2 Mac 2011

Muhyiddin Dikecam Kerana Cuba Campurtangan Isu Fatwa

PAS menegaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai “tidak layak” untuk membuat keputusan bahawa fatwa dikeluarkan parti Islam itu, yang seringkali menjadi tumpuan ketika pilihan raya, adalah songsang.

Sambil mempertahankan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, pihak yang layak untuk membuat keputusan adalah Majlis Fatwa Kebangsaan, bukannya Muhyiddin yang hanya Timbalan Perdana Menteri.

Isu fatwa juga mendapat perhatian ketika pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang Januari lalu.

“Kita perlu membuat penyelarasan tetap dalam perkara-perkara penting terutamanya yang melibatkan agama, Nik Aziz adalah seorang yang berautoriti untuk mengeluarkan pandangan dan memberikan respons berkaitan agama Islam.

“Mungkin kenyataan yang dikeluarkan Nik Aziz selama ini tidak selari dengan Umno-Barisan Nasional (BN),” katanya kepada The Malaysian Insider hari ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian ini menambah, sekiranya Muhyiddin merasakan pandangan yang dikeluarkan pemimpin tertinggi PAS itu tidak betul, beliau perlu membawa perkara tersebut ke Majlis Fatwa Kebangsaan bukan membuat keputusan sendiri.

“Kalau Muhyiddin rasa tak betul, beliau boleh buat penyelarasan dengan Majlis Fatwa Kebangsaan, sebenarnya ia harus dijawab secara intelektual termasuk ulama dan juga mereka yang pakar (dalam hal agama).

“Jadi percanggahan pendapat yang wujud ini harus dijawab secara lebih baik dan intelektual oleh ulama dan mungkin juga Majlis Fatwa Kebangsaan,” katanya.

Salahuddin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Muhyiddin yang menuduh PAS seringkali mengeluarkan fatwa-fatwa songsang untuk mengelirukan akidah orang Islam selain mahu mendapatkan sokongan pengundi Melayu.

Kelmarin Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno mendakwa, orang Islam tidak memerlukan sebarang fatwa baru apatah lagi fatwa songsang dikeluarkan PAS terutamanya Nik Aziz.

Pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang bulan lalu, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan didakwa mengeluarkan fatwa bahawa undi Umno akan jadi jahiliah.

Malah sebelum ini PAS turut didakwa mengeluarkan pelbagai fatwa termasuk undi PAS boleh masuk syurga; diharamkan makan daging binatang ternakan yang disembelih orang Umno; sesiapa yang menentang PAS beerti menentang Islam kerana Islam itu PAS dan PAS itu Islam; menuduh kerajaan BN kafir kerana tidak menjalankan hukum Allah s.w.t dan membuat tuduhan bahawa kerajaan Malaysia memisahkan agama dari politik dan dengan itu menjadi kafir.

Terlebih dahulu dalam sidang media yang diadakan, Salahuddin meminta agar jentera pilihan raya Umno-BN tidak melakukan keganasan termasuk membuat provokasi ketika parti Islam itu mengadakan program.

Semenjak kempen pilihan raya kecil DUN Merlimau bermula Sabtu lalu, PAS-Pakatan Rakyat mendakwa diganggu oleh jentera pilihan raya Umno-BN yang menyaksikan beberapa insiden berlaku termasuk pentas DAP terbakar, cermin kereta pecah dan tayar kereka dipancitkan ketika ceramah.

“Kita nak kempen secara sihat, tiada keganasan berlaku... ini jaminan kita.

“Tapi kenapa ceramah yang kita adakan sentiasa ada gangguan? Ini provokasi yang sengaja dirancang, jadi saya minta ia dihentikan,” kata Salahuddin.

Pilihan raya kecil DUN Merlimau menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara Roslan, ahli jawatankuasa Umno Jasin dan Yuhaizat Abdullah iaitu Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka dan Timbalan Yang Dipertua PAS Jasin. -TMI


Ustaz Idris Bidas Tuduhan Zahid Hamidi

Umno: Untuk rakyat membazir, perut sendiri OK

PAS menafikan menjadi kuda tunggangan PKR apabila melancarkan Buku Jingga di Markaz Induk Pilihan raya Kecil Kerdau pada 26 Februari lalu.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, tuduhan Datuk Seri Dr Zahid Hamidi berhubung perkara itu sebagai satu fitnah kepada PAS supaya wujud perpecahan di dalam Pakatan Rakyat.

“Buku Jingga ialah pemuafakatan bersama dan dirancang serta diteliti oleh ketiga-tiga parti (PAS, PKR dan DAP) supaya mendapat keputusan bersama, bukan oleh satu parti sahaja,” jelasnya.

Tambahnya, tuduhan Naib Presiden Umno itu membayangkan keresahan yang ada di dalam pemikiran pemimpin Umno, kerana bimbang rakyat mengalih sokongan kepada PR, terutama angin perubahan di Asia Barat.

Jelasnya lagi, tuduhan yang mengatakan bahawa Buku Jingga mengenepikan pakar-pakar ekonomi adalah tidak betul.

“Orang yang tidak pakai pakar ekonomi ialah pemimpin Umno,”
katanya.

Katanya, kes kritikan Tengku Datuk Zafrul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif bank pelaburan Maybank, terhadap pelantikan Tan Sri Isa Samad selaku pengerusi Felda, nampaknya terus menimbulkan kemarahan di kalangan pemimpin pertengahan Umno.

Mereka, ujarnya menuduh Tengku Zafrul sebagai telah mempertikai dan memperkecil-kecilkan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana melantik Isa, sehingga dicadangkan beliau dipecat daripada jawatan
.

Menurutnya lagi, tuduhan negara akan bankrap jika PR melaksanakan janji 100 hari adalah penyakit yang sama dengan pemimpin-pemimpin yang tidak bertanggungjawab selama ini.

“Mereka akan memastikan perancangan yang baik untuk rakyat dianggap membazir dan boleh membawa bankrap. Jika cadangan untuk perut dan kroni mereka akan bersetuju.

“Ini adalah sikap biasa mana-mana pemimpin yang takut tembelang mereka akan terdedah jika kerajaan baru menggantikan mereka,” katanya lagi.

Justeru, PAS ingin mengingatkan Zahid sebelum membuat tuduhan hendaklah menyelidik dahulu.

“Jangan buat telahan sebarangan, sesuai dengan ijazah Doktor Fasafah yang dimiliki. Jangan malukan nilai akademik yang dimiliki oleh beliau
,” ujarnya.

Ulasan GB

Mengenai ijazah Doktor Falsafah yang "dimiliki" oleh Ahmad Zahid Hamidi ini, GB telah menulsi sebelum ini bahawa pengurniaan ijazah tersebut oleh UPM amat diragukan oleh ramai ahli akademis.

Satu hari, kebenaran akan terserlah juga. Siasatan mengenainya perlu dilakukan samada ia menyerupai kes anak Muammar Ghadafi yang didakwa telah menciplak dan mengupah orang lain menulis thesisnya.

Sebabnya satu - mentaliti dan tindakan menteri berkenaan tidak selari dengan ijazah yang beliau miliki.

Nak Nafi Macamana? Gambar Terpampang Jelas UMNO Masuk PAS

Umno Kuala Krau nafi ahli sertai PAS

Petaling Jaya: Ketua Pemuda Umno Kuala Krau, Wan Salman Wan Ismail menafikan bekas Ketua Umno cawangan Jengka 25, Muzamil Mualif dan 11 ahli lain menyertai PAS.

“Kita (Umno) telah berhubung dengan Muzamil dan beliau tidak menyertai PAS,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemasukan bekas ketua Umno Jengka 25 ke dalam parti Islam itu malam tadi.

Muzamil bersama 11 ahli Umno cawangan berkenaan dikatakan telah menyerahkan borang penyertaan tersebut kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di rumahnya.

Wan Salman, bagaimanapun, enggan mengulas apabila diberitahu ada gambar yang menunjukkan Muzamil menyerahkan borang keahlian PAS kepada Abdul Hadi.

Sebaliknya beliau mahu wartawan mendapatkan maklumat lanjut daripada Ketua Penerangan Umno bahagian Kuala Krau, Datuk Mohamed Jaafar.

Bagaimanapun, usaha menghubungi Mohamed tidak berjaya.

Seorang lagi ahli jawatankuasa Umno Kuala Krau, Mohd Ali Hanafiah Ahmad ketika dihubungi berkata beliau tidak tahu perkara tersebut. -FMT


Ahli Umno sertai PAS selepas Najib datang



TEMERLOH: 2 Mac: Tanah rancangan Felda yang didakwa oleh pemimpin Umno sebagai kubu kuat mereka di Kerdau akhirnya berjaya ditembusi oleh PAS setelah kempen pilihan raya kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kerdau memasuki hari ketiga.
Semalam, seramai 12 ahli Umno dari Felda Jengka 25 bertindak keluar parti untuk menyertai PAS.

Lebih menarik, tindakan ahli-ahli Umno termasuk bekas Ketua Cawangan Umno Felda Jengka 25 itu menyertai PAS dibuat selepas dua hari Perdana Menteri mengadakan lawatan ke situ dengan mengumumkan projek pembangunan berjumlah jutaan ringgit.

Ahli-ahli Umno itu dikatakan kecewa dengan Najib ketika berkunjung ke Jengka yang disifatkan tidak serius mahu membantu masyarakat peneroka.

Satu majlis penyerahan borang keahlian PAS telah diadakan sempena kemasukan tersebut di rumah bekas Ketua Cawangan Umno itu sendiri, Muzammil Alif yang kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Muzammil merupakan pengasas Umno di Jengka 25 dan menjawat jawatan ketua cawangan di situ selama 15 tahun. Beliau juga merupakan pembantu kepada bekas Adun Sanggang, Allahyarham Datuk Abdullah Kia.

Perkembangan tersebut dianggap satu kejayaan besar pada PAS ekoran Jengka 25 sebelum ini merupakan rancangan Felda paling sukar ditembusi oleh PAS dalam DUN Kerdau berbanding Felda Jengka 22 dan jengka 23 yang turut terletak dalam Dun tersebut.

"Ini satu tamparan hebat kepada Umno dan Najib yang baru sahaja datang ke Jengka 25, Kami harap penyertaan mereka akan mengukuhkan lagi perjuangan PAS di situ," kata Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam sidang media pagi tadi.

Di Kerdau, peti undi Jengka 22, Jengka 23 dan Jengka 25 menjadi tumpuan kepada PAS dan Umno yang bertanding dalam PRK di situ berikutan ketiga-tiga peti undi itu mewakili sebahagian besar dari seluruh pengundi di Kerdau yang berjumlah 8,451 orang.

Sepanjang PRK ini, Umno dikatakan mengawal dengan ketat para pengundi di ketiga-tiga tanah rancangan Felda itu daripada ditemui para perayu undi PAS termasuk meletakkan seorang pengurus Felda di setiap blok rumah peneroka untuk memantau perkembangan setiap masa. -HD

Protes Merebak Ke Oman

Muscat - Kerajaan Oman semalam menempatkan pasukan tenteranya di utara Muscat dan berdekatan sempadan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) tiga hari selepas bantahan antikerajaan berlangsung.

BEBERAPA askar yang berada di atas kereta perisai mengawal kawasan perindustrian Soha di Oman semalam.

Negara itu yang diperintah oleh dinasti keluarga adalah negara di benua Arab terbaru terlibat dalam krisis kebangkitan rakyat di Asia Barat.

Para penunjuk perasaan itu berkumpul di Sohar, sebuah bandar pelabuhan 120 kilometer dari arah barat laut Muscat.

Mereka yang menuntut kenaikan gaji dan peluang pekerjaan telah bertempur dengan pihak polis di sini.

Media tempatan melaporkan beberapa bangunan kerajaan dan pasar raya telah dibakar kelmarin dan pada Sabtu lalu, polis telah membunuh seorang penunjuk perasaan selepas demonstrasi jalanan bertukar menjadi ganas.

Seorang jurucakap kerajaan berkata, kekacauan semakin teruk apabila kerajaan menghantar pasukan dan kenderaan tentera di sekitar ibu negara dan sempadan Oman.

Bantahan itu adalah sesuatu yang jarang berlaku di Oman dan pemerintahnya, Sultan Qaboos bin Said menawarkan pembaharuan dalam bidang pentadbiran untuk menenangkan penunjuk perasaan.

Pada Ahad lalu, baginda mengarahkan 50,000 peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam dan menawarkan gaji sebanyak 150 rial (RM1,183) sebulan.

Sehari sebelum itu, Sultan Qaboos telah merombak enam anggota Kabinetnya.

Pada 11 Februari lalu, Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai presiden ekoran bantahan penunjuk perasaan yang menuntut beliau berundur selepas gagal membawa pembaharuan ekonomi di negara tersebut.

