4 Jul 2015

Najib Di Ambang Kejatuhan, WSJ Pertahankan Laporannya

WSJ: Kami amat berhati-hati, percaya

Wall Street Journal (WSJ) hari ini mempertahankan laporan siasatannya berhubung dakwaan penyelewengan dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Malah agensi berita itu juga berkata, artikel berkenaan dibuat berdasarkan siasatan oleh pegawai kerajaan dan laporan tersebut telah dilihat oleh Najib.

Dalam laporannya semalam WSJ mendedahkan bahawa hampir AS$700 juta dana dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah didepositkan ke dalam akaun bank perseorangan atas nama "Dato' Seri Mohd Najib Bin Hj Abd Razak" melalui proksi.

"Ia adalah satu siasatan yang serius. Dokumen yang kami lihat telah diberi juga kepada Peguam Negara Malaysia dan pihak lain di dalam kerajaan.

"Mereka sudah melihatnya dan ia juga telah dilihat oleh perdana menteri," kata Ketua Biro WSJ Hong Kong, Ken Brown dalam wawancara bersama CNBC.

Selain itu, Najib melalui setiausaha politiknya semalam telah mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap WSJ.

Sehubungan itu, Brown berkata WSJ tetap mempertahankan laporan mereka.

"Kami amat berhati-hati dan kami percaya siasatan dan dokumen yang kami perolehi adalah benar dan datang dari siasatan yang boleh dipercayai dan bukan siasatan politik.

"Ia adalah satu berita yang penting dan kami mengambil perkara ini dengan serius. -mk

"Setiap kali anda melihat pemimpin negara yang telah [...] sekurang-kurangnya bukti itu menunjukkan aliran wang ke akaun peribadi beliau dan ia melibatkan urusan kerajaan, ia sangat dramatik," katanya lagi.


Berapa banyak cukai Najib, 1MDB, Jho Low bayar, soal Dr Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempersoalkan sekiranya Lembaga Hasil Dalam Negeri menyiasat cukai yang dibayar individu berprofil tinggi tertentu, termasuk perdana menteri, eksekutif di 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan ahli perniagaan Low Taek Jho.

Dalam posting terbaru di blog popularnya chedet.cc, bekas perdana menteri itu berkata, kebelakangan ini, wujud elemen selektiviti dalam tumpuan "orang lembaga cukai."

Katanya, manakala eksekutif dalam syarikat pelaburan strategik negara 1MDB dibayar gaji yang tinggi, Datuk Seri Najib Razak tidak dibayar apa-apa sebagai penasihat kepada 1MDB.

Tetapi menegaskan, kerajaan membayar elaun, termasuk bagi bil utiliti dan pengangkutan, kepada perdana menteri.

Beliau berkata dengan cara ini, semua gaji perdana menteri, walaupun lebih rendah daripada eksekutif perniagaan, boleh jadi disimpan dan dibelanjakan.

"Tetapi, gaya hidup mewah mesti besar belanjanya. Ia tentunya lebih daripada apa yang saya simpan selepas 29 tahun dalam kerajaan.

"Memanglah, ia rahsia. Tetapi saya ingin bertanya, adakah orang lembaga cukai menyiasat sumber wang dan cukai yang dibayar?" soalnya.

Beliau berkata, setiap orang yang perlu disiasat mesti disiasat dan menurutnya, di Malaysia, Raja-Raja pun tertakluk kepada undang-undang tertentu.

"Kita mesti sama rata di sisi undang-undang dan kita perlu dilihat sama rata. Setiap orang yang perlu disiasat oleh agensi kerajaan perlu disiasat.

"Tidak boleh ada diskriminasi," katanya.

Dr Mahathir berkata, Low juga membeli rumah pangsa mewah di New York dan Hollywood, dan mempersoalkan dari mana beliau dapat wang beratus juta untuk membeli hartanah itu.

"Adakah dia membayar cukainya?

"Dia juga membeli sebuah bank pada harga AS$260 juta. Dari mana dia dapat wang itu? Adakah ia dipinjam? Adakah dia jual bank itu dan bayar cukai atas keuntungan yang diperolehi?" soalnya.

Posting Dr Mahathir dibuat beberapa jam selepas timbul dakwaan oleh akhbar perniagaan Wall Street Journal (WSJ) yang berbilion ringgit disalurkan ke akaun peribadi Najib.

