15 Nov 2009

Era Najib Altantuya : Mahfuz Sokong Tindakan TGNA

Keputusan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membatalkan hasrat menunaikan haji pada 18 November ini disambut baik sekali gus membuktikan beliau bukan seorang pemimpin yang mementingkan diri atau keluarga semata-mata.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, keputusan yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz itu secara tidak langsung menunjukkan beliau bukanlah seorang yang mudah untuk menerima pemberian daripada seseorang apatah lagi rasuah.

Menurutnya, tindakan yang dilakukan oleh Menteri Besar Kelantan itu juga adalah satu tindakan yang baik kerana membuktikan beliau bukanlah seorang yang mudah untuk dijatuhkan dengan isu yang remeh seperti itu.

“Saya sokong dengan tindakan yang dibuat oleh beliau lagipun saya tahu ini bukanlah keperluan kerana beliau sudah beberapa kali menunaikan haji.

“Jadi mungkin beliau ingin menerima tawaran tersebut kerana mahu menunaikan hasrat individu berkenaan untuk beliau pergi menunaikannya bersama tetapi apabila sudah jadi begini, beliau terpaksalah membatalkan hasrat berkenaan,” katanya.

Mahfuz berkata, tidak dinafikan dengan isu yang melanda Nik Aziz ini menunjukkan ada pihak yang cuba untuk menjatuhkan Pas namun itu bukanlah satu perkara yang mudah kerana Pas tetap teguh.

Beliau berkata, dengan kematangan dan semangat perjuangan parti yang ada pada ahli Pas, beliau yakin setiap isu yang cuba dibangkitkan oleh pihak lawan akan dapat dihadapi dan diselesaikan dengan mudah.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, dari sini jugalah rakyat dapat melihat sendiri pemimpin dan ahli Pas bukanlah individu yang mudah untuk menerima rasuah daripada mana-mana pihak.

Menurutnya, dengan situasi ini dan pelbagai isu yang melanda Pas kini membuktikan kepada rakyat bahawa Pas dapat menepis segala permasalahan yang berlaku dan parti itu tidak terjejas. -SH


Era Najib Altantuya : Tubuh Pasukan Professional Siasat Pendedahan Bala

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pihak berkuasa menyiasat pendedahan terkini penyiasat persendirian P Balasubramaniam.

Namun Anwar menggesa satu pasukan profesional diwujudkan menyiasat dakwaan penyiasat upahan rakan karib Perdana Menteri, Abdul Razak Baginda ini.

“Sepatutnya ada satu siasatan yang rapi. Ini hanya satu pandangan dari Balasubramaniam yang diambil sebagai penyiasat persendirian oleh Razak Baginda, sepatutnya ada siasatan rapi,”katanya.

Laman web Free Malaysia Today melaporkan pendedahan terbaru dari bekas anggota Cawangan Khas ini. Bala dilaporkan sebagai berkata sejumlah RM5 juta ringgit ditawarkan kepadanya supaya menarik balik akuan bersumpah terhadap Perdana Menteri Najib Abdul Razak.

“Soalnya dinegara kita, bila bersangkut paut dengan pembesar UMNO, siasatan itu jadi remeh,”katanya.

Free Malaysia Today turut melaporkan bahawa saudagar permaidani bernama Deepak yang dikaitkan dengan isteri kepada Perdana Menteri, Rosmah Mansor, membuat sogokan itu.
Anwar bagaimanapun tidak mahu membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak bertanggungjawab untuk menyiasat.

“Saya tidak mahu buat apa-apa keputusan, berlaku adil dan buat siasatan rapi oleh pasukan yang professional dan bebas,”katanya. -TVS



Era Najib Altantuya : 80% Ahli MCA Tak Setuju EGM Kedua - Chua Soi Lek

Soi Lek : 80 Peratus Perwakilan Tolak EGM Dua

80 peratus perwakilan MCA setuju usul-usul yang dibentangkan dalam Mesyuarat Agung Khas 10 Oktober lalu adalah tidak sah, seraya menolak kemungkinan berlakunya EGM buat kali kedua.

Timbalan Presiden Chua Soi Lek berkata rata-rata perwakilan dari 155 bahagian di Wisma MCA hari ini menolak EGM 2 dibuat kerana status quo parti telah dipulihkan kepada asal.

Tambah Chua, perwakilan hari ini turut menyambut baik Pelan Perpaduan Unggul yang dirumuskan Presiden Ong Tee Keat, bagi mengekang dan memulihkan kesan pemberontakan dalaman yang telah menjejaskan MCA.

"Kita juga bincang panjang lebar EGM yang mungkin berlangsung pada 28 haribulan ini. Dalam mesyuarat pusat yang telah berlangsung pada 3 haribulan yang lalu dan kita menerima permintaan dan hak ahli jawatankuasa pusat untuk menganjurkan EGM tetapi akan menolak usul-usul yang akan dibentangkan di dalam EGM tersebut kerana usul ini bercanggah dan tidak mengikut perlembagaan MCA"ujarnya.

Terdahulu, Ahli Jawatankuasa Pusat parti itu mendesak agar EGM kali kedua diadakan pada 28 November ini berikutan keengganan Datuk Seri Liow Tiong Lai melepaskan jawatan kedua tertinggi parti itu.

Tiong Lai yang telah dilantik oleh presiden MCA, Ong Tee Keat, tidak mahu berundur meskipun Pertubuhan Pendaftar Syarikat (ROS) mengesahkan Soi Lek adalah timbalan presiden yang sah.

Tiong Lai bersama beberapa Ahli Jawatan Kuasa Pusat mendesak EGM kali kedua diadakan.

"Pendek kata ia merupakan satu EGM di mana usul-usulnya tidak sah dari perlembagaan MCA" kata Chua.

Lima agenda utama telah dibincangkan pada sesi dialog ini dan MCA merancang untuk menjejaki langkah UMNO dengan mengambil kira suara akar umbi dalam menentukan pucuk pimpinan pusat.

"Kita juga berbincang panjang lebar berkaitan dengan kaedah yang baru mungkin untuk menentukan pucuk pimpinan, buat masa kini kita menggunakan perwakilan pusat yang kini dalam lingkungan 2,400 sehingga 2,500. Sudah sampai masa kita berpendapat lebih ramai ahli-ahli kita di peringkat akar umbi mempunyai tanggungjawab dan peluang untuk menentukan pucuk pimpinan di peringkat pusat" katanya.

"Ia merupakan satu kaedah yang baru, kemungkinan besar kita akan menggunakan kaedah UMNO tetapi keputusan muktamad belum dibuat". -TVS



Era Najib Altantuya : Tindakan Tegas perlu Ke Atas Hassan Ali

Untuk kali ini, penulis dengan berat hati, bersetuju dengan saranan beberapa pihak supaya diambil tindakan tegas terhadap Pesuruhjaya PAS Selangor, termasuk untuk 'merehatkan' beliau dari kerusi Pesuruhjaya PAS Selangor.. ini 'ijtihad' semasa penulis..jika sebelum ini, penulis hanya memilih untuk berdiam diri, atau berkecuali dengan sesetengah pihak yang mendesak beliau meletak jawatan, tapi utk kali ini, penulis akur dan bersetuju dengan mereka..

Pertemuan Hassan-Nasarudin bersama blogger

Ianya bermula dari sesi perjumpaan dialog bersama para blogger tempoh hari..jika sebelum ini, penulis boleh berbaik sangka terhadap mereka berdua berkaitan isu UG atau kerajaan Perpaduan.. firasat penulis kuat mneyatakan mereka berdua tidak akan sesekali memasuki umno atau teringin untuk menyertai Umno, tindakan mereka itu hanyalah antara tindakan/pandangan yang bersifat peribadi..

Tetapi, segalanya berubah semenjak program pertemuan mereka bersama blogger. disinilah segalanya bermula.. daripada perkara yang tidak pernah diketahui, akhirnya diketahui, daripada perkara yang sulit akhirnya menjadi bahan sebaran umum, daripada persepsi positif kepada mereka, akhirnya berubah kepada negatif!

Dengan tersebarnya rakaman audio pertemuan Hassan Ali dan para blogger termasuk dari Umno tempoh hari, ternyata ia bukan meredakan keadaan, bahkan semakin menyesakkan keadaan.. Ia sebenarnya bukan satu tindakan yang bijak sama sekali.. rupanya tindakan sedemikin bukannya untuk menyelesaikan masalah, mahupun meredakan polemik yang timbul, tetapi semakin menambah parah kepada jemaah.. satu persatu isu baru timbul hasil dari perjumpaan bersama blogger tersebut!

Bakal membawa bencana

Terus terang penulis katakan, penulis sudah dapat menghidu perjumpaan tersebut bakal mendatangkan malapetaka kepada PAS..apa tidaknya, saranan Presiden supaya pemimpin PAS tidak menjadikan media termasuk media baru sebagai pentas untuk meluahkan perasaan, berbalas kritikan, dan sebagainya tidak diambil endah mereka berdua.. apatah lagi tarikh perjumpaan dengan blogger tersebut sudah hampir dengan tarikh mesyuarat khas PAS. kenapa tidak ditunggu sahaja mesyuarat itu utk meluahkan perasaan dan membela diri.

Yang kedua mengenai apa sebab mereka berdua menjemput blogger dari kalangan Umno menyertai perjumpaan tersebut? apa tujuan mejemput 'musuh' untuk membincang masalah dalaman parti? tak lain dan tak bukan ia adalah satu kesilapan besar mereka berdua. lihatlah sekarang, segala minit perjumpaan itu kini tersebar dengan meluas dan berada di dalam genggaman Umno..paling mendukacitakan, banyak rahsia dan perkara sulit parti didedahkan di dalam perjumpaan itu!

Persoalan seterusnya ada penulis catitkan.. sebahagiannya,

1. Apa tujuan pihak penganjur menjemput para blogger dalam membincang/menjawab isu UG/EGM ini? bukankah Presiden sudah mengarahkan isu ini tidak sepatutnya diwar-warkan dalam media termasuk media baru?

2. Kenapa dijemput blogger dari kalangan penyokong Umno/BN dlm membincangkan masalah dalaman PAS?
Membela diri atau 'Melepas diri'?


Ya, mungkin pada firasat mereka (Hassan-Nasarudin), tindakan sedemikian (mendedahkan pelbagai perkara termasuk tentang baiah taklid) adalah untuk mempertahankan diri dari dituduh agen umno, akan mnyertai Umno dan sbegainya.. pada pandangan mereka, dengan berbuat sedemikian, tuduhan terhadap mereka menyertai Umno adalah satu pendustaan sama sekali.

Tetapi ternyata mereka tersilap membuat percaturan.. Apakah mereka berdua sedar, jika apa yang didedahkan mereka di dalam pertemuan itu adalah bersifat sulit, kenapa mesti mereka menjemput blogger dari kalangan Umno untuk bersama2 dlm program tersebut? apakah tidak terdetik pada fikiran mereka, akan ada pihak (yg menyertai perjumpaan itu) yang akan memcahkan rahsia suatu ketika nanti?bukankan kebanyakan isu yg didedahkan dalm perjumpaan itu adalah merupakan rahsia dan amanah parti, makna kata perkara yang tidak sesuai dan tidak sepatutnya disebarkan kepada umum, termasuk isi perbincangan sesama pemimpin dan sumpah laknat?

Penulis pernah menyatakan.. antaranya,
3. Program dialog ini difahamkan sebagai program tertutup. Apakah bermaksud ianya suatu yang bersifat sulit/rahsia (tidak boleh didedahkan kepada umum kecuali atas izin dan sebab tertentu), atau pun ia sememangnya untuk tujuan penyebaran?
Sumpah Laknat @ sumpah Talak
3

Penulis juga sebahagian besar rakyat Malaysia yang terkejut apabila mendengar berita berkaitan sumpah atau baiah taklid cerai talak 3 ini.. berdasarkan ilmu penulis setakat ini, ia adalah suatu perkara yang tidak masuk akal dan tidak boleh diterima sama sekali.. andai pun ia boleh diterima oleh penulis sebagai suatu cara utk menunjukkan pengorbanan seseorang terhadap perjuangan parti, diluar sana terdapat 100 orang tidak bersetuju dgn cara ini..100 nibah 1..100 yang membantah, 1 yang bersetuju.. ya, PAS telah menempah kekalahan dan kecundang jika memilih sifir atau nisbah ini..

Kerana itulah penulis amat lega dan senang apabila pihak atasan parti menjelaskan ia bukanlah satu dasar parti.. ia bukanlah keutamaan dan metod sumpah taat setia yang dibawa oleh parti.. penulis bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan pimpinan atasan PAS yang membantah idea dan tindakan ini, baik dari presiden, pemuda2nya, musryidul amnya dan lain2nya..

Adapun yang di'bocor'kan oleh Hassan dan Nasarudin pada pertemuan dengan blogger tempoh hari adalah, ia adalah kes terpencil yang tidak memperlihatkan keseluruhan PAS itu.. walaupun lagak kenyataannya seolah2 semua peringkat pemimpin PAS mengamalkan sumpah cerai talak 3, tetapi ternyata kenyataan beliau itu adalah bersifat persepsi semata-mata, serta berlebih2an.. buktinya, terdapat perkataan 'saya fikir' dan tiada disertakan asas dan bukti dakwaan..

Seperti yang dijelaskan PAS Pusat melalui setiausahanya, Mustafa Ali, PAS tidak menafikan bahkan mengakui wujudnya perkara itu (bersumpah cerai talak 3), tapi itu adalah kes yang begitu terpencil dan dilakakan oleh beberapa individu sahaja, ia bukanlah dasar yang dibawa parti (baca di sini)..ada pun yang diamalkan PAS sejak sekian lama, adalah sumpah taat setia berbentuk 'sumpah laknat', bukan 'sumpah cerai talak 3' !!

Dan begitu jugalah firasat penulis..jauh disudut benak fikiran penulis, perkara itu (baiah talak tiga)bukanlah dasar PAS. ia dicetuskan oleh beberapa org individu dalam PAS utk menunjukkan sokongan yg padu kepada PAS.. sebagaimana wujud pandangan yang bersifat 'jemaah', dan pandngan yang bersifat peribadi, begitu juga dalam melakukan sumpah taat setia ini, ada yang bersifat jemaah (berdasarkan dasar parti), dan ada yang bersifat peribadi (menambah sesuatu ayat dalam sumpah taat setia itu untuk menunjukkan pengrbanan besar kepada parti)..so, itu hak mereka..

Apa pun, perkara ini bukanlah yang mahu dijelaskan secara panjang lebar oleh penulis..apa yg ingin ditekankan disini, mereka berdua telah menjatuhkan imej PAS secara keseluruhan..mana mungkin mereka yang mendedahkan rahsia parti kepada khalayak umum dilepaskan dari sebarang tindakan.. ia semacam mendedahkan kelemahan dan kekuatan jentera perang kepada pihak musuh.. ternyata ia sesuatu yang sukar diterima sama sekali.

Untuk yang terakhirnya, penulis dengan ini, bersetuju dengan saranan beberapa pihak, suapaya 'direhatkan' mereka berdua dari jawatan tertinggi parti, atau paling kurang dikenakan tindakan disiplin keatas mereka... ia bukan untuk menafikan peranan dan jasa mereka kepada parti, tetapi demi kebaikan mereka dan PAS itu sendiri..sesungguhnya banyak ruang untuk berkhidmat kepada parti dan jemaah, melalui jawatan, itu adalah salah satu metodya..

Akhir kalam, "Yang patah tumbuh, yang hilang berganti"..pepatah ini bukan hanya merujuk apabila berlakunya kematian semata-mata, tetapi juga untuk mereka yang masih hidup..insyaallah, akan ada pengganti yang lebih baik..perjuangan wajar diteruskan!...
wallahua'lam.. -priamalaya

Era Najib Altantuya : Jngan Usik Selangor Atau Kami Serang Habis-habisan - Anwar

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi amaran kepada pembangkang di Selangor supaya jangan cuba untuk menggangu gugat kerajaan negeri sedia ada.

Menurutnya, beliau, kepimpinan tertinggi parti dan semua ahli parti akan memastikan Selangor tidak akan dapat ditawan pembangkang.

