16 Jun 2011

Barbican: Apa Autoriti UKM Ganti JAKIM Halalkan Barbican?

Ujian UKM sahkan Barbican bebas alkohol

KUALA LUMPUR – Keputusan ujian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan sebuah makmal swasta di sini mendapati minuman jenama Barbican bebas daripada elemen alkohol.

UJIAN pengesanan halal UKM mendapati produk Barbican bebas daripada elemen alkohol baru-baru ini.

Pengarah Suria Wholesaler Sdn. Bhd., Ahmad Al Yateem berkata, laporan itu diterima pada 7 Jun selepas syarikat itu menghantar sampel minuman edaran pihaknya ke UKM pada 1 Jun lalu.

“Perkembangan positif ini membuktikan Barbican bebas alkohol dan selamat diminum oleh pengguna beragama Islam.

“Saya harap orang ramai terutama pengguna yang beragama Islam tidak perlu bimbang lagi untuk meminum Barbican,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Media sebelum ini melaporkan, syarikat tersebut menjadi syarikat kedua selepas Malaysia Iranian Corporation Sdn. Bhd. yang tampil menegaskan bahawa produk edaran mereka bebas alkohol dan boleh diminum oleh pengguna beragama Islam. -kosmo

Berita sebelum ini




Ulasan GB

JAKIM sebelum ini telah menyatakan bahawa status "halal" untuk bir bernama BARBICAN belum diputuskan lagi.

Tetapi sebuah akhbar tempatan hari ini telah menyatakan "keputusan ujian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan sebuah makmal swasta di sini mendapati minuman jenama Barbican bebas daripada elemen alkohol".

Kita merasakan ada seuatu yang tidak kena di situ di mana yang dihantar adalah "sampel minuman edaran pihaknya". Bukan pemeriksaan rambang ke atas minuman berkenaan. Sesiapa pun boleh hantar sample yang berbeza dengan minuman yang diedarkan kepada orang ramai!

Kedua, mengapa tidak tunggu pengesahan JAKIM?

Ketiga mengapa begitu cepat mengeluarkan kenyataan "Saya harap orang ramai terutama pengguna yang beragama Islam tidak perlu bimbang lagi untuk meminum Barbican”?

Isu ini perlu diselesaikan segera.

JAKIM perlu bertindak dan pihak-pihak yang selain JAKIM sekalipun berstatus universiti, masih boleh menimbulkan keraguan kerana apa autoriti yang ada padanya untuk mengesahkan minuman berkenaan halal?


Apabila Penggodam Berjaya Mencuri Data Pelancongan Sabah...

Data Pelancongan Sabah bocor selepas digodam

Di sebalik jaminan polis bahawa tidak ada data yang akan bocor dalam serangan ke atas laman web kerajaan malam semalam, satu set data pengguna didakwa berjaya dicuri dari laman Pelancongan Sabah dan disiarkan di Internet.

Data 392 akaun pengguna laman itu kemudian dimuat-naikkan ke sebuah portal bebas yang tidak dikenali. Ia turut memuatkan emel pengguna, nama pertama dan akhir pengguna dan juga kata laluan mereka yang telah dipadamkan.

Sementara itu, The Star/Asia News Network melaporkan laman yang digodam itu dikesan awal pagi ini oleh ketua pegawai eksekutif syarikat berkenaan.

"Sebahagian daripada laman web itu didapati telah dipadamkan apabila saya melayarinya,” kata Dhillon Andrew Kannabhiran, yang mengetuai Hack In The Box (M) Sdn Bhd.

"Saya baru pulang dari lawatan luar negara,” kata portal itu.

Laman Pelancongan Sabah telah dihentikan seketika.

F-Secure Corporation (M) Sdn Bhd, sebuah syarikat perisian keselamatan komputer mengesahkan perkara itu.

Ulasan GB

Baru pagi tadi GB sudah ulas perkra ini di sini, dan nampaknya menjadi kenyataan. Petikan:

Kita khuatir pencerobohan yang berlaku bukan sekadar pengambil-alihan skrin utama, tetapi yang lebih membahayakan pihak penceroboh telah dapat mengakses pengkalan data dan kemudian mencuri maklumat-maklumat berharga dari pengkalan data berkenaan.

Wikileaks adalah contoh terbaik dimana pengkalan data berjaya diakses dan maklumat di bawa keluar dari server mangsa.

Yang didedahkan ialah Data Pelancongan Sabah, tetapi GB yakin masih banyak pengkalan data yang telah dicuri terutama apabila pengkalan data yang diceroboh menggunakan MySql.

Kredibiliti polis sendiri tergugat apabila memberikan jaminan palsu kononnya tidak ada data yang akan bocor dalam serangan ke atas laman web kerajaan malam semalam.


FELDA Ada Potensi Besar Jatuh Bangkrap, Pinjam Wang KWSP RM6 Billion

Felda hari ini mengaku membuat pinjaman RM6 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja namun menegaskan agensi itu tidak bermasalah membayar semula pinjaman itu.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Maslan memberitahu Parlimen, Felda mencatat keuntungan RM1.197 bilion tahun lalu dan dan nilai keseluruhan syarikat itu adalah RM19.18 bilion.

Bagaimanapun Ahmad Maslan tidak dapat memberi penjelasan kenapa, Felda perlu membuat pinjaman RM6bilion jika kedudukan kewangannya kukuh.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta kerajaan Umno-BN menyatakan sama ada RM6 bilion itu digunakan oleh anak syarikat Felda, Felda Global Ventures untuk melabur dalam syarikat milik asing.

Pelaburan itu, menurut Anwar, menyebabkan Felda menanggung kerugian berkumpul RM500 juta dari tahun 1997 hingga tahun lalu.

Malah katanya hal ini mengakibatkan timbul pelbagai persoalan mengenai kelemahan dalam pengurusan dana Felda dan apakah pinjaman yang dibuat bertujuan untuk menampung kerugian agensi terbabit.

"Siapa yang beri kebenaran? Adakah Menteri Kewangan dirujuk dan apa jadi dengan pemimpin-pemimpin korporat yang terlibat dalam kes ini?

"Kalau anda terus bergolak dengan undang-undang dan secara berterusan membuat keputusan bertanggungjawab, Felda akan diterima.

"Dan saya persoalkan keputusan untuk mengambil kerja konsultant. Tidak ada rekod dari segi pengalaman atau kepakaran dalam pelaburan dan teknologi urus niaga perindustrian," ujar beliau.

Ahmad sebelum ini gagal untuk memberikan jawapan kepada Anwar kerana tidak mempunyai maklumat penuh mengenainya.

Pinjaman RM6 bilion oleh Felda itu didedahkan oleh Pengerusi Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman pada bulan lalu, namun ia tidak disahkan oleh Felda sehingga kenyataan Ahmad hari ini.

Tahun lalu, Ahmad mengaku, juga di Parlimen, bahawa rizab Felda susut daripada lebih RM4 bilion pada tahun 2004 kepada RM1.35 bilion tahun 2009.

Peneroka Felda dilihat sebagai “simpanan tetap” Umno ketika pilihanraya dan sebarang kritikan terhadap pengurusan Felda sering mengundang tindakan padah daripada pemerintah.

Tahun lalu, lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat, Suara Keadilan diharamkan dan disaman kerana mendakwa Felda mungkin bangkrap jika terus menanggung kerugian akibat pemborosan dan pelaburan yang tersasar.

Sementara itu, Anwar turut menyangkal keterangan Ahmad kononnya Felda mencatatkan keuntungan tinggi, sebaliknya ujar beliau, agensi itu mampu memperoleh keuntungan berlipat ganda sekiranya pengurusan lebih telus.

Ini kerana menurutnya, peneroka berhak untuk menikmati lebih banyak keuntungan memandangkan harga kepala sawit dan getah dunia melambung tinggi.

Jelas beliau, aset dan keuntungan Felda keseluruhan perlu dibandingkan dengan pencapaian anak syarikat agensi kerajaan itu.

"Untung yang sepatutnya RM5 bilion jadi RM1 bilion, itu harus dipertanggungjawabkan. Yang kita bangkitkan mengapa pilih syarikat Amerika (Syarikat) yang dipertikai. Mengapa terima mudah kerugian RM500 juta? Jawab menteri, "peneroka tidak dibebankan". Ini jawapan tidak tepat.

"Keuntungan itu pulangnya kepada peneroka. Kalau untung RM5 bilion maknanya untung peneroka. Kalau untung RM5 bilion jadi RM1 bilion kena persoalkan kerana itu hak peneroka yang patut mendapat keuntungan sebegitu rupa. Tetapi (menteri) boleh jawab dengan begitu yakin dan boleh beritahu kepada kampung di Felda yang kita untung," katanya lagi. -tvsnews



Ulasan GB

Ahmad Maslan tidak dapat memberi penjelasan kenapa, Felda perlu membuat pinjaman RM6bilion jika kedudukan kewangannya kukuh.

Yang nyata selama ini, rakyat melihat, FELDA dijadikan "penyedia dana" untuk UMNO-BN.

Cukup menghairankan KWSP boleh membenarkan pinjaman sebegitu besar kepada FELDA yang berada di ambang kebangkrapan sedangkan wang KWSP adalah milik rakyat.

Kita tidak tahu asas penilaian pelaburan yang digunapakai oleh KWSP meluluskan pinjaman kepada FELDA sedangkan sudah dimaklumkan bahawa rizab Felda susut daripada lebih RM4 bilion pada tahun 2004 kepada RM1.35 bilion tahun 2009.

RM6 bilion itu digunakan oleh anak syarikat Felda, Felda Global Ventures untuk melabur dalam syarikat milik asing dan pelaburan itu, telah menyebabkan Felda menanggung kerugian berkumpul RM500 juta dari tahun 1997 hingga tahun lalu.

KWSP perlu jawab dan bertanggungjawab kepada rakyat selepas ini.


Waspada: Tonton TV Tingkat Diabetes

Mereka yang menghabiskan lebih banyak masa di hadapan televisyen lebih berisiko untuk mendapat penyakit diabetes dan jantung, walaupun menonton hanya dua jam sehari, menurut satu kajian.

Setiap hari, penduduk Amerika Syarikat menghabiskan purata kira-kira lima jam menonton televisyen, manakala penduduk Australia dan Eropah antara 3.5 jam hingga 4 jam sehari, kata penyelidik yang diketuai Frank Hu, di Sekolah Perubatan Harvard.

“Mesejnya mudah. Mengurangkan masa menonton TV adalah satu langkah penting untuk mengurangkan risiko diabetes dan penyakit jantung,” kata Hu.

Mereka yang duduk di hadapan televisyen kurang melakukan senaman dan banyak memakan makanan tidak sihat, katanya.

“Kombinasi gaya hidup duduk, diet tidak sihat dan kegemukan mencetuskan ‘satu pembiakan sempurna bagi diabetes jenis kedua dan penyakit jantung.”


Ini bukan kajian pertama dikaitkan dengan masa menonton televisyen yang mempunyai kesan penyakit. Kebanyakan kajian mendapati kaitan yang kuat kepada obesiti dan satu laporan pada 2007 mendapati lebih banyak masa televisyen dikaitkan dengan tekanan darah tinggi di kalangan kanak-kanak obes.

Dalam kajian terbaru yang disiarkan dalam Journal of the American Medical Association, Hu dan rakannya meneliti lapan kajian untuk melihat kaitan antara masa menonton televisyen dan penyakit, yang secara keseluruhan meliputi lebih 200,000 penduduk untuk tempoh purata 7 hingga 10 tahun.

Hu dan rakannya mendapati bagi setiap dua jam sehari masa menonton televisyen, risiko untuk mendapat penyakit diabetes meningkat 20 peratus, manakala penyakit jantung meningkat 15 peratus.

Setiap dua jam sehari masa menonton televisyen meningkatkan risiko mati sebanyak 13 peratus. Berdasarkan keputusan itu, Hu dan rakannya menganggarkan di kalangan sekumpulan 100,000 orang, sekiranya mereka mengurangkan masa menonton televisyen sebanyak dua jam boleh menghalang 176 kes diabetes baru, 38 kes kematian akibat kardiovaskular dan 104 kematian pramatang, setiap tahun. – Reuters

Apabila Jamil Khir & Ng Yen Yen Menipu Di Parlimen...

Murtad: 2 versi penjelasan menteri

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menafikan laporan portal berita mengenai 135 kes permohonan murtad diluluskan bagi tempoh 2000 hingga 2010.

Beliau menegaskan bahawa sehingga kini belum ada satu pun kes murtad yang diluluskan oleh Mahkamah Syariah, lapor Bernama.

Jamil Khir menjelaskan 135 kes itu dipohon di bawah murtad tetapi setelah diteliti oleh Mahkamah Syariah mereka didapati tidak sah masuk Islam, sekali gus tidak timbul soal (mereka) murtad.

"Timbul kekeliruan di sini, contohnya seseorang itu memohon untuk kedudukannya sebagai Islam, tetapi kemudian mahu kembali ke agama asalnya, setelah disiasat, mahkamah mendapati dia bukan Islam, jadi tidak timbul soal murtad.

"Sama juga untuk pasangan berkahwin yang hendak daftar untuk perceraian, tetapi mahkamah mendapati mereka berkahwin secara tidak sah di Thailand kerana tiada saksi dan wali, jadi tidak timbul soal perceraian," katanya kepada Bernama pada Rabu.

Malaysiakini kelmarin melaporkan jumlah permohonan untuk murtad adalah 686 manakala permohonan yang diluluskan adalah 135 orang.

Jawapan di parlimen

Laporan itu dibuat berdasarkan jawapan Jamil Khir yang menjawab pertanyaan lisan anggota parlimen Bakri Er Teck Hwa di parlimen kelmarin.

Soalan itu berbunyi: "Tuan Er Hwa [Bakri] minta perdana menteri menyatakan jumlah permohonan murtad bagi penganut Islam dan berapakah permohonan yang diluluskan mengikut negeri dari tahun 2000 - 2010 serta tindakan Jabatan Agama Islam untuk menangangi gejala murtad."

Sementara jawapan Jamil Khir pula berbunyi: "Permohonan menukar status agama oleh orang Islam di Mahkamah Syariah dari tahun 2000 hingga 2010 adalah berjumlah 863 kes. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 168 kes telah diluluskan."

Jamil Khir juga memberikan statistik lengkap yang menyatakan jumlah permohonan dan kelulusan mengikut negeri.

Bagaimanapun perangkaan yang dibekalkan kepada Dewan Rakyat itu tidak selaras dengan jumlah yang dikira.

Mengikut kiraan Malaysiakini, jumlah permohonan untuk murtad adalah 686 manakala permohonan yang diluluskan pula adalah 135 orang. -mk

Yen Yen claims Facebook pages free, contradicts reply in Parliament

KUALA LUMPUR, June 15 — With Barisan Nasional (BN) and Pakatan Rakyat (PR) both demanding an explanation for the tourism ministry’s RM1.8 million Facebook campaign, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen denied any wrongdoing today and accused DAP of twisting the truth.

“The opposition just goes around saying it’s for Facebook. They are twisting the issue.

“The Facebook pages do not cost a single sen. This is a social media advertising, promotions and branding campaign and also data collection,” the MCA vice president told reporters today.

However, her contention that the Facebook pages were free appeared to contradict her ministry’s detailed account of the cost for each page.

Yesterday, Deputy Tourism Minister James Dawos Mamit had replied in Parliament to Anthony Loke (DAP-Rasah) that each Facebook page had cost RM293,072.

Dr Ng also added today that the RM1.8 million would cover the cost of six different campaigns across seven months and includes the cost of contests and advertising on Google and Facebook.

“It is important for us to reach the high-spending market.

‘‘We use Facebook as the vehicle because you can run campaigns there. Twitter is not visual,” she explained.

DAP Youth chief Loke had said that unless Ng explained the reason behind the “exorbitant” costs for the “social media branding” exercise by her ministry, he will lodge a report with the Malaysian Anti-Corruption Commission (MACC).

Citrawarna 1 Malaysia, the most popular page, has so far attracted 20,292 Facebook fans since it was launched on May 21.

The ministry had said that the RM1.8 million included costs for designing, flash programming and coding, testing and debugging, uploading and launching the application, system server deployment and campaign management. -TMI


Ulasan GB

Menteri-menteri yang kenyataannya berbelit-belit umpama lidah biawak yang bercabang. Di parlimen lain, di luar parlimen lain. Lebih menyedihkan ia melibatkan juga seorang Menteri yang menjaga hal-ehwal ugama Islam.

Kedua-dua menteri ini patut dirujuk ke Jawatan Khas Parlimen supaya tindakan diambil. Tetapi malangnya di Malaysia, hanya wakil rakyat pembangkang saja yang biasanya diheret ke J/K Parlimen sedangkan mereka dari parti kerajaan, walau pun menipu di parlimen tetapi tidak dikenakan tindakan.

UMNO & Utusan Terasa Khutbah Jumaat Ditujukan Kepada Mereka

Khutbah Jumaat Tiada Motif Politik, Kata Mufti Selangor

SHAH ALAM 15 JUN : Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid menegaskan khutbah Jumaat mengenai dosa fitnah yang dibacakan di masjid- masjid seluruh negeri Selangor, tidak mempunyai motif politik sebagaimana yang didakwa oleh Utusan Malaysia.

Beliau menjelaskan, khutbah itu sekadar mendidik ummah negeri ini tentang bahaya gejala fitnah dan syarat-syarat Islam yang perlu dipatuhi dalam menuduh seseorang berzina.

"Saya bersangka baik bahawa khatib bertujuan mahu memberikan penjelasan kepada masyarakat agar kita lebih berhati-hati supaya jangan sampai membuat sebarang tuduhan yang tidak ada bukti (atau) saksi kerana jika seseorang itu membuat tuduhan zina ataupun qazaf mestilah ada bukti (dan) saksi,” kata beliau kepada TvSelangor.

Justeru Tamyes menyifatkan tindakan Utusan Malaysia menggambarkan masjid di Selangor 'diperkudakan' demi kepentingan politik pihak tertentu adalah tidak benar dan bertujuan mencetuskan kontroversi semata-mata.

Artikel 'Masjid Selangor Diperkudakan' ditulis oleh Pengarang Utusan, Zulkifli Jalil. Beliau mendakwa khutbah itu bertujuan membersihkan nama Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada dikaitkan dengan isu video lucah Datuk T.

Khutbah Jumaat itu menyifatkan tindakan umat Islam yang membuat kenyataan berbentuk fitnah bercanggah dengan syariat Islam.

“Perhatian ini wujud kerana ada kecenderungan sebahagian umat Islam membuat kenyataan berbentuk fitnah yang sangat jelas bercanggah dengan syariat Islam tidak kisah sama ada ia dilakukan sama ada oleh individu, kumpulan, persatuan dan pihak-pihak lain,” kata khutbah standard yang disampaikan di masjid-masjid di seluruh negeri Selangor itu.

“Fitnah ialah mengadakan satu berita palsu atau bohong terhadap seseorang yang mempunyai perasaan permusuhan dengan motif- motif yang buruk.

Fitnah boleh menimbulkan qazaf dan ia bererti membuat pertuduhan terhadap seseorang melakukan zina atau liwat tanpa empat saksi adil dan orang yang menuduh telah melakukan jenayah qazaf dan fitnah,” menurut khutbah rasmi itu.

Tamyees hari ini berkata tuduhan melulu yang dibuat oleh Zulkifli dan pihak-pihak tertentu dalam Umno kononnya khutbah itu berbau politik adalah tersasar.

Beliau berkata kandungan teks khutbah yang dibaca oleh khatib disemak dan diteliti oleh Jawatankuasa Panel Khutbah yang dilantik oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebelum diedarkan kepada masjid-masjid untuk dibaca setiap minggu.

"Sebenarnya kandungan khutbah ini adalah yang disemak oleh satu lajnah ataupun jawatankuasa penilai khutbah di Jabatan Agama Islam Selangor yang dipengerusikan Pengarah JAIS sendiri, ahli jawatankuasanya terdiri daripada ahli akademik."

Tamyes bersetuju bahawa khutbah Jumaat tidak harus memecah-belahkan umat Islam namun "kalau niat imam atau khatib yang membacanya adalah sebagai peringatan kepada kita agar lebih berhati-hati apabila membuat tuduhan, itu suatu perkara yang digalakkan oleh agama."




Ulasan GB

Sekian lama UMNO BN memperkudakan khutbah Jumaat tidak dihebohkan tiba-tiba apabila khutbah Jumaat menasihati agar jangan menimbulkan fitnah, penulis Utusan itu seperti terasa pedasnya lada apabila menggigitnya. Terasa pedih telinga mendengarnya.

Sememangnya Utusan dan UMNO suka untuk menyebarkan fitnah, lantarannya, khutbah Jumaat yang menggesa agar tidak menyebarkan fitnah dirasakan seperti ditujukan kepada mereka.

Isteri Mahu Jual Organ RM1juta Untuk Bayar Hutang Suami Kepada Along

Johor Bharu: “Ini ikhtiar akhir, saya mahu jual buah pinggang atau mata pada harga RM1 juta untuk melunaskan hutang along,” demikian luah ibu kepada dua anak berusia 35 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Fatimah di sini, semalam.

Suami Fatimah dikenali sebagai Ahmad, 39, terpaksa menanggung kadar bunga mencecah RM54,000 sejak September lalu melalui pinjaman RM30,000 untuk memulakan perniagaan, sudah tidak tahan lagi diganggu lelaki tidak dikenali yang sering datang ke kediamannya di Larkin di sini, bagi menuntut hutang terbabit.

Fatimah yang tidak bekerja berkata, dia sedar perbuatan menjual organ tubuh salah di sisi undang-undang, tetapi beranggapan ia jalan terakhir mampu dilakukannya bagi melunaskan hutang secepat mungkin.

“Saya melakukannya kerana tidak sanggup melarikan diri daripada buruan along selain kasihan dengan ibu yang sering menjadi mangsa maki-hamun lelaki tidak dikenali.

“Harga diletakkan pula memang tinggi kerana saya beranggapan selepas menjual organ, saya mungkin berdepan masalah kesihatan dan wang itu akan digunakan untuk membiayai kos sepanjang hayat,” katanya. -hm


Jual organ bayar hutang suami

Wanita tawar buah pinggang, sebelah kornea mata pada harga RM1 juta

JOHOR BAHRU: Trauma diancam samseng pengutip hutang yang dihantar sebuah syarikat kewangan berlesen bagi menuntut hutang ditanggung suaminya, seorang ibu muda dari Kulaijaya di sini, mahu menjual buah pinggang dan kornea matanya pada harga RM1 juta.

Hasrat wanita berusia 35 tahun itu terbongkar ketika dia mengunjungi pejabat Bahagian Pengiklanan, The New Straits Times Press (NSTP) di Bandar Baru UDA di sini, untuk membeli ruangan bagi mengiklankan jualan sebiji buah pinggang dan kornea sebelah matanya.

Beliau mahu menjual dua organ berkenaan kepada sesiapa saja yang berminat membayar jumlah terbabit, tanpa menyedari perbuatannya adalah menyalahi undang-undang.

Ibu kepada seorang bayi berusia 19 bulan itu, berkata dia nekad mahu menjual organ berkenaan kerana tidak tahan lagi menanggung beban hutang selepas suaminya meminjam dengan sebuah syarikat kewangan berlesen di Kuala Lumpur yang mengenakan faedah sehingga RM6,000 sebulan.

Katanya, suaminya mendapat pinjaman RM30,000 daripada syarikat terbabit selepas seorang rakan menjanjikan kontrak menambak tanah di Terminal Pengangkutan Tambang Murah (LCCT) dekat Sepang, yang perlu disiapkan dalam tempoh dua bulan sebelum Ramadan tahun lalu.

“Suami saya diminta menyediakan 100 hingga 200 lori untuk projek itu menyebabkan dia teruja dan mula berusaha menyediakan lori yang dikehendaki dengan melayari laman web sebelum menemui dua lelaki yang mendakwa mampu menyediakan pengangkutan terbabit.

“Yakin mendapat projek itu, suami saya meminta bantuan abangnya di Kuala Lumpur untuk menguruskan pinjaman dengan syarikat kewangan terbabit dan berjanji membayar RM15,000 sebulan serta ‘duit kopi’ RM6,000 setiap bulan sehingga projek diselesaikan dalam masa dua bulan,” katanya.

Katanya, selepas sebulan berlalu, lori dijanjikan dua lelaki yang dikenali menerusi iklan laman web itu gagal diperoleh, meskipun sudah membayar mereka RM3,000.

“Pada akhir bulan pertama itu, suami saya memulangkan kembali wang pokok RM15,000 serta faedah sebanyak RM6,000, tetapi selepas ini suami sudah kehabisan wang untuk membayar mereka sedangkan baki hutang mula membiak dengan faedah yang dipersetujui dengan syarikat itu.

“Suami saya gagal mendapat projek menambak tanah terbabit dan sejak itu kehidupan kami sekeluarga mula dilanda kebimbangan apabila pengutip wang mula datang ke rumah abang ipar selaku penjamin serta rumah keluarga kami di Kulaijaya.

“Nak makan pun saya tidak ada duit, mujur seorang rakan meminjamkan wang untuk suami yang membolehkan beliau mengusahakan gerai roti canai di Kuala Lumpur dan berhasil membayar RM500 sebulan sepanjang Januari hingga April tahun ini. Namun, masih tidak cukup, kereta juga sudah ditarik bank dan rumah sewa di Kuala Lumpur juga sudah tiga bulan tidak dibayar.

“Namun, mereka (pengutip hutang) tetap datang meminta kami menjelaskan baki bayaran dan sehingga kini faedahnya tidak pernah berkurangan. Saya dan suami kini tersepit apabila diburu pengutip hutang syarikat,” katanya.

Katanya, beliau mengambil keputusan menjual organ itu kerana mahu membina hidup baru walaupun hasrat itu tidak diberitahu suaminya. -BH



Waspada: Panadol Dari Tepung Gandum Di Pasaran

Paracetamol palsu dikesan membanjiri pasaran tempatan dengan penjualannya menggunakan bungkusan asal jenama Panadol bersama pelekat hologram tiruan bagi mengelirukan pengguna.

Perkara itu dikesan hasil siasatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mendapati produk terbabit dipercayai menggunakan bahan asas tepung gandum yang tidak mampu melegakan demam pesakit selain didapati pada harga lebih murah.

Penolong Pengarah Penguat Kuasa Farmasi KKM, Aznur Muhammad berkata, setakat ini, pihaknya masih membuat kajian bagi mengenal pasti sama ada produk tiruan itu boleh memberi kesan sampingan kepada orang ramai atau sebaliknya.

“Kami masih melakukan ujian makmal terhadap-ubatan palsu dirampas itu untuk mengesan sama ada wujud campuran bahan kimia lain atau sebaliknya.

“Bagaimanapun, pengguna yang mahu membeliubatan ini boleh memeriksa pelekat hologram digunakan bagi memastikan sama ada ia tulen atau sebaliknya menggunakan alat dibekalkan KKM di setiap kedai terbabit,” katanya.

Beliau berkata, selain paracetamol, ubat-ubatan lain yang turut dipalsukan semata-mata bagi mengaut keuntungan termasuk air cap Badak, minyak angin jenama Vicks dan minyak urut jenama Mustika.

Dalam operasi sekitar Chow Kit, jam 12 tengah hari semalam, Bahagian Farmasi KKM yang membuat pemeriksaan di beberapa kedai jamu dan ubatan menemui lima gudang ubat haram membabitkan nilai rampasan bernilai RM1 juta. -HM

Lamanweb K'jaan Malaysia Digodam, Sistem Pertahanan Komputer Kerajaan Rapuh

Anonymous serang laman web k'jaan Malaysia

Sejak awal pagi tadi, sekurang-kurangnya 10 laman web agensi kerajaan tidak dapat dilayari kerana diserang oleh pengodam yang membalas tindak kerajaan menyekat beberapa laman sesawang perkongsian fail.

Bermula jam 3.30 pagi tadi pengodam yang menamakan kumpulan mereka sebagai Anonymous, menyenaraikan 18 laman web kerajaan yang didakwa telah diserang oleh DDoS (Distributed Denial-of-Service) ataupun dipadamkan sementara oleh pentadbirnya.

Tinjauan Malaysiakini sehingga jam 9 pagi ini mendapati tidak kurang sembilan laman web, termasuk portal rasmi kerajaan Malaysia MyGovernment (www.malaysia.gov.my), masih tidak dapat dilayari.

Laman lain adalah Pelancongan Sabah, Asean connect, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Perbendaharaan, Parlimen, Jobs Malaysia, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dan Majlis Sukan Negara.

Menurut beberapa pelayar yang sempat merakamkan laman web kerajaan yang digodamkan itu berkata kumpulan itu juga menukar kenyataan di laman-laman berkenaan.

“Salam Malaysia, kami telah menyaksikan penapisan internet yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia yang menyekat laman seperti The Pirate Bay dan WikiLeaks. Malaysia adalah antara kerajaan di dunia ini yang paling ketat mengenakan tapisan, hingga sanggup menghalang akses kepada filem dan rancangan televisyen.

“Tidak ada alasan bagi sebarang bentuk penapisan. Awak hanya cuba merampas hak asasi manusia. Internet diadakan untuk kebebasan dan tanpa rasa gentar kepada kerajaan mahupun campur tangannya. Jangan fikir tidak ada orang yang sedar apa yang awak lakukan,”
petik kenyataan itu dalam bahasa Inggeris.

Tambahnya lagi, serangan itu sebagai tanda dan amaran serta peluang bagi mendengar idea pihak lain. Pengodam juga berkata mereka mempunyai tanggungjawab bertindak pantas dan tanpa belas kasihan.

Minggu lalu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengumumkan bahawa 10 laman web termasuk Pirate Bay dan Megaupload telah disekat kerana mencabuli undang-undang hak cipta. -mk


Anonymous ancam godam laman web kerajaan Malaysia Khamis ini
June 14, 2011

PETALING JAYA, 14 Jun — Satu kumpulan yang dikenali sebagai Anonymous mengancam untuk menggodam laman web kerajaan www.malaysia.gov.my di bawah “Operation Malaysia” awal Khamis ini.

Kumpulan itu menghantar mesej mengatakan bahawa ia akan menggodam pada pukul 3.30 pagi Khamis ini waktu Malaysia (7.30 petang, waktu GMT esok).

Laporan The Star Online pagi ini menyebut ugutan dalam bentuk grafik disiarkan di laman web http://i.imgur.com/PTFWh.png.

Mikko Hypponen, ketua pejabat penyelidikan di F-Secure Corporation, sebuah firma sekuriti perisian yang berpejabat di Helsinki, Finland menghantar mesej mengenainya menerusi Twitter kira-kira 4.42 pagi tadi (waktu Malaysia).

Tiada butiran lain diperoleh ketika ini, kata laporan itu.

Laporan itu menambah, tidak diketahui sebab Anonymous menyasarkan laman web Malaysia. -TMI 14/06/2011


Ulasan GB

GB dah ulas sebelum ini bahawa, Malaysia ditadbir oleh pemimpin-pemimpin yang bebal IT sekalipun di Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia, maka itu, sekalipun telah diberi amaran bahawa serangan akan berlaku ke atas laman-lamanweb kerajaan, menteri-menteri yang hanya pandai bercakap ini tidak memandang ia sebagai serius dan justeru itu ia tidak mengambil langkah berkesan untuk menghalang berlakunya pencerobohan berkenaan.

Menteri yang menjaga hal-ehwal komunikasi dan multimedia heboh pula mengedarkan netbook untuk pelajar-pelajar sedangkan beliau sendiri buta IT.

Mereka tidak berupaya untuk mewujudkan kumpulan pakar IT yang baik bagi persiapan mempertahankan lamanweb dan portal kerajaan daripada pencerobohan.

Itu mujur penceroboh telah "baik hati" kerana memberi amaran lebih awal.

Dalam banyak kes pencerobohan jarang berlaku perkara sedemikian dimana lazimnya penceroboh akan terus menerjah dan "mengambil-alih" skrin utama lamanweb.

Kita khuatir pencerobohan yang berlaku bukan sekadar pengambil-alihan skrin utama, tetapi yang lebih membahayakan pihak penceroboh telah dapat mengakses pengkalan data dan kemudian mencuri maklumat-maklumat berharga dari pengkalan data berkenaan.

Wikileaks adalah contoh terbaik dimana pengkalan data berjaya diakses dan maklumat di bawa keluar dari server mangsa.

p/s Anda berbelanja jutaan ringgit mewujudkan kumpulan apa yang dinamakan cyber-trooper untuk menggodam lamanweb, portal dan blog-blog mereka yang tak sehaluan dengan pandangan kerajaan, kini portal & lamanweb anda di serang. What goes around turns around!

Nak wujudkan kumpulan pertahanan sistem komputer pun tak berupaya, inikan pula nak wujudkan kumpulan pertahanan logi nuklear yang kononnya "kegagalan-sifar".

Lihat BERSIH Secara Positif, Ia Mampu Jana Pendapatan Peniaga

Para peniaga perlu melihat Perhimpunan BERSIH sebagai sesuatu yang positif dalam usaha menjana pendapatan peniaga, ujar Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad.

Menurut beliau, kehadiran ramai pengunjung pada perhimpunan itu dapat menjana pendapatan peniaga seperti penjualan barang makanan, cenderahati BERSIH 2.0 dan sebagainya memandangkan perhimpunan ini sudah diwarwarkan dari awal dan bukannya di saat- saat akhir.

“Saya rasa BERSIH ini boleh menajanakan ekonomi kalau pihak peniaga Bumiputera yang pandai mengambil kesempatan memandangkan ramai orang hadir dalam perhimpunan terbabit. Saya rasa suasana yang bakal timbul terpulang kepada masing-masing.

“Kalau kita sudah menunjukkan satu sikap negatif maka kita tidak mendapat peluang. Kalau kita menunjukkan satu sikap yang positif, maka kita akan memanfaatkan perkara- perkara yang bakal berlaku,” katanya.

Dalam pada itu beliau menambah, pertubuhan peribumi perkasa (PERKASA) sepatutnya tidak perlu campur tangan dalam perhimpunan tersebut berikutan tujuan dan niat asal perhimpunan ini adalah baik dan bukannya bermatlamat menggugat keamanan serta menimbulkan kekacauan.

“Saya rasa mereka sepatutnya tidak dibenarkan untuk mengganggu tunjuk perasaan yang ingin dilakukan oleh pihak BERSIH 2.0. amat jelas kehadiran mereka bertujuan untuk mengganggu dan menimbulkan ketegangan sedangkan daripada tujuan dan niat asal BERSIH 2.0 adalah perhimpunan aman,” katanya.

Beliau menambah, ini bukan kali pertama PERKASA 'kebal' untuk melakukan apa sahaja yang bertentangan dengan prinsip keamanan dan demokrasi.


Sementara itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar memohon penjelasan daripada Persatuan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutan, PPBWP berhubung kerugian yang dialami oleh peniaga pada perhimpunan BERSIH yang lalu.

Menurut beliau, berdasarkan dakwaan peniaga sebelum ini kononnya mereka kerugian hampir RM10juta sewaktu himpunan BERSIH kali pertama diadakan, ini bermaksud peniaga memperoleh anggaran pendapatan berjumlah RM5,000 sehari dan mereka mampu mendapat RM 150,000 sebulan.

“Kalau RM10 juta dibahagikan kepada 2,000 orang, maknaya RM5,000 sehari. Untuk 30 hari maknanya RM 150,000 kerugian sebulan. Jadi saya tidak tahu bahagian kutipan dan taksiran cukai membuat satu siasatan kepada mereka kerana pendapatan mereka kalau RM150,000 sebulan maknanya ianya pendapatan mereka boleh dicukaikan. Jadi saya tidak tahu mereka sudah membayar cukai pendapatan kepada kerajaan atau tidak.

“Kalau mereka tidak membayar cukai kepada kerajaan, saya turut mengalami kerugian. Rakyat juga tidak mendapat manfaat daripada cukai yang sepatutnya dibayar oleh 2,000 orang peniaga ini.

“Jadi saya minta satu penjelasan daipada PPBWP sejauh mana peniaga ini telah membayar cukai pendapatan walaupun mereka hanya sebagai peniaga kecil tetapi pendapatan mereka sangat- sangat tinggi berdasarkan laporan pengakuan yang dibuat oleh mereka yang mengatakan kerugian sebanyak RM 10juta. Dalam perhimpunan bersih yang lalu,” katanya.

Beliau menambah sekiranya peniaga tidak perlu membayar cukai pendapatan kepada kerajaan maka tidak menjadi masalah berhubung penganjuran perhimpunan BERSIH 2.0 akan datang.

“Bagi saya ini merupakan asas yang perlu kita bincang. Kalau mereka mengatakan mereka tidak perlu membayar cukai kerana pendapatan mereka tidak sampai, maka tidak ada kerugian pada perhimpunan BERSIH yang lalu. Jadi tiada masalah untuk mengadakan himpunan BERSIH yang kedua,” katanya.-tvsnews



Kartun Utusan Hina Islam, PUM Mahu Pelukis & Penerbit Didakwa


Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mencadangkan pelukis kartun bertajuk 'Kekeliruan Kes Rogol' yang disiarkan di Utusan Malaysia hari ini diheret ke mahkamah kerana menghina Islam.

“Kita syorkan supaya pelukis dan penerbit kartun ini didakwa atas penghinaan ke atas Islam," kata Yang Dipertua PUM, Datuk Sheikh Abdul Halim Abd Kadir dalam satu kenyataan lewat petang tadi.

Katanya, penyiaran kartun di akhbar milik Umno itu secara jelas menghina ulama dan Islam dan tidak harus dibiarkan.

Sheikh Abdul Halim berkata kartun seperti itu dilihat cuba memperlekehkan pandangan alim ulama dan memberikan tanggapan negatif kepada Islam.

“PUM meminta supaya para Mufti juga turut menegur Utusan yang menyiarkan kartun yang menghina hukum hakam agama. Sepatutnya akhbar menjadi alat perpaduan dan menimbulkan kesedaran, bukan menambah pergeseran dan perpecahan umat.

“Sehubungan dengan itu PUM meminta supaya Majlis Fatwa Kebangsaan membuat pendirian berhubung dengan perkara ini,”
katanya.

Sheikh Abdul Halim mengulas kartun pada halaman 15 akhbar itu dengan tajuk 'Kekeliruan Kes Rogol' yang dilukis oleh 'Miko'.

Lakaran pertama mengambarkan seorang gadis yang mendakwa dirinya dirogol dan dikatakan mempunyai bukti dalam bentuk rakaman video telefon tetapi ditolak oleh pegawai Jabatan Agama kerana tidak mempunyai empat saksi.

Lakaran kedua itu pula menunjukkan lukisan gadis yang sama membawa aduan berkenaan kepada seorang anggota polis yang menerima duan itu.

Dia hanya Besi

Dialognya berbunyi “Bagus...Alat itu pun boleh jadi bukti!”

Selain itu, dialog lain yang dikatakan menghina Islam adalah: “Peralatan itu tak boleh jadi saksi, sebab dia tak ada telinga dan tak ada mata! Dia hanya Besi.”

Menurut Sheikh Abdul Halim Utusan sepatutnya mendapatkan pandangan cerdik pandai dalam bidang agama sebelum mengeluarkan sesuatu bahan seumpama itu.

“PUM juga menyarankan agar pihak kerajaan adakan lebih banyak konvensyen nasional bagi menyelesaikan isu-isu dalam kalangan umat Islam sekarang yang kebanyakkan masyarakat Islam sekarang dilihat kurang berpengetahuan agama,” katanya.

Turut membidas penyiaran kartun oleh akhbar milik Umno itu ialah Dewan Pemuda PAS negeri Melaka yang mahu Utusan meminta maaf kepada umat Islam.

"Inilah akibatnya apabila akhbar Utusan Malaysia di-umno-kan. Tidak lagi seperti dahulu. Campur tangan Umno akan merosakkan semua, paling menyedihkan apabila agama sendiri dipersenda, kata ketuanya, Aizat Baharuddin dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Ruangan kartun itu, kata Aizat jelas cuba mempermain-mainkan hukum Islam iaitu hukum tentang persaksian kes zina.

"Dalam hukum Islam jelas dinyatakan bahawa apabila seseorang Islam dituduh melakukan zina orang yang menuduh perlu dibawakan empat orang saksi yang tidak fasiq."

Begitu jahil

Katanya, dialog kartun yang cuba digambarkan oleh pelukis langsung tidak sensitif pada hukum Islam bahkan mempersendakan hukum Islam.

“Ia menggambarkan seolah-olah hukum membawa empat orang saksi itu tidak boleh diguna pakai tetapi video dan gambar boleh dijadikan sebagai bukti.

“Kartun tersebut juga menggambarkan bahawa golongan agamawan begitu jahil dan tidak serius berbanding pihak polis," kata Aizat.

Menurut beliau tindakan akhbar itu jelas cuba mempermain-mainkan hukum Islam yang datangnya dari Allah.

"Ia dipercayai berkaitan tentang isu video seks dan liwat (Datuk Seri) Anwar Ibrahim yang menjadi bahan utama (persendaan) akhbar itu,"
katanya.

Menurut Aizat, Utusan perlu meminta maaf kepada umat Islam kerana sesungguhnya penghinaan seumpama itu hanya akan merugikan umat Islam.

"Cukuplah Islam dihina oleh musuh Islam, janganlah orang Islam sendiri yang menghina hukum yang Allah tetapkan disebabkan kejahilan sendiri." katanya. -mk



Persatuan Ulama kecam karikatur Utusan Malaysia, dakwa hina Islam

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mengecam karikatur bertajuk “Kekeliruan Kes Rogol” yang disiarkan dalam Utusan Malaysia hari ini sambil menyifatkan ia menghina agama Islam.

Yang Dipertuanya Datuk Sheikh Abdul Halim Abd Kadir berkata, penyiaran karikatur (gambar) itu yang menggambarkan mangsa rogol membuat laporan kepada pihak dalam dua situasi berbeza secara jelas menghina golongan ulama dan Islam.

Karikatur itu yang disiarkan pada muka surat 15 Utusan Malaysia, menyaksikan dua situasi berbeza yang terpaksa dialami oleh mangsa rogol.

Dalam situasi pertama, mangsa rogol telah mengemukakan aduan kepada jabatan agama, namun ditolak kerana menurut karikatur itu mangsa memerlukan empat orang saksi sedangkan mangsa hanya mempunyai rakaman video.

Sementara itu dalam situasi kedua, mangsa telah membuat laporan polis dan pegawai yang menguruskan kes itu berkata rakaman video boleh dijadikan bukti.

Dialognya berbunyi “Bagus... Alat itu pun boleh jadi bukti!”


Jelas Sheikh Abdul Halim, tindakan Utusan Malaysia melepaskan karikatur itu adalah tidak wajar dan boleh menyebabkan perpecahan antara umat Islam.

“PUM memandang serius penyiaran kartun dalam Utusan Malaysia disiarkan pada yang secara jelas menghina ulama dan Islam ... perkara ini tidak harus dibiarkan.

“Kartun seperti itu dilihat cuba memperlekehkan pandangan alim ulama dan memberikan tanggapan negatif kepada Islam.


“Sepatutnya akhbar menjadi alat perpaduan dan menimbulkan kesedaran, bukan menambah pergeseran dan perpecahan umat,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru beliau mahu Majlis Fatwa Kebangsaan memandang serius perkara ini dan mengambil tindakan susulan ekoran keberanian pelukis dan Utusan Malaysia menyiarkan karikatur begitu.

“PUM meminta supaya para mufti juga turut menegur Utusan yang menyiarkan kartun yang menghina hukum hakam agama.

“Sehubungan itu PUM meminta supaya Majlis Fatwa Kebangsaan membuat pendirian berhubung dengan perkara ini,” katanya.

Selain itu, tegas Sheikh Abdul Halim, pihaknya juga mahu pelukis dan Utusan Malaysia didakwa kerana menghina Islam.

“Sepatutnya perkara sebegini sepatutnya mereka perlu mendapatkan pandangan cerdik pandai dalam bidang agama sebelum mengeluarkan sesuatu bahan.

“Kita syorkan supaya pelukis dan penerbit kartun ini di dakwa atas penghinaan ke atas Islam,” katanya yang turut menyarankan agar kerajaan mengadakan lebih banyak program untuk menyelesaikan isu berkaitan agama Islam.

Setiausaha Agung PUM Dr Mohd Roslan Mohd Nor pula berkata sepatutnya pelukis karikatur itu perlu tahu bahawa tindakannya akan mengundang rasa marah umat Islam yang lain.

“Kartun ini hina Islam sebab dalam kes zina memang rakaman video tidak boleh dijadikan bukti tapi dalam kes rogol ia boleh dipertimbangkan dengan rakaman video itu disahkan dulu.

“Kes rogol bukan perbuatan zina, saya rasa pelukis ini silap dan tidak faham,” katanya kepada The Malaysian Insider. -TMI


Ulasan GB

GB musykil, bagaimana mahu dakwa dan ambil tindakan ke atas pelukis dan penerbit katun berkenaan sedangkan KDN juga sama jahat dan sama jahil dengan Utusan?

Yang terbaru, tiada tindakan ke atas Ibrahim Ali yang isytihar "perang jihad" ke atas Kristian pun tidak dikenakan sebarang tindakan oleh KDN.