25 Feb 2010

Peneroka FELDA Dianiaya, Memo Diserah Kepada SUHAKAM

Isu peneroka Felda yang teraniaya oleh dasar-dasar Felda yang menyebelahi konglomerat itu telah sekian lama dipaparkan media. Hari ini ratusan peneroka dari seluruh negara berhimpun di pejabat Suhakam, Jalan Raja Laut untuk menyerahkan memorandum mengenai penderitaan mereka

Menurut pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda (ANAK) Mazlan Aliman (dua dari kiri) isu hak-hak peneroka telah lama didiamkan oleh kerajaan. Sejak peneroka mula mengusahakan tanah mereka telah diikat dengan perjanjian yang berat sebelah.

Pelbagai potongan dikenakan dari hasil getah atau kelapa sawit pada setiap bulan. Namun akhirnya wang itu gagal untuk dipulangkan atau pun tanah yang telah selesai bayaran hutang melalui potongan bulanan gagal diberi hak milik kepada peneroka.

"Peneroka terikat dengan Akta Penempatan Berkelompok 1960 yang mana memberi kuasa meluas kepada Felda untuk menentukan kehidupan peneroka. Inilah yang menjadi isu kritikal dalam kalangan 112,635 orang peneroka di seluruh negara.

"Bila peneroka menuntut hak mereka maka Felda menggunakan GSA untuk tidak memberi tanah walaupun hutang habis dibayar," katanya di hadapan pesuruhjaya Suhakam Datuk Khalid Ibrahim di pejabat suruhanjaya itu petang ini.

Tambah Mazlan, Felda tidak sepatutnya mengenakan pelbagai tekanan memandangkan agensi itu dahulunya ditubuhkan untuk membantu orang miskin memiliki tanah dan sumber penghidupan, bukan sebagai entiti perniagaan.

“Mengapa setelah 25 tahun membayar hutang tetapi tanah 10 ekar yang dijanjikan boleh dimiliki akhirnya tidak diberi. Kini Felda buat pula perjanjian baru untuk penanaman semula. Peneroka tidak boleh menanam semula secara sendirian biar pun mampu membuat demikian.

"Jadi kami meminta agar Suhakam menyiasat masalah dan penindasan yang dialami oleh para peneroka sejak sekian lama,” ujarnya di dalam dewan yang dipenuhi kira-kira 100 peneroka itu.

Salah seorang wakil peneroka, Noor Ibrahim mendakwa beliau telah menebang dan menanam semula kelapa sawit namun Felda tidak memberi wang tanam semula yang telah dicarum sejak sekian lama.

“Saya tebang pokok lama. Ikut perjanjian duit potongan tanam semula boleh diambil dari Felda berjumlah RM17,000. Namun bila saya minta, wang itu telah dipotong dan hanya dapat RM8,000 sahaja. Bermacam alasan diberikan untuk tidak memberi wang yang sepatutnya peneroka dapat,” katanya.

Seorang lagi peneroka, Baharudin Arif Sidek membangkitkan persoalan, kenapa Felda begitu mewah memiliki bangunan pejabat dan hotel sendiri sedangkan para peneroka kekal miskin.

“Mengapa pegawai Felda bergaji besar, ada bangunan dan hotel sendiri sedangkan kami peneroka yang mengusahakan ladang kekal kais pagi makan pagi. Kami tidak menikmati pun hasil pelaburan Felda itu. Felda sungguh tidak bertanggungjawab,” katanya disambut sorakan para peneroka.

Peguam para peneroka Ahmad Nizam Hamid berkata Felda telah memerah keringat peneroka dengan cara yang amat melampau dan tidak mengikut undang-undang.

“Perjanjian yang dibuat tidak ada tarikh luput. Peneroka terus-menerus dibebankan dengan pelbagai sekatan. Sedangkan semua kemudahan yang diberikan kepada peneroka seperti jalan, dewan, masjid dan sebagainya diambil dari wang potongan bulanan. Kerajaan tidak banyak membantu. Kini setelah hutang habis dibayar peneroka tidak pula diberikan tanah yang menjadi milik mereka. Ini sesuatu melampau,” bidasnya.

Pesuruhjaya Suhakam Datuk Khalid memberi jaminan akan memanggil mesyuarat pada 8 Mac depan bagi mewujudkan jawatankuasa untuk mencari maklumat untuk merumuskan masalah yang dibentangkan para peneroka. Sekiranya perlu satu sesi inkues kebangsaan akan dibuat bagi menyemak masalah untuk dibuat laporan kepada Parlimen. -erapakatan



Tiada ulasan: