3 Jun 2012

Ini Baru Betul "Haramjadah" : Bujang Terlajak Mencabul

Tampin – Seorang pemastautin tetap berusia 52 tahun yang masih berstatus bujang mengaku bersalah atas pertuduhan mencabul kanak- kanak perempuan berusia 4 tahun sembilan bulan di rumah pengasuh di Kampung Tanjung Melintang, Gemencheh, 24 Mei lalu.

Gambar: Rajab dihadapkan ke Mahkamah Majistret, semalam.

Rajab Rajan, yang berasal dari Indonesia dan bekerja sebagai penoreh getah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Majistret di sini semalam, selepas menukar pengakuan kepada bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan buat kali pertama pada hari yang sama.

Rajab didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, pada 24 Mei lalu, antara jam 2.30 hingga 5.30 petang di dalam sebuah rumah di Kampung Tanjung Melintang, Gemencheh, tertuduh telah mencabul kehormatan dengan cara memegang, meraba dan menggosok kemaluan kanak-kanak terbabit.

Pada 25 Mei lalu, semasa berada di rumah mangsa di Rumah Rakyat Gemencheh, kanak-kanak perempuan terbabit mengadu sakit untuk membuang air kecil dan terdapat kesan merah di sekitar kemaluannya.

Mangsa memberitahu keluarganya, lelaki Melayu dengan panggilan Rajab telah menyentuh kemaluannya semasa berada di rumah pengasuh.


Susulan insiden itu, keluarga mangsa telah membuat laporan polis pada hari yang sama kira-kira jam 10 pagi dan kanak-kanak perempuan terbabit dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban untuk pemeriksaan lanjut.

Mangsa kemudiannya disahkan dicabul dan kini masih ditahan di hospital untuk rawatan lanjut.

Majistret Marsilawati Mohd Shah menjatuhkan hukuman denda RM5,500 kepada tertuduh dan sekiranya gagal membayar denda, akan dipenjara enam bulan.

Pendakwaan dijalankan oleh Inspektor P Pushpa Rani.

Tiada ulasan: