11 Ogo 2011

Kenyataan Wan Ahmad Bukti Sahih Beliau Talibarut UMNO

Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh (gambar) menyifatkan kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhan Pilihan Raya (SPR), Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar menunjukkan badan itu sebenarnya tidak bebas dan berat sebelah.

Beliau diminta mengulas kenyataan Wan Ahmad yang mendakwa Pakatan Rakyat mengulangi agenda politik kotor untuk menang PRU-13 melalui penyebaran fitnah dan pembohongan.

Kenyataan Wan Ahmad itu disiarkan Utusan Malaysia, sebuah akhbar milik Umno.

“Saya nak nasihatkan Wan Ahmad agar hentikanlah dari menjadi tali barut Umno dan bersifat berat sebelah," kata ahli parlimen Kuantan itu seperti dilaporkan Keadilan Daily.

“Dia (Wan Ahmad) kena ingat gaji yang dia dapat merupakan wang yang dibayar oleh rakyat. Jadi berkhidmatlah untuk rakyat dan bukannya untuk Perdana Menteri”

“Insaflah, lebih-lebih lagi bulan puasa ni. Jangan asyik memberikan kenyataan untuk memuaskan Umno dan menjadi agen mereka,” kata Fuziah.

Menurut Fuziah, SPR masih berterusan menafikan kewujudan pengundi hantu seperti pengundi berusia lebih 100 tahun, isu pengundi berstatus Penduduk Tetap (PR), pengundi klon dan daftar nama salah yang didedahkan sebelum ini.

Katanya, penafian itu dilakukan bagi menutup kesalahan mereka, sebaliknya badan itu pula menuding jari kepada Pakatan Rakyat kononnya menyebarkan fitnah dengan mengada-adakan cerita.

“(Sudah tentu) mereka (SPR) boleh betulkan semula dalam sistem (daftar pemilih) kerana hanya mereka yang berkuasa ke atas Semak Daftar Pemilih SPR tersebut,” kata Fuziah.

Sebelum ini, Pakatan mendedahkan pelbagai bukti kepincangan dalam daftar pemilih SPR, termasuk kewujudan pengundi yang berumur lebih 100 tahun.

Baru-baru ini media alternatif menimbulkan isu Mismah, seorang penduduk tetap yang didaftarkan sebagai pengundi dalam daftar pemilih SPR.

Dalam pada itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa 200,000 warga asing didaftarkan sebagai pengundi. Manakala kerajaan Pulau Pinang pula mengesan 30,000 pengundi baru dalam masa tiga bulan dalam daftar pemilih SPR.

SPR juga mencipta sejarah apabila mendaftarkan sebuah kampung yang diberi nama ‘Kg Baru’ sebagai pengundi, yang tidak ada dalam data Jabatan Pendaftaran Negara, sebelum membetulkan rekod itu beberapa jam kemudian.

Terbaru, beberapa pengundi dikesan memiliki dua nombor kad pengenalan yang berlainan dan mempunyai kelayakan mengundi di dua tempat berbeza sepertimana dalam daftar pemilih SPR.


SPR dakwa pembangkang ulangi agenda politik kotor menang PRU-13

KUALA LUMPUR, 11 Ogos — Pembangkang mengulangi “agenda politik kotor” untuk memenangi pilihan raya umum ke-13 melalui penyebaran fitnah dan pembohongan, dakwa Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar.

Wan Ahmad (gambar) berkata sebelum pilihan raya umum ke-12, ada pihak yang menuduh SPR bersikap tidak adil dengan menyebar fitnah dan tohmahan memburukkan imej dan kewibawaan badan itu.

Malah kata beliau, selepas mereka menang 82 kerusi Dewan Rakyat mengalahkan BN di lima Dewan Undangan Negeri, mereka terkejut dengan kemenangan melalui proses pilihan raya yang mereka tuduh kotor dan tidak adil selama ini.

“Ini kerana sistem dan proses pilihan raya yang adil yang telah memberi kemenangan besar kepada parti-parti pembangkang di negara ini. Agenda politik ‘kotor’ melalui penyebaran fitnah dan pembohongan telah menunjukkan hasil. Maka agenda yang sama perlu diulangi untuk menghadapi PRU yang akan datang.

“PRU ke-13 akan menjelma. Taktik dan strategi semasa menghadapi PRU ke-12 dan beberapa pilihan raya kecil elepasnya akan berulang,” kata beliau sambil menambah, SPR sekali lagi menjadi sasaran dan ‘punching-bag’ oleh pihak tertentu untuk meraih simpati rakyat dengan menggunakan isu pilihan raya tidak adil.

Wan Ahmad membangkitkan pandangan itu menerusi tulisan bahagian kedua, disiarkan oleh Utusan Malaysia hari ini.

Dakwa beliau, seperti yang berlaku sebelum pilihan raya umum ke-12 apabila parti politik tertentu menyertai demonstrasi jalanan menuntut pilihan raya adil, mereka telah berjaya menaikkan kemarahan rakyat dan hasil perbuatan itu memberi kemenangan besar kepada mereka.

“Pada 9 Julai 2011 mereka sekali lagi mempergunakan strategi yang sama iaitu menyertai demonstrasi jalanan menggunakan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan berjaya mendapat liputan media antarabangsa,” katanya.

Dalam tulisannya Wan Ahmad juga membidas terdapat parti-parti politik di negara ini yang ketandusan isu untuk memikat hati rakyat dalam menghadapi PRU akan datang.

Oleh itu kata beliau, cara lain yang digunakan adalah menyebar fitnah memburukkan kepimpinan SPR supaya rakyat benci dan simpati.

“SPR dijadikan ‘kambing hitam’ dalam memperjuangkan cita-cita mereka,” kata beliau.

Katanya, parti-parti politik di mana jua akan melakukan apa sahaja untuk mencari kemenangan dalam pilihan raya, tetapi yang ketara berlaku di negara ini adalah perbuatan fitnah dan pembohongan yang menjadi perkara wajib dalam usaha mencari sokongan.

“Tidak cukup dengan kecaman terhadap parti lawan, SPR turut dijadikan sasaran kecaman dan fitnah. Mereka membuat kesimpulan atas sesuatu isu yang berbangkit semata-mata berasaskan andaian dan tuduhan yang tidak terbukti di mahkamah,” kata Wan Ahmad lagi.

Beliau seterusnya menulis, melalui ceramah dan tulisan, tanpa rasa berdosa SPR dikecam semata-mata kerana buruk sangka terhadap agensi pengendali pilihan itu.

“Kebencian rakyat terhadap SPR dan pilihan raya diharapkan menjadi undi simpati yang memihak kepada mereka dalam pilihan raya akan datang,” katanya lagi.

Sebagaimana semalam, Wan Ahmad juga mempertahankan bahawa sistem pilihan raya negara ini bebas dan adil.

“Rakyat perlu sedar bahawa di negara ini golongan yang menuduh pilihan raya tidak adil terdiri daripada mereka yang telah menang dalam pilihan raya.

“Mungkinkah mereka menang jika pilihan raya dijalankan secara tidak bebas dan tidak adil?, atau jika proses pengundian atau pengiraan undi tidak dilakukan dengan telus dan bersih?” katanya lagi.

Tegas beliau, parti-parti politik tidak perlu menganggap SPR sebagai musuh dengan menabur fitnah dan kecaman yang tidak dapat dibuktikan.

“Dalam pilihan raya demokratik yang penting adalah proses pemilihannya bebas, telus dan adil. Siapa yang layak boleh bertanding dan calon yang dipilih rakyat akan menang dalam pertandingan. Parti yang mendapat jumlah kerusi majoriti akan menubuh kerajaan,” ujar beliau.

Katanya, permainan politik memerlukan kepintaran ahli-ahli dan parti-parti politik memainkan isu untuk mewujudkan persepsi bagi mempengaruhi pemikiran rakyat.

Malah kata beliau, di negara ini ada pihak-pihak yang pintar dalam bidang berkenaan dan “mereka mengaburi mata rakyat dengan menuduh pilihan raya tidak adil, tidak telus dan kotor. Pelbagai alasan diberi apabila mereka kalah.”

“Mereka tidak dapat menerima kemenangan orang lain. SPR yang menjalankan pilihan raya secara adil dan saksama yang telah memberi kemenangan kepada mereka, turut menjadi sasaran kecaman dan fitnah,” tulis beliau lagi. -TMI



Ulasan GB

Penipu yang menuduh orang lain menipu. Pencuri yang berlari-lari kemudian menjerit-jerit "pencuri, pencuri" untuk menuduh orang lain mencuri supaya dia dapat selamatkan diri dari di kejar oleh orangramai yang sedang mengejar pencuri. Itulah analogi yang paling mudah untuk menceritakan situasi Wan Ahmad Wan Omar berkenaan.

Hujjah Wan Ahmad tersebut ternyata beliau berpihak kepada Barisa Nasional. Bukan lagi sebagai Timbalan pengerusi SPR.

Menuduh Pakatan Rakyat melakukan agenda politik kotor menang pilihanraya sedangkan rakyat sudah buktikan beratus-ratus kali agenda politik kotor SPR untuk memenaangkan Barisan Nasional.

Truth prevails. Anda sedang diawasi dan akan diadili tidak berapa lama lagi.

Malaysia Tersenarai TOP TEN Negara Sekat Kebebasan Beragama

Malaysia buat kali pertamanya tersenarai antara 10 negara teratas dalam ranking dunia yang menyekat kebebasan agama yang berbeza.

Satu kajian yang dibuat oleh Pew's Forum on Religion and Public Life yang berpangkalan di Washington DC, Malaysia kini berada dalam kumpulan yang sama dengan Mesir, Iran, Arab Saudi, Uzbekistan, China, Maldives, Burma, Eritrea dan Indonesia.

Malah hasil kajian itu menunjukkan Malaysia antara negara kelima yang mempamerkan peningkatan ketara dalam tempoh tiga tahun dari tahun 2006.

Kajian yang dilakukan ke atas 198 negara itu mendapati, sekatan terhadap kepercayaan dan amalan agama telah meningkat pada pertengahan tahun 2006 hingga 2009 di 23 negara, termasuk Malaysia dan Mesir.

Kaji selidik itu dijalankan oleh felo kanannya Brian Grim dan para penyelidiknya yang meninjau data-data dan maklumat termasuk laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Majlis Kesatuan Eropah, dan beberapa kumpulan hak asasi.

Tujuan mereka adalah untuk melihat sejauh mana tolak ansur setiap negara berhubung agama yang berlainan.

Di Malaysia, beberapa kejadian, dikatakan faktor penyumbang kepada kedudukan yang tidak diingini itu.

Ini termasuk rampasan buku dan CD berkaitan agama Kristian seperti kes Jill Ireland di mahkamah dan pengharaman penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Kristian termasuk akhbar Herald.

Tindakan pihak berkuasa ke atas pengikut mazhab Wahabi dan Syiah serta penangkapan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin juga dipercayai mempengaruhi kajian itu.

Begitu juga dengan laporan dan aduan mengenai perobohan kuil-kuil Hindu, sehingga menyaksikan pembentukan Hindraf dan demonstrasi besar-besaran pada 2007 yang sebelum ini belum pernah terjadi di Malaysia. -tvsnews



Ulasan GB

Elok dibaca sekali lagi entri ini:

Isu Gereja: Tindakan JAIS Tidak Perlu, Islam Agama Hujjah - GB Sokong Dr. Asri

Pengerusi, Setiausaha SPR Perlu Letak Jawatan

Pengerusi, Timbalan dan Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa meletakkan jawatan sekiranya masih tidak dapat menyelesaikan isu daftar pemilih yang tercemar.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata demikian mengulas isu pengundi hantu samada yang melebihi umur 100 tahun, penduduk tetap yang mendapat status warganegara dan kewujudan pengundi klon yang mempunyai dua hak mengundi.

Menurutnya, kenyataan SPR bahawa isu-isu tersebut merupakan kesilapan teknikal dan menyalahkan agensi lain seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), merupakan jawapan dangkal.

“Jawapan yang diberikan pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof adalah jawapan dangkal, sepatutnya beliau mesti bertanggungjawab bagaimana boleh adanya pengundi yang tidak sah.

“Selagi pengerusi SPR tidak boleh jawab isu pengundi berumur 100 tahun, isu Mismah, pengundi bernama Kg Baru dan pengundi klon ini, Pengerusi, timbalan dan setiausaha SPR digesa berundur,” kata Shamsul ketika dihubungi Keadilan Daily.com.

Beliau mengambil contoh isu Kg Baru baru-baru ini yang didaftarkan sebagai pengundi, sekaligus menunjukkan kelemahan yang dilakukan petugas SPR.

“Bagaimana nama kampung boleh didaftar sebagai pengundi, di sini saya lihat pihak SPR tergesa-gesa mendaftar pengundi.

“Proses untuk jadi pengundi perlu melalui proses yang dikhaskan, jika dibuat dengan betul dan teliti tidak munasabah boleh berlaku perkara itu. Takkan pekerja dan petugas SPR tiada pendidikan, boleh jadi nama kampung sebagai pengundi,” katanya.

KEADILAN sebelum ini mendedahkan terdapatnya 1,607 pengundi berusia lebih 100 tahun yang berdaftar di Perak dengan pengundi paling tua di negeri itu berusia 132 tahun dan terdapat 160 pengundi yang berumur lebih 110 tahun.

Baru-baru ini, media alternatif mendedahkan penduduk tetap (PR) yang didaftarkan dalam daftar pemilih SPR, bernama Mismah yang memegang kad MyPR bernombor 640704715238. Bagaimanapun, SPR menukar status tersebut kepada warganegara kira-kira empat jam selepas isu itu dihebohkan.

Selain itu, SPR turut mencipta sejarah apabila mendaftar sebuah ‘kampung’ bernama Kg Baru sebagai pengundi.

Manakala terbaru, beberapa nama pengundi yang diklonkan dikesan berada dalam daftar pemilih SPR dan memiliki dua hak untuk mengundi di dua kawasan parlimen berbeza.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 7 nama tersebut dikesan didaftar di Parlimen Titiwangsa dan Setiawangsa, Taiping dan Bukit Gantang, Perak dan Hulu Terengganu, Terengganu.

Namun carian terbaru mendapati enam nama yang bertindih tersebut dibuang, manakala satu lagi masih kekal dalam daftar SPR. -KD

Ulasan GB

Mereka jangan harap dapat melepaskan diri dari "dosa" yang dilakukan selama ini. Sepertimana yang GB katakan sebelum ini, bila PR memerintah nanti, mereka diantara yang akan diburu sampai ke lubang cacing!

Pasangan Kekasih Yang Malang, Perempuannya Dirogol, Lelakinya Pula Dipukul

Pasangan kekasih malang

REMBAU – Perselisihan faham antara sepasang kekasih berakhir dengan tragedi apabila teman wanitanya dirogol, manakala teman lelakinya pula dibelasah sekumpulan lelaki dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Chembong, dekat sini, 6 Ogos lalu.

Sinar Harian difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, sepasang kekasih berkenaan yang menaiki sebuah motosikal ketika itu dalam perjalanan dari Kota sebelum memberhentikan kenderaan berdekatan lokasi kejadian. Gambar fail

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom berkata, dipercayai ketika pasangan berkenaan bertengkar, mereka didatangi sekumpulan lelaki seramai kira-kira empat ke lima orang berusia lingkungan 17 tahun hingga awal 20-an.

“Dipercayai teman wanita atau mangsa wanita mengenali salah seorang daripada kumpulan berkenaan. Bagaimanapun, tanpa diduga salah seorang dari kumpulan berkenaan menarik tangan mangsa wanita dan membawanya ke dalam ladang berdekatan, lalu merogol mangsa.

“Teman lelakinya yang ketika itu cuba menyelamatkan mangsa tidak berjaya kerana dibelasah oleh kumpulan lelaki berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Difahamkan, pasangan berkenaan juga dipercayai disamun apabila dompet milik salah seorang mangsa hilang termasuk wang tunai berjumlah RM20 turut dikebas kumpulan berkenaan.

Mizan berkata, mangsa wanita akhirnya berjaya melarikan diri dan meminta bantuan di sebuah rumah berhampiran ladang berkenaan.

“Mangsa dibawa ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan polis. Pihak polis kini sedang mempergiatkan lagi gerakan memburu suspek utama yang dipercayai melarikan diri.

“Bagaimanapun, tiga individu telah ditahan bagi membantu siasatan. Kes ini akan disiasat mengikut seksyen 376 dan 394 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol dan samun,” katanya. -SH

Ulasan GB

mereka didatangi sekumpulan lelaki seramai kira-kira empat ke lima orang berusia lingkungan 17 tahun hingga awal 20-an

muda-muda lagi tu dah jadi samseng & perogol...

Sikap Ketua Pengarah JPN Yang Tidak Bertanggungjawab

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terus mengambil sikap berdiam diri berhubung isu kad pengenalan Mismah yang bertukar status daripada penduduk tetap (PR) kepada warganegara yang didakwa pembangkang diperolehi dalam tempoh singkat.

Sinar Harian menghadapi kesukaran untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung dakwaan itu kerana kakitangan JPN yang dihubungi memberitahu hanya Ketua Pengarah Datin Jariah Mohd Said boleh mengeluarkan kenyataan, tetapi beliau bercuti.

Sinar Harian juga ingin mendapatkan penjelasan beberapa perkara lain.

Ia termasuk mengenai laporan sebuah portal berita me-ngenai wujudnya nombor kad pengenalan lama 1479323 yang dimasukkan ke dalam sistem SPR yang menunjukkan dua kemasukan di bawah nama Sa’ad bin Samsudin tetapi dengan dua nombor MyKad yang berbeza iaitu 380913105681 dan 510913105553.

Juga terdapat nama Mohd Rashid bin Ismail (IC lama: 6397062) yang mempunyai dua pendaftaran di kawasan Parlimen Taiping (MyKad: 620108086991) dan kerusi Parlimen Bukit Gantang (MyKad: 620108086713).

Apabila kedua-dua nombor MyKad dimasukkan dalam sistem online JPN, keputusannya menunjukkan kad pertama telah diambil, manakala kad kedua sedia untuk diserahkan ke pejabat JPN Kuala Lumpur. -SH

Ulasan GB

Ini sikap tidak beretika dan tidak bertanggungjawab seorang Ketua Pengarah perkhidmatan awam yang senang-senang mengambil cuti untuk mengelak dari berhadapan dengan pertanyaan orang awam mengenai salah laku jabatannya.

Tidak mengapa. Pakatan Rakyat bila rampas Putrajaya akan cari beliau ke lubang cacing sekalipun.

Kamera Dalam Tandas Perempuan Sekolah; PAS Gesa Siasatan Rapi

Polis digesa melakukan siasatan secara telus dan terperinci bagi mengesan dan menangkap suspek yang memasang kamera tersembunyi dalam tandas perempuan di sebuah sekolah menengah terkemuka di bandar Chukai dekat sini.

[Gambar kanan - Haji Hanafiah menunjukkan berita 'kamera dalam tandas sekolah' yang telah disiarkan oleh akhbar-akhbar Cina beberapa hari lalu. Paling kiri adalah pelajar yang telah menjumpai kamera tersebut]

Penolong Setiausaha PAS Terengganu Haji Hanafiah Mat berkata ia adalah penting bagi memberi kesedaran kepada mereka yang terlibat sekaligus bagi memastikan kes sedemikian tidak berulang lagi.

"Kita harap polis dapat siasat secara 'detail' dan telus, tidak kira siapa yang terlibat, tak kira bangsa, tak kira agama,

"polis perlu siasat dan tahan sesiapa yang terlibat, bagi memastikan ia tidak berulang,"ujarnya ketika di temui.

Beliau yang juga Pengarah Majlis Tindakan DUN Chukai menyifatkan, ia adalah satu bala yang memalukan menimpa sistem pendidikan, kerajaan Terengganu dan kerajaan Pusat khususnya Umno dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, Menteri Besar selalu berbangga diri dengan keputusan-keputusan yang cemerlang kononnya setiap tahun, namun jelas akhlak dan moral pelajar semakin meleset.

"Ia jelas satu malapetaka kepada sistem pendidikan dan kerajaan Umno/BN yang gagal membentuk akhlak serta moral pelajar, cukup mengaibkan,

"Menteri Besar Ahmad Said selalu berbangga-bangga kononnya pencapaian hebat pendidikan Terengganu, tapi inilah dia natijahnya,"jelas Haji Hanafiah.

Menurutnya, nilai moral pelajar ketika ini semakin rapuh disebabkan pelajar dan remaja hari ini banyak disogokkan dengan hiburan yang melalaikan yang hanya mendidik golongan muda dengan keseronokan semata-mata.

[Gambar - kamera berbentuk penyangkut baju, sebagaimana yang digambarkan]


Beliau menyarankan dasar dan falsafah pendidikan sekarang dikaji dan dirombak memandangkan kes-kes yang melanda sekolah dan sistem pendidikanmasa kini.

“sudah tiba masanya, dasar dan falsafah pendidikan negara sekarang ini perlu diubah agar ia lebih menitik beratkan kerohanian agar pelajar yang dilahirkan juga cemerlang dalam aspek ketuhanan.

"saya juga cadangkan pelajar yang mahu melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi perlua mendapat A bagi subjek Pendidikan Islam sebagaimana mereka perlu mendapat cemerlang dalam subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan subjek lain,"kata Hanafiah.

Menurutnya, bila diberi penekanan soal agama, akhlak dan moral, barulah dapat dilahirkan pelajar yang bertakwa yang gerun untuk melakukan perbuatan mungkar.

"Sekarang hukuman rotan atau penjara orang sudah tidak takut sebab itulah sekarang dalam penjara penuh dengan pesalah,”tambahnya

Pada 31 Julai lalu, sebuah kamera tersembunyi telah dijumpai terpasang dalam tandas pelajar perempuan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail 2.

Seorang pelajar, Hee Sin Yee, 17, merasa pelik melihat 'penyangkut baju' dilekatkan di kedudukan rendah di pintu tandas lalu mencabutnya.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat Salat berkata, polis percaya suspek yang memasang kamera berbentuk 'penyangkut baju' itu adalah terdiri dalam kalangan pelajar sekolah itu sendiri.

Menurutnya, kad memori kamera itu telah pun dihantar untuk dianalisis di makmal forensik polis di Cheras, Kuala Lumpur pada minggu lalu dan keputusan dijangka diketahui dalam tempoh sebulan.

“Siasatan awal yang kita jalankan turut dapati di dalam kad memori itu terdapat gambar pelajar perempuan, justeru kita percaya kamera berbentuk penyangkut baju itu telah merakam beberapa gambar sebelah ia dijumpai,” katanya

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini sebarang tangkapan masih belum dibuat dan polis masih lagi menjalankan siasatan terperinci. -buletinonline

Siapa Yang Bakal Terkena Suweh Penyapu?

MB Selangor dapat hadiah penyapu lidi

PENUNJUK perasaan memakai topeng Abdul Khalid (kiri) dan Hasan sambil memegang penyapu dan sepanduk dalam demonstrasi di hadapan bangunan Setiausha Kerajaan Negeri di Shah Alam semalam.

SHAH ALAM - Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghadiahkan penyapu kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim atas kegagalan mempertahankan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melakukan pemeriksaan ke atas Gereja Methodist di Damansara Utama dekat sini, 3 Ogos lalu.

Selain penyapu, kedua-dua NGO itu, Permuafakatan Warisan Melayu Malaysia (Warisan) dan Gerakan Memantau Perkhidmatan Agensi Kerajaan (Gempak) membawa mangkuk tandas, pencuci tandas, penyapu lidi dan batang mop ketika bantahan diadakan di sini semalam.

Kira-kira 30 orang yang berhimpun di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri mulai pukul 10 pagi itu sambil ada yang memakai topeng wajah Exco Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr. Hasan Ali sebagai tanda sokongan.

Segelintir daripada mereka yang marah dengan sikap Abdul Khalid dan Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Khalid Abdul Samad pula memakai topeng tanduk berwajah kedua-dua individu itu.

Bagaimanapun kesemua peralatan membersih tersebut akhirnya terpaksa dibawa pulang selepas tiada wakil daripada kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu muncul untuk mengambilnya.

Setiausaha Warisan, Zulkifli Shariff berkata, pihaknya memuji tindakan berani JAIS yang melakukan pemeriksaan ke atas gereja berkenaan selepas mendapat laporan berhubung ada usaha untuk memesongkan akidah umat Islam. -kosmo

Ulasan GB

Kumpulan UMNO yang dahulunya ber"kepala lembu" kini "bertopeng dan berpenyapu".

Penyapu dikatakan sebagai sesuatu simbol yang tidak baik. Di dalam adat bangsa Melayu yang dipercayai sebilangan besar ahli UMNO sendiri, ia pembawa suweh... maka dibawalah penyapu ke hari demonstrasi semalam.

Jangan lupa Khir Toyo yang dahulu menghadiahkan penyapu kepada PBT, tiba-tiba beliau yang ditimpa suweh sehingga sekarang tak habis-habis lagi.

Kerana apa? Mentaliti orang Melayu dah anggap penyapu itu pembawa suweh. "Kamu ialah apa yang kamu fikirkan"!


Maka yang akan ditimpa suweh nanti nampaknya bukan Khalid Ibrahim tetapi kepada penghadiah penyapu itu iaitu UMNO Selangor yang berselindung di sebalik nama NGO yang dikenali sebagai GEMPAK dan WARISAN.

Kalau geng kepala lembu sudah menerima habuannya, tak lama lagi geng penyapu dan mangkuk tandas ini bakal menerima apa yang mereka lakukan bersama-sama tokoh pujaan mereka Hassan Ali namanya.

Allah itu Maha Melihat dan Allah itu Maha Berkuasa. Sebenarnya Allah yang akan mengurniakan habuan pembalasan itu, bukan kerana suwehnya penyapu.

Dia juga yang akan menunjukkan siapa sebenarnya yang bertanduk. MB Selangor & Khalid Samadkah atau geng songkok tinggi bersama UG. Di dalam Islam, yang jahat akan terkena balik kejahatan yang mereka lakukan. Di dalam konteks demonstrasi semalam nampaknya UMNO Selangor yang diwakil oleh geng bersongkok tinggi bersama-sama tokoh pujaan mereka Hassan Ali & kumpulan UG bakal terkena "suweh penyapu" itu disertai dengan wartawan-wartawan & akhbar-akhbar yang menjulang tinggi tindakan mereka itu.

InsyaAllah, pemerhatian GB ini tidak silap.

p/s Bagi sesiapa yang disebut tadi nak elak terkena suweh penyapu tu, kenalah hubungi GB, jangan lupa siapkan pengeras sekali. Kalau tak tanggung jer nanti... hehehe

BERS✔H 2.0: Tindakan Polis Jadikan Kami Terkenal

Terharu melihat sokongan ramai: Chon Kai rasa penahanannya "berbaloi"

Di luar dugaan, rakyat jelata tanpa rasa takut tampil untuk menyatakan bantahan mereka terhadap kerajaan, sepanjang tempoh penahanan aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) - sehingga mereka dibebaskan. Sokongan yang melambak ini amat terharu buat Choo Chon Kai (gambar), antara enam orang tahanan di bawah Ordinan Darurat (EO6), sehingga menganggap penahanan terhadap dirinya adalah "berbaloi"!

Choo Chon Kai agak terkilan apabila diberitahu oleh peguamnya pada 7 Julai, bahawa perhimpunan BERSIH 2.0 akan diadakan di dalam stadium. Beliau bimbang keputusan ini bakal menggagalkan perhimpunan BERSIH 2.0, lantas memberi tamparan terhadap gerakan demokrasi di Malaysia.

Beliau yang diputuskan dari semua saluran maklumat sungguhpun resah dengan apa yang berlaku pada 9 Julai, namun tetap enggan bertanya pegawai polis ataupun SB (anggota cawangan khas) mengenai perhimpunan tersebut. "Kerana saya sedar, mereka tidak akan memberitahu apa yang berlaku sebenarnya. Ada yang berkata kepada saya, hanya 20 orang ditangkap, dan Mat Sabu (Timbalan Presiden PAS) terjatuh dari motorsikal," katanya.

Sehinggalah Setiausaha Agung PSM, Arutchelvan dibenarkan untuk mengunjunginya pada 15 Julai, membawakannya khabar yang cukup memberangsangkan Chon Kai, meskipun masih berada dalam tahanan. 50 ribu peserta menembusi sekatan polis dalam bandar, malah Marina Mahathir, anak mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad juga turun ke jalan raya.

"Saya teruja dengan khabar itu. Dengan tiba-tiba, bersemangat semula..." katanya ketika diminta untuk menyifatkan perasaannya pada ketika itu, dalam satu wawancara bersama MerdekaReview, pada 7 Ogos 2011.

Petugas bank sanggup menunggu

Bagaimanapun, kejayaan perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011 tidak membebaskan EO6 serta-merta, malah ada suara yang mempertikaikan Pengerusi BERSIH 2.0 Ambiga Sreenevasan kerana tidak mensyaratkan agar EO6 dibebaskan sebelum bersetuju untuk berhimpun di stadium. Ambiga menghadiri candle light vigil menuntut pembebasan EO6 hampir setiap malam, malah mendakwa BERSIH 2.0 hanya akan menyambut kejayaannya setelah EO6 dibebaskan.

Apakah mereka yang masih ditahan itu "tersinggung" apabila pembebasan mereka tidak dijanjikan terlebih dahulu, sebelum BERSIH 2.0 mengangguk kepada perhimpunan dalam stadium?

"Itu tidak mustahak," jawab Chon Kai secara terus-terang, malah beberapa kali menegaskan, "Yang penting, perhimpunan BERSIH 2.0 berjaya diadakan!"

Meskipun sedikit "ralat" kerana gagal turut serta dalam perhimpunan BERSIH 2.0, namun segala-galanya terubat apabila Chon Kai diceritakan oleh rakan seperjuangannya, bagaimana masyarakat umum menghulurkan tangan dan menyuarakan sokongan mereka sepanjang penahanan EO6.

"Saya terperanjat dengan apa yang telah dilakukan dalam tempoh sebulan itu. Bayangkan, lebih 600 laporan polis dibuat untuk membantah penahanan EO6 dalam masa satu hari. Sebelum ini ada pihak juga membuat laporan polis untuk membantah perhimpunan BERSIH, jadi mereka sedar betapa susahnya nak mengerah tenaga untuk melakukan kerja-kerja itu. Namun, parti yang kecil seperti kami mampu melakukannya. Pengadu bertindak atas inisiatif sendiri, bukan kerana menerima wang..." sindirnya secara berlapik.

Apa yang lebih terharu buat Chon Kai, dan juga rakan-rakan seperjuanganya adalah, sokongan daripada rakyat jelata terhadap parti politik yang namanya mungkin tidak dikenali sebelum ini. Chon Kai diceritakan bagaimana PSM perlu mengumpul RM192 ribu dalam masa dua jam, untuk mengikat jamin 24 tahanan (RM8,000 setiap orang) pada 4 Julai 2011, di Mahkamah Majistret/Seksyen Butterworth.

"Mereka sengaja melengah-lengahkan sehingga kira-kira jam 4.30 petang. Maknanya, seandainya wang gagal dikumpulkan sebelum bank tutup pada jam 5 petang, maka 24 orang tahanan tersebut perlu meringkuk satu malam lagi di lokap. Namun, kami diberitahu petugas bank, 'Jangan risau, kami sanggup menunggu, kerana kami sokong kamu semua!'"


"Dan petugas bank itu terdiri daripada pelbagai kaum..." katanya, yang masih terharu dengan adegan itu. Choo Chon Kai mengisahkan semula cerita-cerita ini kepada MerdekaReview. "Mereka sokong dengan tindakan mereka. Peguam kami, Edmund Bon, lampu pejabatnya masih menyala, dan ramai stafnya masih bekerja untuk permohonan habeas corpus kami, pada awal pagi, ketika Arul pergi untuk menyerahkan dokumen yang diperlukan."

Ini belum termasuk kira-kira 5,000 orang doktor swasta di seluruh negara yang tampil menuntut pembebasan ahli parlimen Sungai Siput Jeyakumar Deveraj; Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) juga membuat kenyataan... semua ini berlaku buat kali pertama, kata Chon Kai.

"Candle light vigil hampir setiap malam, kenyataan bersama, petisyen dan sebagainya... Tekanan yang begitu besar ke atas kerajaan. Malah, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin juga melalui twitternya membantah penahanan Jeyakumar Deveraj!"

Mengapa tidak dibebaskan serta-merta selepas 709?

Jika itulah tekanannya, mengapa EO6 tidak dibebaskan serta-merta selepas 709?

Menurut analisa Choo Chon Kai, banyak faktor, terutamanya "arus yang menderas di bawah permukaan" menjurus kepada keadaan sebegitu. Beliau berkata, polis dan kerajaan BN menerima tamparan sengit pada 709, kerana dengan segala sekatan yang dilakukan, mereka gagal menghalang kemaraan rakyat. Justeru itu, seandainya mereka terus dibebaskan sehari selepas 709, maka ia satu tamparan lagi untuk polis.

Chon Kai meramalkan arahan penangkapan terhadap aktivis PSM itu datang dari pimpinan atasan. Dua bas, dengan satu dari Utara dan satu dari Selatan, ditahan dengan alasan yang sama, iaitu disyaki memiliki senjata. Padahal, mereka telah menerima satu sms, mendakwa PSM akan mencetuskan huru-hara, malah maklumat nombor plat bas mereka turut dinyatakan dalam sms tersebut.

"Kedua-dua bas kami ditahan dengan tuduhan yang amat berat, mustahil ia berlaku secara 'kebetulan'. Kemungkinan besar arahan untuk menahan kami datang dari pimpinan atasan," kata Chon Kai.

Beliau selanjutnya berkata, siasatan dimulakan dengan Seksyen 122 Kanun Keseksaan, iaitu melakukan kesalahan jenayah memerangi Yang di-Pertuan Agong. Mengikut logik, polis seharusnya menggeledah rumah dan pejabat tahanan, kerana ia tuduhan yang serius, katanya.

"Namun ia tidak berlaku dalam tujuh hari pertama selepas kami ditahan. Ini bermakna polis sendiri tidak percaya tuduhan sebegitu!" katanya sambil ketawa. Beliau mengulas kemudian, bahawa tuduhan yang berat itu dikenakan untuk menakut-nakutkan orang ramai, supaya tidak berani tampil menyokong tahanan.

Mengapa pula PSM dijadikan sasaran? "Kerana PSM sebuah parti yang kecil. Seandainya PAS disasarkan, mungkin ia mengundang kesan sebaliknya, kerana ramai yang akan bangkit menyatakan bantahan. Mungkin kerajaan menganggap dengan parti yang kecil sebegitu, ditambah pula tuduhan yang berat, mereka berjaya menghalang penyertaan rakyat, dengan ketakutan yang cuba disemaikan."


Chon Kai meneruskan, "Tapi kesemua ini tidak berlaku! Rakyat tetap menyertai candle light vigil, malah perhimpunan BERSIH 2.0 diadakan dengan kehadiran yang begitu memberangsangkan!"

Satu ujian terhadap anutan politiknya

Chon Kai menjangkakan dirinya bersama rakan seperjuangannya yang lain akan ditahan lebih lama. "Mereka menyemak rekod kami ke luar negeri. Asalkan kami pernah melawat selatan Thai, kami akan dikaitkan dengan Parti Komunis Malaya (PKM). Untuk regim ini, mereka sanggup mencari pelbagai alasan untuk menghalalkan penahanan ke atas kami. Masakan T-shirt pun boleh dijadikan senjata, apa lagi yang tidak boleh?"

Chon Kai menekankan, penangkapan mereka sebermulanya, dan pembebasan mereka di penghujungnya - kesemuanya adalah keputusan politik! Untuk dirinya, penahanan ini adalah satu ujian - sejauh manakah dirinya yakin dengan anutan politiknya. Chon Kai yang kini semakin yakin dengan perjuangannya berkata, "Melihat kepada kesedaran dan kebangkitan rakyat, penahanan ke atas diri saya selama 30 hari itu, berbaloilah!"

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia