20 Jul 2013

Erdogan Bertegas Enggan Layan ElBaradei


Akhbar harian Turki, Zaman melaporkan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan enggan berbicara dengan Naib Presiden Mohamed ElBaradei dari Mesir apabila beliau menawarkan diri untuk mengadakan rundingan dengan Turki.

Sebaliknya Erdogan menempelak ElBaradei dengan mengatakan beliau bukan dilantik ke jawatan itu secara sah tetapi pelantikannya adalah hasil dari rampasan kuasa tentera.

Kata Erdogan, beliau menerima sepucuk surat dari ElBaradei memohon diadakan perbualan telefon berikutan kritikan keras beliau terhadap rampasan kuasa oleh pasukan tentera di Mesir.

“Kenapa saya perlu bercakap dengan awak? Awak bukan (naib presiden) yang dilantik. Awak seorang naib presiden yang dilantik hasil dari kudeta tentera,” kata Erdogan merujuk kepada ElBaradei pada satu majlis di Ankara.

ElBaradei, bekas Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), dilantik sebagai naib presiden Mesir untuk hubungan luar selepas tentera mengguling Presiden Dr Mohamed Morsi pada 3 Julai lalu dan mengisytiharkan ketua hakim mahkamah perlembagaan, Adli Mansour sebagai presiden sementara.

Sikap Erdogan ini berbeza dengan sikap kebanyakan pemimpin Arab yang lain yang merestui tindakan tentera Mesir menggulingkan Morsi dari parti Ikhwanul Muslimin. Para pemimpin negara Arab, terutama Arab Saudi, Qatar, Emiriyah Arab Bersatu dan Jordan menyatakan sokongan secara terang-terangan menyokong tindakan tentera Mesir itu.

Malahan bantuan kewangan berjumlah ratusan juta dolar dari negara-negara tersebut datang mencurah-curah bagi menandakan sokongan mereka. Negara-negara Arab ini jugalah yang menyemarakkan api peperangan saudara di Syria dengan membiayai para pemberontak di negara itu.

Dengan berselindung di sebalik imej Islam, mereka inilah yang sebenarnya bekerja untuk Amerika Syarikat dan Israel bagi mengucar-kacirkan rantau Afrika Utara dan Timur Tengah demi kepentingan kedudukan mereka untuk terus menerajui kerajaan dan merampok harta kekayaan milik negara.

Kestabilan politik Mesir dan hasrat kerajaan pimpinan Morsi untuk melaksanakan syariat Islam menjadi ancaman terbesar kepada negara haram Israel. Maka sebab itu, apabila kerajaan Morsi ditumbangkan maka arahan pertama dari Israel ialah agar tentera Mesir merobohkan terowong bawah tanah ke Gaza dan menutup pintu Rafah.

Terowong bawah tanah ini merupakan urat nadi atau ‘nyawa’ bagi para penduduk Gaza untuk berhubung dengan dunia luar kerana melalui terowong-terowong ini segala bentuk bantuan terutama keperluan makanan disalurkan.

Tindakan jahat, khianat

Tindakan tentera meroboh dan menutup terowong-terowong ini adalah satu tindakan jahat dan khianat terhadap umat Islam dan rakyatnya sendiri serta sekali gus penduduk Palestin di Gaza terkurung dan terpenjara dalam negara mereka sendiri.

Dalam pada itu, tentera Mesir akan terus menangkap dan menahan para pemimpin Ikhwan dan para penyokongnya sehingga kebangkitan rakyat di negara itu dihampuskan atau kembali reda. Mereka melakukan kekejaman ini untuk memenuhi nafsu tuan-tuan mereka, Amerika dan Israel.

Tetapi rakyat Mesir yang memilih Ikhwan Muslimin untuk menerajui kerajaan melalui pilihan raya baru-baru ini dalam sistem demokrasi yang adil terus menganjurkan demonstrasi secara besar-besaran agar kerajaan tentera mengembalikan kuasa kepada Morsi.

Penggulingan Morsi melalui kudeta tentera merupakan satu contoh di mana sistem demokrasi diperkotak-katikkan dan hanya menjadi alat untuk Barat dan Amerika untuk menguasai dunia Islam yang kaya dengan minyak itu.

Jika sistem demokrasi itu tidak memihak dan menguntungkan mereka maka mereka akan berusaha untuk menggulingkan kerajaan pilihan rakyat. Dalam kes Mesir, kononnya Morsi tidak pandai mentadbir pada hal beliau hanya setahun menjadi presiden.

Rampasan kuasa tentera juga pernah berlaku di Algeria apabila pilihan raya presiden itu memihak kepada parti Islam FIS di mana Ali Benhaj dipilih sebagai presiden dan dengan bantuan Perancis kerajaan pilihan rakyat itu digulingkan.

Erdogan mungkin satu-satunya pemimpin Arab yang tinggal, selain Mahmud Ahmedinejad dari Iran yang berbangsa Parsi, yang secara berani dan lantang mengkritik dan menentang Barat dan sekutu-sekutunya.

Keberanian Erdogan jelas kita lihat apabila beliau menempelak Presiden Israel, Simon Peres dalam satu forum ekonomi di Geneva berhubung tindakan tentera Israel menyerang kapal Flotila yang membawa bantuan kemanusiaan untuk para penduduk Palestin dan Gaza.

Di samping mengkritik ElBaradei, Erdogan juga mengkritik Barat sebagai tidak mempunyai pendirian dan harga diri untuk mengecam apa yang berlaku di Mesir.

Sudah tentu kita mahu melihat lebih ramai lagi para pemimpin Arab untuk terus tampil dan dengan berani mempertahankan kedaulatan dan maruah negara-negara masing-masing dari terus dihina dan dihinjak-hinjak oleh kuasa Barat dan sekutunya.

Masjid dan Surau Lebih Aktif di Bawah Pakatan Rakyat

Peranan masjid dan surau di sekitar kawasan negeri Selangor dilihat lebih aktif dalam menganjurkan program yang bukan hanya berbentuk keagamaan, malah turut merangkumi aktiviti kemasyarakatan sejak negeri itu ditadbir Pakatan Rakyat (PR) pada Mac 2008.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin berkata, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berjaya mengembalikan fungsi masjid dan surau sebagai tumpuan masyarakat Islam untuk beribadah dan mendapat ilmu.

Menurutnya, bagi merancakkan program Ihya Ramadan pada tahun ini, Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memperuntukkan sebanyak RM2.7 juta untuk diagihkan kepada semua masjid dan surau di negeri ini.

Katanya, bagi masjid peruntukan sebanyak RM1,650 akan diserahkan, sementara surau yang mengadakan solat Jumaat akan menerima sumbangan sejumlah RM1,250 dan RM1,000 pula akan diberikan kepada surau di seluruh Selangor.

“Masjid dan surau diamarahkan dengan begitu baik sekali sejak PR memerintah, malah jauh lebih baik daripada 10 tahun yang lalu.

“Saya menerima banyak respon positif daripada masyarakat setempat yang begitu berpusu-pusu untuk mengunjungi masjid di sekitar Selangor kerana teruja terhadap aktiviti dan program keagamaan serta ilmu yang dianjurkan,” katanya semasa menghadiri Majlis Penyerahan Kurma kepada Masjid di sekitar DUN Pelabuhan Klang, di sini.

Dalam majlis itu, Faekah yang mewakili Abdul Khalid menyerahkan kira-kira 2,000 pek buah kurma kepada setiap 10 buah masjid di sekitar DUN itu.

Antara masjid yang menerima sumbangan tersebut ialah Masjid Bukit Tinggi, Masjid Pendamar, Masjid Kampung Idaman, Masjid Ar Rahman dan Masjid Ubudiah.

Agihan kurma telah dilaksanakan sejak tahun 2008 lagi bagi beberapa kawasan di sekitar Selangor di mana tidak kurang 10,000 pek akan diagihkan kepada rakyat. -selangorku

[PRK Kuala Besut] Pengundi Awal Mengundi Hari Ini, Keputusan Diumum 10 Mlm, 24 Julai.


Sebanyak 1,134 anggota tentera dan pasangan serta 14 anggota polis layak melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi awal pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut yang berlangsung hari ini.

Mereka melaksanakan tanggungjawab itu menerusi dua saluran yang dibuka di Dewan Serba guna Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak.

Undian awal itu juga menyaksikan pengundi mencelup jari ke dalam dakwat kekal, berbanding kaedah mencalit pada kuku semasa pilihan raya umum Mei lalu.

PRK Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr A Rahman Mokhtar, 55, meninggal dunia 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru.

PRK itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional, Tengku Zaihan Che Ku ABd Rahman dan calon PAS Endot@Azlan Yusof.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 24 Julai ini sebagai hari pengundian bagi 16,534 pemilih biasa. - Bernama


Keputusan PRK Kuala Besut diumum 10 malam, 24 Julai


Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut hanya akan dimumkan pada jam 10 malam, 24 Julai bagi menghormati pemimpin parti politik yang menunaikan solat Terawih, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika mengumumkan perkara itu berkata, walaupun semua peti undi diterima pihaknya sebelum waktu itu, SPR tetap hanya akan mengumumkan keputusan selepas waktu itu.

"Kita bercadang umum keputusan PRK pada jam 10 malam paling awal, walaupun semua 36 peti undi sudah dikira. Walaupun kita sudah tahu keputusannya, tetapi keputusan rasmi akan dibuat selepas jam 10 malam.

"Kita jangka mereka yang pergi solat terawih sudah balik, kalau tidak kita tidak menghormati mereka," katanya pada sidang media selepas melawat pusat mengundi awal di Pangkalan Tentera Udara Gong Kedak, hari ini.

Proses pengundian awal hari ini menyaksikan 1,148 pengundi yang terdiri daripada anggota tentera dan pasangan, termasuk 14 anggota polis mengundi di sini bagi memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut.

Setakat jam 12 tengahari tadi, dianggarkan 53 peratus pengundi keluar dan dianggarkan 95 peratus pengundi awal akan keluar mengundi.

“Sehingga sekarang baru 53 peratus yang hadir sebab kita sudah berbincang dengan pihak kem supaya pengundi datang berperingkat untuk elakkan kesesakan," katanya.

Bagi tujuan undi awal hari ini, Wan Ahmad berkata pengendali pilihan raya itu menyediakan empat botol dakwat kekal bagi dua saluran.
-TMI

Tiada Tindakan Ke Atas Ibrahim Ali & Zul Nordin Percepatkan UMNO BN Pupus!


Peguam Negara mengkelaskan kes Datuk Zulkifli Noordin yang didakwa menghina agama Hindu sebagai 'tiada tindakan lanjut' (NFA) selepas polis memajukan hasil siasatan kes itu kepada mereka, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

"Semua laporan yang kami terima, siasatan secukupnya telah dibuat.

"Kertas siasatan kes kemudiannya kami kemukakan kepada pihak peguam negara untuk arahan selanjutnya.

"Jadi dalam kes Datuk Zulkifli Noordin, peguam negara dah arah hentikan siasatan, no further action," katanya dalam sidang media selepas majlis berbuka puasa Polis Diraja Malaysia dan menteri dalam negeri malam tadi.

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan berkenaan status kes bekas calon BN Shah Alam itu dan gesaan membakar Bible oleh Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali.

Dalam ucapan kontroversi itu, didakwa dibuat 10 tahun lalu, Zulkifli kelihatan seperti menyampaikan ceramah agama di surau dan menceritakan perbualannya dengan seorang penjual berhala Hindu berhampiran di Kuala Lumpur yang kedainya baru dilanda banjir.

Merujuk kepada kes Ibrahim Ali pula, Khalid menjelaskan yang kertas siasatan juga telah dimajukan kepada peguam negara tetapi sehingga kini peguam negara masih belum mengeluarkan arahan lanjut tentang kes itu.

Kes Ibrahim Ali dan Zulkifli Noordin kembali mencuri perhatian memandangkan timbulnya pendangan yang mempersoalkan layanan berbeza ke atas mereka berbanding pasangan Alvin-Vivian, yang didakwa mempersenda Islam melalui bahan yang dimuatkan di Internet. -mk


Gagal bertindak ke atas Ibrahim Ali bukti benarkan hina agama lain


Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengecam kenyataan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Abdul Rahman Dahlan yang rasis dan melampau terhadap ‘hak’ Presiden Perkasa, Ibrahim Ali yang mengancam untuk membakar kitab Bible.

Beliau berkata, Kabinet mesti menolak sokongan Abdul Rahman itu kerana beliau gagal mewakili seluruh rakyat Malaysia apabila menyifatkan kenyataan Ibrahim itu hanya membetulkan kesilapan cetak kitab Bible dan membakar adalah jalan terbaik sama seperti umat Islam membakar naskhah Al-Quran yang tersalah cetak.

“Saya tidak boleh terima kenyataan seorang yang rasis dan pelampau seperti Ibrahim mahu membakar Bible sebagai usaha untuk membetulkan kitab itu sebagaimana orang bukan Islam tidak sepatutnya dibenarkan membakar kitab suci agama lain.

“Ibrahim tidak patut dibenarkan membakar kitab Bible terutamanya apabila ia mahu dilakukan sebagai tanda protes terhadap agama Kristian.

“Tidak ada sesiapa menerima logik dan rasionalnya kenyataan Abdul Rahman itu apabila Ibrahim menyuruh bakar kitab Bible yang mengandungi kalimah ‘Allah’ berbanding kes pasangan blogger lucah Alvin Tan dan Vivian Lee kerana menyinggung perasaan umat Islam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, kegagalan untuk bertindak terhadap Ibrahim boleh dianggap bahawa penghinaan terhadap agama lain selain Islam adalah dibenarkan di negara ini.

Beliau berkata, DAP menyokong tindakan terhadap pasangan blogger terbabit kerana mereka menghina agama lain, namun mengapa ancaman seseorang yang anti-bukan Islam dan anti-bukan Melayu seperti Ibrahim tidak boleh dihukum dengan cara serupa kerana menggugat keharmonian antara agama.

Ahli Parlimen Bagan itu juga anggapan Abdul Rahman bahawa ancaman Ibrahim untuk membakar Bible sebagai normal jelas memperlihatkan kedua-duanya berkongsi pemikiran yang anti-bukan Islam dan jelas mengkuburkan konsep 1Malaysia Perdana Menteri.

“Rakyat Malaysia juga mempertikaikan kenapa pasangan anak muda itu boleh dihukum di atas apa yang mereka siarkan di Facebook, tetapi calon BN di Shah Alam Zulkifli Noordin yang membuat kenyataan anti-Hindu di YouTube tidak pula dihukum.

“Jelas sekali BN mengamalkan ‘double standard’ serta pendakwaan terpilih dengan hanya menghukum kenyataan anti-Islam tetapi bukan kenyataan anti-bukan Islam.

“Yang penting sekarang ialah sama ada pihak Kabinet (Islam dan bukan Islam) akan mengambil tindakan terhadap kenyataan yang mengejutkan daripada menteri baru dari Sabah itu yang langsung tidak menghormati masyarakat Kristian dan bukan Islam.

“Bolehkah ahli Kabinet, terutamanya menteri yang bukan beragama Islam, menerima pandangan Abdul Rahman yang rasis dan melampau bahawa penghinaan terhadap agama lain adalah sesuatu yang normal,” katanya.

-roketkini



Ulasan GB

Apakah pemimpin UMNO BN, KDN dan Polis tidak "membaca" keputusan PRU13 dimana kedua-dua tokoh rasis tersebut, Ibrahim Ali dan Zulkifli Nordin telah ditolak oleh rakyat apabila kedua-duanya kalah teruk di dalam pilihanraya yang lalu?

Dan kini masih mahu terus membela mereka?

Kalau demikian sikap pemimpin UMNO BN, KDN dan Polis, ini berarti hayat UMNO BN semakin hampir ke lubang kubur kerana dengan melakukan dan mengambil tindakan secara berpilih dan diskriminasi akan hanya mengundang kemarahan rakyat terutama kaum bukan Melayu terhadap UMNO BN dan kerajaan. Teruskan dengan sikap sedemikian!

Tunggu dan lihat hukum kebenaran dan keadilan akan mengambil tempatnya.

Abby Ajak Pengundi Kuala Besut Pilih Parti Yang Perjuangkan Islam


Selebriti terkenal tanahair yang kembali menghayati hidup Islam dan aktif dengan dunia politik Islam turut serta berkempen bagi membantu kemenangan calon PAS, Haji Endot@Azlan Yusof atau ‘Che Long’.

Abby Abadi atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan kini turut berada di Kuala Besut bagi membantu kempen Che Long.

Ketika program Bicara Keluarga Bahagian di pentas “Jom Bersama Che Long” anjuran Markaz Unit Peti Undi (UPU) Kampung Baharu, Abby Abadi turut mengajak rakyat terutama pengundi pilihan raya kecil N1 Kuala Besut memilih Islam.

Ini kerana, katanya sama ada seseorang yang beragama Islam itu suka atau tidak mesti bersama-sama dengan dasar dan perjuangan Islam.

Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana kenal dengan perjuangan Islam setelah bersama-sama dengan PAS.

“Saya bersyukur apabila bersama dengan PAS, tahu perjuangan Islam, kenal dengan dunia politik dan membuatkan saya hendak bersama-sama dengan perjuangan Islam ini.

“Saya bersyukur di atas kesempatan ini dan menyeru kepada yang mengaku beragama Islam supaya bersama dengan perjuangan Islam. Kita kena bersama dengan Islam sama ada Islam menang atau kalah, Islam di atas atau di bawah…kita kena bersama dengan Islam dan itu yang terbaik untuk kita semua.

“Bila kita mengaku beragama Islam, sembahyang sahaja tidak cukup. Kita hidup ini untuk buat persediaan mati di akhirat dan dunia ini hanya tempat sementara sahaja,” ujarnya di hadapan hampir 500 hadirin.

Abby Abadi turut menyelar sikap pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang sekian lamanya melabelkan kumpulan PAS sebagai parti ‘sesat’.

Bahkan, katanya tuduhan PAS itu sesat turut terlekat dalam kepala golongan artis yang mempercayainya.

“Saya tidak mahu bersama dengan PAS pada mulanya kerana yang ada dalam kepala saya waktu itu orang PAS ini ‘sesat’. Inilah salah satu sebab paling besar saya lawan Umno sekarang.

“Sebab dari dulu lagi orang Umno kata PAS sesat. Tapi, saya tengok orang PAS ini kuat agama tapi bila doh orang kata PAS sesat, saya takutlah. Rupanya, saya yang tidak betul dulunya.

“Sebab bila kita kata, kita orang Islam tetapi tidak ikut Islam. Kita kena ambil Islam kesemuanya dan tidak boleh separuh-separuh,” tegasnya.

Beliau menaruh harapan agar PAS diberikan kemenangan oleh Allah dalam pilihan raya ini untuk mengimbangi kuasa politik Umno-BN.

Katanya, para pengundi di Dun Kuala Besut ini mesti memenangkan Che Long bagi menjadikan Pakatan Rakyat dan BN sama kuat dengan 16-16 kerusi Dun Terengganu. -BO

[BERGAMBAR] Abby & Farhan Sudah Bernikah. Tahniah Abby, Semuga Diberkati Allah


Pelakon dan penyanyi, Abby Abadi hari ini telah mengesahkan bahawa beliau telah melangsungkan perkahwinan lebih seminggu lalu.

“Ya memang betul saya sudah berkahwin,” jawapnya ringkas.

Abby atau nama sebenarnya, Arbaiyah Abdul Manan sebelum ini pernah mendirikan rumahtangga bersama pelakon, Norman Hakim pada 2002 tetapi bercerai pada 2008.

Mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata.

Ketika diminta mengulas lanjut mengenai berita pernikahannya itu, Abby enggan mengulas lanjut.

“Pasal perkahwinan itu, saya tidak boleh ulas lanjut lagi.

"Nanti saya beritahu perkembangan kerana saya sedang memandu ke Kuala Besut,” katanya lagi.


Sementara itu, melalui laman mikro Twitternya, Abby berkata, beliau telah sah menjadi isteri.

“Dipendekkan cerita, sebenarnya sudah 12 hari dia sah menjadi suami saya.

"Maaf sebab maklumkan lambat,” katanya.

Menurut Abby, lelaki itu bernama Farhan dan berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang iaitu Kelantan yang usianya lebih muda dari Abby.

Dijangkakan majlis perkahwinan antara Abby Abadi dan Farhan akan dilangsungkan pasa bulan Syawal ini iaitu pada Hari raya Aidilfitri 2013 mahupun belum dipastikan lagi dimana majlis perkahwinan itu akan berlangsung.





Ulasan GB

Apabila berkahwinnya seorang itu, syaitan menangis dukacita kerana tertutuplah satu peluang bagi syaitan untuk menggoda anak Adam supaya terjebak dengan maksiat.

Rasulullah juga pernah bersabda maksudnya, apabila berkahwinnya seorang anak Adam, sempurnalah separuh daripada agamanya. Maka sempurnakanlah yang separuh lagi dengan Taqwa.

Dan kerana itulah disyariatkan perkahwinan.

Tahniah Abby dan semuga pernikahanmu diberkati dan dirahmati Allah swt.