14 Mac 2012

Ibu 'Bayi Alas Kaki' Dipenjara Sehari Dan Didenda RM2,000

Kuala Terengganui - Seorang wanita yang masih dalam pantang dijatuhkan hukuman penjara satu hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini terhadap tuduhan membuat laporan palsu.

Wan Syafira Wan Nazri, 23, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah bernombor 1234 Kampung Beladau Kepong, Manir di sini ketika disoal siasat pada 12.30 malam, 25 Februari lepas.

Dia mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut semasa pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Tertuduh yang bekerja sebagai pembantu kedai itu didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.

Pendakwaan dijalankan oleh pegawai pendakwa Insp Miky Dustan Musa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes pada 25 Februari lalu, tertuduh dengan sengaja telah memberi maklumat palsu dengan niat menyebabkan penjawat awam (polis) menggunakan kuasanya yang sah di sisi undang-undang yang mendatangkan bencana kepada seseorang yang lain.

Bernama sebelum ini melaporkan seorang pembantu kedai sanggup mengadakan cerita kononnya bayi itu ditinggalkan di rumahnya oleh seorang warga emas.

Namun tindakan wanita itu berjaya dibongkar polis berdasarkan laporan yang bercanggah yang dikemukakannya dan dia disyaki tidak bercakap benar dan bayi tersebut adalah miliknya sendiri. - Bernama

Laporan sebelum ini
klik untuk baca





Tiada ulasan: