Blogger Sharpshooter (Amizudin Ahmat) dibebaskan jam 4 petang tadi, akan dibicarakan semula Isnin ini untuk menangguhkan hukuman penjara tiga bulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi selepas dia didapati bersalah menghina mahkamah.
Beliau dikatakan didapati bersalah menghina mahkamah apabila menerbitkan 11 lagi artikel memfitnah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Bernama melaporkan Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof semasa menyampaikan keputusan itu berkata Amizudin telah melanggar perintah mahkamah yang melarangnya daripada terus menerbitkan artikel memfitnah mengenai Rais dalam laman blognya.
"Ini satu kes penghinaan yang serius, mahkamah kenakan perintah custodial selama tiga bulan penjara, berkuatkuasa hari ini," katanya.
Beliau berkata jika dilihat keseluruhan kes itu, penghinaan yang dilakukan Amizudin bukan sekali berlaku, tetapi beberapa kali dan ia bukan satu perkataan yang boleh diterima.
"Saya nak baca perkataan itu pun, tidak tergamak," katanya.
Selepas Zabariah membacakan keputusannya, Amizudin yang berada di luar kandang tertuduh bangun dan berkata: "Saya mengaku saya silap, saya memohon maaf, saya tidak faham".
Zabariah berkata jika tidak faham mengenai perintah mahkamah, Amizudin sepatutnya bertanyakan kepada peguamnya terutama apabila membabitkan kes pelanggaran perintah mahkamah.
Selesai prosiding, Amizudin yang kelihatan sedikit terkejut dengan keputusan mahkamah itu memeluk peguamnya Ahmad Nizam Hamid dan dia kemudiannya dibawa masuk ke dalam kamar mahkamah untuk urusan ke penjara.
Pada 21 November tahun lepas, Rais, 70, diberi kebenaran untuk memulakan prosiding pemenjaraan terhadap Amizudin berhubung dengan saman yang difailkan olehnya.
Pada 19 Julai tahun lepas, Rais memenangi saman beliau dan blogger itu diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi membayar RM300,000 sebagai ganti rugi dan RM100,000 sebagai kos kepada menteri itu.
Rais memfailkan saman itu pada 31 Jan, 2011, terhadap Amizudin, 42, yang merupakan anggota Jawatankuasa Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), bagi memfitnah berhubung artikel yang diterbitkan dalam laman blog blogger itu, sharpshooterblogger.blogspot.com, pada atau sekitar 28 Disember, 2010.
Terdahulu, Ahmad Nizam dalam rayuan bagi hukuman ringan memohon mahkamah supaya tidak mengenakan hukuman penjara ke atas anak guamnya dengan mengambil kira bahawa Amizudin telah memohon maaf atas kesalahannya.
Bagaimanapun peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Rais berhujah bahawa artikel yang dikeluarkan itu bukan sekali tetapi 11 kali.
"Kalau buat sekali, kita mungkin anggap dia tersilap, ini 11 kali, dalam membuat rencana penghinaan itu, contemnor (seseorang yang telah melakukan penghinaan mahkamah) juga telah tulis dengan jelas bahawa dia sedar ada perintah mahkamah yang melarang dia daripada tulis sedemikian".
Muhammad Shafee memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman penjara ke atas Amizudin sebagai pengajaran kepadanya dan juga kepada bakal pesalah yang lain.
2 ulasan:
Dia ni memang cari penyakit.
kalo takut dipijak gajah.....
jngn berkebun di dlm hutan....
Catat Ulasan