Pada Januari lalu pula, para penunjuk perasaan di Tunisia juga berjaya menyebabkan Zine El Abidine Ben Ali meletakkan jawatan setelah beliau yang memerintah selama 23 tahun gagal menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan muda selain pentadbirannya dicemari skandal rasuah. - Agensi

Disertasi Anak Ghadafi Didakwa Plagiat

England - Anak lelaki Moamar Khadafi, Saif al-Islam, dituduh melakukan penciplakan pada disertasinya ketika menjalani kajian doktoral di London School of Economics (LSE).

Saif belajar di LSE pada 2003 hingga 2008, dan memperolehi gelaran Master of Science dan doktor di sana. Kini, pihak LSE sedang menyelidiki tuduhan penciplakan yang dilakukan anak pemimpin Libya, Moamar Kadhafi.

Anak pemimpin Libya itu dikatakan menggunakan penulis gelap dan menyalin beberapa bahagian dari disertasinya. Dalam sebuah pernyataan, universiti tersebut menyatakan, “LSE menyadari ada tuduhan plagiat pada disertasi Saif Kadhafi. LSE memandang tuduhan ini sangat serius dan memandang masalah ini sesuai dengan prosedur standard LSE,” demikian seperti dipetik dari laman BBC, Rabu (2/3/2011).

Selain itu, pada 2009, Saif berjanji memberikan sumbangan sebesar 1.5 juta pound sterling ke LSE dari Gaddafi International Charity and Development Foundation. Minggu lalu, keterlibatan LSE dengan Libya ini diprotes mahasiswanya.

Bahkan pada Isnin, Pengarah LSE Sir Howard Davies mengaku merasa “malu” atas hubungan yang terjalin antara universiti dengan keluarga Kadhafi. Dia menyatakan, keputusan menerima dana penelitian dari yayasan yang dikendalikan Saif ini menjadi “bumerang”.

Dia juga menyatakan, penyesalannya telah mengunjungi Libya untuk memberikan nasihat kepada rejim Kadhafi bagaimana memodernisasi lembaga kewangan. Howard, yang merupakan mantan Ketua Financial Services Authority (FSA) dan Wakil Gabenur Bank of England mengatakan, keputusan menerima 300 ribu poundsterling dari Gaddafi International Charity and Development Foundation diperdebatkan secara "luas" di LSE.

Minggu lalu, pihak universiti menyatakan tengah mempertimbangkan kembali hubungannya dengan Libya sebagai “hal yang mendesak”. Tapi hal tersebut tidak memuaskan para mahasiswa yang marah. Rabu lalu, para mahasiswa telah menyerbu pejabat Howard dan menuntut agar sumbangan yang telah diterima dari yayasan Kadhafi agar “dibayar kembali” kepada rakyat Libya. Selain itu, ada juga protes di luar LSE, para mahasiswa berkumpul untuk meluahkan keprihatinan mereka.

Cubaan Seludup Tupai Gagal

Senai - Cubaan menyeludup tupai bernilai RM64,200 berjaya ditumpaskan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan di perairan empat batu nautika Timur Tanjung Penyusup, Pengerang Johor, di sini, semalam.

Dalam operasi yang dijalankan pada jam 7.30 pagi itu, sebanyak 200 tupai jenis Sugar Glider dijumpai di atas bot membawa penumpang (teksi air) dari Batam, Indonesia yang dalam perjalanan untuk menyeludup haiwan terbabit ke Malaysia.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Malaysia Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifili Abu Bakar berkata, bot Petir 50 bersama lima pegawai dan anggota terserempak dengan sebuah bot yang dalam keadaan mencurigakan.

“Semasa menghampiri, bot terbabit terus memecut laju untuk meloloskan diri ke perairan Indonesia, namun usaha mereka gagal kerana berjaya dipintas bot APMM.

“Hasil pemeriksaan berjaya menemui lebih kurang 200 tupai yang disimpan dalam sembilan sangkar dengan dibaluti dengan guni yang cuba untuk diseludup masuk ke negara ini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Zulkifli berkata, tekong dan seorang awak-awak warganegara Indonesia berumur 44 dan 36 tahun ditahan, sementara haiwan eksotik itu diserahkan kepada Jabatan Veterinar Negeri Johor untuk tindakan lanjut.

“Siasatan kita pula mendapati mereka dalam perjalanan dari Batam, Indonesia ke satu destinasi di perairan Pengerang bagi menjual haiwan eksotik terbabit sebelum dieksport semula keluar negara,” katanya.

Tupai jenis Sugar Glider berasal dari kepulauan Papua New Guinea dan Barat Australia mendapat sambutan menggalakkan dari negara Asia sebagai haiwan peliharaan yang dipercayai membawa tuah.

“Nilai seekor tupai ini boleh mencapai harga RM200 hingga RM350 kerana memiliki rupa yang cantik,” katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Peraturan Kawalan Import dan Eksport di bawah Akta Haiwan 1953 (Pindaan 2006).

PAS Melaka Serah Bukti Kepada SPRM

Timbalan Pesuruhjaya I Pas Melaka, Adly Zahari (gambar): semalam memberi keterangan selama kira-kira tiga jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat membabitkan Majlis Agama Islam Melaka (Maim).

Adly berkata, beliau berbuat demikian antara jam 9 pagi hingga 12 tengah hari berkaitan laporan yang dibuatnya kepada pihak berkenaan 23 Februari lalu.

“Saya telah menyerahkan segala bukti penggunaan wang zakat sebanyak RM13.85 juta untuk membina bangunan MAIM dan penyerahan hak milik tanah Maim kepada satu syarikat walaupun tempoh perjanjian telah tamat.

“Ini termasuk bukti penjualan tanah lot 105 dan 106 kepada pihak ketiga oleh syarikat berkenaan dan mengapa Maim masih tidak mengambil tindakan terhadap syarikat itu kerana secara jelas kontraktor berkenaan tidak melaksanakan projeknya,” katanya pada sidang media di Markas Induk Pas Taman Muhibbah di sini, semalam.

Menurutnya, SPRM telah berjanji akan menyiasat secara telus dakwaan itu.

“Kita berharap SPRM dapat kotakan janjinya kerana saya akan sentiasa akan menghubungi mereka mengenai perkembangan siasatan itu. Projek pembangunan secara usahasama dengan syarikat itu gagal kerana pihak berkenaan dikatakan mengingkari perjanjian dengan tidak membina kompleks Maim sehingga tamat tempoh perjanjian pada Jun 2004.

Kegagalan penguatkuasaan perjanjian projek usaha sama itu mengakibatkan Maim mendahulukan wang zakat untuk membina kompleks bangunannya. -SH


Budaya Gangterisme UMNO Bakal Tewaskan UMNO Di PRK Merlimau

Merlimau terus dicemari angkara khianat

Kempen pilihan raya kecil dewangan undangan negeri Merlimau semakin kotor dengan beberapa lagi perbuatan khianat dilaporkan.

Kali ini, dua lagi kereta dipecahkan cerminnya manakala angin pada tiga motosikal dilepaskan dan tempat kunci dua lagi motosikal dirosakkan ketika pemiliknya menghadiri ceramah Pakatan Rakyat, malam semalam.

Timbalan pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari, berkata, kenderaan berkenaan dilaku-musnahkan di Jalan Pahlawan, lokasi ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ceramahnya kepada ribuan hadirin di Permatang Pasir.

Menurut Nor Azhanizam Azmi, beliau menyedari cermin bahagian pemandu kereta Perodua Myvi miliknya itu dipecahkan sekitar jam 12.20 pagi selepas selesai menghadiri ceramah tersebut.

Beliau kemudiannya terus membuat laporan polis.

Nor Azhanizam berkata keretanya itu dipecahkan kerana ia mempunyai pelekat gambar mursidul am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang menandakan beliau adalah penyokong parti itu. Namun sebuah kereta lagi, yang langsung tidak mempunyai sebarang pelekat juga dipecahkan.

"Saya fikir kerana ia diletakkan di tempat gelap yang orang tidak nampak,” katanya.

Menurut saksi, polis kelihatan merakamkan kenderaan yang dirosakkan itu selepas majlis terbut. Terdapat kehadiran anggota polis yang ramai juga pada malam berkenaan.

Awal minggu ini, seorang penduduk yang meletakkan keretanya di hadapan bilik operasi DAP juga mendapati cermin belakangnya dipecahkan.

Kain rentang PAS sekitar Merlimau juga dirosakkan manakala sebuah pentas yang didirikan oleh DAP bagi majlisnya pada 4 Mac ini juga dibakar.

Pada ceramah malam semalam, beberapa remaja yang bermotosikal juga cuba menggangu ceramah Anwar di Permatang Pasir. Perkara yang sama dilaporkan pada ceramah PAS di Chinchin pada Isnin lalu yang terletak bersebelahan majlis anjuran BN.

"Kami difahamkan gangguan ini berlaku pada hampir setiap malam ketika kami mengadakan majlis.

"Terdapat ramai anggota polis di sini dan saya pasti perbelanjaan mereka mungkin sehinga berjuta-juta ringgit tetapi mengapa mereka tidak boleh menghentikan tindakan sekupumpulan remaja nakal itu?” kata naib presiden PAS, Salahuddin Ayub pada sidang media harian PAS hari ini.

Katanya, beliau akan menghubungi ketua polis Melaka jika kejadian seumpama itu terus berulang.

Pada sidang media itu, Salahuddin juga berkata ahli Pakatan dihalang daripada memasuki estet kelapa sawit Sime Darby.

"Kita telah hubungi Sime Darby dan mereka kata tidak ada masalah atau isu dengan kita tetapi ditekan daripada beberapa pihak.

"Kita telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Pilih Raya tetapi mereka kata tidak boleh berbuat apa-apa kerana ia adalah tanah persendirian,” katanya.

Sebelum ini, pemimpin BN dilaporkan sibuk berkempen di estet-estet berkenaan. -mk

3 Polis Bantuan Bersubahat Dalam Kes Culik

Kuala Lumpur: Tiga anggota polis bantuan yang bertugas di sebuah syarikat di ibu negara diberkas dalam beberapa serbuan minggu lalu kerana dipercayai bersubahat dengan satu kumpulan penculikan membabitkan warga Pakistan.

DICULIK...tiga mangsa culik warga Pakistan yang diselamatkan.

Ketiga-tiga lelaki berusia 30-an itu dipercayai bersubahat dengan kumpulan penculik yang didalangi warga Pakistan untuk menyamar sebagai polis dengan mereka berpura-pura memeriksa mangsa yang juga warga Pakistan sebelum menculik mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata tangkapan itu dilakukan susulan kejayaan memberkas empat dalang utama kumpulan terbabit baru-baru ini yang turut menyelamatkan tiga mangsa culik.

“Pada 19 Februari lalu, kami menahan empat suspek warga Pakistan yang dipercayai menculik tiga lelaki senegara untuk meminta wang tebusan dianggar RM620,000.

“Susulan itu, siasatan mendapati tiga lagi suspek warga tempatan yang bekerja sebagai polis bantuan terbabit penculikan itu,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, polis merampas beberapa gari dan pistol mainan yang dipercayai digunakan suspek untuk menyamar sebagai polis sebelum menculik mangsa dan menyerahkan kepada dalang kumpulan itu untuk urusan tuntutan wang tebusan.

“Kami percaya ketiga-tiga suspek terbaru ini terbabit sekurang-kurangnya lima kes penculikan warga Pakistan sejak tahun lalu dan semuanya direman sehingga 6 Mac ini,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Ku berkata pihaknya kini memburu suspek utama berhubung dua kes samun van keselamatan membabitkan kerugian RM1.18 juta.

Katanya, suspek yang juga pengurus syarikat keselamatan, S Krishnan, 53, dikehendaki bagi membantu siasatan kes samun di Kepong pada 20 Disember tahun lalu membabitkan jumlah wang RM850,000 dan satu lagi kes di Taman Segar Cheras membabitkan RM330,000.

“Dua suspek berusia 50-an sudah ditahan dan suspek utama kes ini diburu, bagaimanapun serbuan ke rumah suspek baru-baru ini mendapati suspek sudah menghilangkan diri,” katanya. -hm

Saman Ekor: Polis Tak Bertolak Ansur, Bagaimana Jika Rakyat Juga Begitu?

Tiada lagi tolak ansur

KUALA LUMPUR – Kesemua 17.3 juta saman yang gagal dijelaskan oleh pesalah trafik setelah tempoh tawaran diskaun 50 peratus berakhir kelmarin kini disenarai hitam oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ia berkuat kuasa serta-merta semalam sekali gus bermakna kesemua pesalah trafik terbabit tidak boleh memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu selagi tidak membayar saman tersebut sepenuhnya.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Aziz Yusof berkata, sebanyak 1.5 juta saman diselesaikan oleh pesalah trafik dalam tempoh seminggu sehingga tengah malam kelmarin iaitu tarikh akhir diskaun yang ditawarkan polis tamat.

Bagaimanapun katanya, masih ada 17.3 juta saman yang belum dibayar.

“Jadi untuk pemandu yang belum menyelesaikan saman, mereka telah disenarai hitam berkuat kuasa semalam,’’ katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini. -kosmo

Ulasan GB

Begitu suara polis. Tak bertolak ansur.

Bagaimana pula jika rakyat juga mengambil sikap TIDAK AKAN BERTOLAK ANSUR?

Bawa berjuta-juta rakyat yang tak bayar saman ekor ke mahkamah kerana mahkamah yang berhak menentukan samada tindakan polis berkenaan betul atau salah.

Bagi penduduk Merlimau dan Kerdau, nyatakan bantahan anda dengan memilih Pakatan Rakyat menjadi wakil anda, gunakan setiap peluang yang ada bagi menghentikan salahlaku pihak polis yang menyenaraihitam pemandu kerana mahkamah telah membuat keputusan di dalam kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak & Anor [2009] 6 CLJ 280 yang telah memutuskan bahawa tindakan JPJ menghalang pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan di bawah Seksyen 17(1)(d) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987) tanpa siasatan dan alasan yang wajar adalah salah di sisi undang-undang dan bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan Malaysia.

RM200 Ribu Untuk Makan Malam BN Di Merlimau, SPR Tutup Mata

Lebih RM200 ribu ditelan dalam jamuan 1Malaysia di Merlimau

Jamuan, angpow, hamper, malah hadiah istimewa seperti motorsikal, basikal, barangan elekronik dan sebagainya terus diberikan melalui cabutan bertuah oleh NGO 1Malaysia, yang bertapak di Merlimau dua minggu sebelum PRK Merlimau membuka tirai. Setakat ini dua jamuan malam telah diadakan, dan lebih RM200 ribu dibelanjakan, mengikut anggaran kasar wartawan.

Jamuan malam diadakan pada 20 dan 28 Februari, dengan kehadiran kira-kira 1300 orang masing-masing. Menurut seorang penduduk tempatan, Fua Yong Siong, jamuan yang disediakan kononnya berharga kira-kira RM200 semeja, dan kedua-dua jamuan menyediakan 130 meja masing-masing (semeja untuk 10 orang). Dengan kata lain, RM52,000 telah dibelanjakan hanya untuk makanan jamuan.

Ia belum termasuk angpow yang diberikan selepas jamuan pertama pada 20 Februari. Menurut Fua Yong Siong, penduduk hanya perlu mendaftarkan nama dan nombor kad pengenalan dirinya, untuk menghadiri jamuan bersama Perdana Menteri Najib Razak pada minggu lalu. Berbekalkan tiket yang berwarna kuning, penduduk di situ boleh mendapat wang tunai RM100, dan berpeluang memenangi hadiah istimewa.

Seandainya kesemua 1300 orang memperolehi angpow bernilai RM100 masing-masing, maka RM130 ribu telah diberikan. Menurut Fua Yong Siong lagi, kira-kira 600 bungkusan yang mengandungi teh, susu dan sebagainya juga diedarkan, dijangka bernilai RM10 setiapnya.

Perkiraan kasar perbelanjaan NGO 1Malaysia di Merlimau setakat ini membawa kepada jumlah RM188,000 (RM52,000 + RM130 ,000 + RM6,000), belum termasuk barangan elektronik (televisyen LCD, mesin basuh, periuk nasi), basikal, pakaian, hamper dan sebagainya yang diberikan melalui cabutan bertuah. Malah, kos lain seperti upah pekerja, upah untuk persembahan, banner dengan gambar Najib dan sebagainya belum diambil kira.

Satu lagi jamuan sebelum hari pengundian

Fua Yong Siong menambah, sebagaimana yang diketahuinya, satu lagi jamuan yang menyasarkan 3,000 orang bakal dianjurkan pada 5 Mac, iaitu sehari sebelum hari pengundian PRK Merlimau. Bagaimanapun, Fua Yong Siong tidak pasti sama ada jamuan tersebut juga dianjurkan NGO 1Malaysia.

"NGO" 1Malaysia ini muncul buat kali pertama di PRK Galas pada Oktober 2010. Mereka mengerah pengundi untuk menyertai perarakan dan jamuan yang diadakan oleh mereka. "Pulangan" berharga RM100 hanya sampai ke tangan setelah hampir sebulan PRK Galas melabuh tirai.

Secara umumnya, kewujudan "NGO" 1Malaysia ini dikatakan kerana MCA dan Gerakan tidak yakin terhadap kemampuan dirinya untuk memikat undi Cina. Bagaimanapun, Barisan Nasional telah menafikan hubung-kaitnya dengan NGO 1Malaysia ini, mendakwa bahawa NGO 1Malaysia berkempen kerana menyokong idealisme BN. -MR

*Ong Vic Kee ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting daripada teks asal.

Bersih 2 Jika Pilihanraya Terus Senget

Pemuda PAS gesa Bersih II jika BN gagal jamin pilihan raya adil

KUALA LUMPUR, 1 Mac – Dewan Pemuda PAS memberi tempoh dua bulan kepada kerajaan pusat agar melakukan transformasi sistem pilihan raya adil dan telus, yang boleh meyakinkan rakyat, dan jika tidak akan mengadakan Himpunan Bersih kali kedua dengan kerjasama Pakatan Rakyat.

Parti-parti politik yang membentuk Pakatan Rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan mengadakan himpunan seumpama itu pada 2007, beberapa bulan sebelum pilihan raya umum ke-12 Mac 2008.

“Kita telah memberikan tempoh sehingga 1 Mei 2011 untuk kerajaan Umno dan BN segera melakukan satu transformasi yang meyakinkan rakyat dalam pengurusan dan pengendalian sistem demokrasi negara agar adil, telus dan baik.

“Rakyat telah menanti dalam satu tempoh yang terlalu lama untuk kerajaan melakukan perubahan yang dimaksudkan sejak tuntutan mereka melalui perarakan Bersih 1 (pada 2007),” kata Ketua Pemuda PAS pusat Nasrudin Hassan dalam ruangannya di Harakahdaily hari ini.

Kata Nasrudin, “Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan” selayaknya menjadi slogan yang baik untuk kerajaan bertindak drastik untuk memulihkan persekitaran dan meratakan padang demokrasi negara agar semua parti yang menyertai pilihan raya dapat bertanding dan bersaing di atas padang yang sama rata.

