29 Sep 2010

Kesan Air Mani Pada Baju Aaliyah

Seorang pegawai sains memberitahu Mahkamah Tinggi di sini Selasa, bahawa terdapat kesan air mani dijumpai pada baju kanak-kanak berusia tiga tahun yang mati dibunuh, Aaliyah Ayman Hussin Abdullah.

Aedrianee Reeza Alwi, 29, yang bertugas sebagai Pegawai Sains di Jabatan Kimia Malaysia Johor, berkata demikian pada keterangannya terhadap tertuduh, Mohannad Taha Ismail yang sedang dibicarakan atas tuduhan membunuh Aaliyah.

Saksi yang berpengalaman menjalankan analisis dalam kes jenayah seperti bunuh, rogol dan pergaduhan memberitahu, beliau telah memotong bahagian yang mengandungi air mani itu untuk dibuat analisa lanjut.

“Saya temui sperma dan juga spesimen bukan sperma yang bercampur daripada tiga individu. Sel sperma sama dengan spesimen yang diperoleh daripada tertuduh,” kata saksi pendakwaan ke-empat berhubung penemuannya.

Spesimen bukan sperma itu pula didapati datang tertuduh, mangsa dan juga ibu mangsa, Ellina Maulad Mahather, 25, seorang bekas pelayan kelab malam yang juga teman wanita tertuduh.

Selain itu, Aerrianee juga berkata, ujian pada lampin juga mendapati kehadiran air mani, bagaimanapun tiada profil asid deoksiribonukleik (DNA) diperoleh.

Saksi disoal Timbalan Pendakwa Raya Alfred Egin pada pemeriksaan utama.

Dalam kes ini, Mohannad Taha, 25, yang masuk ke negara ini dengan menggunakan visa pelajar dibicarakan atas tuduhan membunuh Aaliyah, tiga tahun pada antara pukul 7.30 dan 8.30 malam, 12 Oktober 2009.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah sewanya, nombor 9/D3/9, Palazzo Tower, Venice Hill Condominium, Batu 9, Cheras, Hulu Langat, dekat sini.

Dia kini berhadapan dengan hukuman mati jika disabitkan bersalah melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Barisan pembelaan diwakili peguam J.Kuldeep Kumar dan Saranjeet Kaur Sidhu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah bersambung Rabu. -mstar

Berita Sebelum

Lelaki Sudan dituduh bunuh Aaliyah Ayman

MOHAMMAD Taha Ismail dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang, semalam bagi menghadapi tuduhan membunuh budak perempuan berusia tiga tahun.

PUTRAJAYA 23 Okt. - Seorang warganegara Sudan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang di sini hari ini atas tuduhan membunuh anak perempuan kekasihnya yang berusia tiga tahun di sebuah kondominium di Hulu Langat minggu lalu.

Mohannad Taha Ismail, 24, dituduh dengan sengaja menyebabkan kematian Aaliyah Ayman Hussin Abdullah di kediaman bernombor 9/D3/9 Palazzo Tower, Venice Hill Condominium, Batu 9, Cheras, Hulu Langat, antara pukul 7.30 malam dan 8.30 malam 12 Oktober lalu.

Mohannad Taha yang merupakan seorang penganggur tenang ketika pertuduhan itu dibacakan dalam bahasa Inggeris.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Majistret Faisal Noor Hadi menetapkan 6 Januari depan untuk sebutan semula kes itu bagi mendapatkan laporan kimia dan bedah siasat serta mendengar hujah permohonan pihak Pendakwa Raya untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul' Ain Abdul Rahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Akhbar semalam melaporkan Aaliyah Aiman meninggal dunia dipercayai akibat didera selain menjadi mangsa perlakuan seksual teman lelaki ibunya yang merupakan seorang warga Sudan di sebuah kondominium di Cheras minggu lalu.

Berikutan kejadian itu, ibu kanak-kanak malang itu dan teman lelakinya ditangkap pada 14 Oktober lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ibu kanak-kanak itu dipercayai menjalin hubungan dengan lelaki warga Sudan terbabit sejak setahun lalu.

Bagaimanapun laporan akhbar hari ini menyebut, ibu kanak-kanak malang itu dibebaskan oleh polis petang semalam dan wanita yang bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat swasta di ibu negara itu akan diminta hadir ke mahkamah sebagai saksi utama kejadian itu.

Tiada ulasan: