11 Okt 2013

[VIDEO] Kerajaan Perlu Dedah Kandungan TPPA Untuk Rakyat Menilai

PAS mengesa agar kerajaan mendedahkan isi kandungan perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) agar ia dapat diteliti oleh rakyat.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub ketika berucap pada himpunan bantah TPPA di hadapan Masjid Al-Syakirin, KLCC hari ini mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil serius dengan desakan rakyat agar menolak TPPA.

"Kita berada di sini sebagai mewakili rakyat Malaysia untuk menentang perjanjian TPPA dan seterusnya menentang pelaksanaannya di negara ini.

"Kita gesa agar kerajaan di bawah kepimpinan Najib membuat pendedahan kesemua perjanjian dan ini penting untuk rakyat teliti serta mengetahui apa kandungan mahupun muslihat disebaliknya," ucap beliau.

Beliau turut melahirkan kekesalan apabila pimpinan Umno terus berdiam diri dalam soal TPPA walaupun ia secara langsung dilihat mengugat ekonomi negara.

"Saya tidak tahu sama ada pemimpin Umno ini sedar atau tidak, mahupun takut untuk bersuara sehinggakan tidak ada sepatah pun keluar dari mulut mereka bercakap tentang TPPA.

"Umno bercakap soal maruah negara, ekonomi tetapi dalam soal ini mereka membisu tanpa sebarang desakan walaupun untuk mengetahui isi kandungan perjanjian," jelas beliau

Tambah beliau lagi, pimpinan Umno perlu mengambil ruang sempena dengan perhimpunan agung mereka nanti untuk mengesa presiden mereka membatalkan hasrat untuk mengikut serta dalam pelaksanaan TPPA.

Salahuddin turut meminta kerajaan menyediakan satu kertas putih mengenai perjanjian serta dibahaskan segala apa kandungan di dalamnya.

"Kita nak lihat kertas putih mengenai perjanjian TPPA, kita nak tengok segala kelemahan yang terkandung dalam perjanjian tersebut.

"Ini hak yang perlu rakyat ketahui, apa jua kelemahan mahupun muslihat sulit dalam perjanjian tersebut kita ingin teliti serta bahaskan," sambung beliau.

Salahuddin juga memberitahu isu TPPA bukannya isu satu pihak sahaja tetapi melibatkan keseluruhan rakyat Malaysia, dan perkara ini perlu ditentang habis-habisan agar kedaulatan serta ekonomi negara terjamin.

Sementara itu, Pakar Ekonomi PAS Dr Rosli Yaakob meminta agar Najib meninggalkan segera meja rundingan TPPA dan menyatakan pendirian tegas Malaysia terhadap Amerika Syarikat untuk menolak terus pelaksanaan tersebut.

Himpunan yang dianjur oleh Badan Bertindak Bantah TPP (Bantah) hari ini bermula di hadapan Masjid Al-Syakirin selepas solat Jumaat sebelum berarak dan berhimpun di hadapan KLCC.

Himpunan aman itu telah disertai hampir 700 orang dari pelbagai latar belakang termasuk wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan juga parti-parti politik. -HD


Ahmad Shabery Perlu Akui Kesilapannya


Penjelasan Tan Sri Ambrin Buang, Ketua Audit Negara berhubung kontroversi dakwaan Laporan Audit Negara 2012 bahawa konsert K Pop pada tahun lepas bernilai RM 1.6 juta ditanggung oleh kerajaan meyakinkan semua pihak.

Menurut Ahli Jawatakuasa PAS Kawasan Besut Dr. Ustaz Riduan Mohd Nor, beliau meneguhkan pendedahan awal Laporan Audit Negara 2012 bahawa sememangnya konsert K-Pop tersebut menggunakan dana kerajaan.

“Sebelum ini Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, bekas Menteri Belia dan Sukan menafikan dakwaan tersebut dengan mendakwa peruntukan konsert K-Pop ditanggung menggunakan duit penaja.

“apa pun penafian Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, kenyataan Ketua Audit Negara lebih diyakini dan dipercayai. Laporan Audit Negara adalah laporan yang telus dan berintegriti.

“Jika Laporan Audit Negara juga dipertikaikan, apakah nilainya laporan tersebut dan laporan mana pula yang boleh dipercayai?,”soal Ustaz Riduan

Tambahan pula, kata beliau, Tan Sri Ambrin Buang adalah pegawai kerajaan yang profesional dan melaksanakan amanah dengan sebaiknya. Beliau tidak terikat oleh jawatan politik, pengaruh atau kedudukan kerana beliau dilantik oleh kerajaan atas kelayakannya, bukan kerana kedudukan politiknya.

Lantaran itu, beliau yang juga Ketua Peerangan Pemuda PAS Malaysia menyifatka Ta Sri Ambrin berani mendedahkan kepincangan demi kepincangan tanpa gentar diugut atau diambil tindakan oleh mana-mana pemimpin negara.

“Inilah sifat terpuji yang perlu ada pada seorang pegawai tinggi kerajaan yang bekerja dengan jujur. Gaji yang diterima ditunaikan sebaiknya dengan begitu profesional tanpa diikat oleh tangan-tangan politik di atasnya.

“Berbeza dengan Datuk Ahmad Shabery Cheek, beliau adalah pemimpin politik dan menjadi Menteri Belia dan Sukan di era lalu. Jawapan Datuk Seri Ahmad Shabery dilihat sebagai membela dirinya serta pemimpin politik atasannya,”ujarnya.

Justeru, tegasnya, rakyat melihat jawapan Datuk Ahmad Shabery adalah jawapan ‘berlepas diri atau selamatkan diri’ dari ditujah dan diserang oleh rakyat yang menuding jari kesalahan ke atasnya.

Oleh itu, Ustaz Rduan menasihatkan Shabery agar mengakui kesilapannya tahun lalu serta memohon maaf atas kesalahannya menggunakan harta kerajaan utnuk penganjuran konsert berkenaan.

Katanya, Sindrom penafian demi penafian lebih memburukkan keadaan dengan rakyat melihat beliau sebagai orang terdesak yang mahu ‘menegakkan benang basah’.

“apa yang penting, beliau (Shabery) perlu beringat bahawa harta rakyat bukan miliki peribadi yang boleh digunakan sesuka hati, apatah lagi mahu menganjurkan aktiviti yang mengundang kemurkaan Allah SWT,”tambahnya. -BO

[VIDEO] Ambrin Buang Dengan "Kisah & Tauladan", Kita Perlu Ramai Pegawai Sepertinya

Saya berani tampil kerana tidak buat salah,” kata Ketua Audit Negara

Selepas pendedahan kontroversi skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC), nama Tan Sri Ambrin Buang (gambar) mula dikenali rakyat Malaysia kerana berjaya mengesan kewujudan skandal berkenaan dalam buku audit tahunan kerajaan, Laporan Ketua Audit Negara 2011.

Program Wacana Sinar Harian hari ini bertempat di Shah Alam menampilkan Ambrin buat pertama kalinya di khalayak selepas Laporan Ketua Audit Negara 2012 dikeluarkan bulan lalu di Parlimen.

"Saya berani tampil hari ini kerana saya tidak melakukan sebarang kesalahan," kata Ambrin ketika ditanya pemberita selepas tamat program Wacana Sinar Harian bertajuk Laporan Audit Negara: Tiris atau Terlepas Pandang di Ibu Pejabat Karangkraf berkenaan.

"Ramai yang tidak tahu macam mana kita buat kerja. Audit ini neutral, kita bebas," kata Ambrin.

Kehadiran Laporan Ketua Audit Negara mula dinanti rakyat Malaysia selepas pendedahan kes NFC yang mengaitkan keluarga Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan wang dana kerajaan bernilai RM250 juta.

Ambrin ketika wacana berkenaan berlangsung berkata, beliau menganggap audit umpama lagu "Kisah dan Taulada" nyanyian A. Halim, penyanyi yang terkena sekitar tahun 60-an.

"Kita audit kisah supaya jadi tauladan. Bayangkan kalau audit tak masuk, benda yang tak elok tu biar macam itu sahaja," katanya.

Beliau bagaimanapun mengingatkan orang ramai agar tidak terlalu terburu-buru menuduh isu yang dikeluarkan dalam Laporan Audit Negara sebagai penyelewengan ataupun rasuah.

"Kalau semua 160 kes yang disiasat Audit itu mesti rasuah, itu tak adil. Kita kena hormati undang-undang," katanya, merujuk kepada 160 kes yang disiasat jabatan berkenaan berdasarkan "sampling".

Ambrin menegaskan audit yang dilakukannya adalah berdasarkan nilai "value for monaey."

Beliau turut beberapa prosedur yang digunakan kerajaan yang mempunyai kelemahan selepas audit dijalankan, dan menggesa kerajaan meneliti prosedur tersebut untuk mengelakkan perkara sama daripada berulang.

"Prosedur kata satu hal. Kalau kita tak tukar prosedur tiap-tiap tahun perkara berulang. "Perkhidmatan awam kita dinamik," katanya.

Ambrin bersama-sama dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed, dan ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dijemput sebagai panel.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Wan Saiful Wan Jan dipilih sebagai moderator hari ini.

Forum yang bermula sekitar jam 2.30 petang itu berakhir 2 jam kemudian. -TMI


Audit umpama kisah dan tauladan


Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang menyifatkan laporan yang dibentangkan saban tahun sebagai 'kisah dan tauladan' yang perlu diberi perhatian semua pihak.

Beliau berkata, ketua jabatan orang yang paling berperanan dalam membawa perubahan.

''Kami di audit buat laporan macam lagu 60-an ‘Kisah dan Tauladan’.

“Audit (ambil) kesah supaya perkara itu dijadikan tauladan. Bayangkan kalau audit tidak masuk, benda bermasalah dibiarkan, ketirisan akan berlaku,” katanya.

Ketirisan, katanya, bukan hanya melibatkan perbelanjaan tetapi juga aspek lain termasuk pungutan hasil.

Menurut beliau, Jabatan Audit Negara menggariskan tiga perkara utama yang boleh menentukan perbelanjaan yang dikeluarkan itu bernilai.

“Kami gambarkan tiga perkara yang disebut sebagai 3E, ekonomi-efisien-efektif. Bagaimanapun dalam keadaan tertentu reflect 3E itu tidak ada, sebaliknya timbul pula 3P, iaitu pemborosan-pembaziran-penyelewengan.

“Tanggungjawab kita menyedarkan ketua jabatan agar penambahbaikan dapat dibuat. Tetapi kadang-kadang ketua jabatan tidak sedar. Bila audit sedarkan, mereka perlu ambil tindakan. Kalau tindakan sudah diambil, kami akan maklumkan dalam laporan,” katanya.

Ambrin turut mengingatkan masyarakat tidak mudah menuding jari daripada hasil laporan audit.

Katanya, sejak tahun 80-an pihaknya menggunakan konsep Audit Prestasi bagi memperlihatkan sejauh mana perbelanjaan wang awam itu memberi hasil dan impak yang berkesan.

“Kerja ini bukan baru kami lakukan, kami lakukan audit kepada pihak yang menjalankan aktiviti kerajaan yang mana melibatkan wang awam.

“Kerja ini juga bukan mudah kerana ia ambil masa panjang bagi menzahirkan laporan yang seimbang,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya juga mempunyai Standard of Procedure (SOP) dan etika yang perlu dipatuhi kerana laporan itu akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Kabinet, Parlimen dan kerajaan negeri.

Beliau turut memberitahu sebanyak 160 jabatan termasuk di peringkat persekutuan, negeri dan badan berkanun telah diaudit.

Katanya lagi, setiap audit yang dilakukan oleh jabatannya amat teliti kerana mereka mengambil kira semua aspek.

“Kami bukan buat audit atau pemeriksaan di dalam bilik, kami turun padang berjumpa dengan konsultan dan kontraktor, kemudian bercakap pula dengan penjawat awam yang terlibat.

“Selepas mendapat penjelasan, draf laporan dibuat, fakta-fakta yang dikumpul disahkan, kemudian kita beri mereka peluang untuk membuat penjelasan.

“Proses ini macam majlis syura, mahu semua pihak puas hati. Bila ada penjelasan kurang munasabah, jadi isu itu wajar diperbetulkan,” katanya.

Mulai tahun ini, Laporan Ketua Audit Negara Mengenai Aktiviti kerajaan persekutuan, badan berkanun persekutuan dan kerajaan-kerajaan Negeri, dibentangkan dalam tiga siri.
-HD



[BERGAMBAR] Pesawat MASWings Terhempas Di Kudat: Dua Maut


Kota Kinabali: Malaysia Airlines (MAS) mengesahkan dua mati dalam nahas pesawat Twin Otter MASWings terhempas di Kudat pada Khamis.

Mereka ialah pembantu juruterbang Marc Joel Bansh, 23, dan penumpang Tan Ah Chai, 96.

Bansh meninggal dunia kira-kira 9 malam ini manakala Tan menghembuskan nafas terakhir kira-kira empat jam lebih awal akibat kecederaan parah.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MAS yang juga Pengerusi MASwings Ahmad Jauhari Yahya berkata setakat ini disahkan dua mati dan dua lagi cedera.

Beliau berkata terdapat seorang warga Filipina manakala lainnya warga Malaysia dalam pesawat itu yang membawa 14 penumpang dan dua krew.

"Kami amat sedih dengan kejadian pesawat MH3002 yang terhempas, yang berlepas dari Kota Kinabalu ke Kudat pada 2.50 petang.

"Kami mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan kepada yang terbunuh dan mereka yang terlibat dalam nahas ini dan kami sedang melakukan yang terbaik untuk membantu mereka dalam keadaan yang amat sukar ini," katanya dalam sidang akhbar di sini malam Khamis.

Ahmad Jauhari berkata MASwings telah membuka pusat panggilan 24 jam dan anggota keluarga penumpang yang terbabit dalam nahas itu boleh menghubungi 03-78841234 untuk sebarang pertanyaan dan maklumat.

Sejurus selepas sidang akhbar itu, Ahmad Jauhari berlepas ke Kudat untuk meninjau tempat kejadian dan melawat mangsa.

Terdahulu, pesawat MASWings, MH3002 berlepas dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu pada pukul 2.05 petang dalam perjalanan ke sebuah daerah utara Sabah yang memakan masa 40 minit.

Pesawat berkenan terhempas ekoran cuaca buruk ketika ia cuba melakukan pendaratan pada aras 900 meter.

Laporan awal mendapati angin kencang menolak pesawat daripada mendarat di landasan.

Terdapat 16 orang dalam pesawat tersebut termasuk juruterbang.

Ini merupakan nahas pertama membabitkan MASwings di Kudat.

Keluarga penumpang pesawat itu diminta menghubungi 03-78841234 untuk pertanyaan dan maklumat lanjut.

MASWings menawarkan perkhidmatan udara di kedua-dua bandar berkenaan.

Jima', Mengapa Harus Malam Jumaat?

Bagi pasangan suami-isteri, terutama pihak suami, malam Jumaat itu “keramat”. Sebabnya tentu saja, kerana ada anjuran Sunnah untuk berjima di malam ini. Dalam sunnah, ada kewajiban. Dalam kewajiban ada sunnah. Sungguh indah Islam! Lebih dari itu, dalam kewajiban dan sunnah tersebut, ada kenikmatan syahwat dunia yang halal. Halal, tentu berarti berpahala.

“Suami wajib menjimak isterinya sekurang-kurangnya satu kali dalam sebulan,” kata Ibnu Hazm, “kalau tidak, berarti ia durhaka terhadap Allah.”

Jika Ibnu Hazm berbicara tentang kewajiban jima bagi suami isteri, Imam Al Ghazali menjelaskan mengenai kepatutannya.

“Sepatutnya suami menjimak isterinya pada setiap empat malam satu kali. Ini lebih baik,” kata ulama bergelar hujjatul Islam itu. Namun, Al Ghazali tidak memaknai batasan itu secara kaku. “Bahkan sangat bijaksana kalau lebih dari sekali dalam empat malam, boleh pula kurang dari itu, sesuai keperluan isteri.”

Lalu jika perlu memilih hari dalam jima, adakah keutamaan malam Juma’at dibandingkan malam-malam lainnya? Dalam hal ini, hadith yang sah dijadikan rujukan adalah riwayat Tirmidzi nombor 496, An-Nasai 3/95-96, Ibnu Majah nombor 1078, dan Ahmad 4/9. Hadith-hadith itu senada, yang terjemahnya sebagai berikut:

“Barangsiapa (yang menggauli isterinya) sehingga mewajibkan mandi pada hari Juma’at kemudian diapun mandi, lalu bangun pagi dan berangkat (ke masjid) pagi-pagi, dia berjalan dan tidak berkendaraan, kemudian duduk dekat imam dan mendengarkan khutbah dengan khusyu' tanpa sendau gurau, nescaya ia mendapat pahala amal dari setiap langkahnya selama setahun, balasan puasa dan solat malam harinya.” (HR. Tirmidzi, An-Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad)

Dari hadith tersebut tergambar betapa besarnya balasan pahala bagi orang yang melakukannya. Yakni “bercinta”, mandi, bangun pagi, berangkat awal ke masjid untuk menunaikan solat Juma’at, duduk dekat imam dan mendengarkan khutbah dengan tekun. Pahala dalam hadith ini diberikan kepada orang yang melakukan paket enam amal itu, tidak terpisah-pisah. Namun demikian, tergambarlah keutamaan berjima di malam Jum’at.

Memang ada yang berpendapat bahwa sunnah dalam hadith tersebut adalah “bercinta” pada hari Juma’at (pagi), mengingat mandi Jum’at itu dimulai setelah terbit fajar di hari Juma’at. Namun yang lebih popular adalah “bercinta” di malam Juma’at, sedangkan mandinya boleh saja ketika terbit fajar sebelum menunaikan Solat Subuh berjama’ah.

Abu Umar Basyir di dalam bukunya Sutra Ungu menambahkan, “Di negara yang menerapkan cuti pada hari Juma’at, tentu tidak masalah jika seseorang ingin berhubungan seks pada hari itu. Lalu bagaimana di negara yang menetapkan hari Juma’at sama seperti hari-hari kerja lainnya? Bagaimanapun, hukum sunnah tetap saja sunnah. Jadi itu hanya soal kesempatan melakukannya saja. Jika mampu dilakukan, Insya Allah membawa berkah. Di situlah, pengurusan waktu berhubungan seks menjadi perlu diatur.

Kerana itu boleh saja dilakukan menjelang subuh, atau sesudah solat Subuh. Tiap pasangan suami isteri tentu lebih tahu mana saat yang paling tepat.” Wallaahu a’lam bish shawab. [Maraji': Fiqih Sunnah karya Sayyid Sabiq, Kitab Fadhail A’mal karya Ali bin Muhammad al Maghribi dan Sutra Ungu karya Abu Umar Baasyir/bersama dakwah] sumber asal: islampos

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.” (Surah Al-Ruum: 21)