19 Jan 2010

Tragedi Gemencheh, Bekas Pegawai Bank Didakwa Membunuh

Bekas pegawai bank, Rashidi Ismail, 34, pagi ini didakwa di Mahkamah Majistret Rembau dekat sini atas empat pertuduhan membunuh ahli keluarganya di Gemencheh, awal bulan ini.

Tiada pengakuan direkodkan.

Rashidi, suspek utama kes tersebut telah dibawa ke tempat kejadian pada 8 Januari lalu untuk membantu siasatan sebaik sahaja polis mendapat perintah tahanan reman selama tujuh hari daripada Mahkamah Majistret Gemas.

Perintah itu tlah dikeluarkan oleh Majistret Siti Nor Shafirda Hashim mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Permohonan reman dibuat oleh Ketua Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin, Asisten Supritendan Khairil Anuar Saidin.

“Walaupun hanya sekejap jumpa dia (Rashidi) tetapi ia cukup bernilai. Dia menyatakan rasa kesal dengan apa yang telah berlaku dan minta maaf,” kata ibu Rashidi, Zaharah Atan, 59 sambil mengalirkan air mata pada pertemuan singkat dengan anaknya sewaktu anaknya ditahan beberapa hari lalu.


Pembunuhan kejam empat sekeluarga menggemparkan negara

"SAYA buat kerana ia perintah daripada kuasa agung. Mereka adalah syaitan-syaitan yang menyamar."

Itulah kononnya kata-kata Rashidi Ismail, 34, kepada pihak polis mengenai tindakannya menyembelih bapanya, Ismail Awang, 76, serta mengerat jari adiknya, Siti Khadijah Ismail, 22, dalam kejadian bunuh melibatkan empat sekeluarga di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, Negeri Sembilan, Selasa lalu.

Dalam tragedi yang disifatkan sangat kejam itu, bekas imam kampung yang juga datuk suspek, Atan Daud, 90, dan isterinya, Sufiah Keatas, 80, turut maut dibunuh.

Atan ditemui dengan tangan kiri terputus, Sufiah putus tangan kanan, Ismail hilang kepala manakala Siti Khadijah terbaring kaku dengan pisau tercacak di dada.

Suspek kemudian membawa kepala bapanya dari Tampin ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas sejauh 120 kilometer sebelum ditanam di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.

"Masih sukar untuk dilupakan. Setiap kali mahu lelapkan mata, pasti terbayang-bayang wajah orang-orang yang saya sayangi itu menemui ajal dalam keadaan yang menyedihkan," luah Siti Mariam Ismail, 19, orang pertama menemui empat mayat ahli keluarganya itu sekembalinya dari sekolah kira-kira pukul 3.30 petang.

Di lantai rumah ini, Mariam menemui mayat datuk, nenek dan bapanya yang terbujur kaku.

Menurut Mariam, kebiasaannya Ismail akan menjemputnya dengan motosikal di jalan besar. Namun, pada hari kejadian, kelibat bapanya tidak kelihatan dan dia mengambil keputusan untuk berjalan kaki pulang ke rumah.

"Sampai saja di rumah, saya panggil kakak, tapi dia tak jawab. Pelik juga sebab biasanya dia akan sambut saya pulang. Bila saya buka pintu, saya nampak kakak terbaring di lantai dengan pisau terpacak di dadanya.

"Saya berlari ke rumah datuk dan nenek yang terletak berdekatan. Malangnya, di sana saya menemui pula datuk, nenek dan ayah terbujur kaku di lantai rumah," katanya yang masih trauma dan murung akibat kejadian itu.

Kasih ibu

Bagi Zaharah Atan, 59, peristiwa itu adalah tragedi paling besar dalam hidupnya. Beliau yang kematian suami, ibu, bapa serta anak perempuan turut diuji apabila suspek utama, Rashidi juga merupakan anaknya.

"Semasa kejadian, saya keluar bekerja di kilang ayam tidak jauh dari sini. Lebih kurang pukul 4.50 petang, ada jiran datang ke kilang dan menjemput saya pulang.

"Bila saya tanya kenapa, dia kata sabarlah. Bila sampai di rumah, saya nampak orang ramai dan kereta polis.

"Saya ingat ada pokok tumbang menghempap rumah. Disebabkan saya tak dibenarkan masuk ke rumah, saya duduklah di kebun getah," cerita beliau.

ZAHARAH reda tragedi yang menimpa keluarganya.

Apabila Mariam datang, Zaharah bertanya kenapa tetapi Mariam hanya menggelengkan kepala. Mariam pula menjawab 'ada' bila ditanya di mana kakaknya, Siti Khadijah.

Zaharah bertanya lagi, balik sekolah tadi naik apa? Mariam hanya kata jalan kaki dan tidak tahu kenapa bapanya tidak datang menjemput seperti biasa.

"Saya mula rasa sesuatu yang buruk telah berlaku. Setengah jam selepas itu, baru saya dapat tahu, suami, anak, ibu dan bapanya mati dibunuh," beritahu Zaharah kepada Jurnal.

Pada awalnya, Zaharah tidak percaya apabila Rashidi dikaitkan sebagai suspek utama sementelah dia disifatkan sebagai anak yang baik.

"Dia anak saya yang terbaik dalam pelajaran. Tak pernah dia tinggi suara, membentak atau bertempik dengan orang tua. Dengan adik-beradik pun dia tak macam itu," kata Zaharah.

Digambarkan sebagai anak yang soleh, Rashidi yang juga bekas pegawai bank itu sentiasa tersenyum.

Tidak pernah menyusahkan ibu bapa, Rashidi yang mendapat pendidikan sekolah agama juga amat disenangi oleh ahli keluarga dan rakan-rakannya.

LOKASI pembunuhan empat mangsa di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, Negeri Sembilan Selasa lalu.

"Kalau diikutkan perangai Rashidi yang saya kenal, dia bukan panas baran orangnya. Saya dapat rasakan ada sesuatu yang mendorong dia buat begitu.

"Begitupun, saya reda dengan apa yang telah terjadi. Kalau ditakdirkan anak saya itu bersalah dan dihukum gantung, saya terima.

"Kalau dia disahkan sakit jiwa pun, saya masih terima dia sebagai anak.

"Saya memang marah dan terkilan, tapi itu tidak akan buang perasaan sayang saya pada dia," tuturnya yang sempat mencium pipi Rashidi semasa anaknya itu dibawa ke lokasi pembunuhan. -Kosmo



Ulasan GB

Kisah menyayat hati ini telah diulas di sini dan di sini.

Aneh, walaupun yang meninggal dunia itu ibu saudara Rosmah, isteri PM, samada Najib atau Rosmag tidak ada mengeluarkan ucapan takziah apatah lagi menjenguk keluarga mereka di Gemencheh tanda simpati atau hubungan kekeluargaan. Jika tan nak mengaku keluarga, bukankah mereka yang meninggal itu rakyat 1Malaysia?

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Wanita no 1 nak nafikan Mamat Jiwa Kacau ni sebagai anak saudara dia?