25 Apr 2015

Akhirnya YDP PAS Pmtg Pauh Hadir Semasa Penamaan Calon


Pakatan ‘bersatu’ selepas Wan Azizah kemuka nama bertanding Permatang Pauh

Di saat calon mengemukakan nama mereka untuk bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, para pemimpin Pakatan Rakyat (PR) mempamerkan imej yang semuanya berjalan dengan lancar dengan gabungan itu.

PR pagi ini memperlihatkan perpaduan sepenuhnya apabila calon PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berjalan ke pusat penamaan calon.

Beliau tiba di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Penanti pada kira-kira jam 8.50 pagi disertai para pemimpin PR dan penyokong.

Antara yang hadir ialah Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dan Ahli Jawatankuasa Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan pemangku Pengerusi DAP Tan Kok Wai, Ketua Parlimen Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung Lim Guan Eng, serta puluhan wakil rakyat lain daripada gabungan itu.

YDP PAS Kawasan Permatang Pauh Omar Hassan, yang sebelum ini mahu PKR menarik balik kenyataan menentang rang undang-undang ahli persendirian mengenai hudud, juga dilihat di khalayak ramai berdiri bersama Dr Wan Azizah dan anak-anak perempuan Datuk Seri Anwar Ibrahim; Nurul Izzah, Nurul Nuha dan Nurul Iman.


Di barisan hadapan adalah sekumpulan pemuda berbaju t hitam #KitaLawan menjerit "reformasi" dan "hidup rakyat".

Calon Bebas Salleh Ishak tiba di pusat penamaan calon 8.25 pagi diikuti oleh calon Barisan Nasional Suhaimi Sabudin pada jam 8.46 pagi.

Pemimpin PKR dan PAS malam tadi terlibat dalam perbincangan berhubung permintaan PAS Permatang Pauh PAS agar Dr Wan Azizah secara terbuka memohon maaf dan menarik balik pendirian parti itu mengenai isu hudud.

Tiada permohonan maaf dibuat tetapi nampaknya isu perbalahan berjaya diselesaikan secara baik.

Ahli jawatankuasa PAS pusat dan timbalan pesuruhjaya Pulau Pinang Mujahid berkata, hasil pertemuan antara pemimpin PAS negeri; Mohamad, Omar dengan Dr Wan Azizah dan Azmin adalah positif.

Beliau berkata, PAS kawasan dan akar umbi menerima Dr Wan Azizah sebagai calon PKR dan PR.

"Seperti yang saya selalu berkata, keputusan parti pusat akan diguna pakai," katanya kepada pemberita di pusat penamaan calon PRK Permatang Pauh, pagi ini.

Beberapa kompromi dicapai dalam pertemuan tetapi Mujahid bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Ada kompromi tetapi tiada permohonan maaf dibuat. Adalah sukar untuk berbuat demikian apabila anda tidak boleh menentukan ‘faultline’ itu," katanya.

Mujahid berkata, jentera PAS di Permatang Pasir, yang anggotanya beliau bermesyuarat pada Khamis, bersedia untuk digerakkan.

PAS mempunyai jentera pilihan raya yang kuat di Permatang Pasir, di mana bekas ahli Parlimen Permatang Pauh, Anwar memenangi undi dalam pilihan raya umum 2013.

Sementara itu, Azmin berkata mesyuarat malam tadi berakhir dengan baik dengan kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk menumpukan usaha mereka dalam kempen.

"Setiap Bahagian gembira mendengar penjelasan daripada pihak lain. Tidak ada permintaan meminta maaf. Hanya penjelasan.

"PAS meminta penjelasan, PKR juga meminta penjelasan. Kami menerima penjelasan dengan baik," katanya.

Azmin juga mengucapkan terima kasih kepada PAS yang menghantar orang-orangnya dari negeri-negeri utara bagi membantu kempen PR di Permatang Pauh

ULASAN GB

Sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua pihak. Jangan terlalu cepat untuk membuat keputusan sendiri yang akhirnya terpaksa membuat pusingan U.

Tindakan tegas pelu diambl terhadap Ketua Ulama PAS Permatang Pauh yang sebelum ini telah mengeluarkan "fatwa" songsangnya yang kemudiannya digunakan oleh media UMNO kononnya "haram dan berdosa" untuk mengundi calon yang menolak hudud sedangkan sudah dijelaskan bahawa permasalahan hudud adalah permasalahan khilafiah yang mana Ketua Dewan Ulamak Sedunia, Syeikh Yusof AL-Qardhawi sendiri berfatwa supaya ditegakkan dahulu kehidupan Islam, bukan hudud.

[GAMBAR & VIDEO] Pmtg Pauh: Wan Azizah Ditentang BN & 2 Bebas -updated


Penamaan calon bagi PRK Permatang Pauh pagi ini berjalan lancar selepas calon Bebas pertama, Isahak Salleh tiba di di Pusat Penamaan Calon PRK Permatang Pauh di Institut Kemahiran Belia Negara, Bukit Mertajam di Berapit jam 8.15 pagi.

Ia diikuti calon BN, Suhaimi Sabudin jam 8.45 pagi dan calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selang tujuh mint kemudian.

Calon Bebas kedua pula adalah, Azman Shafie yang tiba pada jam 9.05 pagi.

Sehingga jam 9.30 pagi, hanya empat calon berada di pusat penamaan calon.

Proses penamaan calon dijadual berlangsung selama sejam bermula 9 pagi sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya Jusni Ismail mengumumkan nama-nama calon bertanding.

Difahamkan, salah seorang calon Bebas, Dr Abdullah Zawawi yang menawarkan diri bertanding semalam telah menarik diri dengan alasan sudah ada calon Bebas lain bertanding.

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon ahli Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan proses penamaan calon hari ini dan pengundian 7 Mei.

Pada PRU lepas, Anwar mengalahkan Dr Mazlan Ismail dari BN dengan majoriti 11,721 undi.

Parlimen Permatang Pauh mempunyai 71,890 pengundi berdaftar terdiri daripada 71,252 pengundi biasa, 627 pengundi awal dan 11 pengundi tidak hadir luar negara.

Pengundian awal akan diadakan pada 3 Mei di Dewan Gemilang Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah dan pengundian biasa pada 7 Mei di 25 buah sekolah di kawasan itu.

PRK Permatang Pauh adalah pilihan raya kecil ke-10 selepas pilihan raya umum ke-13 yang berlangsung pada 5 Mei 2013.

Sembilan pilihan raya kecil sebelum ini adalah PRK Dun) Kuala Besut, Terengganu (24 Julai 2013); PRK Dun Sungai Limau, Kedah (4 Nov 2013); PRK Dun Kajang, Selangor (23 Mac 2014); PRK Dun Balingian, Sarawak (29 Mac 2014); PRK Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang (25 Mei 2014); PRK Parlimen Teluk Intan, Perak (31 Mei 2014); PRK Dun Pengkalan Kubor, Kelantan (25 September 2014); PRK DUN Chempaka, Kelantan (22 Mac 2015); dan PRK Parlimen Rompin (5 Mei 2015). -SH


Kenapa Azizah wajar jadi calon

Saya menyokong kuat ketika Anwar Ibrahim dicadangkan untuk menjadi calon pilihan raya kecil (PRK) Kajang pada tahun lalu. Dan kemudian Anwar akan menggantikan Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor. Projek untuk menjadikan Anwar calon ini gagal. Anwar Ibrahim digantikan dengan Wan Azizah.

Justeru, sokongan saya beralih. Tulisan saya beralih. Propaganda dan selebaran saya beralih. Sokongan saya beralih dari Anwar Ibrahim ke Wan Azizah. Saya terus menyokong Dr Wan Azizah dari menjadi calon N25 Kajang hingga ke kerusi menteri besar.

Kali ini secara terbuka saya nyatakan saya mahu dan menyokong Dr Wan Azizah menjadi calon di PRK Permatang Pauh. Saya juga mahu Dr Wan Azizah menang. Tulisan ini adalah tanda pertama dalam usaha saya memberi sokongan ini. Dalam tulisan ini juga saya cuba memberi pencerahan kepada ahli parti dan orang ramai tentang kenapa Wan Azizah wajib dicalonkan di Permatang Pauh.

Saya bukan orang parti. Tetapi saya menyokong langkah untuk menjadikan presiden Parti Keadilan Rakyat sebagai calon P044 di Permatang Pauh dalam pilihan raya kecil yang akan datang ini. Bagi saya, jika Dr Wan Azizah tidak dicalonkan pada Sabtu 25 hari bulan ini, maka ini kesilapan politik yang amat besar. Saya ulangi, satu kesilapan politik.

Kenapa dan mengapa saya menulis ayat-ayat ini? Apakah saya tidak sedar akan makna dari apa yang saya cadangkan ini?

Saya amat sedar tentang apa yang saya tulis ini. Malah saya menulis untuk memperluaskan lagi kesedaran saya ini. Saya mahu mempengaruhi para pengundi di Permatang Pauh dan juga sesiapa sahaja yang tidak faham kenapa Dr Wan Azizah wajib menjadi calon.

Pandangan saya, Dr Wan Azizah Wan Ismail wajib menjadi calon kerana Anwar Ibrahim. Sebab utama kenapa Dr Wan Azizah dicalonkan ialah Anwar Ibrahim. Bila saya menulis ini mungkin ada sosok-sosok yang beranggapan bahawa saya ini 'tukang kipas' atau ' kaki bodek'. Ini satu kesilapan membaca politik. Bodek dan kipas bukan mazhab politik saya.

Ketika saya menulis ini Anwar Ibrahim dalam penjara. Anwar Ibrahim dipenjara atas tuduhan meliwat. Ini satu tuduhan lawak. Ramai yang ketawa apabila membaca tuduhan ini. Kalau tidak percaya siapa ketawa, sila tanya Hishammuddin Hussein, menteri pertahanan kita. Atau sila pergi tanya menteri besar Johor Khaled Nordin. Mereka ketawa atau tidak ketika Anwar dijatuhkan hukuman kerana liwat? Jika masih belum puas ketawa sila tanya YB Azalina Osman wakil Pengerang.

Dalam bacaan politik yang betul, Anwar Ibrahim sengaja dipenjarakan kerana Anwar telah belot bukan kerana Anwar meliwat. Kata kunci di sini ialah belot dan bukan liwat.

Anwar Ibrahim ialah bekas timbalan perdana menteri dan juga timbalan presiden parti United Malays National Organisation. Selama 16 tahun Anwar Ibrahim telah bergelumang dalam sarang penyamun dan perompak. Anwar tahu cara menyamun dan merompak. Anwar akhirnya belot pada tahun 1998. Anwar tidak mahu lagi bersama gerombolan penyamun dan perompak.

Pembelotan Anwar ini menyebabkan gerombolan penyamun dan perompak ini hilang Perak, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang. Gerombolan ini juga hilang kuasa majoriti dua pertiga dalam Parlimen.

Paling menyedihkan ialah kehilangan Selangor – wilayah terkaya di Malaysia dan terkaya di Asia Tenggara. Selangor – yang semenjak zaman berzaman menjadi lubuk emas serta tempat mencari dan menjual projek. Kini Selangor dikawal dan ditadbir oleh Pakatan. Semua ini terjadi kerana Anwar Ibrahim. Semua ini berlaku kerana Anwar belot.


Justeru Anwar wajib dipadamkan dari nyawa dan badan politik Melayu-Islam-Bumiputera. Anwar wajib dimatikan dari politik Malaysia. Anwar Ibrahim wajib dihapuskan dari nadi politik Asia Tenggara. Anwar Ibrahim wajib dihilangkan dari politik negara-negara Islam. Anwar Ibrahim wajib diketepikan dari arena politik antarabangsa. Jalan terbaik ialah menuduh Anwar meliwat. Jalan terbaik ialah Anwar wajib disimpan dalam penjara.

Memenjarakan Anwar Ibrahim di Sungai Buluh bermakna memadamkan nama Anwar Ibrahim dari ingatan anak anak muda Malaysia. Generasi yang teringat akan Anwar bertugas sebagai menteri pelajaran, sebagai menteri kewangan atau sebagai timbalan perdana menteri masih ada tetapi ingatan ini semakin susut. Tidak sesegar 1998.

Justeru memenjarakan Anwar Ibrahim, once and for all, untuk sekali rembat, nama Anwar Ibrahim akan dihapuskan dari mulut politik rakyat Malaysia.

Cita-cita United Malays National Organisation ialah memadamkan Anwar Ibrahim dari ingatan. Memenjarakan Anwar Ibrahim dapat menjadikan pengaruh politik sosok Anwar yang telah memporak perandakan United Malays National Organisation ditamatkan.

Ingatan kolektif tentang Anwar Ibrahim wajib dilupuskan. Generasi muda, anak pelajar, anak mahasiswa, akan tidak tahu sama sekali sosok yang bernama Anwar Ibrahim ini. Semua wajib digelapkan.

Sesiapa yang membaca Salalatus Salatin atau Sejarah Melayu akan teringat akan sultan Melaka. Jika sultan murka maka si polan yang menjadi sasaran akan dibunuh satu keluarga. Tidak cukup dengan ini sultan akan memerintahkan agar rumah si polan ini dibuang ke laut. Tidak cukup dengan ini tapak rumah juga akan dibuang ke laut.


Kezaliman ini terjadi di zaman kerajaan Melayu Melaka. Hari ini jika boleh, Anwar Ibrahim, anak anak dan kaum keluarga Anwar Ibrahim juga akan dibuang ke laut dan termasuk rumah-rumah mereka sekali. Inilah sebenarnya cita-cita dan niat gerombolan Ketuanan Melayu. Inilah cara terbaik untuk menghapuskan nama Anwar Ibrahim dari pentas politik Malaysia.

Kerana ini niat United Malays National Organisation, maka apa sahaja niat gerombolan ini maka kita wajib lakukan sebaliknya. Jika gerombolan ini mahu hitam kita wajib mahu putih. Jika gerombolan ini mahu babi maka kita wajib mahu harimau. Jangan sesekali kita terperangkap dengan niat dan cita-cita mereka.

Dr Wan Azizah adalah Anwar Ibrahim. Wan Azizah mewakili Permatang Pauh bermakna Anwar Ibrahim masih lagi mewakili Permatang Pauh. Jika tidak ada Wan Azizah maka kita calonkan Nurul Izah. Jika bukan Nurul jika calonkan Nurul Nuha. Apakah ini keterlaluan?

Tidak, ini bertujuan untuk kita terus menghidupkan nama Anwar Ibrahim dalam persada politik Malaysia dan politik antarabangsa.

Apakah para pembaca terlupa, apabila Nurul Izzah dilokap di Jinjang, sebanyak 35 media besar dunia telah menulis dan melapor “daughter of Anwar Ibrahim detained” (anak Anwar Ibrahim ditangkap). Dalam perang propaganda politik ini yang kita mahukan.

Saya sedar ada yang beranggapan jika Wan Azizah menjadi calon ini adalah amalan kroni. Parti Keadilan Rakyat akan dilihat parti kaum keluarga. Memang betul Wan Azizah ialah isteri kepada Awar Ibrahim. Kita tidak mencalonkan Siti Saodah penjual nasi lemak dari Kubang Semang. Kita calonkan Dr Wan Azizah kerana dia isteri Anwar. Kita mengangkat Nurul Izzah atau Nurul Nuha kerana mereka anak Anwar Ibrahim.

Kita lakukan ini dengan penuh kesedaran politik. Kita pilih mereka dengan kesedaran politik dan strategi untuk menumpaskan cita-cita jahat United Malaya National Organmistion yang merancang untuk menghapuskan nama Anwar Ibrahim.

Gerombolan Ketuanan Melayu tahu bahawa Wan Azizh adalah calon menang untuk PKR. Justeru mereka berharap PKR akan jadi bodoh untuk meletakkan Mak Jah dari Kampung Mengkuang Mati sebagai calon.

Kepada yang menganggap Dr Wan Azizah ini adalah calon kroni, sebenarnya mereka ini tidak faham tahap perkembangan sosioekonomi Tanah Melayu. Mereka termakan propaganda sengkek akhbar United Malays National Organisation.

Harus diakui pada hari ini - tahun 2015 - Tanah Melayu masih lagi di tahap ekonomi separuh feudal dan separuh kolonial. Tahap ini bukan sahaja di Tanah Melayu, malah watak ekonomi ini wujud di Indonesia, Sri Lanka, India, Bangladesh atau Pakistan. Tahap ekonomi sebegini melahirkan budaya separuh feudal dan separuh kolonial.

Dalam budaya separuh feudal ini nama keluarga amat penting. Pertalian darah amat penting. Justeru di Pakistan kita ada keluarga Bhutto, di India kita ada Ghandi, di Bangladesh kita ada Mujibur. Di Indonesia kita ada Megawati, di Filipina kita ada Macapagal dan Aquino. Di Tanah Melayu kita ada Najib, Hishamuddin, Khairy Jamaluddin, Lim Guan Eng, Dr Tan, Nurul Izzah, Gobind Singh, Affendi Nawawi, Musa Aman dan Kitingan.

Nama-nama ini adalah pemain politik dalam negara kita. Mereka ini muncul dari budaya feudal.

Bukan satu jenayah untuk dilahirkan sebagai anak atau menantu perdana menteri. Bukan juga jenayah jika dilahirkan dalam keluarga politik. Inilah hakikat tahap sosiobudaya dalam negara kita pada ketika ini. Tahap ini wajib kita lalui dan kita terima.

Apakah ini budaya yang baik? Untuk saya pada ketika ini bukan persoalan sama ada ini baik atau tidak. Untuk saya pada tahap ini yang wajib kita bincangkan ialah bagaimana boleh menggunakan jalur budaya ini untuk menumbangkan kerajaan United Malays National Organisation.

Tujuan kita menumbangkan kuasa parti ketuanan Melayu ini ialah untuk melahirkan budaya keunggulan sosok yang berfikrah. Sosok yang dijadikan pemimpin kerana keupayaan, kerana merit bukan kerana nama keluarga atau kerana menantu PM, anak PM atau anak menteri.

Mencalonkan Dr Wan Azizah Wan Ismail di P044 Permatang Pauh adalah sebahagian dari perancangan jangka panjang untuk menggagalkan rancangan jangka pendek United Malaya National Organisation. Rancangan jangka pendek gerombolan Ketuanan Melayu ialah agar kita semua melupakan Anwar Ibrahim. -Hishamuddin Rais/mk





[VIDEO] Wanita Tanggalkan Baju Kerana Nasi Ayam RM18


Video viral: Baling pinggan lebih baik dari bogel - Pakar psikoterapi

KUALA LUMPUR: Tahap kemarahan dan emosi wanita yang di dalam video viral yang menunjukkan aksi membuka pakaian di Petaling Street disifatkan di takuk yang sangat bermasalah selain tidak stabil.

Pakar psikoterapi Azman Shah Aziz berkata, wanita itu sebenarnya tidak mempunyai apa-apa untuk ditunjukkan selain tiada motif khusus semasa perbuatan berkenaan.

"Individu ini biasanya mengalami masalah mental dan dalam situasi ketidakstabilan emosi.

"Kalau dia marah sangat kenapa sampai hendak membuka baju? Marah bagaimanapun terutama kepada seorang wanita tidak sampai hendak membuka baju.

"Kalau marah dan hendak lepaskan perasaan itu rasanya baling pinggan lebih baik dari bogel," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Azman mengulas rakaman yang memaparkan seorang wanita membuka pakaiannya di tengah-tengah kawasan membeli-belah yang sibuk sekali gus mendapat reaksi luar biasa dari pengamal laman media.

Insiden dipercayai berlaku di Petaling Street, video yang dimuat naik di YouTube pada Jumaat itu mendapat tontonan lebih daripada 30,000.

Dalam pada itu kata Azman, tahap kemarahan wanita berkenaan dilihat sukar dikawal dan tidak berfikir panjang dengan tindakan membuka baju di khalayak.

"Satu-satunya tindakan drastik pada tahap kemarahan yang boleh dilakukan adalah buka baju dan berbogel.

"Ia perbuatan melampau, sia-sia dan tidak mempunyai perkaitan langsung dengan apa juga punca kemarahannya," jelasnya.

Wanita yang pada mulanya disangka pelancong itu akhirnya dikenal pasti sebagai warga tempatan apabila dia bertutur menggunakan Bahasa Melayu dalam video itu. -astroawani