Perkara sama turut dilaporkan Sarawak Report, yang dikatakan dapatan dari siasatan ke atas 1MDB yang dijalankan kerajaan.

Dr Mahathir juga mempersoalkan perbelanjaan anak tiri Najib, Riza Aziz yang dilaporkan membelanjakan ratusan juta dolar membeli kediaman mewah di London, New York dan Hollywood.

Katanya, Riza juga membelanjakan berjuta-juta membiayai filem Hollywood "The Wolf of Wall Street".

Dr Mahathir berkata, apabila Jabatan Perdana Menteri berkata kekayaan Najib itu diwarisi dari keluarganya, ia dibantah adik-adik Najib.

Katanya, Tun Abdul Razak bukan seorang yang kaya dan tidak meninggalkan ratusan juta ringgit untuk keluarganya.

"Jadi, dari mana datangnya wang itu?" soal Dr Mahathir.

Katanya, ia kemudian didakwa diperolehi dari perniagaan.

"Jika dia buat begitu banyak duit dari perniagaan, tentu dia bayar cukai pendapatan. Adakah orang lembaga cukai datang menyiasatnya berhubung keuntungan perniagaannya?

"Berapa banyak cukai dia bayar? Memanglah ia rahsia. Tetapi saya harap ia bukan hendak melindungi sesuatu," tulis Dr Mahathir.

1MDB kini menjadi subjek inkuiri beberapa pihak berkuasa, termasuk Ketua Audit Negara, Bank Negara, polis dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Najib yang juga menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB, dikritik teruk beberapa bulan kebelakangan ini kerana beberapa isu, termasuk 1MDB yang mengumpulkan hutang RM42 bilion selepas hanya enam tahun beroperasi.
-TMI


ULASAN GB

Sesiapa pun tidak mampu melawan hukum kebenaran dan keadilan.

Kamu mungkin mempunyai kuasa terhebat di dalam negara. Sepertimana Firaun yang mempunyai kuasa terhebat di zamannya. "Ana Rabbukumul a'la" katanya... akulah Tuhan Yang Paling Tinggi (An-Naziat:24) ...

Tetapi hukum kebenaran dan keadilan berjalan di mana Allah menghantar Musa a.s. bersama saudaranya Harun untuk memberitahu bahawa kamu Firaun telah melampaui batas... "izhabaa ilaa Firauna innahuu thaghaa (TaHa:43)

Kemudian Allah swt menyatakan: "Wa aghraqnaa aala firaun wakullun kaanuu zaliimiin..." Kami tenggelamkan Firaun serta pengikut-pengikutnya (di laut), kerana kesemuanya adalah orang-orang yang zalim" (Al-Anfaal:54)

Terbanyak skandal sudah pun terdedah, lepas satu satu sehingga rakyat sengsara dan menderita. Sekarang tidak mungkin lagi Najib mampu untuk mempertahan diri. Atau jika mampu sekalipun, hukum kebenaran dan keadilan akan terus berjalan mendedahkan lebih terang dan jelas siapa Najib sebenarnya... mana Najib mahu lari?

Selagi Najib cuba pertahankan dirinya (seperti kisah Firaun yang tercatat di dalam Al-Quran itu) maka lebih cepat beliau akan dimusnahkan.

p/s tapi ada orang kata .... dia kata UMNO (maksudnya Najib) tak seburuk Firaun...

[BERGAMBAR] SAH! Pakatan 2.0 Diumum Selapas Hari Raya Aidilfitri

Beberapa bekas pemimpin PAS (dari kiri ke kanan) Saari Sungib, Datuk Mujahid Yusuf Rawa, Datuk Ir. Phahrolrazi Zawawi, Tan Sri Muhamad Muhd. Taib and Datuk Mohd Salleh Man dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1 Datuk Rashid Hasnon pada majlis berbuka puasa di Seberang Jaya, Pulau Pinang malam ini.

Pakatan baharu diumum selepas Hari Raya, kata Mat Sabu

Bekas pemimpin PAS Pusat yang bekerjasama di bawah panji-panji yang dinamakan G18 menjanjikan pakatan baharu selepas Hari Raya Aidilfitri bulan ini.

Bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu berkata, mereka mesti membina Pakatan Rakyat (PR) yang baharu yang lebih hebat daripada PR yang kini terkubur.

Beliau berkata ia perlu menjadi pakatan yang menjunjung integriti sebagai nilai paling penting.

"Tugas kita bukan hanya menggantikan Umno dan Barisan Nasional. Kita perlu bentangkan satu formula baru.

"Saya sokong kuat kerajaan Pulau Pinang kerana ia mempunyai integriti dan mengamalkan budaya dan nilai yang serupa dengan ajaran Islam.

"Ia bukan tentang semangat Melayu tetapi semangat harmoni. Tiada ubat lain selain daripada mengubah kerajaan," katanya pada majlis berbuka puasa anjuran Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di The Light Hotel di Seberang Jaya malam ini.

Mohamad, juga dikenali sebagai Mat Sabu berkata, Islam agama yang menganjurkan keamanan dan Al-Quran juga mengajar umatnya bercakap dengan santun dan menggunakan perkataan yang baik apabila berbicara atau berhujah, baik dengan orang Islam mahupun dengan bukan Islam.

"Ia tidak mengajar kita menggunakan perkataan seperti serigala, anjing atau jebon.

"Tak kena tu," katanya, memperli Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menggunakan perkataan seperti itu semasa ceramahnya minggu lepas.

Hadi mengatakan serigala dan anjing boleh terus menyalak, tetapi PAS tidak akan berganjak daripada agenda hududnya.

Selain Mat Sabu, turut hadir ialah presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) Datuk Phahrolrazi Zawawi, bekas pemimpin PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, bekas strategis PAS Dr Mohd Hatta Ramli dan bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Mujahid berkata, tidak perlu sedih dengan terkuburnya PR kerana satu kuasa baharu akan muncul.

Beliau berkata gabungan yang lebih kuat akan terus berusaha untuk rakyat.

"Kita tidak pernah lihat sebelum ini, yang kalah disanjungi. Saya bercakap ini, tentang parti saya (PAS).

"Kita akan lihat satu gelombang baharu. Harap-harap dengan ketibaan Syawal, kita akan lihat munculnya gelombang baharu," katanya di majlis tersebut.

Phahrolrazi bersetuju dengan Mujahid, mengatakan wujud keperluan segera untuk menubuhkan satu gabungan baharu di kalangan parti pembangkang.

Katanya, beliau berkata demikian bukan bagi pihak organisasinya, tetapi mewakili semua kumpulan yang menyokong PR, dan menaruh harapan tinggi pada pakatan tersebut dan kini luluh melihat ia terkubur.

"Kita mesti ada gabungan baru. Saya sudah katakan, kalau G18 tak buat, PasMa akan buat," katanya.

Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata, sasaran dan hala tuju utamanya ialah menumbangkan BN, menyelamatkan Malaysia dan mengembalikan negara kepada rakyat.

Katanya, mereka tidak boleh bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ingin membina kerajaan perpaduan dengan Umno.

Beliau berkata mahu bekerjasama dengan mereka yang benar-benar mahu memperjuangkan rakyat.


"Kami akan menunggu berita terkini (tentang parti baharu) dan menunggu untuk menyatukan kekuatan kita melawan BN," katanya.

DAP dan PAS berbalah sejak parti Islam tersebut membentangkan dan meluluskan rang undang-undang hudud di Dewan Undangan Negeri Kelantan pada Mac.

Awal bulan lepas di muktamar tahunan PAS, parti itu menerima tanpa bahas usul dari Dewan Ulama untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

Berikutan ini, DAP mengisytiharkan PR kini mati dan pemimpin progresif PAS yang kini dipanggil G18 sedang mempertimbangkan pertubuhan parti Islam baharu untuk mewujudkan gabungan pembangkang yang baharu. – TMI



ULASAN GB

Tertunailah hasrat rakyat Malaysia nanti dan ahli-ahli akar umbi PAS.... sebuah parti baharu bersama Pakatan yang baharu... InsyaAllah, Putrajaya sudah makin hampir dengan wujudnya Pakatan Baharu tanpa PAS lagi!

"Biar serigala dan anjing menyalak.... kabilah baharu ini akan berjalan terus ke Putrajaya..."

Moga Allah menyampaikan hasrat dan cita-cita murni kita itu bersama dengan keredhaanNya... InsyaAllah.