7 Feb 2009

Kerajaan Haram BN Di Perak Tidak Kekal Lama

Kerajaan haram yang ditubuhkan oleh Barisan Nasional hasil dari coup de tat (rampasan kuasa) yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri diramalkan tidak akan dapat bertahan lama.

Para pemimpin dan pengalisis politik tempatan berpendapat, dengan terdedahnya banyak perkara ekoran dari rampasan kuasa yang kotor yang dilakukan oleh Najib yang bakal menjadi PM yang ke 6 bulan depan menjadikan episod kemelut politik Perak tidak mudah untuk dibendung dan akan terus menjadi barah yang mengundang lebih banyak keburukan selagi pilihanraya tidak diadakan di Perak.

Persoalan yang timbul ialah berbalik kepada perkara asas di dalam pemerintahan sesebuah kerajaan - iaitu - pendaulatan rakyat sebagai kata pemutus terhadap sesutau kemelut.

Naib Presiden PAS, Husam Musa menyifatkan rampasan kuasa yang berlaku di Perak membuktikan bahawa pimpinan Umno-BN termasuk dalam golongan lanun kerana tidak menghormati dan mengikuti Perlembagaan negeri Perak.

Katanya, mereka mengambil orang yang dituduh terlibat dengan rasuah sebagai orang yang menyokong pembentukan kerajaan (BN) sebagai tekanan dan cara yang mereka lakukan betul-betul lanun.

PAS tidak akan mengiktiraf kerajaan baru negeri Perak yang diterajui Barisan Nasional (BN), kata Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula

Katanya, beliau berpegang pada pendirian bahawa pilihan raya patut diadakan semula bagi memberi peluang rakyat memilih kerajaan mana yang mereka mahukan.

"ni bukan soal Melayu (menderhaka) tetapi dalam Islam, raja atau rakyat, orang bandar, orang kampung, tak kira raja, tok guru, setaraf semuanya dan mereka bertanggungjawab kepada Allah di akhirat kelak," katanya.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyatakan Datuk Seri Mohamad Nizar bin Jamaluddin masih lagi Menteri Besar Perak sehinggalah beliau meletakkan jawatan atas kerelaannya sendiri atau melalui usul undi tak percaya padang sidang Dewan Undangan Negeri.

"Usul tidak percaya dalam persidangan DUN sahaja yang boleh menyingkirkan Nizar dari jawatan itu. Selain daripada itu, tak kiralah berapa banyak angkat sumpah dijalankan, lompat melompat. sidang akhbar atau perisytiharan, atau apa jua iklan, paparan, sogokan atau tindakan yang dibuat ke atas persoalan itu tidak akan terpakai," katanya.

"Perlembagaan tiada memperuntukkan kuasa untuk menyingkirkan Nizar dengan apa cara sekalipun, termasuk petisyen atau arahan daripada sesiapa juapun," tegasnya yang merujuk titah Sultan Perak yang meminta Nizar meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar.

Beliau menambah, kerajaan yang sah dari segi perlembagaan adalah yang diberi mandat oleh rakyat, dan hanya rakyat yang menentukannya. Untuk menyingkirkan dan menubuhkan kerajaan baru tanpa melalui pilihanraya atau usul undi tak percaya adalah bererti melanggar perlembagaan, melanggari undang-undang bererti berisiko menubuhkan kerajaan haram.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkata cara pembentukan kerajaan baru di Perak telah menimbulkan persoalan dan seterusnya mengenai kesahihan kerajaan negeri yang baru itu.

Sehubungan itu, Suhakam berpendirian hanya pilihanraya bebas dan adil dapat menyelesaikan ketidaktentuan politik di negeri tersebut.

Menurut Tun Mohamad Salleh Abas, bekas Ketua Hakim Negara, jalan yang betul untuk menabalkan menteri besar baru adalah dengan menjatuhkan dulu menteri besar yang ada melalui undi tidak percaya di dalam sidang Dewan Undangan Negeri.

Setelah jatuh dan kumpulan yang baru mendapat undi percaya barulah dia sah untuk mendapat perkenan Sultan dan dilantik sebagai menteri besar.

Editor Siasah Zulkifli Sulong di dalam kolumnya di malaysianinsider menyatakan ekoran pilihan raya Kuala Terengganu, semua pihak mengaku Umno dan BN perlu membuat perubahan besar-besaran. Najib sendiri mengaku tentang keperluan itu. Apakah perubahan itu? Bagi saya, berubah dari persepsi buruk rakyat kepada yang baik di mata rakyat.

Apakah masalah paling besar kepada Umno di mata rakyat. Bagi saya, amalan korupnya. Dari pemimpin tertinggi sehinggalah ke pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dinilai sebagai korup.

Najib boleh berkata, apa yang dibuat Umno, iaitu mendapatkan Adun Pakatan adalah sama sahaja dengan apa yang cuba dibuat Pakatan pimpinan Anwar Ibrahim dari projek 16 September hinggalah penyertaan Datuk Nasarudin Hashim ke dalam PKR.

"Jika Pakatan buat boleh, bila Umno buat korup?" Najib boleh kata begitu.

Tetapi, jika dilihat kepada nature kes-kes itu jelas. Misalnya kes Jamaludin Mat Radzi dan Osman Jailu. Kedua-duanya sedang didakwa kerana rasuah. Menjelang beberapa hari sebelum kesnya disebut lagi untuk dibicarakan iaitu pada 10 Februari, kedua-duanya hilang. Timbul semula hanya di Putrajaya dan mengiytiharkan keluar dari PKR menjadi calon bebas. Kemudian membuat pengakuan kepada Sultan Perak menyokong BN untuk membentuk kerajaan baru.

Saya yakin, jika Gerak masih lagi badan bebas, kumpulan NGO anak buah Ezam Mohd Noor ini akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Gerak akan mendakwa terdapat unsur-unsur rasuah yang jelas bagaimana Jamaludin dan Osman ini boleh menyokong BN hatta untuk menjatuhkan bekas kerajaannya.

Antaranya, jika didapati bersalah Jamaludin dan Osman akan hilang segala-galanya; jawatan Exco, Adun bahkan boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun. Dari kehilangan semua ini, baik sokong BN.

Namun, kini Gerak tidak bergerak. Mereka sudah kenyang dengan isu 46 ekor lembu korban di Bandar Tun Razak sahaja.

Oleh itu Zulkifli berkesimpulan: walaupun Umno dilihat menang dalam kes ini iaitu mendapat kerajaan Perak tetapi ia umpama pepatah Melayu sahaja, menang secupak, rugi segantang. Berjaya rampas negeri Perak tetapi besar kemungkinan akan hilang selama-lamanya di mata rakyat kerana Umno sememangnya gagal bahkan sememangnya tidak mahu berubah.



Kemelut Perak: Konspirasi Annuar Zaini?

Kesultanan Perak adalah merupakan waris daripada kesultanan Melaka melalui Sultan Muzaffar Shah I, iaitu anak kepada Sultan Mahmud. Sejarah Sultan Mahmud sebagai pemerintah Melaka telah diketahui umum berada dalam kelemahan sehingga akhirnya Melaka tumbang dijajah oleh Portugis. Salah satu kelemahan Sultan Mahmud yang paling ketara ialah beliau dipengaruhi oleh mereka yang di sekelilingnya dalam membuat keputusan. Menurut lagenda sejarah, beliau telah membunuh Bendaharanya Tun Mutahir atas hasutan pembesar di sekililingnya. Malah beliau telah membunuh anaknya sendiri Sultan Ahmad Shah yang telah mengambil alih takhta selepas pembunuhan Tun Mutahir. Kisah sejarah seperti ini sememangnya tidak perlu diungkit, tetapi perlu diambil pengajaran oleh Istana Perak.

Dalam zaman moden ini, sistem pemerintahan Malaysia telah bertukar kepada sistem demokrasi dan mengekalkan intitusi Raja yang terikat dengan perlembagaan. Dari segi perlembagaan kuasa Raja adalah diimbangi oleh kuasa eksekutif iaitu Perdana Menteri atau Menteri Besar. Mereka yang berada di sekeliling Raja atau Sultan dari kalangan pembesar-pembesar Istana hanyalah berkaitan dengan urusan istiadat dan pertabalan Raja atau Sultan yang baru. Dalam hal ehwal mentadbir negeri, Raja atau Sultan harus mendengar nasihat daripada Menteri Besar yang dipilih oleh rakyat. Zaman Raja atau Sultan mendengar nasihat daripada pembesar Istana telah berlalu.

Perkara inilah yang sedang berlaku di Perak. Sultan telah membelakangkan nasihat Menteri Besar yang mendapat kepercayaan majoriti rakyat sebaliknya mendengar pandangan pembesar-pembesar istana. Di kalangan pembesar-pembesar Istana Perak itu terdapat mereka yang mempunyai kepentingan diri atau kepentingan parti. Salah seorang daripadanya ialah Annuar Zaini (Pengerusi BERNAMA - tambahan GB) yang diperkatakan oleh banyak pihak sebagai salah seorang perancang rampasan kuasa yang ada pada hari ini. Beliaulah yang dikatakan banyak mempengaruhi Istana Perak dalam membuat keputusan terutama yang berkaitan dengan senario politik negeri Perak. Tindakan beliau ini telah menyebabkan rakyat mulai ragu dengan pendirian istana yang sepatutnya tidak berpihak.

Tidak diketahui mengapa Annuar Zaini ini begitu istimewa di Istana Perak. Beliau bukanlah keturunan diraja. Beliau telah dilantik sebagai salah seorang pembesar Istana Perak dan dalam Sambutan Jubli Perak baru-baru ini, beliau telah dianugerahkan sebagai salah seorang yang begitu banyak jasanya kepada Sultan Azlan. Beliau juga adalah Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaya yang Canselornya adalah Sultan Azlan sendiri. Sehingga hari ini ramai rakyat jelata begitu tertanya apakah tuah yang ada pada Annuar Zaini ini sehingga beliau begitu dekat di hati Sultan Azlan, malah lebih diutamakan untuk mendapat nasihat berbanding Menteri Besar yang diberi mandat oleh rakyat.

Keterlibatan Annuar Zaini dalam perancangan rampasan kuasa ini sememangnya menjadi percakapan umum, tetapi ia semakin disahkan dengan penggunaan nama Raja Muda (Raja Nazrin) semasa menculik Nasarudin Adun Bota. Sebagaimana maklumat yang ditulis oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Misbahul Munir, beliau dimaklumkan oleh isteri Adun Bota tersebut dua orang lelaki telah datang ke rumahnya untuk menjemput beliau mengadap Raja Muda. Siapakah yang sebegitu berani mendakwa dirinya menjadi wakil kepada Raja Muda. Sudah pasti mereka bertindak dengan dibelakangi oleh seseorang yang mempunyai kedudukan sebagai pembesar Istana. Tidak mustahil juga perkara tersebut berlaku kepada Adun DAP dari Jelapang. Kedua-dua mereka kelihatan terpinga-pinga semasa Najib mengumumkan rampasan kuasa.

Baca di perenggan terakhir. Dia berada bersama Pak Lah
sewaktu pengumuman MB baru.


Ketika PAS kalah di negeri Terengganu dalam PRU 2004 yang lalu, Annuar Zaini ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Pas yang mengaku kalah, beliau menyatakan "baguslah mengaku kalah tetapi jangan pula selepas ini mengacau pentadbiran Terengganu". Sepatutnya kenyataan beliau itu diterjemahkan dalam konteks Negeri Perak. Beliau sepatutnya mengaku kalah dan tidak melakukan seribu satu onar dengan menggunakan nama Istana Perak mengacau pentadbiran Negeri Perak. Tindakan beliau untuk merampas teraju Kerajaan Negeri dengan cara yang jijik dan memualkan ini akan memalitkan sejarah hitam kepada Kesultanan Perak dan leluhurnya Kesultanan Melaka yang akan sekali lagi tercatat dalam sejarah.

Plot rampasan kuasa ini walaupun dilakukan begitu licik, tetapi mudah diketahui oleh rakyat Perak bahkan rakyat Malaysia. Walaupun pelbagai alasan digunakan melalui media-media massa, rakyat sekarang sudah mula celik. Rakyat sekarang bukan seperti zaman Sultan Mahmud dahulu, sebaliknya mereka mendapat berita secara live mendahului propaganda media-media massa. Rakyat mula persoalkan bagaimana boleh berlaku umpanan rasuah terhadap exco, bagaimana exco-exco boleh hilang sehingga tidak diketahui oleh keluarganya sendiri, bagaimana begitu bodoh mereka mengemukakan alasan sakit tulang belakang, bagaimana Adun Bota diculik dan lain-lain yang diketahui oleh rakyat terlebih dahulu sebelum media menyiarkan.

Hasil daripada perancangan yang jijik dan mual itu, 96% rakyat telah melihat bahawa BN akan menerima padah dalam PRU akan datang sebagaimana undian NTV7. Tokoh-tokoh vateran UMNO sendiri seperti Dr Mahathir dan Ku Li melahirkan rasa jijik dengan rampasan kuasa ini. Yang paling jelas Pak Lah dan Najib sendiri sedar bahawa rakyat sangat jijik dengan permainan kotor ini sehingga mereka tidak sanggup untuk kembali ke medan tempur sebagaimana tuntuntan Menteri Besar Perak untuk membubarkan DUN. Tindakan Annuar Zaini bersama kumpulannya merancang rampasan kuasa ini sebenarnya akan memburukan lagi imej UMNO yang telah ditolak rakyat dalam dua pilihanraya kecil yang lalu.

