7 Nov 2013

[AL-FATIHAH] Syazwani, Calon SPM Meninggal Dunia Selepas 30 Minit Jawab Soalan


SEBAHAGIAN daripada 198 pelajar memasuki dewan yang menempatkan seorang pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Nur Syazwani Ariffin, 17, (gambar kecil) yang meninggal dunia ketika sedang menduduki peperiksaan Kertas 1 Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Agama Saniah, Pasir Puteh, hari ini. - Foto Zaman Huri Isa/BH

Kota Bahru: Seorang calon yang menduduki hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia di Sekolah Menengah Agama (SMA) Saniah, Pasir Puteh, dekat sini dilaporkan rebah dan meninggal dunia selepas kira-kira 30 minit menjawab soalan, pagi ini.

Pelajar terbabit dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tengku Anis (HTA) di sini. Pelajar perempuan berkenaan, NurSyazwani Arifin, 17, dikatakan sedang menjawab kertas Bahasa Melayu 1 apabila tiba-tiba rebah dan pengsan di atas lantai dewan pemeriksaan sekolah itu.

Sementara itu, Bernama melaporkan Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, pihaknya kini menunggu keputusan bedah siasat unit forensik Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mengetahui punca kematiannya kerana Nursyazwani dikatakan tidak mempunyai rekod penyakit kronik.

Bapanya Arifin Deraman, 48, seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Janggut membawa Nursyazwani ke hospital selepas diberitahu mengenai insiden itu kira-kira 8.45 pagi, katanya kepada pemberita ketika ditemui di hospital berkenaan hari ini.

Sementara itu, Arifin ketika ditemui berkata Nursyazwani pernah mengalami pening kepala, sakit belakang dan dada selama seminggu sebelum ini.

"Ketika itu doktor hanya mengesahkan Allahyarham mengalami gastrik tetapi dalam sehari dua ini beliau didapati sihat seperti biasa.

"Pagi tadi, sebelum peperiksaan beliau ceria dan sempat mencium tangan saya," katanya.

Beliau berkata Nursyazwani anak keempat daripada enam beradik adalah antara pelajar terbaik sekolah itu dan menyasarkan keputusan 10A.

"Arwah bercita-cita untuk menjadi seorang pensyarah," katanya yang berasal dari Kampung Kemudu Bongkok, Gaal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Zawawi Othman antara yang menziarahi jenazah Allahyarham di hospital. - BERNAMA


Kucup tangan ayah berkali-kali


Pasir Puteh: “Sebelum turun kereta, dia mengucup tangan saya berulang kali sebelum melambai-lambai tangan. Jarang dia buat macam tu, tak sangka pula itulah kucupan dan lambaian terakhirnya kepada saya.”

Demikian kata Arifin Deraman, 48, ayah kepada Nur Syazwani, pelajar tingkatan lima Maahad Saniah Pasir Puteh, Jalan Nara, di sini, yang meninggal dunia ketika baru 25 minit menjawab soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), semalam. Nur Syazwani, seorang daripada 198 calon yang menduduki SPM di sekolah agama kendalian Yayasan Islam Kelantan itu, bermula semalam. Ketika kejadian, anak keempat daripada enam beradik itu sedang menjawab soalan Bahasa Melayu Kertas 1, sebelum ketua pengawas peperiksaan terdengar bunyi kerusi jatuh dan melihat pelajar itu terbaring di lantai dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Nur Syazwani dari Kampung Kemudu Bongkok, Gaal, dekat sini, kemudian disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9 pagi, sebaik tiba di Hospital Tengku Anis (HTA).

Arifin berkata, kematian mengejut anaknya sesuatu yang tidak pernah diduga kerana Allahyarham sebelum ini tidak pernah menghidap penyakit yang kritikal.

“Cuma dua minggu lalu dia demam, selain turut mengadu sakit kepala, sakit belakang dan susah bernafas. Memandangkan peperiksaan semakin hampir, saya terus membawanya ke hospital dan dia pulih selepas itu,” katanya ketika ditemui di pekarangan HTA, semalam.

Menurut Arifin, dia dimaklumkan mengenai kejadian menimpa Nur Syazwani oleh isterinya, Wan Noriah Wan Deris, 47, yang dihubungi pihak sekolah.

Katanya, selepas tidak sedarkan diri Allahyarham yang mendapat keputusan 6A dalam peperiksaan percubaan SPM sebelum ini terus diusung oleh beberapa pengawas perempuan ke bilik rawatan di sekolah berkenaan.

“Sebaik saya dan isteri tiba di sekolah, Nur Syazwani masih tidak sedarkan diri tetapi dia masih bernyawa.

“Saya terus membawanya ke HTA sambil ditemani isteri yang tidak putus-putus mengajarnya mengucap,” katanya.
-HM


ULASAN GB

Ingatlah sentiasa bahawa Allah swt boleh mengambil kita pada bila-bila masa...tak kira di mana dan tak kira siapa...

ALFATIHAH UNTUK ADIK SYAZWANI

Tiada ulasan: