27 Mac 2012

MB Selangor: Kos Ubahsuai Pejabat Hasan Ali Paling Tinggi & Tak Ikut Prosidur Yang Betul

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini berkata bekas exco kerajaan negeri, Datuk Dr Hasan Ali membelanjakan lebih mahal daripada rakan-rakannya untuk mengubahsuai pejabatnya, demikian lapor malaysiakini.

Perkara tersebut didedahkan di sidang DUN Selangor hari ini. Khalid berkata perbelanjaan Hasan mendahului senarai, iaitu RM329,000 diikuti Ean Yong Hian Wah (RM146,000) dan Rodziah Ismail (RM119,000).

Exco lain yang disenaraikan termasuk Xavier Jeyakumar (RM70,000), Ronnie Liu (RM53,000), Yaakob Sapari (RM32,000), Teresa Kok dan Elizabeth Wong (di bawah RM25,000) dan Iskandar Abdul Samad (RM21,000).

Pendedahan tersebut merupakan satu tamparan terhadap Hasan yang semalam mendakwa Xavier dan Halimah membelanjakan lebih banyak daripadanya untuk mengubahsuai pejabat mereka.

Pada hari yang sama Jeyakumar menafikan dakwaan tersebut manakala Halimah menjelaskan bahawa pejabatnya tidak pernah diubahsuai.

Sebelum ini, ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali mendakwa Hasan - ketika menjadi exco hal ehwal Islam, adat Melayu, infrastruktur dan kemudahan awam - boros membelanjakan RM300,000 untuk pengubahsuaian pejabat.

FreeMalaysiaToday melaporkan MB Selangor, Abdul Khalid mendakwa Hasan Ali tidak menjalankan tatakelola kerja yang ditetapkan terutama membabitkan pelbagai kontrak prasarana dibawah tanggungjawab exco yang dipegang beliau.

Katanya, Hasan Ali didakwa campurtangan dalam pemilihan kontraktor bagi projek prasarana di Selangor.

“Kita terima laporan audit dan menunjukkan
Hasan Ali campur tangan dengan cuba cadang dan tentukan siapa kontraktor yang sepatutnya dapat projek. Biasanya tiada konflik kepentingan peribadi dalam pemilihan nama kontraktor.

“Saya baru dapat satu beban…dengan beban ini saya dapat buktikan Hasan Ali tidak mengikut tatakelola yang ditetapkan,”
jelas beliau.

Dalam pada itu di dalam perkembangan berasingan, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali enggan melayan cabaran bekas Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali agar menjelaskan butiran sumber kewangannya untuk membeli saham bernilai jutaan ringgit ketika menjadi pegawai kerajaan pada 1992 hingga 1994.

Sebaliknya Ahli Parlimen Gombak itu menyifatkan dakwaan Hasan sebagai fitnah bagi mengalih perhatian orang ramai mengenai persoalan yang dibangkitkannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor baru-baru ini.

"Ini adalah fitnah yang berulang sejak bertahun lalu. Jadi saya memilih untuk tidak menjawab tuduhan itu.


"Kenyataan saya berdasarkan audit, fakta dan angka, saya tak suruh beliau respon dalam keadaan sebegitu malah beliau cuba alihkan perhatian orang ramai serta tidak respon kepada soalan saya...tetapi beliau pilih untuk menyerang peribadi saya," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini, Selasa.

Beliau mengulas mengenai cabaran Hasan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia berhubung kemampuan Mohamed Azmin sebagai pegawai kerajaan biasa memiliki banyak wang bagi membeli sahambernilai berjuta-juta ringgit.

Dalam pada itu Azmin yang juga Adun Bukit Antarabangsa turut melahirkan rasa terkejut dengan cabaran Hasan kerana mengambil pendirian menyerang peribadinya berdasarkan fakta-fakta fitnah.

"Saya terkejut sebab sebagai pemegang PhD beliau selalu mendakwa dirinya bijak dan berpengalaman luas...tapi saya terkejut sebab pemikirannya terlalu lemah dalam respon kepda perbahasan saya dalam DUN.

"Beliau mengambil pendirian yang mengecewakan. Apakah ini nilai Islam dan Melayu yang hendak diperjuangakan Hasan Ali? Beliau tak jawab soalan pokok tapi kutip fitnah beberapa individu dan menyuburkan fitnah itu,"
katanya.

Pada persidangan DUN Selangor minggu lalu, Mohamed Azmin membangkitkan mengenai perbelanjaan berjumlah RM300,000 bagi mengubahsuai pejabat Hasan ketika menjadi exco Selangor dua tahun lalu.

Hasan Ali rendahkan martabatnya

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR Azmin Ali terkejut dan tidak menyangka Pengasas Jalur Tiga (Jati) Datuk Dr Hasan Ali sanggup mengeluarkan kenyataan fitnah menyerang peribadinya.

Enggan menjawab dakwaan Hasan, Azmin sebaliknya menganggap Hasan telah merendahkan martabat dirinya sendiri apabila gagal menjelaskan perkara sebenar mengenai dakwaan pengubahsuaian pejabat sehingga mencecah RM300,000.

Malah, Hasan bertindak menyuburkan budaya fitnah apabila mencabar Azmin menjelaskan butiran sumber kewangannya untuk membeli saham bernilai jutaan ringgit ketika menjadi pegawai kerajaan pada 1992 hingga 1994 sedangkan gajinya ketika itu hanya RM2,000 saja.

“Sebagai pemegang PhD dia selalu kata dirinya bijak, berpengalaman luas tetapi saya terkejut sebab dia sanggup merendahkan martabatnya apabila menunjukkan respon negatif terhadap persoalan yang saya bangkitkan minggu lalu,” katanya kepada pemberita di luar Dewan Rakyat di sini hari ini.

Hasan semalam mendakwa Azmin serta isteri termasuk iparnya memiliki saham mencecah RM8.5 juta pada awal 1990-an, memetik kenyataan Pengerusi Yayasan Pembangunan India Malaysia, S A Vickneswaran sebelum ini .

Namun Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, dakwaannya itu berdasarkan fakta dan angka daripada laporan audit.

Sedangkan katanya Hasan tidak menjawab soalan beliau, malah tidak menafikannya dan turut mengheret beberapa Adun lain mendakwa mereka juga melakukan perkara yang sama.

“Apakah ini nilai Islam dan Melayu yang hendak diperjuangkan Hasan Ali?

“Dia tak jawab soalan pokok tapi kutip fitnah beberapa individu dan menyuburkan
fitnah itu,” katanya yang menganggap isu saham itu satu fitnah lama yang timbul sejak dulu lagi.

Ubah suai pejabat

Katanya, isu ubah suai pejabat itu sudah lama dibangkitkannya sejak dua tahun lalu namun apabila beliau memaklumkan kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, beliau dihalang kerana Abdul Khalid memutuskan untuk menyiasat dakwaan ini melalui pemeriksaan audit.

“Menteri Besar kata tak perlu bangkit dalam Dewan dan dia nak maklumat tu diaudit dan siasat dakwaan ini, jadi audit ambil masa untuk siasat dan kemudiannya membawa isu ini untuk perhatian exco.

“Tetapi bila Menteri Besar nak bentangkan laporan audit, Hasan Ali keluar dan tidak pertahankan kenyataannya,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan yang wajar diambil terhadap Hasan kerana mengubah suai pejabat, Azmin berkata perkara itu diluar bidang kuasanya dan menyerahkan kepada Abdul Khalid dan Exco Selangor lain putuskan.


Laporan sebelum ini
klik untuk baca





4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

PhD yang Hassan miliki sudah menjadi Perasaan Hasad Dengki.

Tanpa Nama berkata...

APA NAK JADI DENGAN ANDA BERDUA SAUDARA KU HASAN DAN AZMIN???? dua-dua yang dulunya di atas satu platform melayu PR kini dah bermusuh dan asyik fitnah menfitnah. hanya kerana perbezaan ideologi, anda berdua terus berada jauh daripada ajaran islam. saudara hasan dan azmin harus muhasabah diri. lihat kepada keadaan melayu sekarang dan jangan lihat kepada hasutan agama lain yang ingin melihat umat islam berpecah belah....anda mungkin boleh berbalah sekarang, tapi apa akan jadi kepada keturunan anda pada masa hadapan?????

Tanpa Nama berkata...

Elok pun PAS buang dia orang macam ni tak layak duduk dalam jemaah PAS

Tanpa Nama berkata...

betul komen anon 8:16 wahai saudara ku hassan dan azmin... masuklah ke dalam UMNO agar UMNO selamat...