Bagaimanapun tindakan itu turut memalitkan nama baik Istana Perak. Ketika seluruh negara tertumpu kepada susuk tubuh Sultan Azlan sama ada membubarkan DUN atau tidak, baginda bertindak menyempurnakan rancangan tersebut. Ketika rayuan mencurah-curah dalam laman web Istana Perak supaya memberi semula mandat kepada rakyat, baginda mencurahkan balik rayuan itu ke luar jendela Istana Perak. Paling mengejutkan Baginda bertindak secara tidak cermat dengan meminta Menteri Besar meletakkan jawatan. Seharusnya Baginda memilih jalan yang lebih sederhana meminta Menteri Besar mengadakan sidang tergempar DUN supaya boleh diusulkan undi tidak percaya.

Sudah menjadi rahsia umum Baginda tidak begitu menyenangi Menteri Besar disebabkan beberapa isu yang sampai kepada Baginda melalui jalan pembesar-pembesar Istana. Boleh dikatakan kebanyakan pembesar-pembesar Istana Perak itu cenderung kepada UMNO termasuklah Annuar Zaini, justeru tidak menghairankan jika khabar yang disampaikan kepada Sultan Perak melalui jalan pembesar-pembesar negeri ini tentang Menteri Besar adalah negatif. Semua rakyat tahu bagaimana Menteri Besar begitu taat dengan Sultan Perak, tetapi Baginda di kelilingi oleh pembesar-pembesar Istana Perak yang tidak sebulu dengan Menteri Besar. Di sini kelihatan Baginda berada dalam kondisi sebagaimana luluhur Baginda Sultan Mahmud dahulu.

Sambutan Jubli Perak pemerintahan Baginda yang sepatutnya diperkukuhkan dengan keputusan yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Perak telah dicemari dengan nasihat-nasihat salah oleh Pembesar Istana. Keputusan Baginda dilihat seperti satu 'finishing' kepada satu konspirasi rampasan kuasa yang didakwa oleh PR dirancang oleh salah seorang pembesar baginda yang bernama Annuar Zaini. Sejarah Sultan Mahmud yang memerintah hampir 30 tahun termasuk membunuh Bendahara Tun Mutahir anakandanya sendiri seharusnya tidak berulang. Sebagaimana Tun Mutahir dibunuh hasil hasutan pembesar-pembesar Istana, maka Istana Perak hari ini perlu menyingkirkan pembesar-pembesar yang seumpama itu kerana merekalah yang akan memalitkan sejarah hitam Kesultanan Perak.

- telaahpolitik

Kemelut Politik Perak - Satu Sorotan Kembali

Maka berlakulah apa yang dinamakan "Kemelut Politik Perak" dengan berjayanya UMNO/BN menobatkan calon pilihannya sebagai Menteri Besar Perak.

Kekecohan dan pertempuran seperti yang berlaku di Masjid Ubudiah semalam telah dapat dielakkan dari berlaku sekiranya Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menerima persembahan Menteri Besar, Datuk Seri Nizar Jamaluddin untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak, atau setidak-tidak menerima mengadap rakyat yang ingin menemui baginda selepas Solat Jumaat di Istana.

Sungguh berbeza dengan apa yang ditunjukkan oleh Sultan Terengganu yang menjadi Yang Dipertuan Agong, Sultan Mizan yang berkenan menerima mengadap rakyat yang berhimpun untuk menyerahkan memorandum pada 10 November 2007 yang lalu sekalipun rakyat terpaksa menempuh pelbagai rintangan sebelum sempat sampai ke pagar Istana Negara.

Baginda tiada di istana tetapi telah meminta pegawai Istana menerima rakyat sebagai tetami. Setidak-tidaknya baginda tidak menghalang rakyat untuk datang bertandang ke Istana yang pada waktu itu satu sejarah tercipta yang mendekatkan institusi Raja ke hati rakyat.

Malah di satu peringkat Sultan Mizan sanggup "menolak" perlantikan Menteri Besar pilihan Perdana Menteri walaupun di asak berkali-kali.

Di dalam sebuah negara demokrasi yang berperlembagaan, suara dan kuasa rakyat sepatutnya diterima dan dihormati.

DERHAKAKAH DATUK SERI NIZAR?

Raja Nazrin pernah bertitah begini:

Raja yang bersemayam di puncak struktur pemerintahan, merupakan lambang kuasa dan simbol perpaduan. Raja berperanan utama menguruskan rutin harian negara dengan dibantu oleh barisan pembesar negeri. Bahawa sistem kerajaan berteraskan Raja ketika itu lagi, tidak pernah bersifat mutlak dalam erti kata sebenar. Struktur pemerintahan begitu tersusun dengan lapisan pembahagian tugas dan perwakilan kuasa di antara Raja dengan pembesar negeri. Raja, setelah disembah maklumkan maklumat dari rakyat, mengamalkan sistem perundangan, bermesyuarah untuk memperoleh nasihat dan pandangan dari pembesar negeri. Sistem perundingan dan mesyuarah amat diutamakan, dijadikan amanat penting kepada pewaris takhta seperti yang terkandung dalam wasiat Sultan Alauddin Shah kepada anakanda Baginda Sultan Mahmud Syah:

Petikan:
"Hai anakku, ketahui olehmu bahawa dunia ini tiada akan kekal adanya... melainkan iman... Adapun peninggalku ini hendaklah anakku berbuat ibadat sangat-sangat, jangan anakku mengambil hak segala manusia dengan tiada sebenarnya, kerana segala hamba Allah semuanya terserah kepadamu. Jikalau kesukaran baginya hendaklah segera engkau tolong: jikalau teraniaya ia hen-daklah segera engkau periksa baik-baik supaya di akhirat jangan diberatkan Allah atasnya lehermu.... Syahadan hendaklah engkau muafakat dengan segala perdana menteri dan segala orang besar-besar, kerana raja-raja itu jikalau bagaimana se-kalipun bijaksananya dan tahunya sekalipun, jikalau tiada ia muafakat dengan segala pegawai tiada akan sentosa adanya, dan tiada akan dapat ia melakukan adilnya; rakyat itu umpama akar, raja itu umpama pohonnya; jikalau tiada akar nescaya tiada akan dapat berdiri. Adapun segala anak Melayu, jikalau bagaimana sekalipun besar dosanya jangan segera kau bunuh (dalam konteks ini - dititah meletakkan jawatan), melainkan yang patut pada hukum Allah. ....Jikalau kau bunuh ia dengan tiada dosanya, bahawa kerajaanmu binasa." (Petikan Sulalat-al-Salatin).

Rasanya telah terang benderang titah itu untuk menjawab segala tohmahan yang menuduh Datuk Seri Nizar sebagai penderhaka.

Lantas apa kini yang berlaku yang menyebabkan cadangan pilihanraya enggan diterima oleh pihak istana seperti yang dipersembahkan oleh "pembesar negeri" yang mewakili suara rakyatnya?

Titah Raja Nazrin lagi:

Islam juga telah membawa Raja Melayu kepada dua konsep murni, adil dan muafakat. Konsep adil dapat dibuat tafsiran lanjutan kepada perjanjian di antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba yang dijadikan 'magna carta' orang Melayu. Konsep keadilan politik Melayu dibayangkan oleh kata-kata 'Raja adil Raja disembah - Raja zalim Raja disanggah'. Konsep taat setia rakyat kepada Raja tidak bererti bahawa Raja boleh melakukan apa sahaja menurut sesuka hati. Konsep muafakat menekankan kepada semangat bermesyuarah.

Apabila UMNO dilihat memperalatkan Istana dan kemudiannya pihak Istana akur serta tunduk kepadanya dalam masa yang sama mengenepikan rakyatnya, bukankah itu zalim namanya? Bukankah itu bererti 'magna carta' yang menjalinkan hubungan agar mesyuwarah itu dapat terlaksana diantara rakyat dan raja telah dicabuli?

Saya ingin mengambil kata-kata daripada Raja Nazrin juga,

"Sekiranya kita ingin memastikan kelangsungan institusi beraja dikekalkan, institusi beraja juga harus menerima gelombang arus perdana. Sekiranya tidak, ini akan membawa kesan yang lebih besar kepada institusi beraja di Malaysia."

Gelombang arus perdana dapat dilihat dari pilihanraya yang berlaku bermula dari pilihanraya umum yang terakhir (PRU12) kemudian rentetan pilihanraya-pihanraya kecil selepasnya. Arus yang mana kini yang sedang mendominasi gerakan rakyat?

Hanya kejujuran menjawabnya yang memisahkan kebenaran dengan kepalsuan. Yang berlaku kini, tak tuah tak perdana Tuanku!