21 Sep 2009

Era Najib Altantuya : Selcat Tetap Diteruskan Secara Terbuka - Speaker

Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Teng Chang Kim menolak gesaan supaya Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) diadakan secara tertutup.

Bertaut pada prinsip pemisahan kuasa yang jitu, Teng yang juga Pengerusi Selcat berkata jawatankuasa terbuka dan telus seakan Selcat telah menjadi amalan negara-negara demokrasi berparlimen.

"Setakat ini dari maklum balas orang-ramai, mereka amat berpuas hati kerana dengan adanya Selcat mereka nampak ketelusan dalam pentadbiran kita. Ketelusan bukan sahaja bererti kita membenarkan orang ramai melihat prosiding sepenuhnya, tetapi yang penting ialah melihat kebenaran disebalik isu-isu yang ditangani. Walaupun Selcat ini adalah baru di negara ini, tetapi ia menjadi amalan di negara-negara Komanwel lain," kata Teng.


Selcat Selangor meraih pengiktirafan masyarakat sebagai mercu ketelusan dan ketrerbukaan selepas ia membongkar penyelewengan RM9.9 juta wang rakyat oleh isteri-isteri Adun BN melalui Badan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis).

Prosiding Selcat yang terkini sedang menyiasat misteri adun-adun BN menghabiskan kesemua peruntukan negeri mencecah RM500,000 dalam masa dua bulan sahaja, sebelum Pilihanraya Umum ke-12 8 Mac 2008.

Namun, para Pegawai Daerah yang dipanggil membantu siasatan merungut bahawa mereka disiasat tanpa belas oleh Selcat.

"Mungkin ada sesetengah pihak yang tidak dapat ikut rentak. Mereka boleh maklumkan ke pihak jawatankuasa supaya kita boleh tengok dimana kita boleh memperbaiki dan menaiktaraf Selcat. Dalam pada itu, mereka juga perlu mengikut rentak ketelusan dan keterbukaan dan tidak bertaut pada amalan lama," kata Teng.

Menyahut aduan pegawai-pegawai daerah ini, Exco Selangor Datuk Dr Hassan Ali mengesyorkan bahawa prosiding ditutup dari tatapan awam dan keanggotaan Selcat dirombak dan diisi oleh bekas-bekas hakim.

"Selcat adalah jawatankuasa pilihan khas yang dilantik oleh dewan melalui peraturan tetap. Mengikut amalan Parlimen Komanwel, tidak ada keanggotaan jawatankuasa diisi oleh orang luar, melainkan di kalangan ahlinya sendiri," kata Teng.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga akur kepada prinsip pemisahan kuasa dan berkata pihaknya tidak akan mencampuri urusan Selcat.

Teng juga berkata pihaknya tidak mahu dan tidak akan campuri urusan Eksekutif berhubung tindakan Pegawai Daerah Klang, Datuk Bakhtiar Husin yang melanggar Perintah Am dengan mengkritik Teng.

Bakhtiar dilaporkan Sinar Harian sebagai berkata dia telah dimalukan oleh siasatan Selcat.

"Pegawai Daerah bukan dibawah kawalan saya. Mereka tertakluk dibawah bidang kuasa Eksekutif, demikian itu saya tidak mahu mencampuri soal Perintah Am ini," kata Teng.

Sementara itu, Dr Hassan Ali menafikan desas-desus bahawa beliau mempunyai agenda tertentu dengan menyerang Selcat dan Teng.

Dr Hassan berkata Pakatan Rakyat menyokong penuh kewujudan jawatankuasa siasatan ini.

Mengulas mengenai syor supaya Selcat ditutup dari tatapan awam, Dr Hassan berkata beliau cuma bimbangkan rungutan para pegawai daerah dan syor dibuat adalah untuk dibincang dan direnungkan bersama.




2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Baguslah SELCAT dilakukan secara terbuka, kalau dibuat secara tertutup takut ada yang dijumpai mati nanti. Biarlah rakyat yang menilai bagaimana kakitangan kerajaan digunakan oleh ADUN BN yang lalu. Dari sini kita dapat menilai integriti kakitangan tersebut. Apa nak ditakutkan kalau apa yang dilakukan menurut undang-undang.

Anak PR Selangor berkata...

Saya setuju sangat komen saudara.

Entahlah akhir akhir ini aku lihat Hassan Ali ni aku lihat spt ada yang tak kena.. Dia bukan lagi seorang pejuang rakyat.. Nak kata dia pejuang Islam pun tidak juga..

Dia ni sekarang ini aku lihat mcm gunting dalam lipatan pakatan rakyat. Samada dia sangat benci dengan MB Selangor YAB TS Khalid Ibrahim atau dia yang terasa diri dia tu hebat sangat dan selayaknya dialah yang duduk di kerusi MB tu..

Aku nak beritahu sikit kalaulah dia yang jadi MB Selangor.. aku tak kan sokong PAS lagi..