Syahidnya Abdul Quader Molla, perjuangan Islam tidak berakhir
KUALA LUMPUR: Kepada pendukung Jamaat-e-Islami Bangladesh dan ahli keluarga as-syahid, serta bakal as-syahid yang lainnya yakinlah bahawa kehidupan akhirat adalah kekal abadi dan syurga adalah janji dari Allah.
Demikian gesaan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berikutan Penolong Setiausaha Agung Jamaat-e-Islami Bangladesh, Abdul Quader Molla yang menemtui syahid di tali gantung, hari ini.
Berikut kenyataan Tuan Guru Abdul Hadi.
Pada hari ini sejarah mencatatkan syahidnya saudaraku Abdul Quader Molla (14 Ogos 1948 - 12 Disember 2013) yang juga merupakan Penolong Setiausaha Agung Jamaat-e-Islami Bangladesh di tali gantung yang tidak mengenal erti kebenaran.
Perbicaraan as-Syahid adalah satu momokan terhadap sistem keadilan, apabila disabitkan kesalahan dengan fakta yang meragukan dan penuh dengan sentimen politik dalaman Bangladesh.
Ianya bukan sahaja mendapat bantahan dalam negara Bangladesh sendiri tetapi juga turut dikecam oleh komuniti Islam di peringkat antarabangsa.
Jelas sekali tindakan menukar hukuman asal terhadap as-Syahid dari penjara seumur hidup adalah di atas desakan politik dalaman menerusi demonstrasi jadian seperti protes Shahbag pada Februari 2013 lalu yang menjadi tulang belakang agenda jahat kumpulan sekular yang bencikan Islam.
Kepada pendukung Jamaat-e-Islami Bangladesh dan ahli keluarga as-Syahid, serta bakal as-syahid yang lainnya yakinlah bahawa kehidupan akhirat adalah kekal abadi dan syurga adalah janji dari Allah.
Teruskan perjuangan menentang kezaliman, mengikut al Quran dan as-Sunnah serta sirah para Nabi A.S., di mana fajar kemenangan Islam akan menyingsing jua dengan izin Allah. Allahu akbar!
Saudaramu,
Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
Malaysia
Selepas Abdul Quader Molla, ada lagi akan dibunuh - Abim
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengecam sekeras-kerasnya pelaksanaan hukuman gantung sampai mati oleh kerajaan Bangladesh ke atas Abdul Quader Mulla.
Beliau adalah Penolong Setiausaha Agung Jamaat-e Islami Bangladesh. Beliau yang berumur 65 tahun sewaktu hukuman dilaksanakan telah disahkan meninggal dunia setelah menjalani hukuman gantung tersebut di Penjara Dhaka pada 11 Disember 2013, jam 10:01 malam waktu tempatan.
Abdul Quader merupakan mangsa pertama Tribunal Perang Antarabangsa yang ditubuhkan oleh kerajaan Bangladesh pada Mac 2010 bagi membicarakan tragedi pembunuhan sewaktu perang kemerdekaan Bangladesh dari Pakistan pada tahun 1971.
'Tribunal Antarabangsa’ tersebut telah mendapat kecaman yang keras daripada pemimpin dunia, institusi kehakiman dan perundangan antarabangsa serta badan hak asasi manusia kerana secara jelas telah melanggar syarat dan prosedur pelaksanaan tribunal jenayah yang adil dan saksama.
Pada 5 Februari 2013, beliau telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup oleh tribunal tersebut atas tuduhan membunuh 344 orang awam, merancang dan bersekongkol dengan keganasan dan jenayah rogol.
Disebabkan protes dan bantahan dalaman dan masyarakat antarabangsa, rayuan terhadap keputusan tersebut telah dibawa ke Mahkamah Persekutuan Bangladesh – di mana keputusan tribunal telah ditingkatkan dari hukuman penjara seumur hidup ke hukuman mati di tali gantung, suatu perkara yang sangat jarang berlaku dalam sejarah rayuan mahkamah.
Sesungguhnya amat nyata bahawa peristiwa hitam dalam sejarah Bangladesh ini merupakan satu rencana politik yang menjijikkan oleh parti pemerintah Awami League Bangladesh pimpinan Perdana Menteri, Sheikh Hasina sepertimana yang digambarkan oleh laporan Odhikar (2013) melalui Human Rights Report 2012 m.s 5-6) ;
“To rule by terror, the government resorted to some techniques…the repression of the opposition political parties, workers and social organisations…the use and abuse of Judiciary to punish opponents and the dissenters who criticise the government. The appointment of Judges on political consederation…abducting and killing people, particularly political leaders, mainly through ‘enforced disappearance’…The present regime promised to observed zero tolerance to extrajudicial killings”
“Abim dengan ini mendesak kerajaan Bangladesh di bawah rejim Sheikh Hasina agar segera membubarkan dan memansuhkan Tribunal Jenayah Antarabangsa yang pincang tersebut serta merta,” ujar Naib Presiden Abim, Mohamad Raimi Abdul Rahim dalam satu kenyataan.
Tambahnya, tribunal tersebut sehingga hari ini telah dan akan menjatuhkan hukuman mati dan penjara seumur hidup kepada pimpinan utama parti pembangkang termasuklah pimpinan kanan Jamaat-e Islami seperti Matiur Rahman Nizami, Delwar Hossein Sayeedi Ali Ahsan Mohammad Mojahid, dan Muhammad Kamaruzzaman.
Katanya, dua pimpinan utama parti Bangladesh National Party (BNP) pimpinan mantan Perdana Menteri Khalida Zia juga dibicarakan di bawah tribunal tersebut.
Menurutnya, dengan terlaksananya hukuman ke atas Abdul Quader Mulla itu, Abim yakin bahawa kerajaan Bangladesh akan terus menggunakan pembunuhan melalui sistem kehakiman, atau apa yang diistilahkan oleh Toby Cadman, peguambela British yang mewakili tahanan-tahanan politik tersebut sebagai ‘judicial murder’ .
Justeru, tegasnya Abim mendesak agar parti-parti politik, NGO dan badan hak asasi dalam di Malaysia agar mengambil serius isu ini dengan mengutarakan bantahan dan memorandum keprihatinan terhadap kerajaan Bangladesh.
“Bagi tujuan tersebut, Abim memohon agar Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Menteri Luar Datuk Anifah Aman agar mengambil tindakan yang segera dan tegas dengan memanggil Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia untuk memberikan penjelasan terhadap pencabulan yang amat nyata ke atas hak asasi manusia ini,” ujarnya.
Beliau menambah, sudah tiba masanya Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan OIC yang berpengaruh menyatakan bantahan yang amat jelas dan menilai semula hubungan diplomatik dan perdagangannya dengan Bangladesh.
Semalam, katanya Perdana Menteri Turki telah mengulangi keprihatinan Presiden Abdullah Gul sebelumnya dengan menggesa agar kerajaan Bangladesh menangguhkan keputusan gantung tersebut.
Beliau berkata, bantahan yang keras terhadap Bangladesh sebelum ini telah disuarakan oleh wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kesatuan Eropah, House of Lords Britain dan banyak lagi pemimpin berpengaruh dunia.
Tambahnya, Abim juga bersama-sama di dalam Malaysian Task Force for Bangladesh, sebuah gabungan NGO-NGO yang prihatin mengenai isu ini juga akan terus memantau situasi ini dan mengharapkan lebih banyak penyertaan daripada NGO-NGO dan rakyat Malaysia.
“Abim berharap bantahan keras daripada rakyat dan kerajaan Malaysia boleh meredakan situasi Bangladesh yang boleh berlarutan sehingga menjadi perang saudara,” ujarnya. -HD
1 ulasan:
Inilah kerajaan yang menafikan rakyatnya terlibat sebagai pengundi hantu dalam PRU13 Malaysia. Sekiranya pemimpin pembangkangnya di negaranya sendiri sanggup di bunuh, apalah setakat menafikan penglibatan rakyatnya di negara orang.
Catat Ulasan