29 Okt 2009

Era Najib Altantuya : MB Selangor Usul ADUN P. Klang Letak Jawatan

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membuat usul kepada Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat menyarankan supaya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah meletakkan jawatan.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata usul berkenaan dibuat atas keprihatinan kerajaan negeri terhadap aduan penduduk Pelabuhan Kelang mengenai prestasi Badrul Hisham.

Walaupun diberikan surat tunjuk sebab sebelum ini, Badrul gagal memperbaiki prestasi kerja beliau selain enggan membuka semula Pusat Khidmat beliau untuk penduduk setempat.

Badrul juga enggan berjumpa dengan pimpinan kerajaan negeri ataupun parti dan tidak melayan panggilan telefon atau SMS yang dihantar kepada beliau mengenai isu berkenaan, kata Nik Nazmi.

“Datuk Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengambil keputusan untuk menyatakan kepada Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat agar YB Badrul diminta letak jawatan kerana gagal menunjukkan prestasi yang baik selaku wakil rakyat Pelabuhan Klang,” katanya.

Nazmi berkata kerajaan negeri telah menerima banyak aduan mengenai mutu kerja Badrul sebelum ini.

“Kerana banyak aduan, kita telah memberi surat tunjuk sebab, apabila dia (Badrul) membalas surat tunjuk sebab, dia menyatakan kesedian untuk berjumpa. Tetapi sampai hari ini kita cuba berjumpa dengan dia tetapi tidak berjaya, tidak dapat menghubungi beliau malah penduduk pun sukar untuk berjumpa dengannya,” kata Nik Nadzmi.

“Jadi sebab itu kita ambil keputusan untuk minta dia letak jawatan,” katanya.

Nik Nazmi berkata usul berkenaan tidak dibawa ke Speaker Dewan kerana Menteri Besar tidak mahu memecat Badrul sebaliknya hanya mahu beliau meletakkan jawatan secara sukarela.

Menurutnya kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur dengan wakil rakyat yang tidak bertanggungjawab kerana ia hanya mengekang usaha kerajaan negeri dalam memajukan Selangor. -TVS



Era Najib Altantuya : Masih Lembabkah PAS Setelah Bermesyuarat

Rakyat Malaysia khususnya ahli-ahli PAS mengharapkan satu keputusan tegas diambil dari mesyuarat khas yang diadakan malam tadi, dan apakah ianya tercapai?

OBJEKTIF yang sepatutnya dicapai: Ia bagi memulihkan keyakinan masyarakat terutama BUKAN-MELAYU terhadap PAS selain dari menyelesaikan apa yang disifatkan pimpinan sendiri, konflik dalaman parti.

Berdasarkan laporan yang diterima mesyuarat khas hanya memutuskan beberapa perkara yang dilihat lesu dan tidak berupaya mencapai sasaran objektif.

Diantaranya satu seminar politik bulan depan bagi membincangkan isu-isu yang dibangkitkan oleh Mursyidul Amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Seminar yang dirancang itu, dengan melibatkan perwakilan setiap peringkat kepemimpinan parti, bagi menggantikan idea muktamar khas - yang asalnya disarankan oleh menteri besar itu di blognya, Khamis lalu - yang diputuskan tidak perlu diadakan.

"Satu seminar politik akan diadakan pada 7 November ini yang dihadiri perwakilan daripada seluruh negara bagi membincangkan isu yang berkaitan dan isu-isu lain bagi memperkasakan PAS.

"EGM (muktamar khas) tidak ada. Kita bersetuju EGM tidak ada," kata Abdul Hadi lagi.

Selain itu, Mesyuarat khas barisan pemimpin atasan PAS yang berlarutan lebih empat jam sehingga selepas tengah malam semalam juga memutuskan untuk membawa PAS Selangor ke jawatankuasa disiplin parti itu.

"Isu Selangor kita serah pada jawatankuasa disiplin yang dipengerusinya oleh (naib presiden) Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk menyiasat sejauh mana kebenarannya tuduhan-tuduhan yang dilemparkan itu," kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dua keputusan itu diambil dan diumumkan dalam sidang media ringkas di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur selepas mesyuarat berakhir kira-kira jam 1 pagi tadi.

Dan menurut Presiden, PAS akan beriltizam untuk mengeratkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat dan menutup pintu kepada rundingan dengan Umno.

Sekadar itu.

Persoalan kini, mengapa masih tiada ketegasan untuk melenyapkan isu UG yang menjadi barah di dalam parti. Mengapa masih ada ruang untuk membiarkan para pemimpin parti untuk bercakap lain, buat lain di dalam parti? Mengapa tidak fokus kepada malamat yang dicapai dan PAS sering mengulangi "kelembapan" di dalam "decision-making"?

Satu seminar akan diadakan bagi membincangkan soal-soal yang ditimbulkan oleh Musyidul Am PAS. Mengapa tindakan selembab itu yang diambil? Ia hanya merujuk kepada persoalan sekerat dua pemimpin yang bermasalah dan rata-rata ahli PAS memahami maksud Mursyidul Am PAS berkenaan.

Apakah seminar sekadar ingin menjadi perisai akhir kepada pemimpin yang dikatakan bermasalah itu untuk melepaskan diri dari disingkirkan?

Mengapa proses "membetulkan PAS" perlu berkluk-klek dan tidak tegas? Mengapa tidak diputuskan pada malam tadi supaya pemimpin masalah itu ditribunalkan atau setidak-tidaknya meminta pemimpin-pemimpin bermasalah itu bertanggungjawab untuk memohon maaf kepada Mursyidul Am dan sekalian ahli PAS di atas apa yang dilihat sebagai bertindak lembab, tidak pro-aktif dan meminta mereka berikrar untuk menjalankan amanah dengan lebih meyakinkan, telus, cekap dan efektif?

Persoalan yang mudah dipersulitkan dengan mengadakan seminar menggantikan EGM, satu langkah yang mungkin boleh mentenangkan keadaan dalam jangkamasa pendek tetapi tidak mungkin boleh mencapai objektif yang diharapkan di dalam saat di mana PAS menjadi parti yang telah tercemar ekoran tindak-tanduk "pemimpin bermasalah".

Kemudian, isu Pesuruhjaya PAS Selangor baru hendak dirujukkan ke jawatankuasa disiplin. Berapa lama ianya akan diselesaikan? Tidak dinyatakan "time-frame". Justeru ia memberi ruang kewujudan satu lagi jenis kelembapan yang tidak perlu.

Persoalan UG dikatakan tertutup rapi, tetapi adegan-adegan yang mencurigakan dan meluatkan rakyat masih dilakukan oleh "pemimpin bermasalah" seperti pertemuan dengan blogger-blogger UMNO baru-baru ini.

Pemimpin-pemimpin yang dikaitkan dengan UG masih melakukan kerja-kerja yang menimbulkan prasangka ahli, malah perlantikan Mustafa Ali sendiri yang dilihat sebagai "grand-designer" UG itu dilantik sebagai Setiausaha Agong parti oleh Presiden? Apakah ini langkah untuk memperbodoh dan mengepikan pendirian ahli yang telah memilih 80% AJK tertinggi dari kalangan yang menentang gagasan UG sebelum ini?

Persoalan "Kelab Penyokong PAS" yang lembab ditangani, lansung tidak disentuh malam tadi. Tidak ada apa keputusan mengenainya dibuat. Sekalipun peserta muktamar ke 55 dijanjikan bahawa Kelab tersebut bakal dinstitusikan. Persoalannya bila? Apakah PAS kalah lagi nanti di dalam pilihanraya baru ianya terkocoh kacah akan diambil tindakan?

Betapa lembabnya pemimpin PAS di dalam pengurusan parti sekalipun segala kemudahan, keselesaan dan kepakaran telah dikurniakan Allah s.w.t. dengan melipah ruah. Pengajaran dari Surah Ar-Rahman - Nikmat yang mana lagi hendak kamu nafikan?

Ada banyak hal yang perlu dan boleh PAS lakukan tetapi apa yang berlaku setakat ini hanya sekelumit dari apa yang perlu mereka lakukan.

Diantaranya:

1) Pemerkasaan unit penerangan parti dengan memperkukuhkan unit sebaran am seperti harakahdaily yang telah merudum. Tukarkan segera Pengerusi yang lemah, lembab dan tidak profesyenal. Umpamakan harakahdaily sebuah organisasi milik syarikat terbitan awam dimana kekukohan organisasi bergantung kepada kredibiliti, ketrampilan, kerja keras dan kredibiliti CEOnya. Lantik Pengerusi sepenuh masa, bukan lagi pemimpin parti yang mempunyai motif tersirat bagi menjalan misi dan visi individualistiknya lebih-lebih lagi untuk mengambil kesempatan untuk meletakkan anak-beranaknya di organisasi tersebut.

2) Sehubungannya juga, TVPAS perlu diuruskan dengan lebih profesyenal suapaya ianya mampu bertindak menyebarkan berita terkini dengan pantas, efisyien dan efektif. Efisyen dalam ertikata cekap da pantas di dalam menyampaikan berita dan mengulas isu semasa dengan kaedah yang betul dan meyakinkan. Efektif di dalam ertikata memberi sudutpandang yang pelbagai dan kritikal untuk menegakkan kebenaran. Unit radio PAS juga perlu diwujudkan bagi membolehkan rakyat mempunyai saluran hiburan dan sumber maklumat alternatif dari arus perdana dan agar suara PAS sentiasa dekat di hati pada bila-bila masa dan di mana-mana jua.

3) Kelab Penyokong PAS perlu diinstitusikan sekadar segera. Ini tidak. Setelah berbulan-bulan muktamar tamat, sehingga hari ini yang ada hanya janji. Janji kosong yang belum pasti. Dijanjikan akan dijadikan sayap utama parti sedangkan yang diperlukan ialah pengiktirafan kehadiran mereka sebagai penyokong parti. Apa ertinya menjanjikan mereka mahligai sedangkan keperluan yang mendesak ialah sebuah pondok untuk berteduh tatkala hujan lebat? Aneh pemikiran pemimpin tertinggi PAS kita.

4) IT dilihat sebagai media baru yang tidak boleh dinafikan kepentingannnya sekarang ini. Tatkala parti-parti lain sedang sibuk untuk mendaftarkan dan mengemaskinikan butiran ahli-ahli secara online, PAS masih terbelakang. Sewaktu saya melawat pejabat PAS untuk menyemak butiran keahlian saya satu ketika, yang dilakuka ialah kaedah secara manual, itupun tidak dikemaskinikan malah rekod itu tidak ditemui lansung. Apa ke halnya pengurusan sedemikian dan itu anda berharap untuk mentadbirkan negara?

5) Blogger-blogger UMNO ditemui, mengapa tidak blogger penyokong PAS atau Pakatan Rakyat? Sudah gila tahap gabankah untuk bersama UMNO pemimpin sedemikian?

6) PAS masih mengekalkan budaya "lenggang mak limah" di dalam banyak hal. Maka tidak hairan mengapa Prof Abdul Aziz Bari menyatakan bahawa kepimpinan Abd Hadi "dilihat" (saya tekankan disini dilihat - iaitu "satu persepsi" umum) selembab kepimpinan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Kita mengata orang, rupa-rupanya di dalam parti kita saling tak tumpah dengan orang yang menjadi sasaran kritikan kita selama ini.


Saya tidak perlu mencadangkan PAS perlu menganjurkan siri kursus dan kuliah teknik pengurusan kontemporari atau etika profesyenal untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti pemimpin dan ahli sekalipun ia dilihat sebagai amat kritikal, kerana saya mendapati barisan pimpinan tidak pernah memberikan respons yang baik di dalam apa-apa cadangan yang dikemukakan, sedangkan kritikan membina ahli akademik yang sayang PAS juga dihadiahkan kecaman dan hentaman seperti yang dilakukan oleh Ketua Penerangan PAS terhadap tulisan Prof Abdul Aziz Bari.

PAS masih tersangkut dengan program ceramah-ceramah superficial dan kursus sah atau tidak wudhu kerana setitis darah nyamuk atau tahi cicak. Paling tinggi Lajnah Organisasi masih tersangkut dengan kursus sistem pemfailan untuk kabinet keluli, kalau kursus komputer pun masih ditahap tatacara memegang tetikus dan membuka game minesweeper. Tak habis-habis.

Ini era digital. Ini bukan era Khir Johari atau Datuk Senu jadi menteri, bukan era Mustafa jadi Timbalan Menteri Sains Teknologi Dan Alam Sekitar. Telah berlalu zaman kelembapan, zaman untuk merebut gelaran, glamour dan ghanimah, zaman untuk menipu dan memperdaya sekalian ahli dan ummah.

Hubaya-hubaya, pilihanraya umum ke 13 bakal menjelma dan PAS di tubir gaung kekalahan jika staus quo PAS masih di tahap yang ada kini. GB ingin mengigatkan pesanan Mursyidul Am PAS yang pertama, Allahyarham Tn Hj Yusof Hj Rawa, katanya: Jika takut dan tidak berupaya dialun gelombang, usah berrumah ditepi pantai. Jika tak beruapaya menjadi pemimpin serba-berkemampuan di zaman bergerak pantas ini, undur terlebih baik dari berkokok kerluk-klek untuk mempertahankan kelembapan yang mencelakakan jemaah dan ummah. Sebagai pemimpin, anda sedang diperhatikan oleh Allah sendiri serta makhlukNya, di langit dan di bumi.

Wahai pimpinan, takutlah kamu akan Allah kerana sabda Rasulullah s.a.w.

"Tidaklah seseorang pemimpin yang dituntut Allah supaya memimpin yang kemudian ia mati kerana tiba ajalnya padahal ia telah melakukan kecurangan dan pengkhianatan dalam pimpinannya, melainkan Allah mengharamkan syurga untuknya."

-Greenboc