21 Mac 2012

Pelajar Yang Pandai Cakap Korea & Mandarin Kini Bertutur Loghat Terengganu

Besut - Pelajar perempuan Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nasiruddin Shah, Noraini Ismail, 17, yang menggemparkan negara sebelum ini, kerana boleh bertutur bahasa Korea selepas kemalangan jalan raya kini bertutur loghat Terengganu pula.

Sebelum ini, bahasa pertuturan hariannya adalah bahasa Melayu baku pelat Cina selain langsung tidak boleh bercakap bahasa ibundanya, iaitu loghat Kelantan.

Selepas kemalangan jalan raya pada Januari lalu, dia juga boleh bercakap bahasa Cina selain Korea pada masa tertentu.

Bagaimanapun Sinar Harian yang mengunjungi rumahnya semalam terkejut, apabila mendapati kini dia bertutur loghat Terengganu bukan seperti sebelum ini.

Menurut Noraini, pe­rubahan itu berlaku kira-kira jam 3 petang Ahad lalu, ketika dia sedang bercakap dengan rakan di halaman rumah.

“Sebaik bangun dari tidur selepas solat Zuhur, saya duduk berbual dengan beberapa orang kawan dan secara tiba-tiba saya bercakap loghat Terengganu seperti ikan disebut ‘ikang’, makan menjadi ‘makang’. Pada mulanya saya bertutur pelat Cina dan selepas berubah itu sehinggalah ke hari ini saya bercakap loghat Kuala Terengganu,” katanya yang mengejutkan rakannya ketika itu.

Berlaku secara tiba-tiba

Noraini memberitahu, sekali sekala ada perkataan pelat Cina terkeluar ketika dia bercakap.

Namun, sejak lebih sebulan lalu, dia tidak lagi dapat bertutur dalam bahasa Korea dan Cina.

Dalam pada itu, masalah sakit kepala yang dihadapinya sudah berkurangan selepas mengambil ubat secara berjadual namun kelmarin dia terpaksa ke Klinik Kesihatan Gong Medang tidak jauh dari rumahnya kerana mengalami masalah sakit pinggang namun kini sudah sembuh.

Sementara itu, ibunya, Mesina Daud, 48, turut terkejut dengan perubahan pertuturan anaknya yang berlaku secara tiba-tiba.

Kata Mesina, Noraini sebelum ini langsung tidak pernah bercakap loghat Terengganu malah dia boleh dikatakan tidak pandai bertutur loghat itu.

“Pada tahun lepas, dia pernah tinggal bersama kakaknya selama empat bulan di Kuala Terengganu tetapi ketika itu dia cakap loghat Kelantan,” katanya yang kebingungan.

Boleh disembuhkan: Sharhan

Pendakwah bebas yang juga ahli perubatan alternatif Islam terkenal, Sharhan Shafie menyifatkan, kejadian Noraini boleh bertutur banyak bahasa secara tiba-tiba adalah perkara tidak mustahil berlaku.

Katanya, kejadian seumpama itu dianggap pelik kerana jarang berlaku di negara ini tetapi di Mesir ia sering terjadi.

Beliau mendakwa, tidak mustahil gadis itu boleh bertutur bahasa Korea disebabkan jin Korea telah meresap masuk ke dalam tubuhnya.

“Mungkin jin Korea yang ‘singgah’ di negara ini telah masuk ke tubuh sebaik dia kemalangan dulu kerana jin Korea lebih maju berbanding jin di negara ini,” dakwanya.

Sharhan berkata, beliau pernah merawat pesakit di Korea dan jin di negara itu lebih mudah memasuki tubuh manusia berbanding di negara ini.

Malahan katanya, jin boleh bergerak dari suatu tempat dalam tempoh yang amat singkat dan tidak mustahil apa yang berlaku kepada Noraini akibat gangguan jin itu.

“Al-Quran ada menyebut jin ada kalangan Islam, kafir dan mereka berpuak-puak serta berbangsa-bangsa,” katanya.

Sementara itu, dia menasihati Noraini supaya tidak bimbang dengan kejadian tersebut kerana dengan izin ALLAH SWT ia boleh disembuhkan.

Beliau turut menawarkan khidmat rawatan Islam secara percuma kepada gadis itu sekiranya keluarga pelajar itu bersetuju. -SH

Nur Fatihah Yang Dilaporkan Hilang Buat Pengakuan "Tidak Diculik"!

Gadis hilang di Kuantan mengaku tak diculik

KUANTAN - Gadis yang dikatakan diculik ketika keluar membeli kad tambah nilai prabayar Ahad lepas, Siti Nur Fatihah Mahadi, 15, akhirnya mengaku bahawa dia sebenarnya tidak diculik, kata polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang SAC T. Narenasagaran berkata gadis itu juga mengaku bahawa dia dengan rela hati melarikan diri untuk tinggal di rumah teman lelakinya yang berumur 26 tahun disebabkan tekanan emosi yang dialami.

"Laporan yang dibuat kepada polis dengan mendakwa gadis itu diculik adalah tidak benar kerana dia mengaku dia tidak diculik tetapi melarikan diri dari rumah kerana tekanan perasaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata Siti Nur Fatihah ditemui di rumah teman lelakinya di Kampung Merchong dekat Pekan petang semalam, selepas dikatakan diculik dua lelaki dan seorang wanita semasa bersama adik lelaki dan sepupunya membeli kad tambah nilai prabayar di Taman Tas di sini, Ahad lepas.

Narenasagaran berkata remaja itu sendiri yang menghubungi kedua-dua lelaki dan wanita berkenaan supaya menghantarnya ke rumah teman lelakinya pada hari dia dilapor hilang oleh keluarganya.

Beliau berkata Siti Nur Fatihah kini dihantar ke Rumah Perlindungan Kanak-kanak Sultanah Fatimah di sini untuk kaunseling dan penjagaan kerana dia tidak mahu pulang ke rumah serta merayu tidak mahu menemui sesiapa.

"Kes ini telah selesai dan kami menegaskan bahawa ini bukan kes culik.

Mangsa keluar rumah secara sukarela dan tiada unsur paksaan atau kekerasan oleh mana-mana pihak dalam kes ini.

"Mangsa keluar rumah dengan tujuan hendak menenangkan fikiran dan mahu tinggal sementara dengan keluarga teman lelakinya," katanya.

Ditanya mengenai dua lelaki dan seorang wanita berumur lingkungan 20-an yang sebelum ini dikatakan melarikan gadis itu, Narenasagaran berkata mereka tidak ditahan tetapi akan dipanggil semula untuk memberi keterangan berhubung kes itu.

"Mereka tidak melakukan penculikan tetapi polis akan panggil semula kedua-dua lelaki dan wanita itu untuk diambil keterangan," katanya. - Bernama

Ulasan GB

Jika benar, gadis ini telah menyusahkan orang lain terutama ahli keluargnya sendiri. Dan nantinya selepas ni ini jika ada betul-betul ada kejadian penculikan remaja perempuan berlaku ..orang sukar untuk mempercayainya..

Namun ada beberapa hal yang mungkin berlaku. Apakah beliau telah dipaksa untuk membuat pengakuan "tidak duclik" memandangkan sebelum ini dilaporkan bahawa:

Nor Mala berkata lelaki itu kemudian memaklumkan bahawa Fatihah akan pulang ke rumah dalam masa terdekat setelah kehilangannya kini telah menjadi kes polis.

"Saya sempat memujuk lelaki itu malah mendakwa mengenalinya supaya memaklumkan di mana Fatihah tinggal.

"Dalam perbualan kami selama dua jam itu, lelaki itu yang berusia 20-an turut memberitahu dia serba salah untuk berterus-terang kerana dia juga ada kes polis dan tak mahu ada apa-apa rekod lagi,"


Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Sudah Berkali-kali Dihentam Demo, KOMTAR Dikejutkan Pengawal Dibunuh

Pengawal keselamatan bagunan Komtar ditemui mati

Seorang pengawal keselamatan di bangunan Komtar, di Georgetown, Pulau Pinang ditemui mati dengan beberapa kesan tetakan di badannya awal hari ini. Gambar fail

Menurut Bernama, mayat lelaki yang hanya dikenali sebagai Kumar, berusia 28 tahun itu ditemui dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah oleh rakan sekerjanya di Komtar Walk pada pukul 3.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata siasatan awal polis mendapati Kumar yang sedang bekerja dan membuat rondaan di sekitar Komtar Walk diserang dua lelaki yang menaiki motosikal.

"Mangsa ditetak di seluruh badan manakala kaki kirinya juga hampir putus akibat tetakan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata tiada pengenalan diri ditemui bersama mangsa dan mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Bangunan Komtar juga menempatkan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

"Penculik" Nur Fatihah Hubungi Ibunya Nyatakan Fatihah Selamat

Pelajar disyaki diculik dikatakan selamat

KUANTAN - Seorang pelajar, Siti Nur Fatihah Mahadi, 15, yang dilaporkan diculik pada Ahad lepas dipercayai selamat dan berada di rumah ibu angkat seorang kawannya.

Menurut ibu remaja berkenaan, Nor Mala Mohd Lazin, 34, beliau menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang tidak dikenali memaklumkan anaknya itu kini berada di rumah ibu angkat kawan anaknya itu.

"Saya mendapat panggilan telefon pada kira-kira 2 pagi dan meminta saya dan keluarganya usah bimbang. Pada mulanya lelaki itu menyamar memberitahu dia pelajar tingkatan empat satu sekolah dengan Fatihah, namun apabila didesak dia akhirnya memberitahu dia adalah kawan kepada Fatihah," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Nor Mala berkata lelaki itu kemudian memaklumkan bahawa Fatihah akan pulang ke rumah dalam masa terdekat setelah kehilangannya kini telah menjadi kes polis.

"Saya sempat memujuk lelaki itu malah mendakwa mengenalinya supaya memaklumkan di mana Fatihah tinggal.

"Dalam perbualan kami selama dua jam itu, lelaki itu yang berusia 20-an turut memberitahu dia serba salah untuk berterus-terang kerana dia juga ada kes polis dan tak mahu ada apa-apa rekod lagi," katanya.

Ketua Polis Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata kes itu masih dalam siasatan polis. - Bernama

Dengki punca anak dilarikan

NORMALA memujuk Muhammad Syahmi Aiman dan Siti Nurul Aishah ketika ditemui di rumah mereka di Kuantan, semalam.


Ibu terima panggilan gadis selamat

KUANTAN: Ibu kepada pelajar Tingkatan Tiga, Siti Nurfatihah Mahadi mengesyaki perasaan dengki dan cemburu menjadi punca anaknya dilarikan dua lelaki dan seorang wanita ketika membeli kad tambah nilai prabayar di premis berhampiran rumah di Taman Tas, Ahad lalu.

Ibu mangsa, Normala Mohd Lazin, 33, berkata beliau dihubungi lelaki berusia 20-an yang juga kenalan anaknya jam 2 pagi semalam, memaklumkan anaknya selamat.

“Saya kenal lelaki terbabit kerana dia pernah datang ke rumah. Dia memaklumkan ada seorang perempuan memberitahunya anak saya selamat dan berada di rumah ibu angkat dipercayai salah seorang individu yang mengambilnya.

“Namun lelaki terbabit enggan memberitahu di mana Siti Nurfatihah berada sekadar memaklumkan anak saya mahu pulang ke rumah hari ini (semalam), tapi sehingga kini anak saya tetap belum pulang,” katanya ketika ditemui, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang Ahad lalu, Siti Nurfatihah, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan, di sini keluar ke sebuah premis yang terletak 100 meter dari rumahnya untuk membeli kad tambah nilai dengan ditemani dua adiknya iaitu Muhammad Syahmi Aiman dan Siti Nurul Aishah, masing-masing berusia 11 tahun sebelum dipercayai diculik suspek menaiki sebuah kereta jenis Honda berwarna ungu.

Selain itu, Normala berkata, dalam perbualan telefon hampir dua jam, beliau turut meminta lelaki terbabit untuk memujuk pihak yang mengambil Siti Nurfatihah memulangkan anaknya semula.

“Mungkin kerana dengki menjadi punca anak saya dilarikan, malah lelaki terbabit berkata perempuan yang mengetahui di mana anak saya berada marah apabila kes ini tersebar selain menjadi kes polis.

“Saya mengesyaki ada pakatan antara lelaki ini dan perempuan terbabit yang seakan-akan menyembunyikan sesuatu sehingga enggan memaklumkan di mana Siti Nurfatihah berada,” katanya.

“Kami sekeluarga sangat tertekan dan runsing memikirkan bagaimana keadaan Siti Nurfatihah,” katanya.

Suri rumah terbabit menolak andaian sesetengah pihak yang mendakwa anaknya sengaja melarikan diri mengikut teman lelaki dan bukan diculik.

“Saya sangat rapat dengannya dan tahu sikapnya malah setahu saya, Siti Nurfatihah tiada teman lelaki cuma dia ramah dan mempunyai ramai kenalan,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff ketika dihubungi berkata siasatan berhubung kejadian berkenaan masih diteruskan, termasuk mengambil keterangan lanjut dua adik mangsa yang juga individu terakhir dilihat berada bersama mangsa sebelum kejadian.
-BH


Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Dirogol Tunang Dalam Kereta, Dikerjakan Abang Angkat Di Tangga Shopping Centre

Tunang dajal

KAJANG: Hanya kerana tidak puas hati ikatan pertunangan bakal terputus di tengah jalan dan impian untuk mendirikan rumah tangga tidak kesampaian, seorang lelaki sanggup merogol tunangnya sendiri dalam kereta, malam kelmarin.

Wanita berusia 24 tahun terbabit diperdaya tunangnya itu untuk berbincang mengenai hubungan mereka sebelum bersetuju mengikut tunangnya menaiki kereta.

Difahamkan, lelaki berusia 24 tahun yang berasal dari Utara Semenanjung itu menjemput mangsa di pejabatnya di Taman Keramat, di sini, jam 6 petang.

Sebaik wanita terbabit menaiki Proton Perdana dipandu tunangnya, lelaki terbabit dikatakan memecut ke arah Kajang
.

Mangsa yang menyedari sikap pelik tunangnya itu dan bimbang diapa-apakan cuba bertindak nekad melawan dan terjun daripada kenderaan berkenaan.

Malangnya, tindakan itu gagal apabila tunangnya itu menghalangnya dengan menarik baju dipakai mangsa hingga terkoyak hingga menampakkan sebahagian badannya.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, suspek kemudian membawa mangsa ke Hentian Rawat dan Rehat Bukit Dukong, di sini sebelum memberhentikan keretanya di satu kawasan sunyi.

“Mangsa cuba melarikan diri selain melawan dan mempertahankan diri. Bagaimanapun, mangsa dipukul dan ditumbuk suspek sebelum dirogol di dalam keretanya
.

“Selepas insiden itu, mangsa dihantar pulang ke rumahnya di Kajang. Namun, kelibat mencurigakan suspek dan mangsa disedari abang mangsa. Lelaki itu kemudian bertindak mengejar suspek tetapi gagal,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini, semalam.

Berikutan itu, mangsa menceritakan kejadian dia dirogol tunangnya itu sebelum ditemani abangnya ke balai polis berhampiran membuat laporan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang remaja berusia 17 tahun turut diperkosa seorang lelaki dipercayai abang angkat mangsa di kawasan tangga sebuah pusat beli-belah di Kajang, di sini.

Ab Rashid berkata, gadis lepasan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) itu membuat laporan berkenaan kelmarin dan dipercayai kejadian itu berlaku bulan lalu dan mendakwa dirogol abang angkatnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di pusat beli-belah sama.

Menurutnya, mangsa yang juga pekerja di pusat beli-belah berkenaan hanya berborak kosong dengan suspek di kawasan tangga itu namun dia dipeluk sebelum dirogol.


Katanya, polis masih menjalankan siasatan berhubung laporan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
-hm

Ulasan GB

Berita rogol-merogol sentiasa ada. Angkara menolak, mempersenda dan mempermainkan hukum Allah (hudud) oleh pihak berkuasa. Maka inilah balanya.

Hasbie Satar, Bekas SU Politik Hadapi 28 Pertuduhan

Shah Alam - Hasbie Satar, bekas setiausaha politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap 28 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu transaksi mendepositkan wang tunai berjumlah RM935,000 ke dalam akaun 11 individu termasuk anggota keluarganya.

Hasbie (gambar), 39, yang memakai sut kelabu membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di beberapa bank dan Tabung Haji di tiga lokasi iaitu di Salak Tinggi, Sepang, Bandar Baru Bangi dan Putrajaya antara 4 Dis 2008 dan 18 Jun 2009.

Hasbie didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Anselm Charles Fernandis dan Hazril Harun mencadangkan agar tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM100,000 dan memohon kesemua 28 pertuduhan itu dibicarakan bersama.

Pihak pendakwaan turut memohon agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang di mana tertuduh mempunyai satu lagi pertuduhan di bawah akta yang sama.

Permohonan di bawah Seksyen 165 Kanun Prosedur Jenayah itu dibuat atas alasan kesemua 28 pertuduhan tersebut melibatkan seksyen yang sama dan kebanyakan saksi adalah saksi yang sama dalam kes di Mahkamah Sesyen Butterworth.

Pada 10 Feb tahun lepas, Hasbie mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth atas tuduhan memiliki wang daripada hasil aktiviti haram berjumlah RM2,134,656 dan dia dibebaskan dengan jaminan RM60,000 serta dua orang penjamin.

Peguam Y. Sheelan Samuagam yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM30,000 atas alasan jumlah yang ditawarkan pihak pendakwaan terlalu tinggi memandangkan anak guamnya telah dituduh di Mahkamah Sesyen Butterworth.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM90,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 April ini untuk sebutan semula kes.

Beliau turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar kesemua 28 pertuduhan dibicarakan bersama tetapi menolak permohonan mereka untuk memindahkan kesemua kes itu ke Mahkamah Sesyen Butterworth. - Bernama

Ulasan GB

GB sudah ulas dahulu. Petikan:

Ini merupakan Setiusaha Politik kedua Mohd Nor Yaakob yang berdepan dengan kes rasuah. Yang pertama ialah Datuk Norza Zakaria.

Kita merasakan ada sesuatu di sebaliknya. Mohd Nor Yaakob adalah Menteri Kewangan Kedua. Apakah ia lubuk bagi pengumpulan kekayaan?

Wang RM2juta itu yang ditahan. Bagaimana dan berapa pula jumlah sebenar termasuk yang telah digunakan untuk membeli hartanah yang dilaporkan berlaku di sekitar lembah kelang.

Dan peranan Mohd Nor Yaakob itu sendiri perlu diberikan perhatian.



Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Hassan Ali Dah Jadi 'Katak Sumbang', Lansung Dah Tak Datang

Pas persoal Hasan Ali tidak hadir majlis santapan diraja

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru, Dr Rani Osman mempersoalkan ketidakhadiran Adun Gombak Setia, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali pada Majlis Santapan Diraja, semalam.

Menurutnya, Hasan perlu hadir dalam majlis tersebut sekiranya benar beliau mempunyai prinsip memperjuangkan Islam, Melayu dan Raja (IMR).

Beliau menegaskan, Islam tidak mengajar sikap mementingkan satu kaum sahaja seperti yang mahu dibawa oleh Hasan menerusi Badan Bukan Kerajaan (NGO), Jati.

“Hari ini (semalam) saya ingat mahu tujukan hujah ini kepadanya tetapi Gombak Setia tidak hadir, semalam majlis santapan diraja pun beliau tidak datang.

“Saya juga tidak setuju dengan konsep IMR yang dibawa oleh beliau, kerana Islam diturunkan untuk semua,”
katanya pada sesi perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun), hari ini.Majlis Santapan Diraja diadakan di Hotel Concorde di sini, disertai oleh kesemua Adun Negeri Selangor.

Difahamkan, Hasan tidak hadir dalam majlis berkenaan kerana berpuasa dan beliau juga pulang awal dalam upacara pembukaan Sidang Dun Kali Kelima, pada sebelah pagi.

Beliau juga tidak hadir dalam sesi perbahasan yang bermula hari ini.

Setelah tiga bulan dipecat sebagai ahli Pas, Hasan tampil kali pertama pada Sidang Dun iaitu sebagai wakil bebas dan yakin tidak akan menghadapi masalah dengan situasi baru itu.

Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu berkata, beliau akan meneruskan agenda IMR dalam perbahasan Sidang Dun, walaupun atas kapasiti Adun Bebas.

Menurutnya, beliau tidak mempunyai masalah berhadapan dengan Adun Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) dalam sesi perbahasan kali ini. -SH

Ulasan GB

Hassan Ali perjuangkan raja yang mana sedangkan santapan diraja pun tak hadir?

Katakanlah beliau berpuasa, perbahasan pun tak datang?

Puasa itu sunat, menunaikan amanah sebagai wakil rakyat itu wajib.

Itulah sikap "pengkhianat" yang sebenar sebab tidak menjalankan amanah yang diberikan oleh rakyat.

Nazatul, Mangsa Culik Yang Ditemui Di Thailand Masih Trauma

Misteri ‘van putih’ kembali

SHAH ALAM: Misteri ‘van putih’ kini kembali apabila mangsa culik Nazatul Fadiana Mohd Izwan, 14, yang ditemui di Bangkok 11 Mac lalu, dikatakan diculik sekumpulan lelaki tidak dikenali menaiki van berwarna putih sewaktu berada berdekatan sebuah restoran di Seksyen 9, di sini pada hari kejadian 30 Januari lalu.

Perkara itu diceritakan mangsa kepada ibunya dalam perbualan telefon pada 12 Mac lalu selepas diselamatkan polis Thailand sewaktu ditemui di Stesen Kereta api Hualamphong, Bangkok, Thailand.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, apa yang diceritakan mangsa kepada ibunya belum cukup untuk polis mengaitkan kejadian berkenaan dengan motif sebenar mangsa dilarikan ke Thailand.

“Ini kerana buat masa ini polis belum mendapat sebarang maklumat daripada mangsa kerana dia masih dalam keadaan trauma dan menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini, semalam.

HILANG...Zahedi menunjukkan gambar Nazatul Fadiana yang ditemui di Bangkok.

Sebelum ini, sebuah van putih turut dikaitkan dengan kejadian penculikan Nurin Jazlin Jazimin, 8, di pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju pada 20 Ogos, 2007.

Ada saksi ternampak Nurin ditarik masuk ke dalam sebuah van sebelum mayat mangsa ditemui disumbat dalam beg berhampiran PJS1, Petaling Jaya, beberapa hari kemudian. Kejadian sama berulang apabila seorang lagi kanak-kanak perempuan, Sharlinie Mohd Nashar, 5, turut dilaporkan hilang pada awal Januari 2008 selepas didakwa dilihat bersama seorang suspek dalam sebuah van putih di Cheras. Mangsa gagal ditemui sehingga kini.


Zahedi berkata, Nazatul Fadiana atau lebih dikenali sebagai Nana akan terus mendapatkan rawatan di PPUM manakala lima warga Myanmar masing-masing tiga lelaki dan dua perempuan yang diselamatkan bersama mangsa kini masih berada di Bangkok, Thailand.

“Semua warga Myanmar terbabit berdaftar di bawah Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR). Mereka dibawa pulang ke Malaysia bagi membantu polis mengumpul bukti dan menjalankan siasatan menyeluruh,” katanya.

Menurutnya, Nana menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok dan tiba di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), di Sepang, dengan diiringi ibunya, selain beberapa pegawai polis dan imigresen Thailand, malam kelmarin.

“Sebaik mendarat, mangsa terus dikejarkan ke PPUM, Petaling Jaya untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya. Akhbar semalam melaporkan, Nazatul Fadiana dilaporkan hilang selepas dihantar ibunya ke perhentian bas di Seksyen 9, di sini bagi mengulang kaji pelajaran bersama rakannya, pada jam 3 petang, 30 Januari lalu.

Namun, sehingga malam hari kejadian, mangsa tidak pulang ke rumah sebelum ibunya membuat laporan polis di IPK Selangor. Selepas dua bulan dilaporkan hilang, mangsa diselamatkan polis Thailand yang menemuinya di Stesen Kereta Api Hua Lampong, Bangkok, bersama lima warga Myanmar, 11 Mac lalu. -hm

Nazatul gadis pengutip derma

USAHA wartawan untuk menemu bual keluarga Nazatul gagal kerana rumahnya di Seksyen 8, Shah Alam berkunci dan tiada penghuni.

SHAH ALAM - Nazatul Fardiana Mohd. Norizwan, 15, remaja yang dilaporkan hilang pada Januari lalu dan ditemui di Bangkok, Thailand baru-baru ini merupakan seorang pengutip derma di beberapa lokasi di sini.

Seorang jiran mangsa yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 47, mendakwa, dia pernah ternampak Nazatul mengutip derma di beberapa buah stesen minyak di Seksyen 9 di sini pada tahun lalu.

Dakwa Ahmad, remaja terbabit melakukan kerja itu antara pukul 5 petang hingga 10 malam dengan menunjukkan kad yang mempunyai logo Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Sumbangan itu kononnya untuk disalurkan kepada Madrasah Ta'allimun Islam dan Sekolah Hafiz al-Quran Tanjumas di Thailand.

"Saya mengetahui kegiatan Nazatul ketika mengisi minyak di Seksyen 9 pada hujung tahun lalu. Saya ambil kad yang mempunyai logo MAIWP daripada Nazatul," kata Ahmad ketika ditemui di kawasan rumah Nazatul di sini semalam.

Dakwa Ahmad, Nazatul dihantar ke stesen-stesen minyak itu untuk meminta derma oleh seorang wanita dipercayai ibunya.

Selain di stesen-stesen minyak, Nazatul juga pernah dilihat mengutip derma di beberapa buah bank di Seksyen 9 di sini.

Jelas lelaki itu, sejak kad MAIWP itu dirampas, kelibat remaja itu tidak lagi kelihatan di Seksyen 9.

Menurut Ahmad, Nazatul mendakwa dia disuruh mengutip derma oleh seorang ketua yang tinggal di Ampang, Selangor.

"Saya juga pernah membuat panggilan telefon kepada lelaki yang didakwa Nazatul sebagai bos dan lelaki itu mengaku mengenali Nazatul tetapi enggan bercakap banyak," kata Ahmad.

Ahmad kemudian menyerahkan kad tersebut kepada MAIWP dan ternyata kad kutipan derma tersebut tidak sah.
-kosmo


Wajah Terang Bapa Kandung Dirang, Handry, Sebelum Dihantar Pulang

Kes bunuh Dirang: Handry diserah kepada Imigresen

SENAI – Polis mengesahkan bapa kandung Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang, 5, Handry Yongot, 30-an telah dibebaskan, semalam, dan diserah­kan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

BAPA kandung Dirang, Handry Yongot bertemu anak lelakinya, Mohd Hafis dan bekas ibu mentuanya, Minar Jul sebelum dihantar pulang ke Filipina di Jabatan Imigresen Johor Bahru, hari ini. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin/BH

Handry ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan kes berkaitan pembunuhan kejam anaknya Dirang selain pemeriksaan mendapati dia tiada sebarang dokumen perjalanan sah.

“Handry kami bebaskan hari ini (semalam), namun kami serah kepada pihak Imigresen untuk tindakan selanjutnya berikutan dia tiada dokumen pengenalan diri,” kata Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, siasatan berhubung kes berkenaan masih diteruskan dan tiga suspek termasuk seorang wanita ditahan sebelum ini masih ditahan reman sehingga 23 Mac ini.

Sementara itu, ibu Dirang, Roselyn Alan, 25, sekali lagi merayu pihak berkuasa agar tidak menghantar bekas suaminya itu pulang ke negara asalnya, Filipina.

Menurutnya, Handry tidak mempunyai saudara di negara itu kerana dibesarkan di Kota Kinabalu, Sabah sejak kecil.

“Saya mohon jika boleh berilah peluang dia tinggal di sini, kerana dia tidak tahu asal usulnya di Filipina. Malah, dia masih ada anak iaitu Mohd Hafis yang berusia enam tahun di sini.

“Saya bimbang, jika dia dihantar pulang ke negara asalnya akan lebih menyukarkan untuk dia bertemu dengan satu-satunya anak kandung kami yang masih hidup,” katanya.

Roselyn berkata, bekas suaminya itu pernah memohon untuk mendapatkan kerakyatan negara ini, namun malangnya permohonannya tidak diluluskan atas beberapa faktor.

“Apa yang saya tahu, dia pernah memohon, tetapi permohonannya ditolak dengan alasan maklumat ibu bapanya yang kurang jelas di mana mereka sudah meninggal dunia.

“Berikutan itu, Handry hanya diberikan dokumen sementara untuk menetap di negara ini. Bagaimanapun saya terkejut selepas dimaklumkan dia tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah,” katanya.

Terdahulu, Handry ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan kes berkaitan pembunuhan kejam anaknya Dirang selain pemeriksaan mendapati dia tiada sebarang dokumen perjalanan sah. -SH