25 Sep 2012

KAJIAN UM - Sokongan Kepada PR Meningkat, Populariti Najib Merudum



Kajian yang dibuat oleh Universiti Malaya (UM) menunjukkan sokongan ke atas Pakatan Rakyat (Pakatan) meningkat sekarang berbanding dengan kajian yang dibuat pada awal tahun ini.

Sokongan juga meningkat ke atas kerajaan Pakatan di Selangor dan juga Kedah, namun sedikit penurunan di Kelantan.

Kajian itu juga menunjukkan penurunan terhadap keyakinan rakyat bahawa BN akan terus menguasai Putrajaya dalam pilihan raya umum nanti.

Kajian itu dibuat oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) bertajuk Pola Pengundian Menjelang Pilihanraya Umum ke-13.

Kajian terbaru yang dibuat adalah pada 1 hingga 16 September 2012 di seluruh Semenanjung Malaysia.

Kajian sebelum ini dibuat dalam tempoh 31 Mac 2012 hingga 15 April 2012.

Bilangan responden ialah 1536. Kajian dilakukan secara bersemuka dengan melibatkan etnik Melayu, etnik Cina dan etnik India.

Pemilihan responden dipilih secara rawak dengan soalan kaji selidik berstruktur.

Ditanya, parti mana akan menang dalam PRU-13, kajian Mac hingga April menunjukkan keyakinan kepada BN akan menang adalah 49% sedangkan kajian terbaru menunjukkan penurunan kepada 44% sahaja.

Keyakinan kepada Pakatan pula meningkat dari 21% kepada 30%.

Keyakinan kepada kerajaan Pakatan di Selangor juga meningkat dengan ketara dari 38% kepada 50% manakala untuk BN dari 28% jatuh kepada 16%.

Begitu juga di Kedah. Keyakinan kepada Pakatan naik dari 37% kepada 48% dan kepada BN turun dari 40% kepada 32%.

Namun untuk negeri Kelantan, keyakinan kepada Pakatan jatuh sedikit dari 44% kepada 41% manakala BN naik dari 27% kepada 32%.

Namun, kecondongan pengundi tetap kepada Pakatan Rakyat.

Najib jatuh merudum

Kajian itu juga mendapati, harapan rakyat amat tinggi agar berlaku perdebatan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

72% berharap supaya debat diadakan manakala hanya 17% tidak bersetuju dan 11% tidak pasti.

Menurut kajian itu, populariti Najib juga menurun dari 61% pada Mac lalu kepada 58% pada September 2012. -HD

Jangkaan BN menang PRU ke-13 susut di peringkat nasional dan menguasai Putrajaya.


Jangkaan BN menang PRU ke-13 susut dalam kajian parti manakah dijangka akan menang di negeri Selangor.


Jangkaan BN menang PRU ke-13 susut dalam kajian parti manakah dijangka akan menang di negeri Kedah.


Sokongan terhadap Najib menurun 3%


Kajian: Jangkaan BN menang PRU13 susut


Peratusan jangkaan Barisan Nasional (BN) akan menang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) merosot berbanding kedudukan awal tahun, demikian menurut hasil kajian terbaru diumumkan oleh pusat penyelidikan Universiti Malaya (UM), hari ini.

Sebaliknya, jangkaan bahawa Pakatan Rakyat (PR) akan mencapai misinya menguasai Putrajaya dan menggantikan BN di pusat meningkat.

Peratusan pengundi yang tidak pasti berhubung soalan yang membawa kepada jangkaan itu - "dengan andaian anda tidak memihak kepada mana-mana parti politik, parti manakah yang anda jangka akan menang di peringkat nasional dalam PRU13 dan menguasai Putrajaya", mengalami penurunan daripada 30 peratus kepada 26 peratus.

Kedudukan itu 26 peratus itu dilihat menggambarkan pendirian pengundi-pengundi atas pagar, yang akan memainkan peranan penting dalam PRU13.

Kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya UM (Umcedel) ini menunjukkan hanya 44 peratus mengatakan BN dijangka menang di peringkat nasional berbanding jangkaan 49 peratus Mac lalu. Dalam pada itu, peratusan keyakinan PR akan menang meningkat daripada 21 peratus kepada 30 peratus - satu tahap kenaikan yang besar.

Penemuam ini adalah berdasarkan kajian perbandingan yang dijalankan pada Mac-April dan September 2012. Kajian awal dijalankan antara 31 Mac dan 15 April lalu manakala yang terbaru dari 1 hingga 16 September.

Dalam pada itu, kajian yang sama menunjukkan bahawa bilangan responden yang yakin PR akan mengekalkan kuasa di Selangor meningkat besar daripada 38 peratus pada Mac kepada 50 peratus pada bulan ini.

Bagaimanapun jangkaan bahawa BN akan menang pula merosot daripada 28 peratus kepada 16 peratus. Jangkaan di kalangan responden yang tidak pasti kekal 34 peratus pada Mac dan September.

Senario yang sama ditunjukkan oleh data membabitkan Kedah.

Paras jangkaan PR akan menang di Kedah naik daripada 37 peratus kepada 48 peratus manakala di pihak BN pula menurun daripada 40 peratus kepada 32 peratus.

Jangkaan di kalangan responden tidak pasti menurun sedikit daripada 23 peratus kepada 20 peratus.

Selangor, Kedah dan Pulau Pinang dikuasai oleh PR pada Pilihan Raya Umum 2008. Pas memerintah Kelantan sejak 1990.

Kajian Mac-April menggunakan 2,282 responden manakala kajian terbaru membabitkan 1,536 responden.

Daripada 1,526 responden, seramai 1,041 melibatkan orang Melayu, Cina (385) dan India (110).

Dalam kenyataan hasil kajian yang dikeluarkan hari ini, Umcedel berkata, pemilihan responden dipilih secara rawak dengan soalan kaji selidik berstruktur.
-SH



42 peratus Cina yakin hudud adil untuk semua


masyarakat Cina dikatakan fobia dengan cadangan pelaksanaan hudud oleh PAS, tinjauan Universiti Malaya (UM) mendapati sebanyak 42 peratus responden etnik itu percaya undang-undang Islam itu mampu menjanjikan keadilan kepada semua.

Hasil tinjauan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) itu juga mendapati sebanyak 26 peratus masyarakat India dan 62 peratus Melayu berkongsi pandangan sama.

"Terdapat keyakinan terhadap pelaksanaan hukum hudud dalam kalangan orang Melayu, namun masih terdapat keraguan terhadap cadangan pelaksanaannya dalam kalangan orang bukan Melayu," ringkasan kajian itu dipetik.

Dapatan mengejutkan itu dijalankan baru-baru ini melibatkan 25 peratus (385 orang) responden Melayu, sebanyak 68 peratus (1,041) Melayu dan 7 peratus (110) India.

Sebanyak 41 peratus responden masyarakat Cina pula menjawab "ya" apabila ditanya adakah perlaksanaan hudud mampu menghalang jenayah daripada berleluasa.

Bagaimanapun, sebanyak 51 peratus masyarakat itu merasakan hudud tidak boleh dilaksanakan di negara ini kerana masyarakatnya yang berbilang bangsa dan agama.
-mk







Muatturun Laporan Lengkap Kajian UMCEDEL

[VIDEO] IKLAN AIR: Berani Buat Tak Berani Tanggung


Tak Boleh Dedah ‘Client’ Atau Kami Disaman, Kata Produksi Filem Catuan Air Selangor

PETALING JAYA 25 SEPT: Syarikat produksi filem catuan air Selangor berhadapan tindakan saman oleh pelanggan mereka sekirannya mereka mendedahkan pihak yang membiayai projek perfileman tersebut.

Syarikat produksi tersebut semalam menjalankan penggambaran filem yang kononnya memaparkan kelemahan Kerajaan Negeri Selangor dalam menangani isu air di negeri terbabit.

Menurut jurucakap produksi terlibat, Chong Wai Leng kepada media di set penggambaran filem berdurasi 40 saat itu, larangan tersebut terdapat dalam kontrak yang dipersetujui oleh pihak syarikat dan pelanggan yang mahu menerbitkan filem tersebut.

“Kami dah tandatangan kontrak yang melarang kami berikan maklumat (nama pelanggan), jika kami langgar kontrak tersebut kami akan disaman.


“Kami menjalankan kerja kami secara profesional, saya harap anda memahami situasi kami,” kata Wai Leng.

Beliau mula menyedari kehadiran wakil media di lokasi penggambaran tersebut apabila penggambaran yang dijalankan secara rahsia itu mula didatangi beberapa wartawan dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian tengahari semalam.

Selain itu, beliau turut meminta wakil media yang berada di situ agar meninggalkan lokasi penggambaran filem itu.

TV Selangor yang berada di lokasi penggambaran sejak awal pagi semalam mendapati set penggambaran berbajet tinggi itu dilengkapi sekurang-kurangnya tiga buah jentera kren, sebuah lori tangki air, sebuah ‘caravan’, sebuah tandas bergerak tiga pintu, sebuah generator besar dan beberapa kenderaan lain berupa lori dan van.

Beberapa khemah besar turut dibina bagi keselesaan para pelakon dan krew penggambaran makan dan berehat.

Penggambaran yang dijalankan di Pangsapuri Happy Mansion itu melibatkan kira-kira 300 pelakon dengan bayaran didakwa RM50 setiap seorang. -selangorku
Kantoi, pergambaran iklan air timbulkan kemarahan PETALING JAYA: Kantoi... itulah yang boleh dikatakan kepada apa yang dikatakan perancangan BN untuk memalukan kerajaan negeri Selangor melalui filem 'krisis air' yang sedang dalam pergambaran.

Pelbagai pihak yang melihat berita dan video bagaimana penduduk sebuah pangsapuri dikecohkan sejak beberapa hari lalu dengan pergambaran mereka.

Lebih 50 pelakun digunakan untuk menggambarkan suasana kecoh kerana ketiadaan air di kawasan itu.

Ia selaras dengan drama yang cuba dipentaskan oleh BN untuk menggambarkan inilah yang bakal berlaku jika Pakatan Rakyat terus memerintah Selangor.

Padahal, secara realitinya, tidak ada sebarang masalah yang berlaku di negeri Selangor sekarang bahkan semua rakyat Selangor mendapat air percuma untuk 20 meter padu pertama.

"Puak-puak BN ni dia masih kebelakang 10 tahun, sekarang bukan cam zaman dulu lagi dah zaman IT oi! Apa ko rancang sebelum ko siar kat tv lagi dah kantoi seluruh Malaysia dah tau ha ha ha," tulis seorang pembaca, Abdul Rupar Abdul Wahab, terhadap terhadap video yang disiarkan oleh Malaysiakini.

Pembaca juga kesal dengan pelakun yang terlibat dalam pembikinan filem yang tidak betul ini.

"Jangan kerana RM50 kita jual maruah kita pada pihak yang tak bertanggungjawap," tulis Michael Wong.

Selain pembaca, penduduk pangsapuri berkenaan adalah pihak yang paling kesal dengan apa yang berlaku.

Melalui pergambaran filem yang dikatakan dalam bentuk iklan ini, kedamaian penduduk pangsapuri ini terganggu sejak 5 pagi lagi apabila krew-krew pergambaran mula membuat bising di kawasan mereka.

"Sejak 5 pagi, mereka sudah ganggu tidur penduduk di sini,"kata seorang penduduk pangsapuri itu.

Penduduk di sini juga terpaksa meletakkan kenderaan mereka di luar kawasan itu kerana tempat letak kereta mereka digunakan untuk pergambaran berskala besar ini.

Hanya sekeping nota diletakkan untuk memohon maaf kepada penduduk tentang pergambaran ini. -HD





Ulasan GB

Ternyata pihak yang mengeluarkan filem iklan air untuk memburukkan kerajaan PR Selangor adalah pihak yang tidak bertangungjawab.

Mengeluarkan dana untuk pengeluaran filem iklan berkenaan dengan menandatangi dengan sebuah syarikat produksi filem, tetapi enggan dan takut untuk mendedahkan identiti sendiri.

Begitulah gambaran terdesaknya UMNO sekarang ini.

[BERGAMBAR] Dua Kemalangan Maut Berasingan Di Melaka


Kemalangan 1
Nahas 10 kenderaan, 2 maut

AYER KEROH - Seorang pemandu lori maut selepas hampir empat jam tersepit di tempat duduk hadapan apabila lori dipandunya yang merempuh empat motosikal, tiga kereta dan dua lori di persimpangan Seri Negeri-Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa, R R Chandran, 47, maut di tempat kejadian bersama seorang lagi penunggang motosikal, R Mukeudan @ Mukundan, 62.

Nahas yang berlaku berhampiran Pasar Raya Mydin itu membabitkan 10 kenderaan itu turut mengakibatkan tiga cedera, termasuk seorang lelaki parah.

Difahamkan, lori terbabit melanggar kereta Perodua Kancil dari arah Plaza Tol Ayer Keroh menuju pusat bandar raya sebelum merempuh lapan kenderaan lain yang berhenti di lampu isyarat merah di laluan bandar raya menghala Plaza Tol Ayer Keroh.

Lori hadapi masalah brek.

Kelindan lori yang terselamat dalam kejadian itu, N Balan, 30, berkata, sebelum lori yang dipandu Chandran melanggar kenderaan lain, dia menyedari lori yang dinaiki mempunyai masalah brek apabila lori tersebut meluncur laju ketika menuruni bukit menghala lampu isyarat.

“Saya yang terkejut kemudian terus menundukkan kepala dan beberapa saat selepas itu saya berasa hentakan kuat di bahagian hadapan.

“Apabila saya mendongak kepala, lori yang saya naiki kemalangan dan melihat Chandran sudah tidak bergerak.

Ketika itulah saya segera menendang cermin hadapan lori untuk keluar,” katanya yang cedera kaki kanan.

Seorang lagi mangsa, S Yogananthini, 20, berkata, ketika kejadian dia bersama lima ahli keluarganya dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Kesang Damai, Jasin, berhenti di lampu merah persimpangan tersebut selepas keluar dari Pasar Raya Mydin.

“Kami yang menaiki kereta Iswara mahu balik ke rumah melalui Jalan Bemban berada di laluan kanan, sedang menunggu lampu merah di belakang kereta Honda City. Tiba-tiba sebuah lori yang datang dari arah Seri Negeri melanggar bahagian tengah antara kereta saya dan Honda City yang dipandu seorang wanita.

“Lori itu kemudian melanggar sebuah motosikal, namun penunggangnya sempat melompat meninggalkan motosikalnya sebelum merempuh dua lori dan beberapa motosikal yang lain,” katanya yang tidak mengalami kecederaan.

Seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Zul, 38, berkata, dia yang sedang memakir motosikal di bangunan Kota Cemerlang di sini, terdengar bunyi dentuman sebelum berlari ke tempat kejadian.

“Ketika sampai, saya lihat seorang lelaki sudah ditimbus tanah, seorang penunggang motosikal cedera parah, seorang wanita di dalam kereta Honda City, sebuah keluarga menaiki kereta Iswara dan seorang lelaki dalam keadaan 'nyawa-nyawa ikan' berada antara dua lori dan Honda City,” katanya.

Empat jam keluarkan mangsa

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Lokman Hakim berkata, pihaknya mengambil masa hampir empat jam bagi mengeluarkan mangsa iaitu pemandu lori dedak yang maut akibat tersepit di bahagian pemandu.

Katanya, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira jam 3.30 petang, sebelum mengerahkan seramai 24 anggota dari Balai Bomba Ayer Keroh dan Balai Bomba Bukit Katil ke lokasi terbabit.

“Bomba mengalami kesukaran iaitu kira-kira tiga jam setengah untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit antara lori. Mangsa hanya dapat dikeluarkan jam 6.40 petang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, siasatan awal mendapati Chandran yang memandu lori dari arah bulatan Seri Negeri dipercayai terbabas sebelum melanggar sembilan kenderaan lain.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.

Kemalangan 2

Lelaki rentung rempuh belakang lori penyeludup

Alor Gajah: Seorang lelaki rentung selepas keretanya merempuh belakang sebuah lori penyeludup di Kilometer 194.9, Lebuh Raya Utara Selatan, awal pagi semalam.

Mangsa, Lor Kuan Chuan, 26, dalam perjalanan ke arah utara apabila kereta Perodua Myvi dipandunya gagal dikawal dan merempuh belakang lori membawa muatan rokok dan minuman keras yang diseludup sebelum kenderaan diseret kira-kira 100 meter dalam kejadian jam 6 pagi itu. Mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Mangsa tersepit di tempat duduk apabila kereta terperosok di bawah lori manakala pemandu lori berkenaan melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin, yang mengesahkan kejadian itu berkata, identiti pemandu lori belum dikenal pasti namun berdasarkan maklumat Jabatan Pengangkutan Jalan, lori berkenaan milik seorang lelaki di Pontian, Johor.

“Siasatan awal mendapati lori berkenaan didaftarkan menggunakan alamat di Ipoh, Perak. Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu menyebabkan kematian,” katanya.

Lori bawa barang seludup

Pengarah Kastam Diraja Malaysia Melaka, Datuk Mohd Nasir Said, mengesahkan barang yang dibawa lori berkenaan diseludup dan bernilai sekitar RM350,000 dengan jumlah cukai lebih RM2 juta.

“Siasatan lanjut masih dilakukan bagi mengenal pasti bagaimana barang itu dibawa masuk dan ke mana hendak dihantar,” katanya.

Penguasa Kanan II Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Hadzar Hasan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.16 pagi dan menghantar empat jentera, dua dari balai Ayer Keroh dan masing-masing satu dari Jasin dan Bukit Katil.

“Seramai 18 anggota mengambil sedikit masa untuk sampai kerana perlu melalui Tol Lipat Kajang untuk ke lokasi.

“Kerja memadam api selesai jam 7.35 pagi dan mangsa didapati tersepit dan rentung 80 peratus manakala kenderaannya hangus,” katanya.

Langat 2: Selangor 'Sangat Gembira' Jika Perjanjian Batal


Shah Alam – Kerajaan Negeri ‘sangat gembira’ sekiranya Kerajaan Negeri Pahang mahu membatalkan perjanjian bekalan air mentah ke negeri ini jika pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 tidak diteruskan.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang dan Kerajaan Prihatin. Dr Xavier Jayakumar berkata, beliau percaya perkara itu juga menggembirakan rakyat negeri ini kerana secara tidak langsung Kerajaan Negeri tidak perlu membayar kira-kira RM80 juta setahun royalti air mentah kepada Kerajaan Negeri Pahang.

Katanya, Kerajaan Negeri menyambut baik hasrat Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob itu.

“Kalau dia (Adnan) nak batalkan kita gembira dengan keputusan itu kerana kita tidak perlu bayar RM80 juta setahun.

“Tetapi, dia perlu nyatakan secara bertulis perkara ini dan bukannya setakat cakap di media atau sebagainya,” katanya mengulas kenyataan Adnan bahawa pihaknya akan membatalkan perjanjian bekalan air mentah ke Selangor.

Xavier berkata, tiada masalah sekiranya Pahang mahu membatalkan perjanjian bekalan air mentah ke negeri ini kerana bekalan air mentah di Selangor mencukupi.

Sebelum ini, perjanjian itu ditandatangani antara Kerajaan Negeri Pahang dan Selangor yang ketika itu diwakili Dr Mohamad Khir Toyo pada kadar harga 10 sen bagi setiap meter padu dengan kuantiti 1.6 juta meter padu sehari.

Malah, Adnan juga mengugut jika Kerajaan Negeri tidak meneruskan Langat 2 pada masa sekarang dan ingin menyambungnya pada masa hadapan, harganya akan dinaikkan kepada RM1 bagi setiap meter padu.

Xavier berkata, beliau difahamkan pembinaan terowong siap 60 peratus dan Adnan perlu menjawab perkara itu kepada Kerajaan Pusat.

Langat 2: MB Pahang beri Selangor kata dua
< /br> BENTONG - Kerajaan Negeri Pahang akan mengkaji dari segi peruntukan undang-undang untuk membatalkan perjanjian konsesi penyaluran dan pembekalan air mentah ke Selangor sekiranya kerajaan Selangor masih berdegil dan tidak membenarkan projek Loji Air Langat 2 diteruskan.
< /br> Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata ini kerana kerajaan negeri Selangor tidak menghormati perjanjian yang ditandatangani antara kerajaan Pahang dan Selangor ketika itu.
< /br> Beliau berkata walaupun kerajaan Selangor kini bertukar, Menteri Besar Selangor sekarang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sepatutnya menghormati perjanjian bekalan air itu.
< /br> "Saya berharap kerajaan Selangor tidak menjadikan bekalan air itu sebagai isu politik.
< /br> "Kalau beliau (Abdul Khalid) masih terus berdegil, kerajaan Pahang akan mendapatkan pandangan daripada Penasihat Undang-Undang Negeri mengenai projek itu dan akan membatalkan perjanjian itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mini Maha 2012 dan Jelajah Kesihatan Peringkat Parlimen Bentong di Dataran Bentong di sini, hari ini.
< /br> Turut hadir Menteri Pertanian Industri dan Asas Tani Datuk Seri Noh Omar dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang juga Anggota Parlimen Bentong.
< /br> Adnan berkata jika perjanjian itu terbatal dan kerajaan Selangor ingin membuat perjanjian baharu dengan Pahang, pihaknya akan menyemak semula harga dan mungkin caj yang dikenakan lebih tinggi berbanding perjanjian sebelum ini.
< /br> Pada 22 Nov 2007, Pahang dan kerajaan negeri Selangor yang ketika itu di bawah pimpinan kerajaan Barisan Nasional menandatangani perjanjian konsesi penyaluran dan pembekalan air mentah pada harga 10 sen bagi setiap meter padu.
< /br> Kerja pembinaan terowong bagi menyalurkan air mentah ke Selangor dari Pahang dijangka selesai pada tahun 2015.
< /br> Penyaluran air Pahang-Selangor merupakan projek kerajaan persekutuan yang dicadangkan sejak tahun 2000 dan dijangka menelan belanja RM2.
< /br>9 bilion.
< /br> Adnan berkata setakat ini pembinaan terowong air di empangan Klau yang terlibat dalam projek berkenaan berada pada fasa terakhir.
- Bernama
< /br>

Anwar Naik Jet Pun UMNO Jadi Kecoh...


Isu jet supaya tokoh korporat henti sokong Pakatan – Anwar

KUALA LUMPUR 24 September: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, media Umno BN sengaja membesar-besarkan isu beliau menaiki jet bagi manakut-nakutkan ahli korporat supaya tidak membantu pemimpin Pakatan Rakyat (Pakatan).

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, dengan berbuat demikian, tokoh-tokoh korporat takut berurusan dengan pimpinan Pakatan kerana bimbang perniagaan mereka akan terjejas.

"Orang yang curi bilion ringgit, curi tanah ratus ribu ekar tidak diisukan. Tapi, menaiki jet dijadikan isu besar. Kononnya untuk menakut-nakutkan ahli korporat supaya jangan bantu Pakatan Rakyat. Kalau bantu akan jadi isu besar dan bakal jejas perniagaan," katanya mengulas laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini berkenaan isu tersebut.

Anwar berkata demikian pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ketua Umum KEADILAN itu menjelaskan, beliau dan beberapa pimpinan Pakatan lain menggunakan pesawat itu kerana menghadapi masalah penerbangan ketika dalam perjalanan dari Labuan ke Kota Kinabalu semasa menghadiri sambutan Hari Malaysia di Sabah dan Sarawak pada 15 September lalu.

Menurutnya, mereka ke sana untuk menerima penyertaan tokoh politik Sabah, Tan Seri Ibrahim Menudin ke dalam KEADILAN.

“Ada masalah daripada Labuan ke Kota Kinabalu. Masa itu tiada penerbangan petang. Jadi kita terpaksa atur bot laju. Tapi saya ada masalah naik bot selama dua jam…Maka ada seorang rakan membantu memberi pinjam jet,” katanya.

Anwar berkata, pemilik jet tidak mempunyai kepentingan politik di mana-mana negeri yang ditadbir Pakatan.

“Dia cuma bantu…macam kereta saya rosak, saya pinjam kereta orang. Itu tak jadi masalah. Saya dah periksa, dia tiada apa-apa kepentingan.

Saya pun bimbang kalau dia nak mintak tanah atau apa-apa,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar secara berseloroh berkata, beliau mahu meminjam jet berkenaan jika pemiliknya sudi meminjamkan sekali lagi.



Pinjam jet macam pinjam kereta kawan, kata Anwar

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengibaratkan jet peribadi yang dipinjam kepada beliau adalah sama seperti “kita memberi kawan kita untuk pinjam kereta” dan tidak harus diperbesarkan.

Beberapa blog dan media tempatan hari ini menyiarkan gambar Anwar dan pemimpin Pakatan Rakyat lain menggunakan pesawat mewah itu untuk berkempen di Sabah dan Sarawak baru-baru ini.

Penggunaan jet mewah itu menimbulkan persoalan sama ada Ketua Pembangkang “dibiayai” oleh pihak tertentu atau pun terpaksa berhutang budi kepada pemilik pesawat itu.

Bagaimanapun Anwar mendakwa beliau bertanya terlebih dahulu kepada pemilik pesawat itu tujuan meminjam jet itu kepadanya.

"Saya sudah tanya dulu, ada kepentingan atau tidak, tetapi dia kata tiada," katanya di sidang media di lobi Parlimen.

Anwar tidak mengenal pasti siapa pemilik pesawat itu tetapi berkata pihak yang ingin tahu boleh menghubungi Jabatan Penerbangan Awam.

Gambar Anwar di dalam pesawat di muat naik di laman Twitter oleh Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua pada 15 September lalu sebelum di siarkan oleh beberapa laman blog selepas itu.
-antarapos

Ulasan GB

Anwar pakai pengawal peribadi (dari syarikat keselamatan) dikecohkan. Anwar guna bas yang disewakan oleh Tan Sri Khalid pun dikecohkan. Kini Anwar naik jet peribadi yang dipinjam dari rakan pun dikecohkan. Sungguh cemburu dan irihati besar puak UMNO ini. Tetapi Najib & Rosmah berbelanja berjuta-juta wang rakyat ke luarnegara mereka menikus.

Konvoi Ke Putrajaya Tuntut Royalti Minyak


Konvoi ke Putrajaya tuntut royalti minyak

KUALA LUMPUR: Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (R) merancang untuk mengadakan konvoi Himpunan Aman ke Istana Kehakiman Putrajaya pada 2 hingga 4 Oktober depan bagi mendesak supaya hak hasil bumi mereka dikembalikan.

Presiden R, Nazri Deraman berkata, konvoi itu akan diadakan sempena berlangsungnya hari perbicaraan kes saman Kerajaan Negeri Kelantan terhadap Petronas berkenaan royalti petroleum pada jam 9 pagi di Putrajaya.

Katanya, tindakan itu akan diambil sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menyatakan pendirian tegas untuk mengembalikan royalti minyak dan gas yang tertunggak sejak tahun 2004 kepada Kelantan yang dianggarkan berjumlah RM7 bilion dalam pembentangan Bajet 2013 nanti.

Katanya, konvoi itu meliputi ceramah, tazkirah dan solat hajat, penyerahan 150,000 tandatangan dan memorandum kepada Najib, termasuk konvoi ke Menara Petronas dan piket aman ke KLCC.

“Kami mengajak seramai mungkin rakyat Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak untuk bersama-sama berjuang menuntut hasil kekayaan negeri yang selama ini dirompak.

“R telah menyedia pentas pidato pada 2 Oktober depan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam kepada semua pemimpin parti politik termasuk daripada Pakatan Rakyat termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Kami juga ingin menjemput secara terbuka Perdana Menteri atau wakilnya untuk hadir menyatakan pendirian sama termasuk isu tuntutan royalti di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

5 peratus Selain itu, Nazri berkata pihaknya turut mendesak agar Jawatankuasa Bayaran Tunai yang diumumkan Najib pada 4 Ogos lalu melibatkan Kelantan, Terengganu, dan Pahang dibatalkan.

Sebaliknya, beliau mahu bayaran segera wang royalti lima peratus dibayar segera kepada kerajaan negeri Kelantan.

“Kami menolak jawatankuasa ini memandangkan ia tidak dinyatakan dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan perjanjian yang dimeterai antara kerajaan Kelantan dengan Petronas pada 9 Mei 1975.

“Sedangkan penyelesaian isu bayaran wang royalti kepda kerajaan negeri Terengganu juga tanpa melalui Jawatankuasa Khas Bayaran Tunai,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya juga akan memfailkan permohonan Perintah Deklarasi Pembatalan Perjanjian 9 Mei 1975 di Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada Rabu ini.

R merupakan gabungan 58 badan bukan kerajaan (NGO) di Kelantan yang bertujuan untuk menuntut royalti dan hak pendaratan minyak, serta membina hubungan nasional dengan negeri lain bagi menyatakan solidariti menuntut hak hasil bumi dikembalikan.


Calon Pro-Mahasiswa UKM Terima Ugutan Culik & Bunuh

Calon Pro-Mahasiswa UKM diugut culik, bunuh

KUALA LUMPUR 24 September: Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMuKM) mendedahkan, enam calon mereka menerima ugutan bunuh dan culik jika tidak menarik diri dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) esok.

Jurucakap GMuKM, Ahmad Afef Zulkepli berkata, ugutan itu disampaikan melalui panggilan telefon kepada keluarga mangsa.

Beliau percaya, ugutan tersebut kerana ada pihak yang takut melihat kebangkitan pro-Mahasiswa dalam PRK kali ini, lebih-lebih lagi apabila PRK seringkali dilihat sebagai petunjuk kepada pilihan raya umum.

“Malah, sudah tujuh calon kita menang tanpa bertanding…(sedangkan) pro-Aspirasi tidak cukup calon sehingga ada yang dipaksa bertanding oleh pihak pentadbiran universiti,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen.

Menurut beliau, sabotaj turut berlaku apabila sepanduk calon disimbah cat, sama seperti program-program Pakatan Rakyat.

“Kami yakin perkara ini (ugutan dan sabotaj) tidak akan berlaku kecuali ada campur tangan daripada pentadbiran universiti dan Umno BN.

“Justeru, kami tuntut Pengerusi Jawatankuasa Majlis Pimpinan Pelajar, Profesor Ir Dr Osman A Karim menafikan kewujudan campur tangan universiti dalam PRK,” kata Ahmad Afef.

8 Mei lalu, Gagasan Pro Mahasiswa Nasional mendedahkan operasi ‘Ops 2020′ yang menunjukkan campur tangan Pejabat Perdana Menteri dalam penangguhan PRK yang sepatutnya dibuat Mac lalu.

Berhubung perkara itu, Solidariti Mahasiswa Malaysia pada 29 Ogos lalu meminta Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.

0) menilai tahap PRK yang tidak adil.

Sementara itu, Presiden Ikatan Studi Islam uKM (ISIuKM), Muhamad Azan Safar memaklumkan kemenangan tujuh kerusi tersebut masih belum terjamin.

Katanya, ini kerana ada maklumat jelas menunjukkan pihak pentadbiran universiti akan campur tangan untuk menafikan kemenangan calon pro-Mahasiswa.

Tambah beliau, mungkin ada calon yang akan dibatalkan kemenangan mereka melalui kesalahan teknikal sesama pencalonan yang dipandang serius universiti.

Mengiringi mereka dalam sidang media itu adalah Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria.

Dua laporan polis dibuat keluarga mangsa yang menerima ancaman bunuh itu.

Pagi tadi, Pengerusi Pro Mahasiswa Universiti Malaya, Edikoup Lakip Sediyanto turut lapor polis berhubung ugutan tiga samseng upahan di kediaman beliau di Seksyen 17, Petaling Jaya. -KD