Malah beliau yakin dengan keperkasaan dan kedudukan parti Selangor akan terus ditadbir dan menjadi markas perjuangan parti.

“Saya bertempur sebelum ini bukan secara langsung tapi sekarang silakan aku masuk gelanggang. Kamu masuk sentuh Selangor kita bertempur habis-habisan rampas semula,”katanya dalam Konvensyen PKR Selangor, pagi tadi.

Anwar juga meminta semua ahli parti merapatkan saf untuk menghadapi tentangan dan serangan pembangkang dengan mengingati janji untuk menegakkan keadilan khusunya di Selangor.

“Tanggungjawab kita memperbaiki prestasi yang ada memacu pertumbuhan, mensejahterakan rakyat, menentukan Tan Sri Khalid dan kerajaan negeri Selangor berjaya sepenuhnya,”katanya.

Perwakilan juga diterangkan mengenai bahawa pelantikannya sebagai Penasihat Ekonomi bertujuan membantu Khalid dan kerajaa negeri bukannya untuk menimbulkan ketegangan politik.

Justeru beliau megingatkan semua pimpinan negeri supaya jangan sesekali cuba mengamalkan rasuah kerana tekad PKR adalah untuk membanteras rasuah.

“Jangan ada anak-anak kecil nak main-main di sini. Ini saya ingatkan kerana saya ada pengalaman dalam hal ini. Jika ada anak kecil main kita tangkap dan lempar ke luar,”katanya.

Sehubungan itu beliau mengingatkan mana-mana pimpinan mahupun ahli parti supaya tidak hanya taksub memperjuangkan kepentingan bangsa dan agama sendiri kerana ia berlawanan dengan prinsip parti.

“Kalau tidak cukup baik jangan harap dapat bertanding semula di kawasan. Sementara ada waktu baik baiki. Baik Menteri Besar, Exco tidak ada siapa jamin kedudukan,”katanya.

Anwar berkata, sehingga kini Pakatan Rakyat belum berjaya sepenuhnya melakukan perubahan kerana masih terdapat saki-baki budaya UMNO, MIC dan MCA dalam Pakatan Rakyat.

Beliau juga mengingatkan ahli parti supaya mengelakkan kerangka pemikiran kolot Barisan Nasional yang bersifat perkauman dan menindas.

“Itu pemikiran jumud, pemikiran yang kita lawan kita angkat semangat baru. Kita orang Islam, Melayu bela pertahankan nasib orang Melayu memartabakan Islam tapi jangan lupa membela nasib semua kaum, semua agama di negeri kita,”katanya

Beliau juga mengingatkan ahli parti supaya sentiasa mengingati perjuangan PKR yang membawa perubuhan kepada rakyat.

“Bahawa parti ini ditegakkan dari cita-cita murni yang dilaungkan oleh rakyat yang tertekan dan ingin perubahan,”katanya.

Sementara itu, pada sidang medianya Anwar berkata beliau sebagai Penasihat Ekonomi Selangor akan menmanfaatkan jaringan rapatnya dalam kelompok pemodal antarabangsa bagi menarik pelaburan lumayan ke negeri ini.

Beliau turut melahirkan keyakinan Selangor mampu mengemudi kecelaruan ekonomi dunia hari ini berdasarkan rekod urustadbir yang baik.

"Fokus saya adalah membantu kerajaan negeri menjana pertumbuhan ekonomi. Saya amat yakin dengan rekod urustadbir Selangor yang baik, seperti yang dilapor Laporan Ketua Audit Negara, dari segi kecekapan pengurusan dan pelaburan,” kata Anwar.

“Cuma saya fikir Selangor boleh menjalin hubungan yang lebih akrab dengan dunia luar, lebih ramai pelabur yang boleh kita undang. Belum cukup 24 jam selepas nama saya diumumkan Penasihat, sudah ada rakan saya dari Negara Arab yang mahu melabur. Mereka akan datang selepas Raja Haji,” tambahnya. -TVS

Era Najib Altantuya : Siasah Bakal Ditutup?

Tahukah kita tentang akhbar siasah yang berada di bawah kelolaan Mohd Sayuti Omar (MSO)?

Bukankah akhbar ini, adalah akhbar banyak mengeluarkan berita-berita yang melahirkan kekeliruan di kalangan ahli PAS tentang keberadaan PAS dalam Pakatan Rakyat, terutama dalam isu Kerajaan Perpaduan?

Apa yang seharusnya diketahui, berdasarkan maklumat dari staf akhbar siasah, bahawa akbar siasah akan ditutup pada akhir bulan 12 ini.

Dimaklumkan, siasah sudah defesit selama 7 bulan. Juga, jualannya tidak lebih dari 20% sahaja. Yang lebih memalukan lagi, akhbar siasah kini sudah berada dalam keadaan yang teruk, sehingga tidak mampu membayar hutang kepada harakah.

Dimaklumkan juga, bahawa MSO sebagai ketua editor telah tidak hadir dalam mesyuarat editorial sebanyak 2 kali dateline.

Apabila di tanya, apa kerja yang akan dibuat oleh MSO selepas ini? Ramai staf hanya memberi jawapan dengan lontaran senyuman sahaja.

Kini, MSO terpaksa menjaulkan dirinya menerusi dunia facebook. Dikhabarkan juga, beliau bersama sang kelembai hendak mengadakan kursus blogger.

Apa perlunya kursus blogger itu?

Yang pastinya, rakyat media sudah menolak blogger pas berwajah umno.

Sekian

Wallahu Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com

Ulasan GB

Ini adalah salah satu bala dan sial (laknat) yang dibawa oleh gagasan Kerajaan Perpaduan selain dari perpecahan ahli yang berlaku semenjak sebelum muktamar yang lalu.

Pun kebanyakan mereka yang mendokong dan menyokong gagasan ini enggan menerima kenyataan tersebut tetapi sentiasa menegakkan benang yang basah.

Akan lebih banyak lagi kesan buruk yang bakal ditunjukkan Allah yang menimpa parti ekoran dari gagasan sial (laknat) tersebut selagi golongan UG tidak meminta maaf dan bertaubat. Enggan pecaya? Tunggu.

Tidak cukup sekadar mendakwa "UG dah ditutup" sedangkan misi dan visi mereka masih berjalan seperti yang berlaku di Selangor.

Kepada pimpinan, GB dan rakan-rakan blogger yang lain insyaAllah, akan tetap konsisten (istiqamah) dari dulu sampai sekarang mempertahankan prinsip parti dan menentang gagasan yang merosakkan itu.

Era Najib Altantuya : TG Nik Aziz Dan MAZA

SATU - Lega, itulah perasaan saya dan saya yakin perasaan orang lain juga ketika ini, apabila TGNA membatalkan hasratnya menunaikan fardhu haji. TGNA telah membuat keputusan bijak. Itulah mudarat yang lebih ringan berbanding fitnah yang bakal semakin membarah sekiranya TGNA meneruskan hasratnya. Lagi pun ibadah haji TGNA kali ini tidak lagi menjadi wajib memandangkan ibadah itu telah ditunaikannya untuk kesekian kali.

Saya tahu TGNA ada jawapan terhadap apa yang dihalakan kepadanya itu. Tetapi jawapan itu tidak mampu melegakan hati ramai orang, bahkan saya yakin hati TGNA sendiri. TGNA akan berangkat ke Mekah dalam keadaan ramai mata menjeling tajam ke arahnya. Tentu TGNA tidak selesa dengan itu semua.

Bukan itu saja, isu ini tidak akan selesai walau pun TGNA mendapat haji mabrur dan bila pulang, mata yang menjelingnya ketika pergi akan menyambung semula jelingan tajam itu. Musuh politik TGNA pula akan memukul gendang isu ini dengan lebih rancak lagi.

Apa jua ungkapan samada berani, tegas, pantas, bijak, semua itu mampu dilabelkan kepada TGNA dalam isu ini. Inilah perkara yang patut ada pada semua pemimpin PAS. Bertindak pantas menutup pintu fitnah. Dan saya pula hanya mampu mengungkapkan ini sahaja, terima kasih Tok Guru.



DUA - Lain yang diharap, lain pula yang jadi. Ketika ramai orang berharap institusi agama menyeret pengembang ajaran sesat seperti Ayah Pin misalnya, ke mahkamah dan didakwa kerana mengamal dan menyebarkan ajaran sesat, tiba-tiba yang bakal didakwa adalah Dr Asri Zainul Abidin. Kesalahannya pula ialah menyampaikan kuliah tanpa tauliah.

Agaknya kerana Dr Asri tiada kerajaan langit, maka dia mudah sahaja ditangkap dan didakwa. Dan, agaknya itulah kelemahan Dr Asri, tidak menubuhkan kerajaan langit.

Tindakan mendakwa Dr Asri tidak membantu menyerlahkan kewibawaan institusi agama termasuk mahkamah syariah. Tindakan ini akan menjadikan persepsi umum, terutamanya kumpulan yang memang selama ini berpersepsi negatif terhadap institusi agama, menjadi bertambah negatif.

JAIS adalah institusi agama dan Dr Asri pula orang agama. Sepatutnya kedua-duanya bersama dalam membanteras perosak agama. Apa yang berlaku pula adalah, orang agama bertindak ke atas orang agama. Rasanya ada pihak yang sedang bertepuk tangan dengan perkembangan ini.

Bagi saya, tindakan JAIS mencemarkan institusi agama. Benar, saya memang tidak sependapat dengan Dr Asri dalam banyak isu, tetapi saya bersamanya apabila JAIS bertindak begini terhadapnya.

Banyak lagi keutamaan JAIS daripada sekadar membendung apa yang disifatkan sebagai ‘Wahabi’ yang kononnya disebarkan oleh Dr Asri. Pengurusan masjid yang masih lintang-pukang, pembanterasan ajaran sesat, kepincangan akhlak di kalangan remaja dan banyak lagi. Sepatutnya tenaga dan keupayaan Dr Asri dimanfaatkan untuk membantu JAIS dalam tugasan yang bertimbun itu, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Kalau beginilah institusi agama kita, masih lambat benar rasanya untuk Islam melangkah jauh di negara kita daripada sekadar apa yang ada pada hari ini.

Harap-harap, JAIS tidak menjadi tikus yang membaiki labu. -bongkarsauh

Era Najib Altantuya : MB N9 Perlu Disiasat - Tian Chua

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Sri Mohd Hasan yang dikatakan terlibat dengan transaksi ke luar negara bernilai 10juta ringgit.

Ekoran daripada kenyataan akhbar yang dikeluarkan Tian Chua semalam, beliau menegaskan perkara ini harus ditangani segera kerana akan membawa kesan buruk kepada ekonomi Negara ini.

“Bank Negara sepatutnya mempertahankan kepentingan dan keutuhan sistem ekonomi dan matawang kita dan dengan tindakan tindakan orang orang yang berpengaruh yang jelas menentang pengeluaran wang kita.Ini akan merosakkan ekonomi kita",katanya.

Tian Chua turut mempersoalkan sikap berdiam diri kedua-dua pihak berkenaan sehingga kini dan menggesa supaya siasatan telus dilakukan dengan segera.

“Saya percaya tindakan BNM harus adil dan tanpa memihak mana pihak,harus professional untuk mempertahankan sistem kewangan kita”,tambahnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi TvSelangor pagi tadi.

Berdasarkan maklumat yang diperolehinya, jelas menunjukkan peningkatan dalam transaksi haram ini sejak tahun 2006 lagi.

Dalam satu kenyataannya bertarikh 13 November 2009, Tian Chua menyentuh mengenai aktiviti pengiriman wang berjumlah 10 juta ringgit ke luar Negara yang melibatkan Mohd Hassan

Mohd Hassan didapati terlibat dengan pengiriman wang tersebut ke London pada tahun 2008 melalui sebuah syarikat pengurup wang.

Syarikat berkenaan merupakan salah sebuah daripada 20 lsyarikat pengurup wang yang dibatalkan lesennya oleh Bank Negara pada 26 Oktober 2009.

Tiada sebarang sebab diberikan oleh Bank Negara mengenai pembatalan lesen berkenaan.