16 Okt 2012

Shahrizat Dakwa Sinsing Lengan, Selak Kain Budaya Melayu



Kuala Lumpur 15 Oktober: Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil memberitahu, perbuatannya menyinsing lengan baju dan bersedia untuk menyelak kain merupakan budaya Melayu.

Ketua Wanita Umno itu tanpa segan silu menjawab demikian ketika disoal peguambela, Ranjit Singh yang mewakili anak guamnya, Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli dan Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Jelas Shahrizat, perlakuannya semasa berucap pada Perhimpunan Wanita Umno 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu kerana beliau bersemangat memberi ucapan.

Katanya lagi, perbuatan itu adalah satu budaya bagi melambangkan persediaan untuk ‘bergaduh’.

“Sebagai wanita Melayu, terutamanya saya dari Pulau Pinang, itu cara kita (Melayu) kalau dah nak marah.

“Itu menunjukkan jika mereka bersedia bergaduh, saya juga bersedia,” katanya.

Sebelum itu, Ranjit menayangkan video ucapan Shahrizat yang menunjukkan beliau menyinsing lengan baju dan beraksi untuk menyelak kainnya berdurasi 10 minit menyebabkan hakim tersenyum melihat gelagat tersebut.

Video yang dipetik daripada portal media Umno itu mencetuskan rasa tidak puas hati kira-kira 20 penyokong wanita Umno.

Reaksi tersebut ditegur Hakim Vazeer Alam Mydin Meera.

Sejurus rakaman itu memaparkan Shahrizat menuduh Rafizi sebagai ‘si Tanggang’, Ranjit menyoal adakah ia ditujukan kepada anak guamnya, Rafizi yang mendapat biasiswa daripada Petronas.

“Saya bukan cakap terus kepada defenden satu, tapi nama Hafizi, Hafizi itu ada di seluruh dunia.

“Saya mengambil contoh si Tanggang kerana saya melihat generasi ini sebagai ibu akan beri nasihat kepada anaknya. Si Tanggang saya nampak apa yang defendan satu (Rafizi) buat,” ujarnya.

Untuk mengelak jawapan Shahrizat makin memalukan, peguam mewakili plaintif, Datuk Shafee Abdullah menyifatkan isu si Tanggang tidak releven disoal.

“Apa relevannya tanya isu si Tanggang kerana ia merupakan cerita Melayu lama-lama,” tempelak beliau.

Perbicaraan disambung semula 18 Mac depan diikuti April dan Mei.

Vazeer dalam kamarnya berkata, saksi lain akan dipanggil pada sesi itu. -KD

Norizan, Mangsa Tembakan Fail Saman Ke Atas Kerajaan Malaysia & PDRM


Kuala Lumpur, Okt 15 — Norizan Salleh, 32 menfailkan tuntutan saman dengan menamakan kerajaan Malaysia, ketua polis daerah Sentul, ketua polis negara dan seorang pegawai polis sebagai defendan selepas mangsa tembakan polis tersebut gagal mendapat pembelaan hampir tiga tahun.

Norizan mendakwa dia telah menerima lima tembakan dan dalam tuntutannya menuduh pihak polis telah melanggar garis panduan operasi (SOP) apabila menembak dari belakang kereta dalam kejadian pada 30 Oktober 2009 lalu.

Kejadian tersebut menyebabkan ibu tunggal itu kini mengalami masalah pada pergelangan tangan dan sering sakit di bahagian jantung akibat daripada pembedahan yang dijalaninya di Hospital Kuala Lumpur dan Institut Jantung Negara selepas insiden tembakan tersebut.

“Saya kini sering menggeletar di bahagian tangan dan jantung sering sakit terutamanya apabila cuaca sejuk.

“Saya masih trauma dengan insiden ini hinggakan setiap kali terlihat kereta peronda saya akan teringat peristiwa tiga tahun lalu itu,” kata Norizan.

Disamping itu, Norizan juga melahirkan kekesalannya terhadap pihak polis dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang gagal menunaikan janji untuk memberikan keadilan kepadanya hingga sekarang.

Dalam saman yang difailkan, antara tuntutan tersebut ialah gantirugi am, gantirugi khas sebanyak RM18,326 (kos perubatan di IJN), gantirugi teruk/teladan, faedah atas penghakiman keseluruhan pada kadar 8 peratus setahun sejak dari tarikh tindakan ini difailkan sehingga tarikh penyelesaian penuh, kos dan apa jua perintah dan kerugian lain yang difikirkan patut dan sesuai wajar ditentukan oleh pihak mahkamah.

Ibu kepada plaintif, Siti Alimah Amin kecewa dengan tindakan pihak polis yang bukan sahaja tidak bertanggungjawab malahan tidak memberikan keadilan kepada anaknya tersebut.

“Mereka (polis) bukan sahaja tidak melawat malahan mengambil sikap lepas tangan. Hishammuddin pun sama, mana janjinya untuk memberikan keadilan anak saya ini? “Sudah hampir tiga tahun, pelbagai janji yang dibuat hingga kini belum ditunaikan. Kini anak saya kena tanggung perubatan sendiri, hospital sudah menghantar surat ke rumah untuk menuntut pembayaran,” kata Siti Alimah.

Peguam yang mewakili Norizan, N. Surendran dan Latheefah Koya juga mencabar untuk kerajaan dan PDRM tampil untuk bertanggungjawab ke atas cubaan membunuh yang dilakukan oleh pegawai polis yang menembak dan mencederakan Norizan.

“Saya cabar kerajaan dan polis untuk bertanggungjawab ke atas cubaan membunuh. Ini adalah cubaan membunuh.Saya mahu mereka bertanggungjawab!” kata Surendran.

Dalam kejadian sekitar jam 3.00 pagi, Norizan duduk di kerusi belakang kereta Proton Waja bersama empat orang rakannya dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Segambut, Kuala Lumpur.

Ketika melalui lebuh raya MRR2, sebuah kereta MPV memintas dari sebelah kiri dan melepaskan tembakan dengan pistol ke arah keretanya.

Peluru menembusi kereta yang dinaikinya dengan lima tembakan mengenai dirinya, salah satunya terkena pada dada sehingga darah mengalir tanpa berhenti.

Norizan cuba meminta tolong tetapi dibalas pula dengan tendangan polis dan kemudiaan belakangnya dipijak hingga mengakibatkan dua tulung rusuknya retaknya.

Norizan kemudiaan dihantar ke HKL untuk dirawat dan empat hari kemudian (4 November 2009) dihantar ke Institut Jantung Negara.

Setelah keluar, Norizan dikehendaki membayar RM20,000 kos rawatan tetapi bukan pegawai polis yang mencederakannya atas alasan Norizan ditimpa kemalangan jalan raya.

Norizan pada April 2010 juga telah menyerahkan memorandum kepada Hishammuddin mendesak supaya tindakan diambil terhadap anggota polis yang didakwanya bertindak tidak mengikut undang-undang dengan menembak dan mengasarinya.

Memorandum berkenaan juga menyifatkan kes tersebut sebagai “cubaan membunuh” dan “serangan kejam” ke atas Norizan.

Malangnya hingga kini mangsa tersebut masih belum mendapat pengadilan malahan penolong pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Mohd Kamaruddin Md Din pada Jun dalam satu kenyataan memutuskan tiada sebarang pertuduhan terhadap pegawai polis yang terbabit dalam kejadian tersebut. -TMI

Laporan berkaitan
klik untuk baca



[GILA] Bilik Kebal Rahsia Besar Simpan Perabot Lama - Laporan Audit

JJabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia dan Jabatan Pertahanan Awam menerima teguran daripada Ketua Audit Negara kerana menyimpan perabot lama di dalam bilik kebal yang sepatutnya digunakan untuk menyimpan dokumen rahsia besar.

"Perenggan 58 Arahan Keselamatan antaranya menyatakan dokumen terperingkat Rahsia Besar merupakan dokumen yang perlu disimpan di dalam bilik kebal atau peti besi yang sepatutnya dipasang dengan kunci tatakira."

Bagaimanapun, lawatan Audit ke Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia mendapati bilik kebal yang disediakan tidak digunakan mengikut fungsi bilik berkenaan.

"Sebaliknya, bilik tersebut telah digunakan untuk menyimpan perabot lama, peralatan pembersihan dan bekalan pejabat seperti ditunjukkan dalam gambar berikut," laporan itu dipetik.

Dokumen itu menyebut, amalan itu dikesan berlaku di kompleks Kementerian Dalam Negeri yang baru siap dibina pada Mac lalu di Johor bagi mengumpulkan kesemua agensi kementerian tersebut di bawah satu bumbung.

Laporan itu menyebut, jumlah bilik kebal tidak mencukupi untuk kegunaan jabatan lain di kompleks kementerian tersebut, menyebabkan dokumen terkawal disimpan di stor utama.

Ia antara lainnya mendapati, stor utama pejabat Jabatan Pendaftaran Negara tidak sesuai kerana berada di laluan paip kumbahan, dan tidak dilengkapi kemudahan mencegah kebakaran.

Stor yang digunakan Jabatan Imigresen Malaysia pula, menurut laporan itu, hanya berdinding kaca tanpa dilengkapi jeriji besi.

Maklum balas kementerian itu kepada jabatan audit pada Jun lalu menyebut, bilik kebal berkenaan telahpun dibersihkan.

Daging kerbau, makanan luput tarikh di kantin sekolah

Kantin di sekolah berasrama penuh, sekolah menengah teknik/vokasional, teknikal dan sekolah agama bantuan kerajaan menyajikan daging kerbau beku yang diimport dan bukannya daging lembu segar seperti dalam kontrak perkhidmatan Bekalan Makanan Bermasak (BMB), Laporan Ketua Audit Negara 2011.

Bukan sahaja makanan yang tidak mematuhi keperluan nutrien, malah setor kantin-kantin tersebut juga menyimpan barangan yang telah luput tarikh guna dan jenama makanan yang tidak diluluskan oleh kementerian.

Mengikut kontrak, kontraktor hendaklah memastikan bahan makanan seperti bahan mentah dan bahan kering yang digunakan berkualiti, halal, tidak luput tarikh guna, mengikut spesifikasi, jenama dan tertakluk kepada akta makanan yang sedang berkuatkuasa.

Daging lembu atau ayam mestilah bermutu dan disahkan halal oleh pihak berkuasa manakala ikan hendaklah dalam keadaan segar.

Semakan Audit mendapati sebahagian daripada syarat kontrak ini tidak dipatuhi oleh kontraktor kantin. Ini adalah penemuan audit di 30 kantin sekolah di Terengganu, Putrajaya, Kuala Lumpur, Johor, Sabah dan Selangor.

Sepuluh kantin menggunakan bahan mentah seperti daging kerbau yang dimport dan ikan sejuk beku yang tidak segar untuk hidangan pada murid, manakala kantin di 21 sekolah lagi tidak membekalkan item bahan kering mengikut jenama, spesifikasi dan kualiti yang ditetapkan dalam kontrak.

Sebagai contoh, pengusaha kantin tidak menggunakan Horlicks seperti yang dinyatakan dalam kontrak, tetapi sebaliknya menggunakan Coco Tiger.

Mereka tidak menggunakan minyak masak jenama Pisau seperti dalam kontrak tetapi menggunakan bukan minyak masak Mibo.

Bagi kicap pula, mereka sepatutnya menggunakan kicap cap Kipas dan cap Ayam. Tetapi mereka menggunakan kicap cap Angsa Mas.

Manakala kordial Sunquick digunakan menggantikan jus Peel Fresh.

Sos tiram, sos tomato dan mentega yang telah luput tarikh guna, seawal dua bulan sebelum diaudit, ditemui di beberapa setor manakala sebuah sekolah di Johor menggunakan minyak masak yang diisi dalam botol minyak terpakai.

Sedang mengikut kontrak, minyak masa hendaklah dibekal dalam tin atau botol bermetri dan apabila digunakan untuk menggoreng hanya dibenarkan untuk digunakan sekali sahaja..
Seorang pengendali kantin sekolah di Selangor menggunakan bahan perasa makanan yang tidak digalakkan, manakala pewarna dan perisa minuman digunakan di sekolah-sekolah di Johor.

Seorang pengendali kantin sekolah di Sabah pula didapati menghidangkan mi kosong tanpa sayur-sayuran, dan ini melanggar kontrak, manakala yang lain menggunakan bekas memasak yang berkarat dan dimasak di kawasan yang kotor.

Dalam reaksinya, Kementerian Pelajaran berkata ia akan menyiasat perkara itu dan memberi amaran terhadap pengendali kantin terbabit dan mengambil tindakan terhadap mereka jika tidak terdapat sebarang peningkatan.

"Kementerian mengambil perhatian serius. Menggunakan minyak masak yang diisi di dalam botol minyak terpakai merupakan satu tindakan penipuan.... pihak kontraktor telah diberi peringatan tegas bagi memastikan perkara ini tidak berulang.

"Pihak sekolah telah membuat teguran kepada pihak kontraktor berkenaan kawalan pnggunaan bahan serta perasa makanan yang tidak digalakkan di dalam penyediaan makanan dan minuman di sekolah.'

Mengikut kontraktor, mereka menggunakan daging kerbau dan ikan yang sejuk beku yang tidak segar kerana kesukaran mendapatkan bekalan bahan mentah dalam kuantiti yang banyak untuk hidangan kepada murid.


[BERGAMBAR] Siling Lpgn Terbang P.Pinang Runtuh, Guan Eng Kecam Menteri Pengangkutan


George Town: Beberapa kepingan siling di depan kaunter tiket Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) runtuh mengakibatkan seorang pekerjanya cedera, Isnin, BERNAMA dipetik.

Pengurus Kanan PIA Mohd Arif Jaafar berkata ketika kejadian pukul 8.30 pagi itu, wanita berusia 26 tahun yang bertugas di kaunter khidmat pelanggan terpaksa dikejarkan ke hospital selepas siling tersebut tiba-tiba runtuh dan menimpa kepala mangsa.

"Keadaannya stabil dan dia dirawat di Hospital Pulau Pinang sebagai pesakit luar," katanya ketika dihubungi, Isnin.

Beliau berkata punca kejadian mungkin disebabkan hujan lebat berterusan sejak 4 pagi, menyebabkan permukaan atas siling tidak dapat menampung jumlah air yang banyak sehingga ia runtuh.

Bagaimanapun, katanya, kejadian itu tidak menjejaskan penerbangan penumpang dan pihak pengurusan sudah menjalankan kerja baik pulih di kawasan terlibat.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang di dalam laman sosial fbnya mengecam Menteri Pengangkutan dan memintanya memberikan Pulau Pinang sebuah lapangan terbang yang boleh dibanggakan bukan yang boleh memalukan. Beliau berkata dengan kos RM250 juta, wang tersebut hanyut ke longkang jika ia tidak di belanjakan dengan betul.

Lim menyuarakan kesalnya dengan kejadian kebocoran yang besar di lapangan terbang pagi semalam.

Beliau mahu ibupejabat Malaysian Airport Berhad mengambil perhatian dan mendesak para pengarahnya datang ke Pulau Pinang memandangkan kejadian yang berlaku adalah serius. Lim menegur Menteri Pengangkutan supaya tidak hanya mengambil berat mengenai hal-hal nombor plat kereta dan kamera saman automatik, tetapi perlu melaksanakan kerjanya seorang menteri pengangkutan.

"Anda boleh lihat sendiri betapa seriusnya situasi ini," bentak Lim dengan menunjukkan beberapa keping gambar terhadap insiden tersebut.

9 GLC Kerajaan Rugi RM2.5 Bilion

Laporan Audit Negara 2011 merumuskan sebanyak 23 syarikat kerajaan mencatatkan keuntungan RM255.8 bilion sepanjang tiga tahun antara 2008 dan 2010 manakala sembilan lagi mengalami kerugian terkumpul RM2.5 bilion. Dalam laporan itu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang juga berkata, daripada 23 syarikat yang memperolehi keuntungan RM255.8 bilion, hanya 10 syarikat membayar dividen kepada kerajaan bagi tiga tahun berturut-turut iaitu sebanyak RM109.364 bilion manakala empat syarikat yang lain hanya membayar dividen bagi tahun-tahun tertentu.

“Sebanyak 20 daripada 25 syarikat telah membayar cukai bagi tiga tahun berturut-turut berjumlah RM81.382 bilion kepada kerajaan,” katanya dalam laporan yang diedarkan di Parlimen.

Seksyen 6(d) Akta Audit 1957 mengehendaki Ketua Audit Negara menjalankan pengauditan untuk menilai sama ada aktiviti kerajaan diuruskan dengan cekap, berhemat dan selaras dengan objektif aktiviti berkenaan.

Pengauditan tersebut melibatkan pelbagai aktiviti seperti pembinaan, infrastruktur, penyenggaraan, pengurusan aset, penguatkuasaan undang-undang, perolehan, pengurusan hasil, pelajaran, kesihatan, pertanian, modal insan dan program peningkatan sosioekonomi.

Katanya, laporan ini mengandungi perkara yang telah diperhatikan hasil daripada pengauditan terhadap 58 aktiviti atau projek di bawah 28 kementerian atau Jabatan Persekutuan dan pengurusan tujuh syarikat kerajaan.

“Pada umumnya, terdapat kelemahan seperti ‘improper payment’, kerja atau bekalan tidak mengikut spesifikasi atau tidak berkualiti atau tidak sesuai, kelewatan tidak munasabah, pembaziran, pengurusan hasil dan pengurusan aset kerajaan,” kata Ambrin dalam laporan kali ini.

Katanya, kelemahan tersebut adalah disebabkan oleh kecuaian dalam mematuhi peraturan atau prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan; kurang teliti semasa merancang program atau projek dan menetapkan skop serta spesifikasi tender; tidak memantau dengan kerap dan teliti kerja-kerja kontraktor atau vendor ataupun perunding; kurang kemahiran dalam pengurusan projek; lewat membuat keputusan mengenai perolehan; sistem maklumat jabatan atau agensi yang tidak lengkap dan tidak kemas kini; kurang memberi perhatian terhadap keberhasilan/impak sesuatu program atau projek; kekurangan peruntukan untuk penyenggaraan aset; dan kekurangan pegawai untuk mengutip hasil.

Ambrin berkata, bagi membantu kementerian atau jabatan atau syarikat kerajaan memperbetulkan kelemahan yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2009 dan 2010, sebanyak 547 syor telah dikemukakan untuk tujuan tersebut.

Katanya, pemeriksaan susulan yang dijalankan setakat 30 April lalu mendapati 241 (96.4 peratus) daripada 250 syor yang dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2009 telah diambil tindakan dengan sewajarnya oleh pihak yang berkenaan.

“Manakala bagi tahun 2010, sebanyak 220 (74.1 peratus) daripada 297 syor yang dikemukakan telah diambil tindakan.

Dalam Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2011 ini pula, katanya, sebanyak 356 syor telah dikemukakan kepada Kementerian atau jabatan atau syarikat kerajaan berkenaan untuk tindakan pembetulan atau bagi mengelakkan kelemahan yang sama daripada berulang.

Jabatan ini akan membuat pemantauan secara berterusan bagi memastikan tindakan yang sewajarnya diambil oleh pihak yang berkenaan terhadap syor tersebut dan akan melaporkan kedudukan terkininya dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2012.

Laporan Audit Negara berkata, Pekeliling Perbendaharaan Bil. 11 Tahun 1993 menyatakan bahawa bayaran dividen sekurang-kurangnya 10 peratus daripada keuntungan selepas cukai setiap tahun perlu dibayar kepada kerajaan sebagai pemegang saham.

Sekiranya keuntungan lebih diperoleh bagi sesuatu tahun kewangan, peratusan dividen perlu ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi tanpa menjejaskan kedudukan kewangan syarikat.

Laporan itu menambah, sehingga tarikh pengauditan pada bulan Mei 2012, adalah didapati 14 atau 29 peratus syarikat daripada 47 syarikat telah membayar dividen bagi tahun kewangan 2010 yang berjumlah RM49.488 bilion.

“Daripada jumlah tersebut 10 syarikat memperolehi keuntungan dan membayar dividen selama tiga tahun berturut-turut berjumlah RM109.364 bilion,” katanya.

Sepuluh syarikat yang membayar dividen sepanjang tiga tahun ialah Petronas RM109,000 juta, Felcra (RM13.50 juta), Perbadanan Nasional Berhad (RM30.04 juta), Amanah Raya Berhad (RM2.70 juta), Malaysian Kuwaiti Investment Corporation Sdn. Bhd. (RM14.04 juta), Prokhas Sdn. Bhd. (RM 6.75 juta), Bank Pembangunan Malaysia Berhad (RM280 juta), Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad (RM2.06 juta), Technology Park Malaysia Corporation Sdn. Bhd. (RM12.32 juta) dan Sirim Berhad (RM2.96 juta).

Hasil Selangor Meningkat 114.3%: Tiada Sebab Untuk Rakyat Tukar Kerajaan

Laporan Audit : Hasil Selangor Meningkat 114.3 Peratus

Laporan Audit Negara yang dibentangkan hari ini mendapati Kerajaan Negeri Selangor mencatatkan peningkatan kutipan hasil sebanyak RM 62.50 juta pada tahun 2011 berbanding tahun sebelumnya.

Pada keseluruhannya, hasil yang dikutip Kerajaan Negeri pada tahun 2011 adalah berjumlah RM 1, 634 juta berbanding RM 1, 571.50 juta pada 2010.

Bardasarkan Laporan Audit juga, Hasil Sebenar yang dikutip Kerajaan Negeri ini juga melebihi Anggaran Hasil sebanyak RM 204 juta atau 114.3 peratus.

Kerajaan Negeri memungut tiga jenis hasil meliputi Hasil Cukai sebanyak RM 534.32 juta, Hasil Bukan Cukai sebanyak RM 791.18 dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM 308.50 juta.

Analisis Audit menunjukkan Hasil Cukai dan Hasil Bukan Cukai mencatatkan peningkatan sejumlah RM 62.50 juta walaupun Terimaan Bukan Hasil mengalami sedikit penurunan.

Penyumbang utama hasil Kerajaan Negeri adalah terdiri daripada Premium Geran Tanah, Cukai Tanah Semasa dan Pemberian Jalan Raya/Lorong.

Jumlah hasil yang meningkat ini membolehkan Kerajaan Negeri mengakhiri tahun kewangan 2011 dengan surplus berjumlah RM 180.50 juta iaitu peningkatan berjumlah RM 56.26 juta atau 45.3 peratus berbanding 2010.

Pada tahun 2010 Kerajaan Negeri hanya mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM 1, 571.50 juta dengan catatan surplus RM 124.24 juta.

Ulasan GB

Sebelum ini GB sudah ulas. Petikan:

Samada suka atau tidak suka, namun itulah hakikatnya. Hukum kebenaran dan keadilan akhirnya mengambil tempatnya - mendedahkan siapa yang terlebih baik di dalam mengurus-tadbir negara.

Sekalipun BN dengan segala medianya cuba untuk memburuk-burukkan reputasi dan prestasi negeri-begeri dibawah Pakatan Rakyat, namun perkara yang benar tidak boleh ditutup dan disembunyikan.

Penipuan-penipuan media massa untuk menunjukkan kehodohan Pakatan Rakyat akhirnya menikam mereka kembali.

Dengan laporan audit terbaru ini, langkah Pakatan Rakyat ke Putrajaya semakin hampir dan semakin pasti.