27 Dis 2010

Pemuda Yang Dicekup Tidur Berpelukan Hadapi 5 Tuduhan Merogol

Penganggur Hadapi Lima Tuduhan Merogol

SHAH ALAM: Seorang penganggur yang ditangkap oleh ibu bapa teman wanitanya semasa sedang tidur berpelukan di bilik tidur remaja perempuan terbabit dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin. -gambar hiasan

Mohd Zainu Man, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan merogol remaja yang berusia 15 tahun tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Tertuduh yang berasal dari Dabong, Kelantan didakwa merogol mangsa pada pukul 2 pagi, akhir Ogos lalu dan didakwa mengulangi perbuatan tersebut pada pukul 2.30 pagi, awal September lalu.

Selain itu, dia juga didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 2 pagi, hujung September lalu, 2 pagi, awal Oktober lalu manakala pertuduhan terakhir menyatakan tertuduh melakukan kesalahan itu pada 2 pagi, November lalu.

Semua pertuduhan terhadap tertuduh dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Che Rohana Ismail mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Che Rohana tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh, bagaimanapun Wan Mohd Norisham membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin untuk setiap satu pertuduhan.

Beliau juga menetapkan syarat tambahan untuk tertuduh melaporkan diri ke balai polis yang berhampiran setiap Sabtu pertama setiap bulan.

Kes akan disebut semula pada 24 Januari depan untuk tertuduh melantik peguam.

Pada 25 Disember lalu, sebuah akhbar tabloid melaporkan seorang ibu yang tergerak hati untuk melihat keadaan dua anak gadisnya semasa terjaga dari tidur pada pukul 3.30 pagi, menemui dua remaja terbabit sedang tidur berpelukan dengan pasagan masing-masing.

Dilaporkan, ibu bapa remaja yang berusia 13 dan 15 tahun itu tidak menyangka anak gadis mereka boleh melakukan perbuatan sedemikian memandangkan kedua-dua mereka masih di bangku sekolah.

Wanita yang tergamam itu bertindak mengejutkan suaminya dan remaja lelaki yang berusia 20 dan 17 tahun itu merayu memohon maaf, bagaimanapun ayah remaja terbabit yang dikatakan kecewa dengan perbuatan tersebut nekad membuat laporan polis.

Difahamkan, remaja lelaki berusia 17 tahun akan didakwa di Mahkamah Majistret Juvana.

Berita Berkaitan

2 Adik Beradik Dicekup Berpelukan Dengan Kekasih


Tiada ulasan: