22 Apr 2009

Modal UMNO Guna Isu Fairus Di Penanti Tertutup...

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri penanti yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Mohd Fairus Khairuddin mendakwa namanya telah dibersihkan daripada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahli politik dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mendakwa telah dimaklumkan oleh pegawai SPRM berhubung perkara itu petang Rabu.

"Saya dimaklumkan bahawa nama saya telah dibersihkan dan kes ini telah pun selesai. Saya bersyukur bahawa akhirnya kebenaran berpihak kepada saya," katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Mohamad Fairuz, 33, yang dikaitkan dengan siasatan rasuah membabitkan projek kuari di Pulau Pinang, meletakkan jawatan timbalan Ketua Menteri 1 pada 8 April lalu.

Beliau juga melepaskan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti pada 16 April lepas atas alasan ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat pasca ijazah.

Pada 10 April lalu SPRM telah menghantar kertas siasatan berhubung dakwaan rasuah melibatkan Mohammad Fairus ke Bahagian Pendakwaan hari ini.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Shukri Abdull berkata SPRM telah meneliti kertas siasatan berkenaan dan mendapati pada peringkat siasatan ia telah lengkap.

"Pada peringkat siasatan, ia telah lengkap tetapi jika pihak pendakwaan mahu kita menambah siasatan atau sebarang fakta bagi melengkapkan kertas siasatan berkenaan, SPRM akan melakukannya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Ditanya bila pendakwaan berhubung kes itu akan dilakukan, beliau berkata ia bergantung kepada Bahagian Pendakwaan untuk tindakan seterusnya.

Penganalisis politik berpendapat tindakan SPRM sebelum ini hanyalah untuk memberi tekanan dan memburukkan nama pemimpin Pakatan Rakyat supaya meletakkan mereka di dalam keadaan tertekan untuk meletakkan jawatan.

"Apabila Fairus meletakkan jawatan untuk membersihkan nama, parti dan negerinya untuk memberi laluan kepada sebuah pilihanraya kecil di Penanti, UMNO-BN akan menyatakan tindakan itu untuk meraih populariti dan dengan itu BN berkemungkinan tidak menyertai pilihanraya kecil berkenaan," kata seorang pensyarah Sain Politik.

"Malah dikatanya pilihanraya kecil adalah satu pembaziran, tak kurang pula pemimpin mereka yang separuh gila seperti Mukhriz Mahathir yang mencadangkan supaya mereka yang meletakkan jawatan itu didenda," tambahnya.


Gobind Saman Speaker Dewan Rakyat

Gobind Singh Deo, Ahli Parlimen Puchong, yang digantung selama setahun daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat, akan membawa kes itu ke mahkamah esok.

Saman tersebut akan difailkan terhadap Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, kata bapa Gobind, Karpal Singh.

Ia ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan minggu lalu yang membatalkan penggantungan Speaker DUN Perak, V Sivakumar ke atas Menteri Besar BN Perak, Datuk Zambry Abd Kadir dan enam exco kerajaan negeri.

"Kes Perak itu telah mewujudkan duluan (precedent) untuk membawa perkara (penggantungan) tersebut ke Mahkamah Persekutuan," kata Karpal, yang juga ahli Parlimen Bukit Gelugor.

Tindakan Gobind itu, bila difailkan esok, merupakan yang pertama dibuat terhadap keputusan speaker Dewan Rakyat.

Bulan lalu, Gobind telah digantung selama setahun, tanpa sebarang bayaran elaun dan faedah lain, ekoran kenyataannya dalam dewan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Usul itu telah dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Abdul Aziz yang telah membincangkan hal itu (berpakat) terlebih dahulu dengan Pandikar Amin Mulia.



Mahathir Kata Nazri dan Johari Tak Layak Jadi Menteri

Mantan Perdana Menteri meyifatkan perlantikan Nazri bdul Aziz sebagai menteri di dalam kabinet tidak sesuai dan Johari Baharom sebagai Timbalan Menteri tidak layak. Hal iini tidak dilaporkan di dalam berita dari BERNAMA.

Mahathir seterusnya berkata, jelas menunjukkan bahawa Najib tidak bergantung kepada beliau terutamanya mengenai pelantikan menteri dan timbalan menteri.

Mengenai isu lain, Dr. Mahathir berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhak membuat keputusan dan beliau tidak campur tangan dalam pentadbiran negara.

Kata Dr. Mahathir, beliau tidak dirujuk bagi sebarang isu dan kerajaan bebas untuk membuat apa-apa keputusan.

"Saya tidak dirujuk bagi setiap isu. Pada Hakikatnya saya sebenarnya tidak dirujuk.

"Hanya satu cara saya boleh cadangkan mengenai idea saya ialah dengan menjawab soalan daripada media dan menulis dalam blog.

"Jika anda bertanya kepada saya, saya terpaksa jawab dan mungkin jawapan saya tidak sama seperti apa yang difikirkan oleh Perdana Menteri. Tetapi ini tidak bermakna bahawa saya membantah kepada beliau.

"Beliau ada hak untuk membuat keputusan," katanya.

Dr. Mahathir berkata, beliau bebas untuk memberikan pandangannya tetapi mereka tidak merujuk kepadanya bagi sebarang isu.

"Mereka tidak merujuk kepada saya, jika mereka merujuk kepada saya, sudah tentu saya beritahunya kenapa saya membuat cadangan seperti itu.

"Mereka tidak rujuk kepada saya, tetapi saya ada hak untuk bercakap," kata beliau.

Beliau menafikan bahawa beliau akan mengetuai kempen Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Sebaliknya kata Dr. Mahathir, beliau hanya mengatakan bahawa BN hendaklah bertanding pada pilihan raya kecil negeri itu.



SMS Ugut ADUN UMNO Terengganu : Seorang Kerani Di Selangor Di tahan

Mengikut laporan BERNAMA Seorang kerani syarikat swasta sedang disiasat berhubung penghantaran SMS berbentuk ugutan kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu (ADUN seminggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP Fauzi Abduri berkata, lelaki berusia 31 tahun itu diberkas di sebuah rumah di Bandar Baru Bangi, Selangor, pada 9.30 pagi dua hari lepas.

Pada 13 April lepas, tiga ADUN Barisan Nasional terdiri Datuk Rosol Wahid (Ajil) Zakaria Abdullah (Paka) dan Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) membuat laporan polis selepas menerima SMS yang mengancam keselamatan mereka.

Penghantaran SMS itu, dipercayai merujuk kepada desas-desus mengenai pembentangan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Ahmad Said pada persidangan Dewan Undangan Negeri yang berlangsung minggu lepas.

Fauzi berkata, polis turut merampas komputer peribadi lelaki terbabit bagi membantu siasatan.

"Kita telah menubuhkan sebuah pasukan khas untuk menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan dan insya-Allah ia akan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat," katanya.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Shukri Dahlan pula berkata polis telah mengenal pasti bahawa SMS itu bukannya dihantar oleh pegawai kanan di pejabat Menteri Besar seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Ramai yang tertanya-tanya terhadap teka-teki bagaimana ADUN-ADUN Umno yang mendakwa mendapat SMS tersebut menuduh bahawa nombor penghantar itu kepunyaan pegawai di pejabat Menteri Besar Terengganu sedangkan yang ditahan hari ini ialah pemilik nombor itu kepunyaan seorang kerani di Selangor.



DUN MELAKA : Ketua Pembangkang Diperintah Keluar Dewan

Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Goh Leong San diperintah keluar dewan setelah beliau mengingkari arahan Speaker Datuk Othman Muhamad supaya memberi kerjasama agar persidangan dapat diteruskan.

Othman mengeluarkan perintah itu selepas Goh (DAP-Kesidang) enggan duduk setelah beberapa kali diarah duduk bagi membolehkan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengemukakan usul ucapan penghargaan dan terima kasih kepada bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi serta ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Insiden itu berlaku sebaik persidangan itu disambung semula kirakira pukul 11.45 pagi, selepas berhenti rehat 30 minit, apabila Goh berdiri membangkitkan soal berkaitan satu notis yang dikemukakannya petang semalam bagi membahaskan usul undi tidak percaya terhadap Speaker DUN yang telah ditolak.

Othman berkata mengikut Fasal 36 Peraturan Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka, keputusan yang dibuat oleh Speaker adalah muktamad.

Beliau berkata selama ini beliau tidak bertegas terhadap Ketua Pembangkang itu yang menghina Ketua Menteri, Speaker dan dewan.

"Hari ini saya menggunakan kuasa saya memerintahkan beliau (Goh) keluar dari dewan ini," katanya sambil menangguhkan persidangan dewan selama 10 minit bagi membolehkan Bentara dan pegawai keselamatan membawa keluar Goh dari dewan itu.

Goh kemudiannya keluar dewan kira-kira pukul 12.15 tengah hari.

Ketika ditemui pemberita di luar dewan, Goh berkata beliau kecewa dengan tindakan Othman dan akan menghadiri persidangan dewan esok.

Persidangan dewan itu berlangsung selama empat hari sejak Isnin lepas.

Semalam, persidangan dewan menjadi kecoh dengan "perang mulut" apabila Othman menolak usul tergempar yang dikemukakan Goh berkaitan undi tidak percaya terhadap Mohd Ali, berhubung dakwaan politik wang.

Othman menolak usul tergempar itu berdasarkan tiga syarat mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Melaka iaitu perkara tertentu, berkehendak disegerakan dan kepentingan orang ramai.

Keputusan yang diumumkan oleh Othman telah menimbulkan rasa tidak puas hati Goh dan empat lagi anggota DUN daripada DAP dengan mereka mendesak Othman membenarkan usul tergempar itu dikemukakan dan dibahaskan pada persidangan itu.



PASCA BATANG AI : BN SALAHGUNAKAN PESERTA PLKN

Barisan Nasional didakwa melanggar undang-undang pilihan raya dengan menyalahgunakan peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Program Komuniti Belia Remaja (Y2Y) semasa kempen pilihanraya kecil Batang Ai.

Badan pemantau pilihanraya Malaysian For Free and Fair Election (MAFREL) berkata ia mempunyai bukti-bukti bergambar rekrut-rekrut PLKB dan Y2Y berseragam dikerah dalam perarakan BN semasa hari penamaan calon.

Pengerusi MAFREL Syed Ibrahim Syed Noh dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini berkata satu laporan lengkap memperincikan penyalahgunaan sumber kerajaan oleh BN di dalam tiga pilihanraya kecil lalu akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Penyalahgunaan harta kerajaan termasuklah penggunan dewan orang ramai, kenderaan kerajaan dan majlis-majlis rasmi untuk tujuan berkempen.

"Menggunakan pelatih-pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) semasa hari penamaan calon di dalam pilihanraya kecil Batang Air amatlah mendukacitakan," katanya.

Selain itu MAFREL turut mendakwa BN menyalahgunakan wang rakyat untuk tujuan politik di dalam pilihanraya kecil Batang Ai. BN menjanji projek-projek bernilai lebih RM175 juta termasuk pembinaan kompleks rumah polis bernilai RM58.7 juta dan lain-lain.

"Projek-projek segera dan peruntukan oleh kerajaan untuk tujuan memberi kelebihan kepada calon-calon tertentu hendaklah dihentikan kerana ini jelas menunjukkan penyalahguaan kuasa oleh pentadbir negara," tambahnya.

MAFREL telah mengemukakan cadangan-cadangannya untuk menambah-baik perjalanan pilihanraya oleh SPR termasuklah mencadangkan supaya hari pilihanraya dilakukan pada hari cuti bekerja, bilangan kehadiran polis yang begitu ramai hendaklah dikurangkan dan polis dan kerajaan hendaklah menghormati hak rakyat untuk mengadakan perhimpunan aman seperti yang telah disebutkan oleh SUHAKAM.



UMNO Terengganu Goyah : 3 sayap Umno Besut nafi sokong Ahmad Said

Bernama melaporkan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Besut hari ini telah menafikan kenyataan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Rosli Mat Hassan bahawa ketiga-tiga sayap parti itu menyokong kepimpinan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar.

Mereka juga dukacita dengan tuduhan oleh Rosli dalam laman web berita Malaysiakini semalam bahawa Ketua Umno Bahagian Besut Datuk Seri Idris Jusoh sebagai perancang sehingga berlakunya kemelut politik di Terengganu sekarang.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Besut, Mahadi Musa berkata, kenyataan Rosli itu satu pembohongan dan sengaja dibuat bagi menjatuhkan imej Idris dan Umno bahagian berkenaan.

Beliau berkata ketiga-tiga sayap parti itu sentiasa berdiri teguh di belakang Idris dan tidak menyokong kepimpinan Badan Perhubungan Umno Negeri sekarang.

"Kita kesal dengan kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri mengenai perkara ini," katanya.

Pada 14 April lalu, 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Terengganu tidak menghadiri persidangan Dewan Negeri kerana mendakwa keselamatan diri mereka terancam.

Tindakan Adun itu berikutan khidmat pesanan ringkas (SMS) berbentuk ancaman yang diterima Adun Ajil Datuk Rosol Wahid, Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), dan Zakaria Abdullah (Paka) berhubung kemelut politik di negeri ini.

Pengiriman SMS itu dipercayai ekoran daripada kenyataan Menteri Besar untuk mengambil tindakan tegas termasuk memecat Adun BN jika mereka membentangkan usul tidak percaya terhadap beliau pada persidangan berkenaan.


Nizar Sifatkan Lelongan Camry Satu Pembaziran

Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menyifatkan tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) Perak untuk melelong 16 buah kereta Toyota Camry yang digunakan exco Pakatan Rakyat sebelum ini sebagai satu pembaziran wang rakyat.

Mnurut laporan MSTAR Nizar berkata, kerajaan negeri yang baru itu sepatutnya menggunakan terlebih dahulu kereta tersebut dalam tempoh lima hingga enam tahun sebelum menjualnya memandangkan ia baru sahaja dibeli Januari lalu.

"Kereta itu semua masih dalam tempoh jaminan tiga tahun. Mengapa mahu melelongnya sedangkan ia masih baru dipakai?

"Pada saya, elok mereka gunakan dahulu kerana tindakan membeli kereta lain bagi menggantikan Camry itu adalah sesuatu yang membazirkan duit rakyat," katanya ketika dihubungi mStar Online, hari ini.

Semalam, kerajaan negeri Perak dikatakan akan melelong 16 buah kereta Toyota Camry 2.4 yang sebelum ini digunakan sebagai kenderaan rasmi exco Pakatan ketika menerajui pentadbiran kerajaan negeri.

Menurut kenyataan tender terbuka yang dikeluarkan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang dihantar ke bahagian iklan sebuah akhbar berbahasa Melayu di Ipoh semalam, lelongan kereta itu akan berlangsung pada 4 hingga 18 Mei ini dan kereta-kereta tersebut boleh dibeli secara pukal atau seunit dengan harga rizab RM148,000 sebuah.

Mengulas lanjut, Mohammad Nizar berkata, kesemua kereta Camry tersebut dibeli oleh pihaknya bagi menggantikan Proton Perdana V6 yang telah empat tahun digunakan oleh kerajaan BN sebelum Pakatan menerajui kerajaan Perak pada Mac tahun lalu.

"Kita pakai tidak sampai setahun tapi kos penyelenggaraan untuk sebuah kereta V6 amat tinggi sehingga ada yang mencecah RM80,000, boleh beli sebuah kereta lain pula.

"Jadi kita ambil keputusan untuk menukar kenderaan rasmi kerajaan negeri kepada Camry kerana jika diikutkan harga, harganya hanya RM96,000 sebuah berbanding V6 yang berharga RM102,000.

"Selain itu, Toyota Camry lebih tahan lasak dan kos penyelenggaraannya juga lebih murah berbanding V6," katanya.

Nizar yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, pembelian Camry oleh Pakatan itu juga bukanlah satu kesalahan memandangkan kerajaan BN sebelum itu yang diterajui Datuk Seri Mohammad Tajol Rosli sememangnya telah mempunyai peruntukan untuk menukar kereta rasmi kerajaan negeri.

Katanya, beliau tidak tahu sama ada BN akan membeli kenderaan rasmi yang baru atau menggunakan Perdana V6 yang lama.

Nizar berkata, jika BN mahu terus mempersoalkan pembelian Toyota Camry itu yang dikatakan tidak mengikut dasar negara yang mahukan penggunaan kereta tempatan, beliau turut mahu mempertikaikan pembelian Mercedez sebagai kereta rasmi kerajaan negeri di Terengganu dan Volvo di Sabah.


Manohara dan Tengku Fakhry Berkenalan Di Majlis Makan Malam Najib Altantuya

Satu berita mengejutkan di dalam akhbar-akhbar Surabaya hari ini, kisah model terkenal Indonesia, Manohara Odelia Pinot, didakwa dilarikan oleh seorang kerabat diraja Kelantan, yang juga suaminya, dan juga pernah didera, termasuk dilukakan menggunakan pisau cukur di bahagian dada.

Malaysiakini melaporkan ibunya Daisy Fajarina mendakwa, beliau mempunyai bukti penderaan tersebut dan maklumat mengenainya disampaikan oleh orang istana sendiri yang bersimpati dengannya.

"Anak saya disiksa, di bagian dadanya disilet (ditoreh) silet. Itu yang ngomong dari pihak dalam istana yang punya hati nurani dan nggak (tidak) tega melihat penderitaan anak saya," wanita itu dipetik sebagai berkata.

Ibunya juga mendedahkan anaknya, 17, dibawa secara paksa dan tanpa diduga oleh kerabat tersebut selepas mereka sekeluarga selesai mengerjakan umrah bulan lalu dengan pesawat peribadi Challenger 300 dari Jeddah, Arab Saudi.

"Saya tidak menyangka setelah umrah, mereka sanggup melakukan hal yang sangat tidak manusiawi (berperikemanusiaan)," wanita 44 tahun itu dipetik sebagai berkata di Jakarta.

Sebelum kejadian itu, beliau benar-benar menyangka menantunya sudah berubah.

"Alhamdulillah, kami melakukan ibadah dengan baik, hubungan kami dengan Tengku pun baik," katanya lagi.

Daisy menambah, sewaktu mereka menuju ke lapangan terbang untuk pulang ke Indonesia, Manohara berangkat satu kereta dengan suaminya, sementara beliau sendiri bersama kakak Manohara Odelia dalam kenderaan lain.

Tambahnya, bagaimanapun kenderaan yang membawa kerabat tersebut dan model Indonesia itu tidak ke lapangan terbang biasa, sebaliknya ke bahagian berlepas jet peribadi.

Daisy mendakwa, beliau dan anak sulungnya Dewi Sari Asih cuba menghalang pesawat tersebut berlepas sehingga hampir terkena sayapnya tetapi tidak dipedulikan.

Sehingga kini nasib dan lokasi wanita muda itu masih tinggal misteri, lapor sebuah akhbar di republik tersebut Surya hari ini.

Mereka, termasuk kerabat tersebut, mengerjakan umrah bersama-sama antara 25 Februari hingga 9 Mac lalu sebagai undangan untuk berbaik-baik semula.

Manohara Odelia - yang pernah tersenarai "100 Pesona Indonesia" - lari dari negara ini ke republik itu selepas berasa sering dikasari oleh suaminya.

Model itu berkahwin tergesa-gesa dengan kerabat tersebut, yang berusia 31 tahun, pada 26 Ogos lalu setelah dicabuli lelaki tersebut awal 2007 sewaktu remaja itu berusia 15 tahun, dakwa Daisy lagi.

Manohara Odelia diberikan mas kahwin RM50,000, kalung berlian, anting-anting, gelang, cincin dan jam tangan.

Lebih kurang seminggu sebelum majlis pernikahan itu, Manohara Odelia dan keluarganya datang ke Kuala Lumpur atas undangan istana Kelantan.

Pertemuan mereka berdua bermula pada Disember 2006 sewaktu Daisy dan anaknya hadir di majlis makan malam Datuk Seri Najib Razak, waktu itu timbalan perdana menteri, lapor Surya lagi.

Tiada maklumat lengkap bentuk program itu dinyatakan, namun dipercayai satu program rasmi Najib ketika mengunjungi Indonesia pada bulan tersebut.

Ibu model itu dilaporkan berkata, dalam pertemuan awal itu kerabat tersebut kelihatan sopan dan pertemuan mereka seterusnya menunjukkan lelaki itu "baik orangnya, rajin bersolat, tidak pernah kasar dan lembut bicaranya."

"Saya sudah menganggap Tengku anak saya," Daisy dilaporkan berkata.

Selepas kejadian yang tidak diduga di Arab Saudi, menurutnya lagi, beliau terus membuat aduan kepada kedutaan Indonesia di Jeddah.

Untuk menjejak anak bongsunya daripada dua beradik itu, Daisy cuba masuk ke Malaysia tetapi dihalang oleh jabatan imigiresen atas alasan "permintaan istana Kelantan."

Beliau kemudiannya mendapatkan bantuan daripada Kementerian Luar Indonesia.

"Rasanya saya ingin mati mati saja, tapi saya tahu saya harus kuat untuk anak saya.

"Saya tidak sanggup membayangkan apa yang akan terjadi pada anak saya," Daisy dipetik berkata sambil berlinangan air mata dalam satu sidang media di sebuah restoran di Jakarta Selatan.

Manohara Odelia mewarisi darah kacukan Perancis daripada bapanya Reiner Pinot Noack.

Akhbar Tempo edisi internet petang ini melaporkan polis republik itu akan mula menyiasat kes penculikan tersebut sekiranya mendapat laporan keluarga Manohara Odelia.

Jurucakap ibu pejabat polis, Abubakar Nataprawira berkata sampai saat ini belum mendapatkan laporan daripada keluarganya.

"Katanya (keluarga) sudah lapor, tapi belum ada laporannya," beliau dipetik berkata, sambil menambah kes tersebut diketahuinya daripada wartawan.

Tambahnya, apabila sudah dilaporkan, siasatan lanjut akan dibuat.

Usaha mendapatkan reaksi istana Kelantan setakat ini gagal.

Sewaktu dihubungi, seorang kakitangan istana berkata pada kebiasaannya, kenyataan akhbar akan diberikan apabila Sultan mengeluarkan titah baginda.

Misteri kehilangan Manohara ini mempunyai jalan cerita yang lebih kurang sama dengan kes pembunuhan kejam Altantuya, menurut pemerhatian para blogger.










UMNO BN Ni Jangan Kata Kereta, Negeri Pun Depa Nak Lelong

Macam cerita purba dan bangsawan Melayu lagaknya, apakah tidaknya kerana marahkan kerajaan Pakatan Rakyat terdisi drp PAS< PKR dan DAP memerintah Perak. Maka MB Perak waktu itu belilah kenderaan rasmi negeri daripada Perdana V6 (kereta nasional) kepada Toyotan Cammry sebagai kenderaan rasmi mereka.

Tetiba datanglah Najib selaku ketua Perhubungan UMNO Negeri Perak lalu diusahakan untuk memancing dengan bukan kecil pancingnya. Maka terbelilah 3 ADUN Pakatan Rakyat. Secara asasnya tumbanglah kerajaan Perak yang sah.

Kerana bekas: Mungkin 7 keturunan mahu dicabutnya

Maka kini kerajaan Pakatan Rakyat sudah tercabut dan dicabut sebagai pemerintah sah Perak. Maka bertukar tanganlah ia. Oleh itu, memandangkan marah akan bekas yang digunakan kerajaan Pakatan maka habislah mahu dikeluarkan jika boleh dikeluarkan, maka mahu dilelong nya man a yang boleh dilelong, jangan jangan negeripun mahu dilelong kerana hinanya memakai hak namanya bekas-bekas.

Jika dulu tentulah dicungkil tanah bekas orang tidak disukai itu dan dibuang ke lauat. Tidakpuashati lagi. Maka akan dibunuhlah anak cucu orang yang tidak disukai itu selama 7 keturunan bayangkan... - perantaukite




Kerajaan Haram UMNO BN Perak Bubarkan JKKK Perbuatan Dendam

Banyak pihak yang berpendapat bahawa menamatkan perkhidmatan Ketua Kampung dan bubar JKKK yang dilantik oleh kerajaan Pakatan Rakyat adalah perbuatan membalas dendam UMNO BN terhadap rakyat itu sendiri.

Perbuatan itu juga mencerminkan bahawa kerajaan haram BN tidak menghormati pilihan rakyat. Ketua Kampung kerajaan PR adalah dipilih oleh rakyat melalui sistem pilihanraya. Yang turut mengundi mereka juga mungkin ahli-ahli UMNO. Mereka mendapat kepercayaan dari rakyat sama sebagaimana kerajaan PR mendapat kepercayaan iaitu melalui pilihanraya. Tempoh perkhidmatan mereka adalah selama dua tahun sebagaimana yang terkandung dalam tatacara pemilihan Ketua Kampung, selagi tempoh perkhidmatan mereka belum tamat, mereka tidak boleh diberhentikan begitu sahaja, melainkan mereka hilang kelayakan disebabkan faktor-faktor tertentu seperti disabitkan dengan kesalahan jenayah, kematian atau penyalahgunaan dadah.

Sebab itulah, kerajaan PR tidak menamatkan perkhidmatan Ketua-ketua Kampung yang dilantik oleh kerajaan BN, malahan mereka diberi tawaran terus berkhidmat sehingga tempoh perkhidmatan mereka tamat pada 31 Disember 2008. Sebaliknya mereka sendiri yang meletakkan jawatan dan tidak bersedia berkhidmat dengan kerajaan PR. Oleh kerana mereka berhenti dengan kerelaan sendiri, kerajaan PR menghormati perletakan jawatan tersebut dan membuat perlantikan baru Ketua Kampung dengan menyerahkan mandat kepada orang kampung memilih Ketua Kampung mereka melalui pilihanraya.

Tetapi UMNO BN telah tidak menghormati keputusan rakyat. Tindakan menggunakan Pegawai-pegawai Daerah mengeluarkan surat menamatkan perkhidmatan semua Ketua-ketua Kampung dan membubarkan JKKK juga perbuatan yang tidak bertanggungjawab seolah-olah Pegawai Daerah yang memecat mereka. Ketua-ketua Kampung setelah dipilih oleh rakyat, mereka mendapat surat watikah perlantikan oleh Kerajaan Negeri Perak untuk berkhidmat dengan Kerajaan Negeri Perak selama dua tahun.

UMNO BN mengkhianati mandat dan amanah ini dengan menamatkan perkhidmatan mereka. Pada hal, dalam tempoh enam bulan mereka berkhidmat, perkhidmatan mereka cukup baik, walaupun elaun mereka tidak sebanyak yang diterima sebelum ini dan tidak sebanyak elaun Pengerusi JKKP, tetapi mereka menunjukkan keikhlasan dan kesungguhan. Elaun kecil sekalipun mereka sanggup berkhidmat. Malahan ramai Ketua Kampung yang urusan elaunnya dilambat-lambatkan urusan pembayarannya oleh Penghulu Mukim, namun mereka tetap berkhidmat dengan baik. Mereka tidak merungut untuk menuntut elaun, begitu juga JKKK, setiap bulan mereka bermesyuarat, tetapi tidak ambil peduli sedikitpun elaun menghadiri mesyuarat. Saya selaku SETPOL MB tidak pernah mendapat panggilan telepon dari Ketua-ketua Kampung dan JKKK yang merungut atau menuntut elaun. Mereka telepon saya untuk membuat aduan tentang masalah rakyat dan memohon kemudahan-kemudahan untuk kebajikan rakyat.

Ketua Kampung PR dan JKKK sedikitpun tidak ada perasaan dendam pada Ketua Kampung yang lama, walaupun untuk mendapatkan kunci dewan cukup sukar daripada mereka. Malahan dewan orang ramai yang diselenggarakan oleh JKKK boleh digunakan oleh JKKP sekiranya mahu menggunakannya. Ada beberapa Ketua Kampung di Bagan Datoh yang mendapat projek menebas parit dari JPS sanggup menyerahkan sebahagiannya kepada Ketua Kampung JKKP demi menjaga perpaduan dan tidak sampai hati kepada Ketua Kampung tersebut yang hilang sumber pendapatan.

Ternyata UMNO BN dulu, kini dan selamanya tetap zalim. Siapa pun yang memimpin Perak sekiranya ia UMNO BN tetap sama kezalimannya. - Ust Misbahul Munir


Puteri UMNO Hadapi Krisis Moral

Sekali menjadi kolumnis sebuah akhbar pembangkang terkemuka, Harakah, maka seringkalilah kita akan didatangi oleh individu-individu yang amat membenci gelagat para pemimpin parti rasuah yang kaya dengan pelbagai cerita onar, lalu merawikan bahan berita sensasi yang dikira dapat membantu melanyak para pemimpin parti berkuasa rapat ke lantai.

Namun kita banyak belajar dari pengalaman, tidak terlalu ghairah mengutip bahan mentah dari pesisir politik kedai kopi. Bukan kerana tidak mempercayainya tetapi pengalaman di bawah pemerintahan BN, nampaknya bahan bukti boleh diadakan dan ditiadakan sekelip mata.

Hari ini pendedahan dibuat melalui akaun bersumpah, esoknya muncul pula akuan bersumpah penafian. Hari ini sidang media bersama pemimpin Pakatan Rakyat, esoknya bersidang media bersama Najib Tun Razak dengan dikelilingi berpuluh anggota polis pula.

Seminggu sebelum hari penamaan calon di Bukit Selambau, saya didatangi dua orang usahawanwanita yang mendakwa menjadi mangsa khianat seorang Ketua Puteri Umno di satu bahagian yang terletak di Utara Kedah. Saya didedahkan dengan laporan polis berjela-jela perihalkejahatan pemimpin Puteri tersebut oleh usahawan wanita tadi.

Mereka melakukan pelbagai perkara untuk menghalang usahawan wanita tersebut itu mendapatkan pinjaman Tekun, yang sedang diusahakan melalui seorang bekas Ketua Umno Bahagian yang memegang jawatan penting dalam Tekun. Puncanya, dua usahawan wanita tersebut bukan kroni mereka.

Mereka juga mengizinkan saya membaca SMS ugutan, maki hamun dan carutan yang didakwa dibuat oleh pemimpin Puteri tersebut. Teruknya akhlak mereka ... kembang tekak membaca SMS tersebut. Tetapi saya sekadar mengabaikannya kerana 'tiada selera' untuk menjamah isu-isu yang onar, kotor dan lucah.

Lagipun kerana beranggapan isu tersebut tidak terlalu besar untuk diangkat di 'medan pertempuran' Bukit Selambau. Isu yang berguni-guni dimiliki Pakatan Rakyat sudah cukup untuk memenangkan calon KeADILan jika ia berjaya disampaikan ke sasaran.

Sewaktu berlangsung pilihan raya kecil, saya dihubungi lagi oleh seseorang yang lain dengan cerita dan watak yang lain pula. Kali ini saya benar-benar tertarik kerana pelakon yang memegang 'watak jahat' itu adalah seorang pemimpin penting Puteri yang menang dalam pemilihan di Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.

Kemenangannya juga dipertikaikan kerana bukan rahsia dia hampir-hampir tersenarai bersama Ali Rustam. Ramai tertanya-tanya bagaimana dia melakukan 'silap mata' sehingga lembaga disiplin Umno boleh melepaskannya begitu mudah.

Bermesraan dengan suami orang

Kisahnya berlaku di kawasan Dun Bukit Selambau sehari selepas hari penamaan calon. Dia diserang oleh isteri seorang pegawai kerajaan yang geram melihat gelagat pemimpin Puteri itu sedang bermesraan dengan suaminya di Village Mall, Sungai Petani. Sebenarnya sudah sekian lama si isteri mengintip.

Habis tercengang para pengunjung Tesco yang terletak bersebelahan. Secepat kilat, berita tersebar ke seluruh negeri. Ia menjadi sebab jentera Puteri Umno Kedah lumpuh di Bukit Selambau.

Bukan pertama kali cerita seperti ini membabitkan pemimpin Puteri terbabit. Dulu heboh diperkatakan perihal hubungannya dengan seorang pemimpin Umno negeri sehingga beliau mendapat keistimewaan dalam kerajaan dan parti. Ia juga menjadi antara sebab tersungkurnya BN di Jelapang Padi.

Soalnya, apakah isu seperti ini akan menjatuhkan seseorang pemimpin dalam Umno atau BN? Harakah pernah beberapa kali membongkar kelakuan tidak bermoral seorang pemimpin Wanita Selangor.

Jika isu seperti ini berlaku di negara Barat, cukup untuk menjadi sebab pemimpin seperti itu jatuh terguling. Anehnya dalam Umno, dia terus melonjak naik. Dia memegang jawatan penting dalam Pergerakan Wanita dan dalam Perhimpunan Wanita Umno baru-baru ini mendapat undi yang sungguh lumayan.

Chua Soi Lek cuma seorang Naib Presiden parti semasa terbabit skandal seks, tetapi menjadi Timbalan Presiden selepas itu. Cara berfikir orang BN tidak sama dengan dunia di luar longkong tempurung mereka. Langsung berbeza.

Sebab itu jangan fikirkan sangat untuk jatuhkan tokoh tertentu dalam BN melalui 'isu skandal'. Karamkan dulu kapalnya, maka semua isi perutnya akan turut karam. - Zulkifli Yahya


Hantu Altantuya menunggu Najib di Penanti?

Walaupun baru tidak sampai 20 hari Dato' Seri Najib Razak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6, namun sudah banyak petanda awal yang menunjukkan era pemerintahannya belum dapat menggamit keyakinan rakyat. Retorik perubahan yang diuar-uarkannya nampak dangkal dan bersifat kosmetik, hanya sekadar mahu mengelabui pandangan orang ramai.

Mungkin Najib menjangkakan rakyat mudah tersilau dengan beberapa pengumuman yang dilafazkan di hari pertama menadi PM, seperti membebaskan 13 tahanan ISA, menarik balik penggantungan permit penerbitan Harakah dan Suara Keadilan, selain cebisan tindakan populis mendekati golongan bawahan, seperti ditunjukkan dalam lawatan mengejut ke Jalan Petaling ("China Town"), Kampung Kerinchi (majoriti Melayu) dan Jalan Tun Sambanthan, Brickfields ("Little India").

Sampai bila dapat bertahan tanpa permaidani merah?

Akhbar harian, seperti biasa, memuja-muji kunjungan Najib yang dibuat tanpa protokol itu: "Tanpa permaidani merah dan tanpa bunga manggar, Perdana Menteri, Najib Razak membuat lawatan mengejut di sekitar ibu negara bagi bertemu dan mengetahui masalah rakyat biasa. Beliau yang memakai baju khaki lengan pendek hijau cair dan seluar khaki coklat cair meluangkan masa kira-kira dua jam di kawasan perniagaan di Jalan Petaling, kawasan perumahan kos rendah dan sederhana Vista Angkasa di Bukit Kerinchi, Bangsar serta deretan kedai di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields."

Ternyata pancingan Najib tidak mengena walaupun "umpan dimakan ikan" apabila calon BN tewas dengan lebih teruk lagi di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, lima hari selepas beliau menggantikan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi - yang hanya sempat menerajui kerajaan selama lima tahun lima bulan - berbanding keputusan pilihan raya umum, Mac 2008. Rakyat sukar "disihirkan" lagi, tidak sepertimana pilihan raya umum ke-11 apabila mandat terbesar dalam sejarah diberikan kepada Abdullah yang baru enam bulan menerajui negara, juga dengan pelbagai janji dan jaminan retorik.

Meneruskan tradisi perdana menteri terdahulu, Najib turut mengemukakan slogan untuk memukau rakyat, "Satu Malaysia", pastinya sebagai percubaan untuk menarik kembali sokongan kepada Umno-BN, yang sejak Mac 2008 mengalami kemerosotan yang cukup ketara. Namun, bagi seorang profesor sains politik, segala "pembaharuan" yang cuba ditonjolkan Najib "serba tidak menjadi".

"Bagi saya konsep One Malaysia lebih teruk retoriknya, hatta berbanding dengan konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan Abdullah Badawi. Ya, cuba saudara sebutkan dengan saya, apa yang Najib hendak tekankan dalam konsep barunya itu?

"Apa yang barunya dalam nilai-nilai One Malaysia itu, seperti ketabahan, rendah diri, kesetiaan dan sebagainya? Hal-hal seperti itu, bagi saya, tidak perlu diceritakan lagi. Najib nampaknya terperangkap dalam satu benda yang dia sendiri tak boleh buat demi kepentingan rakyat. Ini semua kerana beliau mendapat salah nasihat," tegas pensyarah muda yang petah berkata-kata itu.

"Rakyat Malaysia mahu tindakan segera menyelesaikan pelbagai masalah harian yang menyesakkan hidup. Mereka sudah jelak dengan macam-macam slogan yang akhirnya tidak membawa makna apa-apa kepada kehidupan mereka," tambahnya lagi.

Retorik kosong

Beliau turut mengkritik Najib yang pada awalnya, seperti ditunjukkan di Petaling Street, tidak mahu disambut dengan perarakan bunga manggar atau permaidani merah, tetapi dalam kunjungannya selepas itu tetap diraikan sebagai pembesar.

"Semuanya retorik kosong sahaja, daripada seorang perdana menteri baru," ujar profesor sains politik itu lagi.

Kenyataan Najib yang hanya mendedahkan rasa takutnya kepada suara rakyat terbongkar apabila beliau tidak bersetuju pilihan raya kecil diadakan, ekoran perletakan jawatan Adun Penanti, Pulau Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin. Baginya, pilihan raya kecil tanpa didahului oleh kematian wakil rakyat hanya membuang masa, tenaga dan wang rakyat.

Ya, sejak bila pula Umno-BN prihatin dengan dana awam yang dibazirkan melalui pilihan raya kecil? Wow, sejuk hati mendengar pemimpin utamanya mula berbicara soal perbelanjaan berhemat sehingga sanggup tidak mahu turut serta dalam pilihan raya kecil demi menyelamatkan wang pembayar cukai. Bermimpikah kita? Saya teringin juga mendengar pandangan, sahabat lama saya, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo mengenai isu pembaziran duit rakyat ini.

Dari segi lain, konsep Satu Malaysia menekankan "Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan". Soalnya, mengapa Najib terlalu takut untuk berdepan dengan suara rakyat apabila keadaan memaksanya bertindak begitu? Kenapa perlu direka alasan yang tidak masuk akal, yang hanya menyebabkan orang ketawa atau geli hati mendengarnya?

Harus rujuk mandat baru rakyat

Bukankah menganjurkan pilihan raya kecil itu juga satu amalan lazim demokrasi, yang apabila sampai waktunya pemimpin dan parti politik harus turun mendapat mandat semula daripada rakyat?

"Apakah Najib takut berdepan soalan rakyat yang mahu bukti apakah benar rakyat yang didahulukan?" soal profesor yang ternyata menyimpan banyak persoalan yang belum terjawab. "Jika Abdullah Badawi salah besar kerana menaikkan harga petrol dahulu, mengapa Najib tidak boleh turunkan sehingga RM1.30 seliter? Mengapa perlu berbulan-bulan untuk mengkaji kadar tol dan pemansuhan ISA? Bukankah itu semua perkara mudah yang boleh diselesaikan dalam tempoh tidak sampai dua minggu?"

Namun, yang lebih menjolok mata, masakan Najib sudah lupa, pada 29 Mei 1997, dua pilihan raya kecil terpaksa diadakan serentak bagi meletakkan Dato' Seri Abu Hassan Omar, ketika itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Dengan itu Abu Hassan mengosongkan kerusi Parlimen Kuala Selangor untuk bertanding di kerusi Dun Permatang, yang juga dikosongkan Jamaluddin Adnan. Mengapa tidak timbul soal membuang masa dan tenaga, apatah lagi membazirkan dana awam?

Malah, jika diteliti laporan muka depan The Star, 18 April lalu, perbelanjaan SPR mengendalikan lima pilihan raya kecil, di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai, jauh lebih rendah berbanding dengan peruntukan pasukan polis (PDRM).

Pembaziran wang rakyat untuk polis

Menurut laporan akhbar berkenaa, semasa pilihan raya kecil Permatang Pauh, SPR membelanjakan RM409,000, manakala pihak polis, RM2.5 juta; di Kuala Terengganu, SPR (RM580,000), polis (RM11.5 juta); di Bukit Gantang, SPR (RM600,000), polis (RM7 juta); di Bukit Selambau, SPR (RM400,000), polis (RM5 juta); dan Batang Ai, SPR (RM400,000), polis (RM5 juta). Jumlah kesekuruhan, SPR membelanjakan RM2.4 juta, sementara pihak polis, RM31 juta.

Bagaimanapun, sidang Parlimen pada 18 Februari lalu dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato' Chor Chee Heung bahawa polis telah membelanjakan sebanyak RM15.53 juta di Kuala Terengganu, iaitu RM4 juta lebih tinggi daripada anggaran kos dalam jadual di atas.

Ramai pemimpin Pakatan Rakyat mengkritik kehadiran begitu ramai anggota polis, sehingga ada yang menganggarkan jumlahnya melebih 10,000 orang, seolah-olah Kuala Terengganu menjadi zon perang. Di mana saja anda akan bertemu polis dan khemah putih tempat penginapan mereka jelas menarik perhatian masyarakat setempat.

Belanja polis jauh lebih besar

Di Parlimen juga, Chor memaklumkan bahawa perbelanjaan pasukan polis untuk mengawasi pilihan raya kecil Permatang Pauh hanya kurang sedikit daripada Kuala Terengganu. Ini bermakna kos di Permatang Pauh juga sekitar RM15 juta, jauh lebih besar daripada anggaran seperti ditunjukkan dalam jadual.

(Kalau benar kita memerlukan pengawasan daripada pihak polis seramai itu, mungkin kos sebesar itu boleh diterima. Tetapi, semua orang tahu, rakyat kita bukan perusuh atau penjenayah, yang meletakkan undang-undang dalam tangan mereka. Kita tidak memerlukan kawalan ketat sebegitu rupa. Banyak pihak melihat kehadiran pasukan keselamatan itu adalah satu strategi BN (tidak pasti sama ada pendekatan itu akhirnya memakan diri BN sendiri) untuk mencapai kemenangan).

Perbelanjaan itu belum termasuk yang dihanguskan jentera kempen BN, yang bukan sahaja menggunakan peruntukan parti, malah membazirkan bukan sahaja wang rakyat tetapi juga kemudahan dan jentera kerajaan.

Bayangkan berapa ramai menteri yang turun berkempen menggunakan dana awam? Ada kementerian yang mengadakan hari bertemu pelanggan di kawasan pilihan raya, yang langsung tidak ada kena mengena, selain untuk turut berkempen memenangkan BN. RTM yang membuat liputan langsung, misalnya semasa Tun Dr Mahathir Mohamad turun ke Bukit Gantang, tentunya menghabiskan wang yang bukannya sedikit.

Saya pernah mendedahkan ratusan ribu ringgit wang universiti digunakan untuk perbelanjaan pemantau pilihan raya oleh urusetia Hal Ehwal Pelajar (HEP) bagi mengesan mahasiswa yang berkempen untuk pembangkang, antaranya di Machap, Melaka dan Ijok, Selangor.

Had perbelanjaan kempen tidak pernah dipatuhi

Walaupun undang-undang pilihan raya membataskan perbelanjaan kempen setakat RM200,000 untuk pilihan raya kawasan Parlimen dan RM100,000 untuk Adun, tetapi dipercayai jentera BN membelanjakan jauh lebih besar daripada itu. Lim Kit Siang menganggarkan untuk kempen di Batang Ai sahaja - kawasan yang dijangka BN menang mudah - parti itu membelanjakan kira-kira RM70 juta.

Saya tidak mahu anda terperanjat atau "terkejut beruk" jika kita menjumlahkan semua perbelanjaan BN untuk lima pilihan raya kecil itu. Wang rasuah politik itu sebenarnya datang daripada dana awam juga, yang diperolehi melalui salahguna kuasa dan amalan tumbuk rusuk.

Ringkas cerita, kalaupun Najib takut berdepan kempen di Penanti, iaitu salah satu Dun di bawah Permatang Pauh, kita cadangkan carilah daleh lain, alasan yang boleh diterima akal sedikit.

"Mungkin Najib takut dikejar hantu Altantuya kot? Yalah, Penanti adalah kubu Anwar, takkan Najib nak mengulangi sumpahnya lagi sepertimana yang dibuat semasa kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh dulu," soal pensyarah sains politik tadi.

Mendengar saya ketawa di hujung talian, beliau menegaskan, "Lutfi, isu Altantuya bukan soal remeh, Najib betul-betul risau ...." - Ahmad Lutfi Othman

Kerajaan UMNO BN Najib Hanya Mampu Bertahan Enam Bulan

Pada mula mengambil alih tampuk pemerintahan negara, Najib dengan semangat berkobar kobar cuba mencipta berbagai pembaharuan. Antaranya ONE MALAYSIA dan KPI untuk prestasi wakil rakyat BN. Tapi sehingga hari ini belum ada penerangan dan gambaran lengkap tentang 'satu malaysia'.

Kalau salah beri penerangan takut sama dengan malaysian malaysia. Silap silap sama dengan PKR parti berbilang kaum. Silap silap jadi sama macam PAS membela semua kaum kerana tuntutan Islam. Jadi 'satu malaysia adalah senjata pertama akan makan tuan. Senjata kedua adalah KPI. Tetapi senjata 'KPI' akan jadi hebat menikam tuan hanya setelah enam bulan.

Najib memberi jaminan untuk memantau sendiri prestasi wakil rakyat. Samada secara mingguan ataupun sekerap mungkin. Nilai prestasi pulak akan dikaji selama enam bulan. Pada tanggapan pertama memang seolah olah menampakkan kebaikan dan ada pembaharuan. Tetapi sebagaimana yang kita semua tahu, BN adalah BN. UMNO adalah UMNO. Untuk mengubah satu mentaliti yang telah disemai selama 50 tahun adalah sangat mustahil bagi UMNO. Naik kerana wang, berjuang kerana wang dan bekerja hanya kerana wang. Siapakah lagi yang menang kerana keikhlasan membela rakyat? Masih adakah seorang pemimpin UMNO sanggup menegur dengan ikhlas pemimpin mereka?

Belum pernah ada seorang pemimpin UMNO pun yang meletak jawatan wakil rakyat sepertimana Fairus TKM pulau pinang. Samada dia dipaksa meletak jawatan atau tidak itu perkara yang lain, tetapi tujuannya adalah untuk memelihara kepentingan rakyat. PKR mahu membuktikan bahawa kita mahu pemimpin yang terbaik untuk rakyat. Kalau wakil rakyat tersebut tidak menunjukkan prestasi yang baik, dengan berat hati sekalipun kita terpaksa menukar kepada yang lebih baik.

Cuba senaraikan adakah UMNO pernah mengambil langkah sedemikian? Atau adakah pemimpin besar UMNO rela menghukum pemimpin yang dari penyokong yang sama? Cuba sebutkan satu nama pemimpin UMNO yang pernah terpenjara kerana rasuah? Cuba senaraikan seorang pemimpin tertinggi UMNO yang tidak berharta. Cuba senaraikan seorang pemimpin UMNO yang seringkas seperti TG Nik Aziz.

Najib berjanji akan memantau sendiri setiap wakil rakyat. Persoalannya selepas enam bulan, jika sekiranya ada kepincangan yang dilakukan oleh wakil rakyat, siapa akan dipersalahkan? Pada masa itulah baru Najib akan sedar bahawa senjata akan makan tuan. Setiap keburukan yang dilakukan oleh wakil rakyat BN akan tertuding dibahu Najib kerana dia telah berjanji untuk memantau sendiri secara peribadi.

Juga tidak mustahil dalam masa enam bulan lagi Najib akan dihujani oleh berbagai serangan dari Mahathir. Ini kerana sehari dua ini Najib telah mula nampak kesilapan terlalu mengikut telunjuk Mahathir. Bagi Mahathir pula, tiada yang pemerintahan yang betul kalau tidak ikut nasihat dia. Maka Najib akan menerima nasib yang sama seperti PakLah. - ramziredang

Rampasan Kerajaan Nizar : Penindasan Tak Ketara Yang Disengajakan

Kini rakyat Malaysia, terutama yang bergelar Melayu, tidak lagi selamat bernaung di bawah raja mereka. Kini berkeliaran ahli politik yang dekat dengan istana atau mesra dengan raja-raja Melayu menghasut supaya sultan berkata (baca: bertitah) mengutuk orang Melayu yang menderhaka dan cuba membongkar istana untuk dibuang ke laut. Dulu rumah rakyat hina dina yang dibongkar ke laut, kini kata ahli politik istana raja pula hendak dibongkar dibuang ke laut. Ini satu perkara yang sangat pelik dan sukar dipercayai.

Dalam sejarah orang Melayu, “penderhaka” ulung ialah Hang Jebat, itu pun bukan untuk membunuh raja atau membakar istana. Hang Jebat “menderhaka” kerana menurut perhitungannya raja Melaka sangat dan amat zalim membunuh Hang Tuah yang banyak berjasa itu. Ketika itu Hang Jebat tidak terfikir bahawa yang menentukan seseorang itu berjasa dan boleh dibunuh bukan dia, tetapi raja Melaka. Raja Melaka juga yang menentukan siapa pula yang berdosa dan wajib dibunuh, bukan undang-undang.

Walaupun ketika itu, kata ahli sejarah, telah ada Undang-undang Melaka berasaskan Islam, tetapi raja Melaka tidak terikat kepada sebarang undang-undang kerana dialah yang menjadi sumber undang-undang. Sekarang ahli-ahli politik yang baik-baik dan rapat dengan istana cuba membawa kembali apa yang terjadi di Melaka itu ke dalam politik moden untuk tujuan tertentu. Apakah tujuan tertentu itu?

Bila ahli-ahli politik yang baik-baik itu sedar mereka tidak mendapat sokongan rakyat kerana perangai jahat mereka, menghasut di sana sini memburukkan musuh politik mereka, maka orang kaya baik-baik ini menggunakan istana untuk mencapai niat jahat mereka. Antara niat jahat itu ialah merampas kuasa kerajaan setelah ditolak oleh rakyat dalam pilihan raya. Perbuatan jahat mereka tidak boleh ditentang kerana menurut mereka, kuasa hasil rampasan kuasa itu telah diperkenankan oleh sultan. Setelah itu timbullah murka raja terhadap rakyat yang menderhaka tidak menerima perampas kuasa sebagai kerajaan yang sah.

Ini banyak susah kerana itu rakyat jadi banyak keliru siapa benar siapa penipu antara ahli politik yang mendakwa merekalah yang terbaik untuk disokong rakyat kerana sudah direstu oleh raja sendiri. Macam zaman Melaka dulu juga, macam-macam aduan diterima oleh raja Melaka, semuanya untuk menjahanamkan musuh “politik” mereka. Pada waktu itu raja-raja Melaka tidak bijaksana kerana tidak dikirim belajar di England walaupun ketika itu sudah terdiri universiti terkenal di England dan di tempat-tempat lain di Eropah.

Maulana dan ulama Istana

Di Mesir sudah lama terdiri Universiti al-Azhar, tapi ketika itu tidak seorang pun raja Melaka berminat hendak belajar di Universiti al-Azhar, sama seperti sekarang juga. Oleh itu raja-raja Melaka tidak diberitahu oleh para maulana dan ulama di istana akan kemuliaan Nabi Muhammad SAW yang mendoakan kebaikan kepada umat baginda yang melontar baginda dengan batu hingga berdarah kaki baginda. Baginda tetap mendoakan kebaikan untuk orang-orang jahat yang jahil itu.

Andainya raja-raja Melaka tahu cerita ini, misalnya dengan belajar di Universiti Al-Azhar, maka tentulah raja-raja Melaka tidak zalim dan jahat perangainya membunuh para pegawai istana hanya kerana mendengar hasutan semata-mata. Rupanya hasut-menghasut ini sudah menjadi budaya Melayu yang sangat dihormati sampai boleh mempengaruhi raja-raja Melayu yang cerdik di antara mereka. Maka tidaklah pelik lagi sekiranya kedengaran dengan lantang amaran murka dari istana terhadap para penderhaka yang disebut dengan nama “golongan tertentu yang rakus kuasa” itu.

Orang-orang UMNO sangat senang hati kerana mereka tidak termasuk dalam golongan penderhaka yang rakus kuasa itu, malah mereka sangat bangga kerana dituduh oleh musuh-musuh mereka bahawa mereka adalah dari kumpulan penghasut seperti yang terdapat zaman Melaka dahulu. Akibat hasutan golongan penghasut ini dan diterima pula oleh pihak yang mendengar hasutan itu, maka orang Melayu sekarang menjadi dua golongan: satu golongan yang baik-baik dan berjasa yang jadi penghasut; satu golongan lagi yang jadi penderhaka dan diterima rakyat sebagai ketua yang boleh dipercayai.

Mereka inilah yang menjadi api di dalam sekam yang berbahaya itu, yang nampaknya tak boleh dipadamkan lagi kerana terlalu banyak sekam, bertimbun-timbun tidak dibakar sejak diadakan undang-undang tidak boleh membakar sekam di tempat-tempat lapang. Kata para penanam padi, pesawah dan petani, tidak adil sangatlah jika mereka dituduh sebagai api di dalam sekam, pada hal merekalah yang memberi makan rakyat Malaysia dan yang membawa kemakmuran serta keamanan sudah beratus-ratus tahun.

Oleh itu, kata mereka, raja-raja hendaklah sabar seperti Nabi Salallahu Alaihi Wasallam yang tidak pernah marahkan ummatnya walaupun menyeleweng; sesuai dengan kedudukan raja-raja itu sebagai penjaga kesucian agama Islam dan pengikut Nabi Sallahu Alaihi Wasallam. Syukurlah sekarang sudah ramai rakyat yang sudah cerdik melebihi ketua-ketua mereka atau pelindung mereka, setelah ditarbiahkan oleh ulama yang menjadi pewaris para nabi, bukan ulama pengemis murahan di istana seperti zaman Melaka dulu. [21/4/2009]. - Mohd Affandi Hassan


Rais Menteri Propaganda dan Blog?

Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan diseru menumpukan sumber kerajaan menambahbaik prasarana jalur lebar dan bukannya membazirkan wang rakyat memantau blogger atau menyebar propaganda Umno-BN.

Demikian ditegaskan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang dipetik sebagai berkata, industri broadband di dalam negara ini perlu digerakkan dengan kadar yang lebih pantas. Matlamat ialah untuk mencapai penembusan 50% broadband pada tahun hadapan. Buat masa ini kadar penembusan hanyalah 22% sahaja, 26% paling tinggi dan malangnya kita masih tidak memberikan perhatian serta bersikap tidak ambil peduli tentang keupayaan broadband ini sebaliknya lebih berminat terhadap hal yang lain seperti kekangan maklumat sebagaimana di zaman pemerintahan Mahathir.

Dr Rais dilaporkan sebagai berkata kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap media swasta dan blogger yang menyebar propaganda anti-kerajaan. Kawalan dan kekangan seperti ini mengimbau kembali cengkaman eksekutif ke atas media massa di era pentadbiran Dr Mahathir Mohammad.

"Rais perlu diperingatkan yang kita sekarang ini di dalam zaman internet dan dia tidak sepatutnya cuba menghidupkan semula kawalan media seperti diamalkan dulu yang amat bertentangan dengan pengwujudan media yang lebih bertenaga, bebas dan bermaklumat seperti yang dihasratkan oleh perdana menteri Najib Razak disamping Rais akan menamatkan kerjaya kabinetnya dengan lebih tercemar jika beliau tidak memperdulikan kekotoran yang beliau lakukan sehingga menjadikan dirinya sebagai seorang Menteri Propaganda dan Blog daripada seorang Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan."

Ahli Parlimen Ipoh Timur itu berkata Malaysia jauh ketinggalan dari segi tujahan internet berbanding dengan negara-negara Asia yang lain.