1 Jan 2014

Polis Juga Tersalah-guna Gambar Palsu Sebaran Macai UMNO


Gambar kononnya seorang anggota PGA atau DBKL yang disebarkan oleh macai UMNO semalam bukanlah gambar dari dataran, dari maklumat yang diterima dari abang mangsa: gambar tersebut adalah gambar adiknya yang ditetak oleh Lelaki India di Damansara Damai!

Laman sosial facebook macai UMNO tersebut, ANTI Semua Salah UMNO, menyatakan kononnya seorang anggota DBKL cedera teruk di bahagian kepala hingga bercucuran darah seluruh badan terkena batu yang dikatakan dilempar oleh peserta perhimpunan guling kerajaan di Dataran Merdeka malam tadi.

Kemudian pihak polis telah menggunakan gambar tersebut untuk dimuatnaik di dalam facebook Polis Diraja Malaysia dengan mendakwa lelaki yang berdarah itu sebagai salah seorang anggotanya.

Namun kemudian pihak polis telah meminta maaf di atas kesilapan (yang disengajakan?) memuatnaik gambar tersebut.

klik untuk lebih jelas

Sementara itu, tuan empunya badan Zoul Hellme Mustafar di dalam facebooknya bahawa beliau akan membuat laporan polis kerana gambarnya telah disalah-gunakan.

Saya tuan punya badan..yang mana sesuka hati membabit kan sy dlm hal2 perhimpunan haram, saya akan buat report polis.


sila klik untuk lebih jelas

Demikian hukum kebenaran dan keadilan berjalan... bagaimana fitnah menjadi budaya macai UMNO yang kemudiannya pihak polis juga terlibat sama. Kebenaran tetap terdedah dan mengalahkan fitnah dan kebatilan. Si Pemfitnah akan tetap menerima hukumannya di dunia dan di akhirat.

[EDISI KANTOI] Parang Ditemui Dengan Payung Mirip Payung BN?


Polis temui parang, pisau dalam longkang

Empat bilah parang dan tiga pisau ditemui di dalam longkang berhampiran Kompleks Dayabumi, dipercayai dibuang oleh peserta perhimpunan haram yang memenuhi Dataran Merdeka malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad berkata senjata itu ditemui oleh polis bantuan pada 9.30 malam.

Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 6 Akta Senjata Berbahaya, katanya sambil memberitahu bahawa tiga anggota polis cedera di tangan apabila peserta perhimpunan merempuh kawalan anggota polis di Dataran Merdeka pada 11 malam.

Tiga anggota polis itu di rawat sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur, katanya kepada pemberita selepas perhimpunan haram itu di Kuala Lumpur.

Beliau berkata perhimpuan itu bertukar menjadi ganas apabila mereka mula merempuh kawalan pasukan keselamatan.

Zainuddin berkata sehingga kini tiada tangkapan dibuat terhadap peserta perhimpunan haram itu dan polis sedang mengumpul keterangan daripada orang ramai bagi mengambil tindakan mengikut Seksyen 15 Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Kami juga akan menyiasat insiden membaling botol air mineral ketika Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berucap untuk menenangkan keadaan," katanya.

Beliau berkata polis juga akan mengesan beberapa pemimpin politik yang dilihat berada pada perhimpunan haram itu.

Perhimpunan itu dianjurkan oleh empat badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Gerakan Turun Kos Sara Hidup, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Jingga 13 dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Para peserta perhimpunan telah menyerbu masuk ke Dataran Merdeka dan mengganggu konsert sempena menyambut tahun baharu yang dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kira-kira setengah jam sebelum detik 12 tengah malam.

Zainuddin berkata berikutan keganasan peserta perhimpunan haram itu, konsert berkenaan yang dihadiri 25,000 penonton terpaksa dihentikan. - Bernama

ULASAN GB

Menggunakan istilah "perhimpunan haram" oleh pihak berkuasa bersama-sama dengan sekalian media massa termasuk BERNAMA sudah merupakan satu kesilapan. Perhimpunan aman tanpa senjata adalah hak asasi yang juga kebebasan fundamental mana mana rakyat negara ini yang dijamin oleh Perkara 10 ( 1 ) Perlembagaan Persekutuan dan tidak ada yang dinamakan "perhimpunan haram" oleh Perlembagaam.

Malah Mahkamah pernah mengisytiharkan BERSIH sebagai entisi yang sah sekaligus membatalkan perisytiharan Menteri KDN waktu itu yang menyatakan BERSIH menganjurkan perhimpunan haram.

Benar, permohonan bertulis 10 hari diperlukan oleh mana-mana pihak yang ingin menganjurkan perhimpunan, tetapi itu persoalan teknikal dan ia tidak samasekali boleh membatalkan hal fundamental iaitu rakyat berhak untuk berhimpun dan tidak ada di dalam undang-undang menyatakan tanpa permit itu perhimpunan bertukar menjadi haram.

Jika terus-terus mereka menggunakan istilah perhimpunan haram, alamat merudumlah lagi indeks kebebasan bersuara dan hak asasi manusia bagi negara Malaysia di mata dunia dan mereka perlu dipertanggungjawabkan ke atasnya.

Parang tak bersarung ditemui, lantas ia hendak dituduhkan perhimpunan bersenjata. Siapa bawa parang, siapa letak dalam longkang? Katakanlah yang datang semalam 10,000 orang, hanya ada satu kes saja bawa parang, itu pun belum terbukti sah milik perserta perhimpunan. Kalau sabversif, maka setiap orang atau majoriti peserta ada senjata. Tapi tak ada siapa pun dari kalangan peserta himpunan tersebut bawa apa-apa senjata yang merbahaya. Dan hanya orang gila nak bawa parang tak bersarung!

Berkisah buang senjara dalam longkang semacam ada skrip yang sama sebelum ini ... ingat kisah pengawal keselamatan dikatakan buang senjata dalam longkang? Macam skrip yang serupa saaja!

Tiba-tiba bila dibelek-belek, payung yang ditemui bersama parang itu mirip payung BN. Tak ada orang pakai baju biru BN malam tadi. Ini kes yang lagi besar kantoinya. Rakyat berdemo menentang kenaikan harga oleh kerajaan BN nak bawa payung BN?

Hukum kebenaran dan keadilan pasti berjalan. Percayalah, fitnah pihak berkuasa dan sekalian media massa termasuk BERNAMA ke atas rakyat marhaen tidak akan berjaya malah kehinaan itu akan menimpa ke atas mereka semula.

Walaupun Diugut & Diancam Pelbagai Cara, Himpunan TURUN Berlansung Juga


Sambutan 2014 di Dataran Merdeka tanpa bunga api

Sambutan Ambang Tahun Baru 2014 lewat malam tadi di Dataran Merdeka berlangsung tanpa sebarang percikan bunga api, malah konsert ambang Tahun Baru turut ditamatkan sebelum detik 12 malam apabila peserta demonstrasi yang menggelarkan diri mereka Gerakan Turunkan Kos Sara Hidup (Turun) mula memasuki kawasan berkenaan.

Menurut polis, lebih 5,000 peserta demonstrasi Turun mula memasuki kawasan padang di Dataran Merdeka tepat jam 11 malam, selepas mereka berjaya melepasi tiga halangan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk satu halangan menggunakan kereta peronda polis.

Ia menyebabkan dua polis cedera di tangan dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan, dakwa Ketua Polis Daerah Dang Wangi Zainuddin Ahmad.

Sejurus peserta demonstrasi memasuki kawasan padang yang menjadi lokasi konsert ambang tahun baru, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Phesal Talib dilihat cuba menenangkan keadaan apabila menggesa peserta demonstrasi mengawal emosi dan tindakan mereka.

"Saya berharap takkan timbul masalah berkaitan ketenteraman dan menjejaskan pengunjung kita pada malam ini.

"Berilah peluang kepada semua pihak menyambut tahun baru 2014. Peliharalah keamanan dan keselamatan semua pihak," kata Ahmad Phesal, dan disambut dengan sorakan "Boo..." dan juga "penipu" berulang kali daripada peserta demonstrasi.

Bagaimanapun, tiada sebarang tangkapan, mahupun keganasan direkodkan sepanjang demonstrasi aman tersebut berlangsung.

Demonstrasi berkenaan dilaporkan bermula dari beberapa lokasi berbeza di ibu negara, iaitu di hadapan kompleks membeli belah Sogo, Masjid Jamek sebelum kesemua peserta bertemu di Dataran Merdeka.

Sepanjang perjalanan mereka, peserta demonstrasi yang membantah kenaikan kos sara hidup yang disebabkan oleh kenaikan beberapa barangan seperti bahan api, gula, kadar tarif elektrik dan juga pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) melaungkan slogan "Turun", "Reformasi" dan banyak lagi.

Majoriti peserta yang menyertai himpunan berkenaan dilihat memakai kemeja-T hitam tertera logo dengan perkataan "Turun".

Turut kelihatan menyertai demonstrasi anak muda berkenaan termasuklah beberapa pemimpin politik daripada Pakatan Rakyat (PR) seperti Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli, ahli Parlimen Bukit Katil Shamsul Iskandar Mat Akin, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dan beberapa pemimpin badan bukan kerajaan pro pembangkang.

Kaji selidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMCEDEL) ketika mendedahkan hasil kajian mereka sebelum ini memberi amaran kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) agar menangani kenaikan kos sara hidup sekiranya mereka masih ingin memerintah selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Malah, beberapa pemimpin BN turut menyuarakan hasrat agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memandang berat hasil kajian berkenaan meskipun Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan memberi jaminan kerajaan sedang berusaha untuk tidak membebankan rakyat dengan kenaikan berkenaan.

Malah, Najib juga dilihat cuba meredakan keadaan dengan mengumumkan 11 langkah penjimatan kerajaan dalam menangani kos sara hidup yang antaranya melibatkan potongan 10% bagi elaun keraian perdana menteri, timbalan perdana menteri, dan juga anggota kabinet.

Sejurus sambutan ambang tahun baru itu ditamatkan lebih awal, peserta demonstrasi Turun kemudiannya dilihat memenuhi kawasan sekitar Dataran Merdeka sambil menyanyi.

Menjelang jam 1 pagi, kumpulan berkenaan dilihat beransur-ansur meninggalkan kawasan Dataran Merdeka.

"Kita pasti akan mengambil tindakan kepada kumpulan yang terlibat dan atas kerosakan serta kekacauan mereka lakukan termasuk kita akan meminta anggota polis yang cedera itu membuat dakwaan," kata Zainuddin.

Sementara itu, beliau menganggarkan jumlah peserta Turun pada malam ini seramai 5,000 orang dan bilangan yang datang ke dataran bagi tujuan sambutan tahun baru ialah seramai 15,000 orang.

Tetapi ia berbeza dengan apa yang dikatakan oleh media alternatif apabila melaporkan jumlah kehadiran peserta Turun lebih daripada 10,000 orang.

Beliau turut menyatakan siasatan awal mendapati beberapa kesalahan telah dilakukan oleh gerakan seperti perarakan ke Dataran Merdeka dimana ia melanggar Seksyen 15 Akta Perhimpunan Awam 205.

"Pihak polis juga tidak menerima notis kebenaran berhimpun dan mereka telah merempuh kesemua halangan serta masuk ke kawasan konsert dimana akan didakwa atas kesalahan menghalang penjawat awam bertugas," katanya.

Oleh demikian, beliau berkata satu pasukan siasatan khas ditubuhkan oleh pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan dan mencari dalang yang terlibat untuk didakwa.

Tambahnya pihak berkuasa juga telah menjumpai senjata iaitu empat parang dan 13 pisau yang ditinggalkan di tepi longkang kompleks Daya Bumi.

Zainuddin turut mengesahkan tiada tangkapan dibuat setakat perhimpunan berlangsung selain mendakwa turut mengenal pasti beberapa ahli politik pembangkang yang dilihat turut menyertai bantahan tersebut.

Beliau juga menegaskan pihak berkuasa kali ini lebih "berlembut" dengan peserta protes kerana mengguna pakai konsep perhimpunan aman yang hanya memantau namun tidak akan bertindak agresif. -TMI


Anak muda berhimpun bantah kenaikan harga barang


KUALA LUMPUR: Seperti sambutan malam tahun baru di Kuala Lumpur sebelum ini, Dataran Merdeka malam tadi penuh sesak dengan orang ramai yang mahu menyambut kedatangan tahun baru dan menikmati persembahan konsert yang dianjurkan saban tahun.

Tetapi tahun ini keadaannya agak berbeza. Kempen oleh Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Jingga 13 dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyaksikan ribuan orang ikut sama berhimpun tetapi dengan tujuan yang lain.

Menjelang pukul 10:30 malam, kumpulan yang memakai baju hitam menempatkan diri di sekitar Dataran Merdeka untuk membantah kenaikan kos sara hidup. Biarpun pihak polis membuat benteng sekatan, lebih kurang pukul 11:20 malam, kumpulan penunjuk perasaan itu berjaya melepaskan diri masuk ke tengah Dataran Merdeka tempat persembahan muzik sedang berlangsung.

Selepas melihat keadaan yang kacau, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur memutuskan untuk membatalkan acara sambutan. Menjelang tengah malam, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib, naik ke pentas untuk berucap bagi meredakan keadaan.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Mohd Bukhairy Sofian, berkata hasrat mereka untuk berhimpun di Dataran Merdeka bukannya satu cubaan untuk menggulingkan kerajaan tetapi untuk meluahkan kemarahan rakyat terhadap peningkatan kos sara hidup dan harga barang.

Katanya, adalah wajar golongan anak muda dan mahasiswa yang mengetuai gerakan itu kerana merekalah yang paling merasai akibatnya kerana masih belum bekerja dan bergantung kepada pinjaman pelajaran serta bantuan ibu bapa.

Selepas menyanyi dan melaungkan slogan protes, kumpulan yang dianggarkan lebih kurang 3,000 orang itu beredar dengan aman lebih kurang pukul 1 pagi.

Pihak berkuasa sebelum ini memberi amaran bahawa perhimpunan itu tidak dibenarkan mengikut undang-undang.
- astroawani




Laporan sebelum ini
klik untuk baca



[VIDEO & GAMBAR] Laporan Sekitar Himpunan TURUN 31.12.13 -updated


Ribuan peserta TURUN tiba di Dataran Merdeka

Bagi menghadapi tahun kenaikan harga barangan dan perkhidmatan 2014, orang ramai mula memenuhi jalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur bagi menyatakan bantahan mereka.

Perhimpunan yang dipimpin Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN) akan menyaksikan tiga tempat berkumpul, iaitu pusat membeli belah SOGO di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Pasar Seni dan Masjid Jamek.

Mereka merancang berarak ke Dataran DBKL dan seterusnya ke Dataran Merdeka, tempat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menganjurkan konsert tahun baru.

Pihak berkuasa menganggap perhimpunan mahu menggulingkan kerajaan dan polis melabelnya sebagai perhimpunan haram.

Polis juga mendakwa terdapat senjata berbahaya dan bom akan dibawa dalam perhimpunan itu tetapi penganjur menafikannya.

Pengerusi TURUN Mohd Azan Safar sebaliknya menyifatkan isu itu ditimbulkan untuk mengalih perhatian terhadap kenaikan harga barangan dan kos sara hidup yang diketengahkan mereka.

LAPORAN LANGSUNG

12:00 Dataran Merdeka – Pengarah Strategi PKR memberi ucapan di tepi pentas, atas jalan di Dataran Merdeka.

Katanya, mereka harus turun ke jalan raya kerana perdana menteri hanya kenal suara demonstrasi seperti itu.

"Kita akan terus lawan kenaikan harga barang. Kalau tak turun, kita turunkan Najib," kata beliau.

Tepat jam 12 waktu di telefon, percikan bunga api dilepaskan ke udara tetapi jam di bangunan Sultan Abdul Samad menunjukkan pukul 12.05 malam.

11.50pm, Dataran Merdeka – Suasana di padang senyap sebentar. Peserta himpunan dan polis kelihatan melihat jam masing-masing untuk menunggu detik jam 12 tengah malam.

Sebahagian penonton konsert tidak puas hati berkata “baliklah” dan sebahagian lagi melaungkan 1Malaysia kepada peserta himpunan.

11.30pm, Dataran Merdeka – Konsert di Dataran Merdeka ditamatkan. Pegawai DBKL dilihat berbaris di depan pentas yang lampunya sudah ditutup.

Pentas kemudian dipenuhi dengan wartawan yang mahu mengambil gambar peserta himpunan dengan lebih jelas.

11pm, Dataran Merdeka – Selepas 15 minit berdiri berdepan dengan pegawai polis dan DBKL di depan Kementerian Perlancongan dan Kebudayaan, peserta himpunan cuba memecahkan hadangan sekali lagi.

Diketuai dua individu dengan bendera Malaysia, mereka dilihat melepas kepungan polis ke Dataran Merdeka. Pihak berkuasa bagaimanapun tidak melakukan apa-apa untuk menghalangnya.

10.55pm, Persimpangan Jalan Raja-Jalan Raja Laut - Pemuda PAS membuat satu bulatan dan mula berucap mengenai kempen anti kenaikan tarif elektrik mereka.

Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat dan beberapa pimpinan peringkat negeri dan kebangsaan memberi ucapan mengenai apa yang didakwanya kezaliman kerajaan BN.

Ahli Jawatankuasa Pusat PAS Dr Dzulkefly Ahmad pula menggesa para hadirin agar tidak terpedaya dengan keputusan PM menurunkan beberapa kos kerajaan.

"Kenapa Najib terpaksa menaikkan harga barang walau tahu beza Rakyat? Sebab keborosan dia, sebab ketirisan, sebab PKFZ, sebab beli kondo anak dia.

"Hari ini dia kata nak melakukan perkara betul tak mahu populis, Jadi selama ini dia tak lakukan perkara betul," kata beliau sebelum menambah bahawa BN bermaksud “Bankrap Negara”.

10.45pm, Dataran Merdeka – Peserta himpunan TURUN cuba melepasi barisan kedua polis.

Pegawai DBKL membantu menolak kembali peserta menyebabkan orang ramai terhimpit.

OCPD Dang Wangi kemudian tampil menenangkan keadaan.

“Bertenang, sabar. Bunga api di sebelah kamu, bukan sebelah sini, kita tunggu sama-sama,” katanya berseloroh.

“Jangan ganggu polis. Kami hanya menjalankan tugas menjada kedua-dua belah (peserta himpunan dan hadirin konsert). Saya minta kerjasama,” katanya.

103.0pm, Dataran Merdeka – Kira-kira 7,000 orang berkumpul di hadangan berdekatan persimpangan Jalan Tun Perak-Jalan Raja.

10:15pm Menara DBKL - Lebih 3,000 peserta diketuai SMM dan pemimpin mahasiswa tiba di Menara DBKL yang diawasi puluhan pegawai keselamatan.

Mereka kemudiannya terus ke persimpangan jalan Tun Perak untuk bergabung dengan peserta di dataran merdeka.

Mereka melepasi benteng polis di hadapan dataran merdeka tanpa halangan.

Persimpangan Jalan Raja Laut-Jalan Tun Perak - Pengerusi TURUN Azan Safar berarak ke Dataran Merdeka dari arah Jalan Raja Laut.

Beliau yang berjalan, dengan kawalan beberapa orang peserta himpunan berbaju-T 'TURUN', memegang mikrofon sambil melaungkan 'Turun harga barang'.

10.05pm, Dataran Merdeka - Sekumpulan peserta yang berkumpul di tengah-tengah jalan menyanyi "Turunkan harga barang, berhenti tekan rakyat" sambil bertepuk tangan.

Mereka kini mula duduk di tengah-tengah jalan persimpangan Jalan Tun Perak dan Raja Laut.

Jumlah peserta sekurang-kurangnya mencecah 2,000 orang.

10.00pm, Dataran Merdeka – Polis membuat barisan hadangan kedua. Peserta dibenarkan melepasi hadangan pertama tetapi ditahan di hadangan kedua.

Hanya yang meraikan sambutan tahun batu dibenarkan melaluinya.

“Di dalam ini siapa yang mahu menyambut tahun baru, jika kamu mahu protes di sebelah sana,” kata OCPD Dang Wangi.

10pm, Jalan Raja Laut – Lebih 3,000 peserta kini berarak ke arah menara DBKL di Jalan Raja Laut dengan pelbagai laungan menuntut penurunan kos sara hidup.

Jalan ditutup berikutan ramainya peserta yang memenuhi keseluruhan jalan. Peserta himpunan terdiri daripada pelbagai bangsa.

9.52pm SOGO - Peserta mula bergerak ke arah jalan Raja Laut. Kompleks beli belah SOGO telah pun ditutup dan kehadiran demonstran melebihi 1,000 orang.

Peserta yang kebanyakannya terdiri dari anak muda dan mahasiswa mula beratur untuk bersedia berarak.

Keadaan yang bingit menyebabkan ucapan dari pimpinan demo tidak lagi didengari.

Suasana kini bercampur baur dengan sorakan slogan, ucapan, perbualan dan hon kenderaan yang lalu lalang di persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Dang Wangi.

Beberapa kenderaan nampak resah dengan keadaan tersebut dan polis trafik sudah pun meninggalkan persimpangan lampu isyarat di hadapan kompleks.

Peserta turut menyanyi lagu negaraku sebelum mula berarak.

9.40pm, Dataran Merdeka - Peserta himpunan sekarang memperolokkan dakwaan kerajaan bahawa mereka mahu “menggulingkan” kerajaan.

Dua orang kelihatan berbaring di jalan dan beberapa yang lain menjerit: “Tepi sikit! Kami nak guling ke Dataran Merdeka”.

Aksi itu cuma diperhatikan orang anggota polis di kawasan itu.

9.30pm SOGO - Lebih 1,000 sudah berkumpul di hadapan kompleks membeli belah SOGO sekarang dengan nyanyian penaik semangat dan sorakan "Turunkan harga barang" dan Hidup Rakyat" masih kedengaran.

Peserta turut mula turun ke Jalan Tuanku Abdul Rahman dan meminta agar kereta membunyikan hon sebagai tanda sokongan. Sebilangan kecil peserta juga mula berarak ke arah Dataran Merdeka.

Mereka dipercayai sedang menunggu pimpinan dari NGO Turun untuk berarak ke arah Dataran Merdeka dan Menara DBKL.

Beberapa peserta turut mengambil kesempatan mengisi perut di gerai yong tau fu dan makanan ringan oleh peniaga di tepi jalan.

Keadaan agak tenang tetapi bingit dan sesak. Masih tiada polis berhampiran.

Dataran Merdeka - Peserta dari Masjid Jamek yang bergerak ke Dataran Merdeka dari Dataran DBKL dibenarkan melepasi lapisan pertama hadangan yang dikawal DBKL.

Bagaimana pun, mereka dihalang oleh satu lagi lapisan yang dikawal polis di depan Panggung Bandaraya.

Pasar Seni - Penyelaras Suaram Syukri Razab kelihatan sedang meninjau di Dataran Merdeka sama ada terdapat tangkapan dibuat oleh pihak polis.

Beliau memberitahu, barisan peguam disediakan jika terdapat sebarang masalah.

9.15pm

Masjid Jamek - Kumpulan dari Masjid Jamek mula bergerak ke Dataran Merdeka sambil melaungkan 'Reformasi', "Hidup Rakyat" dan "Bangkit Rakyat".

Sewaktu melintasi Dataran Merdeka, polis dan petugas DBKL kelihatan sudah bersedia di sebalik hadangan masuk ke Dataran Merdeka.

SOGO - Sorakan dan nyanyian pembakar semangat bergema di hadapan kompleks be li-belah Sogo yang kini dipenuhi hampir 1,000 peserta.

Pengerusi Pemuda Sosialis DAP Teo Kok Seong mengajak semua peserta demonstrasi bersama dan menjaga disiplin ketika berarak ke Dataran Merdeka sebentar lagi.

Beberapa pemimpin SAMM dan SMM turut memberi ucapan.

9.00pm Dataran Merdeka - Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh tiba.

Kira-kira 50 anggota polis berkawal di persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Tun Perak, yang mesti dilalui peserta perhimpunan sebelum ke Dataran Merdeka.

Konsert ambang merdeka dihentikan sebentar bagi menghormati waktu Isyak.

Pasar Seni - ratusan orang ramai sudah berkumpul di hadapan pintu masuk kompleks itu yang ditampal dengan notis: Dilarang duduk dan berkumpul!

SOGO - pemimpin mahasiswa Fazli Zainul dari Solidariti Mahasiswa Malaysia (SSM) menjadi orang pertama berucap di hadapan kira-kira 400 peserta yang berkumpul.

Beliau mengajak orang ramai yang berhimpun bersabar untuk langkah seterusnya.

"Sama-sama kita ikut berarak membantah kenaikan harga ini. Kita akan bergerak ke Dataran Merdeka sebentar lagi.

Selepas beliau beberapa wakil mahasiswa dari Utara, Kelantan turut berucap memberi mesej yang sama kepa da hadirin.

Polis masih tidak kelihatan dan pentadbir kompleks SOGO tidak memberi bantahan kepada mereka yang telah pun berkumpul.

Hanya satu Lori DBKL kelihatan di hadapan kompleks ini.

Masjid Jamek - Kelibat orang ramai yang memenuhi pinggir Jalan Tun Perak menyebabkan sedikit kesesakan lalu lintas.

Kenderaan bergerak perlahan untuk mengelak dari merempuh peserta himpunan yang berdiri di bahu jalan.

8.45pm, Masjid Jamek – Di hadapan stesen LRT Masjid Jamek, sekumpulan peserta himpunan memegang sepanduk bertulisan "Tahniah kepada BN. BN = Barang Naik".

Sepanduk sama juga tertulis yang ia datang daripada PKR Johor Baharu.

Seorang lagi peserta himpunan pula kelihatan menjual akhbar Suara Keadilan milik PKR.

8:30pm, SOGO – Keadaan masih aman dengan pelbagai aktiviti berlaku tanpa sebarang gangguan di hadapan kompleks membeli belah Sogo.

Seorang kerani pentadbiran Chang For Bun, 27 berkata beliau turun kerana tidak berpuas hati dengan kenaikan harga barangan yang telah bermula Semarang.

"Jika barang naik harga, semua makanan akan naik juga, kalau sayur naik, daging naik bagaimana? Takkan nak makan daving manusia?

Seorang pelajar Leong Yung Hong, 19 datang membantah kerana kehidupan beliau sebagai pelajar kolej semakin susah.

"Saya nak bagi mesej kepada kerajaan agar jangan lakukan ini (kenaikan). Kita semua sudah dalam situasi yang susah, jangan tambah lagi kesusahan itu," kata beliau.

Kelihatan juga peniaga menjual minuman, kemeja-t malah membuat persembahan di kaki lima hadapan kompleks beli belah itu.

Kira-kira 300 pengunjung dan peserta demonstrasi pelbagai agama dan bangsa sedang bersantai di sini.

8:20pm, Dataran Merdeka – Konsert ambang tahun baru sudah bermula. Peserta, kebanyakan golongan muda dan anggota keluarga kira-kira 500 orang berkumpul.

Kehadiran polis sebelum itu kelihatan bertambah ramai dengan sekurang-kurangnya dua trak dan sembilan bas. Justeru, ia bermaksud kira-kira 400 orang anggota sudah berada.

Sekurang-kurangnya lima ambulans kelihatan di kawasan itu.

8.05pm, Sogo – Sekumpulan pelajar yang datang daripada Kelantan memberitahu, mereka datang dari jauh untuk berhimpun kerana merasakan peningkatan kos sara hidup berlaku secara tidak adil.

“Kami di sini untuk mempertahankan hak rakyat,” kata seorang daripada mereka, Aziz Afiq Abdul.

Masih tidak ramai orang hadir di sekitar pusat membeli belah itu sementara peserta perhimpunan perlahan-lahan memenuhinya.

7.50pm, Dataran DBKL – Cuaca di Dataran DBKL berangin dan berawan. Sesekali guruh berdentum menandakan hujan hendak turun.

Hanya beberaapa pegawai DBKL dilihat di sekitar kawasan itu. Ini berbeza dengan di Sogo apabila kira-kira 200 orang sudah berkumpul di kawasan itu.

Mereka malah solat Maghrib secara berjemaah di situ.

7.45pm, Central Market – Tiada tanda-tanda kehadiran peserta perhimpunan. Tetapi beberapa pegawai polis bersama kereta peronda kelihatan sudah berada di kawasan itu.

Hanya kelihatan pelancong yang masih leka membeli belah tanpa mengetahui apa yang bakal berlaku.

7.35pm, Dataran Merdeka – Orang ramai yang menantikan sambutan tahun baru mula berkumpul di jalan bertentangan bangunan Sultan Abdul Samad. Kkonsert dijangka bermula pada jam 8 malam. -mk


LINTAS LANSUNG HIMPUNAN TURUN


KUALA LUMPUR: Di sebalik keghairahan sambutan tahun baru 2014 penuh temasya oleh sesetengah pihak malam ini, sebahagian rakyat Malaysia memilih untuk turun membantah kenaikan kos hidup yang bakal dihadapi menjengah tahun baru esok.

Pada malam ini, ramai rakyat Malaysia dijangka turun untuk menyatakan bantahan secara aman khususnya di Dataran Merdeka, di mana tempat berlangsungnya acara sambutan ambang 2014 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), yang menelan belanja hampir RM15 juta.

Himpunan malam ini dinamakan 'Himpunan Turun' yang merupakan inisiatif dari rakyat sendiri yang diketuai Kumpulan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) dan beberapa lagi NGO lain.

Dengan konsep "Duduk dan Bantah" dengan pakaian hitam, himpunan malam ini dijangka bermula jam 9 malam, sehingga tiba detik jam 12 malam.

Pihak berkuasa bagaimanapun melabelkan perhimpunan malam ini sebagai "Himpunan Guling Kerajaan", dan mengancam akan bertindak tegas terhadap mereka yang terlibat.

Beberapa bukti turut ditampilkan sebagai menyokong dakwaan tersebut termasuk penemuan bom yang dikaitkan dengan himpunan malam ini.

LAPORAN LANGSUNG

12.15 AM: Himpunan diakhiri dengan nyanyian lagu Negaraku serta bacaan doa oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Fadhli Saari.

Penganjur kemudian mengumumkan himpunan bersurai.

12.10 AM: Kelihatan peserta himpunan mula beredar keluar dari kawasan Dataran Merdeka dengan aman. Tiada kekacauan berlaku.

Pertama kali dalam sejarah tiada persembahan bunga api di Dataran Merdeka pada malam ini.

11.56 PM: Beberapa minit menjalang detik 12 malam memasuki tahun 2014. Dataran Merdeka masih aman. Peserta himpunan Turun memenuhi kawasan padang dan persekitaran Dataran.

Pihak polis dan anggota DBKL dilihat terus berkawal.

11.30 PM: Pesembahan dan musik dihentikan. menunggu detik jam 12 malam. Kelihatan ada dikalangan penonton mula bergerak keluar dari kawasan dataran.

11.20 PM: Suasana himpunan masih aman, tiada sebarang kekecohan. Sebahgian peserta sudah memasuki kawasan Dataran.

11.05 PM: AJK PAS PUSAT, Dr Dzulkefly Ahmad berkata ini kali pertama himpunan sebegini diadakan pada waktu malam, dan terbukti ianya aman.

"Kita harap keadaan ini berterusan sehingga tamat himpunan," katanya ketika berucap.

11.00 PM: Difahamkan berlaku sedikit kekecohan ketika peserta mahu melepasi benteng keselamatan menuju ke Dataran sebentar tadi.

Terdapat orang ramai terhimpit. Bagaimanapun suasana kembali terkawal sejurus selepas itu selepas polis mengawal keadaan.

10.50 PM: Pengarah Juham Noorazmir Zakaria berkata, tiga talian Hotline yang disediakan pihak mereka untuk aduan kes tangkapan malam ini telah di hack oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menurut beliau, pihaknya menerima laporan dari orang ramai bahawa ada menerima mesej berbaur lucah dari ketiga-tiga nombor tersebut.

"Pihak kami menafikan sekeras-kerasnya mesej-mesej tersebut. Kami ingin maklumkan bahawa talian tersebut telah diceroboh oleh pihak lain yang cuba mengganngu talian ini," katanya kepada Harakahdaily.

10.45 PM: Pelbagai gelagat bantahan ditunjukkan peserta yang hadir malam ini. Masing-masing mereka menggunakan kreativiti tersendiri dalam menyuarakan bantahan.

10.30 PM: Gambar menunjukkan suasana orang ramai yang berpakaian hitam di LRT Bandaraya sedang menuju ke Dataran Merdeka.

10.20 PM: Dianggarkan hampir 10,000 orang sudah berkumpul di kawasan Dataran Merdeka dan jumlah ini dijangka terus bertambah menjelang detik 12 malam ini.

Pengerusi Turun, Azan Safar turut memberikan ucapan. Beliau adalah individu yang sebelum ini ditahan pihak polis ekoran penganjuran himpunan malam ini.

10.15 PM: Sebahagian peserta mengambil tempat dengan memenuhi jalan raya di kawasan sekitar dengan dengan kawalan pihak polis.

Ada di antara mereka dilihat mengambil kesempatan bergambar dan bertegur sapa mengucapkan terima kasih kepada pihak polis.

10.10 PM: Kelihatan Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat sekali lagi menyampaikan ucapan kepada peserta yang berkumpul berhampiran Dataran Merdeka.

Antara lain beliau berkata, himpunan malam ini adalah himpunan mengembalikan maruah dan hak rakyat.

Ratusan anggota polis serta FRU dilihat berkawal di jalan masuk ke Dataran.

10.05 PM: Dataran Merdeka- Beberapa pemimpin parti politik serta aktivis mula berucap di lokasi berdekatan dataran. Turut berucap Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia Badrul Hisham Shaharin.

Laungan "Turun Harga Barang,Turun Harga Minyak, Turun Harga Gula" bergema.

10.00 PM: Dataran Merdeka- Peserta himpunan dilihat semakin ramai. Mereka memenuhi sepanjang jalan sehingga ke Masjid Jamek..

Di pentas utama dataran, sedang berlangsungnya konsert nyanyian anjuran DBKL. Suasana sorakan penonton bagaimanapun meneggelamkan bunyi nyanyian.

9.50 PM: Perhimpunan aman malam ini turut disertai pelbagai lapisan masyarakat, merentas etnik dan ideologi.

Wakil seniman Paksi Rakyat (Paksi) Hasni Abas turut bersolidariti bersama malam ini. Kumpulan mereka berada di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

9.45 PM: SOGO- Kumpulan yang bergerak dari Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut tiba di hadapan Sogo dan mula bergabung dengan peserta yang sedia menunggu di sini.

Mereka terus bergerak menuju ke Dataran Merdeka.

9.40 PM: SOGO- Laungan 'Hidup Rakyat', 'Bangkit Rakyat', 'Tumbang BN' berterusan digemakan. Mereka juga beransur-ansur bergerak ke Dataran Merdeka. Cuaca baik malam ini dilihat memudahkan pergerakan peserta.

Kelihatan anggota trafik turut mengawal lalulintas sementara pengguna jalan raya dilihat turut membunyikan hon tanda sokongan.

9.30 PM: DATARAN MERDEKA- Suasana di sekitar Dataran Merdeka mula dipenuhi mereka yang berpakaian hitam. Dianggar ribuan sudah memenuhi jalan masuk ke Dataran Merdeka dan kawasan sekitarnya termasuk dari Jalan Sultan dan Jalan TAR.

9.25 PM: Kumpulan dari Pejabat AGung PAS di Jalan Raja Laut mula bergerak menuju ke Dataran Merdeka. Pergerakan mereka diawasi pasukan Unit Amal yang turut menjadi barisan hadapan.

Turut kelihatan Pengerusi Kumpulan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun), Azan Safar turut bergerak bersama kumpulan ini.

9.20 PM: SOGO- Hampir 300 orang memenuhi kawasan dataran hadapan kompleks membeli belah ini. Sebahagian mereka mula bergerak ke Dataran Merdeka secara berperingkat.

Sekumpulan anak muda menunjukkan playkad bertulis "Rakyat Sengsara Tahun 2014" kepada orang ramai yang lalu lalang di sini, sebagai suara bantahan yang akan digemakan malam ini.

9.15 PM: PEJABAT AGUNG PAS- Naib Presiden PAS Salahudin Ayub turut memberi ucapan kepada peserta di sini. Beliau bersama beberapa lagi pimpinan PAS dijangka mengetuai perjalanan dari sini ke Datan Merdeka.

9.10 PM: PEJABAT AGUNG PAS- Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat memberikan ucapan semangat kepada peserta himpunan yang berkumpul di hadapan bangunan pejabat PAS di Jalan Raja Laut ini.

Turut serta beberapa lagi exco serta pimpinan pemuda yang lain.

9.05 PM: SOGO- Empat orang anak muda dari Lumut , Perak memberitahu mereka berkongsi duit minyak untuk sama-sama datang ke Kuala Lumpur bagi menyertai himpunan ini.

Salah seorang dari mereka, Hafiz Sulung, 23, bertolak dari Lumut jam 1 petang tadi dan tiba di kompleks membeli belah Sogo kira-kira jam 7 petang ini.

Mereka menjelaskan penyertaan mereka malam ini atas dasar kesedaran dan tekanan yang dirasai akibat kenaikan kos hidup yang semakin tinggi.

9.00 PM: SOGO- Dua orang kakitangan kerajaan yang ditemui oleh Harakahdaily di sini turut menyatakan sokongan kepada himpunan ini. Mereka menyifatkan peserta malam ini sebagai mewakili rakyat terbanyak yang terbeban dengan kos sara hidup.

"Kami guru, jadi tak boleh sertai himpunan ini. Tadi dah dapat memo dari pengetua melarang guru sertai himpunan ini," kata salah seorang darinya yang enggan memberi nama.

8.45 PM: SOGO- Kehadiran di sini mencecah 300 orang dan dijangka terus bertambah dari masa ke masa.

8.40 PM: PEJABAT AGUNG PAS- Sekumpulan pasukan Unit Amal yang terkenal dengan jolokan 'tentera merah' dilihat berkumpul dan mengadakan perbarisan sebagai persediaan mengawal keselamatan peserta himpunan malam ini.

Turut kelihatan, orang ramai yang berpakaian hitam mengambil tempat memulakan himpunan di sini sebelum bergerak ke Dataran Merdeka berjarak kira-kira 3 kilometer.

8.30 PM: SOGO- Orang ramai dengan berpakaian hitam mula berkumpul di hadapan kompleks membeli belah Sogo. Kehadiran mereka dikatakan tiba seawal jam 6 petang.

Majoriti di yang berkumpul di sini adalah dari kelompok aktivis mahasiswa dan juga anak-anak muda.

Beberapa pemimpin mereka dilihat memberikan ucapan ringkas sambil melaungkan 'Hidup Rakyat, Bangkit Anak Muda'.
- HD