31 Mac 2009

BUKIT GANTANG : MAFREL Kesan Nama Si Mati Dalam Daftar Pemilih

Malaysians for Free and Fair Elections (MAFREL) mengesan ada percanggahan fakta dan maklumat berhubung daftar pemilih yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana masih wujud pemilih walaupun telah meninggal dunia lebih 30 tahun lalu.

MAFREL dalam kenyataan akhbarnya pada 13 Mac lalu menegaskan, mereka akan melaksanakan pemerhatian terhadap keseluruhan proses pilihan raya bermula daripada hari penamaan calon, kempen, hari mengundi dan pasca pilihan raya.

Penyelaras MAFREL Perak, Ir. Megat Shariffudin Ibrahim berkata, pihaknya telah melaksanakan kajian awal senarai daftar pemilih berdasarkan kategori umur 90 tahun ke atas di kawasan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Bukit Gantang.

Katanya, seorang pemilih tersenarai dalam Senarai Daftar Pemilih yang digazet sehingga September tahun dan akan digunakan pada pilihan raya kecil ini, sudah meninggal dunia, tetapi namanya tidak dipadamkan.

“Pemilih itu, Kassim Md. Amin beralamat di Kampung Ulu Cheh, Kampung Cheh, DUN Changkat Jering telah meninggal pada tahun 1973 iaitu 36 tahun lalu.

Kubur Kassim bin Mamat Amin yang meninggal pada 1973

“Perkara ini telah dimaklumkan anak perempuan arwah sendiri dan dia membawa kami melawat kubur bapanya,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Ir. Megat Sharifuddin, wakil MAFREL juga telah menjalankan siasatan terhadap daftar pemilih di Kampung Jelutong, Pengkalan Aor, DUN Changkat Jering dan mendapati kejadian sama berulang.

Katanya, pemilih itu, Che Man Said yang dilahirkan pada 9 November 1912 telah meninggal dunia sejak lapan tahun lalu.

“Cucunya telah memaklumkan kepada kami bahawa datuknya telah meninggal dunia dan hairan mengapa nama Che Man masih ada dalam senarai pemilih,” katanya.

Ir. Megat Shariffudin berkata, kes itu tidak sepatutnya berlaku kerana semakan daftar pemilih perlu dikemas kini agar memudahkan rakyat.

Semakan dengan teliti dan terperinci, kata beliau, boleh dilakukan terhadap senarai daftar pemilih bagi tujuan pilihan raya yang bersih daripada kemungkinan unsur penipuan dalam bentuk penyamaran.

“Kerjasama perlu diwujudkan antara jabatan berkenaan khususnya SPR, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan polis untuk mengatasi kelemahan yang ada dalam daftar pemilih,” katanya.

Beliau berkata, MAFREL ada menemui pemilih berumur 101 tahun yang masih hidup bernama Mat Hussin Bandar di Kampung Banggol Rendang dalam DUN Changkat Jering.

Katanya, pihaknya akan berusaha menjejaki beberapa pemilih yang namanya ada dalam senarai daftar pemilih, tetapi tidak dijumpai, malah sebahagian penduduk kampung juga tidak mengenali pemilih berkenaan.

“Ini merupakan pemerhatian awal kajian daftar pemilih yang akan didokumenkan untuk dilaporkan kepada SPR dan tertakluk kepada apa-apa maklumat mungkin diperoleh kemudian,” katanya.

2 ulasan:

Prof. Era Pasca berkata...

SPR kerjanye bukan daftar/mengemaskini daftar pemilih tetapi menafikan hak speaker!

Tanpa Nama berkata...

agaknya kalau pak lah or mahathir
dah takde nanti
ade tak nama dia org dalam senarai
pengundi yang berdaftar...
macam mana SPR.?