“Sebagaimana tindakan drastik yang diambil oleh Pengerusi PTPTN yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Krau melanjutkan tempoh bayar peminjam PTPTN dari enam bulan kepada 30 bulan dalam tempoh tidak sampai 24 jam selepas Dewan Pemuda PAS Malaysia mengumumkan Perhimpunan Peminjam PTPTN dan Mara akan diadakan di Hotel Sri Malaysia Temerloh pada 26 Feb 2011 baru-baru ini,” katanya.

Oleh itu kata Nasrudin, kerajaan tidak mempunyai pilihan selain akur terhadap tuntutan rakyat dengan segera melakukan transformasi yang dimaksudkan.

Nasrudin menambah tanpa tindakan bijak dan hikmah di pihak kerajaan, beliau yakin kebangkitan semula rakyat menuntut keadilan proses demokrasi negara akan kembali meletus.

“Sehingga hari ini, bukan sahaja undi pos yang masih belum dimansuhkan dan kebebasan media juga masih parah, terlalu banyak pencabulan demokrasi terus berlaku dalam negara kita dan ia meresahkan rakyatm” katanya.

Menurutnya ia termasuklah amalan pencabulan demokrasi di Malaysia di mana Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin telah menafikan hak Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengemukakan bukti serta berhujah dalam Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mengenai isu 1Malaysia dan APCO Worldwide.

Selain itu katanya, Akta Keselamatan Dalam Negeri masih dikekalkan meskipun pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia mendesak supaya kerajaan memansuhkan akta zalim tersebut manakala polis menggunakan kuasa dan kekerasan menangkap para peserta perhimpunan aman yang dianjurkan oleh parti politik Pakatan Rakyat dan Badan Bukan Kerajaan, mengganggu program-program yang dianjurkan oleh parti politik Pakatan Rakyat meskipun diadakan dalam premis persendirian dan permohonan permit telah dilakukan.

Malah menurut Nasrudin, sistem dan amalan demokrasi pilihan raya kampus telah dicabul apabila pihak pentadbiran universiti memperkenalkan beberapa perkara baru yang tidak menjamin keadilan, ketelusan dan bersikap berat sebelah.

Nasrudin juga berkata, Pendaftar Pertubuhan bercadang untuk mengehadkan dan mengetatkan proses penubuhan parti politik, yang diumumkan bulan lalu, bercanggah dengan semangat demokrasi dan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.

“Umno dan BN telah menggunakan pelbagai jentera kerajaan dalam beberapa siri pilihan raya kecil sebelum ini. Antaranya, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, kerajaan persekutuan telah berkampung di Kampung Ladui dan Pos Hau ketika pilihan raya kecil DUN Galas.

“Perkara yang sama turut dilakukan oleh Felda apabila badan berkanun tersebut menggunakan bajet sokongan serta jentera pentadbirannya untuk membantu Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil DUN Tenang.

“Demikian dari sebahagian pencabulan demokrasi dalam negara kita yang mewajarkan rakyat bangkit mendasak agar Kerajaan memulih dan meratakan padang demokrasi negara agar persaingan berlangsung secara adil, telus dan saksama,” katanya lagi. -TMI



Pas buat laporan terhadap kerajaan BN

TEMERLOH - Dewan Pemuda Pas negeri akan membuat laporan polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap Kerajaan Barisan Nasional (BN) atas pelanggaran Akta Pilihan Raya.

Pengarah Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pelbagai janji dan peruntukkan diberi oleh pemimpin BN termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, Najib pernah menyatakan "Saya bukan hendak beli undi, tetapi kalau kamu sokong kami, saya akan tambah lagi peruntukkan esok atau lusa".

"Ini menunjukkan beliau (Najib) cuba membeli rakyat dengan pelbagai imbuhan dan projek segera yang ditawarkan kepada rakyat.

"Perdana Menteri juga secara terbuka meluluskan peruntukkan untuk Dewan Terbuka Kampung Seri Kerdau, Balai Bomba Sukarela dan Kuli Hindu bernilai hampir RM650,000.

"Ini tidak termasuk hamper serta makanan yang diedarkan di Kampung Baru Kerdau oleh Menteri Kesihatan," katanya yang juga Naib Presiden Pas.

Tuan Ibrahim berkata, Pas mengharapkan satu tindakan akan diambil oleh SPRM dan SPR kerana ia bertentangan dengan Akta Kesalahan (Perjalanan) Pilihan Raya 1960. -Bernama



[Bergambar] Sekuntum Mawar Merah: Ingat Daku Di Hari Mengundi

Calon PAS Hj Yuhaizad Abdullah meneruskan kempen mesra beliau bersama-sama pimpinan Pakatan Rakyat dengan mengunjungi Pasar Merlimau yang menjadi tempat kunjungan bagi seluruh penduduk Merlimau pagi tadi.

Beliau telah mendapat sambutan yang amat mesra dan meriah dikalangan para peniaga dan pengunjung yang nampaknya teruja melihat penampilan calon PAS tersebut.

Ini membuktikan bahawa calon PAS ini mendapat sokongan dikalangan rakyat dan pengundi pelbagai kaum di Merlimau walaupun sokongan itu tidak dizahirkan sebelum ini.

Kempen yang bermula diawal pagi tadi diserikan dengan pemberian sejambak bunga kepada sesiapa sahaja yang disantuni oleh beliau.

Jika sambutan yang menggalakkan berterusan tidak mustahil Yuhaizat akan membuat kejutan dengan kemenangan untuk rakyat dalam PRK Merlimau kali ini. -n27merlimau

ehsan album n27merlimau















Tren Baru Pilih Maknyah Untuk Majlis Walimatul-Urus, Halal Haram Tak Dihiraukan

20 gigit jari ditipu nyah

GOMBAK: “Kami hanya berikan minuman dan makanan ringan kepada tetamu,” kata seorang mangsa penganjur perkahwinan yang gagal menyediakan pakej dijanjikan menyebabkan pelanggannya bukan saja kerugian puluhan ribu ringgit, tetapi turut menanggung malu.

Mangsa yang meminta identitinya tidak didedahkan berkata, dia sudah membayar RM37,000 kepada penganjur perkahwinan terbabit untuk pakej perkahwinannya merangkumi khidmat katering, kad jemputan, baju pengantin, gubahan hantaran, pelamin dan katil.

“Malangnya, sehari sebelum perkahwinan saya pada September tahun lalu, dia menghubungi saya dan memaklumkan gagal menyediakan semua yang dijanjikan.

“Tiada apa yang dapat dilakukan saya dan keluarga ketika itu kerana masa terlalu suntuk. Akibatnya, pada hari perkahwinan saya, kami sekeluarga hanya memberi minuman dan makanan ringan kepada tetamu,” kata lelaki berusia lewat 20-an itu.

Tidak puas hati dengan apa yang berlaku, dia berjumpa ibu penganjur perkahwinan terbabit, namun wanita itu mendakwa tiada kaitan dalam aktiviti anaknya. “Malah, ibunya mendakwa sudah tiada hubungan dengan anaknya sedangkan sebelum itu semua wang dimasukkan ke dalam akaun ibunya,” katanya.

Penganjur perkahwinan terbabit yang juga seorang lelaki berpakaian wanita atau mak nyah berusia 37 tahun didakwa sudah mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit selepas memperdaya lebih 20 pelanggan sepanjang hampir enam tahun lalu. Selain bijak berkata-kata, dia hanya menggunakan sepasang pakaian pengantin dan satu sampel cenderamata bagi memperdaya puluhan bakal pengantin dan keluarga mereka.

Antara modus operandi mak nyah itu ialah meminta pelanggan memasukkan wang pendahuluan ke dalam akaun yang didaftarkan atas nama ibunya yang berusia lewat 50-an.

Mangsa terbaru mak nyah terbabit ialah Ab Wahab SH Salim, 57, yang merancang mengadakan majlis perkahwinan anak ketiganya, Mohd Fitri, 27, pada Sabtu ini dan sudah membuat bayaran pendahuluan RM21,000.

“Saya mengenalinya lima tahun lalu di pameran perunding perkahwinan. Apabila anak saya nak berkahwin, saya menghubunginya dan berbincang mengenai pakej perkahwinan yang dia tawarkan.

“Dalam kunjungan ke rumah saya Oktober lalu, dia menawarkan pakej perkahwinan lengkap katering, pakaian pengantin, hantaran, katil dan pelamin, selain kad undangan perkahwinan dengan harga murah,” katanya. Menurut Ab Wahab, selepas dia membuat bayaran RM21,000, mak nyah terbabit lesap sebelum menghantar SMS mengatakan gagal menguruskan majlis perkahwinan itu.

“Dia mengaku sudah menggunakan wang yang saya bayar dan berjanji akan melunaskan secara ansuran,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Gombak, di sini, semalam.

Ab Wahab berkata, dia tidak membayar wang yang diminta mak nyah terbabit secara terus, sebaliknya secara ansuran setiap kali diminta, namun transaksi itu dilakukan ke atas akaun ibunya.

“Selepas membuat laporan di Balai Polis Gombak, saya sekeluarga dimaklumkan terdapat beberapa mangsa lain yang turut berbuat demikian selepas ditipu lelaki terbabit,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Syed Danial Syed Shaffri, 26, mengalami nasib sama apabila dia dan tunangnya kerugian RM11,000 selepas diperdaya lelaki terbabit untuk urusan sama.

“Saya yakin dia mengamalkan ilmu salah seperti penunduk kerana setiap kali dia meminta wang, saya dan pasangan akan memberikannya dengan mudah.

“Cara dia menipu sama dengan mangsa lain. Biarpun mustahil untuk mendapatkan semula wang yang dilarikan itu, kami mendedahkan perkara ini bertujuan menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya tawaran pakej perkahwinan terbabit,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit. -hm




KESAL...mangsa dan ahli keluarga masing-masing menunjukkan laporan polis yang dibuat dan dokumen yang digunakan suspek.


BUKTI...Mohd Fitri menunjukkan SMS yang dihantar lelaki terbabit.


BUKTI...antara dokumen dan perjanjian yang dibuat lelaki terbabit dengan mangsa.



Ulasan GB

Bukan sekadar kisah di atas.

Telah menjadi satu tren kebelakangan ini di mana di majlis-majlis perkahwinan, "tuanrumah" menggunakan khidmat maknyah untuk pelbagai upacara dari mak andam, penyediaan pelamin sehinggalah ke majlis jamuan.

Hal ini sudah menjadi semacam satu budaya yang diterima oleh masyarakat sehingga maknyah-maknyah ini diberikan kepercayaan mengandam dan mendandan pengantin perempuan bukan sahaja dari pemilihan pakaian, menyolek wajah tetapi sehingga ke tahap yang kadang-kala terlampau seperti pemakaian kostum-kostum pengantin termasuk "memakai bra dan seluar dalam pengantin perempuan" pun dipilih dan dipakaikan sendiri oleh maknyah-maknyah ini. Ia dilakukan di dalam bilik pengantin yang tiada siapa lain dibenarkan masuk sewaktu itu.

Malah ada maknyah-maknyah "menipu" pengantin perempuan sehinggakan terdapat laporan di dalam kes-kes yang ekstrim, nak mandi pun dilakukan oleh maknyah-maknyah ini dengan pelbagai alasan kononnya untuk membersihkan kotoran yang tak diketahui orang awam katanya, disamping untuk menyiram air mawar supaya pengantin tampak segar dan wangi sewaktu bersanding.

Kesempatan-kesempatan ini diambil oleh maknyah kerana telah terlalu diberikan kepercayaan penuh oleh tuanrumah (ibu-bapa pengantin) tanpa ada halangan dan tanpa menghiraukan batas-batas halal-haram lagi.

Kemudian kita dikejutkan dengan kisah di atas, satu sindiket maknyah yang menipu pelanggannya untuk pakej perkahwinannya merangkumi khidmat katering, kad jemputan, baju pengantin, gubahan hantaran, pelamin dan katil.

Bagi GB, kisah seperti di atas adalah seperti satu loceng amaran untuk seluruh masyarakat Islam bahawa fenomena penggunaan maknyah di majlis perkahwinan ini perlu dihentikan segera.

Masyarakat yang bersikap acuh tak acuh mengenai hukum-hakam Islam perlu berwaspada dan kembali menjunjung ajaran Islam dengan menghapuskan unsur-unsur yang membuka pintu-pintu kerosakan dan perkara-perkara haram yang semakin menapak kuat di dalam masyarakat Melayu ini lewat majlis-majlis perkahwinan.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

PRK Merlimau: Pengundi Merlimau Mewakili Suara 28 Juta Rakyat Malaysia

Ahli Parlimen Kota Raja, YB Dr. Siti Mariah Mahmud menggesa penduduk Merlimau menamatkan mitos bahawa kononnya Merlimau sebagai kubu kuat UMNO BN dengan menolak mereka pada 6hb Mac nanti.

Beliau berharap penduduk Merlimau yang akan menghadapi pilihanraya kecil ini akan membuat satu kejutan yang akan mengubah senario dan lanskap politik tanahair melalui pilihanraya umum ke 13 akan datang.

Beliau membuat seruan tersebut di dalam satu ceramah sempena kempen pilihanraya kecil DUN Merlimau di Jalan Pahlawan, Merlimau malam tadi.

Menurut Dr Siti Mariah, negara kita menghadapi penyakit yang kronik setelah diperintah oleh UMNO BN selama 53 tahun dan gejala-gejala penyakit tersebut dapat dirasai sepanjang masa melalui pelbagai masalah yang timbul akibat sistem pemerintahan UMNO BN yang korup.

"Apa yang kita lihat dan kita rasai ialah simptom ataupun gejala, walhal penyakit yang sebenar lebih jauh ke dalam," ujarnya.

Justeru pengubatan terhadap segala simptom penyakit tersebut hendaklah dengan mengubati penyakit tersebut di akar umbinya - iaitu dengan menukarkan sistem pemerintahan UMNO BN yang telah berkuasa selama 53 tahun itu.

Ahli Parlimen Kuala Langat, YB Abdullah Sani Hamid pula membidas kenyataan Tun Dr Mahathir yang telah menuduh TG Nik Aziz dan Anwar Ibrahim sebagai pemecah-belah orang-orang Melayu.

"Siapa yang sebenarnya melucutkan kuasa raja-raja melalui pindaan perlembagaan di dalam tahun 1993 kalau bukan Mahathir sendiri?" Soal Abdullah Sani.

"Nak cakap pasal perpaduan Melayu sedangkan rekod pemerintannya sendiri penuh lumpur dan najis di dalam soal perpaduan Melayu," tambahnya.

Beliau menyeru kepada pengundi-pengundi di Merlimau supaya membuat perubahan pada tanggal 6 Mac ini dengan mengundi calon pakatan Rakyat iaitu Tn Hj Yuhaizad Abdullah.

Beliau menyatakan pengundi-pengundi di DUN Merlimau bukan sekadar mewakili suara penduduk Merlimau tetapi mewakili suara 28 juta rakyat Malaysia untuk membawa perubahan di dalam lanskap politik negara.

Beliau turut menggesa dan merayu supaya penduduk Merlimau memberikan undi mereka kepada calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat pada hari mengundi Ahad ini.

Perencanaan Jahat Kekalkan BN Di Perak: Undi Pos Naik Mendadak

Undi pos naik mendadak di Perak

Sejumlah 8,470 nama pengundi baru pos telah dimasukkan dalam senarai pengundi di enam kerusi DUN di Perak tahun lalu - langkah yang didakwa oleh PKR negeri, bertujuan untuk menguntungkan Umno.

Timbalan pengarah pilihan raya PKR negeri, Chan Ming Kai (gambar) berkata, jumlah teramai adalah dalam senarai pemilih di DUN Pangkor, yang diwakili oleh Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Menurut Chan, data dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dikemaskini Disember lalu, menunjukkan kebanjiran 5,669 pengundi pos di DUN tersebut.

"Jumlah pengundi pos sekarang hampir setengah daripada 26,000 pengundi di situ," kata Chan, yang tidak memberikan data lengkap dalam pernyataannya.

Pada tahun 2008, Zambry memenangi kerusi dengan majoriti selesa 5,785 undi, menewaskan calon PKR, Pkhrazi @ Pakhrazi Muda, yang memperolehi 5,121 undi.

Kerusi Pangkor terletak dalam parlimen Lumut yang dimenangi calon BN, Datuk Seri Kong Cho Ha dari MCA - dengan majoriti tipis 298 pada 2008.

Menurut Chan, kebanjiran pengundi pos di Pangkor boleh menjejaskan peluang Pakatan Rakyat untuk merampas kerusi Lumut.

"Pertambahan (mendadak itu) benar-benar mengejutkan," katanya sambil bertanya bolehkah pangkalan tentera laut di Pangkor menampung jumlah yang begitu ramai.

Sedangkan data, katanya, menunjukkan hanya 368 telah dipindah keluar.

Chan berkata, ada kemungkinan isteri/suami anggota tentera dikategorikan sebagai pengundi pos.

Sebagai contoh, katanya, 248 pengundi baru pos dimasukkan dalam senarai pemilih DUN Sungai Rapat.

Kerusi tersebut dimenangi calon BN, Hamidah Osman yang juga exco kerajaan negeri, dengan majoriti 636 undi.

"Jelas bahawa usaha-usaha tersebut adalah untuk manfaat Umno. Kerusi majoriti Cina, seperti Canning Garden, yang mempunyai sebuah kem tentera, tidak ada penambahan pengundi pos," kata Chan. -mk


5,669 undi pos bertambah di Dun diwakili Zambry

PETALING JAYA, 1 Mac: Timbalan Pengarah Pilihanraya PKR Perak, Chan Ming Kai telah mendedahkan kemasukan pengundi pos besar-besaran di kawasan-kawasan Dun diwakili Umno BN di Perak pada tahun 2010.

Bercakap dalam sidang media mingguan parti di sini, hari ini, beliau memberi contoh, di Dun Pangkor yang diwakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir telah menerima kemasukan 5,669 pengundi pos berbanding hanya 368 yang keluar pada 2010.

Katanya, bilangan pengundi pos kini mencapai hampir separuh daripada jumlah 26,000 pengundi di Dun Pangkor yang merupakan sebahagian daripada Parlimen Lumut.

Katanya, calon PKR tewas hanya 298 undi di Parlimen Lumut kepada calon MCA BN pada Pilihan Raya Umum 2008.

Ming Kai juga menjangkakan Umno akan memberikan tumpuan untuk menambah pengundi pos di Dun Sungai Rapat yang diwakili oleh Exco Kanan, Hamidah Osman yang hanya menang tipis 636 undi dengan calon PAS.

Katanya, pada 2010 sebanyak 248 pengundi pos masuk ke Dun itu.

“Usaha ini jelas untuk memberi manfaat kepada Umno. Kawasan-kawasan majoriti Cina seperti Canning Garden yang juga mempunyai kem tentera tidak pula melihat pertambahan undi pos,” katanya.

Beliau yang juga Adun Simpang Pulai khuatir wujud penyalahgunaan undi pos dan meminta SPR serta Kementerian Pertahanan menjelaskan perkembangan itu.

Selain Pangkor, pertambahan ketara pengundi pos ialah di Dun Kamunting yang menerima 1,102 berbanding keluar 146, Temenggor (masuk 690, keluar 38), Pengkalan Hulu (masuk 506, keluar 117), Chenderiang (masuk 255, keluar 31) dan Sungai Rapat (masuk 248, keluar 31). -harakahdaily