Seremban – Lebih 100 peniaga kecil termasuk pengusaha bot di pantai Teluk Kemang kecewa terhadap projek naik taraf pantai di pantai Teluk Kemang Batu 8, Port Dickson.
Harian difahamkan, projek tersebut yang kini dihentikan sementara memberi kesan kepada peniaga terbabit.
Pengerusi Sekretariat Selamatkan Pantai Teluk Kemang, Shaharudin Abd Talib ketika ditemui berkata, mereka gembira sejak dimaklumkan pihak berkuasa tempatan (PBT) bahawa pantai tersebut akan dinaik taraf dan dijadikan pusat utama pelancongan antarabangsa.
Namun katanya, mereka tidak menyangka projek tersebut memberi kesan kepada laut dan juga pendapatan diperoleh berikutan kerja yang dilaksanakan itu memberi gambaran kurang menyenangkan.
“Indah khabar daripada rupa, lain yang diberitahu lain pula yang jadi.
Kami tidak menjangkakan projek ini memberi kesan buruk kepada semua penjaja kecil mahupun pengusaha bot di sini.
“Lebih memburukkan keadaan, pantai yang dikorek menjadi semakin dalam dan kita bimbang ia akan memberi impak kepada pengunjung, seperti yang berlaku di pantai Batu 4 yang kerap terjadi kes lemas kerana pantai yang semakin dalam," katanya kepada Sinar Harian.
Justeru katanya, pihaknya membantah projek berkenaan kerana tidak mahu keaslian pantai tercemar. "Biarlah pantai Teluk Kemang ini tidak ‘disentuh’ bagi membolehkan keaslian dan kecantikan pantainya kekal seperti sebelumnya," katanya.
Serah memorandum bantahan
Pendapat sama turut dipersetujui peniaga, Mariah Bachik, 67, yang membantah projek tersebut sejak awal lagi.
Menurutnya, sejak awal perbincangan bersama PBT lagi, mereka tidak bersetuju dengan cadangan Kerajaan Negeri yang cuba mengubah keadaan pantai berkenaan.
“Bagi saya, daripada mereka mengubah keaslian pantai ini, lebih baik mereka (PBT) mengubah struktur bangunan gerai niaga kami yang kini uzur dan perlukan perubahan.
“Jangan buang masa buat perkara yang tidak berfaedah semata-mata mahu melebarkan pantai kerana kesannya, peniaga di sini yang gigit jari,” katanya.
Sehubungan itu, satu memorandum bantahan telah diserahkan kepada wakil Menteri Besar, Zulkifli Awang di Wisma Negeri semalam, bagi mendesak supaya Kerajaan Negeri menghentikan projek tersebut, sekali gus membantu peniaga kecil terbabit.
Tiada isu kemusnahan laut
Dalam pada itu, Koordinator Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard mendesak supaya isu berkenaan dapat diselesaikan dengan segera kerana ia membabitkan banyak pihak.
Katanya, bukan setakat alam sekitar tercemar tetapi hak peniaga juga terjejas akibat daripada projek yang dilaksanakan itu.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tidak pernah timbul isu kemusnahan laut berlaku kerana setiap projek yang dijalankan mengikut prosedur ditetapkan Jabatan Alam Sekitar mahupun pihak berkaitan.
Katanya, keadaan di kawasan berkenaan nampak terganggu berikutan projek dihentikan sementara kerana masalah kekurangan pasir. “Apabila semuanya telah selesai dan berjalan semula, maka keadaan pantai akan menjadi lebih cantik.
“Kita hanya mahu memberi wajah baru kepada pantai yang sedia ada dan mengindahkan lagi pantai Teluk Kemang, tidak pula timbul isu peniaga teraniaya, kemusnahan pantai atau sebagainya,” katanya.