26 Ogo 2012

Daniyar Diseludup Masuk Atau Memang Bersembunyi Di Malaysia?


Dari kiri : Ashman Najib, Nooryana Najwa dan tunangnya Daniyar Nazarbayev yang turut hadir ke Majlis Rumah Terbuka semalam.



Kelihatan Mukhriz Mahathir bersalaman dengan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor. Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meraikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Majlis Rumah Terbuka di kediamannya semalam. Turut kelihatan, dan isteri Mantan Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah.

Ulasan GB

Sekarang sudah terdedah terang-terangan. Daniyar berada di Malaysia. Apakah beliau baru dibawa masuk atau memang sudah sekian lama bersembunyi di Malaysia?

Daniyar sebelum ini didakwa memalsukan dokumen untuk memberikan gambaran bahawa dia berkelulusan daripada sekolah tinggi di Kazakhstan, menurut akhbar The New York Post.


Laporan sebelum ini
klik untuk baca





Siling Kompleks JPJ Indera Mahkota Bocor ... Ada Makna Tu...

Kuantan - Operasi pengkomputeran di Kompleks Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri di Indera Mahkota 15, di sini semalam tergendala berikutan sistemnya tidak dapat digunakan selepas siling di Tingkat Dua kompleks itu bocor, petang kelmarin.

Gambar: Kebocoran siling di kompleks tersebut menyebabkan sistem pengkomputeran JPJ tergendala

Situasi itu menyebabkan notis pemberitahuan dilekatkan di hadapan pintu kompleks terbabit untuk memaklumkan kepada pelanggan.

Pengarah JPJ Negeri, Datuk Zakaria Man memberitahu, situasi itu berlaku disebabkan masalah kebocoran di siling tingkat atas kompleks tersebut yang menempatkan bilik server.

Menurutnya, ia menyebabkan sistem komputer tergendala dan sehingga pagi semalam, lantai di tingkat tersebut masih dibasahi air.

“Kita memberikan jaminan masalah ini akan diatasi segera namun ia terpulang kepada pihak penyelenggaraan komputer untuk memperbaiknya dalam tempoh sepantas mungkin.

“Namun untuk hari ini (semalam), ia langsung tidak dapat beroperasi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada jam tiga petang semalam. -SH

Ulasan GB

Dah ada tanda-tanda DUN Pahang akan bocor...

Mungkin faktor Lynas & BERSIH memberi kesan yang kuat di Pahang.

Najib Ikut Mahathir: Percaya Janji Syaitan Jangan Percaya Janji Pakatan

Najib minta rakyat jangan buat 'perubahan'

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meminta rakyat supaya tidak membuat perubahan yang belum pasti menjamin kemakmuran dan kesejahteraan kepada mereka.

Bukan semua perubahan membawa kepada sesuatu yang baik, kata Najib sambil mengingatkan supaya rakyat tidak menukarkan sesuatu yang mereka boleh bergantung harapan daripada memberi kepada pihak lain yang ternyata belum terbukti rekod perkhidmatannya.

"Kita mestilah berpegang kepada sesuatu yang kita tahu, Insya-Allah kita (kerajaan BN) akan membawa kepada keadaan yang lebih baik pada masa akan datang," kata Najib ketika berucap pada majlis rumah terbuka Aidilfitri yang dihoskan beliau dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor di Taman Tasik Sultan Abu Bakar dekat Pekan, hari ini.

Najib mengingatkan rakyat supaya jangan mudah termakan janji manis pembangkang yang ternyata gagal mentadbir empat buah negeri yang dimenangi selepas pilihan raya umum 2008.

Katanya tidak semua perubahan yang dijanjikan akan memberi kebaikan kepada rakyat namun kerajaan pimpinan BN sejak era Tunku Abdul Rahman telah membawa pelbagai perubahan yang kini dinikmati oleh rakyat.

"Kita tak boleh tukar kerajaan sebab (semata-mata) sudah sampai masa kita (perlu) buat perubahan, tapi (sebaliknya) kita (BN) bukan nak bawa perubahan tapi nak sesuatu yang lebih baik.

"Tidak semestinya (semua) perubahan itu membawa kepada kebaikan ada juga membawa kepada sesuatu yang tidak dijangka malah lebih buruk dari apa yang kita kecapi hari ini," katanya.

Kerajaan BN sekarang meneruskan kesinambungan perjuangan pemimpin-pemimpin sebelum ini dalam usaha menambah nilai dan membina perubahan yang lebih baik untuk mencapai Wawasan 2020.

Beliau berkata negara maju pun jika tidak ditadbir dengan baik dan gagal membina kekayaan baru ia juga akan runtuh dan menyebabkan ekonomi negara mereka gawat seperti yang berlaku di beberapa negara Eropah yang mengalami masalah pengangguran dan kemelesetan ekonomi.

"Hakikatnya kita tak boleh terima bantuan demi bantuan tanpa memikirkan macam mana nak mencipta dan menjana kekayaan...negara yang bagi bantuan tanpa jana pndapatan baru, ekonomi negara akan menghadapi masalah," katanya.

Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah adalah di antara lebih 70,000 tetamu menghadiri majlis rumah terbuka Perdana Menteri itu.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob dan barisan kepimpinan negeri. - Bernama

Ulasan GB

Kelakar betul Najib ni. Semakin hari semakin tertekan dan semakin terdesak. memang benar, beliau diambang kejatuhan.

Jika Mahathir kata percaya kepada syaitan yang dikenali, kini Najib pun ikut berucap begitu. Jangan percaya kepada malaikat yang dikenali iaitu Pakatan Rakyat.

Kedua, jika tidak mahu rakyat melakukan perubahan, rakyat perlu menolak program TRANSFORMASI Najib kerana transformasi itu katanya dulu bermaksud membawa perubahan. Program TRANSFORMASI ke arah lebih baik? Tidak, ia hanya lipstik, seperti kadar jenayah yang dikatakan menurun sedangkan hakikatnya kadar jenayah semakin meningkat.

Begitu juga indeks rasuah.... turun sedangkan indeks rasuah semakin meningkat di era Najib sebagai PM.



Kata-kata Hikmah TG Nik Aziz Dalam Bab Mencari Pemimpin

“Jika kita nak pergi ke Kuala Lumpur, kena cari pemandu yang tahu jalan ke Kuala Lumpur.

Jika pemandu yang kita tumpang itu hanya tahu jalan setakat Gua Musang, kita tidak akan sampai ke Kuala Lumpur dan terpaksa turun menumpang kenderaan lain. Demikian juga dengan pemimpin, kita kena cari pemimpin yang tahu jalan ke akhirat. Jika hanya tahu memimpin setakat dunia, bagaimana kita mahu meneruskan jalan ke akhirat..?”

- Ceramah TG Nik Abdul Aziz Nik Mat i Kampung Parang Punting, Pengkalan Chepa pada 29 April 2011

Mahathir Di dalam Kesesatan Yang Nyata - Tiada Ulamak UMNO Berani Membetulkan..

Mahathir: 'Syaitan yang dikenali' merujuk kepada BN

Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir menjelaskan bahawa "syaitan" yang dimaksudkannya dalam tulisan di blognya itu merujuk kepada kerajaan BN.

"Orang bertanya mengenai syaitan, tapi kita adalah syaitan yang orang kenal. Mereka adalah malaikat yang orang tidak kenal," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita dalam sidang media di majlis rumah terbukanya sempena Hari Raya hari ini.

Ditanya siapakah golongan yang dimaksudkan sebagai "malaikat" itu, Mahathir berkata beliau merujuk kepada pembangkang.

Jelasnya, "malaikat" itu bukanlah golongan yang suci kerana "Kadang-kadang, malaikat juga boleh buat bannyak perkara salah," katanya.

Katanya, walaupun pembangkang mahu membuat perubahan, langkah itu tidak semestinya memberi kebaikan.

"Jika anda berubah kepada sesuatu yang lebih teruk, anda akan menyesalinya," kata Mahathir yang menambah, pembangkang akan terus berusaha untuk terus menang sekiranya berjaya membentuk kerajaan.

Beliau menjelaskan pepatah bahasa Inggeris "lebih baik syaitan yang anda kenal daripada malaikat yang anda tidak kenal" yang disebut dalam tulisan di blog chedet.cc pada hari Rabu lalu.

Tulisan itu menggesa pembacanya supaya tidak menyokong Anwar yang disifatkannya sama dengan presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.

Obama, kata Mahathir banyak menjanjikan perubahan tanpa jaminan untuk menunaikannya. -mk

Ulasan GB

1) Kenyetaaan Mahathir di atas mengesahkan bahawa memang banyak syaitan yang ada di dalam UMNO BN. Kehadiran mereka adalah dengan restu beliau sendiri. Dan syaitan-syaitan itu bergelandangan di dalam UMNO BN setidak-tidaknya semenjak Mahathir menjadi Presiden UMNO. Bukti nhyata di dalam UMNO kini banyak berperangai syaitan - samseng, pemfitnah, perasuah, pengebas, penipu malah pembunuh pun ada di dalam UMNO. Tengok sahaja perangai pencacai-pencacai UMNO... tulisan mereka penuh carut dan gambar lucah. Dengar khabar peminum arak pun ramai dari kalangan blogger UMNO... Itu semua ciri-ciri syaitaniah.

2) Mahathir mengakui bahawa Pakatan Rakyat adalah malaikat.

3) Mahathir adalah termasuk di dalam golongan yang boleh diragukan keimanannya kerana menyatakan bahawa "malaikat juga boleh buat bannyak perkara salah". Sedang umat Islam diwajibkan "percaya kepada malaikat" sebagai salah satu rukun Iman. Malaikat adalah golongan yang sentiasa bertasbih, bertahmid dan patuh kepada perintah Allah. Malaikat dibuat dari cahaya atau nur sedangkan syaitan berasal dari api atau nar. Malaikat terpelihara dari melakukan kesilapan.

4) Jika PAS dituduh sebagai Parti Ajaran Setan, kini tuduhan itu kembali kepada orang yang menuduh, rupanya UMNO BN yang diasuh syaitan selama ini.

5) Jelas Mahathir di dalam kesesatan yang nyata tapi tiada ulamak UMNO yang berani bangun untuk menegur dan membetulkannya. Nabi menggelarkan ulamak ini sebagai Ulamak Ussu'.

6) Jangkaan GB sebelum ini bahawa Mahathir Ingin Mati Sebagai Seorang Firaun semakin menjadi kenyataan.



Nasharuddin Perlu Dilucutkan Keanggotaaannya Sebagai Ahli Majlis Syura

PAS serah Majlis Syura bincang isu Nasharudin

KUALA LUMPUR: PAS menyerahkan kepada Majlis Syura parti itu untuk membincangkan isu membabitkan bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa.

Memandangkan Nasharudin bukan lagi merupakan ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat, maka isu berkaitan ahli parlimen Bachok itu tidak dibincangkan.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat biro politik dan pilihan raya, di pejabat parti itu, petang ini.

Mengulas lanjut isu berkenaan, Abdul Hadi berkata PAS menganggap Umno sudah kehilangan tokoh agama sehingga terpaksa mengambil tokoh daripada PAS.

"Mungkin Umno sudah kehilangan tokoh agama mereka hingga terpaksa menumpang tokoh daripada PAS. Kita anggap begitulah," tegas beliau dan disambut gelak ketawa oleh hadirin.

Isu berkaitan Nasharudin itu timbul berkaitan tersebarnya gambar beliau bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di Arab Saudi, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Abdul Hadi menegaskan isu membabitkan Nasharudin tidak menjejaskan PAS memandangkan tiada sebarang aduan atau permintaan daripada akar umbi untuk mengenakan sebarang tindakan terhadap Nasharudin.

"PAS ada saluran tertentu. Ada peringkat cawangan, kawasan. Setakat hari ini, tidak ada sebarang aduan berkaitan beliau diterima. Jadi, PAS tidak terjejas dengan isu tersebut," tegas beliau lagi merujuk kenyataan Nasharudin yang mendesak PAS keluar dari Pakatan Rakyat jika DAP berkeras menolak hudud.


Hadi: Majlis Syura tentukan nasib Nasharudin

KUALA LUMPUR - Pas menyerahkan sepenuhnya kepada Majlis Syura bagi menentukan kedudukan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa yang menggesa agar parti itu keluar Pakatan Rakyat (PR), selain terlibat dalam pertikaman lidah dengan pemimpin DAP.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kenyataan Nasharudin itu tidak sedikit pun memberi kesan ke atas parti.

"Saya akan serahkan kepada Majlis Syura untuk mengambil sebarang tindakan kepada Nasharudin," kata beliau pada sidang media selepas mesyuarat Biro Politik Pas di sini, hari ini.

Beliau menambah, Pas akan tetap berjuang bersama PR kerana perjuangan agenda perjuangan parti lebih besar berbanding dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Nasharudin sebelum ini.

Beliau turut berkata yang Umno kehilangan tokoh agama dan terpaksa mengambil pemimpin agama dari parti Pas untuk "tumpang semangkuk" kerana mereka tidak ada kewibawaan yang cukup dalam menjawab isu agama.

"Bagi kami, tiada sebarang masalah di kalangan akar umbi jika mahu keluar parti. Pas sendiri ada saluran sendiri jika ada ahli yang mahu keluar parti," katanya.

Tambah beliau, tindakan Nasharudin baru-baru ini juga tidak akan menjejaskan parti sama sekali.

Awal minggu lalu, media memaparkan gambar Nasharudin, Ahli Parlimen Bachok, bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada dalam pertemuan dengan tokoh-tokoh ulama di Makkah.

Kemunculan itu mencetuskan tanda tanya di kalangan ahli Pas.

Dalam kenyataannya kepada media Nasharudin menafikan spekulasi akan keluar Pas.

Nasharudin sebelum ini pernah dikaitkan dengan usaha ke arah mewujudkan kerajaan perpaduan Umno-Pas.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengulas isu itu, juga awal minggu lalu, berkata, beliau tidak akan terkejut jika Nasharudin keluar parti.

Awal tahun ini, Pas memecat bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.
-SH


Ulasan GB

Dengan pelbagai masalah disiplin yang dilakukan oleh Nasharuddin Mat Isa seperti tidak hadir mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat, tidak mengindahkan tugasnya sebagai YDP Pas Kawasan Bachok, berpendirian yang bertentangan dengan amal jamaiyy di dalam banyak hal, maka sewajarnya kedudukan Nasharuddin sebagai ahli Majlis Syura disemak semula dan beliau sepatutnya digugurkan dari menganggotai majlis berkenaan.

Perlantikan Nasharuddin Mat Isa sebagai anggota Majlis Syura dilakukan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berdasarkan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PAS ketika itu dan apabila beliau sudah tidak lagi menjadi Timbalan presiden PAS, sepatutnya keanggotaan beliau ditamatkan.

Sekalipun Perlembagaan PAS menyebut bahawa ahli-ahli Majlis Syura 'Ulamak itu hendaklah memegang jawatannya selama lima tahun, namun Perlembagaan PAS juga mentepakan ahli-ahli majlis ini boleh berhenti sebelum cukup tempoh lima tahun dan boleh diberhentikan oleh Majlis Syura 'Ulamak yang mempunyai kuasa menentukan kelayakan seseorang ahli mengikut peruntukan Ceraian (3) Fasal ini dan sebab-sebab seseorang ahli itu patut diberhentikan.

Sekalipun Nasharuddin pernah menyatakan tiada niatnya untuk memasuki UMNO, namun kata-katanya itu sama seperti Hassan Ali yang sebelum ini pernah mengungkapkan "cuma ada bulan dihatinya". Tetapi akhirnya terbukti setelah dipecat, kata-katanya itu dusta dan beliau kini menjadi penyerang utama kepada jemaah PAS sendiri.

GB pernah mengulas sebelum ini mengenai "niat di hati" dengan "tindakan di zahir" di sini. Petikan:

Benar bahawa setiap amal itu bergantung kepada niatnya. tetapi "niat" saja tidak memadai jika amalan perbuatan dan tindakan kita tidak seiring dengan niat tersebut.

GB rasa Ustadz Nasha lebih maklum berkenaan hal tersebut.

Sewaktu peristiwa isra mikraj Rasulullah telah diperlihatkan tentang beberapa orang yang menerima balasannya di dalam neraka. Jibril memberitahu baginda bahawa "itulah keadaan orang-orang yang niatnya baik tapi amalnya jahat".

Niat Ust. Nasha baik, tiada terlintas untuk memasuki UMNO. Tetapi tidakan beliau mengeluarkan kenyataan-kenyataan di media pro-UMNO (kemudian dimanipulasikan) menimbulkan fitnah yang besar kepada jemaah itulah yang merosakkan.

Tak termasuk lagi dengan pertemuan yang mencurigakan dengan para blogger UMNO bersama-sama dengan Hassan Ali satu ketika. Ia bukan lagi satu rahsia. Itulah yang melahirkan fitnah untuk jemaah PAS.


25 Ogo 2012

Patut Pun Pemerintahan Pak Lah & Najib Pincang, Naik Dengan Surat Fitnah Umi Hafilda!

Surat saya menyebabkan Pak Lah, Najib jadi PM’

PETALING JAYA: Ahli perniagaan, Umi Hafilda Ali mendakwa Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri kerana sepucuk surat yang ditulisnya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2008.

“Kalau saya tidak tulis surat tersebut sudah tentu Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri.

"Tetapi kerana sepucuk surat saya kepada Dr Mahathir mengenai perilaku Anwar, mereka berdua (Abdullah dan Najib) telah menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Bagaimanapun, Umi agak kecewa kerana kedua-kedua pemimpin besar itu seolah-olah telah melupakan jasanya.

Katanya, Abdullah telah menggantung keahlian Umno beliau dari sebuah cawangan di Gombak.

“Itu yang menyebabkan saya marah sangat kepada Pak Lah," katanya.

Bagaimanapun, adik kepada Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali menjelaskan penggantungan keahliannya telah ditarik balik.

“Mana mungkin Najib tidak ingat dalam perjuangan saya yang menyebabkan saya dimaki hamun dan ditohmah dengan pelbagai tohmahan semata-mata kerana saya melawan Anwar,” katanya.

Mana menteri?

Namun, Umi juga meluahkan rasa kecewa Umno tidak membantunya berkempen menentang Azmin dan Anwar sebagaimana yang dilakukan sekarang.

“Mana menteri, mana wakil-wakil rakyat yang turun berceramah menjelaskan kepada rakyat mengenai pembohongan Anwar dan Azmin,” katanya lagi.

Umi juga mendakwa, ceramahnya lebih berjaya dari pemimpin Umno lain kerana dibanjiri ribuan orang setiap kali diadakan.

“Ceramah saya di Besut (Terengganu) dihadiri 10,000 orang, manakala di Pasir Putih (Kelantan) di kawasan pembangkang dihadiri 8,000 orang.

“Mana ada pemimpin Umno yang boleh mengadakan ceramah seperti saya,” kata Umi lagi.

Dalam pada itu, Umi menafikan beliau melakukan semua itu kerana diarah oleh Umno.

Menurutnya, jika semua yang dibuat kerana arahan Umno sudah tentu Dr Mahathir membantunya semasa ditahan di dalam lokap dahulu.

Umi mendakwa beliau ditahan oleh anggota polis atas arahan Anwar setelah beliau mendedahkan aktiviti pemimpin Pakatan Rakyat itu kepada Dr Mahathir. -FMT

Ulasan GB

Sedikit pencerahan dari GB:

1) Rahsia terdedah kini, Pak Lah & Najib jadi PM kerana surat fitnah dari Umi Hafilda kepada Mahathir (dengan andaian kenyataan Umi Hafilda di atas adalah benar).

Hukum kebenaran dan keadilan mengambil tempatnya. Sesuatu jawatan yang diperolehi bukan dengan cara yang benar maka akan pincanglah ia. Itu sebab mengapa pemerintahan Pak Lah dulu dan Najib kini begitu bergoncang dan penuh kepincangan. Pak Lah tersungkur dan begitu juga nanti, Najib.

2) Umi Hafilda sudah kantoi dengan mengheret ibunya untuk menyebelahinya dengan mereka-reka cerita bersama wartawan TV3 kononnya Azmin tidak pulang beraya. Umi Hafilda tertekan apabila rahsia penipuannya terbongkar, akhirnya menyalahkan UMNO tidak menyebelahinya sebagai langkah untuk menutup malunya.

3) Umi Hafilda mendakwa ceramahnya lebih berjaya dari pemimpin Umno lain kerana dibanjiri ribuan orang setiap kali diadakan. Entah ya ke tidak "ribuan orang" namun, hukum kebenaran dna keadilan menetapkan jika ceramah itu berasaskan fitnah, ia tidak akan memberikan kesan positif, sebaliknya akan memberikan impak negatif kepada pihak yang disokongnya, di dalam konteks ini, UMNO.

4) Jangan lupa, ayah Umi Hafilda pernah tidak mahu lagi menganggap beliau sebagai anaknya. Berdasarkan sekeping surat, Ali Omar melucutkan warisan zuriat Umi kerana sikap suka melawan, tidak peduli nasihat, riak, takbur, pembohong di samping penglibatannya dalam konspirasi dan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.



5) Akhir sekali, sesungguhnya kebatilan akan tetap TEWAS bila bertemu kebenaran!



[BERGAMBAR] Pengantin Cari Jurunikah Sampai Hospital

Teruja nikahkan orang di hospital'

KUALA TERENGGANU – Jika sebelum ini kita hanya mendengar pengantin terpaksa dinikahkan di hospital disebabkan beberapa musibah yang tidak dapat dielak, kini lain pula ceritanya dengan pengalaman seorang jurunikah yang terpaksa menikahkan pasangan pengantin di hospital setelah ditahan di wad.

Jurunikah, Harun Noh, 85, yang tinggal di Kampung Bukit Tunggal ditahan di Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) kira-kira jam 12 malam, malam kelmarin setelah mengalami sesak nafas akibat penyakit lelah yang dihidapinya.

Katanya, pada mulanya dia ingin pulang ke rumah kerana telah berjanji untuk menikahkan pasangan pengantin itu di Kampung Tok Jembal, namun, doktor menasihatkan supaya dia tidak pulang dahulu kerana tahap kesihatannya tidak mengizinkan.

“Walaupun telah tetapkan tarikh untuk nikahkan mereka, saya tidak boleh buat apa-apa melainkan terpaksa memaklumkan kepada pasangan itu pagi tadi (semalam) supaya datang ke hospital untuk dinikahkan di sini.

“Rasa teruja dan gembira pun ada sebab selama lebih 30 tahun jadi jurunikah, ini kali pertama saya terpaksa nikahkan orang di hospital. Walaupun rasa kasihan dengan pasangan pengantin, ia sedikit sebanyak meringankan tugas saya,”
katanya.

Selain bertugas sebagai jurunikah, Harun sebelum ini pernah bertugas sebagai imam di Masjid Kampung Bukit Tumbuh dan kini masih mengajar mengaji al-Quran di kediamannya.

Pengantin terkejut, tak percaya tapi bersyukur

Bagi pasangan pengantin yang masih menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Faris Marwan Abdul Rahman, 22 dan Nurul Adina, 25, mereka masih terkejut dan tidak percaya akan diijabkabulkan di hospital.

“Kami sebenarnya masih terkejut, tetapi reda atas ketentuan ini dan bersyukur kerana semuanya berjalan dengan lancar,” katanya.

Menurut Faris Marwan yang berasal dari Kampung Bayam, Kota Bharu, Kelantan, dia dimaklumkan majlis akad nikah akan dijalankan di hospital ketika dalam perjalanan dari Kelantan ke Terengganu pagi tadi (semalam).

“Ini pengalaman baru buat saya, bagaimanapun, bila semuanya telah selesai saya rasa lega.

“Memandangkan kami berdua masih belajar, kami merancang untuk tinggal berasingan dahulu sebelum menamatkan pelajaran,” katanya. -SH


Harun (kiri) masih dibantu alat bantuan pernafasan ketika upacara ijab dan kabul pasangan Faris Marwan dan Nurul Adina di Hospital Pakar Kuala Terengganu.

Harun membacakan lafaz ijabkabul dihadapan kira-kira 20 tetamu yang hadir pada majlis akad nikah pasangan Faris Marwan dan Nurul Adina yang dijalankan di Hospital Pakar.

Pasangan pengantin membantu Harun (dua, kanan) menaiki kerusi roda setelah selesai majlis akad nikah jam 4 petang semalam.

Pasangan pengantin Nur Adina (kanan) dan Faris Marwan membantu Harun untuk kembali ke wad selepas selesai majlis akad nikah yang dijalankan di bilik fosioterapi.


Azwan Kagum Dengan Perjuangan Abangnya Azmin


Dulu ketika perbicaraan kes fitnah Azizan terhadap Anwar Ibrahim, Azwan Ali dilihat menyebelahi Umi Hafilda tetapi kini, sejak berubah dan mengerjakan umrah, Azwan Ali tidak gentar menunjukkan sokongan kepada Azmin Ali - Timbalan Presiden KEADILAN.


Azwan juga menganggap Azmin sebagai pemimpin terhebat dan berkaliber walaupun pelbagai tohmahan buruk dilemparkan Umi Hafilda bagi menjatuhkan karier politik Timbalan Presiden KEADILAN itu.

Enggan menyatakan parti mana yang disokongnya, beliau mengakui menyokong Azmin bukan atas dasar hubungan adik-beradik tetapi disebabkan prinsip yang diperjuangkan abangnya untuk membela rakyat.

“Azmin adalah abang saya selama-lamanya. Beliau adalah ‘great leader’ (pemimpin yang hebat). Saya sokong perjuangan Azmin untuk KEADILAN,” katanya.
- petikan KD



Tulis Azwan Ali ditwitter yang memapar gambar ini:
"Slm. Besday Suprise YB@AzminAli ! Si anak usop bagi buku? The End of Barisan Nasional!"



Kempen Jijik TV3 yang dapat sambutan hangat peminat Azwan Ali. Setiap kali retweet, hasghtag #JijikTV# akan dipapar.


Laporan sebelum ini
klik untuk baca





[EDISI KANTOI] TV3 Promosikan Doktor Bedah Palsu

Doktor bedah palsu tipu duit penderma

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki sanggup mendakwa dirinya sebagai doktor pakar bedah bagi meminta derma daripada orang ramai untuk membantu mangsa perang di beberapa buah negara.

Lelaki berusia 26 tahun itu dikatakan mendapat pendidikan di Sekolah Perubatan dan Pergigian King’s College London, Pusat Sains Kesihatan, Universiti Peking dan Royal College of Surgeons of England sebelum menjadi doktor bedah trauma dan bertugas dalam kawasan yang diancam peperangan.

Dia kemudiannya menulis sebuah buku autobiografi yang menceritakan pengalamannya ketika berkhidmat di Haiti, Libya, Nicaragua, Somalia, Afghanistan dan beberapa negara lain.

Buku yang berharga RM50 itu berjaya meraih simpati orang ramai untuk menderma bagi membeli ubat kepada mangsa peperangan dan bencana alam melalui akaun peribadinya.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, hasil laporan tersebut, dia bersama empat peguam menjalankan penyelidikan ke atas buku dan lelaki yang mendakwa dirinya doktor pakar bedah.


Menurutnya, nama lelaki tersebut didapati tidak diiktiraf sebagai doktor oleh Persatuan Perubatan Malaysia.

“Untuk menjadi seorang pakar memerlukan masa lebih kurang lapan hingga 10 tahun tetapi mustahil bagi pemuda ini untuk bergelar pakar dalam usia muda,” katanya pada sidang media di Bangunan MCA, Ampang, di sini, semalam.

Chong berkata, selepas mendapati kegiatannya disedari, lelaki tersebut memohon maaf melalui akaun Facebooknya pada 14 Ogos lalu dan akan memulangkan RM38,099 sumbangan yang telah diberikan kepadanya.

Menurut Chong, pihaknya mendapati, doktor palsu tersebut telah menerima RM48,792 sumbangan di Melaka yang terimanya pada April lalu.

“Jumlah ini bertentangan dengan yang diberitahunya sebelum ini, dan mahu polis menyiasat kes ini kerana menipu,” katanya.

Beliau berkata, empat laporan melibatkan penipuan doktor bedah palsu tersebut telah dibuat di Balai Polis Dang Wangi pada Jumaat lalu, bagi tindakan selanjutnya.

Chong berkata, lelaki tersebut pernah mendapat liputan meluas daripada media tempatan kerana menjadi pakar bedah termuda dan menghulurkan kepakarannya di negara yang bergolak dan dilanda bencana. -SH




Ulasan GB

Beberapa kali dah GB tulis, hukum kebenaran dan keadilan tidak menipu.

Kini hukum kebenaran dan keadilan pun berjalan, TV3 yang suka menipu akhinrya dikesan memberikan liputan kepada seorang "pakar bedah" yang penipu.

Banyak lagi nanti edisi kantoi TV3 oleh hukum kebenaran dan keadilan. Kita sama-sama nantikan.

[EDISI TERDESAK] E-Mel Dari JPM Tawarkan Wang Tunai, T-Shirt Sambut Merdeka

Putrajaya menawarkan ganjaran tunai kepada peserta acara Hari Merdeka

KUALA LUMPUR, 25 Ogos — Satu e-mel dari Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah mendedahkan bahawa Putrajaya akan menawarkan ganjaran wang tunai dan cenderamata kepada kira-kira 1,000 pelajar universiti yang bersetuju untuk mengambil bahagian dalam sambutan Hari Kebangsaan di sini.

Dalam e-mel dari jabatan Perpaduan Negara dan unit Integrasi dilihat semalam oleh The Malaysian Insider, pelajar dijangka mengibarkan bendera atau “melakukan beberapa pembentukan bendera mudah” apabila lagu kebangsaan “Negaraku” atau lagu 1Malaysia yang dimainkan semasa dua peristiwa diambang Merdeka — satu di Dataran Merdeka pada waktu pagi dan kedua di Stadium Bukit Jalil pada waktu petang.

“T-shirt disediakan pada waktu pagi dan wang tunai sebagai penghargaan akan diberikan kepada setiap peserta,” kata seorang pegawai dalam satu kiriman e-mel kepada sebuah universiti. “Untuk waktu petang, tiada T-shirt disediakan.”

Ketika dihubungi, pegawai itu memberitahu The Malaysian Insider bahawa peserta dijangka menghadiri raptai selama lima hari daripada hari ini, akan dibayar RM20 dan makan tengah hari disediakan untuk setiap hari.

“Jadi, untuk lima hari setiap peserta akan dibayar RM100,” kata pegawai tersebut.

Pegawai tersebut menambah, jabatan berharap untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 1,000 orang peserta berumur dari 18 hingga 35 tahun dari beberapa universiti sepanjang bandar ini.

Sejumlah 25 buah bas akan disediakan untuk membawa peserta dari beberapa checkpoint sepanjang bandar ke dua tempat acara itu.

E-mel dari pegawai itu juga secara spesifik menyebut hanya Cina dan India yang diperlukan untuk acara tersebut.

Apabila ditanya mengapa, pegawai tersebut mengatakan bahawa beliau tidak tahu apakah sebabnya.

“Mungkin mereka (jabatan) sudah mempunyai bilangan orang Melayu yang mencukupi,” kata beliau.

Tawaran ganjaran tunai Putrajaya untuk menarik peserta menyertai sambutan Hari Merdeka sudah pasti akan menyebabkan kemarahan daripada pembangkang persekutuan, apalagi di tengah-tengah kritikan meluas bahawa Barisan Nasional (BN) telah mempolitikkan sambutan hari kebangsaan.

Kabinet Najib telah memilih “55 tahun kemerdekaan, Janji Ditepati” sebagai tema Hari Merdeka yang telah mendapat tentangan oleh kerana pengkritik mengatakan tema tidak sesuai oleh kerana ianya lebih kepada agenda politik BN.

Logo “Janji Ditepati” dan lagu tema telah mendapat reaksi hebat oleh kerana terdapat dakwaan bahawa lagu tersebut ditiru daripada lagu gospel Indonesia.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) telah menuduh kerajaan BN merampas perayaan hari kebangsaan demi mengetengahkan agenda politik dan menyalahgunakan sumber kerajaan untuk tujuan berkempen.

Sebagai tindak balas, pakatan pembangkang PKR, DAP dan PAS mengumumkan tema alternatif sendiri pada hari Rabu — “Sebangsa, Senegara, Sejiwa” — cadangan diterima daripada orang ramai awal bulan ini. -TMI

[JANJI DITEPATI] Selepas "Rampasan Perak" U HELP ME, I HELP U

Setelah menjadi kontroversi dalam rampasan kuasa Perak sehingga Pakatan Rakyat Perak ditumbangkan pada 4 Februari 2009, terkini Zaki sah menjadi Pengerusi Astro Malaysia Holdings Berhad (AMH).

Zaki menggantikan Badri Masri berkuat kuasa 15 Ogos lalu sekaligus dilantik sebagai ahli lembaga pengarah terbaru.

Kontroversi melibatkan Zaki bermula apabila ia berhubung kait dengan pemberian konsesi bernilai RM2.2 bilion Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) kepada dua tokoh yang terlibat dengan rampasan kuasa oleh Barisan Nasional (BN) di Perak termasuk Zaki sendiri.

Seorang lagi adalah penasihat undang-undang Umno, Hafarizam Harun.

Naib Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah pada 21 Februari lalu berkata, Hafarizam merupakan pengarah dua buah syarikat yang menerima konsesi tersebut Emrail Sdn Bhd dan Zabima Engineering Sdn Bhd.

“Sementara isteri Zaki Azmi merupakan pengarah syarikat Emrail, sebuah syarikat yang tidak mempunyai rekod di dalam pembinaan lebuhraya.

“Kenyataan syarikat tersebut sendiri menyatakan mereka berhasrat menjadi “Syarikat Kejuruteraan Rel Utama di Malaysia dan Rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau mahu Najib menyatakan pendiriannya berkenaan Seksyen 9 Kod Etika Hakim 2009 yang menyatakan “seorang hakim akan, pada masa pelantikan atau mana-mana masa kemudiannya sekiranya diminta oleh Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan membuat perisytiharan bertulis semua asetnya kepada Ketua.

Adakah ini rasuah? Tak tau!

Adakah ini konflik kepentingan? Tak tau!

Adakah ia sekadar satu kebetulan bahawa semua orang-orang yang terlibat dalam memberikan Perak kembali kepada Umno berlaku untuk menjadi rakan kongsi perniagaan dalam projek RM2.2 bilion-lebuhraya?

ADA MATA TENGOK, ADA TELINGA DENGAR..... ADA OTAK BUAT PENILAIAN SENDIRI...

-PR Supporters

Zaki Azmi dilantik Pengerusi AMH

AHLI Lembaga Pengarah Astro Malaysia Holdings Berhad (AMH) melantik Tun Zaki Azmi sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif dan Pengerusinya yang berkuat kuasa 15 Ogos lalu, bagi menggantikan Datuk Badri Masri yang menarik diri.

Bagaimanapun, Badri masih kekal sebagai pemegang jawatan Pengerusi Astro Holdings Sdn Bhd.


Dalam kenyataannya di Kuala Lumpur, baru-bari ini, Zaki juga mempengerusikan Jawatankuasa Tadbir Urus Korporat dan Nominasi bagi Lembaga Pengarah itu.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings, Datuk Rohana Rozhan berkata, Lembaga Pengarah amat berbangga apabila Zaki menerima pelantikan itu.


“Kami yakin pengalaman luas beliau pasti memberi sumbangan signifikan ke arah tanggungjawab dan tadbir urus korporat syarikat,” katanya.


Sementara itu, menurut Zaki, Astro adalah satu jenama terkemuka dan memainkan peranan utama dalam industri digital Malaysia.

“Saya amat teruja apabila diberi peluang untuk turut serta dalam pembangunan dan pertumbuhan jangka panjang syarikat terkemuka ini,” katanya ketika ditemui.
— HM


Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Kenyataan Mahathir Seperti Mengakui Pakatan Rakyat Sebagai "Malaikat Yang Dikenali"!

Prestasi Pakatan Rakyat mentadbir empat buah negeri dengan baik membuktikan yang ianya layak diberi mandat memerintah negara.

Dalam menyangkal dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed, pemimpin Pakatan dari Pas, DAP dan PKR berkata prestasi dan pencapaian Pakatan sudah diketahui manakala keburukan Umno-BN juga disedari umum.

Kata mereka, Dr Mahathir secara tidak langsung mengakui bahawa pentadbiran Umno-BN penuh dengan kejahatan manakala Pakatan dilihat sebagai penyelamat kepada kepincangan Umno-BN.

Mereka juga berkata melalui pentabirannya di Kelantan, Selangor, Penang dan Kedah, Pakatan sudah membuktikan yang ia mengamal dasar dan pendekatan yang lain dari Umno-BN di mana pembangkang dan rakyat diberikan hak bersuara.

MP Puchong, Gobind Singh Deo berkata, sekiranya Pakatan mentadbir Putrajaya, Ahli Parlimen dan Adun Umno-BN tetap diberikan peluang menyuarakan pendapat mereka demi kebaikan rakyat.

“Selangor yang ditadbir Pakatan sebagai contoh, memberikan peluang kepada setiap Adun Umno-BN memberikan pendapat dan pandangan mereka di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Mereka juga diberikan peluang menganggotai jawatankuasa khas DUN seperti Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawapan dan Ketelusan (SELCAT) serta berpeluang menjadi ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),
” katanya ketika dihubungi TVSelangor.

Di dalam satu kenyataan di blognya chedet.com Dr Mahathir menyeru rakyat Malaysia agar tidak memberi “mandat percubaan” kepada Pakatan walaupun untuk memerintah pada satu penggal.

Dr Mahathir juga berkata jika Pakatan berjaya menguasai Putrajaya, ia akan cuba sedaya upaya untuk mengekalkan kuasanya dengan apa cara sekalipun.

Dalam kenyataannya, Mahathir berkata :

“Rakyat hanya perlu mendesak BN untuk melakukan perubahan yang rakyat mahukan. Syaitan yang dikenali adalah lebih selamat dari malaikat yang tidak dikenali.”

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor, Khalid Samad berkata Pakatan tidak akan menjadi seperti Umno-BN jika mentadbir Putrajaya kelak.

“Pakatan mempunyai dasar menerusi Buku Jingga, ianya adalah untuk kepentingan rakyat.

“Umno-BN juga diberikan ruang di media massa untuk memberikan pandangan berkaitan dengan rakyat,” katanya yang juga MP Shah Alam.

Manakala Naib Presiden PKR Chua Tian Chang berkata kenyataan Dr Mahathir itu menunjukkan ketakutan Umno-BN dengan kehilangan kuasa pada pilihanraya umum akan datang.

“Kenyataan yang dibuat Mahathir mencerminkan Umno-BN kini semakin takut kehilangan kuasa dan kekayaan.

“Malah mereka takut kegiatan pembongkaran salah guna kuasa akan diketahui rakyat,” kata MP Batu itu yang juga dikenali sebagai Tian Chua. -selangor

MCA Hina & Tentang Undang-undang Islam, Kenapa UMNO Senyap?


AMK Selangor selar MCA, cabar Umno bersuara

PETALING JAYA: AMK Selangor menyelar dan mempertikaikan kenyataan Pengerusi MCA negeri, Datuk Donald Lim Siang Chai yang menghalang sebarang usaha penubuhan kerajaan Islam di Selangor kepada ahli-ahli MCA pada satu konvensyen MCA Negeri Selangor.

“AMK Selangor begitu kesal kerana Donald Lim yang juga Timbalan Menteri Kewangan sepatutnya bertindak lebih waras dan tidak biadap dengan memainkan sentimen agama yang sempit semata-mata terdesak untuk merebut kembali Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat ketika ini.

Ketua AMK Selangor, Azmizam Zaman Huri berkata, rakyat Selangor memilih untuk mengubah kerajaan pada tahun 2008 dengan berpaksikan kematangan dan melangkaui sentimen politik melampau dengan memilih gabungan parti politik yang jauh lebih baik dan terbukti berjaya mentadbir kerajaan negeri dengan lebih sistematik dan telus.

“Justeru, kenyataan Donald Lim dilihat lebih kepada kenyataan seorang pemimpin parti yang ketinggalan zaman dan terdesak, serta tidak berdaya lagi untuk bersaing secara lebih kompetitif dalam melaksanakan demokrasi dengan lebih adil.

“Tindakan menghina Islam secara terang-terangan ini mencerminkan kebodohan diri sendiri yang akhirnya akan merugikan MCA sendiri”, katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Menurut Azmizam, sudah tiba waktu Umno menyatakan pendirian mereka pada isu yang kritikal ini demi menjaga kemuliaan agama Islam yang telah berkali-kali diperlekehkan oleh parti komponen MCA.

Umno sebagai tunjang komponen BN juga sudah sepatutnya mengkaji kedudukan MCA bersama mereka, kata beliau lagi.

Dwi standard

AMK Selangor katanya, menyelar sikap dwi standard Umno yang bersikap tidak konsisten dalam isu menjaga kedaulatan agama Islam ini apabila dengan lantang menyerang DAP tetapi takut kepada MCA, hingga mencetuskan tanda tanya siapa sebenarnya ‘ abang besar’ dalam BN.

“Oleh yang demikian usahlah Umno bermimpi untuk merampas kembali Selangor kalau sikap mereka begitu mengelirukan dalam isu ini. Kebaculan Umno begitu terserlah dan layaklah mereka dipinggirkan dari terus mentadbir negeri Selangor ini. Umno langsung tidak menghormati Sultan Selangor sebagai ketua rasmi agama Islam di negeri ini”, kata beliau.

Beliau menambah, justeru apa lagi yang dapat rakyat terutamanya orang Islam dapat berharap kepada parti lemah ini.

Umum telah tahu bahawa Umno memang tidak pernah berhasrat memartabatkan Islam sebagai salah satu rujukan pentadbiran namun sikap membisu apabila agama Islam dan semangatnya diinjak adalah sesuatu yang amat mengecewakan.

Menurutnya lagi, AMK Selangor juga memberi amaran keras kepada MCA terutama pemimpinnya supaya tidak lagi menjadikan agama Islam sebagai satu modal politik murahan mereka dan mula menerima hakikat bahawa Pakatan Rakyat adalah alternatif unggul untuk menggantikan peranan mereka dalam masyarakat.

“AMK Selangor menolak politik sentimen dan kebencian dan yakin bahawa rakyat kini adalah mereka yang matang serta memiliki pengetahuan di hujung jari. Maklumat adalah satu keistimewaan bagi rakyat, dan mereka akan pantas mengetahui politik mainan MCA/BN ini adalah politik murahan yang dimainkan oleh mereka yang mempunyai pemikiran kurang bijak,” tambah Asmizam. -FMT

Ulasan GB

UMNO dan pencacainya mengkafir harbikan Karpal Singh dan DAP, sekarang kenapa tak kafirharbikan MCA apabila MCA dengan jelas menentang undang-undang Islam?

Mana Abdullah Samaah? Mana Nasruddin Mat Isa? Mana Hassan Ali? Mana pencacai-pencacai UMNO? Mana Utusan Peniup? Mana TV Tiga Suku? Mana PERKASA? Mana JATI? Mana UG?

24 Ogo 2012

[HOT] Azwan Ali: Umi Hafilda Bukan Adikku Lagi!

Heret ibu ke kancah politik, Umi Hafilda bukan adik saya lagi – Azwan Ali

Selebriti dan pengacara terkenal, Azwan Ali enggan mengakui Umi Hafilda sebagai adik kandung lantaran kelancangannya memfitnah sesama ahli keluarga.

Beliau enggan dikaitkan dengan Umi Hafilda yang sebelum ini dikatakan pernah memfitnah selebriti yang terkenal dengan ungkapan ‘Amboi, Amboi, Amboi’ melalui catatan surat arwah bapa mereka bertarikh 18 Oktober 1998.


“Jangan tanya apa-apa pasal Ummi Hafilda… Saya sudah tegaskan sebelum ini, saya tak ada sesiapa lagi. Saya hanya ada (Mohamed) Azmin dan Azman. Mereka itu saja darah daging saya,” katanya kepada Keadilan Daily, hari ini.

Sebelum ini, Allahyarham bapa mereka, Ali Omar enggan mengakui Umi Hafilda sebagai anak, malah melarangnya pulang ke rumah keluarga di Kampung Kelang Gate, Setapak.


Berdasarkan surat itu, Ali Omar melucutkan warisan zuriat Umi kerana sikap suka melawan, tidak peduli nasihat, riak, takbur, pembohong di samping penglibatannya dalam konspirasi dan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengikut catatan bertarikh 18 Oktober 1998 itu, fitnah Umi semakin menjadi-jadi apabila memfitnahnya dan isteri sehingga kedua-dua mereka bercerai pada 20 Februari 1998 sebelum rujuk kembali.

Buletin Utama TV3 baru-baru ini memaparkan perbuatan Umi Hafilda mengheret ibu mereka, Che Tom Yahaya, 78, ke kancah politik bagi memburuk-burukkan Azmin ketika umat Islam merai sambutan Aidilfitri.

Azwan percaya ibunya diperalat Umi Hafida yang bersekongkol dengan Umno bagi memfitnah Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa.


Beliau bagaimanapun enggan mengulas panjang mengenai kemelut fitnah itu kerana kemarahannnya terhadap Umni Hafilda sudah dipaparkannya melalui akaun twitternya.

“Empat hari berturut-turut, saya beri komen yang boleh menggemparkan dunia. Saya akan teruskan dan kita lihat apa yang akan terjadi nanti,” katanya yang marah apabila ibunya diperalat untuk kepentingan Umno.

Azwan juga menganggap Azmin sebagai pemimpin terhebat dan berkaliber walaupun pelbagai tohmahan buruk dilemparkan Umi Hafilda bagi menjatuhkan karier politik Timbalan Presiden KEADILAN itu.

Enggan menyatakan parti mana yang disokongannya, beliau mengakui menyokong Azmin bukan atas dasar hubungan adik-beradik tetapi disebabkan prinsip yang diperjuangkan abangnya untuk membela rakyat.

“Azmin adalah abang saya selama-lamanya. Beliau adalah ‘great leader’ (pemimpin yang hebat). Saya sokong perjuangan Azmin untuk KEADILAN,” katanya. -KD