21 Okt 2010

[Bergambar] Tawan Bangunan UMNO Simbolik Tawan Putrajaya

Tawan’ bangunan Umno simbolik tawan Putrajaya

KOTA BHARU, 20 Okt: Dengan ‘tertawan’nya bangunan Umno Bahagian Kota Bharu yang kini menjadi hak milik Dewan Pemuda PAS Kelantan, diharap ia menjadi simbolik untuk ‘menawan’ Putrajaya nanti.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata sekiranya bangunan milik Umno Bahagian Kota Bharu itu dapat ‘ditawan’ Pemuda PAS semoga ianya dijadikan perangsang untuk menawan negara pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan bangunan baru Dewan Pemuda PAS yang bernilai RM4.5 juta, pagi tadi.

Katanya, kejayaan itu hasil kemenangan perjuangan yang didokong semua pihak khususnya golongan pemuda dalam menggalas tanggungjawab menyebarkan dakwah Islam.

“Kalau kita dapat menawan Kota Bharu sebagai ibu negeri Kelantan, diharap pada masa akan datang kita dapat menawan Putrajaya,” ujarnya.

Majlis perasmian bangunan yang dinamakan Asy-Syabab Point itu berlangsung dengan penuh gilang gemilang apabila Tuan Guru diarak ke pejabat berkenaan dari JKR 10 dengan menaiki motosikal yang diiringi 20 orang pemuda.

Tarikh 20 Oktober dipilih tarikh perasmian dan 20 orang pemuda mengiringi Tuan Guru menaiki motosikal klasik diketuai Setiausaha Dewan Pemuda PAS negeri, Hafiz Musa sebagai simbolik sempena 20 tahun pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan beliau.

Ketua Pemuda PAS negeri, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, pada sidang media berkata dana pembelian bangunan tersebut diperolehi dari sumbangan orang ramai.

Katanya, ianya telah dikumpul menerusi empat kepimpinan Dewan Pemuda bermula Datuk Takiyuddin Hassan lagi.

“Namun yang lebih penting kita juga turut membuat pinjaman bank,” ujarnya. -harakahdaily


Bangunan Umno kini milik Pemuda PAS Kelantan

KOTA BHARU, 19 Okt: PAS Kelantan mencatat satu lagi sejarah sempena genap usia 20 tahun pemerintahan apabila berjaya memiliki bangunan empat tingkat yang pernah dijadikan pejabat Umno Bahagian Kota Bharu.

Tentunya maruah Umno Kelantan sekali lagi tergadai kerana bangunan yang pernah dimiliki Umno Kota Bharu kini menjadi milik Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Bangunan tersebut yang pernah terbengkalai dalam tempoh begitu lama berjaya disiapkan bekas Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim.

Bagaimanapun selepas Zaid digugurkan daripada jawatannya atas dakwaan terbabit dengan rasuah politik ketika pemilihan di peringkat bahagian tersebut, bangunan itu menjadi lengang semula.

Ketika jawatan Zaid digantung, Umno Kota Bharu di bawah Datuk Fatmi Che Salleh gagal memasuki bangunan berkenaan.

Bangunan tersebut yang difahamkan dimiliki sepenuhnya Zaid selepas berjaya menyiapkan bangunan yang lama terbengkalai.

Ketika itu signboard Umno Kota Bharu dipasang di puncak bangunan yang boleh dilihat dengan jelas dari jambatan Sultan Yahya Petra pada waktu malam.

Pada April lalu, Umno Kota Bharu yang diketuai anggota jawatankuasanya, Datuk Kamaruddin Abdullah mengadakan perhimpunan di pekarangan bangunan terbabit di Jalan Sultanah Zainab menuntut Zaid menyerahkan bangunan berkenaan.

Zaid kini Penyelaras Pakatan Rakyat tetap tidak berganjak dan enggan tunduk terhadap desakan Umno Kota Bharu.

Dan hari ini berlangsung sejarah yang mengejutkan Umno Kelantan dan pusat apabila bangunan pejabat yang pernah menjadi pejabat Umno bertukar tangan menjadi milik PAS.

Dewan Pemuda PAS Kelantan membeli bangunan berkenaan dengan harga RM4.5 juta.

Majlis penyerahan geran hak milik oleh Zaid telah dilakukan tengah hari tadi di Gua Musang sempena kempen pilihan raya kecil Dun Galas.

Ia dibeli dengan harga RM4.5 juta yang bakal menjadi pejabat Pemuda PAS negeri dan pusat komersial.

Perjanjian jual beli ditandatangani antara Zaid dengan Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim dan juga kepimpinan Pemuda PAS negeri yang diketuai, Abdul Latif Abdul Rahman yang disaksikan Pesuruhjaya PAS negeri yang juga Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bangunan empat tingkat itu mempunyai dewan di bahagian atas yang boleh memuatkan seramai 700 orang, manakala dua tingkat lagi dijadikan pejabat.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, majlis bersejarah bagi menaikkan bendera PAS di hadapan bangunan tersebut akan dilakukan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pagi esok.

Katanya, majlis yang penuh bersejarah itu diadakan sempena genap 20 tahun usia kerajaan PAS dan bahang kempen pilihan raya kecil Galas sekarang.

“Kita bersyukur kerana Dewan Pemuda PAS Kelantan akhirnya berjaya memiliki bangunan sendiri di lokasi yang begitu strategik.

“Ini satu kejayaan besar dalam sejarah PAS yang tidak pernah berlaku sebelum ini, lebih-lebih lagi bangunan itu pernah dijadikan pejabat Umno Bahagian Kota Bharu,” katanya ketika dihubungi di Gua Musang.

Abdul Latif yang juga Adun Mengkebang berkata, banyak kemudahan yang ada di bangunan berkenaan termasuk pendawaian elektrik dan kemudahan lain telah dirosakkan.

Katanya Dewan Pemuda terpaksa memperuntukan kira-kira RM500,000 lagi bagi memasang sistem pendawaian elektrik dan kemudahan lain yang dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya juga, Dewan Pemuda PAS yang kini berpejabat di Perhubungan PAS Negeri di Jalan Datuk’ Pati akan berpindah ke bangunan baru selepas kerja-kerja membaikinya siap dalam masa terdekat. -harakahdaily


Foto ehsan Topeng Perak Unmasked














3 ulasan:

joe penang berkata...

Syahdu dan hiba melihat, mendengar dan membacanya. Mungkinkah ini tandanya umno akan pupus terus di bumi tanah rendah sekebun ni? Atau PAS akan melangkah gagah menuju ke putrajaya selepas diumumkan keputusan pru nanti.
Moga semuanya menjadi realiti. Sebelum mata ini terpejam... Amin

hussin berkata...

"Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata sekiranya bangunan milik Umno Bahagian Kota Bharu itu dapat ‘ditawan’ Pemuda PAS semoga ianya dijadikan perangsang untuk menawan negara pada pilihan raya umum akan datang."

diharapkan sangat agar "orang yang sangat runsing dengan senario politik semasa serta orang2 yang berfikir sama dengan orang yang sangat runsing" akan maksud "Allah akan membantu mereka2 yang menolong agamaNya".

apabila fokus dalam perjuangan, pertolongan Allah pasti datang. perincilah sendiri kerana kalian adalah pemimpin. bandingkanlah dengan apa yang kalian bimbangkan. kebimbangan yang 'wujud' kerana kalian gagal untuk fokus dalam perjuangan.

lihat sahaja bagaimana fokusnya tgna dalam perjuangan berbanding dengan "orang yang sangat runsing dengan senario politik semasa serta orang2 yang berfikir sama dengan orang yang sangat runsing." anihnya, perbezaan begitu ketara di antara timbalan mursyidul am dengan mursyidul am.

ini mungkin timbul kerana merasakan majoriti ahli majlis syura ulama "berfikir macam saya berfikir."

wallahu'alam.

Tanpa Nama berkata...

takbir. teruskan keputrajaya insyaallah