7 Apr 2013

[HOT] Cincin RM24 Juta: Tak Mustahil Jacob & Co Cuba Lindungi Rosmah - SAMM


Penjelasan syarikat emas Jacob & Co yang dikaitkan dengan cincin RM24 juta oleh Datin Seri Rosmah Mansor menunjukkan syarikat itu kemungkinan cuba melindungi pelanggannya, kata Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Penyelaras SAMM, Badrul Hisham Shaharin berkata, menerusi sekeping gambar, Rosmah dilihat turut memakai gelang bertatah berlian yang dinamakan “Zebra Safari” berharga RM1.65 juta dari syarikat sama, .

“Ironinya gelang tersebut dikeluarkan dari syarikat pengeluar cincin bernilai RM24 Juta. Ia menggambarkan Rosmah sebagai pelanggan yang tidak asing kepada syarikat berpengkalan di New York itu dan tidak mustahil syarikat tersebut cuba melindungi pelanggannya,” kata Badrul.

Semalam tukang emas yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu tampil menjelaskan kononnya cincin kontroversi itu bukan dibawa masuk ke negara di bawah nama Rosmah atau dibeli olehnya.

Dalam wawancara video, Pengarahnya, Philip Nassimi berkata, “Natural Fancy Blue Grade Cushion Diamond Ring” 30.11 karat itu sebenarnya untuk dilihat oleh Maira Nazarbayev, ibu kepada Daniyar Nazarbayev yang bertunang dengan anak Rosmah, Nooryana Najwa.

Mengulas perkara itu, Chegu Bard mempersoalkan mengapa borang kastam K1 digunakan dan bukan borang ATA CARNET yang digunakan khusus bagi tujuan pameran.

Katanya lagi, kenyataan bertulis di parlimen sebelum ini menyatakan cincin itu dipulangkan semula kepada syarikat asal selepas beberapa hari di Malaysia.

Ia katanya, berbeza dengan laporan media bulan lalu yang mengatakan cincin berkenaan dipulangkan selepas setahun.

Menurutnya, persoalan-persoalan ini lebih banyak menimbulkan kecurigaan, termasuk masa yang lama untuk menjawab isu itu.


“Mengapa pihak syarikat pengeluar membuat kenyataan berbentuk video hanya setelah hampir dua tahun isu ‘cincin Imelda Rosmah RM24 juta’ menggemparkan negara?

“Mengapa begitu lama masa diambil? Dua tahun adalah tempoh yang sangat lama untuk menjawab satu dakwaan serius,” kata Chegu Bard.

BN Ciplak Manifesto Pakatan Dengan Ketara, Petanda Pakatan Bakal Pemerintah Negara


PAS mendakwa sekurang-kurang sembilan perkara dalam manifesto Barisan Nasional (BN) yang dibentangkan Datuk Seri Najib Razak malam tadi menciplak manifesto Pakatan Rakyat.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam sidang medianya hari ini berkata, yang paling ketara adalah janji BN untuk memberikan bayaran tunai lebih 20 peratus kpada negeri pengeluar minyak.

Manifesto BN itu berbunyi, "Meneruskan bayaran tunai khas dan pemberian dana untuk perbelanjaan operasi dan pembangunan sehingga melebihi 20% daripada perolehan minyakdan gas kepada Sabah, Sarawak, Terengganu, Kelantan dan Pahang."

Padahal dalam manifestonya, Pakatan dengan jelas mengatakan, "Menaikkan royalty kepada negeri-negeri pengeluar minyak dan gas dari 5% ke 20%."

Mustafa berkata BN hanya mengolah istilah tertentu dalam untuk membezakan antara kedua-dua manifesto tetapi "polisi yang dipinda mengikut cara kita".

Mustafa berkata demikian dalam sidangnya di Pusat Media PAS hari ini. Turut serta adalah Ketua Muslimat PAS, Siti Zailah Yusof dan timbalannya, Dr Mariah Mahmud.

