18 Mac 2012

[Bergambar & Video] Gelombang Ungu - Wanita Suara Perubahan Tuntut Kerajaan Bebas Rasuah

Gelombang unggu tuntut kerajaan bebas rasuah

Jalan-jalan sekitar Petaling Jaya, Selangor hari ini menyaksikan gelombang ungu apabila kira-kira 4,000 sebahagian besar mereka wanita berarak dari dua lokasi berbeza dalam usaha menuntut untuk kerajaan bebas rasuah dan bersih tadbir urus yang bersih.

Sambil berpakaian ungu dan sarung tangan putih, mereka berkumpul di dua tempat berasingan - tasik Taman Jaya dan Masjid Tun Abdul Aziz di Seksyen 14 pada jam 2 petang tadi, meskipun hujan gerimis.

Dengan melaungkan slogan seperti "Hidup, Hidup, Hidup wanita” dan “Tolak, tolak, tolak rasuah" mereka juga membawa sepanduk, kain rentang dan poster yang bertemakan anti rasuah dan anti diskriminasi terhadap wanita.

Mereka kemudiannya membanjiri Padang Astaka, Petaling Jaya bagi menghadiri Himpunan Wanita Suara Perubahan.

Himpunan yang bermula pada pukul 3.15 itu dihadiri oleh pimpinan Pakatan Rakyat. Antara mereka, exco kanan kerajaan negeri Selangor, Teresa Kok, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Ketua Muslimat PAS, Siti Zailah Yusuf.

Selain pimpinan Pakatan, turut mencuri tumpuan pada perhimpunan itu ialah 20 orang wakil Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung.

Ketika berarak, peserta melaungkan 'Wanita mahukan perubahan', 'Hentikan rasuah' sambil membawa sepanduk seperti 'Keganasan terhadap wanita siapa peduli' dan 'Negara maju kami miskin'.

Himpunan anjuran gabungan 15 NGO ini juga turut diserikan lagi dengan acara tarian oleh jawatankuasa Wanita Suara Perubahan dan paluan gendang daripada kumpulan KL Street Drummers.

Selain itu, exco kebajikan, hal ehwal wanita, sains teknologi dan inovasi, Rodziah Ismail ketika berucap menyeru agar perubahan pentadbiran dilakukan bukan sahaja di Selangor malah di seluruh Malaysia.

Tukar kerajaan

Sambil mendapat sokongan gemuruh, Rodziah juga berkata, semua wanita perlu bekerja kuat dan turun padang bagi memastikan kerajaan akan datang adalah sebuah kerajaan yang bersih.

"Kita perlu lakukan perubahan dengan memastikan kerajaan yang bersih. Kita juga perlu bersihkan BN.

"Sebagai wanita bukan sahaja perlu pastikan perubahan ini boleh dilakukan tetapi berjanji akan pastikan kerajaan juga ditukar," katanya yang juga merupakan ADUN Batu Tiga.

Bagi wakil masyarakat kaum Orang Asli, Fatimah Bahsin pula berkata, beliau mahu kerajaan memberi jaminan akan melindung hak tanah adat mereka dan tidak menindas wanita Orang Asli.

Fatimah berkata, penindasan terhadap wanita Orang Asli perlu dihentikan kerana jelasnya, golongan itu juga mampu melaksanakan kerja mereka dengan bagus.

"Jangan singkirkan Orang Asli. Wanita Orang Asli sebelum ini dibuli kerana tidak berpendidikan. Kita juga mampu buat kerja bagus dan kami minta beri gaji berpatutan kepada kami.

"Kerajaan juga perlu bagi tanah kepada kami kerana itulah mata pencarian Orang Asli," katanya sambil mendapat tepukan daripada peserta himpunan.

Sementara itu, Jawatankuasa Wanita Suara Perubahan, Adriene Leong berkata, himpunan hari ini berjaya mencapai sasaran, Malah, katanya, beliau tidak menyangka peserta yang hadir akan mencecah ribuan orang.

Keluar mengundi

Menurut Adriene yang juga merupakan ahli Empower, matlamat utama himpunan ini adalah bagi menuntut kerajaan yang bersih tidak kira dari parti mana yang bakal memimpin negara.

"Kita juga sebenarnya menjemput semua ADUN dan ahli parlimen untuk hadir pada himpunan hari ini. Sesiapa pun sebenarnya boleh hadir tidak hanya sebelah pihak sahaja.

"Dan kita bukan mahu ubah kerajaan tetapi tidak kira siapa yang menjadi kerajaan, mereka perlu bersih," katanya.

Menurut Adriene lagi, himpunan ini juga merupakan antara cara bagi menggesa wanita supaya keluar mengundi pada pilihan raya umum serta menjadikan isu wanita sebagai isu negara.

"Tidak kira dari parti mana, isu wanita perlu diletakkan sebagai isu negara dan kemungkinan juga, pada Hari Wanita tahun hadapan, kita akan buat lagi himpunan seperti ini," ujarnya. -mk














Keputusan Pembukaan Formula1 2012: Jenson Button Menang GP Australia

F1: Button menang GP Australia

MELBOURNE: Pemandu McLaren, Jenson Button memenangi Grand Prix (GP) Australia dalam perlumbaan pembuka tirai musim yang mendebarkan petang tadi untuk mengatasi juara bertahan dua kali, Sebastian Vettel di tempat kedua.

Pemandu berusia 32 tahun yang memulakan perlumbaan di petak kedua, memanfaatkan kesilapan rakan sepasukan Lewis Hamilton yang bermula lembab di petak utama untuk mendahului di selekoh pertama, dan mengekalkan kedudukan itu hingga tamat saingan.

Hamilton yang bergelut pada permulaan perlumbaan menamatkan saingan di tempat ketiga di belakang Vettel yang memandu Red Bull dan bermula di petak keenam.

Kejayaan Vettel yang dibantu kereta keselamatan yang masuk tepat pada masanya, sekali gus memperlihatkan betapa cabaran beliau dan pasukannya tidak boleh dipandang mudah dan membayangkan persaingan sengit kejuaraan antara mereka dengan McLaren.

“Kemenangan ini adalah permulaan yang baik dan ia menunjukkan bagaimana kerja keras kami pada musim sejuk berbaloi,” kata Button. “Ia permulaan baik tahun ini buat saya dan pasukan.”

Ia adalah kemenangan kali ketiga juara dunia 2009 itu dalam tempoh empat tahun di GP Australia, dan ke-13 dalam kariernya.

Jaguh tempatan, Mark Webber menamatkan perlumbaan dengan menduduki tempat keempat iaitu pencapaian terbaiknya bersama Red Bull di laman sendiri.
Juara dua kali, Fernando Alonso dari Ferrari menduduki tempat kelima selepas bermula di petak ke-12, berikutan prestasi mengecewakan di ujian masa kelmarin, di depan pemandu Jepun, Kamui Kobayahsi dari Sauber. - AFP/BH

Keputusan penuh:

1. Jenson Button (GBR) McLaren-Mercedes 1 jam 34 min 09.565 saat
2. Sebastian Vettel (GER) Red Bull-Renault at 2.1sec
3. Lewis Hamilton (GBR) McLaren-Mercedes at 4.0
4. Mark Webber (AUS) Red Bull-Renault at 4.5
5. Fernando Alonso (ESP) Ferrari at 21.5
6. Kamui Kobayashi (JPN) Sauber-Ferrari at 36.7
7. Kimi Raikkonen (FIN) Lotus-Renault at 38.0
8. Sergio Perez (MEX) Sauber-Ferrari at 39.4
9. Daniel Ricciardo (AUS) Toro Rosso-Ferrari at 39.5
10. Paul di Resta (GBR) Force India-Mercedes at 39.7
11. Jean-Eric Vergne (FRA) Toro Rosso-Ferrari at 39.8
12. Nico Rosberg (GER) Mercedes at 57.6

Tidak menamatkan perlumbaan:

Pastor Maldonado (VEN) Williams-Renault,
Timo Glock (GER) Marussia-Cosworth,
Charles Pic (FRA) Marussia-Cosworth,
Bruno Senna (BRA) Williams-Renault,
Felipe Massa (BRA) Ferrari,
Heikki Kovalainen (FIN) Caterham-Renault,
Vitaly Petrov (RUS) Caterham-Renault,
Michael Schumacher (GER) Mercedes,
Romain Grosjean (FRA) Lotus-Renault,
Nico Hulkenberg (GER) Force India-Mercedes

Tidak bermula:

Pedro de la Rosa (ESP) HRT-Cosworth,
Narain Karthikeyan (IND) HRT-Cosworth

Siapa Kata MB Kedah Keras Kepala? Phahrolrazi & Ismail Tidak Dilucutkan Jawatan

Tiada rombakan Pas Kedah

KOTA SARANG SEMUT - Tiada rombakan dalam Jawatankuasa Perhubungan Pas Kedah walaupun kira-kira 90 peratus suara dari kawasan mahu penyusunan semula dilakukan bagi memantapkan jentera parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) susulan kemelut kepimpinan negeri baru-baru ini.

Sinar Harian difahamkan, usul penyusunan semula jawatankuasa itu dikemukakan oleh Dewan Pemuda Pas negeri dan mendapat sokongan majoriti kepimpinan kawasan termasuk Sungai Petani, Jerlun, Kulim-Bandar Baharu, Kubang Pasu dan Pokok Sena.

Malah, majoriti wakil yang menghadiri mesyuarat bulanan Pas Kedah di Kompleks Pas Batu 9, semalam, turut menyuarakan kebimbangan mengenai kesukaran yang mungkin dihadapi jika kedua-dua timbalan pesuruhjaya Pas, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh, kekal dalam jawatankuasa itu.

Susulan kebimbangan itu, ada wakil Pas kawasan yang mengutarakan usul mendesak agar Phahrolrazi dan Ismail dilucutkan jawatan, namun Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Seri Azizan Abdul Razak telah menolak.

Difahamkan, keengganan Azizan adalah disebabkan pendiriannya tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan ,selain memberi ruang kepada kedua-duanya untuk memperbaiki keadaan.

Sementara itu, Azizan ketika ditemui media selepas mempengerusikan mesyuarat terbabit, tidak menafikan isu mengenai usul penyusunan semula jawatankuasa Perhubungan Pas negeri turut dibincangkan.

"Tidak semestinya bila ada orang minta lucut, kita akan lucutkan (jawatan), tetapi kita ada bincang secara umum mengenainya," katanya.

Menurutnya, terdapat dua peringkat pelucutan iaitu peringkat keahlian dan pelucutan beberapa jawatan.

"Peringkat keahlian, bukan hak negeri tetapi hak Pusat, mengenai pelucutan beberapa jawatan pula, bukan hak pesuruhjaya tetapi pesuruhjaya boleh membuat tuntutan dengan persetujuan jawatankuasa. Namun ada beberapa faktor yang perlu diambil kira, tidak semudah itu," katanya.

Azizan berkata, selain isu berkenaan, mesyuarat bulanan yang bermula jam 9.30 pagi sehingga 2 petang itu turut menyentuh pelbagai isu termasuk kewangan, program serta persiapan pilihan raya.

Ulasan GB

Akhirnya kebenaran terdedah. Ustadz Azizan diakuisebagai seorang yang berjiwa besar dan berlapang dada apabila beliau sendiri mengenepikan usul untuk melucutkan Pharolrasi dan Ismail Salleh sebagai TPJ1 & TPJ2.

Walhal sebelum ini kumpulan dua orang "klom Hassan Ali" dengan para penyokong tegar mereka yang menuduh Ustadz Azizan dengan pelbagai tohmahan dan cacian, "keras kepala, "cenge", dan seumpamanya sehingga sanggup kononnya untuk menjadi "kamikaze".

Dengan mengambil kes Hassan Ali sebagai contoh, yang GB pernah dedahkan sekitar tahun 2009, hanya pada 2012 terdedah watak sebenar Hassan Ali yang akhirnya dipecat dari PAS.

Walaupun PAS Pusat mengambil masa yang agak lama untuk memperakui kebenaran tulisan-tulisan GB dan lain-lain blogger yang mendedahkan perwatakan Hassan Ali tersebut, namun akhirnya, hukum kebenaran dan keadilan mengambil tempatnya, Allah campakkan Hassan Ali keluar dari jemaah.

Dan kini di Kedah pula:

usul penyusunan semula jawatankuasa itu dikemukakan oleh Dewan Pemuda Pas negeri dan mendapat sokongan majoriti kepimpinan kawasan termasuk Sungai Petani, Jerlun, Kulim-Bandar Baharu, Kubang Pasu dan Pokok Sena.

Entah tahun bila nanti kita akan dapat melihat kedua-dua kamikaze itu akan mengikut jejak langkah Hassan Ali juga. Kerana sifat mereka serupa, tidak ada adab dan akhlaq di dalam amal jam'iyy dengan mengadakan sidang akhbar sendiri-sendiri walaupun kesemua mereka mengakui hanya ada bulan dalam hati!

Mangsa Simbahan Asid Tidak Boleh Kena Cuaca Panas Selama 2 Tahun

Marang - Mangsa simbahan asid, Mohd. Fazil Hanafi Idrus, 18, kini terpaksa menempuh hidup baharu yang jauh berbeza daripada orang lain apabila dia terpaksa mengelak sinaran cahaya matahari selama dua tahun jika mahu cepat pulih.

ZALEHA menyapu ubat pada luka di tangan Mohd. Fazil di rumah mereka di Kampung Baru Merchang, Marang semalam.

Akibat kejadian pada 19 Februari lalu, Mohd. Fazil yang kini menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada Rabu ini mengalami luka dan parut di sebahagian besar muka, kepala, kedua-dua belah tangan dan kaki serta badan.

Dalam tempoh dua tahun akan datang ini, dia terpaksa memakai pakaian tebal dan menutupi kepalanya untuk melindungi kulit daripada bahang matahari.

Mohd. Fazil berkata, doktor yang merawatnya menetapkan pantang larang itu memandangkan kulitnya yang telah rosak kini amat sensitif dan memerlukan penjagaan yang teliti.

"Saya tidak tahu bagaimana harus saya lalui tempoh dua tahun ini dan saya sangat berharap luka dan kesan parut ini dapat segera sembuh," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Merchang dekat sini, semalam.

Dalam kejadian 19 Februari lalu, dia bersama rakannya yang juga nelayan, Shahurzaman Salim, 38, melecur disimbah cecair, dipercayai asid dalam satu insiden awal pagi di Kampung Padang Merchang.

Kejadian kira-kira 5.10 pagi itu berlaku ketika kedua-dua sahabat itu nyenyak tidur bersama empat lagi rakan mereka di sebuah rumah bujang selepas menonton perlawanan bola sepak di televisyen.

Akibat simbahan itu, Mohd. Fazil melecur di sebahagian besar tubuh manakala Shahurzaman cedera di muka serta mata.

Polis menahan tiga suspek untuk membantu siasatan iaitu dua lelaki berumur 32 dan 39 tahun pada hari kejadian manakala suspek ketiga yang berusia 26 tahun ditangkap sehari kemudian.

Bagaimanapun, ketiga-tiga suspek dibebaskan selepas tamat tempoh tahanan reman.

Selain terpaksa mengelak cahaya matahari, Mohd. Fazil juga mungkin perlu memakai sarung tangan tekanan dan mungkin juga topeng tekanan bagi memastikan kesan parutnya tidak timbul.

Mengenangkan penderitaan yang terpaksa dihadapi, mangsa mempunyai sebab untuk tidak memaafkan suspek kejadian itu.

"Saya tidak tahu apa motif orang itu tetapi saya tidak akan memaafkan dia atas apa yang dilakukan pada saya," katanya lagi.

Jelasnya, akibat kejadian itu, dia terpaksa dirawat kira-kira tiga minggu di Hospital Sultanah Nur Zahirah dan perlu mendapatkan rawatan secara berkala bagi memastikan kesan lukanya pulih.

Sementara itu, ibunya, Zaleha Ishak, 48, berkata, walaupun pihak hospital membenarkan anaknya itu pulang awal, dia masih perlu menjalani rawatan susulan dua kali seminggu. -kosmo

Laporan sebelum ini
klik untuk baca



Kes Dirang: Bekas Suami Pesan Suruh Jaga Hafis Dengan Baik

Pasir Gudang - "Jaga Hafis baik-baik, jangan sesekali tinggalkan dia sendirian," demikianlah pesan Handry Yongot, 30-an, bapa kandung mangsa bunuh dan bakar, Nurul Nadirah Abdullah, 5, kepada bekas isterinya agar menjaga anak lelaki mereka, Mohamad Hafis, 6, dengan baik.

Menurut ibu Nurul Nadirah, Roselyn Alan, 25, amanat itu disampaikan sebanyak dua kali oleh Handry sewaktu kali terakhir dia bertemu bekas suaminya itu di Tanah Perkuburan Pekan Masai sewaktu upacara pengebumian Allahyarham Nurul Nadirah yang turut dikenali dengan nama manja, Dirang, Rabu lepas.

"Handry juga pesan pada suami saya supaya bawa Hafis ke mana sahaja kami pergi kerana dia tidak mahu pisang berbuah dua kali," katanya.

Kata Roselyn, hubungan bekas suaminya dengan Hafis dan Dirang sangat rapat kerana sewaktu tinggal di Kuala Lumpur, dia kerap bertemu dengan anak-anaknya itu.

"Jika benar Handry akan diusir pulang ke Filipina, saya merayu agar dia dan Hafis dapat ditemukan walaupun seketika agar mereka dapat mengubat kerinduan masing-masing," ujarnya.

Dalam pada itu, Roselyn juga merayu pihak bertanggungjawab agar tidak mengusir bekas suaminya yang juga bapa kandung mangsa ke Filipina.

Katanya, Handry yang mula dikenali sekitar tahun 1995 memang berasal dari Sabah dan mempunyai keluarga di sana.

"Handry tidak mempunyai pengenalan diri kerana dibesarkan oleh keluarga ibu saudaranya selepas ibu bapanya meninggal dunia ketika dia masih bayi.

“Saya rayu pihak bertanggungjawab agar tidak mengusirnya ke Filipina kerana bakal menimbulkan masalah kerana dia tidak tahu berbahasa Inggeris dan tidak mempunyai keluarga di sana.

“Lagipun dia baru kehilangan anak kesayangannya, dan macam mana nanti dia hendak bertemu lagi dengan anak tunggalnya di sini sekiranya diusir ke Filipina,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, Handry memang dikenali sebagai suami dan bapa yang sabar dan penyayang, tetapi jodoh mereka tidak panjang apabila perkahwinan yang dibina sepanjang lima tahun berakhir dengan perceraian.

“Masa mula-mula berjumpa di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, dia (Handry) berpesan supaya sentiasa membawa Hafis ke mana sahaja dan tidak membiarkan anak lelakinya itu tinggal sendirian.

“Hubungan kami masih baik sebagai kawan demi anak-anak. Saya rayu kasihanilah dia (Handry) agar tidak diusir ke Filipina kerana dia seorang yang baik,” katanya.

Sementara itu, suami Roselyn, Lima Medeng, 25, memberitahu, jika diberi peluang dia mahu bertugas di Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) agar tidak perlu berpindah jauh ke Sarawak.

"Saya ada cuba memohon untuk bekerja di LPJ sebelum ini, tetapi dimaklumkan rakan-rakan tiada kekosongan.

"Jika ada rezeki saya dapat kerja di sini, kami sekeluarga tidak jadi pulang ke Sarawak untuk memulakan hidup baru. Bagaimanapun kami akan tetap berpindah dan tidak akan tinggal di flet ini agar tidak dihantui kenangan bersama Dirang," katanya. -SH

Hiburan Islam: Iluvislam Anjurkan Konsert Rhythm Of the Soul: Di Bawah LangitMu


Konsert Rhythm Of the Soul: Di Bawah LangitMu

Merupakan satu inisiatif yang cukup berbeza apabila iLuvIslam Radio bakal menganjurkan konsert yang bertajuk “Rhythm Of The Soul: Di Bawah Langit Mu”, Satu langkah positif yang akan mencorakkan lagi perkembangan muzik Nasyid yang telah terpinggir sejak kebelakangan ini.

Namun, ada kelainan yang ingin mereka tampilkan kali ini, tidak seperti konsert nasyid yang biasa diadakan di segenap pelusuk negara. Konsert ini bakal diadakan pada 20 dan 21 April 2011 bertempat di Dewan Muktamar, Pusat Islam Kuala Lumpur. Mengambil konsep zikir sebagai tema konsert ini merupakan satu kelainan dan pertama kali diadakan di Malaysia

Konsert ini bakal menampilkan penyanyi lagu dakwah terkenal Indonesia iaitu Opick, juga merupakan komposer lagu 'Dealova' nyanyian Once. Penyanyi yang terkenal dengan lagu 'Ketika Cinta Memanggil' juga di nyanyikan oleh Dato' Siti Nurhaliza ini bakal bergabung dengan beberapa figura besar yang bakal muncul sama.

Menariknya, konsert ini mencipta satu kelainan apabila konsep zikir menjadi tema utama dalam persembahan kali ini. Lima figura besar tanah air yang terkenal dengan kemerduan album-album zikir mereka, Hafiz Hamidun, Ustaz Dzulkarnain, Ustaz Amal, Hazamin Inteam dan Munif Hijjaz turut terlibat dalam persembahan selama dua malam ini.

Menurut kenyataan yang diterbitkan di dalam laman web mereka (www.konsert-ros.com), Diantara objektif konsert tersebut ialah menggalakkan ummat Islam untuk setiasa berzikir dan bertasbih kepada Allah. Menurut mereka lagi, Zikir adalah suatu jalan untuk mendekatkan kita dengan Allah dan menjadikan kita selalu diingat Tuhan kita walaupun berada di dalam sebuah konsert.

Tiket konsert berharga RM89 dan RM149 boleh didapati di laman web mereka, www.konsert-ros.com atau dengan menghubungi talian 03-55232853






Pelajar Tkn 5 Tawar Seks Untuk Gugurkan Janin

Kulim - “Untuk mendapatkan pil mengugurkan kehamilan, saya terpaksa melakukan hubungan seks dengan beberapa kenalan lain bagi mendapatkan modal, “ itu kata seorang pelajar tingkatan lima di sini yang terpaksa menawarkan khidmat seks untuk mendapatkan wang bagi mengugurkan kandungannya. Gambar fail.

Pelajar tingkatan lima yang hanya mahu dikenali dengan nama Shasha berkata, dia terpaksa bertindak sedemikian selepas teman lelakinya ketika itu bersikap lepas tangan sehingga dia terpaksa menempuh pelbagai masalah seorang diri.

Menurutnya, selain disahkan hamil dia juga hampir dibuang sekolah gara-gara sikap teman lelakinya ketika itu.

“Pil itu (gugurkan kandungan) terbahagi kepada dua jenis. Empat biji dimakan serta-merta manakala empat biji lagi dimakan selepas 12 jam. Harga pil ini sekitar RM350 hingga RM400.

“Untuk mendapatkan wang saya akan berjumpa seorang rakan lain dan meminta dia memperkenalkan diri saya kepada beberapa pelanggan atau kenalannya, “ katanya.

Shasha berkata, dia akan mengenakan bayaran sekitar RM100 setiap kali bersama mereka. Dengan duit itulah dia akan membeli pil itu.

Menurutnya, pil itu hanya berkesan bagi kandungan di bawah tiga bulan sahaja. Setelah memakan pil itu, dia akan berasa sakit perut dan memulas untuk beberapa jam dan akan datang haid semula seperti biasa selepas itu.

Segala kesengsaraan itu terpaksa dialaminya sendiri dan bermula dari detik itu, dia menjadi takut untuk menjalinkan hubungan dengan lelaki dan mengubah selera kepada kaum sejenis.

Shasha berkata, dia menjalinkan hubungan cinta sejenis sejak setahun lalu. Namun sehingga kini keluarganya tidak mengetahui perkara itu.

Menurutnya dia dan kekasihnya yang hanya mahu dikenali sebagai Faiz akan tidur di rumahnya setiap hujung minggu.

“Cara ini lebih senang, ibu bapa tidak tahu kami sedang bercinta. Mereka akan menyatakan kami perempuan dan adalah lebih baik saya melepak dalam bilik dengan seorang kenalan perempuan dari keluar bersama teman lelaki. Saya jadi fobia untuk berkawan dengan lelaki kerana banyak keburukannya.

“Bagi saya bercinta sesama jenis lebih baik kerana ibu bapa tidak akan dapat mengesan perlakuan atau hubungan seks yang kami lakukan selain itu, ia tidak akan mengakibatkan saya hamil seperti dulu,” katanya. -SH

Ini Dia, 3 Orang Suspek Dalam Kes Bunuh Dirang Yang Disambung Reman 7 Hari Lagi

Johor Bahru: Mahkamah Majistret, di sini, semalam meluluskan permohonan lanjutan reman seminggu lagi terhadap tiga suspek utama kes bunuh dan bakar kanak-kanak berusia lima tahun, Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang, sehingga 23 Mac ini.

Gambar: SAMBUNG REMAN... tiga suspek utama kes pembunuhan Dirang di Mahkamah Majistret Johor Bahru, semalam.

Pendaftar Mahkamah Rendah, Nuriza Mustaffa melanjutkan tempoh tahanan reman itu bermula semalam bagi membolehkan polis meneruskan siasatan lanjut, selain mengumpul bukti berhubung kes terbabit.

Ketiga-tiga suspek, termasuk seorang wanita, berusia 30-an serta 40-an yang dikawal ketat anggota polis memakai baju lokap berwarna oren tiba di perkarangan Mahkamah Majistret menaiki kenderaan polis jam 9.45 pagi bagi mendapatkan perintah reman berkenaan.

Perkarangan mahkamah dipenuhi wakil media daripada pelbagai organisasi yang menunggu kehadiran mereka.

Mereka berjalan sambil menundukkan muka bagi mengelak wajah dirakam.

Ibu Dirang, Roselyn Alan, 25, berkata, dia sekeluarga mengharapkan siasatan dan hukuman dapat dijatuhi terhadap penjenayah yang melakukan perbuatan kejam terhadap anaknya.

“Dirang hanya anak kecil yang tak tahu apa-apa. Dia langsung tak bersalah. Perlakuan penjenayah terbabit sungguh tidak berperikemanusiaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin berkata, lanjutan tahanan reman itu dibuat bagi membolehkan pihaknya mengumpul bahan bukti sebelum menyerahkan kertas pendakwaan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Bapa kandung Dirang, warga negara Filipina yang ditahan sebelum ini, dijangka dihantar pulang ke negara asalnya, esok.

“Saya bersama anggota polis yang lain komited dan berjanji akan menjalankan siasatan secara terperinci bagi memberi keadilan sepatutnya kepada Dirang sekeluarga,” katanya.

Pada 1 Mac lalu, Dirang dilaporkan hilang ketika membeli mi segera dan telur di kedai runcit berhampiran rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam sebelum disahkan meninggal dunia akibat dibunuh dan dibakar, 12 Mac lalu.

Kematiannya disahkan melalui ujian deoxyribonucleic asid (DNA) yang dijalankan terhadap rangka manusia yang ditemui di ladang kelapa sawit di Nusa Damai, Masai 8 Mac lalu, yang sepadan dengan DNA Roselyn.

Ketiga-tiga suspek iaitu dua lelaki dan seorang wanita ditahan polis pada hari Dirang dilaporkan hilang, manakala bapa kandung kanak-kanak berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan pada 8 Mac lalu.

Kelmarin, bapa kandung Dirang disahkan tidak mempunyai kaitan dengan pembunuhan kejam itu. -HM

Tiga suspek kes bunuh Dirang positif ambil dadah

JOHOR BAHRU: Mahkamah Majistret, di sini semalam membenarkan perintah tahanan reman terhadap tiga suspek yang dipercayai terbabit dengan pembunuhan Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau Dirang, dilanjutkan sehingga Jumaat ini.

Tiga suspek termasuk seorang wanita yang berusia 30 hingga 40 tahun itu dibawa dengan van polis tiba di pekarangan mahkamah jam 9.45 pagi.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Rendah, Nuriza Mustaffa selepas mendengar permohonan pihak polis.

Ketika tiba di mahkamah, semua suspek memakai baju lokap dengan seluar pendek paras lutut hanya menundukkan kepala bagi mengelak muka mereka dirakam jurugambar media yang menunggu di perkarangan mahkamah seawal jam 8 pagi.

Ketiga-tiga suspek disahkan positif dadah Methamphetamine dan syabu, selain dua daripadanya turut mempunyai rekod jenayah lampau kes penyalahgunaan dadah dan mencuri.

Pada mulanya ketiga-tiga suspek direman dua minggu bermula 2 Mac lalu di bawah Akta Dadah Berbahaya susulan siasatan membabitkan kehilangan Dirang selepas dilaporkan keluar membeli mi segera di kedai blok bawah Flet Sri Delima, yang ketika itu diklasifikasikan sebagai orang hilang.

Bagaimanapun, selepas ujian DNA mendapati rangka manusia yang ditemui terbakar di sebuah tapak pembinaan terbengkalai, Nusa Damai yang pada 12 Mac lalu disahkan milik kanak-kanak malang terbabit, kes disiasat mengikut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin, berkata suspek akan dihadapkan ke mahkamah selepas kertas siasatan dikemukakan kepada Pejabat Pendakwa Raya.


Ibu Hamil Benih Orang Lain, Bapa Jadikan Anak Tempat Lepaskan Dendam

Kuala Lumpur: Badan berbirat akibat dibelasah dengan tali pinggang manakala penampar dan sepak terajang menjadi ‘makanan’ harian seorang gadis sejak kecil, gara-gara dendam tidak berkesudahan lelaki dipanggil bapa.

Seksaan diterima Arisya (bukan nama sebenar), 24, hanya disebabkan lelaki berkenaan tidak dapat menerima hakikat dia terpaksa menjadi ‘pak sanggup’ dengan mengahwini ibunya selepas wanita itu hamil sebelum bernikah.

Menurut Arisya, zaman kanak-kanaknya tidak seperti rakan sebaya lain yang sentiasa disaluti kasih sayang ibu bapa serta kegembiraan.

Katanya, kehidupannya penuh kedukaan kerana didera ‘bapanya’ tanpa belas kasihan setiap kali melakukan kesilapan, biarpun tidak sebesar mana.

Disebabkan sering menerima layanan buruk ‘bapa sendiri’, Arisya sering tertanya-tanya, apakah dosa dilakukannya sehingga diperlakukan sedemikian.

Menginjak usia remaja, dia pernah terdengar pertengkaran besar di antara orang tuanya. Bapanya mengungkit yang dia terpaksa menjadi ‘pak sanggup’ kerana ibunya mengandung benih orang lain.

Akibat dendam kesumat itu, bapanya sering menjadikan ibunya sebagai mangsa deraan apabila cuba menyebelahi Arisya.

“Sebenarnya, ayah seorang yang panas baran terhadap emak, saya mahupun adik-adik. Namun saya paling teruk dibelasah walaupun kerana ingin bergurau, bergaduh kecil atau bermanja dengan adik-adik, seolah-olah melakukan kesalahan sangat besar.

“Saya tak tahu mengapa ayah terlalu baran dengan saya. Penampar yang diberi bertahun-tahun membuatkan jiwa saya tertekan.

“Terakhir ketika saya berusia 14 tahun apabila dibelasah dengan tali pinggang hingga menangis seharian akibat menanggung kesakitan yang amat sangat. Kesan daripada situ, saya membuat keputusan lari daripada rumah tapi tidak tahu ke mana hendak dituju
.

“Ketika itu, yang terfikir ialah melarikan diri ke balai polis lalu membuat laporan saya didera ayah kandung. Polis kemudian membuat tangkapan dan ayah ditahan kerana kesalahan mendera berdasarkan laporan kesihatan oleh pihak hospital,” katanya kepada Metro Ahad.

Bagaimanapun, kesan psikologi terhadap Arisya sangat teruk kerana terpaksa melalui dugaan yang bukan sedikit apabila dihantar ke rumah perlindungan kanak-kanak dan berpisah dengan keluarga.

“Ia pengalaman sukar yang terpaksa diharungi bagi remaja yang masih mentah seperti saya. Disebabkan laporan itu ayah dibuang kerja, menyebabkan kebenciannya terhadap saya makin meluap-luap.

“Namun, saya mungkin selamat kerana berada di rumah perlindungan kanak-kanak tapi terfikir juga, apa akan jadi dengan emak dan adik lain sepanjang ketiadaan saya,” kata anak sulung itu.

Apabila ditempatkan di rumah perlindungan bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kedudukan tempat itu jauh daripada ibu kota dan di situlah bermula episod baru dalam hidup Arisya.

Keindahan hidup diimpikan Arisya tidak seindah disangka walaupun dia diterima masuk ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Ketika menuntut di IPTA, dia terpaut dengan rakan sekuliah dikenali sebagai Izzat (bukan nama sebenar) tetapi berlainan bidang pengajian dan hubungan mereka direstui kedua-dua keluarga.

Sebaik tamat pengajian mereka, Izzat menghantar keluarganya untuk meminang dan keluarga Arisya menetapkan tempoh pertunangan dua tahun kerana masing-masing ingin mengukuhkan kerjaya.

Sekali lagi Arisya diuji dengan peristiwa dahsyat apabila setahun selepas bertunang, Izzat meminta hubungan itu diputuskan tanpa sebab.

Puas memikirkan kesilapan dilakukan dan mendesak tunangnya menjelaskan perkara sebenar, akhirnya Izzat membuat pengakuan dan perkara itu benar-benar melukakan hatinya.

“Sebenarnya, emak Izzat yang meminta pertunangan diputuskan selepas dia mendapat tahu saya anak tidak sah taraf atau bahasa kasarnya, anak luar nikah.

“Bayangkan, luluhnya hati saya saat itu sehingga membuatkan jiwa tertekan, sekali gus jatuh sakit beberapa bulan. Walaupun Izzat meminta saya supaya tabah, apalah ertinya sebab dia sendiri tidak memberi sebarang harapan untuk memujuk emaknya.

“Akhirnya, saya terima hakikat yang Izzat sebenarnya ‘anak emak’ sebab apa saja keputusan ibunya diterima bulat-bulat, walaupun dia tidak mahu hubungan kami diputuskan,” katanya.

Lebih memilukan Arisya, bekas tunangnya berkahwin beberapa bulan selepas itu dengan gadis pilihan ibunya, tetapi sehingga kini lelaki itu masih menghubunginya.

Katanya, Izzat menyatakan rasa kesalnya terhadap apa yang berlaku tetapi lelaki itu kini dianggapnya kawan biasa.

Walaupun jauh di sudut hati, kasih sayang lelaki itu terhadapnya terlalu mendalam memandangkan Arisya cinta pertamanya, segala-galanya terpaksa dikorbankan kerana tidak sanggup memusnahkan rumah tangga Izzat yang dibina atas pilihan orang tuanya.

Kini Arisya tinggal bersama rakan di sebuah kondominium dan semangatnya semakin kuat menempuh setiap ujian hidup serta berhasrat untuk lebih berjaya dalam bidang diceburi walaupun kini belum ada pengganti.

ARISYA... dapat ‘ayah’ pendendam dan panas baran


>Berdosa besar kahwin wanita hamil anak tak sah

KUALA LUMPUR: Haram dan berdosa besar bagi lelaki yang mengetahui seorang wanita mengandungkan anak luar nikah jikalau menikahi wanita hamil itu.

Pernikahan cuma boleh dilangsungkan selepas wanita terbabit melahirkan anak, malah anak yang lahir tidak boleh dibin atau dibintikan lelaki yang menjadi pak sanggup kerana zuriat berkenaan bukan daripada benihnya.

Dalam Islam, anak yang lahir perlu dibinkan wanita itu sendiri manakala dalam hukum lebih longgar, ia dibolehkan berbin atau binti Abdullah (hamba Allah).

Pendakwah bebas yang juga Pengarah Urusan Telaga Biru, Dr Zahazan Mohamed (gambar), berkata anak berkenaan juga tidak boleh berkahwin dengan lelaki terbabit (pak sanggup) kerana lelaki itu menikahi ibunya.

“Gadis anak zina adalah mahram dengan bapa tiri tetapi bukan mahram dengan lelaki yang berzina dengan ibunya,” katanya.

Menurutnya, dalam budaya masyarakat Malaysia, jika seorang wanita hamil anak luar nikah, dia dan teman lelaki yang membuntingkannya dinasihatkan lekas kahwin bagi menutup aib serta menjaga maruah keluarga.

“Mengikut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), anak berusia enam bulan ke bawah ketika dalam kandungan, boleh dibinkan lelaki berkenaan. Ini hukum di sisi manusia bagi menyelamatkan maruah,” katanya.

Zahazan berkata, hukum di sisi Allah, seorang wanita penzina tidak layak berkahwin melainkan lelaki penzina (ayat 3 surah an-Nur) dan jika wanita itu ingin bertaubat, anak berkenaan dibolehkan berbin atau berbintikan nama wanita terbabit.


Datuk Bandar Di Itali Larang Penduduknya Meninggal Dunia

Ada-ada saja peraturanyang dikeluarkan seorang Datuk Bandar di sebuah kota kecil di selatan Itali. Datuk Bandar tersebut mengeluarkan Perda melarang penduduknya untuk meninggal dunia. Peraturan itu dikeluarkannya kerana ruang pemakaman tidak cukup di daerah tersebut.

Fava, nama Datuk Bandar tersebut. Datuk Bandar Falciano del Massico, daerah yang terletak 50km di utara Kota Naples. Seperti disiarkan Euro News, Fava menyatakan perintah itu dikeluarkan setelah wujudnya pertikaian dengan kota bersebelahan berkaitan dengan pemakaman bersama.

"Dilarang bagi penduduk untuk melampaui batas-batas hidupnya duniawi, dan untuk pergi ke dunia akhirat," kata Datuk Bandar Giulio Cesare Fava.

"Peraturan ini telah membawa kebahagiaan," kata Datuk Bandar awal minggu lalu. "Malangnya, dua penduduk tempatan tidak taat dengan peraturan ini."

Sengketa tanah perkuburan itu bermula ketika del Massico menjadi kota otonomi pada 1964 dari kota tetangga Carinola. Saat mereka menggambar ulang sempadan mereka, pemakaman hanya berada di Carinola. Mereka yang meninggal di kedua-dua bandar dikuburkan di pemakaman tua sampai tidak ada ruang untuk kuburan baru.

Malangnya, kedua-dua bandar tidak setuju pada penyelesaian tentang konsep 'kubur bersama'. "Ini adalah peraturan provokatif, tapi saya harus mengeluarkannya dalam rangka untuk meningkatkan kesedaran di antara pihak berkuasa yang bertanggung jawab," kata Datuk Bandar Fava.

Sejak Falciano del Massico mendapatkan otonomi pada 1964, kata Fava, del Massico belum berjaya membina kuburan. Tapi dengan keluarnya peraturan tersebut jelas membuat penduduk del Massico menggaru kepala, tanda kebingungan. "Datuk Bandar meminta agar kami jangan segera mati, tapi bagaimana kita boleh taat?" bingung penduduk tempatan. -euronews