11 Mei 2011

Omar, Anak Osama: Tidak Ada Bukti Ayahku Sudah Meninggal

Seorang anak pemimpin Al Qaidah Osama bin Ladin mengkritik pembunuhan sewenang-wenang atas ayahnya oleh pasukan elit AS dan mengatakan ayahnya sepatutnya diadili di pengadilan.

"Mengapa seorang lelai tanpa senjata tidak ditahan dan diadili di pengadilan sehingga kebenaran dapat didedahkan kepada masyarakat dunia?" tanya Omar (gambar) dalam sebuah pernyataan yang dikirim kepada New York Times.

Anak keempat Osama bin Ladin, mengatakan, tidak adanya bukti berupa jasad dan foto, keluarga belum benar-benar yakin bahwa Osama sudah mati.

Keluarga berpendapat bahwa pembunuhan Osama telah melanggar hukum antarabangsa, sedangkan diktator-diktator seperti mantan Presiden Irak Saddam Hussein dan mantan Presiden Serbia Slobodan Milosevic telah diberi kesempatan untuk diadili.

"Kami berpendapat bahwa pembunuhan sewenang-wenang bukanlah penyelesaian untuk masalah-masalah politik dan pengadilan kejahatan untuk mencari keadilan harus dilakukan," ujarnya.

Keluarga mengatakan, mereka menuntut sebuah penyelidikan mengapa Osama dihukum tanpa pengadilan dan menuntut pembebasan tiga orang isteri dan beberapa anaknya, yang diyakini berada di tahanan Pakistan.

Pernyataan itu juga menyatakan keputusan AS untuk membuang jasad Osama ke laut telah menghilangkan kesempatan kepada keluarga untuk melakukan ritual keagamaan.

Pertanyaan berkembang di seluruh dunia tentang kesahihan operasi AS, yang melanggar kedaulatan negara asing, mendakwa bahwa tubuh Osama langsung dibuang ke laut dan larangan penerbitan setiap foto jasadnya. -republika

[Video] Pandi Kutty - Apa Maknanya Bila Ada Orang Terasa?

Pandi Kutty - Kenapa Najib Begitu 'terasa', tanya Azizah

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail "hairan" kenapa Utusan Malaysia dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak begitu "terasa" terhadap perkataan 'Pandi Kutty' yang disebut suaminya pada satu ceramah Sabtu lalu.

"Kalaulah Perdana Menteri Najib kata Anwar kata dia 'pandi kutty', Anwar tak kata dia. Anwar kata siapa yang rasuah, siapa yang buat fitnah, siapa yang bunuh, itulah perangai 'pandi kutty'. Yang mereka nak terasa kenapa? Siapa makan cili dia yang terasa pedasnya," kata Azizah dalam siri Ceramah Jelajah Selangor di Meru di sini malam tadi.

Akhbar Utusan Malaysia milik Umno semalam melaporkan kononnya Anwar menggunakan ungkapan bahasa Tamil itu yang bermaksud anak babi terhadap Najib.

Berasaskan laporan Utusan itu semata-mata, Perdana Menteri dan juak-juak Umno membidas Anwar tanpa usul periksa mengenai kesahihan laporan itu.


Najib semalam menuduh Anwar sebagai mengamalkan politik tak beretika kerana kononnya menggunakan perkataan kesat itu terhadap beliau.

Tuduhan Perdana Menteri itu tersasar. Rakaman ceramah Anwar di Kelang oleh TVSelangor menunjukkan Anwar tidak menggunakan perkataan itu terhadap Najib tetapi terhadap taktik-taktik jijik yang digunakan, khususnya video lucah untuk menjatuhkannya.

"Maknanya kalau kita lawan dengan parti yang terdesak, mereka menjurus kearah perbuatan terdesak termasuk video. Azizah kata sekarang jangan makan banyak sebab nanti sama dengan dalam video. Ini betul-betul "pandi kutti," Anwar berkata di Dewan Hamzah Kelang.

"Ada orang kata Anwar cakap kasar. Macam mana tidak kasar. Ini kerja gila. Anda tahu sejarah India, Cina, Melayu Arab, adakah anda lawan politik begitu kotor macam Datuk Najib buat? Tidak ada,” tambah Anwar di ceramah itu.

Hari ini Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata adalah menghairankan bagaimana Utusan, sebuah akhbar yang menjadi juara penyebaran kelucahan kepada masyarakat kini mahu menjuarai adab sopan.

Menurut Azizah, Utusan gagal menurut tujuannya iaitu pembina wacana orang Melayu sebaliknya melemahkan lagi pemikiran dengan isu remeh dan fitnah seperti ini.

Azizah turut merujuk berita muka hadapan Utusan 9 Mei lalu dimana bekas ahli PKR Aminah Abdullah meminta beliau bercerai dengan Anwar kerana video fitnah yang diuar-uarkan.

"Apa hal 'pandi kutty' pun nak jadik berita besar? Cik Aminah (Abdullah), orang Meru pun tak kenal Cik Min, boleh jadi muka depan suruh (saya) cerai. Ini pun jadi berita. Apa jadi dengan Utusan Malaysia? Sepatutnya menjana pemikiran orang Melayu. Apa orang Melayu tak ada pemikiran? Apa beginikah cara menjamu pemikiran orang Melayu?," kata Azizah.

Azizah kesal kerana media arus perdana termasuk Utusan cuba mengalihkan rakyat daripada masalah-masalah yang mencengkam kehidupan harian seperti kenaikan harga gula dan ketirisan kewangan di bawah pentadbiran Umno-BN.


Nik Aziz: Gesaan MCA pulaukan Utusan tepat

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hairan dengan sikap akhbar Umno, Utusan Malaysia yang mengecam Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa melabelkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai 'pandi kutty'.

Menulis di Facebook, semalam, Nik Aziz berkata adalah menghairankan bagaimana Utusan, sebuah akhbar yang menjadi juara penyebaran kelucahan kepada masyarakat kini mahu menjuarai adab sopan.

"Saya terbaca tajuk muka depan akhbar Utusan Malaysia hari ini, "Anwar Dikecam," kononnya kerana guna kata-kata kesat serang Perdana Menteri.


"Hairan saya, akhbar yang menyebarkan segala bentuk kelucahan dalam masyarakat hari ini menjadi juara adab sopan?" tulisnya.

Utusan Malaysia pada muka depannya semalam meletakkan tajuk 'Anwar dikecam' dengan membawa beberapa pandangan individu membidas sikap Anwar yang didakwa melabelkan Najib sebagai 'pandi kutty' - perkataan bahasa Tamil yang bermaksud anak babi.

Malah, akhbar milik Umno itu mencetak bidasan seperti pemimpin Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) Hamidzun Khairuddin yang berkata Anwar mengalami “sindrom pra-haid (PMS), kesan daripada kes liwat dan video seks yang sedang dihadapinya.”

Gesaan yang tepat

Hamidzun seperti pemimpin-pemimpin Umno yang lain termasuk Khairy Jamaluddin, Datuk Ibrahim Ali dan Mohammad Ezam Mohd Noor membidas Anwar hanya berasaskan laporan Utusan, tanpa mengesahkan kesahihan komen Anwar itu.

Mengulas isu yang sama, Najib dalam laporan Bernama, berkata kata-kata kesat yang dilemparkan itu tidak menjejaskan waktu tidur beliau.

"Ini tak menyebabkan saya tak tidur jendera (lena) waktu malam kerana dia (Anwar) buat sebutan sebegitu sebab saya yakin rakyat boleh menilai perbuatan yang dilakukan oleh pemimpin sepertinya," katanya.

Najib juga berkata ketua umum PKR itu sebagai sudah terjebak mengamalkan politik tidak beretika dan yakin rakyat boleh menilai sikap sebenar Anwar.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, gesaan MCA sebelum ini agar Utusan dipulaukan, sangat tepat.

"Tepat sungguh gesaan MCA agar Utusan Malaysia dipulaukan,"
tulisnya lagi.

MCA bulan lalu menggesa rakyat Malaysia supaya memulaukan akhbar Utusan Malaysia kerana mecadangkan gerakan '1Melayu, 1Bumi' diutamakan. Parti itu mendakwa cadangan itu adalah untuk menghalalkan diskriminasi kaum.

Sebarkan fitnah

Anwar dalam Twitternya semalam menulis serangan terbaru isu 'pandi kutty' terhadapnya itu adalah fitnah terbaru Umno BN.

Menurut laporan TV Selangor yang merakam penuh ceramah Anwar di Klang, Sabtu lalu itu, ketua pembangkang itu tidak langsung menghemburkan perkataan itu terhadap Najib.

Sebaliknya Anwar pada ceramahnya berkata perkataan pandi kutty mungkin dianggap kasar namun mengingatkan hadirin bahawa tidak ada dalam mana-mana budaya di dunia ini menggunakan taktik-taktik kotor seperti video lucah untuk menjatuhkan pemimpin politik.

"Maknanya kalau kita lawan dengan parti yang terdesak, mereka menjurus ke arah perbuatan terdesak termasuk video. Azizah kata sekarang jangan makan banyak sebab nanti sama dengan dalam video. Ini betul-betul pandi kutty." kata Anwar pada ceramah tersebut.

Sebelum ini, Utusan juga dikecam banyak pihak berikutan tindakan keterlaluan akhbar itu menyiarkan pelbagai berita fitnah di muka depan laporan serta gambar, termasuk berhubung isu video seks yang dikaitkan dengan Anwar .

Sabtu lalu, akhbar itu mendakwa golongan paderi bersekongkol dengan DAP untuk menjadikan Kristian agama rasmi negara ini. -mk




Ulasan GB

GB sudah ulas sebelum ini dengan memetik pepatah Inggeris berbunyi: "Whatever you think, you are right!"

Ertinya di sini, jika anda fikirkan "pandi kutty" itu ditujukan kepada anda, maka betullah anda begitu (sekalipun Anwar tidak bermaksud demikian).

[Video] Subsidi Gula Dipotong Lagi, Permata Kaut RM111 Juta

Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad (gambar) menyifatkan tindakan kerajaan Umno menaikkan harga gula sebanyak 20 sen kepada RM2.30 sekilogram berkuatkuasa semalam, sebagai lambang kegagalan Barisan Nasional (BN).

Beliau turut menyifatkan alasan yang diberikan Umno-BN itu bahawa harga gula di Malaysia masih lebih rendah berbanding negara serantau seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina sebagai dangkal.

"Kenaikan (harga gula) kali keempat selepas kerajaan berbuat demikian sebanyak tiga kali pada tahun lalu iaitu pada Januari (20 sen), Julai (25 sen) dan Disember (20 sen)," kata Idris Ahmad dalam satu kenyataan hari ini.

Tegas Idris, alasan daripada kerajaan bahawa ia akan menjimatkan wang negara sebanyak RM116.6 juta setahun apabila gula dinaikkan 20 sen adalah tidak masuk akal sekali gus mempersoalkan kewibawaan kepimpinan Umno-BN dalam menguruskan kewangan negara.

"Apakah kerajaan BN tidak ada jalan lain untuk menguruskan kewangan negara?


"Nampaknya pemimpin negara jika tidak ada wang, jalan keluarnya dengan menyusahkan rakyat seperti saman ekor, menaikan minyak petrol, naik harga gula, naik harga tol," tegasnya.

Dalam pada itu Idris turut mempersoalkan kenapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sanggup memberi peruntukan RM111 juta untuk 2011 kepada Pusat Anak Permata Negara (PERMATA) yang dipengerusikan oleh Datin Rosmah Mansor.

"Apa lebih PERMATA, hanya setaraf dengan pasukan kompang sahaja, tetapi memperolehi peruntukan begitu banyak hampir dengan pelupusan subsidi gula RM116.6 juta.

"Sedangkan peruntukan untuk Sekolah Agama Rakyat hanya RM95 juta sahaja,
" tambahnya.



"Projek Kad Pengenalan" - Dua Laporan Polis Dibuat

PKR gesa polis siasat dakwaan Umno guna warga asing pengundi

Zuraida (tengah) memegang salinan laporan polis di luar stesen polis di Bukit Sentosa hari ini. — Gambar oleh Choo Choy May

HULU SELANGOR, 11 Mei — PKR mempertahankan dakwaan bahawa Umno Hulu Selangor ada memohon kelulusan menukar taraf pemastautin tetap membabitkan kira-kira 2,000 rakyat asing bagi membantu kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Pengerusi PKR Selangor Zuraida Kamaruddin menggesa polis menyiasat dakwaan terhadap Umno Hulu Selangor dan mengesahkan ketulenan surat yang diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri.

“Surat itu ada di sini, bukti.

“Biar polis siasat, saya tidak tahu jika surat ini palsu... (tapi) ia datang dari sumber yang boleh dipercayai... pejabat kerajaan,” katanya.

Umno Hulu Selangor berkata surat itu bukan daripada Umno bahagian itu kerana tandatangan ketua Umno Datuk Mohamed Idris Abu Bakar salah dan ejaan nama juga tidak betul.

“Kami minta polis siasat sama ada wujud sindiket yang memberikan kad pengenalan dan kelayakan pemastautin kepada warga asing untuk digunakan bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya umum ke-13,” kata ahli majlis pimpinan PKR pusat Khalid Jaafar yang turut bersama Zuraida.

Terdahulu beliau membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Sentosa.

Dalam laporan polis itu, beliau mendesak polis menyiasat Idris dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein kerana menyalah guna kuasa.

Khalid juga merujuk kepada usaha sama yang dilakukan dalam “Projek IC” di Sabah, di mana pendatang asing tanpa izin diberikan kad pengenalan rakyat Malaysia.


MPP PKR Buat Laporan Polis 'Kerakyatan Mengundi'

RAWANG 11 MEI : Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPP) PKR, Khalid Jaafar hari ini membuat laporan polis berhubung surat permohonan Umno-Barisan Nasional (BN) Hulu Selangor untuk mendapatkan kelulusan kewarganegaraan Malaysia bagi warga asing di kawasan Parlimen itu di Balai Polis Bukit Sentosa.

Mengulas laporan yg dibuat jam 10.30 pagi itu, Khalid berkata ia adalah perkara lama yang dikenali sebagai projek ' Kad Pengenalan ' yang telah sekian lama bertapak di Sabah dan kini melarat ke semenanjung Malaysia.

" Ia adalah masalah yang serius dan ianya pernah berlaku di Sabah dan dikenali sebagai projek ' Kad Pengenalan ' dengan memberi kewarganegaraan pada warga asing dan ia berlaku sewaktu pilihan raya di Likas.

" Mahkamah juga telah membatalkan keputusan pilihan raya tersebut."ujarnya.

Bercakap kepada Tv Selangor, beliau mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Umno-BN yang disifatkan sebagai terdesak dalam usaha memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

"Dalam kenyataan yang didedahkan baru-baru ini sudah jelas menunjukkan pemberian kad pengenalan ini sebagai jaminan kerajaan untuk memenangkan Umno-BN. Saya berharap polis segera mengambil tindakan," tegasnya.

Semalam, PKR mendedahkan usaha terbaru Umno-BN bagi mendapatkan kewarganegaraan Malaysia untuk rakyat asing telah dikenalpasti sebagai usaha mengundi parti itu pada pilihan raya umum akan datang.

Sejajar dengan gesaan Perdana Menteri, Najib Razak minggu lalu yang mengarah keseluruhan jentera Umno Selangor menggunakan segala senjata yang ada untuk menawan kembali Selangor pada pilihan raya akan datang.

Natijahnya, Ketua Umno bahagian Hulu Selangor Datuk Idris Abu Bakar mengemukakan 2,000 keping borang permohonan kepada Menteri Dalam Negeri untuk diberikan sijil kewarganegaraan.

Dalam pada itu, Pengarah Pilihan Raya Selangor Borhan Aman Shah turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya keatas penyelewengan tersebut.

"Kita sebagai warganegara meminta keadilan diberikan kepada semua pihak supaya taraf kewarganegaraan ini tidak diberikan sewenang-wenangnya kepada warga asing,"

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin menegaskan tindakan terdesak Umno-BN ini sebagai terdesak sehingga sanggup menggadai keselamatan negara demi kelangsungan politik mereka.

"Ia juga melibatkan isu keselamatan negara, kita tidak mahu perkara buruk berlaku kelak dan ini juga satu pengkhianatan dengan mmberi taraf warganegara kepada warga asing" ujarnya.

Tambah Zuraida, KDN harus mengambil tindakan segera kerana ia melibatkan keselamatan dan pengkhinatan kepada rakyat Malaysia. -tvsnews


Ulasan GB

Sekalipun diberitakan ada penafian dari UMNO Hulu Selangor terhadap surat berkenaan, namun rasanya penafian tersebut tidak kokoh.

Dan KDN pula juga dilihat pantas membuat penafian memberi kerakyatan daftar warga asing pengundi sokong BN sedangkan hal ini telah berlaku bertahun lamanya.

Pakatan Rakyat kini perlu kumpulkan bukti lagi dan pastikan KDN juga nanti boleh diheret ke muka pengadilan.

Harga Minyak Dunia Jatuh, Kerajaan BN Digesa Turunkan Harga Minyak SEGERA

Harga minyak jatuh AS$101 setong

Harga minyak di Asia jatuh kepada AS$101 setong hari ini.

Sehubungan itu, peniaga mengunjurkan pertambahan inventori minyak mentah mingguan Amerika Syarikat susulan permintaan yang lemah.

Menurut laporan AP, penanda aras minyak mentah bagi Jun jatuh dalam lingkungan AS$1.65 kepada AS$100.90 setong bagi tempoh pertengahan dagangan elektronik Kuala Lumpur bagi Bursa Merkantil New York.

Sementara itu, kadar kontrak mencatatkan peningkatan AS$5.37 atau 5.5 peratus sebelum reda pada AS$102.55 pada Isnin.

Di sebalik penurunan itu, bermula 5 Mei lalu, petrol RON 97 dijual pada harga baru, iaitu RM2.90 seliter, iaitu meningkat lagi sebanyak 20 sen.

Kenaikan itu bagaimanapun tidak melibatkan RON 95 dan bahan api lain di negara ini. -mk


Petrol RON 97 naik 20 sen lagi menjadi RM2.90

Bermula tengah malam ini, petrol RON 97 akan dijual pada harga baru, iaitu RM2.90 seliter, menurut Persatuan Penjual Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM).

Naib presiden PDAM Datuk Zulkifli Mokti berkata, peningkatan ini disebabkan kenaikan harga minyak mentah.

Kenaikan itu bagaimanapun tidak melibatkan RON 95 dan bahan api lain di negara ini.

"Namun harga RON95 dan diesel kekal seperti sekarang," katanya.

RON 95 kekal pada harga RM1.90 seliter.

Kenaikkan RON 97 ini adalah yang tertinggi dalam sejarah negara dan dikatakan berpunca akibat kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia.

Bulan lalu, harga petrol RON 97 dinaikkan 20 sen kepada RM2.70 seliter.

Harga RON 97 diapungkan sejak 31 Januari lalu mengikut harga pasaran semasa dan sejak itu ia kali ketujuh harga petrol gred itu dinaikkan.

Petrol gred ini lazimnya digunakan oleh kenderaan yang memerlukan prestasi yang tinggi. Semua kenderaan berpendaftaran asing dilarang membeli RON 95 dan mereka menggunakan minyak gred RON 97.

RON 97 pada suatu ketika juga adalah minyak yang seringkali digunakan oleh rakyat sehingga minyak lebih murah RON 95 diperkenalkan pada September 2009. Ketika itu RON 97 berharga RM1.80 seliter. -mk 04/05/11



Ulasan GB

Menurut kerajaan harga RON 97 diapungkan sejak 31 Januari lalu mengikut harga pasaran semasa.

Kini harga minyak menjunam turun, menjadi kewajipan kerajaan Malaysia menurunkan harga minyak. GB difahamkan Singapura sudah pun menurunkan harga minyaknya semalam.

Jika kerajaan Malaysia tidak menurunkan harga minyak RON97 ternyata benarlah kerajaan UMNO BN adalah PENIPU rakyat, dan rakyat pastikan akan menurunkan UMNO BN dari memegang tampuk pemerintahan negara di dalam pilihanraya akan datang ini.

Ayuh PR, tiupkan semboyan, pukul gendang perang!





Najib Yang Panik Rupanya, UMNO BN Kritikal, Gesa Pukul Gendang Perang

PRU: Najib mahu Umno ‘bunyikan semboyan, pukul gendang perang’

Seluruh anggota parti perlu meningkatkan usaha untuk memantapkan persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang pasti tiba, kata Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

“Bunyikan semboyan, pukullah gendang perang dan panaskan jentera. Jangan sesekali membiarkan fitnah, kepalsuan dan cubaan untuk memperdaya rakyat berjaya.

“Ingatlah, jasa-jasa lalu akan hanya tinggal dalam lipatan lembaran sejarah jika kita gagal dalam ujian yang besar ini. Umno perlu terus gagah dan relevan untuk melakar jasa-jasa baru demi untuk agama, bangsa dan negara,” katanya dalam perutusan sempena Hari Ulang Tahun Umno ke-65 yang akan disambut esok.

Dipetik Bernama, Perdana Menteri (gambar) berkata, badai yang telah melanda parti pada pilihan raya umum yang lepas bukanlah alasan untuk terus bersikap pesimistik dan kini bukan masanya untuk terus mengeluh serta mengenang perkara lalu.

“Hakikatnya jika kita masih lagi tidak mengenal pasti apa kesilapan kita dan mengambil langkah-langkah pembetulan setelah lebih tiga tahun pilihan raya umum ke-12 berlalu, maka kita sebenarnya hanya menempah masa depan yang kelam untuk parti dan rakyat.

“Kini adalah masa untuk bertindak dan bekerja bukannya masa untuk bernostalgia dan beremosi,” katanya.

Beliau berkata anggota parti harus bersyukur ke hadrat Allah SWT dan berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana masih menjadi parti pemerintah yang mendapat kepercayaan dan diyakini orang-orang Melayu dan Bumiputera khasnya serta rakyat Malaysia amnya. Katanya, kepercayaan dan keyakinan ini bukan wujud secara semula jadi tetapi dimenangi serta dipupuk hasil keikhlasan dan iltizam perjuangan generasi kepimpinan dan anggota Umno silih berganti.

“Ia tidak mungkin berterusan tanpa kemampuan kepimpinan dan ahli-ahli Umno untuk terus merasai denyut nadi rakyat serta mendukung aspirasi mereka,” katanya.

Najib berkata, dalam usia 65 tahun, Umno telah menempuh pelbagai cabaran serta tribulasi. “Pengalaman dan sejarah telah menjadikan Umno parti politik yang kuat, realistik, matang serta berpijak di bumi nyata. Ia telah mencanai Umno dengan keanjalan untuk berubah sesuai dengan tuntutan landskap politik mutakhir, memastikan parti terus segar dan relevan,” katanya.

Najib berkata Umno dan rakan-rakan komponen Barisan Nasional (BN) perlu memastikan agar hari ini untuk warga Malaysia adalah lebih baik dari hari semalam dan fajar menyinsing di hari esok akan menjanjikan sesuatu yang lebih baik untuk mereka dan anak-anak mereka.

“Marilah kita bersama-sama rakan-rakan dalam BN untuk terus bekerja keras dan berusaha dengan gigih bagi mencipta masa depan Malaysia yang lebih makmur, marilah kita bersama-sama untuk meletakkan negara tercinta ini di tempatnya yang hak di persada antarabangsa.

“Insya-Allah berkat kesungguhan dan iltizam padu kita, Umno akan terus berjaya,” katanya. -TMI

Ulasan GB

Patutlah media massa arus perdana melenting sangat isu "Pandi Kutty" lalu dituduhnya Anwar menggunakan perkataan kesat tersebut terhadap Najib.

Dituduhnya Anwar kian panik, lantaran itu terpaksa menyerang Najib menggunakan istilah "Anak Babi" tersebut.

Rupa-rupanya yang panik iaah Najib, bukan Anwar. Jika tidak masakan Najib mengisytiharkan dan mahukan Umno ‘bunyikan semboyan, pukul gendang perang’ seperti berita di atas.

Ia menunjukkan UMNO BN kini menggelabah untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang pasti tiba.

UMNO BN sudah kehilangan "depositnya" di Sarawak. Mungkin di Sabah juga.

Alahai.... UMNO BN mungkin dimasukkan ke ICU selepas ini... mintak nyawa...

Papagomo Suruh ISAkan "Anjing Besar", Blogger Marahku Gantung Keyboard?

Kristian-Islam: Blogger pro-Umno telagah, gesa Bigdog ditahan ISA

KUALA LUMPUR, 11 Mei — Sebuah blog pro-Umno mengecam pendedahan provokasi yang dibawa blogger “Bigdog” berhubung dakwaan wujudnya konspirasi untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara sekali gus melantik perdana menteri dalam kalangan penganut itu.

Ekoran pendedahan penulis blog Bigdog itu, Utusan Malaysia telah memetik laporan tersebut dan disiarkan pada Sabtu lalu dengan tajuk “Kristian Agama Rasmi? yang mendapat bantahan dan dikritik banyak pihak termasuk daripada pemimpin Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN).

Laporan muka depan akbar Utusan Malaysia itu turut disiarkan dalam beberapa blog pro-Umno.

Blog “Bigdog” atau nama sebenar penulisnya, Zakir Mohammed menerusi entri bertajuk “Making Christianity the official religion? mendakwa paderi-paderi Kristian mahu perdana menteri dilantik daripada kalangan penganut agama itu.

Selain itu, nama Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi dari DAP juga diheret dalam tulisan blog berkenaan kerana beliau dilaporkan hadir bersama.

Blogger “Papa Gomo” menerusi entri “Negara Kristian - Tangkap Sumbat Dalam ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) Si Bigdog Ini” mengecam tindakan yang dilakukan”Bigdog” atas alasan mengeluarkan laporan berunsur fitnah dan tidak benar.

“Dalam isu gereja dan negara Kristian ini memang dari awal saya merasakan sangsi berhubung laporan yang ditulis Bigdog ini sebab dalam laporan itu tiada asas yang kukuh untuk mengatakan perjumpaan paderi itu adalah untuk membentuk jemaah yang sebulat suara menyatakan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian.

“Secara logik mustahil pihak Kristian dalam Malaysia boleh berikrar secara terbuka dalam hal ini, mereka tahu kewajaran dalam nak menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian tidak dapat dilaksanakan.

“Jadi bagaimana pula Bigdog ini boleh mengeluarkan satu perkara yang tidak pasti yang mana sekarang kerajaan Barisan Nasional (BN) menjadi mangsa akibat dari kebodohan Bigdog ini,” katanya.

Justeru kata “Papa Gomo”, kerajaan harus peka dan memandang serius terhadap laporan palsu yang dikeluarkan blog “Bigdog” kerana ia boleh menimbulkan ketegangan antara agama.

Selain itu, penulis itu juga mahu “Bigdog” ditahan di bawah ISA jika terbukti laporan yang dikeluarkan itu berunsur fitnah.

“Jika blog Bigdog terbukti menyebarkan fitnah sehingga menggugat keselamatan negara adalah satu kewajaran untuk Bigdog ditahan di bawah ISA bagi mengelakkan kekacauan dan ketenteraman awam tergugat.

“Kerajaan harus memandang serius isu yang dimomokkan blog Bigdog kerana yang menanggung beban dalam hal ini adalah kerajaan BN dan bukannya Pakatan Rakyat. Bagaimana hendak kita bela blogger yang merosakkan keharmonian kaum di Malaysia?” katanya.

Tegasnya, konsep 1 Malaysia yang diperjuangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak akan dapat direalisasikan jika kerajaan tidak dapat mengambil sebarang tindakan terhadap “Bigdog”.

“Apa guna 1 Malaysia jika hal begini tidak dapat dibendung oleh kerajaan Malaysia. Saya yakin dan amat pasti pembangkang (Pakatan Rakyat) juga akan turut sama bersetuju agar ISA dikenakan ke atas blogger Bigdog jika terbukti dia salah menyebarkan laporan.

“Sudah sampai masa KDN (Kementerian Dalam Negeri) bertindak tegas dalam hal ini bagi menjamin ketenteraman awam, bagi saya berbaloi jika Bigdog ditahan di bawah ISA kerana dapat menyelamatkan Malaysia,” katanya.

Blog Bigdog juga menuduh DAP menghasut dengan cuba meminda undang-undang negara untuk menjadikan mereka yang beragama Kristian menjadi perdana menteri, dengan menunjukkan gambar berbintik-bintik yang didakwa mereka sebagai pakatan rahsia antara DAP dan pastor-pastor di sebuah hotel di Pulau Pinang minggu lalu.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin DAP telah menafikan perkara tersebut sambil mengulangi pendirian mempertahankan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Penganjur program itu — Pertubuhan National Evangelical Christian Fellowship (NECF) bersama Global Day of Prayer, Marketplace Penang dan Penang Pastors Fellowship menegaskan dakwaan terhadap komuniti adalah pembohongan dan telah pun menafikan dakwaan blogger berkenaan. -TMI


"Konspirasi Kristian' dipadam di blog 'Marahku'




Ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin mempersoalkan tindakan seorang penulis blog yang memadamkan semua posting berhubung artikel kontroversinya “konspirasi negara Kristian”.

Shamsul Yunus, yang menulis di blog Marahku, adalah antara dua penulis yang dipetik oleh akhbar milik Umno, Utusan Malaysia dalam laporannya yang menuduh DAP berkemungkinan bersekongkol dengan paderi untuk menjadikan Kristian agama rasmi persekutuan dan membolehkan penganut agama itu dilantik sebagai perdana menteri.

“Sebuah blog yang 'mendedahkan' isu negara Krstian telah memadamkan entri berkenaan. Mengapa?” soal Khairy pada laman mikro-blognya di Twitter.

“Jika penulis blog itu memadamkan pautan itu kerana beliau menyedari apa yang ditulis adalah tidak benar, maka ia sudah terlambat. Kerosakan telah dilakukan. Bagaimanapun, saya menunggu hasil siasatan,” tulisnya lagi.

Blog Shamsul di marahku. blogspot.com didapati kosong sejak semalam. Semua posting juga didapati telah dipadamkan.

Utusan memetik postingnya yang berjudul “Agong under threat? DAP wants to make Christianity the official religion of Malaysia?” yang membidas DAP kerana cuba meminda perlembagaan persekutuan bagi membolehkan penganut agama Kristian menjadi perdana menteri.

Namun artikel berkenaan masih boleh dibaca di bebeberapa laman lain yang telah menyalinnya.

Namun, seorang lagi penulis blog pro-Umno yang dipetik oleh Utusan - Zakhir Mohamed, yang menulis di Bigdog.com, masih menulis dan meneruskan isu berkenaan di blognya.

Utusan memetik tulisannya yang berjudul“Making Christianity the official religion?” yang mendakwa 35 paderi pada satu majlis yang dianjurkan oleh ahli parlimen DAP Jelutong mengambil ikrar untuk menjadikan Kristian agama rasmi Malaysia. -mk


[Video] Bahasa Umno-Utusan Lebih Kesat Dari Pandi Kutty : Surendran

Shah Alam : Parti Keadilan Rakyat menganggap sebagai lucu, fitnah terbaru Umno dan Utusan Malaysia menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya menggunakan ungkapan ‘Pandi Kutty’ terhadap Perdana Menteri Najib Razak pada satu ceramah Sabtu lalu.

Naib Presiden PKR, N Surendran yang hadir pada ceramah berkenaan berkata, Ketua Pembangkang menggunakan ungkapan itu hanya untuk menggambarkan rasa jijik terhadap taktik Umno menggunakan video lucah dan fitnah untuk menjatuhkan beliau.

"Saya berada di sana dan saya dengar Datuk Seri Anwar menggunakan perkataan itu secara umum. Dia merujuk kepada kelakuan dan politik jijik (Umno).

"Surat khabar Umno memperbesarkan perkara ini tetapi mereka sendiri menggunakan perkataan dan tuduhan lebih teruk daripada perkataan 'pandi kutty' Utusan dan Umno menfitnah orang liwat tanpa bukti, menuduh kononnya Anwar adalah pelaku dalam video seks walaupun tidak ada bukti,” tambah beliau.

Rakaman ceramah itu di Dewan Hamzah Klang, Sabtu lalu oleh TvSelangor menunjukkan Anwar tidak menggunakan perkataan itu terhadap Najib tetapi terhadap taktik kotor politik yang digunakan untuk menjatuhkan beliau.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat itu menyifatkan Umno sebagai parti terdesak yang menggunakan video lucah untuk mengaibkannya.

Berikut adalah petikan ucapan Anwar di ceramah yang dimaksudkan Utusang :

"Maknanya kalau kita lawan dengan parti yang terdesak, mereka menjurus kearah perbuatan terdesak termasuk video. Azizah kata sekarang jangan makan banyak sebab nanti sama dengan dalam video. Ini betul-betul "pandi kutty".

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan muka depan komen juak-juak Umno yang membidas Anwar , kerana kononnya menggunakan ungkapan “pandi kutty” terhadap Perdana Menteri .

Malah, akhbar milik Umno itu mencetak reaksi lucah seperti pemimpin Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) Hamidzun Khairuddin yang berkata Anwar mengalami “sindrom prahaid (PMS), kesan daripada kes liwat dan video seks yang sedang dihadapinya.”

Surendran berkata fitnah “pandi kutty” terbaru yang cuba disebarkan oleh Utusan Malaysia dan Umno melucukan.

"Jika dibandingkan dengan politik kotor BN, saya ingin ketawa bila saya lihat mereka tiba-tiba buat bising mengenai satu perkara yang begitu remeh seperti ini, “ kata Surendran.

Utusan Malaysia sebelum ini diselar pelbagai pihak kerana kerap menyiarkan berita fitnah termasuk isu video lucah untuk mengaibkan Anwar.

Sabtu lalu, akhbar itu mendakwa golongan paderi bersekongkol dengan DAP untuk menjadikan Kristian agama rasmi negara ini.

Antara yang mengecam akhbar itu adalah Kesatuan Wartawan Kebangsaan. Presidennya Hatta Wahari bekerja di Utusan tetapi dipecat minggu lalu kerana didakwa bertindak melanggar kepentingan syarikat. -tvsnews



Terengganu Dah Dapat Hampir RM1 Billion Royalti, Kelantan Terus Disisihkan

Terengganu Terima Baki Royalti Minyak Pada Jun

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu dijangka menerima semua baki wang royalti minyak sebanyak RM118 juta daripada Petronas melalui Kementerian Kewangan bulan hadapan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, ia merupakan sebahagian daripada RM938 juta yang sepatutnya diterima oleh kerajaan negeri.

"Pembayaran pertama wang royalti berkenaan berjumlah RM670 juta telahpun dibuat pada Mac lalu manakala RM150 juta diterima minggu ini dan bakinya sebanyak RM118 juta dijangka diterima bulan hadapan," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri, Selasa sebagai menjawab soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Rhu Rendang) yang meminta penjelasan berhubung jumlah wang royalti yang telah diterima sehingga Mac 2011.

Ahmad berkata, tiada perjanjian atau terma baru yang ditandatangani dan ia kekal dibayar lima peratus oleh Petronas melalui kerajaan pusat.

Kepada soalan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Buruk) berhubung penggunaan wang royalti oleh badan-badan kerajaan atau negeri-negeri lain untuk membina projek perumahan, Ahmad berkata tuntutan bagi perkara itu masih dijalankan.

"Kita mahu lihat ada berapa bakinya dan selepas ini kita mahu ia diselesaikan sekaligus," katanya. - BERNAMA

Ulasan GB

Terengganu diberikan bayaran royalti setelah ia diperintah semula oleh UMNO-BN. Tetapi Kelantan terus dinafikan hak royalti kerana ia diperintah oleh PAS.

Memang dasar UMNO BN tidak menghormati federalisma.

Jika Kelantan telah mengheret Petronas untuk mendapatkan semula royalti minyak, Pakatan Rakyat sepatutnya bertindak mengheret kerajaan pusat ke muka pengadilan juga, ke mahkamah antarabangsa kerana mencabuli konsep federalisma kerana menyisih dan menzalimi kerajaan Kelantan.

Kepada semua rakyat, berdoalah agar Kerajaan UMNO BN tumbang lantaran kkezaliman dan kekejamannya itu. Takbir!


[Video & Bergambar] Ibu Lahirkan Anak Dua Kepala

Beijing - Seorang ibu melahirkan bayi yang mempunyai dua kepala di sebuah hospital di bandar Suining, wilayah Sichuan, China pada minggu lalu.

Bayi itu berkongsi dua tangan dan dua kaki dilahirkan menerusi pembedahan.

Kembar ganjil itu menghidap dicephalic parapagus kerana bayi berkenaan hanya berkongsi satu badan yang menyebabkan pembedahan untuk memisahkannya tidak boleh dilakukan.

Bayi seberat 4.05 kilogram dan tinggi 50 sentimeter itu dilahirkan selepas satu sel telur gagal untuk berpecah dengan sempurna dan dianggap jarang berlaku dengan kebanyakan kes seperti ini dikesan di Asia Tenggara dan Afrika.

Bagaimanapun, di Barat, pada 2009, Lisa Chamberlain dari Portsmouth melahirkan kembar Joshua dan Jayden yang berkongsi satu badan. - Agensi








Mullen: Teoh Dalam Kumpulan Berisiko Rendah Untuk Membunuh Diri

Psikiatri: Teoh dalam kumpulan berisiko rendah

Jika Teoh Beng Hock membunuh diri, ia ada kaitan dengan usaha menjejaskan kestabilan psikologinya ataupun cuba menakut-nakutkannya sehingga mengakibatkan kematian, kata seorang pakar psikiatri hari ini.

Menurut laporan oleh Dr Paul E Mullen, yang dikemukakan kepada Suruhajaya Diraja yang menyiasat kematian Teoh, mangsa diklasifikan sebagai “kumpulan berisiko rendah”.

Mullen, seorang profesor psikiatri forensik di Universiti Monash, Melbourne, Australia, dibawa oleh Majlis Peguam bagi menentukan ciri-ciri keperibadian Teoh dan keadaan mindanya bagi membantu RCI menyiasat punca dan faktor-faktor yang menyuumbang kepada kematiannya.

"Soalan kepada mereka yang diwawancara menunjukkan Teoh seorang yang teratur, kemas dan menmpunyai kecederungan untuk menjadi sempurna.

"Tiada bukti yang dijumpai bagi menunjukkan mangsa mengalami perasaan pilu atau sedih keterlaluan atau juga ketegangan yang luar biasa.

"Personaliti Teoh dan kelakuannya tidak menunjukkan sebarang cadangan bahawa beliau mempunyai risiko untuk membunuh diri.

"Justeru, pendapat saya, Teoh Beng Hock jelas dalam kumpulan berisiko rendah untuk bunuh diri apabila beliau dibawa dalam tahanan SPRM,”
kata Mullen.

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) juga mendapatkan pendapat sendiri dengan melantik perunding psikiatri forensik Dr Badi'ah Yahya dan psikiatri komuniti Dr Nor Hayati Ali.

Badi'ah iberkhidmat di Hospital Permai di Johor manakala Nor Hayati adalah dari Hospital Selayang, Selangor.

Kedua-dua Badi'ah dan Nor Hayati dalam laporan mereka tidak memberikan kesimpulan yang menyeluruh.

"Pada pendapat kami, Teoh mempunyai risiko untuk membunuh diri dan faktor melindungi dirinya yang mengurangkan risikonya bagi berbuat demikian,” kata mereka.

Teoh dibawa ke ibu pejabat SPRM Selangor di Tingkat 14, Plaza Masalam Shah Alam pada 15 Julai 2009 untuk disoal-siasat berhubung dakwaan salah guna dana oleh majikannya ADUN Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah.

Beliau dijumpai mati pada koridor tingkat kelima bangunan yang sama pada keesokan harinya.

Keterangan oleh pegawai kanan SPRM semasa prosiding telah melepaskan Ean Yong daripada sebarang kesalahan.

Suruhanjaya yang bersidang sejak 14 Februari lalu, berakhir hari ini selepas saksi ke-70, iaitu Dr Ba'diah selesai memberi keterangannya. -mk


Siasatan kematian Beng Hock berakhir

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan Kematian Teoh Beng Hock yang bersidang sejak 14 Februari lalu, berakhir semalam selepas saksi ke-70, pakar perunding forensik psikiatri, Dr Ba’diah Yahya selesai memberikan keterangannya.

Pengerusi Suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen berkata, suruhanjaya sudah selesai mengumpulkan keterangan dan bahan bukti daripada semua saksi dengan dibantu barisan pegawai pengendali, peguam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan peguam dari Majlis Peguam.

Cheng Yuen berkata, Suruhanjaya perlu mengemukakan laporan hasil siasatan itu kepada Yang di-Pertuan Agong pada 24 Jun ini, jadi semua pihak perlu menghantar hujahan secara bertulis masing-masing sebelum 24 Mei ini.

Sementara itu, Dr Ba’diah yang mengetuai Unit Forensik Psikiatri, Hospital Permai Johor Bahru, dalam prosiding semalam, mengemukakan laporan yang disediakannya bersama pakar psikiatri Jabatan Kesihatan Mental dan Psikiatri, Hospital Selayang, Dr Nor Hayati Ali, untuk membantu suruhanjaya.

Merujuk laporan itu, Dr Ba’diah berkata, selepas mengambil kira semua perkara mereka berpendapat besar kemungkinan Beng Hock membunuh diri daripada sebab kematian yang lain.

“Pemeriksaan pihak forensik di pejabat SPRM tidak menemui sebarang senjata, tanda pergelutan atau kesan darah. Malah tingkap yang dikatakan Beng Hock terjun, dalam keadaan terbuka dan ada kesan comot cap jari, telapak tangan serta kesan berminyak pada cermin tingkap,” katanya.

Dr Ba’diah berkata, berada dalam keadaan tidak dijangka (disiasat SPRM), Beng Hock dilihat cemas apabila dilihat pada tindakannya membuat 27 panggilan telefon termasuk majikannya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, ketika pegawai SPRM memeriksa pejabatnya.

Bagaimanapun, katanya, dengan mengambil kira kajian dibuat terhadap mereka yang berisiko tinggi membunuh diri, Beng Hock tergolong individu berisiko rendah untuk berbuat demikian.

Katanya, berdasarkan kajian kecenderungan seseorang membunuh diri dalam keadaan biasa adalah berbeza berbanding mereka yang berada dalam tahanan.

Dr Ba’diah berkata, disebabkan itu mereka berpendapat Beng Hock memiliki kedua-dua faktor iaitu yang mendorongnya dan menghalangnya daripada membunuh diri.

Bagaimanapun, katanya, mereka tidak berhak untuk menyatakan sama ada Beng Hock ditolak atau diheret keluar daripada tingkap kerana tiada bukti kukuh untuk mencadangkannya.

Sementara itu, profesor pelawat di Institut Psikiatri London, Dr Paul E Mullen, yang dijemput Majlis Peguam, berpendapat sebaliknya dan merumuskan sikap dan personaliti Beng Hock tidak menunjukkan dia seorang yang cenderung atau berisiko untuk membunuh diri. -bh




"Saya Tukar Daulat Tuanku Kepada Allahu Akbar Supaya Pelafaznya Dapat Pahala" - Sultan Kelantan

Sultan Yang Prihatin

SEJAK dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang ke-29 pada 13 September 2010, inilah buat pertama kalinya Sultan Muhammad V memberikan wawancara khas kepada para wartawan media cetak dan media elektronik.

Wawancara khas itu telah berlangsung di Istana Negeri, Kubang Kerian, Kota Baru pada Rabu, 4 Mei 2011 pada lebih kurang jam 5.30 petang dalam suasana penuh protokol tetapi tetap mesra.

Wawancara itu juga diadakan bersempena dengan pelancaran Yayasan Sultan Kelantan yang akan dilangsungkan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) minggu hadapan.

Sebanyak 12 wakil media termasuk dari Mingguan mStar dan The Star telah dijemput untuk menemuramah Sultan Muhammad V yang hadir segak menggenakan sut coklat muda ala Nehru.

Baginda Sultan juga sentiasa memulakan bicara dengan terlebih dahulu melafazkan Bismillahirrahmanirrahim dan Asalamualaikum kepada pertanyaan wartawan muslim dan salam sejahtera kepada wartawan bukan Islam.

Dan sebelum memulakan wawancara baginda terlebih dahulu bertanya sama ada perbualan yang akan berlangsung itu hendak menggunakan dialek Kelantan ataupun bahasa rasmi.

Sepanjang wawancara itu yang berlangsung selama lebih 45 minit, baginda hanya membahasanya dirinya sebagai ‘saya’ bukannya ‘beta’ sebagaimana lazim digunakan di dalam istana.

Berikut adalah petikan wawancara bersama Tuanku Sultan Muhammad V:

> Perkara pertama yang terlintas di dalam fikiran sebaik sahaja menaiki takhta Kesultanan Kelantan: Perkara pertama ialah untuk memilih nama rasmi yang akan dipakai selaku Sultan iaitu Sultan Muhammad V dan perkara kedua ialah untuk menukar seruan “Daulat Tuanku” yang lazim digunakan sebelum ini kepada seruan “Allahu Akhbar”. Pada pandangan saya, inilah yang paling sesuai kerana secara tidak langsung siapa yang melafazkannya akan memperolehi pahala. Itulah yang terbaik untuk rakyat saya.

> Mengapa memilih menggunakan gelaran Sultan Muhammad V sebagai gelaran rasmi: Kerana kalau kita tengok dalam sejarah salasilah negeri Kelantan, Sultan yang terakhir, menggunakan gelaran Sultan Muhammad Ke-IV. Jadi kalau nama saya sendiri sudah Muhammad, secara semula jadinya itulah pilihan pertama saya. Dan setelah berfikir semasak-masaknya itulah pada fikiran saya yang terbaik... Insya-Allah.

> Bilakah akan ditabal secara rasmi selaku Sultan Kelantan: Saya fikir, bukan perkara ini tidak pernah berlaku (tidak melangsungkan upacara pertabalan). Misalnya untuk senang diterima, kita ambil dalam hal Almarhum Sultan Johor yang lepas, baginda tidak pernah ditabal walaupun menjadi Sultan Johor untuk lebih 23 tahun jika tidak silap saya. Jadi soal pertabalan ini adalah lebih kepada formaliti jika hendak dibandingkan dengan keperluan. Sebab saya fikir, ini bukan hendak glorify atau bermegah-megah atau hendak membesar-besarkan diri kita sendiri tetapi ini lebih soal tanggungjawab. (Nota: Untuk makluman pembaca, Sultan Muhammad telah dimasyurkan secara rasmi pada 13 September 2010 sebagaimana yang dituntut oleh perlembagaan negeri. Soal pertabalan hanyalah merupakan satu adat yang terpulang kepada Sultan sama ada ingin menyegerakannya atau mengadakannya pada satu tarikh yang difikirkan sesuai.)

> Tentang hubungan dengan ayahanda, bonda dan adinda-adinda pada masa ini: Jawapan yang terbaik kepada soalan ini pada saya ialah “Alhamdulillah...”

> Perasaan tentang perhatian seluruh negara yang tertumpu kepada isu-isu yang melingkari Istana Kelantan: Saya rasa jawapan yang paling sesuai ialah kita tidak boleh nak fikir sangat (hal ini) sebab jika kita terlalu memikirkan sangat, nanti otak kita akan sesak (jammed) jadi kita kena reda, kita tunggu dan kita lihat apa yang berlaku itu, jika kita fikir ia sudah takdir, maka kita lihatnya sebagai takdir. jika kita hendak fikir banyak sangat why? why? why?...akhirnya kita tidak akan terfikir kerana otak manusia atau data base otak manusia tak akan dapat memikirkan kenapa ini semua terjadi.

> Rahsia tidak kekok untuk berada bersama-sama rakyat, duduk dan makan bersama malah menyembelih lembu bersama-sama rakyat dalam majlis-majlis keramaian: Kalau kita buat sesuatu perkara yang kita suka seperti sesetengah orang suka menyanyi, sesetengah orang suka makan, tengok tv, akhirnya ia akan menjadi senang untuk kita. Misalnya jika kita suka makan nasi lemak, kita makan sepuluh bungkus pun tidak ada hal.

> Rahsia mudah didekati oleh rakyat dan tidak kekok memberi bantuan peribadi: Bagi saya senang sahaja sebab jika kita perhatikan sewaktu ayahanda saya menjadi Sultan, tidak ada satu yayasan dibuat atas namanya. Jadi saya fikir mengapa tidak ada (yayasan). Jadi itu yang mendorong saya untuk memberi sumbangan peribadi kepada rakyat jelata. Sebab tidak ada yayasan di atas nama ayahanda saya yang dapat saya gunakan untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat (Nota: sebaik sahaja diangkat menjadi Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V telah menubuhkan sebuah yayasan yang diberi nama Yayasan Sultan Kelantan yang tujuannya adalah untuk menjaga kebajikan, pendidikan dan keagamaan rakyat di bawah jajahannya.)

> Mengenai perancangan Yayasan Sultan Kelantan dalam membantu rakyat: Kita anggarkan kita akan dapat mengutip antara RM5 hingga RM6 juta (untuk dana awal). Selepas itu anggota lembaga pemegang amanah akan memutuskan cara untuk menyalurkan wang tersebut. Apa yang penting ialah untuk menentukan supaya program baru untuk mengumpul dana dapat dirancang dengan baik agar wang dana itu tidak habis. Jika wang dana tidak mencukupi atau kehabisan ini bermakna hanya segelintir pihak sahaja yang berpeluang mendapat faedah daripada dana ini. Matlamat yayasan ini ialah untuk membantu seseorang itu berdikari supaya dia sendiri dapat menguruskan dirinya selepas itu tanpa bantuan lagi.

> Pandangan tentang isu pembangunan yang dihadapi oleh rakyat dan negeri Kelantan: Masalah negeri Kelantan saya nampak adalah tentang soal kekurangan infrastruktur asas dan tidak semaju seperti mana negeri Selangor atau Johor. Jadi kalau negeri-negeri ini banyak lebuhraya dan jalan baru dibina akhirnya kampung-kampung kecil dan bandar-bandar kecil yang berada di sekitar kawasan yang memiliki kemudahan infra seperti jalan raya dan sebagainya akan menerima pembangunan secara tidak langsung. Ini kerana, saya selalu ke mana-mana menggunakan kereta, jadi saya dapat tengok bagaimana kawasan yang mempunyai jalan besar dan utama akan turut membangun dan kampung itu tidak mati. Tetapi jika tidak ada jalan dan pembangunan ekonomi susah hendak sampai ke situ, ia akan mati termasuklah masyarakat kerana mereka tidak ada kesempatan untuk turut membangun kerana tiadanya komunikasi dengan dunia luar. Di Kelantan itu yang paling ketara...

> Tentang prinsip-prinsip asas dan perubahan utama yang akan dilaksanakan: Prinsip saya ialah kita sebagai pemerintah haruslah aktif membuat tinjauan kerana hanya dengan meninjau kita akan mendapat gambaran sebenar (keadaan di bawah) dan dapat ambil tindakan sewajarnya serta dapat memberi keutamaan kepada yang mana perlu mendapat perhatian terlebih dahulu.

> Tentang tahap kemajuan ekonomi dan pembangunan sosial negeri Kelantan: Seperti mana yang saya katakan di awal wawancara tadi, tidak ada bandar di dunia ini dapat bangun tanpa ada infrastruktur asas seperti jalan, hospital, lapangan terbang. Saya bukannya hendak campur politik tetapi apa yang saya maksudkan di sini ialah kalau hendak bangunkan sesuatu kita perlu buat kajian fisibiliti terlebih dahulu. Contohnya macam saya balik (dari sesuatu majlis) dengan kereta saya dapat lihat sendiri kesesakan lalu lintas yang teruk kearah pusat bandar (Kota Baru) bila ada cuti am. Mengapa sesak? Kerana jalan tidak luas atau tidak cukup tetapi kereta banyak. Mengapa kereta banyak? Sebab pada waktu cuti umum orang Kelantan di luar Kelantan balik bercuti ke Kelantan. Jadi kalau kita buat lebuh raya dan buat tol sudah pastinya kita akan dapat menjana pendapatan kerana ramai yang balik ke Kelantan menggunakan kereta. Akhirnya hasil (wang) akan berpusing dan ini akan merancakkan ekonomi termasuk hasil pendapatan rakyat. Bila ini berlaku ia akan menyenangkan hati rakyat – tidak kiralah sama ada ekonominya ke, kesejahteraan dia ke, atau kesihatan dia ke, asalkan rakyat senang. Dan apa sahaja yang akan menyenangkan rakyat kita sokong. Jadi kita tidak hendak menyalahkan mana-mana pihak. Cuma bila kita buat perbandingan contoh Kelantan dengan Terengganu, Kelantan dengan Pahang, Kelantan dengan Johor atau Selangor, Wilayah Persekutuan, kita akan tahu jawapannya kedudukan kita di mana.

> Mengenai impak aktiviti politik kepada perpaduan rakyat: Sistem politik ini, bagi saya selagi ia tidak bercanggah dengan agama dan kita tidak memburuk-burukkan orang lain dalam ceramah tidak mengapa. Bagaimanapun ia bergantung atas diri masing-masing. Misalnya atas pentas ceramah, kalau sesetengah orang itu mulutnya laser, akan keluar perkataan-perkataan yang tidak elok tetapi kalau orang itu jenis orang baik, tak akan keluar kata-kata buruk ke atas orang lain. Jadi kita sendiri kena tahu bila hendak tekan brek (had). Kalau saya sendiri nak cakap apa-apa pun siapa boleh halang saya cakap tapi kita sendiri kena tahu bila hendak brek. Sebagai manusia kita kena tahu had kita di mana. Jika tidak, kita akan menjadi seperti sebuah kereta api yang out of control yang akhirnya akan terbalik.

Ulasan GB

Mana nak cari lagi sultan macam ni, sanggup gugurkan "Daulat Tuanku" kepada "Allahu Akbar" semata-mata kerana mahu rakyatnya memperolehi pahala sewaktu melafaznya....

Sabda Baginda bermaksud: Barang siapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka dia akan mendapat satu kebaikan dan satu kebaikan digandakan sepuluh, aku tidak katakan bahawa ‘alif lam mim’ satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf. (Riwayat Tirmizi)

Sebut sahaja seruan الله اكبر dah berpahala berlipat-lipat kali ganda. Sungguh mulia hati Tuanku yang seorang nih.