Dalam sidang media itu, Mustafa turut menyerang penggunaan masa kira-kira dua jam oleh Najib untuk membentangkan Manifesto BN dalam TV1 dan TV3.

"Kita dijanjikan 10 minit untuk membentangkan manifesto itu. Itupun dirakamkan bukan live," katanya.

Atas sebab itulah, katanya Pakatan membuat keputusan menolak tawaran ini kerana ia disifatkan hanya 'ajak-ajak ayam sahaja'.

Siti Zailah ketika mencelah dalam isu ini juga kesal dengan langkah kerajaan BN itu kerana dengan 10 minit apa yang boleh diterangkan, "nak bentang tikar pun dah lima minit."

Selain itu, BN juga menawarkan penurunan harga kereta secara berperingkat-peringkat antara 20 hingga 30 peratus serta meningkatkan daya saing kereta nasional.

Pakatan pula menawarkan, "Cukai eksais kereta akan diturunkan secara berperingkat dengan tujuan menghapuskannya dalam tempoh 5 tahun agar harga kereta lebih berdaya saing.

"Mewujudkan industry automotif negara yang benar-benar berdayasaing dan boleh mengeluarkan kereta pada harga serendah RM25,000 sebuah.

" Sementara itu, naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar dalam satu sidang media berasingan hari ini berkata, beliau melihat bahawa manifesto yang diumumkan tidak disalin bulat-bulat daripada tawaran Pakatan tetapi cuba mengetengahkan tawaran “populis, tanpa perubahan fundamental”.

“Ini adalah plagiarisme dalam definisinya yang jelas. Manifesto itu populis, tetapi tercicir perkara yang lebih utama, iaitu reformasi fundamental,” katanya dalam ucapan selepas acara pemeriksaan kesihatan di kawasan Lembah Pantai hari ini.

Senarai penuh perbandingan antara
Manifesto Pakatan Rakyat dan Manifesto BN

Harga kereta

Manifesto Rakyat

Cukai eksais kereta akan diturunkan secara berperingkat dengan tujuan menghapuskannya dalam tempoh 5 tahun agar harga kereta lebih berdaya saing.

Mewujudkan industry automotif negara yang benar-benar berdayasaing dan boleh mengeluarkan kereta pada harga serendah RM25,000 sebuah.

Manifesto BN

Menyemak semula Dasar Automotif Nasional bagi mengurangkan harga kereta secara berperingkat-peringkat antara 20 hingga 30 peratus serta meningkatkan daya saing kereta nasional

Dasar Perumahan

Manifesto Pakatan Rakyat

150,000 rumah mampu milik dalam kategori kos rendah (bawah RM75,000) dan kategori kos sederhana (antara RM150,000 hingga RM250,000) akan dibina dalam tempoh penggal pertama pentadbiran Pakatan Rakyat.

Manifesto BN

Membina 1,000,000 rumah mampu milik – digerakkan oleh sector awam dan swasta – termasuk 500,000 buah rumah PR1MA Keretapa laju Manifesto Rakyat Memulakan langkah kearah membina system keretapi laju antara bandar yang pertama di rantau Asia Tenggara.

Manifesto BN

Melaksanakan rangkaian rel berkelajuan tinggi dan memperluaskan system landasan keretaapi berkembar

Lebuhraya Sabah dan Sarawak

Manifesto Pakatan Rakyat

Memulakan pembinaan lebuhraya merentasi Sabah dan Sarawak yang menghubungkan Kuching ke Kota Kinabalu dan Kudat

Manifesto BN

Membina 2,300km Lebuh Raya Pan Borneo bermula dari Sematan di Sarawak hingga ke Serudung di Sabah

Royalti Petroleum

Manifesto Pakatan Rakyat

Menaikkan royalty kepada negeri-negeri pengeluar minyak dan gas dari 5% ke 20%.

Manifesto BN

Meneruskan bayaran tunai khas dan pemberian dana untuk perbelanjaan operasi dan pembangunan sehingga melebihi 20% daripada perolehan minyakdan gas kepada Sabah, Sarawak, Terengganu, Kelantan dan Pahang

Permit Teksi

Manifesto Pakatan Rakyat

Permit teksi akan diberikan terus kepada pemandu teksi dengan tujuan melahirkan lebih ramai usahawan teksi.

Manifesto BN

Meningkatkan jumlah permit teksi individu

Pengkalan data

Manifesto Pakatan Rakyat

Mewujudkan system pengkalan data nasional bersepadu mengenai maklumat sosio ekonomi rakyat dengan menggabungkan semua maklumat sediaada yang kini diuruskan secara berasingan oleh pelbagai agensi dan badan.

Manifesto BN

Memperhalusi dan menambahbaik jaringan bantuan keselamatan menerusi system pangkalan data yang bersepadu

Tanah wakaf

Manifesto Pakatan Rakyat

Menambah nilai tanah-tanah wakaf demi menjana kebajikan ekonomi untuk rakyat

Manifesto BN

Menjana pendapatan daripada pembangunan tanah wakaf dengan kerjasama Pihak Berkuasa Agama Negeri-Negeri

Pakej penggajian baru

Manifesto Pakatan Rakyat

Pakej penggajian baru yang menggabungkan prinsip-prinsip dayakerja cemerlang, tempoh perkhidmatan dan potensi kepimpinan demi menjamin keadilan sementara mencungkil bakat kepimpinan

Manifesto BN

Memperkenalkan Skim Gaji Transformatif untuk penjawat awam, termasuk menyemak semula elaun dan menyediakan pergerakan gaji khas sebanyak 3 peratus kepada mereka yang mencapai gaji maksimum jika pada waktu itu tiada semakan gaji


Ulasan GB

Kalau dah ciplak manifesto PR, maka PRlah yang layak sebagai kerajaan baru Malaysia.

Demikian hukum kebenaran dan keadilan.

Mahkamah Benarkan Husam Injuksi Blogger Parpukari


Mahkamah Tinggi Kota Bharu membenarkan permohonan injunksi Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa ke atas blogger mesra Umno, “Parpukari”.

Parpukari atau nama sebenar Mohamad Salim Iskandar difahamkan rakan rapat dengan blogger Umno, Papagomo.

Peguam plaintif, Hisham Fauzi berkata, dengan perintah injunksi tersebut Khamis lalu, Parpukari dilarang daripada menulis apa-apa berkaitan Husam sehingga kes tersebut selesai dibicarakan.

Pada prosiding sebelum ini Hakim Datuk Yazid Mustaffa menolak permohonan peguam Parpukari, Jasbeer Singh Kaura untuk meminda penyata pembelaan.

Malah mahkamah juga menolak permohonan Parpukari memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Blogger terbabit pada 19 Februari 2012 menulis dan menggunakan gambar-gambar secara tidak tepat dan tidak benar yang dikaitkan dengan plaintif.

Rencana tersebut disiarkan dalam blog; http://parpukari.

blogspot.

com bertajuk “parpukari productions mempersembahkan kisah cinta terlarang 2 benua!”.

Dalam writ saman plaintif mendesak defendan memohon maaf secara bertulis kepada plaintif dengan menyiarkan permohonan maaf dalam blognya dan memadam artikel berkaitan.

Selain itu mengiklankan permohonan maaf tersebut dalam akhbar nasional harian berbahasa Melayu, gantirugi sebanyak RM5 juta, ganti rugi teladan, ganti rugi melampau dan ganti rugi punitif.

Kes tersebut akan dibicara pada 19 dan 20 Jun hadapan.

Sementara itu dalam perkembangan lain Husam memberitahu beliau tidak akan memohon maaf kepada Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed ekoran dakwaan menteri terbabit melulus saham FGVH lebih besar kepada syarikat Bumiputera berbanding peneroka.

"Siapa kroni yang diberi keistimewaan itu, syarikat mana yang diluluskan MITI untuk memiliki saham Felda. Kita minta menteri terbabit mengeluarkan senarai syarikat berkenaan dan menjawab isu-isu berkaitan," katanya pada ceramah Kelantanku Hijau di Padang Kemahkotaan, Jeli malam tadi.

Baru-baru ini Mustapa dilaporkan menuntut Husam memohon maaf berhubung dakwaan fitnah berkaitan saham FGVH yang diberi kepada kroni atau berdepan dengan tindakan saman.

Husam berkata, beliau bersedia menjawab isu tersebut di mahkamah dan tidak perlu menunggu notis 48 jam seperti diberi pemimpin terbabit. -HD

Pelakon Terkenal Abu Bakar Omar Sertai PAS


Abu Bakar dipakaikan baju T oleh Mohamad Nor dengan diperhatikan oleh Zamri, calon PAS Tititwangsa

Seorang lagi pelakun terkenal, Abu Bakar Omar menyatakan sikapnya untuk menyokong Pakatan Rakyat khasnya PAS dalam pilihan raya umum akan datang ini.

Pelakun lelaki yang terkenal semasa era filem Opah di dalam Tv1 dan Tv3 dahulu telah berikrar untuk menolong calon Pakatan Rakyat pada pru 13 ini.

Abu Bakar telah dipakaikan baju T Zamri Asa'ad, calon PAS Titiwangsa oleh Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Haji Mohamad Nor dalam satu majlis ceramah malam tadi.

Turut serta di majlis itu adalah Zamri sendiri yang diumumkan sebagai calon PAS di Titiwangsa oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebelum ini.

Abu Bakar yang berasal dari Titi Gajah, Alor Setar, Kedah terkenal sebagai pelakun yang hebat dan pernah menang beberapa anugerah dalam bidang lakunan. -HD

Jika Tiada Tindakan Ke Atas Taib Mahmud, Mansuhkan Saja SPRM!


Perdana menteri patut menggesa Tan Sri Abdul Taib Mahmud berundur kerana enggan memberi kerjasama kepada SPRM bagi menyiasat penyalahgunaan lesen pembalakan anggota keluarga ketua menteri Sarawak itu.

Jika tidak, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Datuk Seri Najib Razak lebih baik memansuhkan sahaja suruhanjaya itu kerana gagal menjalankan tugasnya.

“Bukan sahaja tidak bekerjasama dan menjawab dakwaan itu, Taib sebaliknya pilih menyerang SPRM,”

“Jika Taib tidak berundur, Najib patut mansuhkan sahaja SPRM, ekoran SPRM bukan ditubuhkan untuk menentang rasuah tetapi melindungi rasuah,”
kata Lim dalam kenyataannya.

Taib pada Khamis lalu berkata, beliau “tidak akan bekerjasama” dengan SPRM berhubung satu video yang didedah NGO antarabangsa, Global Witness.

Rakaman video itu Mac lalu membongkar skandal pembalakan melibatkan keluarganya yang merampas tanah pedalaman didiami rakyat miskin Sarawak.

Berkongsi pendapat sama, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar turut meminta Najib membubarkan SPRM jika tidak berani mengambil tindakan.

“Adakah Najib lebih mementingkan 27 kerusi Parlimen di Sarawak sehingga Taib Mahmud tidak boleh disentuh? Bukankah seorang PM itu bersumpah untuk menegakkan kedaulatan undang-undang,” tegasnya.

Di bawah Seksyen 47 dan 48 Akta SPRM 2009, keengganan untuk bekerjasama dengan SPRM boleh dihukum denda maksima RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua pula berkata, Taib cuba mengatasi undang-undang hingga Najib tidak mampu berbuat apa-apa terhadapnya.

“Tindakan transformasi Najib untuk membanteras rasuah juga adalah satu lakonan semata-mata,” katanya seperti dilapor The Malaysian Insider.

SPRM pada 20 Mac lalu mengesahkan siasatan dijalankan ke atas video tersebut yang antara lain merakam percakapan ahli keluarga Taib dan rakan perniagaannya yang menyalahgunakan lesen pembalakan untuk memperkayakan diri.

SPRM dilapor turut menjalankan serbuan ke atas pejabat seorang peguam yang dikaitkan dalam video terbitan NGO antarabangsa itu.

Ulasan GB

GB sudah ulas sebelum ini. Petikan:
Maruah dan keredibiliti SPRM tercabar. Teramat nyata sekarang pemimpin BN sendiri memperleceh dan memperlekehkan SPRM. Rakyat kini menunggu apakah tindakan SPRM selepas ia diperlekehkan sedemikian rupa dengan keengganan Taib Mahmud memberikan kerjasama terhadap siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM. Apakah SPRM bersedia untuk mendapatkan waran tangkap kepada pemimpin BN Sarawak itu? Jikalah yang bercakap sedemikian adalah pemimpin Pakatan Rakyat, GB rasa dah hiruk pikuk satu Malaysia... Jika tiada tindakan dari SPRM, itulah bukti nyata SPRM adalah kuda tunggangan UMNO BN fullstop

[VIDEO] Ribuan Pekerja Bank Berpiket Di Ibu Negara, Tibai Adik Najib


Lebih 1,000 Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (Nube) berhimpun di Menara Maybank di ibu negara hari ini bagi membantah pengurusan CIMB dan Maybank.

Piket yang bermula jam 2 petang itu dimulai dengan bacaan doa oleh seorang jawatankuasa Nube, dan diaminkan oleh ahli-ahli Nube, tanpa mengira kaum.

Cuaca yang pada mulanya mendung dan hujan, kemudiannya bertukar menjadi cerah ketika mereka mula melaung-laungkan pelbagai kata-kata semangat.

Sehingga jam 2.30, jumlah mereka meningkat hingga hampir 3000 sebelum mereka berarak ke Menara OUB yang menempatkan bank CIMB, di Jalan Tun Perak.

Selain laungan semangat seperti 'Hidup Nube', bangkit pekerja, hentikan penindasan, mereka juga membawa pelbagai banner dan sepanduk mengecam pengurusan CIMB, Maybank dan Bank Muamalat.

Antara banner yang menarik perhatian umum, ialah banner yang tertulis 'Abang sulung cakap rakyat didahulukan, adik bongsu cakap saya dan kroni didahulukan', 'adik PM, Nazir Razak mungkir janji'.


Naib Presiden Nube, Abdul Jamil Jalaludin ketika berucap di hadapan ahli-ahli kesatuan itu, berkata jika pemimpin negara benar-benar menghayati semangat 1 Malaysia, mereka perlu turun menemui ahli-ahli yang berbilang kaum pada piket itu.

Beliau yang dipecat pihak pengurusannya, Maybank cawangan Pulau Pinang sejak hampir dua tahun lalu, dikatakan dikenakan tindakan atas alasan 'menjalankan aktiviti kesatuan secara aktif'.

Dalam risalah yang diedarkan kepada orang ramai, Nube menuntut 10 perkara yang memerlukan tindakan segera pihak berkaitan, antaranya menhentikan pencabulan Rukun Negara apabila pihak CIMBmeminta menurunkan semua gambar Yang DiPertuan agong sebagai langkah menjimatkan kos.

Nube juga menuntut agar menghentikan jualan produk secara salah seperti pinjaman, kad kredit kepada pelangganyNg bukan sahaja tidak memerlukan, malah tidak mampu membeli produk itu yang dijalankan wakil jualan bank yang tidak jujur dan menipu pelanggan.

Nube turut mendesak agar menhentikan caj melampau yang dikenakan ke atas pelanggan termasuklah caj untuk kemudahan ATM dan urusniaga transaksi, penyata bank, dan caj kepada pelanggan yang invin mendapatkan perkhidmatan mereka.

Piket yang berlangsung sehingga jam 4.

30 petang itu berakhir dengan aman, sambil diberikan kerjasama yang baik oleh pihak berkuasa.

Orang ramai yang melalui jalan tersebut turut membunyikan hon kenderaan mereka sebagai tanda sokongan. -HD