8 Mac 2011

Bahan Bukti Pihak Pendakwa Kes Anwar Ditolak

Hakim tolak tiga barangan sebagai bukti

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini memerintahkan tiga barangan - berus gigi, botol air minuman dan tuala 'Good Morning' tidak boleh diterima sebagai bukti.

Hakim, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah dalam penghakiman dalam bicara dalam perbicaraan berkata barangan berkenaan diperolehi dengan cara yang tidak sah.

"Mahkamah mendapati tiga barang itu diperoleh secara tidak adil. Barang-barang dan perkara yang berkaitan akan ditolak daripada perbicaraan ini,” katanya.

Justeru, katanya, sampel DNA yang diperolehi itu juga tidak boleh diterima.

Sehubungan keputusan itu, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden berkata pihak pendakwaan belum bersedia untuk meneruskan perbicaraan, meskipun beliau mempunyai tiga saksi lagi.

Mahkamah kemudiannya ditangguhkan hingga pagi esok.

Sebelum itu, peguam Karpal Singh pagi tadi menjawap hujah Yusof semalam dalam usaha tidak membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menjadikan tiga barangan kontroversial itu sebagai bukti.

Menurut Karpal, memandangkan tangkapan ke atas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dijalankan secara tidak sah dan barang berkenaan diperolehi secara tidak adil, justeru ia harus ditolak.

Sebaliknya, Yusof pula berkata mahkamah perlu mempertimbangkan sama ada barangan itu adalah relevant meskipun cara ia diperolehi mengkin 'tidak sah'.

Sambil memetik kes mahkamah di negara-negara Komanwel seperti Britain, Amerika, Jamaica dan Afrika, Yusof dalam hujahnya selama dua jam setengah itu berkata puntung rokok dan botol air minuman daripada tertuduh juga diterima sebagai bukti dalam kes serangan seksual dan pembunuhan.

Berdasarkan hujah kedua-dua pihak, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membuat penghakimannya hari ini. -mk


Karpal: Tangkapan tidak sah, barangan mesti ditolak

Tiga bahan yang mahu dikemukakan oleh pihak pendakwa sebagai bukti dalam kes liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, hendaklah ditolak kerana penangkapan ketua pembangkang itu, menyalahi undang-undang.

Peguam Karpal Singh berkata, bahan-bahan tersebut, di mana profil DNA diperolehi, diambil melalui cara yang tidak betul dan tidak adil atau melalui tipu muslihat.

Peguam kanan dan ahli parlimen Bukit Gelugor itu berkata Anwar telah memberi keterangan bahawa tiga peguamnya - Datuk Param Cumaraswamy, Sivarasa Rasiah, dan Sankara Nair - berada di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 16 Julai 2008, untuk kenyataannya direkodkan.

“Pada masa itu Anwar tahu mengenai temujanjinya pada jam 2 petang di IPK Kuala Lumpur untuk memberi kenyataan mengikut seksyen 112 berkaitan dengan aduan Mohd Saiful Bukhari Azlan," katanya.

Katanya, Anwar juga memberi keterangan bahawa dia telah memaklumkan kepada pegawai SPRM untuk pergi ke Kuala Lumpur untuk memberi kenyataannya kepada pihak polis.

Dalam perjalanan balik, hujah Karpal, kereta Anwar telah dihalang oleh beberapa kereta tidak bertanda dan kereta polis dengan 10 hingga 15 anggota komando yang memakai penutup muka dan bersenjatakan mesingan.

“Sankara yang duduk di kerusi depan, telah bertanya kepada Supt Ahmad Taufik Abdullah tentang penangkapan tersebut, tetapi pegawai itu menjawab dia hanya mengikut arahan menangkap Anwar.

“Sankara tidak diberitahu alasannya dan begitu juga dengan Anwar apabila Taufik duduk di sebelahnya di kerusi belakang kereta polis. Apabila disoal balas oleh peguamcara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, Anwar menafikan yang dia mengetahui mengapa dia ditangkap,” katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan, mahkamah diberitahu tidak ada sebarang helah, pujukan, ugutan atau janji dibuat bagi mendapatkan empat sampel dari lokap tempat Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan semalaman pada 16 Julai 2008.

Sehubungan itu, Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pendakwaan berkata, mahkamah perlu menerima kesemua sampel tersebut sebagai barang kes dalam perbicaraan kes liwat Anwar, serta menolak permohonan pembelaan untuk tidak dimasukkan kerana ia didakwa diperoleh secara tidak sah.

"Anwar tidak diperdaya agar menggunakan berus gigi dan tuala atau minum air mineral tersebut. Selain itu, tidak ada sebarang pujukan, ugutan atau tekanan dilakukan terhadapnya ketika dia berada dalam lokap," katanya ketika berhujah di akhir prosiding bicara dalam bicara hari ini.

Beliau berkata jika keputusan mahkamah memihak kepada pendakwaan, dua saksinya iaitu ahli kimia Nor Aidora Saedon dan bekas ketua makmal forensik Polis Diraja Malaysia Cheras DSP Amidon Anan, perlu dipanggil semula untuk proses mengemuka serta menanda keempat-empat barang kes sebagai "P" (barang kes pendakwaan).

Barang kes berkenaan ialah ubat gigi, berus gigi, tuala Good Morning dan sebotol air mineral yang diambil Amidon dari lokap tersebut, yang kemudian disahkan oleh Nor Aidora mengandungi profil DNA milik 'lelaki Y', yang air maninya ditemui pada dubur pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Mohamed Yusof yang merujuk lebih 10 prinsip undang-undang nasional dan antarabangsa berkata, walaupun mempunyai budi bicara untuk tidak memasukkan bukti yang diperoleh secara tidak sah, mahkamah tidak boleh berbuat demikian jika ia relevan terhadap kes.

Beliau juga berkata penahanan Anwar pada 16 Julai 2008 adalah sah kerana pegawai yang membuat tangkapan, iaitu DSP Ahmad Taufik Abdullah, telah berbuat demikian ketika beliau menyerahkan waran tangkap di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK KL) pada kira-kira 2 petang hari berkenaan, sebelum kenyataan tertuduh dirakam pegawai penyiasat DSP Judy Blacious Pereira.

"Anwar sendiri mengakui telah menandatangani satu dokumen yang diberikan kepadanya oleh DSP Ahmad Taufik pada hari tersebut, yang jelas menyebut dia ditahan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, iaitu berhubung kesalahan liwat," katanya.

Mohamed Yusof berkata mahkamah tidak mempunyai sebab untuk menolak keterangan saksi pendakwaan itu kerana beliau ditugaskan menahan Anwar oleh pegawai atasannya, iaitu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Bakri Zinin.

Katanya, walaupun polis diberi kuasa menahan mana-mana individu tidak melebihi 24 jam tanpa memberikan sebarang sebab, namun dalam kes ini, Anwar dan peguamnya S.N.Nair telah dimaklumkan mengenai alasan penahanan.

"Polis telah mematuhi semua undang-undang berkaitan, dan Anwar dimaklumkan mengenai sebab dia ditahan sebaik dibawa ke IPK KL oleh DSP Ahmad Taufik, diikuti oleh DSP Judy, jadi dakwaan tertuduh dan Nair yang mereka tidak diberitahu adalah tidak benar," katanya.

Mohamed Yusof juga berkata dalam kes ini, penahanan Anwar dilakukan selepas pengadu menjalani pemeriksaan kesihatan, diikuti pengumpulan sampel sebelum disahkan menerusi ujian DNA.

"Kami memperoleh waran tangkap pada 15 Julai 2008, dan dalam keadaan biasa, suspek akan dimasukkan ke lokap terlebih dahulu sebelum disiasat," katanya.

Anwar, 63, didakwa meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful, 25, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. -mk


Ulasan GB

kereta Anwar telah dihalang oleh beberapa kereta tidak bertanda dan kereta polis dengan 10 hingga 15 anggota komando yang memakai penutup muka dan bersenjatakan mesingan

“Sankara yang duduk di kerusi depan, telah bertanya kepada Supt Ahmad Taufik Abdullah tentang penangkapan tersebut, tetapi pegawai itu menjawab dia hanya mengikut arahan menangkap Anwar.

Kedua-dua perkara di atas jelas menunjukkan penahanan secara tidak sah ke atas Anwar.

Malah polis-polis bertopeng yang menjalankan tugas "mengikut arahan" yang menyalahi undang-undang itu sepatutnya ditangkap dan dikenakan tindakan undang-undang.


Tiada ulasan: