17 Mac 2012

Keseluruhan SPR Perlu Dibersihkan, Bukan Sekadar Daftar Pemilih

SPR jangan khianati amanah negara

KUALA TERENGGANU, 16 Mac: Dewan Ulama PAS Pusat mengingatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar tidak menjadi pengkhianat terhadap ketelusan dan keadilan proses pilihan raya di negara ini.

Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, tindakan menukar alamat pengundi secara senyap-senyap tanpa kebenaran pengundi adalah sesuatu tindakan yang tidak wajar dilakukan oleh badan yang diamanahkan mengurus pilihan raya.

"Tidak wajar menjadi pengkhianat kepada amanah negara dengan memindahkan tempat mengundi pengundi tanpa permohonan daripada pengundi dan tidak mengikut undang-undang yang diperuntukkan, iaitu Akta Pilihan Raya 1958," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau merujuk kepada kes yang berlaku kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan juga sejumlah 31,294 pengundi yang didakwa dipindahkan tanpa kebenaran.

Dalam semakan di laman web SPR, tempat mengundi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim didakwa telah ditukar tanpa pengetahuannya.

Khalid kini merupakan pengundi di kawasan pilihan raya Lembah Pantai, Kuala Lumpur dan bukan lagi di Parlimen Petaling Jaya Selatan, Selangor seperti pada PRU 2008 lalu.

Lokaliti mengundi beliau disenaraikan sebagai Rumah Kakitangan Universiti Malaya di bawah daerah mengundi Universiti.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata, urusan pilihan raya merupakan amanah terpenting negara kerana ia menentukan parti mana yang akan memerintah.

Sebagai sebuah badan yang diamanahkan untuk menguruskan pilihanraya sewajarnya SPR tidak melakukan pecah amanah, kata beliau lagi.

Menurutnya, Dewan Ulama PAS Pusat mahu memperingatkan semua petugas Suruhanjaya Pilihan Raya yang terlibat dengan firman Allah dalam surah al-Nisa' ayat 58 bermaksud: "Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu menunaikan amanah kepada yang berhak".

Begitu juga peringatan Nabi saw kepada pengkhianat amanah seperti hadis baginda yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan Hakim:

"Ketahuilah sesungguhnya setiap pengkhianat itu pasti memiliiki bendera di hari Qiamat berdasarkan kadar pengkhianatannya. Ketahuilah sebesar-besar pengkhianatan ialah pengkhianatan pemerintah kepada urusan awam". -HD

Dr Rani: SPR kotor dan jijik

SHAH ALAM 17 MAC : Tindakan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menukar kawasan mengundi tanpa pengetahuan pengundi berkenaan merupakan satu tindakan yang jijik dan kotor yang bertentangan dengan nilai, etika dan prinsip demokrasi.

Demikian ujar Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr. Abdul Rani Osman ketika dihubungi untuk mengulas isu terkini tindakan SPR menukar alamat kawasan mengundi Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ke Lembah Pantai di bawah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Inilah salah satu yang kita perjuangkan dalam Kempen Bersih. Seharusnya juga SPR ini berada di bawah Parlimen supaya kita boleh pantau apa saja tindakannya.

“Tetapi sayangnya di Malaysia, SPR berada di bawah Jabatan Perdana Menteri yang mana memaksa mereka untuk akur akan kehendak pimpinan-pimpinan Barisan Nasional,” ulas Dr. Rani yang merupakan Adun Meru.

Selain itu, Dr. Rani turut menyatakan isu terbaru yang melibatkan Abdul Khalid ini juga membuktikan segala kata-kata pimpinan Pakatan Rakyat sebelum ini terhadap kredibiliti SPR ada benarnya.

“Ternyata SPR itu tidak bebas daripada telunjuk Kerajaan Pusat dan ini membolehkan mereka untuk melakukan apa sahaja sesuka hati mereka tanpa tertakluk kepada undang-undang.

“Ini juga menunjukkan bahawa mereka terdesak hingga sanggup melakukan apa sahaja untuk meraih kemenangan secara tidak bermoral dalam Pilihanraya yang akan datang ini,” kata Dr. Rani sambil menambah permainan SPR ini pernah diamalkan di Kelantan pada tahun 1999 yang hampir menumbangkan Kerajaan PAS.

Sehubungan itu, Dr. Rani menyeru rakan Pakatan Rakyat untuk menumpukan juga perhatian terhadap isu sebegini selain mempergiatkan ceramah-ceramah umum bagi menghadapi Pilihanraya Umum 13 nanti.

“Kita khuatir perkara yang sama akan berulang kembali seperti yang berlaku di Kelantan dan Terengganu juga suatu masa dulu yang jatuh dengan kehadiran lebih 70,000 pengundi luar,” ujarnya.
-selangorku


Ulasan GB

Bagi GB, kini bukan saja Daftar Pemilih perlu dibersihkan tetapi keseluruhan agensi SPR itu perlu dibersihkan.

Ada saja penipuan demi penipuan terbongkar hasil kerja licik pengerusi dan timbalan pengerusi SPR disampign kenyataan-kenyataan mereka berdua yang tidak profesyenal malah sentiasa "senget" dan berpihak kepada BN.

Sepertimana yang GB katakan sebelum ini Suruhanjaya Diraja perlu ditubuhkan untuk menyiasat salahlaku SPR dan heret pengerusi dan timbalan pengerusinya ke muka pengadilan.

Kes MB Selangor dipindahkan ke kawasan mengundi tiada siapa di dalam PR menyedarinya. Hanya setelah Ketua Pemuda Umno Seputeh, Mohd Razlan Muhammad Rafii, menyiarkan di blognya bahawa Khalid telah menjadi "pengundi hantu" di Lembah Pantai yang kemudiannya di hebahkan oleh Malaysiaini. (Ada yang berspekulasi bahawa ia adalah kerja Ketua pemuda UMNO itu sendiri bersama SPR, wallahu 'alam.) Itu immaterial, Tetapi yang penting PR tidak menyedarinya samasekali sebelum ianya dibongkar oleh pihak lain.

Pakatan Rakyat perlu pro-aktif. Parliament Special Committee sekalipun ada wakil PR di dalamnya namun GAGAL berfungsi sepertimana diharapkan. Asyik memberi masa dan ruang kepada SPR yang kemudiannya masa dan ruang yang berikan itu digunakan oleh SPR untuk merancang lebih banyak penipuan dan penyelewengan. Banyak kali YB-YB PR yang ada dalam PSC terjelepok masuk ke lubang biawak. Tak pandai-pandai. Hanya pandai mengadu macam di sini. Kalau kenyataan begitu, tak perlu PSC, blogger dah lama lakukannya.

BERSIH juga sudah lembik, seperti yang GB katakan sebelum ini. Masih terhegeh-hegeh untuk membuat keputusan sedangkan pilihanraya sudah hampir benar di depan mata.

PR pula masih lemah dari struktur organisasi dan arahannya sehingga tiada koordinasi untuk kesatuan tindakan. Macam enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Banyak bercakap dari bekerja. Sedangkan ahli-ahli sudah lama menunggu arahan sehingga semangat pun dah mula sejuk dan beku.

Jika begini keadaannya, jangan sebut lagi mahu tawan Putrajaya pada PRU13 dalam ceramah-ceramah. Takut nanti ada ahli yang tak tahan mendengarnya lemparkan kasut ke muka penceramah macam Imam Hoslan lakukan kepada hakim mahkamah.

Ada yang kata blogger hanya pandai bercakap, hanya pandai menulis, hanya pandai mengkritik. Cakap depan komputer memang senang katanya.

Tetapi mereka lupa kemenangan Pakatan Rakyat selama ini, sumbangan bloggerlah yang paling penting. Media baru. Sekalipun jasa-jasa mereka akhirnya dilupakan. Mujur blogger-blogger PR tak berapa kisah mengenainya kerana mereka adalah "pemuda-pemuda" yang berjuang menegakkan kebenaran dan keadilan tanpa memikirkan ganjaran atau penghargaan... (tetapi GB yakin Allah tetap kisah dan akan mengajar pemimpin PR supaya menghormati serta menghargai jasa blogger ini satu hari nanti)

Apa jadi agaknya kalau dibiarkan saja penipuan SPR berjalan tanpa ada apa-apa tindakan sebelum pilihanraya ke 13 ini berlansung?

Laporan sebelum ini
klik untuk baca



UMNO Tak Sudah-sudah Ganggu Ceramah PAS, Terbaru Di Pekan Pahang

Ceramah PAS di Pekan disambut gangguan dan provokasi

PEKAN, 17 Mac: Provokasi Umno dengan mengadakan ceramah bersebelahan ceramah PAS dan perbuatan memekik-melolong tidak sepatutnya berlaku di kawasan yang diketuai Presiden Umno yang juga Perdana Menteri jika penyokong parti itu berpolitik dengan matang.

Gambar: Orang ramai yang memenuhi program ceramah PAS di Pekan

Malangnya setelah pelbagai slogan dilaungkan seperti transformasi, wasatiyah dan rakyat didahulukan cara berpolitik kuno juga menjadi pilihan konco-konco Datuk Seri Najib Tun Razak di sini.

Serentak dengan itu, PAS Pahang melahirkan rasa kesal, kecewa dan tidak puas hati yang tidak terhingga dengan kejadian gangguan ceramah di Sungai Miang di sini kelmarin yang melibatkan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Turut berceramah ialah bekas Adun (BN) Pulau Manis yang juga bekas Ketua Penerangan Umno Pekan Datuk Mohd Ariff Sabri, bekas blogger Umno Aspan Alias dan Yang Dipertua PAS Kawasan Pekan Ustaz Abu Kasim Manaf.

Antara yang membuat kacau di majlis ceramah PAS

Ketua Penerangan PAS Pahang Suhaimi Saad yang turut berada di pentas ceramah berkata, bukan sahaja ceramah Umno dibuat saat akhir dalam jarak tidak sampai 100 meter dari lokasi ceramah PAS, pembesar suara pula dihalakan dengan kuat walaupun ceramah mereka tidak ramai yang hadir.

“Malah sekumpulan pemuda Umno yang diketuai timbalan ketua pemudanya sendiri memekik dan melolong macam orang gila dan disampuk hantu mengganggu ceramah Mat Sabu.

“Lebih mengecewakan kami, pihak polis yang sepatutnya bertindak menjaga keamanan hanya melihat aksi provokasi melampau itu seolah-olah mahu melihat pergaduhan sesama Melayu pada malam itu,” ujarnya kesal.

Tambah Suhaimi, pihak keselamatan sepatutnya bertindak profesional dan mesti berani bertindak demi keamanan, bukan dilihat "takut" apabila berhadapan dengan samseng Umno.

Serentak dengan itu, Suhaimi berkata PAS Pahang akan menghantar surat bantahan mengenai perangai Umno dan pasukan polis Pekan kepada Perdana Menteri dan menteri berkaitan dalam masa terdekat ini.

Ceramah Umno yang kosong tetapi pembesar suara dipasang secara maksima

“PAS Pahang juga memuji penyokong Pakatan Rakyat dan Unit Amal yang dilihat tenang berhadapan dengan provokasi itu dan mujurlah tiada insiden yang tidak diingini berlaku.

“PAS beranggapan gangguan ini hasil daripada ketakutan Umno yang sarat dengan masalah dan rasuah sehingga amat takut apabila mahu dibuat pendedahan walaupun mereka sudah menguasai media cetak dan elektronik.

“Jadi gangguan dan provokasi melampau ini berlaku kerana Umno Pekan dilihat semakin terdesak untuk mempertahankan kuasa sebab kalau Umno cukup kuat di Pekan apa perlunya ceramah PAS diganggu,” jelasnya.

sementara itu seorang ahli PAS Pekan yang dikenali sebagai Rahim, berpendapat sudah sampai masanya pimpinan tertinggi PAS Pahang bertemu dengan pemimpin Umno negeri ini bagi membincangkan supaya tidak akan terjadi lagi gangguan yang sedemikian rupa kerana boleh mendatangkan kesan yang amat negatif kepada demokrasi dan keharmonian penduduk setempat.

Tambahnya, cukuplah Umno Melaka yang suka mengganggu ceramah PAS dan kejelekan itu tidak sepatutnya berlaku di negeri ini dengan berpolitik secara matang apatah lagi di kawasan Perdana Menteri.

Bulan lalu ceramah Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar di Felda Lepar, Kuantan kecoh setelah diserbu oleh samseng Umno tempatan sehingga hampir mencederakan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Sebelum itu beberapa ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pahang turut diganggu oleh penceramah Umno Umi Hafilda Ali. -HD


Ulasan GB

Hukum kebenaran dan keadilan: yang dengki hati pasti binasa satu hari nanti.

Ferrari Terbakar Di Seremban, Pemandu Sempat Selamatkan Diri

Seremban: Sebuah kereta Ferrari musnah terbakar dalam satu kejadian di Kilometer 28.2, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) berdekatan Mantin, dekat sini, pagi ini.

Gambar: API marak membakar sebuah Ferrari di KM28.2 Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) berdekatan Mantin, Negeri Sembilan, pagi tadi. Pemandunya, seorang lelaki berusia lingkungan 50an, terselamat apabila segera memberhentikan kereta dan keluar sebaik menyedari ia terbakar. - Foto Dzulkeffli Mustapha

Bagaimanapun, pemandunya, seorang lelaki berumur dalam lingkungan 50-an terselamat selepas dia sempat keluar sebelum api menjilat keseluruhan kereta berkenaan. Difahamkan lelaki itu, yang dipercayai berkonvoi bersama beberapa kenderaan mewah lain, sedang dalam perjalanan menghala ke Seremban bertindak memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan apabila mendapati keretanya terbakar.

Sepasukan lima anggota bomba bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Mantin bergegas ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran itu sejurus menerima panggilan kecemasan pada 10.21 pagi.

Ketua Operasinya, Pegawai Bomba Jayagaren Jaganatha Thevar, berkata sejurus tiba lapan minit kemudian, pihaknya mendapati api sudah marak dan memusnahkan keseluruhan kereta Ferrari berkenaan.

Beliau berkata, bomba berjaya mengawal kebakaran kereta mewah itu dalam tempoh beberapa minit.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kira-kira 90 peratus struktur kereta itu musnah dan pemandunya terselamat. Siasatan lanjut masih dijalankan terutama untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian," katanya. - BERNAMA

Gambar Lokasi Kawasan Perumahan Terbengkalai Dimana Mayat Dirang Ditemui

Di sinilah mayat Nurul yang rentung ditemui

TIGA hari berlalu sudah sejak Nurul Nadirah Abdullah atau panggilan manjanya 'Dirang', lima tahun, dikebumikan setelah dibunuh dan dibakar dengan begitu kejam.

Namun kisah tragik kanak-kanak yang dilaporkan hilang pada 1 Mac lalu sebelum mayatnya ditemui rentung seminggu kemudian dalam sebuah lubang di kawasan perumahan terbengkalai (gambar) di Nusa Damai, Masai, Johor Bharu itu, mendapat perhatian ramai.

Bahkan berita kematian Dirang telah menggemparkan rakyat Malaysia dan terus menerima simpati ramai.

Mampukah keluarga Dirang terus tabah menghadapi dugaan berat itu dan membuka lembaran baru dalam kehidupan mereka? -BHS



3 suspek disambung reman hingga 23 Mac

JOHOR BAHRU - Tiga suspek termasuk seorang wanita, yang ditahan berhubung kes membunuh dan membakar Nurul Nadhirah Abdullah, dilanjutkan tahanan reman sehingga 23 Mac ini.

Semalam, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff mengumumkan bapa kandung Nurul Nadhirah, yang sebelum ini ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan anak perempuannya itu didapati tidak terbabit dengan kes itu.

Lelaki berusia 30-an yang merupakan warganegara Filipina itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan masuk ke negara ini dan akan diusir ke negaranya.

Malah, beliau menegaskan individu yang terlibat dalam kes pembunuhan Dirang kini telah pun berada dalam tahanan polis dan tindakan pendakwaan akan dilakukan secepat mungkin.

Polis masih menunggu beberapa laporan daripada Jabatan Kimia untuk melengkapkan kertas siasatan sebelum dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Katanya, tiga suspek berkenaan yang berumur lingkungan 30-an termasuk seorang wanita, yang kesemuanya penagih dadah juga akan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan lanjutan perintah tahanan reman.

Nurul Nadhirah ataupun dikenali sebagai Dirang ditemui mati dibunuh dan dibakar dalam sebuah lubang di tapak perumahan terbengkalai di Nusa Damai, Masai di sini pada 8 Mac lalu.

Kanak-kanak itu sebelum ini dilaporkan hilang pada 1 Mac lepas ketika keluar membeli mi segera dan telur di sebuah kedai runcit di kawasan flat kediamannya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang.

Berikutan kehilangan mangsa, polis menahan tiga orang jiran mangsa yang merupakan penagih dadah dan bapa kandung mangsa untuk membantu siasatan.
-SH



Serah Tubuh Untuk Dapat Top-up

Kulim - Perbuatan tidak bermoral. Begitulah yang dapat digambarkan mengenai kegiatan seorang remaja perempuan yang sanggup menyerahkan tubuhnya hanya untuk mendapatkan tambah nilai prabayar (top-up). Illustrasi hiasan

Sinar Harian difahamkan, modus operandi digunakannya adalah dengan cara berbaik dengan pekerja di stesen minyak yang bertugas hampir setiap malam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, remaja yang berusia 17 tahun itu akan pergi ke kaunter berpura-pura untuk membeli barang sebaliknya menyelak pakaian dan membenarkan pekerja berkenaan meraba buah dadanya.

“Dia juga sanggup melayan nafsu seks pekerja ini di bilik air yang terletak di belakang stesen. Namun, kegiatannya itu dapat dihidu pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, dari siasatan dijalankan mendapati remaja itu tidak bersekolah atau bekerja dan sering dilihat berkeliaran di sekitar kawasan stesen minyak pada awal pagi.

“Dia juga akan diberi gula-gula getah secara percuma selepas memberikan layanan seks. Kes ini terbongkar apabila pengusaha stesen minyak sering mengalami kerugian di antara RM400 hingga RM500 sebulan melalui mesin penambah nilai prabayar di stesen minyak setiap bulan,” katanya.

Ghuzlan berkata, polis boleh membuat siasatan terhadap perlakuan pecah amanah yang dilakukan pekerja itu kerana memberikan tambah nilai prabayar secara percuma kepada remaja terlibat sekiranya ada laporan polis dibuat.

“Walaupun kesal melihat anak muda menjual maruah sebegitu rupa, namun disebabkan remaja terbabit bukan di bawah umur, perlakuan seks yang dilakukan dianggap sebagai suka sama suka. Melainkan remaja itu membuat laporan polis di mana petugas stesen minyak itu bertindak kasar atau cuba merogolnya, maka kes ini diklasifikasikan sebagai rogol,” katanya. -SH

Pergelutan Sewaktu OKU Buat Laporan: SPRM Nafi Pengawal Kakitangannya

Pengawal bukan kakitangan SPRM

Merujuk kepada tajuk berita (Malaysiakini edisi Bahasa Malaysia - dilampirkan di bawah -GB) dan tajuk berita versi bahasa Inggeris yang sama, dukacita (kami) memaklumkan bahawa penulisan tuan "pergelutan di SPRM" seperti yang digambarkan adalah tidak berlaku.

Untuk makluman tuan pejabat SPRM Kuching Sarawak adalah terletak di tingkat 12, Bangunan Sultan Iskandar. Bangunan ini juga menempatkan pelbagai jabatan lain. Kami berkongsi ruang lobi dan perkhidmatan lif yang sama.

Kami juga ingin memaklumkan bahawa "pegawai keselamatan" yang dimaksudkan adalah bukan pegawai dan kakitangan SPRM.

Sehubungan itu, pihak kami ingin menegaskan SPRM sentiasa mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk berurusan dengan pihak kami (without fear or favour) terutama untuk mengemukakan maklumat atau aduan berkaitan sesuatu perlakuan rasuah.

Adalah diharapkan berita ini dapat dijelaskan sebaiknya agar ianya boleh membantu meningkatkan persepsi positif masyarakat terhadap usaha bersama dalam kita mencegah perlakuan dan amalan rasuah.

Penulis merupakan ketua unit komunikasi korporat SPRM. -mk

Pergelutan di SPRM ketika pekebun OKU buat laporan

Cubaan Frusis Lebi, seorang pekebun kurang upaya untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terganggu apabila berlaku pergelutan ketika pengawal keselamatan menghalang kumpulan itu daripada memasuki Bangunan Sultan Iskandar di Kuching.

ADUN Padungan Wong King Wei berkata kumpulan itu telah dihalang daripada memasuki bangunan yang menempatkan ibu pejabat SPRM Sarawak, atas alasan bahawa wakil yang mengiringi beliau memakai baju yang tertera logo DAP.

"Saya ditolak dan dihalang masuk oleh pengawal keselamatan di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar ... Pintu utama juga ditutup kepada ahli-ahli DAP dan orang ramai.

"Mengapa? Apabila saya bertanya kepada mereka, orang yang bertanggungjawab berkata ia adalah kerana logo berkenaan adalah dilarang, iaitu logo roket," katanya dalam satu tulisan di Twitter.

Turut mengiringi Frusis adalah ADUN Batu Kawah Christina Chew dan Ketua DAP cawangan Sri Aman Leon Jimat Donald.

Ketika dihubungi, Leon (kanan) berkata, kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 10:30 pagi apabila ahli kumpulan itu ‘dikasari’ selepas berkeras untuk memasuki bangunan itu bagi membuat laporan SPRM.

"Seorang pengawal keselamatan itu menolak bahu saya dan kami dihalau keluar dengan arahan supaya tunggu di luar," katanya.

Kumpulan itu, katanya, hanya dibenarkan masuk ke dalam bangunan itu dengan iringan pengawal keselamatan selepas lebih daripada 15 minit pertengkaran hangat.

"Kami mahu buat laporan tetapi apabila kita bertemu dengan pegawai itu, dia kata bahawa mereka sendiri sedang menyiasat perkara itu dan tidak ada keperluan untuk membuat laporan tambahan," kata Leon.

Laporan berkenaan adalah berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh Menteri Muda Pertanian Sarawak Datuk Mong Dagang yang mengakui beliau mengarahkan bantuan subsidi pertanian Frusis dihentikan kerana menyokong pembangkang.

Sementara itu, penolong setiausaha publisiti DAP, Teo Nie Ching (kiri) yang melancarkan tabung mengumpul dana menerusi internet selama tujuh hari bagi membantu pekebun kurang upaya itu pada 8 Mac lalu, ketika dihubungi, berkata lebih daripada RM10,000 berjaya dikumpulkan.

Menurut Teo, jumlah sebenar dari kempen yang berakhir semalam akan disiarkan dalam masa terdekat, tetapi menegaskan bahawa ia sangat berjaya walaupun hanya dilakukan menerusi internet.

"Ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia kebanyakannya lebih mengambil berat terhadap golongan miskin dan yang memerlukan daripada pentadbiran BN.

"Ini juga membuktikan bahawa walaupun dilabelkan sebagai 'samseng', kebanyakan pengguna internet adalah berfikir secara logik dan rasional. Mereka tahu bagaimana untuk menggunakan platform ini untuk memberi manfaat kepada rakyat," katanya.

Penyata akaun untuk kempen derma itu akan disiarkan minggu depan, kata beliau.

Sambil menambah bahawa kejadian itu masih jauh daripda berakhir, Teo berkata Mong mesti meletakkan jawatan atas tindakannya dan segera mengembalikan subsidi pertanian kepada Frusis.

Nota: Perenggan kedua telah dipinda untuk menjelaskan bahawa pejabat SPRM Sarawak itu terletak di dalam Bangunan Sultan Iskandar di Kuching. -mk


Kes Dirang: Ibu Dirang Akan Berpindah, Masih Terlihat Bayangan Dirang

Ibu mangsa: Bayangan Dirang di mana-mana

PASIR GUDANG – Keluarga mangsa bunuh dan bakar, Nurul Nadirah Abdullah, 5, mungkin akan berpindah menetap bersama mertua di Sarawak selepas semua urusan selesai.

Ibu mangsa, Roselyn Alan, 25, berkata, tiga hari sebelum anaknya yang mesra dipanggil Dirang dilaporkan hilang, hatinya memberontak ingin berpindah ke tempat lain, tetapi keadaan suami ketika itu masih belum bekerja menghalang niatnya itu.

Menurutnya, sekiranya tidak jadi pulang ke Sarawak sekalipun, mereka sekeluarga tidak akan lagi menetap flat dan ingin mencari rumah teres yang difikirkan lebih selamat.

“Ibu mertua suruh kami pulang menetap bersama mereka di Sarawak kerana bimbang dengan keselamatan kami di sini, tetapi kami masih belum memberi sebarang keputusan.

“Kami nekad mahu berpindah dari kawasan ini, kerana bayangan Dirang sentiasa ada bersama. Ke mana sahaja pergi sama ada ke bilik air atau ke taman permainan, saya sering terbayangkan dia (Dirang) ada bersama ,” katanya di sini, semalam.

Roselyn berkata, suasana di rumahnya sunyi kerana tiada lagi bebelan dan rengekan manja daripada Dirang yang digelar ‘becok’ dalam kalangan keluarga.

Menurutnya, tidurnya tidak pernah lena sejak kehilangan Dirang kerana setiap malam terasa seperti Dirang ada di sisi, malah seolah-olah terdengar bunyi anak manjanya itu menghisap jari.

“Dirang memang menghisap jari kanan sebelum tidur. Mulutnya tidak pernah berhenti membebel dan menyanyi sambil menari setiap kali bangun tidur sehingga kami menggelarnya sebagai ‘becok’.

“Saya tidak sangka selepas adiknya, Ainul Syuhada Abdullah, 2 bulan hadir dalam hidup kami, dia (Dirang) pula pergi,” katanya yang masih dalam keadaan trauma.

Roselyn turut menggesa pihak polis supaya mempercepatkan siasatan kerana mahu pembunuh anaknya dikenakan hukuman yang setimpal.

“Saya harap polis dapat mempercepatkan siasatan dan membawa pembunuh anak saya ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman yang setimpal.

“Saya juga mohon pihak polis membebaskan bekas suami saya kerana saya yakin dia tidak terbabit dalam pembunuhan anak kandungnya sendiri,” katanya. -SH

Bapa tiri: Tunggu keadaan reda

PASIR GUDANG – Bapa tiri, Dirang menghargai bantuan dihulurkan banyak pihak termasuk tawaran kerja untuknya.

Lima Medeng, 26, berkata, ada pihak menawarkannya bekerja di ladang kelapa sawit termasuk penginapan di Kota Tinggi, tetapi terpaksa ditolak kerana memikirkan keselamatan keluarganya.

Menurutnya, dia lebih cenderung bekerja di pelabuhan kerana berpengalaman dalam bidang itu sejak 2009.

“Saya sebelum ini bekerja di Pelabuhan Klang sejak 2009, sebelum terpaksa berpindah ke sini kerana kontrak kerja tidak dapat disambung lagi.

“Kalau ada rezeki saya memang mahu meneruskan pekerjaan dalam bidang ini, tetapi terpaksa menunggu sehingga keadaan reda dan semuanya selesai,” katanya ketika menerima sumbangan daripada pihak Econsave di sini, semalam.

LIma berkata, dia berhasrat memiliki pengangkutan sendiri seperti motosikal untuk memudahkannya pergerakkannya-ke tempat kerja.

Dalam pada itu, Pengurus Operasi Econsave Cash and Carry Sendirian Berhad Negeri, Mas Imran Adam berkata, pihaknya bersedia menawarkan pekerjaan kerana mempunyai tiga kekosongan pelbagai jawatan.

Menurutnya, pihaknya mengikuti perkembangan sejak mula Dirang dilaporkan hilang sehingga turut berusaha menampal poster kanak-kanak itu di Econsave Pasir Gudang.

“Kita boleh menawarkan pekerjaan secara sepenuh masa atau sambilan me­ngikut kesesuaian, ” katanya.
-SH


'Jangan Sampai Adat Susahkan Urusan Kahwin'

Kota Bharu - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menasihatkan orang Melayu tidak terlalu memberi tumpuan pada soal adat dan budaya sehingga menyusahkan urusan perkahwinan termasuk "terpaksa berhutang."

Beliau yang juga Mursyidul Am Pas berkata, urusan perkahwinan sepatutnya dipermudahkan dan tidak wajar membiarkan diri dibebani pelbagai 'gangguan' budaya Melayu.

“Soal nikah kahwin dalam Islam adalah perkara yang amat digalakkan dan boleh disempurnakan walaupun hanya dengan mas kahwin 'cincin besi'.

“Malangnya, pengaruh masyarakat yang mahukan keindahan budaya Melayu ditonjolkan yang menjurus kepada kemewahan dan pembaziran menyebabkan golongan muda yang mahu berkahwin menangguhkan dahulu hasrat tersebut,” katanya.

Nik Abdul Aziz berkata, bakal pengantin dan keluarga sepatutnya hanya memikirkan belanja mas kahwin dan jamuan untuk tetamu sahaja.

Budaya Melayu yang mahu ditonjolkan katanya, menunjukkan banyak duit tapi pada hakikatnya banyak antara masyarakat yang terpaksa berhutang.

"Kita lihat banyak pameran perhiasan, pintu gerbang perkahwinan yang sengaja dibuat-buat sedangkan ia memakan banyak belanja," katanya ketika menyampaikan kuliah mingguan di Medan Ilmu di sini, hari ini.

Beliau berkata, jika tidak kena caranya, si suami mungkin terpaksa mengambil semula mas kahwin dan berhutang dengan isteri kerana mahu melangsaikan pinjaman persiapan majlis perkahwinan.

"Padahal mas kahwin itu seratus peratus milik isteri, tetapi akhirnya habis di tangan suami dek kerana hutang yang banyak,"
katanya.

Dalam perkembangan lain, Nik Abdul Aziz menyelar pihak yang mendakwa Kelantan sebagai negeri termiskin di negara ini.

Katanya, sindiran sedemikian tidak sepatutnya timbul kerana Kelantan juga negeri dalam persekutuan Malaysia yang sepatutnya dilayan serupa dengan negeri-negeri lain.

"Kalau kita berkereta ke sempadan Terengganu di Bukit Yong, Pasir Puteh, kita dapat lihat dengan jelas perbezaan keadaan jalan antara dua negeri. Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana duit yang dibelanjakan kerajaan persekutuan bukannya milik 'mak bapak' mereka.

"Sebab tu saya tidak akan halalkan sedikitpun harta Kelantan seperti royalti minyak yang dinafikan sekian lama, saya tidak akan halal sesenpun dan mengajak semua rakyat menuntutnya di hadapan Allah di akhirat nanti," katanya. -SH

Ulasan GB

GB amat bersetuju dengan teguran TG Nik Aziz.

“Malangnya, pengaruh masyarakat yang mahukan keindahan budaya Melayu ditonjolkan yang menjurus kepada kemewahan dan pembaziran menyebabkan golongan muda yang mahu berkahwin menangguhkan dahulu hasrat tersebut,”

Malah bukan sahaja "menyebabkan golongan muda yang mahu berkahwin menangguhkan dahulu hasrat tersebut" lebih teruk dari itu, pasangan boleh terjebak dengan perbuatan maksiat apabila gagal untuk menempuh lautan kesabaran apabila dilanda ombak percintaan dan gelora nafsu.

Itu sebab mengapa Rasulullah pernah bersabda:

Yassiru wa la tu 'assiru
Bashiru wa la tu naffiru


Permudahkan dan jangan dipersusahkan
Gembirakan dan jangan menakutkan. Sahih Bukhari & Muslim

Kes Dirang: Bapa Bebas Reman Tetapi Diusir Ke Filipina, Penghantar SMS Dicekup

Bapa Dirang Diusir Ke Negara Asal, Tidak Terlibat Kes Bunuh Anak

JOHOR BARU: Bapa kandung Nurul Nadhirah Abdullah, 5, yang sebelum ini ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan anak perempuannya itu didapati tidak terbabit dengan kes itu.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata siasatan bagaimanapun mendapati lelaki berusia 30-an yang merupakan warganegara Filipina itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan masuk ke negara ini.

"Kita telahpun kemukakan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPP)dan arahan telah dikeluarkan supaya dia diusir ke negara asal secepat mungkin," katanya dalam sidang media di sini, Jumaat.

Beliau sekali lagi menegaskan individu yang terlibat dalam kes pembunuhan Dirang kini telahpun berada dalam tahanan polis dan tindakan pendakwaan akan dilakukan secepat mungkin.

Katanya polis kini masih menunggu beberapa laporan daripada Jabatan Kimia untuk melengkapkan kertas siasatan sebelum dikemukakan kepada TPP untuk tindakan lanjut.

Katanya tiga suspek berkenaan yang berumur lingkungan 30-an termasuk seorang wanita, yang kesemuanya penagih dadah juga akan dibawa ke mahkamah pada Sabtu untuk mendapatkan lanjutan perintah tahanan reman.

Nurul Nadhirah ataupun dikenali sebagai Dirang ditemui mati dibunuh dan dibakar dalam sebuah lubang di tapak perumahan terbengkalai di Nusa Damai, Masai di sini pada 8 Mac lalu.

Kanak-kanak itu sebelum ini dilaporkan hilang pada 1 Mac lepas ketika keluar membeli mi segera dan telur di sebuah kedai runcit di kawasan flat kediamannya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang.

Berikutan kehilangan mangsa, polis menahan tiga orang jiran mangsa yang merupakan penagih dadah dan bapa kandung mangsa untuk membantu siasatan. - BERNAMA


Ibu Dirang Bimbang Bekas Suami Mungkin Dihantar Pulang Ke Filipina

JOHOR BAHRU: Roselyn Alan telah menerima dia tidak lagi berpeluang melihat anaknya Nurul Nadirah Abdullah namun kebimbangannya kini adalah bapa kanak-kanak itu mungkin akan dihantar pulang ke negara asal, Filipina.

Jika perkara tersebut berlaku, ia akan memberi tamparan hebat kepada seorang lagi anaknya, Mohd Hafiz yang berusia enam tahun.

Anaknya, Nurul Nadirah Abdullah yang juga dikenali sebagai Dirang dibunuh dan mayatnya dibakar sehingga rentung, yang dilaporkan mengenai kehilangannya pada 1 Mac ketika keluar membeli mi segera dan telur di kedai runcit di kawasan rumahnya.

Roselyn, 25, berkahwin dengan suaminya warga Filipina di Sabah pada tahun 2005 namun bercerai selepas tiga tahun.

"Saya berharap dia tidak akan dihantar pulang kerana ibu bapanya sudah meninggal dunia dan dia tidak mempunyai ahli keluarga lain di Filipina," katanya, mengenai lelaki yang ditahan kerana disyaki sebagai salah seorang suspek dalam Nurul Nadirah yang berusia lima tahun.

"Dia sering berjumpa dengan Dirang, dan abangnya dari Rawang untuk meraikan hari lahir mereka dan membeli mereka permainan," kata Roselyn, sambil menambah bekas suaminya itu sering berkunjung setiap dua bulan.

“Dia tahu Dirang suka makan kek. Dia selalu belikan kek kesukaan Dirang setiap kali datang melawat anaknya,” katanya, yang menggambarkan bekas suaminya sebagai bapa penyayang.

“Saya yakin dia tidak bersalah. Tidak kira dianggap sekejam mana pun oleh orang lain terhadapnya, saya tidak fikir dia akan menyakiti anaknya sendiri,” katanya, sambil memberitahu masih sedih akan pemergian Nurul Nadirah namun menerimanya sebagai ketentuan takdir.
-mstar


Bekas tentera ditahan ugut ibu Dirang melalui SMS ditahan

Polis menahan seorang bekas anggota tentera yang dipercayai membuat ugutan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) terhadap ibu Dirang, kanak-kanak berusia lima tahun yang dibunuh dan dibakar di Masai, Johor.

Lelaki berumur 45 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Pulai Chondong, Machang dekat Kota Bharu kira-kira jam 3 pagi tadi.

Dia dipercayai menghantar SMS untuk mengugut Roselyn Alan, 25, bagi membuat pembayaran sebanyak RM10,000 kononnya bagi mendapatkan semula Dirang yang dilaporkan hilang pada 1 Mac lalu ketika keluar membeli makanan di sebuah kedai berhampiran rumahnya.

Khamis lalu, kanak-kanak itu disahkan dibunuh dan dibakar selepas ujian DNA mengesahkan mayat rentung yang ditemui di Nusa Damai, Masai adalah mayat Dirang atau nama sebenarnya Nurul Nadirah Abdullah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata polis menemui tiga buah telefon bimbit di rumah suspek dan siasatan lanjut mendapati sebuah daripada telefon tersebut telah digunakan bagi menggugut Roselyn.

Sebelum ini polis Johor telah meminta kerjasama polis Kelantan bagi mengesan suspek yang dipercayai berada di Kelantan.

"Lelaki itu telah direman selama tiga hari bermula hari ini dan kita akan menyerahkan kes ini kepada polis Johor untuk tindakan selanjutnya," kata Jalaluddin kepada pemberita di Kota Bharu hari ini.

Beliau berkata suspek merupakan duda yang mempunyai dua orang anak dan bekerja sebagai buruh binaan setelah dipecat dari tentera kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan mempunyai rekod jenayah berkaitan kes dadah di mahkamah.

Dia ditahan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 506 kanun yang sama kerana membuat ugutan jenayah, yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Beliau berkata suspek dipercayai cuba mengambil kesempatan dari kes kanak-kanak itu terhadap keluarga mangsa semasa membuat ugutan berkenaan.- Bernama