23 Ogo 2013

Pemandu Bas Bertengkar Dgn Pemandu Teksi Sejurus Sebelum Jatuh Gaung


Ketika punca sebenar kemalangan bas di Genting Higland semalam masih tidak dapat dipastikan secara rasmi, beberapa versi cerita telah muncul daripada mangsa yang terselamat.

Seorang daripadanya, Mosammat Sirajum mendakwa sejurus sebelum kemalangan berlaku, pemandu bas itu dan seorang pemandu teksi kelihatan marah-marah di antara satu sama lain sewaktu memandu kenderaan masing-masing.

"Dua anak saudara lelaki saya nampak pemandu bas itu dan seorang pemandu teksi seperti saling menunjuk-menunjukkan isyarat marah antara satu sama lain," kata pemastautin tetap Malaysia dari Bangladesh itu.

"Menurut mereka, pemandu teksi itu cuba memotong bas tersebut dan pemandu bas sempat menekan pedal brek,"
kata Mosammat sewaktu ditemui di Hospital Selayang.

Menurutnya, anak-anak saudara beliau yang masing-masing berumur 22 tahun dan 14 tahun kehilangan ayah mereka yang berusia 54 tahun dalam kemalangan itu walaupun ibu mereka terselamat.

"Ini kali pertama sepupu saya, seorang warganegara Kanada, membawa keluarga mereka ke Malaysia," katanya.

Seorang lagi mangsa, warganegara Indonesia, Andri Purwadi yang berusia 23 tahun, memberitahu wartawan yang bas itu dipandu laju.

Andri berkata beliau adalah salah seorang daripada lima penumpang yang membeli tiket berharga RM7 tetapi terpaksa berdiri kerana tempat duduk telah penuh.

Beliau yang sakit gigi menaiki bas jam 2 petang untuk bertemu doktor gigi di bandar sementara rakannya Nur Firdil Gusman, 25 tahun, juga warganegara Indonesia yang bekerja sebagai tukang cuci di Genting Highlands, diwadkan di Hospital Selayang.

Andri yang juga bekerja sebagai tukang cuci berkata pemandu itu tidak mengantuk atau pun mabuk.

Menurutnya beliau berada dalam kesakitan sewaktu bas itu mencecah tanah selepas terjunam dan mereka terpaksa menunggu selama kira-kira sejam sebelum bantuan tiba.

Andri patah kaki dan akan dibedah petang ini. -mk


Cerita penumpang bas: Pemandu seolah 'merasainya'


KUALA LUMPUR - Seorang penumpang yang cedera dalam kemalangan bas dekat Genting Highlands semalam berkata pemandu bas itu telah memberhentikan basnya di tepi jalan sebelum kemalangan seolah-olah mengesyaki sesuatu tidak kena dengan kenderaan itu.

Nur Maizatul Syazana Ahmad Sharuddin, 23, berkata sebelum bas terjunam ke dalam gaung pemandunya sempat memberhentikan bas dan turun selama tiga minit untuk melihat enjin bas sebelum naik semula dan menghidupkan enjin.

"Pada masa itu saya terdengar bunyi yang begitu kuat dari bahagian depan bas tetapi pemandu itu masih meneruskan perjalanan," katanya yang duduk di belakang pemandu bas dalam perjalanan itu.

"Masa itulah, tiba-tiba bas tidak dapat dikawal, cuba mengelak beberapa kereta dan bas tapi saya perasan bas ada melanggar dua tiga buah kereta sebelum sampai di suatu selekoh, bas terus menjunam jatuh ke dalam gaung," katanya yang kini dirawat di Hospital Sungai Buloh kepada Bernama ketika ditemui di hospital itu, dekat sini, hari ini.

Nur Maizatul yang merupakan mangsa kedua yang dibawa naik dari dalam gaung dalam insiden itu berkata ini merupakan pengalaman pertamanya pergi dan pulang dari Genting Highlands bersama kawan lelakinya, Mohd Razis Ibrahim, 23, dengan menaiki bas dan menjadi detik ngeri yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

"Saya ingat lagi masa itu keadaan sangat cemas, takut dan semua menjerit kuat. Tetapi saya tidak faham mengapa bas boleh bawa ramai penumpang sehingga ada yang sanggup berdiri dan duduk di pintu tangga bas," katanya sambil menambah kawannya kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Menceritakan pengalamannya ketika di dalam gaung itu, beliau berkata saat itu merupakan saat yang paling menakutkan apabila melihat ramai penumpang sudah bergelimpangan di sekitar bas itu dalam keadaan cukup menyayat hati.

"Saya lihat satu-satu daripada mereka depan mata saya sendiri, ada yang sudah tidak bernyawa, ada yang kritikal.

"Pada masa itu, saya meminta tolong lelaki sebelah kiri saya yang juga terselamat untuk membantu saya bangun kerana kaki saya patah tetapi dia pun tidak dapat berbuat apa-apa kerana turut mengalami nasib yang sama seperti saya (patah kaki)," katanya yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta di Batu Caves dan menetap di Rawang bersama keluarganya.

Sementara itu, abang mangsa, Mohamad Nor Fazli Sahazmi Ahmad Sharuddin, 26, berkata beliau bersama ibunya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan daripada ayahnya yang mengatakan adiknya terlibat dalam kemalangan di Genting Highlands.

"Ayah hubungi saya selepas seorang anggota bomba menelefonnya menggunakan telefon adik dan memberitahu adik selamat tapi cederanya agak teruk. Masa itu pukul 3.30 petang, saya tidak fikir apa terus pergi sana.

"Sejam kemudian saya sampai di tempat kejadian, saya buntu, saya pergi ke khemah yang menempatkan mayat-mayat, saya lihat satu persatu mayat sebab tidak pasti keadaan adik dan tak jumpa," katanya.

Beliau berkata kira-kira pukul 5 petang, abang iparnya menelefon beliau memaklumkan Nur Maizatul berada di Hospital Sungai Buloh.

"Masa itu, rasa bersyukur sangat adik selamat, cuma mengalami cedera di muka, patah di bahagian tulang punggung, betis dan paha," katanya.

Sementara itu, seorang mangsa warga Korea yang dirawat di Unit Kecemasan (ICU) Hospital Sungai Buloh, Kang Byoung Kuk berusia 60 tahun tidak dapat ditemubual kerana masih tidak sedar diri.
- Bernama


Laporan sebelum ini
klik untuk baca

Tiada ulasan: