mohamad mengejutkan perwakilan apabila memberikan jawatan yang dianggap negatif.

"Belum tentu, belum tentu kita boleh menang," katanya.

Dakwanya, ini kerana berlakunya pemindahan pengundi mesra BN ke kawasan kuat Pakatan Rakyat dan melalui taktik pemberian kad pengenalan kepada penduduk tetap.

PAS hari ini mengerahkan anggota dan pemimpinnya untuk menyertai perhimpunan BERSIH 2 pada 9 Julai bagi menyampaikan tuntutan mereka untuk pilihan raya bersih dan adil.

Usul berkenaan diluluskan sebulat suara selepas dibentangkan Mohamad.

Mohamad yang aktif dalam penganjuran perhimpunan BERSIH yang pertama pada November 2007, turut menggesa seluruh rakyat Malaysia untuk menyertai perhimpunan berkenaan.

Usul yang diluluskan itu turut menggariskan tumpuan untuk menggerakkan semua organ parti serta semua barisan kepemimpinan PAS dan rakan komponen Pakatan Rakyat untuk meluluskan perhimpunan tersebut. -mk


3 Sepupu Terbunuh


Machang: Pilu hati seorang bapa apabila melihat dari awal hingga akhir bagaimana anaknya terbabit kemalangan jalan raya sebelum mengangkat jenazah anaknya keluar dari kenderaan dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan yang mengorbankan tiga sepupu termasuk dua beradik, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi di Kilometer 46.8 Jalan Kota Bharu- Kuala Krai, Norhasmalinda Halim, 24, dan dua sepupunya, Nor Aqilah Najiha Mohd Saari, 14, dan Nor Azura Mohd Saari, 18, yang juga adik-beradik maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, leher dan badan.

Kejadian berlaku ketika Norhasmalinda dan dua sepupunya dalam perjalanan dari Bandar baru Gua Musang, ke majlis kenduri kahwin seorang sepupu di Kampung Aur, Bachok.

Difahamkan, kereta Wira dipandu Norhasmalinda bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda Rexton yang datang dari arah Kota Bharu.

Bapa Norhasmalinda, Halim Jusoh, 43, berkata dia dan anaknya bertolak kira-kira jam 7.30 pagi dari Bandar Baru Gua Musang dan berkonvoi dua kereta ke majlis perkahwinan sepupu mereka di Kampung Aur, Bachok.

Katanya, dia menaiki sebuah kereta Mercedes bersama isteri, Mariah Ismail, 45, dan tiga lagi anaknya, manakala Noshasmalinda memandu sebuah lagi kereta bersama dua sepupunya.

“Ketika kira-kira lima kilometer lagi ke simpang Machang, saya melihat cermin belakang dan nampak anak saya terbabit kemalangan. Saya berada di depan selang tiga kereta.

“Segala-galanya berlaku dalam sekelip mata dan saya berpatah balik untuk melihat keadaan anak tetapi dia sudah meninggal dunia sebelum saya mengangkatnya keluar dari kereta.

“Saya turut melihat dua anak saudara saya tidak lagi bernyawa tersepit di dalam kereta,” katanya yang turut memberitahu dua anak saudaranya tidur di rumahnya di Gua Musang sempena cuti sekolah dan mahu dihantar pulang dalam perjalanan berkenaan.

Menurut Halim, dia tidak mampu berkata apa-apa melainkan menangis melihat sekujur tubuh anaknya.

“Setiap yang hidup pasti akan mati. Justeru, saya reda dengan pemergian anak.

“Cuma, saya terkilan kerana anak sepatutnya habis pengajian dalam jurusan Diploma Elektronik Industri di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di Kulim, Kedah selepas tamat amali di Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu, Lundang, kota Bharu, 9 Jun ini,” katanya.

Halim berkata, anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan, sebaliknya bersikap seperti biasa.

Bagi adik Norhasmalinda, Nor Ashikin Akmel Halim, 21, kakaknya dilihat lebih gemar mendiamkan diri sejak kebelakangan ini sebelum maut dalam kemalangan.

Jenazah ketiga-tiga mangsa dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Kampung Pantai Melawi, Bachok, selepas Isyak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang Deputi Superintendan Che Malik Bedot ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan dijalankan. -HM



Maut sebelum majlis perkahwinan

KERETA Proton Wira yang dinaiki Norhasmalinda, Nur Aqilah Najiha dan Nur Azura remuk selepas terlibat dalam kemalangan di Machang semalam.

MACHANG – Kegembiraan seorang ayah untuk pulang ke kampung menghadiri majlis perkahwinan anak saudaranya bersama ahli keluarga tersentak apabila anak sulungnya serta dua lagi anak saudaranya maut dalam satu kemalangan jalan raya di sini semalam.

Lebih menghibakan, dia menyaksikan sendiri kereta Proton Wira yang dipandu anaknya itu bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis SsangYong Rexton melalui cermin pandang belakang ketika dia ingin melihat kedudukan kereta anaknya itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi di Kilometer 46.8, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai di Kampung Kemuning itu, kereta yang dipandu Norhasmalinda Halim, 24, bersama dua sepupunya, Nor Aqilah Najiha Mohd. Saari, 14, dan kakaknya, Nor Azura, 18, dikatakan cuba memotong sebuah kenderaan lain sebelum bertembung dengan kenderaan tersebut.

Ketiga-tiga mereka maut dalam kemalangan itu manakala pemandu SUV itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bapa Norhasmalinda, Halim Jusoh, 47, memberitahu, ketika kejadian, dia yang memandu kereta lain bersama isterinya, Mariah Ismail, 45, dan tiga anaknya dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kampung Aur, Telong, Bachok untuk menghadiri majlis perkahwinan anak saudaranya.

“Kami bertolak dari Gua Musang kira-kira pukul 7.30 pagi dan kereta yang dipandu arwah (Norhasmalinda) berada di belakang kereta saya.

“Sampai di tempat kejadian, kebetulan ketika itu saya melihat cermin pandang belakang dan nampak kereta anak saya terlibat dalam kemalangan. Saya terus memberhentikan kenderaan dan berlari ke tempat kejadian,” katanya ketika ditemui semalam. -kosmo


Tukang Kempen Yang Berlagak Tuhan

Akhirnya Haji Mohamad Sabu terpilih sebagai Timbalan Presiden PAS. Ketika saya mengunjungi Markaz Tarbiyyah PAS Pusat tadi, seorang kawan baik mengucapkan tahniah kepada saya. Kawan itu adalah seorang yang sangat wala' kepada kepiminanan ulama. Saya tak ingat apa saya kata bila dia ucap tahniah. Tetapi yang jelas, saya bukanlah orang yang patut diucapkan tahniah.

Saya tak membantu Mat Sabu. Saya tidak minat benda tu semua. Bagi saya, setakat nak lawan Umno, nak maki Umno, Mat Sabu tak payah jadi Timbalan Presiden PAS. Atas nama Mat Sabu pun dia boleh buat kerja tu dengan cemerlang. Dia dah established.

Saya akhirnya tak keluarkan lagi cakap-cakap discouraging yang kadang-kadang kasar dan kesat bila Mat Sabu buat keputusan bertanding. Saya menginsafi bahawa Mat Sabu pun orang jugak. Sebagai orang, natural la kalau dia pun ada keinginan. Biarlah. Dan, bila dah Mat Sabu bertanding, takkan saya nak dia kalah pulak. Tentulah saya mohon kepada Allah agar dia tak kalah. Tu natural la.

Sebenarnya bukan benda tu yang saya nak tulis. Yang saya nak tulis ialah tentang orang-orang yang mendahului Tuhan. Saya nak tulis supaya lain kali saya dan sesiapa pun tidak berlagak Tuhan.

Nak sokong siapa pun, itu hak demokrasi masing-masing. Nak buat video kempen dan tayang dalam muktamar sekalipun, bagi saya itu hak demokrasi masing-masing. Saya tak ada masalah. Nak kencing Ustaz Nasharudin Mat Isa pun setelah sekian lama memperalatkannya sebagai kambing hitam dan budak belasahan umum setelah sama-sama berjumpa dalam gelap dalam Umno, lantak hampa la. Kan itu hak demokrasi hampa!!

Tinggal lagi, kita pun ada hak demokrasi jugak nak ingatkan orang tentang buruk kelaku kaki-kaki kencing kawan tu supaya orang lain tak jadi mangsa dan dikencing dek depa macam depa kencing Nasharudin.

Kencing manis boleh berubat. Tapi jenis kencing kawan sangat berbahaya. Jaga-jaga jenis tu!

Namun, walaupun kita berjaga-jaga terhadap bahaya depa, kita tak boleh membantah hak depa untuk buat buruk kelaku lagu tu. Kita hanya boleh berjaga-jaga dan tak boleh nak buat apa sangat terhadap buruk kelaku depa yang suka kencing kawan depa sendiri yang depa pergunakan selama ini. Lain la kalau kita yang depa kencing.

Ikut suka hampalah nak kencing kawan hampa sendiri. Yang saya tak boleh tahan ialah perangai mendahului Allah dan berlagak Tuhan.

Ada seorang kaki kempen berlagak Tuhan. Dalam pemilihan kali ini, gitu-gitu ja dia kencing Nasharudin. Mamat tu memang terkenal kuat berkempen sampai berpeluh-peluh round Malaysia. Dalam jelajahnya, beliau ada singgah di Masjid Subang. Di situ dengan penuh angkuh beliau memberitahu beberapa kawan supaya "bagi tau Mat Sabu dia setakat jawatankuasa ja". Maknanya dia dah mendahului Allah dan membuat ketetapan bahawa Mat Sabu tak akan merasa jadi Timbalan Presiden. Amboi!

Tak sokong tak pa. Benci pun tak pa. Itu hak masing-masing la. Tapi, jangan mendahului Allah, Ustaz. Jangan berlagak Tuhan dan membuat ketetapan terhadap nasib orang lain, Ustaz! Tak elok orang mengaji tinggi agama berlagak Tuhan macam tu. Dont play god, Ustaz!

Speculate satu hal, tetapi berlagak Tuhan hal lain pulak.

Saya tak peduli kalau perbuatan berlagak Tuhan dibuat oleh orang tak mengaji yang mengeja pun tak reti-reti walaupun dah beruban dan tulis merapu-rapu kalimah Arab ikut suka jahil dia. Mampoih pi la kalau berapa kali pun dia bersungguh-sungguh membuat ketetapan siapa tak akan menang dan siapa yang akan menang. Mampoih pi la kalau dia berlagak Tuhan dan boleh membaca niat surat khabar mana pun.

Jenis lagu tu, apa nak kira. -Penarik beca

Pemuda PAS, Platform Untuk Persiapkan PAS Sebagai Parti Anak Beranak?

Adalah tindakan tidak matang,tidak wajar dan tidak beretika apabila Pemuda PAS melakukan pemilihan dengan meletakkan anak-anak pimpinan PAS Pusat berada di dalam barisan pimpinannya persis ingin menjadi PAS sebagai parti anak beranak.

Nik Abduh Nik Abdul Aziz, anak Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat kini menerajui Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) setelah berjaya mengenepikan penyandang jawatan itu, Azman Shapawi.

Beliau memperoleh 260 undi manakala Azman hanya memungut 94 undi pada pemilihan Muktamar DPPP ke 52 di Dewan MBSA, kelmarin.

Begitu juga Khalil Abdul Hadi yang dipilih menjadi salah seorang ahli jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat yang menerima 320 undi.

Hal ini terlalu mengaibkan parti yang selama ini kita cuba sentiasa membersihkan konsep nepotisma dan kronisma di dalam pemerintahan negara, alih-alih mendapati sayap pemuda PAS dilanda dengan wabak yang serupa menjadikan Dewan Pemuda sebagai tapak untuk anak-anak pemimpin tertinggi PAS mempersiapkan diri untuk mengambil-alih teraju parti di masa muka.

Ini memberikan contoh yang tidak baik kerana akan lahir persepsi bukan sahaja dari kalangan ahli malah dari seluruh rakyat di negara ini bahawa kini PAS sudah memutar jarum jam ke belakang mengikut jejak-jekak kepimpinan PAS era nasionalis-Islamis di mana pernah sewaktu PAS di era Datuk Mohd Asri Muda sebagai Presidennya, nepotisma diamalkan.

Malah PAS - pernah diberi gelaran Parti Asri Sekeluarga - kerana pemegang beberapa jawatan tinggi ada kaitan keluarga dengan Presiden PAS waktu itu, Datuk Asri. Serangan sedemikian ketika PAS berdepan dengan krisis politik pada waktu itu, merugikan PAS dan menjadi modal lawan yang berkesan sekali.

Memang di dalam parti-parti lain termasuk rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat, ada mengamalkan nepostisma tersebut, tetapi mengapa Pas juga turut terlibat dalam amalan seumpama itu? Lebih menyedihkan amalan itu di tunjukkan sendiri oleh pemimpin tertinggi parti.

Kenyataan Ketua Dewan Ulamak yang PAS tidak terlalu meraikan kehendak rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat sepatutnya juga meliputi tidak mengikuti contoh-contoh yang tidak baik yang diamalkan oleh parti mereka.

Parti politik adalah tapak kepada pemilikan kekuasaan apabila parti politik berkenaan memenangi plihanraya dan rakyat memandang serong dan rendah politik keluarga seperti ini.

Jangan lupa isu-isu keluarga antara penyumbang kepada tumbangnya Pak Lah selepas pilihanraya 2008.

Di peringkat antarabangsa pula, masyarakat dunia turut menempelak dan tidak dapat menerima kehadiran tokoh "anak-beranak" di dalam pemerintahan dan parti. Runtuhnya kerajaan Hosni Mubarak di Mesir, salah satu sebabnya ialah kebencian rakyat terhadap pemerintahanya ialah kehadiran Alaa Mubarak dan adik laki-lakinya Gamal, yang memegang jabatan tinggi di partai yang berkuasa yang akhirnya telah menghancurkan kekuasaan pemimpin berusia 82 tahun itu.

Begitu juga di Libya, dunia mengutuk anak pemimpin Libya Saif Gaddafi yang "campurtangan" mengumumkan sebuah perlembagaan baru telah siap ketika pemberontak yang berusaha menggulingkan ayahnya berhasil dikalahkan.

Inilah persoalan yang sepatutnya menjadi iktibar kepada pemuda dan saya melihat pemuda masih TIDUR di dalam isu-isu sebegini sehingga nanti ia menjadi peluru besar yang akan menghancurkan parti.

Berbeza keadaan jika penyertaan aktif mereka JIKA ayah masing-masing sudah tidak bergiat lagi atau sudah menyahut seruan Ilahi seperti akktifnya Mujahid yang muncul di pentas politik PAS setelah ketiadaan Tn Hj Yusof Rawa.

Penyertaan anak-anak pemimpin tertinggi PAS ke dalam barisan pemuda adalah satu cacat paling malang yang mana ia amatb tidak ber-uswah (mengambil suri teladan) dari nasihat khalifah Islam yang ternama, Umar Al-Khattab.

Ketika hampir wafat setelah ditikam, Umar Al-Khattab berpesan kepada anaknya (Abdullah bin Umar), "Wahai Abdullah, keluarga Umar tidak menaruh niat sedikit pun untuk menjadi khalifah. Cukuplah di kalangan keluarga Umar ini, Umar Al Khattab saja yang masuk neraka. Anakku... sekali kali jangan, jangan engkau mengingat-ingat akan jabatan khalifah ini..."

Tidak ada anak Rasulullah s.a.w. yang diangkat menjadi khalifah dan tidak ada anak-anak khalifah yang mewarisi jabatan ayahandanya.

Masih begitu ramai ahli-ahli pemuda yang layak untuk memegang jawatan, yang lebih lama dan lebih aktif dari anak-anak pemimpin ini, mengapa ditinggalkan?

Itu pemuda yang memanjat pokok memasang bendera di waktu pilihanraya, yang ditarbiyah bukan sahaja oleh ulamak tetapi oleh alamiah, lebih mulia untuk diangkat di dalam barisan pemuda daripada anak-anak pemimpin yang walaupun kelulusan tinggi tetapi hidup di dalam keadaan yang segala-galanya telah tersedia untuk mereka, hatta "nama" untuk dijaja di dalam pemilihan kerana telah mewarisi kemasyuran dari ayah mereka.

Sepatutnya sebagai sebuah parti Islam, kita tidak membenarkan jawatan dan kepimpinan sebagai warisan turun temurun.

Kita baru sahaja melihat bagaimana berkocaknya kerajaan Kelantan di dalam kes Ariffahmi yang sehingga sekarang digunakan sebagai isu musuh menyerangkan Mursyidul Am yang juga Menteri Besar Kelantan.

Sayangnya, tatkala PAS Pusat yang telah berubah memilih pimpinan untuk persediaan kemenangan, sayap pemuda masih tersangkut di celah gelegar surau nepotisma. Tetapi nafsunya besar, menuntut 40% kerusi diberikan untuk mereka.

Pemuda kelihatan seperti menjunjung kepimpinan ulamak ke peringkat paling keramat tetapi pada waktu yang sama najis nepotisma terpalit yang menyebabkan hanyirnya boleh menyebabkan parti berbau busuk sewaktu pilihanraya nanti yang jari rakyat menuding kita dengan jeritan, PAS cakap tak serupa bikin, bikin tak serupa cakap!


Tikus Gergasi Ini Memakan 2 Orang Bayi

Cape Town - Afrika Selatan diserang tikus. Bukan tikus biasa, tikus-tikus ini sebesar seekor kucing. Dengan ukuran sebesar itu, tikus-tikus itu mencari mangsa yang cukup besar. Bayi.

Tikus itu boleh membesar hingga hampir satu meter, dari muncong hingga ekor. Sementara gigi depannya sepanjang 2,5 cm.

Minggu ini sahaja sudah berlaku dua tragedi yang mengerikan. Tikus-tikus raksasa memakan dua orang bayi dalam dua peristiwa berbeza. Lunathi Dwadwa, 3 tahun terbunuh dalam tidurnya di kawasan perumahan di luar Cape Town. Sementara seorang bayi lain menjadi mangsa tikus di Soweto, tak jauh dari Johannesburg pada hari yang sama.

Lunathi ditemukan terbunuh dalam keadaan mengerikan oleh orangtuanya, pada 29/5/2011. Tidak ada tangisan ataupun jeritan sebelumnya.

"Saya tidak dapat melupakan betapa mengerikan keadaan anak saya. Matanya terkeluar. Wajahnya rosak dari alis hingga pipi," kata Bukiswa Dwadwa (27 tahun), ibu bayi itu.

"Tidak ada yang boleh melakukannya kecuali tikus," ujar Mncedisi Mokoena, ayah Lunathi.

Beberapa jam kemudian, polis menemukan kes yang serupa. Seorang bayi perempuan diserang segerombolan tikus besar ketikan ibunya yang masih remaja pergi dengan teman-temannya.

"Kami mendapat panggilan dari lokasi kejadian, tentang terbunuhnya bayi tersebut akibat serangan tikus," kata polis bernama Bongai Mhlongo.

"Kami menahan ibunya dengan tuduhan kelalaian yang mengakibatkan kematian," tambahnya.

Bulan lalu, Nomathemba Joyi (77) juga tewas setelah tikus-tikus raksasa memakan sisi kanan wajahnya.

Di kawasan perumahan Afrika Selatan, tikus raksasa biasa ditemukan di tempat-tempat sampah.

Tikus-tikus itu diyakini termasuk jenis African Giant Pouched Rats, salah satu jenis tikus terbesar dunia. Mereka lebih aktif di malam hari, pemakan segala, dan boleh membiakkan 50 anak dalam setahun. Beberapa suku di Afrika mengembangbiakkan tikus jenis itu untuk dimakan. -kompas.com