8 Ogo 2012

BN Sabah Bergoncang Lagi, Ada Lagi Pemimpin Sabah Keluar Parti, Sertai APS

Sokongan rakyat Sabah terhadap Angkatan Perubahan Sabah (APS) pimpinan Datuk Seri Wilfred Bumburing terus menggegarkan politik negeri itu apabila ramai lagi pemimpin BN mengikut jejaknya menyokong Pakatan Rakyat.

Terbaru, John Hussein meletak semua jawatan sebagai ahli Parti Bersatu Sabah (PBS-BN) dan ketua kampung bagi kawasan Kiulu dalam Parlimen Tuaran.

Menurut beliau, notis 30 hari diserah kepada partinya dan kerajaan negeri sejak 1 Ogos lalu.

John turut meletak jawatan Ketua PBS Cawangan Kampung Simpangan Lama dan Naib Pengerusi PBS Bahagian Kiulu dan kini menyertai APS.

“Saya bersetuju dengan kenyataan Datuk Seri Wilfred bahawa sistem penyampaian BN gagal memenuhi matlamat yang dikehendaki rakyat.

“Sebagai contoh, pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabalu mengambil masa yang sangat lama untuk dilaksanakan dan kini pembinaannya terus terhenti tanpa penjelasan munabasabah,” kata John dalam satu kenyataan.

Beliau akan bekerjasama dengan dua bekas pemimpin Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Bahagian Tuaran, Lesaya Lopog Sorudim dan Daukim Gilu untuk membentuk dan menggerakkan APS Bahagian Kiulu.

Sebelum ini, Naib Presiden Upko yang juga Senator Datuk Maijol Mahap; Pengerusi Tetap, Datuk Herman Tiongsoh serta Ahli Majlis Tertinggi, Denis Gimpah dan Petrus Guriting turut mengisytihar keluar BN bersama Wilfred pada 29 Julai lalu.

Wilfred merupakan Ahli Parlimen Tuaran, bekas Timbalan Presiden Upko, Timbalan Presiden Angkatan Amanah Merdeka dan bekas Pengerusi BN Tuaran.

APS adalah pertubuhan bukan kerajaan yang memfokus pengundi Bumiputera Bukan Islam Sabah bagi menyokong Pakatan Rakyat untuk memerintah Malaysia.

Wilfred memulakan jelajahnya sejak 1 Ogos lalu dengan menggempur Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan dan Parlimen Keningau yang diwakili Presiden PBS, Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan.

Pairin mewakili kedua-dua kawasan itu sejak 1976 hingga kini dengan beliau ketika ini turut menjawat Timbalan Ketua Menteri Sabah.



Akhbar Kosmo Perli Kekalahan Lee Chong Wei


Kosmo dengan tajuk Chong Wei Terlepas Habuan 4 Juta telah mengguris hatinya. Perjuangan beliau bertungkus lumus sepenuh hati semalam dilihat oleh akhbar tersebut sebagai “mengejar wang” dan bukan semangat kesukanan untuk membawa negara ke mata dunia.

Ramai dari kalangan pembaca dan pengguna laman sosial mengutuk keras tindakan editor akhbar berkenaan berkaitan artikel muka hadapan akhbar tersebut hari ini yang dilihat seakan akan memperli Datuk LCW yang tidak mendapat habuan besar apabila kembali ke tanah air. Mungkin selepas ini, ramai yang akan memboikot akhbar ini. Kita tunggu dan lihat. -suarapeople

Tengku Razaleigh Bidas Kerajaan Pusat Yang Tidak Mematuhi Akta Petroliam 1974

Royalti : Sejarah Yang Di Nafikan Hak Oleh UMNO@BN...!!!

Gambar: Majlis tandatangan Akta Kemajuan Petroliam 1974 -
Tengku Razaleigh Hamzah (Pengerusi PETRONAS) dan Datuk Mohammad Nasir (Menteri Besar Kelantan)


Akta Kemajuan Petroliam 1974 jelas menyatakan bahawa Kerajaan Malaysia & Petronas haruslah membuat pembayaran tunai dalam bentuk Royalti bagi “Pemunyaan Hak” yang diberikan Negeri Kelantan bagi Penerokaan Industri Petroleum.

Maka Tengku Razaleigh pun bertanya di dalam FBnya:



Ulasan GB

Begitu mudah kerajaan UMNO BN menafikan hak kerajaan dan rakyat Kelantan dengan melanggar terus Akta Kemajuan Petroliam 1974 dengan menggantikan dengan Wang Ehsan untuk menyekat pembangunan Kelantan.

Siapakah yang memulakan langkah itu?

Perdana Menteri keempat, Tun Mahathir Mohd dan pengkhianat rakyat Kelantan bernama Mustapa Mohamad. Kemudian diikuti dengan PM-PM selepas Mahathir iaitu Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak bersama dengan konco-konco mereka seperti Nazri Aziz, Khairy Jamaluddin dan ramai pemimpin UMNO yang lain.

Sepatutnya mereka itu semua telah lama ditangkap dan dipenjarakan kerana melanggar konsep federalisma dan juga menghapuskan Akta yang diluluskan oleh Parlimen dan telah jelas memaktubkan hak royalti rakyat Kelantan.

Tetapi .... sistem yang ada kini membenarkan UMNO BN terus melakukan kezaliman.

Hukum kebenaran dan keadilan akan tetap mengambil tempatnya dan mereka itu semua akan dihukum oleh Allah swt di satu masa nanti.

[BERGAMBAR] Berita BERNAMA Sahkan Rumah Adun Ajil Musnah Dalam Kebakaran

Hulu Terengganu - Rumah kediaman anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil Datuk Rosol Wahid musnah dalam kebakaran di Kampung Batu 23, di sini, malam tadi.

Kejadian pada 10.15 malam itu memusnahkan hampir 90 peratus struktur rumah berkenaan.

Gambar: Anggota Bomba dan Penyelamat memadamkan sisa-sisa kebakaran rumah milik Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Datuk Rosol Wahid yang musnah terbakar di Kampung Batu 23.

Rosol berkata ketika kejadian, kesemua anggota keluarganya tiada di rumah kerana berbuka puasa dan bertarawih di luar.

Menurutnya, beliau hanya dimaklumkan kejadian itu oleh isterinya Toh Puan Halipah Ahmad yang pulang daripada berbuka puasa di rumah kakaknya di Kampung Baung, di sini.

"Sebaik dia membuka pintu rumah isteri melihat kepulan asap dan api marak dari bahagian dapur rumah lantas menelefon saya memaklumkan insiden itu," katanya ketika ditemui malam tadi.

"Ketika kejadian saya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama Yayasan Pembangunan Usahawan di Kuala Terengganu. Saya minta isteri supaya tenang dan jangan masuk ke dalam rumah, bimbang kejadian lebih buruk akan berlaku," katanya.

Menurutnya, beliau reda dengan kejadian yang berlaku namun terkilan kerana lebih 2,000 buah buku yang dikumpulkan sejak 10 tahun lalu turut hangus dijilat api.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Mohd Zazuli Badru berkata ketika pasukan bomba tiba di lokasi, api sedang marak dan mereka mengambil masa 30 minit untuk memadam kebakaran.

Dua jentera bomba dari Balai Bomba Kuala Berang dan Balai Bomba Wakaf Tapai dihantar ke tempat kejadian bersama 14 anggota dan pegawai.

Turut ke lokasi kejadian selepas mendapat berita kebakaran itu ialah Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang, Adun Teluk Pasu, Datuk Abdul Rahin Mohd Said dan Adun Bukit Besi, Datuk Din Adam. - Bernama

foto ehsan BERNAMA

ANGGOTA Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Datuk Rosol Wahid (dua dari kanan), memeriksa keadaan rumahnya yang musnah dalam kebakaran di Kampung Batu 23, Kuala Berang, Hulu Terengganu, malam tadi. Kejadian pada 10.15 malam itu memusnahkan hampir 90 peratus struktur rumah sekali gus menjejaskan persiapan raya mereka sekeluarga






Laporan sebelum ini
klik untuk baca





[VIDEO] Susulan Kes Ritual Halau Hantu: Kepercayaan Karut Dipercayai Sebabkan Kematian

Bukit Mertajam – Kematian kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang didakwa menjadi korban upacara pemujaan keluarganya di Taman Bukit Minyak di sini pada Ahad lalu dipercayai mempunyai kaitan dengan ajaran karut yang diamalkan oleh keluarga mangsa.

Gambar: INILAH rumah di Taman Bukit Minyak, Bukit Mertajam tempat seorang budak mati ditindih oleh ahli keluarganya dalam upacara pemujaan.

Satu sumber berkata, polis mengesyaki lapan individu yang ditahan termasuk ibu bapa kanak-kanak itu terpengaruh dengan ajaran karut yang dipercayai sedang berkembang di negeri ini dan mempunyai ramai pengikut.

Kesemua yang ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) pula didakwa kerap berkelakuan aneh seperti mereka sering bercakap sendirian dan mulut berkumat-kumit seperti membacakan sesuatu.

Lapan yang direman termasuk seorang amah Indonesia ditahan di dua buah lokap.

Sumber itu memberitahu, ibu kanak-kanak malang itu yang sarat mengandung anak kedua dan bapanya seolah-olah tiada perasaan sedih selepas mengetahui kematian anaknya.

Difahamkan upacara pemujaan itu dilakukan ekoran ibu mangsa didakwa hidup tertekan selepas kematian bapanya sejak beberapa bulan lalu selepas mendakwa dia kerap diganggu makhluk asing.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Azman Ab. Lah berkata, polis masih meneruskan siasatan dan sedang mengambil kenyataan kelapan-lapan suspek yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian Chuah Wan Xuan (gambar kecil).

Menurut beliau, siasatan setakat ini menjurus kepada mangsa disyaki menjadi korban pemujaan ajaran sesat yang diamalkan oleh kelapan-lapan suspek.

“Mangsa anak sulung pasangan berkenaan mati akibat kelemasan selepas dipercayai ditindih secara beramai-ramai,” kata beliau.

Katanya, mayat Wan Xuan dituntut bapa saudaranya di Hospital Seberang Jaya semalam selepas polis mendapat persetujuan daripada kedua-dua ibu bapanya yang membenarkan abang kandung si bapa menguruskan pengebumian kanak-kanak itu.

Kosmo! semalam melaporkan, seorang budak mati selepas ditindih lapan ahli keluarganya termasuk seorang pembantu rumah Indonesia ketika melakukan upacara pemujaan di dalam sebuah bilik di rumah dua tingkat di Taman Bukit Minyak.

Selain ibu bapa, pembantu rumah mangsa, turut terlibat dalam upacara itu ialah nenek, pak cik, mak cik dan dua orang sepupu mangsa. -Kosmo


Tindih kerana buat bising

BUKIT MERTAJAM: Tindakan tujuh ahli keluarga dan seorang pembantu rumah menindih seorang kanak-kanak perempuan hingga sesak nafas sebelum meninggal dunia pada Ahad lalu, didakwa tidak mempunyai sebarang kaitan dengan upacara keagamaan melampau atau pemujaan.

Sebaliknya, mereka dikatakan bertindak begitu kerana kanak-kanak berusia dua setengah tahun itu didakwa tidak duduk diam dan membuat bising ketika kumpulan berkenaan sedang bersembahyang mengingati kematian datuk mangsa, baru-baru ini.

Seorang ahli keluarga terbabit yang tidak mahu dikenali berkata, semuanya berpunca daripada seorang ibu saudara mangsa dikatakan berang kerana mendakwa kanak-kanak terbabit mengganggu majlis mereka.

Menurutnya, emosi wanita berkenaan memang tidak stabil sejak kematian bapanya kira-kira tiga minggu lalu.

Katanya, dia mengalami tekanan perasaan yang teruk berbanding seorang yang baik sebelum ini.

“Apabila kanak-kanak terbabit membuat bising, ibu saudara mangsa itu mendakwa kanak-kanak itu dirasuk hantu.

“Dia kemudiannya minta ahli keluarganya yang lain dan sesiapa yang berada dalam bilik itu termasuk pembantu rumah memegang mangsa bagi mententeramkannya hinggalah berlaku kejadian tindih-menindih itu,” katanya.

Menurutnya, dia minta kejadian itu tidak dikaitkan dengan sebarang aktiviti tidak baik termasuk pemujaan atau sebagainya.

Katanya, semuanya berlaku kerana mereka terlalu sedih dengan kematian datuk mangsa hingga gagal mengawal perasaan.

Seorang lagi ahli keluarganya berkata, ibu saudara mangsa itu berubah sejak kematian bapanya dan berpewatakan bukan seperti dirinya sebelum ini.

“Semua ahli keluarga akan mendengar cakapnya sebelum ini kerana dia jenis orang yang baik, mungkin sebab itulah apabila dia minta menindih kanak-kanak itu semua orang lakukannya tanpa membantah.

“Saya juga percaya ketika kejadian mereka dalam keadaan letih dan kelaparan kerana tidak minum dan makan sepanjang hari,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Azman Abd Lah berkata, siasatan masih lagi dijalankan bagi melengkapkan siasatan.

Harian Metro juga difahamkan, mayat kanak-kanak terbabit, Chuah Wan Xuan akan dituntut ahli keluarganya dari Unit Forensik, Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk disemadikan di Bukit Berapit, di sini petang ini.

Semalam, akhbar ini melaporkan Chuah maut berikutan tidak dapat bernafas selepas ditindih tujuh ahli keluarganya dan seorang pembantu rumah warga Indonesia dalam kejadian di Taman Bukit Minyak Indah, di sini.

Ahli keluarga yang menindih mangsa ialah ibu, bapa, nenek, ibu dan bapa saudara serta dua sepupunya
-hm




Filem TANDA PUTERA Ditayangkan Sebelum PRU13 Untuk Hasut Rakyat Benci PR

Tanda Putera’ Didakwa Semarak Perkauman, PR Mahu Dikaji Semula

PETALING JAYA 7 OGOS: Pakatan Rakyat (PR) mendesak agar kerajaan mengkaji semula kelulusan tayangan Filem Tanda Putera yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 13 September nanti.

Menurut kenyataan bersama PR itu, terdapat maklumat bahawa filem arahan pengarah terkenal, Shuhaimi Baba itu mengandungi unsur-unsur menyemarakan semula api perkauman di negara ini.

“Kita dah dapat gambaran sedikit tentang apa yang akan ditayangkan itu dan kami merasakan kandungan dari filem ini tidak mengambarkan suatu usaha yang benar-benar menyatukan rakyat.

Trailer filem ini pun dah tengok, nampak hanya membakarkan api perkauman di negara ini.

“Bagaimanapun kami mahu kerajaan dapat tayangkan kepada kami terlebih dahulu sebelum ia ditayangkan kepada umum supaya kita boleh beri pandangan,” kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menambah, selain filem bertema kemerdekaan yang dijadikan hak milik Umno-BN, pengunaan dana kerajaan dalam pembikinannya juga dilihat sebagai tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab dan berfikiran sempit.

Tanda Putera merupakan sebuah filem yang mengisahkan persahabatan akrab antara Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak dan timbalannya, Tun Dr Ismail.

Watak Abdul Razak dalam filem ini merujuk kepada bapa kepada Perdana Menteri yang ada sekarang, Datuk Seri Najib Razak.

Antara yang dipaparkan semula dalam filem tersebut adalah sejarah hitam negara, peristiwa 13 Mei 1969. -selangorku


Fitnah dahsyat 13 Mei oleh golongan amat terdesak Oleh Lim Kit Siang

Saya telah menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan yang karut dan bohong yang telah dipaparkan dalam laman sosial Facebook bagi filem 13 Mei Tanda Putera bahawa saya telah kencing dibawah tiang bendera Selangor di rumah kediaman Menteri Besar Selangor pada masa itu semasa rusuhan 13 Mei 1969.

Petikan dari gambar yang telah digunakan dalam Facebook yang menunjukkan saya diperlakukan, berbunyi:

“Lim Kit Siang telah kencing di bawah tiang bendera Selangor yang terpacak di rumah menteri besar Selangor ketika itu, Harun Idris”

Gambar ini dimuat naik dalam album Facebook yang bertajuk ‘Peristiwa-peristiwa yang dimuatkan di dalam filem ini’.

Walaupun gambar yang menjelikkan itu serta petikannya telah dikeluarkan daripada laman rasmi filem tersebut, Malaysiakini telah menangkap imej serta komen-komen awal melalui ‘screenshot’.

Suara rakyat sebenar

Saya amat tertarik dengan dua daripada 69 komen sejak Malaysiakini melaporkan penafian dan penyangkalan saya, iaitu:

RealSoldier witness513 tidak masuk akal langsung untuk menuduh LKS melakukan perkara jijik tersebut kerana tiang bendera bukanlah sesuatu yang mempunyai akses mudah kepada orang awam kerana ianya terletak didalam perkarangan rumah MB yang dipagari dan dikawal oleh ‘jaga’. Kebetulan pula pada masa itu saya berada di rumah MB pada hari yang pahit itu dari jam 3 pagi sehingga 5:30 pagi 14 Mei berikutan usaha menyelamat oleh pihak keselamatan.

(RealSoldier witness513 its simply absurd to accuse LKS performing such despicable act because the flagpole is not freely accessable to the public as it is located within the compound of the MB’s house which is fenced and manned by a jaga. BY accident I was at the MB’s on that fateful day from 3.00am to 5.30am on 514 following rescue operations by the security forces.)

FREE Gambar LKS diperlakukan oleh pegawai-pegawai tekah diambil di terminal lapangan terbang lama Kota Kinabalu. Pegawai-pegawai dalm gambar itu yang berpakaian seragam serba putih merupakan pegawai imigresen selepas arahan telah dikeluarkan oleh Harris Salleh untuk mendeportasi LKS dari Sabah. Penulis ini pada masa itu sedang berada didalam sebuah kapal terbang dan telah melihat dari tingkap kapal terbang tersebut insiden LKS dipaksa duduk didalam kerusi roda dan dibawa keluar untuk dideportasi balik ke KL.

(FREE The picture of LKS being grabbed and manhandled by officers was taken at the Kota Kinabalu old airport terminal. Those officers in white-shirt uniforms were immigration officers when Harris Salleh ordered the deportation of LKS from Sabah. This writer was inside a plane and saw from the window LKS being put put in a wheelchair and wheeled to the plane for deportation back to KL).

Apa yang telah ditulis oleh RealSoldier sememangnya munasabah, kerana pada tahun 1969, saya tidak tahu dimana kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, apatah lagi kewujudan tiang bendera yang “terletak didalam perkarangan rumah MB yang dipagari dan dikawal oleh ‘jaga’”.

Tulisan ini mendedahkan fitnah, kepalsuan dan pembohongan bahawa saya atau sesiapapun boleh kencing dibawah tiang bendera rumah Menteri Besar Selangor – apabila ianya jelas tidak boleh dilakukan kerana ianya berada dalam kawalan dan pengawasan keselamatan.

Gambar pun dipalsukan kebenarannya

Tulisan kedua merupakan keterangan yang telah diberikan berhubung dengan kesahihan dan asal gambar yang dipaparkan dalam laman rasmi Facebook filem Tanda Putera.

Gambar ini bukan diambil pada tahun 1969 tetapi pada 15 tahun selepas itu, iaitu 26 Ogos, 1984 di terminal lama lapangan terbang Kota Kinabalu.

Saya telah menaiki penerbangan ke Kota Kinabalu pada pagi tersebut melalui Sandakan sebagai menyahut cabaran Ketua Menteri Sabah pada masa itu, Datuk Haris Salleh untuk mengulangi ucapan saya pada 23 Julai 1984 di luar Parlimen tanpa perlindungan hak istimewa Parlimen berhubung dengan penyalahgunaan kuasa sebagai Ketua Menteri Sabah terutamanya berkenaan dengan Labuan dikeluarkan dari Sabah dan diberi status Wilayah Persekutuan.

Saya telah mencabar Harris untuk memberi saya masa dan tempat untuk saya mengulangi ucapan Parlimen saya, dan apabila Haris menetapkan Dewan Masyarakat Sandakan untuk saya berbuat demikian pada 26 Ogos jam 10 pagi, saya telah menerimanya dengan sert-merta dan telah menaiki penerbangan ke Kota Kinabalu bersama Naib Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Jelutong pada masa itu, Karpal Singh melalui Sandakan untuk ‘majlis’ tersebut.

Akan tetapi di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, saya tidak dibenarkan masuk diatas arahan Ketua Menteri Sabah yang pada awalnya telah mencabar saya untuk mengulangi ucapan Parlimen saya terhadapnya di Sandakan pada pagi hari yang sama jua!

Saya telah dimaklumkan untuk menaiki penerbangan yang sama kembali ke Kuala Lumpur. Dalam dua jam berunding dengan pihak imigresen, saya telah menjelaskan dengan bertubi-tubi bahawa tindakan menghalang saya dari memasuki Sabah merupakan satu penyalahgunaan kuasa autonomi oleh pegawai imigresen yang amat teruk dan saya belum bersedia untuk meninggalkan negara saya ini diatas kebebasan yang telah diberikan. Saya juga memberitahu mereka bahawa mereka harus ‘mengangkat’ saya kedalam pesawat itu. Dengan itu, akhirnya, mereka telah memaksa saya duduk dalam kerusi roda dan telah mengangkat saya kedalam pesawat tersebut.

Gambar tersebut merupakan gambar yang diambil pada tahun 1984 di Kota Kinabalu dimana ianya telah disalahgunakan dalam laman Facebook rasmi Tanda Putera sebagai salah satu gambar 13 Mei 1969.

Kedua-dua komen tersebut adalah sebahagian daripada cebisan sejarah yang melibatkan pengalaman orang awam, yang tidak ditokok tambah atau diputarbelitkan oleh pembohongan dan fitnah.

Biar kebenaran mengenai apa yang benar-benar berlaku menyerlah.

Siapa yang kencing?

“RealSolder” telah memaparkan kepalsuan bahawa saya telah kencing dibawah tiang bendera di rumah Menteri Besar Selangor, tetapi sesiapapun boleh berbuat demikian kerana tiang tersebut terpacak didalam perkarangan kediaman Menteri Besar.

Tetapi, bagaimana dan apakah asal usul kepalsuan “kencing” didepan rumah Menteri Besar dan dimanakah ia bermula, yang dikatakan mencetuskan rusuhan 13 Mei?

Sejak mulanya laman rasmi Facebook Tanda Putera, saya telah bertanya jika sesiapa pernah mendengar mengenai insiden “kencing” di bawah tiang bendera rumah Menteri Besar yang telah mencetus rusuhan 13 Mei, tetapi tiada sesiapapun yang tahu mengenai perkara ini sebelum ini.

Akan tetapi, kedua-dua ‘Kertas Putih’ yang telah dikeluarkan oleh Majlis Operasi Negara (National Operations Council) pada 9 Oktober 1969 yang bertajuk “The May 13 Tragedy” serta buku Tunku Abdul Rahman’s “May 13 – Before & After” tidak pernah membuat apa-apa rujukan pun kepada insiden kencing di rumah Menteri Besar Selangor.

Ini merupakan satu skandal “Urine-Gate” atau “Pee-Gate” Malaysia.

Kepalsuan mesti didedahkan

Rakyat Malaysia mesti menyiasat terlebih dahulu “siapa, bila dan apa” berhubung dengan asal-usul tipu helah insiden “kencing” di bawah tiang bendera di rumah Menteri Besar Selangor yang telah mencetuskan rusuhan 13 Mei 1969 – kerana sekiranya tiada apa-apa unsur kebenaran dalam dakwaan tersebut, ianya mesti dikuburkan sekarang juga.

Bila pula masa kisah karut ini mula disebarkan? Atau ianya digemparkan sekarang – untuk Tanda Putera?

Ianya menyedihkan kerana semua usaha menjelang sambutan Kemerdekaan yang ke-55/Hari Malaysia Ke-49 sepatutnya berfokuskan perpaduan yang diversif dan berbilang kaum, tetapi nampaknya ada elemen-elemen anti-nasional yang mengapi-apikan syak wasangka buruk diantara kaum dan memporak-perandakan keharmonian di negara ini dengan penyebaran kepalsuan dan fitnah berhubung dengan sejarah tanahair ini.

Jika slogan dan polisi 1Malaysia Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membawa apa-apa maksud pun, saya menyeru kepada rakyat Malaysia untuk membuktikan bahawa mereka benar-benar anak bangsa Malaysia sejati dalam sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 dan Hari Malaysia Ke-49!
– Roketkini


Ulasan GB

Begitu terdesaknya UMNO untuk mendapatkan sokongan dari orang Melayu sehingga sanggup menghasilkan filem yang tidak bermaruah untuk menghina dan mencaci kaum lain.

Inilah perjuangan terlampau UMNO, "assabiyah" namanya, cuba untuk mengubah fakta kebenaran mengikut hawa nafsu mereka demi untuk mempertahankan kuasa yang kini hanya tinggal "nyawa-nyawa ikan".

Dilaporlan separuh dari bajet sebanyak RM4.5 juta filem arahan Shuhaimi Baba ini dibiayai oleh agensi kerajaan, Perbadanan Pembangunan Filem National (Finas) bererti kerajaan UMNO BN terlibat di dalam pembikinan filem ini dengan menggunakan wang rakyat.

Penerbitan filem in, GB percaya, adalah sebahagian daripada grand design UMNO BN tawan Selangor.

Adalah patut bagi rakyat Malaysia memboikot filem ini dan Pakatan Rakyat seluruh negara membuat laporan polis terhadap pembikinan filem ini!

p/s PR perlu bertindak sebelum kecundang dalam PRU13 nanti.


Laporan sebelum ini
klik untuk baca





[GEMPAR] Rumah ADUN AJIL Hangus Terbakar!

Malam tadi selepas waktu berbuka puasa, rumah ADUN AJIL, Dato' Hj Rosol Wahid terbakar.

Dipercayai habis ranap rumahnya..

Syukur Alhamdulillah, semua kaum keluarganya selamat.

Ucapkan semoga YB Dato' tabah menghadapi suasana begini. -omakkau


Shila Amzah & Syarifah Aleya Bertudung Sejak 1 Ramadhan

Keputusan penyanyi Shila Amzah yang memakai tudung bermula 1 Ramadan lalu hanya untuk suka-suka berubah apabila dia tekad untuk kekal dengan imej tersebut.

Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah berkata, dia membuat keputusan tersebut pada Sabtu lalu selepas 15 hari melalui “tempoh percubaan” dan berazam untuk berimej sedemikian sehingga ke akhir hayat.

“Pada mulanya penghijrahan ini bermula pada 1 Ramadan sebagai tempoh percubaan dan ingin mendapat kepastian adakah saya benar-benar bersedia untuk melakukan perubahan tersebut.

“Dua hari lalu (Sabtu) saya sibuk dengan penggambaran program Nona bersama Neelofa dan Fauzana, tetapi ketika itu saya terpaksa membuka tudung.

“Kemudian, di sebelah petang pula Sharnaaz mengajak saya untuk berbuka puasa bersama peminat-peminatnya dan ketika sedang bersiap, tiba-tiba sahaja saya ambil tudung dari almari dan pakai terus. Ketika itu saya dah rasa sudah sampai masanya untuk diri ini berubah,” katanya yang dihubungi mStar Online di sini Isnin.

Tambah Shila, kekasihnya, Sharnaaz tidak sangka perubahan drastik yang dilakukannya namun gembira dengan imej terbaru itu.

Dalam pada itu, ibunya juga ingin kepastian adakah benar keputusan yang dibuat itu kerana risau jika Shila akan membuka semula tudungnya pada masa akan datang.

“Apabila memberitahu hasrat ingin bertudung kepada ibu, banyak kali dia tanya, adakah saya yakin dengan keputusan ini kerana apabila dah pakai, kita tak boleh nak buka semula tudung sehingga mati.

“Alhamdulillah, memang saya ingin berubah dan mahu menjadi insan yang lebih baik daripada sebelum ini. Malah, saya mula berubah sedikit demi sedikit dengan mengubah cara pemakaian yang lebih sopan,” ujarnya.

Sementara itu, walaupun tampil dengan imej berkenaan, Shila tetap meneruskan kariernya sebagai seorang penyanyi dan bakal muncul dengan album terbaru pada awal tahun depan.

“Saya masih lagi menyanyi, tetapi tak adalah nak menari sakan macam dahulu. Pemilihan lagu pula lebih ke arah balada dan pop. Semoga perubahan diri ini membawa keberkatan yang lebih bermakna,” tuturnya. -mStar


Sharifah Aleya bertudung sejak 1 Ramadhan

Penyampai radio Hot fm terkenal, Sharifah Aleya mengakui dia sudah mula berhijab sejak 1 Ramadhan yang lalu. Leya atau nama sebenarnya Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid Al Yahya enggan menyatakan sebab penghijrahannya ini tetapi menyifatnnya ianya adalah transisi normal bagi seorang wanita Islam.

PETALING JAYA: Penyampai radio Hot FM Sharifah Aleya mengakui sejak mengenakan tudung bermula 1 Ramadan lalu (21 Julai 2011), dia berasa selesa dan tidak kekok dengan penghijrahan tersebut.

Aleya atau Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid Al Yahya berkata, dia enggan berkongsi sebab-sebab perubahan diri itu, namun menyifatkan ia adalah satu transisi normal bagi seorang wanita beragama Islam.

“Alhamdulillah, sepanjang seminggu lebih bertudung, saya tidak berasa kekok, malah selesa dengan penghijrahan ini.

“Cuma kalau boleh saya enggan berkongsi kenapa perubahan ini dilakukan. Ia sangat peribadi buat saya. Cukuplah masyarakat dah tahu yang saya dah bertudung dan doakan saya yang terbaik,” katanya.

Tambah Aleya, dia juga bersyukur dan gembira apabila penghijrahannya itu disokong keluarga serta rakan-rakan dan berharap agar imej sebegitu kekal sehingga akhir hayat.

Sementara itu, walaupun Ramadan tahun ini pertama kali dilalui tanpa suami di sisi, Aleya merasakan ia tidak memberi kesan buatnya untuk beribadat kerana sering dikelilingi keluarga serta dua orang anak kembarnya, Aza Ameena dan Asha Ameena yang berusia tiga tahun.

“Bagi saya, Ramadan adalah bulan yang dinanti-nantikan setiap tahun dan ia sangat istimewa untuk kita sebagai umat Islam menjalani ibadat puasa.

“Malah inilah masanya untuk kita mengikat silaturahim dengan menghabiskan masa bersama keluarga,” ujarnya.

Dalam pada itu, Aleya berkata, dia juga memastikan segala kerja-kerja pengacaraan yang dibuat selesai sebelum Ramadan agar dapat menikmati saat-saat bersama keluarga bagi setiap ibadat yang dilakukan.

“Ramadan juga membuatkan saya dan adik beradik yang lain berlumba-lumba untuk memasak bagi juadah berbuka puasa. Sampaikan kami cuba untuk mengalahkan ibu kami (Fatimah Abu Bakar) untuk muncul dengan masakan terbaik.

“Bagaimanapun, macam biasa, ibu kamilah yang menjadi juara dalam hal-hal masakan,” selorohnya yang gemar memasak lauk daging kicap.
-Mstar