9 Nov 2013

Kurang Popularkah Mat Sabu?


Ahli PAS yang rugi bila terpaksa memilih calon kurang popular untuk timbalan presiden ANALISIS OLEH ZULKIFLI SULONG

Pihak paling rugi apabila berlaku pertembungan antara Mohamad Sabu dengan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah untuk jawatan timbalan presiden PAS adalah ahli PAS keseluruhannya.

Ini kerana, pilihan utama mereka Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Husam Musa tidak menyertai pertandingan itu. Mereka hanya dapat memilih di kalangan kurang popular sahaja padahal mereka perlu menentukan orang nombor dua dalam parti Islam itu.

Tuan Ibrahim dan Husam semalam, menjelang tarikh tutup pengesahan pertandingan parti pada 5 November, mengumumkan mereka hanya akan bertanding jawatan naib presiden dan menolak untuk bertanding timbalan presiden.

Semasa pencalonan diterima, Tuan Ibrahim dilaporkan mendapat pencalonan terbanyak iaitu lebih 50% daripada 103 pencalonan yang sah daripada kawasan di seluruh negara.

Husam pula dikatakan mendapat pencalonan kedua terbanyak. Namun sehingga kini ia tidak didedahkan kepada umum. Pihak jawatankuasa pemilihan PAS yang diketuai Asmuni Awi hanya memaklumkan jumlah pencalonan yang diterima kepada calon berkenaan sahaja.

Dalam poll yang dibuat sebuah laman pro PAS, Tranungkite.net, Tuan Ibrahim menjadi calon paling popular di kalangan ahli PAS manakala Husam ditempat kedua. Keputusan ini selari dengan peratusan pencalonan yang mereka terima.

Menurut poll itu, Mohamad berada di tempat ketiga manakala Nik Amar tempat keempat selepas seorang lagi calon Salahudin Ayub yang sejak awal mengumumkan hanya bertanding bagi jawatan naib presiden sahaja.

Tuan Ibrahim ketika mengumumkan hanya menerima pencalonan untuk naib presiden berkata, berasa tidak mampu untuk memikul jawatan yang lebih tinggi daripada itu.

Husam pula dalam kenyataannya berkata, pencalonan paling banyak yang beliau terima adalah untuk jawatan naib presiden.

"Saya anggap ia adalah isi hati, pedoman dan pilihan akar umbi PAS jawatan mana yang mereka ingin saya tempatkan diri saya," kata Husam dalam kenyataannya.

Dengan penolakan kedua-duanya, pemilihan yang sukar bagi perwakilan PAS dalam Muktamar PAS ke-59 pada 22 hingga 24 November ini adalah untuk jawatan naib presiden.

Bagi kerusi naib presiden, calon-calon kini adalah Salahudin Ayub, Datuk Abu Bakar Chik, Tuan Ibrahim dan Husam manakala Datuk Mahfuz Omar belum membuat sebarang pengumuman.

"Saya telah memberitahu wartawan sebelum ini, saya mahu Pengerusi Jawatankuasa Pemilih yang memaklumkan keputusan saya," kata Mahfuz kepada The Malaysian Insider.

Semalam, Idris Ahmad dan Datuk Mujahid Yusof mengumumkan akan bertanding jawatan AJK PAS Pusat sahaja manakala seorang lagi calon yang layak, Nasrudin Hassan mengumumkannya sejak awal lagi akan bertanding AJK PAS Pusat sahaja.

Perwakilan sekarang terpaksa membuat pilihan antara empat calon utama iaitu tiga penyandang Salahudin Ayub, Husam dan Mahfuz serta dengan kedatangan calon popular, Tuan Ibrahim.

Abu Bakar Chik yang turut bertanding dikatakan calon 'underdog' untuk pertandingan naib presiden ini kerana beliau agak tertinggal daripada pucuk pimpinan utama parti selepas berhenti daripada jawatan Ketua Pemuda PAS sebelum ini.

Salahudin dikatakan mendapat sokongan kedua-dua pihak, ulama dan bukan ulama serta paling popular daripada semua calon yang ada.

Tuan Ibrahim pula dilihat bakal mewarisi pucuk pimpinan utama PAS di masa depan, sudah tentu dia juga bakal menang.

Kini persaingan antara Husam dan Mahfuz. Husam dikatakan mempunyai penyokong tersendiri manakala Mahfuz pula baru membuktikan kemampuannya selepas calon PAS berjaya di pilihan raya kecil Sungai Limau.

Justeru, sudah tentu tugas sukar bagi perwakilan membuat pilihan di samping dilema yang mana calon terbaik sebagai naib presiden PAS musim ini. -TMI


Mat Sabu perlu menang demi hubungan politik


SHAH ALAM - Penganalisis politik berpendapat Mohamad Sabu perlu menang dalam Muktamar Pas ke-59, 22 hingga 25 November ini bagi menguatkan hubungan parti itu dengan PR.

Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata peluang penyandang Timbalan Presiden Pas, Mohamad adalah "aset" yang berguna untuk hubungan politik antara parti perikatan pembangkang yang lain.

Menurutnya, perwatakan dan sikap Mohamad yang disenangi semua pihak terutama rakan PR akan turut menyumbang kepada kemenangannya dalam pemilihan muktamar kali ini.

"Orang PR suka dia, dia juga pemimpin popular yang boleh dianggap profesional.

"Dia juga yang banyak bersama PR dalam aktiviti anjuran PR, dalam soal hudud, dia disenangi pemimpin PR lain terutama DAP akan mengeratkan lagi hubungan politik PR dan Pas," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan dua daripada lima calon Timbalan Presiden Pas, Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub telah menarik diri dan memutuskan akan bertanding untuk jawatan naib presiden.

Hari ini, seorang lagi calon Timbalan Presiden, Datuk Husam Musa turut membuat keputusan untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden Pas.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah masih belum mengumumkan keputusan muktamad untuk penawaran jawatan tersebut.

Dalam pada itu, Azizuddin berkata, jika Husam tidak menarik diri dan wujud pertandingan tiga penjuru antara Mohamad dengan Husam dan Nik Mohd Amar untuk jawatan timbalan presiden, peluang masih cerah bagi penyandangnya.

Katanya, Mohamad juga calon popular dan mempunyai penyokong tersendiri.

"Mat Sabu ini popular juga dia sama seperti Husam.

"Namun Husam ini mungkin disebabkan krisisnya di Kelantan penyokong akan 'split' undi, dan mampu juga bagi saingan sengit.

"Kalau Nik Mohd Amar ini pendekatan politiknya agak sederhana dan agak kabur, dan hanya mungkin mendapat undi daripada ulama sahaja, jadi peluang Mat Sabu masih cerah walaupun ada sedikit berlaku pecah undi," katanya lagi.
-SH



Muktamar: Penyandang ada peluang


Mohamad Sabu dilihat mempunyai kelebihan untuk mempertahankan jawatannya selaku Timbalan Presiden Pas pada pemilihan parti bagi sesi 2013-2015.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, Mohamad atau lebih popular dengan gelaran Mat Sabu mampu mengekalkan jawatan itu lebih menonjol dan aktif di peringkat nasional.

“Perkara ini yang saya nampak beri kelebihan pada diri beliau kerana beliau lebih arif dengan isu dan masalah yang membabitkan negara," katanya, semalam.

Katanya, dari sudut populariti beliau lebih terkedepan dan dekat di hati para penyokong Pas berbanding pesaingnya.

“Beliau popular dengan pelbagai himpunan. Contohnya Himpunan Bersih dan Himpunan Kebangkitan Rakyat. Ini antara kewibawaan yang ada pada beliau,” katanya.

Selain itu, ketika ditanya berkenaan kemungkinan Mohamad akan memperoleh kemenangan besar apabila pertandingan ini berlangsung secara dua penjuru, Nik Ahmad berkata, pencabarnya Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah tidak akan beri laluan mudah kepada beliau.

"Ini pastinya satu persaingan sengit dan Mat Sabu sukar untuk menang mudah, tetapi beliau masih ada peluang," katanya.

Difahamkan, pertandingan merebut jawatan timbalan presiden berkemungkinan akan berlaku antara Mohamad menentang Mohd Amar, ini setelah calon-calon lain menarik diri.

Pengarah Pusat Kajian Politik dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel), Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, Pas tidak akan menyentuh isu kegagalan PR untuk menguasai Putrajaya dalam PRU13 lalu pada muktamar kali ini.

Menurutnya, Pas hanya akan membincang isu-isu berkaitan cabaran pilihan raya akan datang sahaja.

“Saya tidak nampak isu itu akan diketengahkan dalam Muktamar Pas nanti, sebab isu itu sudah lepas. Isu-isu lama tidak mungkin menjadi topik utama yang dibincangkan.

“Lagipun mereka tahu, pada PRU13 lalu mereka sudah berusaha keras dan bersungguh-sungguh.

Kegagalan tersebut bukan disebabkan kesilapan mereka, mungkin pendekatan Umno dan BN lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, jika dilihat pertemuan ahli Pas di semua peringkat kali ini lebih menjuruskan kepada perbincangan bagi memantapkan parti itu untuk jangka masa panjang.

“Pengisian Muktamar Pas kali ini lebih ke hadapan, kemungkinan mereka membuat perancangan rapi dan sistematik dalam usaha mengukuhkan parti.

“Membincangkan bagaimana meningkatkan sokongan Melayu selain program memperkasakan ahli semua peringkat,” katanya.
-SH


ULASAN GB

Tajuk GB "Tak Popularkah Mat Sabu?" ditujukan kepada Penganalisis Rencana di TMI (Bekas Editor Harakahdaily), Srra Zulkifli Sulong yang telah lebih awal meletakkan tajuk "Ahli PAS yang rugi bila terpaksa memilih calon kurang popular untuk timbalan presiden".

Apa kayuukur populariti yang dipakai oleh Zulkifli Sulong? Nampaknya sandaran "populariti" diletakkan kepada poll Tranungkite :

Dalam poll yang dibuat sebuah laman pro PAS, Tranungkite.net, Tuan Ibrahim menjadi calon paling popular di kalangan ahli PAS manakala Husam ditempat kedua. Keputusan ini selari dengan peratusan pencalonan yang mereka terima.



Menurut poll itu, Mohamad berada di tempat ketiga manakala Nik Amar tempat keempat selepas seorang lagi calon Salahudin Ayub yang sejak awal mengumumkan hanya bertanding bagi jawatan naib presiden sahaja.


Dan menarik perhatian apabila dinyatakan bahawa:

Semasa pencalonan diterima, Tuan Ibrahim dilaporkan mendapat pencalonan terbanyak iaitu lebih 50% daripada 103 pencalonan yang sah daripada kawasan di seluruh negara.

Husam pula dikatakan mendapat pencalonan kedua terbanyak. Namun sehingga kini ia tidak didedahkan kepada umum. Pihak jawatankuasa pemilihan PAS yang diketuai Asmuni Awi hanya memaklumkan jumlah pencalonan yang diterima kepada calon berkenaan sahaja
.

Kacau sungguh.

Bagaimana Zulkifli Sulong boleh mengetahui jumlah pencalonan yang diterima oleh setiap calon SEDANGKAN dah diberitahu:

"Namun sehingga kini ia tidak didedahkan kepada umum."

Jika ia tidak didedahkan kepada umum bagaimana beliau boleh mengakses maklumat tersebut? Apakah Asmuni Awi yang membocorkan kepadanya?

Pihak jawatankuasa pemilihan PAS yang diketuai Asmuni Awi hanya memaklumkan jumlah pencalonan yang diterima kepada calon berkenaan sahaja

Apakah makluman itu hanya kepada Zulkifli Sulong tetapi tidak kepada umum? Setahu GB, hanya calon sahaja yang mengetahui jumlah pencalonan yang diperolehi.

Hah.. persetankan itu semua. Nampaknya pemilihan PAS sama macam dulu-dulu. Belum profesyenal sepenuhnya. Kalau benar-benar profesyenal, maklumat sulit tetap sulit, dan Asmuni dan Zulkifli wajar diheret ke Lembaga Disiplin parti.

Apa yang GB lihat kumpulan yang inginkan sangat Tuan Ibrahim bertanding kini menggigit jari. Tuan Ibrahim sepastinya telah beristikharah dan telah pun membuat keputusan menarik diri. Ia perlu dihormati.

Poll yang dilakukan hanyalah psywar. Dan ia boleh saja dimanipulasi. Orang yang bijak IT boleh melakukannya.

Hukum kebenaran dan keadilan mengambil tempatnya, si Luncai terjun dengan labu-labunya.

Kepada semua perwakilan, selamat mengundi.

3 ulasan:

Amuraria berkata...

moga parti islam tarak kacau bilau macam parti pandi kutty sekutu apco ! ABU !

Tanpa Nama berkata...

Aku pilih abng mad sabu. dia terkenal, & selamba aje.
Tapi abng mad jangan le lebih2 gurau bila tiap2 kali berceramah tu, tapi kalau pendiam sangat pun tak kena. Be sederhana lah.

Tanpa Nama berkata...

tidak ada masalah, yang menjadi masalahnya pbila dipertandingkan,,,,,, akn ada itu ini, dan bermacam-macam lagi kecuali yang ada sekarang ini tarik diri, atau tak mahu meneruskan atau memberi ruang kepada muka baru . Selagi yang dah ada maka tak perlu diadakan barulah diadakan pemilihan... kalau dah ada sepatutnya diteruskan dengan yang sudah ada tu.... .... barulah tidak akan terjadi fitnah memfitnah...kacau bilau dan sebagainya kerana kita sedia maklum ...para musuh akan cuba mencari jalan untuk cuba merosakkan PAS. So berhati-hatilah..... banyak lagi jawatan lain yang kosong ... yang penting kerjasama untuik menumbangkan BN-UMNO bukan untuk mencari gaduh sesama sendiri.....akhirnya bukan kemenangan yang dicari tapi kemusnahan parti semata-mata....

lagi satu jangan culupar mulut ...dia biarkan presiden saja yang bersuara...yang lain kalau nak bersuara jugak kerana memang diperlukan untuk dibawa dalam ceramah-ceramah umum tapi pastikan di adalah perbincangan dahulu sebelum mengeluarkan apa saja yng patut dikeluarkan... yakni bersidang dan bermuafakat dulu baru dikeluarkan kepada umum... baru betul kerana masing-masing dah tahu ap yng akn diperkatakan oleh semua penceramah....

Jadi dalam hal sebegini barulah tidak akn terjadi fitnah memfitnah.... kalau tak tahu khabarkan kami akn rujuk kepada majlis tertinggi dulu...... wassalama