9 Apr 2012

Pelakon Natasya Hudson Kini Bertudung

Pelakon dan penyanyi Natasha Hudson, 29, bakal menamatkan zaman solonya bersama seorang ahli perniagaan dan juga penyanyi Carleed Khaza, 33, pada 15 April hadapan. Pasangan ini memilih Masjid Wilayah, Jalan Duta, Kuala Lumpur sebagai lokasi pernikahan dan majlis akan diadakan sekitar jam 11 pagi.

Menurut Natasha yang dihubungi GUA semalam, dia dan Carleed tidak ada sebab-sebab tertentu memilih tarikh 15 April, sebaliknya tarikh itu dipilih kerana mengikut tarikh yang dicadangkan oleh pihak masjid.

“Perancangan untuk melangsungkan pernikahan telah kami buat sebelum masing-masing menunaikan umrah baru-baru ini. Namun, ketika berada di Mekah saya telah membuat keputusan muktamad. Saya tidak rasa ia terlalu tergesa-gesa sebab saya memang sudah bersedia.

"Tarikh itu dipilih kerana pihak masjid maklumkan tarikh itu masih kosong. Bukan ada sebab lain. Kami akan adakan majlis sederhana sahaja. Tidak ada sebarang majlis resepsi kerana kami tidak mahu bazirkan duit. Selepas akad nikah selesai, akan ada majlis makan-makan untuk tetamu. Itu sahaja,” ujar Natasha.

Ditanya sama ada pihak keluarga bersetuju atau tidak dengan majlis perkahwinan yang ringkas itu, Natasha memberitahu kedua-dua belah pihak keluarga tidak punya masalah kerana masing-masing memang tidak suka mengadakan majlis beberapa kali atau diadakan secara besar-besaran.

“Baik Carleed mahupun pihak keluarga, masing-masing tidak kisah sama ada hendak adakan majlis resepsi atau tidak. Sebenarnya mereka pun tidak suka kalau kami hendak adakan majlis beberapa kali. Cukuplah sekadar majlis yang sederhana tapi cukup bermakna,” ulas ibu kepada Nessa Helena ini.

Untuk makluman, bakal suami Natasha selain bergelar penyanyi dia juga seorang ahli perniagaan yang memiliki syarikat muzik, PhuturePhlow. Pasangan ini pernah berduet menerusi lagu "Jika Ku Boleh Ubah Dunia".

Sudah berhijab

Dalam perkembangan lain, tahniah GUA ucapkan kepada Natasha dengan penampilan terbarunya. Natasha kini memilih untuk mengenakan hijab dan keputusan ini dibuat ketika dia berada di Tanah Suci. Jelas Natasha, keputusannya itu bukan atas desakan sesiapa tetapi kerana pintu hatinya telah terbuka.

“Memang ramai kawan-kawan yang tidak sangka dengan perubahan saya ini. Begitu juga dengan keluarga. Namun, mereka semua gembira untuk saya dan memberikan sokongan. Carleed juga gembira dengan imej baru ini.

"Saya akan teruskan karier lakonan dan nyanyian seperti biasa kerana saya tidak menganggap pemakaian hijab sebagai satu masalah besar. Kalau Yuna boleh melakukannya, saya juga boleh. Saya percaya perjalanan hidup kita ditentukan oleh Allah. Buat masa ini saya gembira dengan perubahan ini dan mendoakan ia berkekalan,” ujar Natasha dengan nada gembira. -gua.com.my



Laporan sebelum ini
klik untuk baca



Tiada ulasan: