29 Jul 2009

Era Najib Altantuya : Apa Ada Pada NKRA Najib?

Pas menganggap pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkenaan pengenalan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Indeks Prestasi Utama (KPI) semalam, bukan satu perkara baru.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, apa yang diumumkan itu hanyalah perkara lama yang diberi penjenamaan baru oleh Najib.

Menurut Kamaruddin, apa yang dimahukan rakyat adalah kesan ‘akhir’ yang bakal mereka terima kelak. “Bagaimanapun, kita perlu tunggu dan lihat persembahan bentuk baru dari Najib itu, sama ada ia berjaya atau tidak kita mesti tunggu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Najib berkaitan KPI enam teras NKRA, termasuk membabitkan bidang usaha bagi mengurangkan kadar jenayah dan memerangi rasuah.

Najib berkata, bidang lain termasuk meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan; meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah; memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman; dan menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

Kamaruddin berkata, perkara itu mirip kepada mainan politik, yang masih gagal meyakinkan rakyat untuk menerima Barisan Nasional dan UMNO.

“Najib dilihat sebagai seorang Perdana Menteri yang gemar membuat pengumuman demi pengumuman, namun tindakan tidaklah sehebat pengumuman yang dibuat,” katanya.

Kamaruddin turut berharap penjenamaan terbaru Najib itu berjaya dan bukannya gagal.

“Contoh paling dekat, dulu nama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia adalah Badan Pencegah Rasuah dan selepas itu kerajaan tukar nama, tukar jawatan, tukar organisasi.

“Alih-alih, yang terbaru tidak berjaya selesaikan kes kematian Setiausaha Politik, Teoh Beng Hock kepada Exco Kerajaan Negeri, Ean Yong Hian Wah, baru-baru ini.

“Perkara sebeginilah kita tidak mahu terjadi pada penjenamaan yang baru diumumkan Najib itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ditanya mengenai senarai Menteri yang dilantik sebagai ‘Lead Minister’ atau Menteri Pimpinan bagi menerajui NKRA yang ditetapkan, Kamaruddin berkata, pelantikan menteri itu hanya buang masa.

“Najib hanya ulang balik tugas-tugas Menteri itu. Misalnya, NKRA untuk meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan, menterinya ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana Menteri).

“Selain jawatan itu, Muhyiddin juga Menteri Pelajaran, tidakkah kita terfikir bila Muhyiddin pegang jawatan menteri pimpinan bagi NKRA itu, dia seolah-olah hanya bertugas untuk benda sama,” katanya. -SH


Tiada ulasan: