Petaling Jaya – Adun Taman Medan, Haniza Talha menyifatkan tindakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) yang mahu bertanding 20 kerusi Parlimen dan Dun atas tiket Barisan Jamaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) adalah tidak lebih sebagai kuda tunggangan Barisan Nasional (BN).
Beliau mendakwa tindakan Isma itu seolah-olah mahu menggagalkan strategi pertembungan dua penjuru antara Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN).
Menurut Haniza lagi, tindakan Isma itu bukannya bertujuan membawa kesejahteraan umat seperti diperkatakan sebaliknya untuk memecahkan undi Melayu.
“Saya lihat tindakan ini adalah sebagai usaha nak gagalkan lawan dua penjuru dan mereka kuda tunggangan BN.
“Tindakan ini akan mengakibatkan perpecahan undi Melayu terutamanya golongan atas pagar,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman dibuat Isma sebelum ini.
Haniza berkata, tindakan itu juga dilihat memberi lebih manfaat kepada BN sekiranya undi Melayu berpecah di kawasan polariti kaum 50-50 antara Melayu dan kaum lain.
Menurutnya, PR sentiasa bersedia apa sahaja keadaan dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) ini kali ini termasuk helah digunakan pihak lawan.
“Kita tahu pihak lawan akan guna apa sahaja cara untuk menang dan kita sentiasa bersedia dengan apa sahaja kemungkinan.
“Ini bukan perkara baru sebelum ini di pilihan raya kecil pun ada calon Bebas bertanding,” katanya.