30 Okt 2010

[Bergambar] Ketujuh-tujuh Mangsa Nahas Bas Pelancongan Ditanam Dalam Satu Liang Lahad

Kesemua tujuh yang maut dalam kemalangan bas pelancongan di KM38 Genting Sempah dekat sini malam tadi telah dibawa pulang ke kampung masing-masing di Baling, Kedah pagi ini.

Mereka terdiri daripada ketua rombongan Mohd Zaidi Mohd Sufian, 28, yang merupakan seorang guru agama, yang meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Selayang semalam.

Sementara enam lagi terdiri daripada Mohammad Amirul Mohamat Isa, 13, Mohamad Khairy Mohamad Marzali, 14, Mohamad Yussof Akhil, 16, Mohamed Firdaus Rosedi, 16, Mohd Fahmi Abdul Mustaffa, 17 dan Mohd Ridzuan Husin, 17 yang meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut jurucakap Hospital Sungai Buloh jenazah kesemua mereka telah dituntut oleh keluarga masing-masing pada pukul 7.45 pagi tadi untuk dibawa pulang ke Baling dengan tujuh kereta jenazah.

Kesemua mereka terdiri daripada 44 anggota rombongan belia Kampung Baru Siong, Baling, Kedah yang dalam acara lawatan ke Genting Highlands sejak Khamis lepas.

Di Baling, kesemua tujuh jenazah selamat diturunkan ke dalam satu liang lahad sebaik tiba dari Kuala Lumpur untuk dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Baru Siong di sini petang ini.


Tragedi bas pelancongan: JPJ sahkan pemandu bas tidak mempunyai lesen memandu

KUALA LUMPUR: Pemandu bas yang mengakibatkan tujuh orang maut dalam satu kemalangan di Km38 Genting Sempah dekat sini malam tadi, didapati tidak mempunyai lesen memandu.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Superintendan Che Husin Omar berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan kepada polis mengenai perkara tersebut.

"Pemandu bas itu sebelum ini mengaku kepada pihak polis bahawa beliau mempunyai lesen memandu, namun setelah kami memeriksanya dengan pihak JPJ, kami mendapati bahawa dia tidak mempunyainya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Che Husin berkata, pemandu itu yang patah kaki kanan dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) ditahan polis untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara merbahaya yang boleh menyebabkan kematian.

Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit dengan kesalahan.

Che Husin berkata, polis sedang menyiasat sama ada pemandu itu mempunyai rekod kesalahan memandu lampau atau pun tidak, serta perkara-perkara lain yang berkaitan dengan kemalangan berkenaan.

"Ini termasuk memeriksa kotak hitam bas tersebut untuk menentukan punca kemalangan sebenar," katanya.

Dalam kemalangan malam tadi, bas rombongan dari Kedah, yang dinaiki 44 penumpang yang terdiri daripada belia Kampung Baru Siong, Baling, dilaporkan hilang kawalan semasa menuruni Genting Highlands di KM38, Genting Sempah dekat sini pada 7.50 malam tadi.

Bas itut terbabas dan terbalik di laluan bertentangan yang mengakibatkan tujuh orang maut, 17 cedera parah dan 22 lagi cedera ringan, termasuk dua pemandu bas berkenaan.

Rombongan itu yang dalam lawatan ke Genting Highlands bertolak dari Kedah pada jam 11 malam Khamis dan tiba di Genting Highlands pada 8 pagi semalam.

Pada 7 malam tadi, rombongan itu bertolak ke Kuala Lumpur untuk ke Kampung Melayu Subang, Selangor bagi menyertai program Inap Desa dan dijangka pulang ke Baling, Kedah petang ini.-Bernama


Gambar ehsan Bernama.









Memorandum Bantahan Kepada KPN Mengenai Penangkapan Dan Pemukulan K.Selvach

Memorandum bantahan kepada KPN: Penangkapan dan penahanan saksi inkues

Pengenalan

Penurunan prestasi PDRM secara berterusan ke arah tidak memperdulikan undang-undang dapat dilihat dengan jelas dalam peristiwa penangkapan dan pemukulan K. Selvach Sathiran pada 25 Oktober lalu. Dia dipukul dan ditangkap oleh sekumpulan lelaki berpakaian biasa yang mendakwa diri mereka sebagai anggota polis yang tidak memperkenalkan diri mereka secara jelas. Selvach merupakan salah seorang saksi utama yang membuat kenyataan terhadap polis dalam inkues kes kematian R. Gunasegaran dalam tahanan pihak polis yang diputuskan baru-baru ini.

Pada hari keputusan itu disampaikan dalam inkues tersebut, polis bertindak ke atas Selvach dan datang ke rumahnya untuk menangkapnya. Ketika anak-anak Selvach bertanya kepada polis mengapa ayah mereka diseret pergi, polis menjawab dengan memukul Selvach di hadapan anak-anaknya sendiri. Pihak polis dalam memutarbelit kasih sayang suami isteri, cuba membuat S.Saraswathyisteri kepada Selvach untuk mencium suaminya, sebelum memukul Selvach di hadapan isterinya.

Selvach telah melaksanakan tugasnya sebagai warga yang bertanggungjawab dengan memaklumkan kebenaran berkenaan kematian R.Gunasegaran dalam inkues kematian di dalam tahanan polis. Selvach kini ditahan di suatu tempat yang tidak diketahui tanpa dibenarkan untuk dihubungi oleh keluarga dan peguam, biarpun banyak usaha telah dibuat untuk menemuinya atau mengetahui kedudukannya.

Difahamkan dia kini ditahan tanpa bicara dibawah undang-undang menindas Ordinan (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) Darurat 1969 ataupun Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 yang membenarkan polis menahan seseorang itu bagi tempoh 60 hari tanpa sebarang perlindungan kehakiman dan kemudiannya perintah penahanan selama 2 tahun oleh Menteri Dalam Negeri.

Bantahan Kami

Sementara kami memahami bahawa pihak polis mempunyai tugas penting dan berat untuk mencegah dan membanteras jenayah, namun polis juga perlu memahami bidang kuasa luas penangkapan dan penahanan tidak boleh disalahgunakan dan digunakan sewenang-wenangnya. Sebagai pasukan polis yang profesional, mereka harus dipandu oleh undang-undang dan proses undang-undang di negara ini dan tidak boleh bertindak dengan kebebasan atau sesuka hati dan tidak mengendahkan perlindungan perlembagaan dan kehakiman.

Hal ini malangnya menunjukkan gejala ketidakmampuan pihak polis untuk bertindak profesional sebagai pasukan polis yang boleh bekerja dalam sistem kehakiman jenayah moden dan tidak menggunakan langkah-langkah pencegahan yang tidak memerlukan ketekunan dan kerja-kerja polis yang sebenar. Pasukan polis seharusnya bekerja keras untuk menjadi sebuah pasukan moden dan profesional yang sesuai dengan piawaian antarabangsa serta dengan amalan terbaik dan tidak mundur dengan amalan salah yang menyebabkan masyarakat banyak hilang kepercayaan terhadap pasukan polis.

Tindak balas ganas dan tidak sah di sisi undang-undang oleh pihak polis mencerminkan keangkuhan dan kurangnya rasa hormat terhadap Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan undang-undang dan prosedur perundangan. Ini bukan kejadian terpencil tetapi kelanjutan daripada serangkaian panjang tindakan pihak polis yang menunjukkan kebencian mereka terhadap hak-hak rakyat, yang telah mengakibatkan penyalahgunaan kuasa polis yang mengarah kepada keganasan, penyiksaan, penangkapan sewenang-wenangnya, penahanan berpanjangan, penembakan, keganasan dalam tahanan dan kematian.

Kes penangkapan dan penahanan Selvach bertambah parah apabila dia ditangkap pada hari yang sama - selepas "keputusan terbuka (open verdict)" yang memalukan dan mengundang skandal itu disampaikan oleh Koroner Kehakiman Siti Shakirah Mohtarudin, dalam inkues mencari punca kematian R.Gunasegaran dalam tahanan polis. Selvach merupakan salah seorang daripada tiga orang yang berada dalam tahanan polis bersama-sama dengan R.Gunasegaran dan mereka secara konsisten mengenal pasti Lans Kopral Mohd Faizal secara fizikalnya menyerang mendiang si mati. Mereka memberi keterangan walaupun terdapat ancaman terhadap keselamatan mereka oleh pihak polis dan biarpun terdapat pujukan bahawa kerjasama mereka akan menjamin mereka dibebaskan segera.

Hal ini bukanlah suatu kebetulan yang menyaksikan Selvach ditangkap begitu cepat dan tambahan lagi beliau ditahan di bawah tuduhan yang tidak jelas dan di bawah peruntukan perundangan menindas yang membenarkan pihak polis menahan seseorang tanpa bicara, selama dua tahun. Pelapor kesalahan seharusnya diberi jaminan perlindungan oleh sistem perundangan dan bukannya dihukum oleh para penguatkuasa undang-undang. Kes ini telah dengan terang menunjukkan penyalahgunaan kuasa polis dan suatu kesalahan yang serius dan boleh didakwa menurut Kanun Keseksaan dan juga boleh dikenakan tindakan hina Mahkamah.

Selanjutnya, tindakan ini menunjukan pihak polis bertindak balas dengan dendam dan jelas bertujuan untuk menakutkan sesiapa saja yang bersuara melawan ketidakadilan atau kesalahan yang dilakukan oleh para anggota polis.

Perundangan tidak adil dan tidak bertamadun semacam Akta Dadah Berbahaya dan Ordinan Darurat tidak patut wujud dalam sebuah negara moden dan demokratik seperti Malaysia. Undang-undang dan pendekatan menindas ini melanggar hak-hak asasi manusia setiap rakyat yang dijamin perlembagaan serta meremehkan kuasa kehakiman dan proses perundangan. Majlis Peguam Malaysia dan masyarakat sivil secara tegasnya telah berkali-kali menyeru pemansuhan semua undang-undang tahanan pencegahan serta untuk berhenti melakukan penangkapan dan tangkapan berulang kali yang dilakukan dengan sewenang-wenangnya.

Polis tidak boleh dibenarkan untuk terus beroperasi dalam persekitaran yang bebas dan kebal daripada proses undang-undang dan kehakiman. Namun seperti apa yang jelas digambarkan dalam episod menyayat hati ini, pihak polis baru saja menyampaikan mesej mereka yang kuat, bahawa mereka boleh bertindak sesuka hati tanpa mengambil peduli undang-undang, profesionalisme pasukan polis serta undang-undang dan prosedur yang mengatur tata cara perilaku mereka.

Tuntutan Kami

Ketua Polis Negara mesti:

a) melepaskan Selvach serta-merta dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada dirinya dan keluarganya;

b) mengambil tindakan tegas, termasuklah pendakwaan jenayah dan tindakan disiplin terhadap anggota polis yang menyerang dan menangkap Selvach;

c) menyokong penubuhan Suruhanhaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), yang akan berfungsi secara bebas, sebagai lembaga luar yang akan menyiasat aduan terhadap anggota polis dan akan membuatkan pihak polis bertanggungjawab terhadap perilaku mereka;

d) menghentikan amalan menangkap dan tangkapan semula dibawah undang-undang tahanan pencegahan;

e) berjanji untuk menghormati hak rakyat untuk mendapat akses yang luas dan bebas terhadap khidmat peguam pada bila-bila masa;

f) mewajibkan pihak polis berpakaian biasa untuk memperkenalkan diri mereka dan memaparkan kad kuasa mereka apabila melaksanakan penguatkuasaan;

g) menyokong pendidikan hak asasi manusia dan program latihan, dengan maksud untuk mengubah sikap dan kaedah penguatkuasaan undang-undang.


*Memorandum ini diserahkan oleh Lawyers for Liberty (LFL) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) bagi pihak keluarga K. Selvach Santhiran.

[Bergambar] Tsunami Mentawai Menggoncang Lagi Hari Ini

Bukan sahaja Gunung Merapi meletus lagi, malah tsunami Mentawai turun menggoncang semula. Sebuah gempa berkekuatan 5,1 skala richter kembali menggoncang Mentawai. Lokasi gempa berada di 108 Km Barat Daya Pagai Selatan, Mentawai, Sumatera Barat.

Berdasarkan maklumat dari laman web Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG), gempa ini terjadi pukul 01.05 WIB, malam tadi.

Pusat gempa berada di kedalaman 27 km dan berkoordinat 3.45 LS – 99.42 BT. BMKG menulis gempa ini tidak berpotensi menimbulkan tsunami.

Sebelumnya, Mentawai dilanda gelombang tsunami pada 25/10 lalu. Tsunami ini melanda beberapa daerah hingga rata dengan tanah.

Berdasarkan data terakhir dari BPBD, pukul 20.30 WIB, semalam, tercatat 413 orang meninggal, dan 298 hilang. 270 orang cedera serius. 162 cedera ringan dan 12, 935 orang terpaksa berpindah.














.

Ansari, Bakal Ketua Menteri Sabah Satu Hari Nanti

Patah Sayap Terbang Jua, Terkehel Tangan Berjuang Juga

Dango Mamamat menulis di blognya dengan tajuk Terima kasih Pak Ansari: Tahniah teman kepada calon PKR di PRK Batu Sapi, Pak Ansari. Pak Ansari telah berjaya mendedahkan kedaifan kerajaan BN Sabah.

Dua kali BN Sabah dimalukan oleh Pak Ansari. Tidak payah buka dokumen, tidak payah repot polis. Hanya meniti di titi reput dan ambil risiko basah kuyup. Biarkan BN gelak, biar mereka kata apa-apapun.

Janji rakyat dapat melihat dengan mata sendiri betapa rakyat Sabah yang selama ini begitu setia dengan BN telah diabaikan oleh Kerajaan 1 Malaysia. 1Malaysia tahu yang rakyat miskin ini bukan minta tanah, mereka hanya minta titi ...

Adalah dijangka bahawa dua peristiwa ini akan merupakan satu petanda yang memungkinkan Pak Ansari memenangi PRK Batu Sapi. Selepas hari penamaan calon, calon PKR dilabel sebagai kacau daun kepada BN dan SAPP. Tetapi dengan peristiwa dua kali titi patah, rakyat tanpa mengira status dan kedudukan mula mempertimbangkan semula calon mana yang harus diundi.

Calon mana yang hampir dengan rakyat? Calon BN? Jangan harap. Jikalau mendiang suaminya semasa menjadi wakil rakyatpun tidak menyedari ada titi reput di kawasannya, apakah datinnya akan memperjuangkan nasib rakyat?

Yong Teik Lee? Lagi tak boleh pakai. Pernah jadi KM Sabah. Ketika berkuasa dia tidak ambil pedulipun pasal rakyat miskin yang minta titi baru. Takkan dalam keadaan tidak berkuasa dia mampu mengadakannya.

Sama ada Pak Ansari menang atau kalah, selepas ini titi yang patah akan diganti dengan yang baru. Kerajaan Musa Aman tidak mungkin sanggup dimalukan lagi. Jikalau titi tidak diganti sebelum PRU13, rakyat akan menjauhi BN. Tetapi di hati kecil rakyat kita boleh mendengar kata-kata mereka, terima kasih Pak Ansari.

Kepada semua pengundi di PRK Batu Sapi, selamat mengundi.

Ulasan GB

Ramai yang mentertawakan calon PR yag jatuh ke laut. Dan banyak pula andaian-andaian nakal ekoran dari peristiwa itu. Ada yang menyatakan suwehnya nasib Ansari.

Apakah rahsia di sebalik kejadian tersebut lansung tidak diteroka dan dibaca.

Ansari bakal kalah kali ini. GB juga turut menerimanya. Tetapi jangan tersekat di situ cuma.

Namun daripada peristiwa dua kali jatuh ke laut, ia adalah petunjuk besar dari Ilahi bahawa orang yang bernama Ansari ini perlu "dibenamkan" di dalam laut Sabah - bermaksud Ansari perlu bergelumang dengan rakyat Sabah. Benar-benar bergelumang sehingga dua kali berada di lautan rakyat.

Kemudian Ansari bangkit dari lautan rakyat itu - dengan penuh sedar dan keinsafan bahawa rakyat Sabah memang perlukan pembelaannya. Hanya Ansari yang mampu membawa perubahan. Dan hanya Ansari dipilih Tuhan untuk dijatuhkan ke dalam laut Sabah itu.

Kedua, orang yang bersama dengan Ansari ketika itu ialah MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim. Apakah petunjuk dari peristiwa itu? Nasib Ansari akan mengikuti apa yang telah dilalui Khalid. Khalid kalah di Ijok di dalam pilihanraya kecil. Dihina, dicaci, ditohmah dan pelbagai lagi. Tetapi kemudiannya beliau menang besar di Ijok dan menang juga di Parlimen. Diangkat menjadi Menteri Besar Selangor. Ya, Ansari akan menerima nasib yang serupa dengannya.

Pemerhatian GB: Ansari bakal Ketua Menteri Sabah satu hari nanti.


Ahmad Maslan Hina Sultan Kelantan

Umno: Nampak sangat PAS tak boleh selesai masalah

Ketua penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata beliau tidak mempunyai maklumat mengenai kedatangan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V ke satu kawasan di Gua Musang sebelum ini.

Kedatangan Sultan Muhammad sebelum ini dipercayai berkaitan masalah tanah yang dihadapi sekumpulan masyarakat di kawasan tersebut.

"Tapi kalau sultan sendiri kena datang selesai, nampak sangat kerajaan negeri tak boleh selesaikan (masalah)," kata Ahmad ketika bercakap kepada pemberita di bilik gerakan BN di Bukit Cekati hari ini.

Beliau menjawab soalan berkenaan yang sebenarnya diajukan kepada calon BN Abdul Aziz Yusof.

Turut ditanya ialah sebab kedatangan Sultan Muhammad V ke kawasan itu sebelum ini, yang ketika itu bergelar Tengku Mahkota Muhammad Faris Petra.

Isu mengenai kedatangan Sultan Muhammad V ke kawasan pilihan raya kecil DUN Galas timbul semalam apabila desas-desus mengenainya dikutip oleh sebuah blog.

Pengelola istana Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad semalam bagaimanapun menafikan desas-desus bahawa Sultan Kelantan akan menyertai kempen pilihan raya kecil DUN Galas.

Ulasan GB

Apa yang diucapkan oleh Ketua Penerangan UMNO itu adalah sesuatu yang biadab dan sikap tidak hormat kepada Sultan Kelantan.

Beliau (Ahmad Maslan) sendiri mengakui tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku sedangkan Sultan Kelantan sebenarnya adalah seorang yang berjiwa rakyat, yang mahu turun ke padang bersama rakyat, sentiasa menyelami masalah rakyat dan sentiasa berada bersama rakyat.

Contoh, apakah apabila Sultan Kelantan sendiri menyembelih lembu misalnya disebabkan oleh "masalah rakyat" yang takde seorang pun pandai sembelih lembu? Tidak samasekali! Tetapi adalah kerana Sultan Kelantan merasakan dirinya sebagai sebahagian anggota rakyat dan apa yang dilakukan oleh Sultan Kelantan itu amat disenangi dan disayangi oleh rakyat Kelantan sendiri.

Bgitulah halnya dengan apa-apa juga dengan tindakan Sultan Kelantan termasuk datang ke Gua Musang untuk menyampaikan geran tanah. Ia adalah kehendak Sultan sendiri yang ingin bersama rakyat, yang ingin melihat senyum wajah rakyat di bawah naungannya.

Bukan macam kamu di dalam UMNO yang sebat segala hak rakyat, yang suka melihat rakyat menderita.



Batu Sapi: Kemiskinan Melampau Era BN

Senario di Sandakan, setelah 47 tahun Sabah dalam Malaysia, terdapat di Batu Sapi keadaan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Pemimpin-pemimpin kerajaan BN terlepas pandang?

Yang gantung-gantung gambar atas, dalam tube plastik tu kicap, minyak masak, gula, bawang goreng dan macam-macam lagi dengan harga 20 sen setube. Mengikut mereka membeli dengan cara begini sahaja yang mereka mampu, cukup untuk sekali masak dimakan bersama famili! Bayangkan ramai kita makan ala buffet dengan makanan yang melimpah luah kerapkali berlebihan pula tu! -batusapi

Biar gambar-gambar ini berbicara mengapa calon PKR dua kali jatuh ke laut.








[Bergambar] Kunjungan Tok Guru Bersama Calon PAS Ke Hospital Gua Musang

Ramai terkejut kunjungan Tok Guru, Dr Zul ke hospital

GUA MUSANG, 29 Okt: Kehadiran Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama calon PAS Dun Galas, Dr Zulkefli Mohamed ke Hospital Gua Musang pagi tadi mengejutkan banyak pihak termasuk pesakit.

Ramai pesakit terkejut dengan kehadiran Menteri Besar pada jam 8.45 pagi dan sempat melawat pesakit di wad dengan ditemani pegawai perubatan.

Malah pada kesempatan itu juga beliau dan Dr Zul menziarahi anak seorang kakitangan Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada awal pagi.

Tuan Guru tidak sempat hendak menziarahi lebih ramai pesakit kerana terpaksa bergegas pulang bagi menghadiri program penutup Pesta Air Kelantan di Kota Bharu pada sebelah petang.

Dr Zul ketika ditemui berkata, beliau melahirkan rasa terharu di atas sokongan padu seorang ulama terkenal ketika saat-saat genting bagi menghadapi pilihan raya kecil Dun Galas pada 4 November ini.

“Saya amat terharu di atas sokongan Tok Guru yang sanggup berulang alik dari Kota Bharu ke Gua Musang. Saya sangat terharu di atas komitmen tinggi beliau biar pun dalam keadaan kepenatan namun tetap datang ke sini,” katanya.

Sementara itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz memberitahu kehadirannya ke hospital dilakukan pada bila-bila masa sahaja kerana menziarahi pesakit sedikit sebanyak dapat meredakan perasaan mereka.

“Ajaran Islam sendiri amat menuntut umatnya menziarahi sesiapa sahaja yang sakit dan kalau ada kematian, kita juga disuruh membantu keluarga tersebut sehinggalah ke tanah perkuburan,” ujar beliau.

Selepas lawatan tersebut beliau bergegas ke RPT Sungai Terah menghadiri program Cakna Rakyat kemudian menunaikan solat di Masjid Batu Papan.

Pada sebelah petang menziarahi kematian seorang penduduk. Manakala sebelah malam menghadiri ceramah di Markas Penerangan dan Pasti Lepan Tupai. -harakahdaily







Wajibkan Lulus Matapelajaran "Sejarah" Untuk Kepentingan UMNO

Wajib lulus Sejarah untuk Kepentingan politik Umno?

PETALING JAYA: Ahli Sejarah, Profesor Emeritus Khoo Kay Kim (gambar) hari ini menyifatkan pengumuman Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini untuk memertabatkan mata pelajaran Sejarah dalam sistem pendidikan negara amat wajar.

Namun begitu, beliau tidak menolak keraguan sesetengah pihak yang mendakwa langkah ini diambil bertujuan menyelamatkan kepentingan politik parti pemerintah dan bukanlah semata-mata demi kepentingan sejarah itu sendiri.

Keraguan ini memang mempunyai asasnya jika dilihat kembali terhadap usaha-usaha yang telah dijalankan oleh ahli-ahli akademik khasnya untuk memertabatkan Sejarah yang selama ini dilihat sepi oleh kerajaan.

Hanya setelah kedudukan politik parti pemerintah ini dalam kedudukan genting, barulah kepentingan Sejarah dibangkitkan mereka.

Berbanding dengan usaha yang telah lama dijalankan oleh ahli akademik yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan peribadi.

"Kami, para akademik memang telah lama mengharap dan kemukakan usul agar Sejarah dijadikan salah satu mata pelajaran utama dalam sistem pendidikan negara ini.

"Tetapi nampaknya ia hanya boleh terlaksana apabila ada perwakilan Umno yang menyuarakannya dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini," demikian luahan Profesor Khoo ketika dihubungi FMT hari ini.

"Ahli politik bukanlah orangnya yang patut membuat keputusan tentang Sejarah dan dasar-dasar dalam sistem pendidikan negara.

"Perkara ini harus diputuskan oleh ahli-ahli akademik yang telah membuat penyelidikan begitu lama tentang sesuatu dasar yang ingin dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara.

Ahli sejarah tulen

"Dalam konteks melibatkan Sejarah, keputusan harus melibatkan ahli sejarah yang tulen, yang tidak boleh dipengaruhi oleh agenda mana-mana parti politik," kata beliau lagi.

Menurut beliau lagi, matlamat untuk memperkasakan mata pelajaran Sejarah hanya boleh terlaksana jika pihak-pihak terbabit jujur untuk melaksanakannya dengan mengambil kira beberapa syarat.

"Guru-guru yang mengajar subjek Sejarah haruslah diberikan latihan semula. Mesti guru yang benar-benar memahami Sejarah, Undang-undang dan Perlembagaan Negara. Mereka haruslah memahami bagaimana negara ini ditubuhkan.

Beliau turut memberikan syarat sukatan mata pelajaran Sejarah dan buku teks Sejarah perlu dikaji dan ditulis semula.

"Penulis buku teks Sejarah haruslah di kalangan ahli sejarah yang benar-benar membuat penyelidikan tentang sesuatu Sejarah.

Bukannya menulis dengan jalan mudah, sekadar mengutip fakta dimana-mana buku, internet dan sebagainya," kata beliau lagi.

"Tindakan ‘menghitamkan’ dan ‘memutihkan’ sesuatu bahagian Sejarah adalah tindakan yang dibuat oleh bukan ahli sejarah tulen".

Sebelum ini, ketika menggulung perbahasan oleh Muhyiddin dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, beliau mengumumkan untuk menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus sebagai syarat lulus dalam peperiksaan SPM. -FMT

Nampak Kepala Rakan Tercabut Depan Mata

Nampak kepala rakan tercabut di hadapan mata

BENTONG – Nasib tidak menyebelahi 44 belia dari Persatuan Belia 4B Kampung Siong, Baling apabila terlibat dalam kemalangan yang berlaku lewat petang semalam.

Kejadian berlaku di Kilometer 38 Lebuhraya Karak – Kuala Lumpur apabila rombongan terbabit bersama seorang pemandu bas dan pemandu kedua dalam perjalanan turun dari Genting Highlands.

Seorang mangsa yang cedera ringan, Abdul Hafiy Suhaimi, 20, berkata, mereka semua dalam rangka lawatan 3 hari 2 malam melibatkan lawatan ke Genting Highlands dan Kuala Lumpur.

Menurutnya, mereka bertolak dari Baling kira-kira jam 11 malam dan sampai di Genting Highlands kira-kira jam 4.00 pagi kelmarin.

“Selepas seharian bermain dan bergembira di sana, kami semua menaiki bas turun kira-kira jam 7.00 petang di mana menurut perancangannya kami akan singgah bersembahyang di Gombak.

“Semasa menuruni bukit, bas berada dalam keadaan laju dan secara tiba-tiba, pemandu bas memaklumkan, terdapat masalah brek,” katanya kepada Sinar Harian.

Abdul Hafiy berkata, selepas dimaklumkan mereka semua diminta berjaga-jaga dan dalam masa sama mengejutkan rakan-rakan yang tidur.

Menurutnya, keadaan bas yang laju menyebabkan keadaan terumbang-ambing sebelum merempuh pembahagi jalan lalu terbalik.

“Pada masa itu saya hanya mampu beristighfar dan dalam keadaan cemas itu, rakan-rakan cuba membantu antara satu sama lain.

“Ketika menyelamatkan diri saya nampak ada rakan-rakan yang tidak bernyawa dan saya ternampak salah seorang rakan tercabut kepalanya,” katanya.

Abdul Hafiy berkata, walaupun sedih melihat rakan-rakan yang tidak terselamat namun dia bersyukur kerana terselamat dan hanya cedera ringan.

Sementara itu, Saiful Idham, 14, berkata, ini merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan seumur hidup kerana melihat enam rakan meninggal dunia dalam kemalangan yang berlaku di hadapan mata.

Menurutnya, walaupun pertama kali mengunjungi pusat peranginan Genting Highlands namun ia menjadikan dia fobia untuk berkunjung ke situ lagi akibat nahas yang berlaku.

“Rakan-rakan yang meninggal dunia tidak menunjukkan perubahan ketara semasa kami semua bergembira di Genting Highlands.

“Walaupun ketika kejadian saya cuba membantu rakan-rakan lain namun ada juga yang tidak dapat diselamatkan,” katanya sedih.

Saiful yang cedera di bahagian kaki berkata, dia sudah memaklumkan kejadian itu kepada keluarga di Baling. -SH






[Bergambar] 3 Lagi Letusan Gunung Merapi Berlaku Semalam

Tiga lagi letusan menghasilkan awan panas berlaku semalam di Gunung Merapi yang menghasilkan percikan lava dan satu daripadanya turut disusuli gempa bumi berukuran 3.2 skala Richter.

Letusan kali ini ternyata membimbangkan kerana muntahan awan panas berlaku lebih lama iaitu kira-kira 20 minit sebelum dibawa angin ke arah barat dan utara.

Berikutan itu, lebih 20,000 penduduk sekitar Gunung Merapi termasuk 10,000 yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara dalam jarak 20 kilometer diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Tinjauan di pusat pemindahan sementara Umbulharjo yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Gunung Merapi mendapati kira-kira 5,000 mangsa yang ditempatkan di situ mula bimbang dengan letusan terbaru itu.

Pengarah Operasi Badan Mencari dan Menyelamat (SAR) Nasional, Rochimali, berkata angka korban kini sudah meningkat kepada 35 orang. “Anggota SAR kini sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga dan kita akan menggunakan peralatan khas dan akan melakukan pemindahan kecemasan jika Gunung Merapi terus meletus,” katanya.

Sementara itu, Ketua Daerah Sleman, Drs Sri Purnomo yang ditemui di Pusat Pemindahan Utama di Pakam, kira-kira 20 kilometer dari Gunung Merapi berkata, mereka kini kekurangan bekalan keperluan untuk mangsa yang menetap di situ.

“Antara barang yang menjadi keperluan adalah untuk golongan wanita serta bayi seperti tuala wanita, susu, minyak tanah, sabun, selimut, tilam, lampu kecemasan dan ubat gigi.

“Hanya barang keperluan asas itu yang menjadi keutamaan buat ketika ini kerana bekalan makanan yang diperuntukkan badan pengurusan logistik sudah mencukupi,” katanya. -hm


Letusan Merapi: Terperangkap dalam debu
Oleh Hadzlihady Hassan

YOGYAKARTA: “Dua anak saya terperangkap dalam awan panas ketika mereka berpatah balik dan cuba memanggil penduduk supaya melarikan diri.

“Kedua-duanya tidak sempat pergi ke motosikal kerana terus rebah akibat tidak tertahan dengan kesan debu panas yang membakar tubuh,” kata Bejo Mulyo, 46, menceritakan detik cemas ketika dua anaknya terperangkap dalam letusan Gunung Merapi, Selasa lalu.

Menurutnya yang juga Ketua Kampung Umbulharjo, dua anaknya itu sanggup berpatah balik untuk memanggil penduduk kerana rasa tanggungjawab yang dipikul mereka.

“Sebagai anak ketua kampung, dua anak saya berasa bertanggungjawab untuk memanggil menyelamatkan diri.

“Pengorbanan dilakukan mereka itu ternyata amat besar kerana sanggup menggadaikan nyawa sendiri,” katanya yang ditemui di Unit Rawatan Rapi (ICU) Rumah Sakit Umum Pusat (RSUP) Dr Sardjito, semalam.

Menurutnya, dia dan isteri pada mulanya menyangkakan dua anak kesayangan itu sudah meninggal dunia meninggalkan mereka.

“Bagaimanapun, saya bersyukur apabila dua anak saya itu ditemui pasukan penyelamat dalam keadaan masih hidup, namun melecur teruk.

“Namun, keadaan mereka kini sudah beransur sembuh,” katanya.

Menurutnya, kejadian yang menimpa dua anak lelakinya itu iaitu Arip Candra,23, dan Wahyu Nur Irawan, 16, membuatkan isterinya, Sri Murwani, 41, kini menjadi trauma.

“Isteri saya lebih banyak mendiamkan diri dan selera makannya agak berkurangan sejak berlakunya kejadian yang mengakibatkan dua anak kami cedera.

“Kedua-dua mereka mengalami kesan melecur hingga hampir 50 peratus di badan dan muka,” katanya.

Sementara itu, dua lagi lelaki yang juga ditempatkan di hospital sama, Bp Bilal, 52, dan Ny Ratmi, 52, turut mengalami kesan melecur teruk.

Kedua-duanya dikatakan enggan melarikan dan hanya bersembunyi dalam rumah selain percaya Juru Kunci Gunung Merapi, Mbah Marijan dapat menyelamatkan mereka.